Monday, June 28, 2010

Isu undi pos, ibu negara akan “banjir” lagi?

oleh: Mat Zain Mat Isa

PAS sekali lagi membuktikan kepada semua pihak bahawa ia sebuah parti yang cintakan demokrasi. Untuk itu, ia bukan sahaja memilih menyertai proses pilihan raya, malah berusaha sedapat mungkin agar proses demokrasi itu benar-benar menepati lunas dan prinsip sepatutnya.

Sebab itu PAS tidak teragak melaungkan amaran kepada mana-mana pihak, khususnya Barisan Nasional (BN) selaku penguasa negara, agar peka dan prihatin terhadap apa-apa bantahan rakyat berhubung kepincangan dan dakwaan penyelewengan yang melanda demokrasi negara selama ini.

Keseriusan PAS dalam hal ini mendorong parti itu menubuhkan Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (BPDM), sebuah jawatankuasa bertindak setaraf lajnah-lajnah lain. Badan ini dipengerusikan Haji Mohamad Sabu.

Di antara agenda utama yang mahu dicapai dari usaha badan ini ialah agar wujudnya pilihan raya yang bersih dan adil. Untuk itu rakyat diberi kesedaran tentang hak asasi mereka mengecapi amalan demokrasi tulen dan hak itu dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Selama ini banyak aspek perjalanan pilihan raya negara kita menjadi bahan pertikaian. Di antara yang paling lumrah diperkatakan ialah soal kewujudan pengundi diragukan atau sering diistilahkan sebagai pengundi hantu. Ia berkait langsung dengan masalah daftar pemilih yang gagal dibersihkan daripada nama-nama pengundi terbabit.

Turut menjadi pertikaian berpanjangan ialah sistem undi pos. Sejak sekian lama PAS membantah kewujudan pengundi kategori ini dan menuntut ia dimansuhkan. PAS senada dengan parti-parti pembangkang lain bahawa ketelusan dan kebebasan memilih di kalangan pengundi pos amat dipertikaikan. PAS menuntut kelemahan ini diperbetulkan demi sebuah pilihan raya yang adil dan telus.

Para pemimpin BN sebaliknya sering tampil dengan seribu alasan dan rasional mempertahankan kewujudan undi pos. Hujahnya diperkukuhkan para penganalisis dan pengulas politik pro-BN yang tampil dengan berbagai kajian masing-masing.

Wajar diakui bukan menjadi tabiat BN menerima pandangan pihak lain, lebih-lebih lagi sesuatu yang disuarakan dari kem pembangkang. Para pemimpin BN sebaliknya lebih selesa meremehkan tuntutan itu, seraya menyifatkan bantahan terhadap undi pos sebagai isu lapuk.

Malah ada yang mengatakan isu itu sengaja ditimbulkan pembangkang sebagai alasan menutup kelemahan dan ketidak upayaannya menentang BN. Lalu, kata mereka, pembangkang sengaja menyediakan penyebab kekalahan yang bakal dilalui.

Meski pun suara ini lazimnya kedengaran pada setiap kali menjelang sesuatu pilihan raya, sama ada kecil mahu pun umum, ia bukan semata-mata didorong perkembangan terkini itu. Justeru amat tidak wajar ditohmahkan kononnya bantahan pembangkang itu semata-mata kerana menilai kekuatan mereka yang masih gagal menandingi keutuhan sokongan terhadap BN.

Intipati usaha membantah undi pos tidak wajar dilihat semata-mata kerana pembangkang cemburu dengan deposit tetap yang tidak memihak mereka. Hasrat utama rakyat ialah melihat ketelusan perjalanan pilihan raya dan ketulusan penghayatan demokrasi.

Setakat ini tidak nampak sebarang tanda BN akan memperbetulkan kepincangan dikaitkan dengan sistem undi pos. Tambahan pula kewujudannya buat masa ini amat menyelesakan BN. Ia ibarat deposit tetap buat parti itu. Malah dalam keadaan tertentu ia bertukar menjadi “talian hayat” buat BN menyelamatkan hegemoni politiknya.

Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Justeru, secara logiknya adalah suatu yang amat menghairankan andainya dalam keadaan itu BN bersetuju memansuhkannya.

Lagi pun, bila masa BN peduli soal ketelusan dalam pelaksanaan pemerintahannya atau halangan kebebasan terhadap rakyat? Malah dalam isu undi pos ini kita dapat lihat BN tidak kisah dicemuh sebagai menyalahgunakan kuasa menekan pengundi terbabit. Ia sebaliknya selesa menafikan wujudnya unsur paksaan dan kongkongan itu, walau pun ada kes membuktikan hal itu memang berlaku.

Ertinya, yang penting bagi BN hanyalah kemenangan. Apa dipedulikannya soal ketelusan proses demokrasi. Katalah apa nak kata sekali pun, termasuk melabelkannya sebagai bukan anak jantan, tidak gentleman dan seumpamanya, BN tidak kisah.

Yang dipentingkannya, asalkan kuasa politik negara kekal di tangannya. Berbekalkan kekuasaan itu, jika pun nanti akan ada seribu satu bantahan, petisyen mahu pun memorandum, BN juga ada seribu satu muslihat melepaskan dirinya.

Mengakui betapa sukarnya parti pemerintah itu tunduk kepada apa-apa suara desakan rakyat, maka rakyat wajar digerakkan untuk bangkit dalam suasana lebih “luar biasa”. BN perlu diajar agar tidak terlalu memandang ringan tuntutan rakyat, terutama berhubung hak dan kebebasan mereka.

Rakyat pernah mengajar BN sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lalu menerusi Himpunan 100,000 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kini PAS sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk mengepalai rakyat membanjiri jalan-jalan raya di ibu negara.

Baru-baru ini Mohamad selaku Pengerusi BPDM telah melaungkan tekad bahawa himpunan besar-besaran membantah undi pos bakal diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Demonstrasi jalan raya dicadangkan itu adalah dalam rangka memulihkan demokrasi dan menuntut perjalan pilihan raya yang lebih bersih dan adil. Tidak lebih dari itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1552, 28 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Isu undi pos, ibu negara akan ‘banjir’ lagi?



Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

PAS sekali lagi membuktikan kepada semua pihak bahawa ia sebuah parti yang cintakan demokrasi. Untuk itu, ia bukan sahaja memilih menyertai proses pilihan raya, malah berusaha sedapat mungkin agar proses demokrasi itu benr-benar menepati lunas dan prinsip sepatutnya.

Sebab itu PAS tidak teragak melaungkan amaran kepada mana-mana pihak, khususnya Barisan Nasional (BN) selaku penguasa negara, agar peka dan prihatin terhadap apa-apa bantahan rakyat berhubung kepincangan dan dakwaan penyelewengan yang melanda demokrasi negara selama ini.

Keseriusan PAS dalam hal ini mendorong parti itu menubuhkan Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (BPDM), sebuah jawatankuasa bertindak setaraf lajnah-lajnah lain. Badan ini dipengerusikan Mohamad Sabu.

Di antara agenda utama yang mahu dicapai dari usaha badan ini ialah agar wujudnya pilihan raya yang bersih dan adil. Untuk itu rakyat diberi kesedaran tentang hak asasi mereka mengecapi amalan demokrasi tulen dan hak itu dilindungi Perlembagaan Malaysia.

Selama ini banyak aspek perjalanan pilihan raya negara kita menjadi bahan pertikaian. Di antara yang paling lumrah diperkatakan ialah soal kewujudan pengundi diragukan atau sering diistilahkan sebagai ‘pengundi hantu’. Ia berkait langsung dengan masalah daftar pemilih yang gagal dibersihkan daripada nama-nama pengundi terbabit.

Turut menjadi pertikaian berpanjangan ialah sistem undi pos. Sejak sekian lama PAS membantah kewujudan pengundi kategori ini dan menuntut ia dimansuhkan. PAS senada dengan parti-parti pembangkang lain bahawa ketelusan dan kebebasan memilih di kalangan pengundi pos amat dipertikaikan. PAS menuntut kelemahan ini diperbetulkan demi sebuah pilihan raya yang adil dan telus.

Para pemimpin BN sebaliknya sering tampil dengan seribu alasan dan rasional mempertahankan kewujudan undi pos. Hujahnya diperkukuhkan para penganalisis dan pengulas politik pro-BN yang tampil dengan berbagai kajian masing-masing.

Wajar diakui bukan menjadi tabiat BN menerima pandangan pihak lain, lebih-lebih lagi sesuatu yang disuarakan dari kem pembangkang. Para pemimpin BN sebaliknya lebih selesa meremehkan tuntutan itu, seraya menyifatkan bantahan terhadap undi pos sebagai isu lapuk.

Malah ada yang mengatakan isu itu sengaja ditimbulkan pembangkang sebagai alasan menutup kelemahan dan ketidakupayaannya menentang BN. Lalu, kata mereka, pembangkang sengaja menyediakan penyebab kekalahan yang bakal dilalui.

Meski pun suara itu lazimnya kedengaran pada setiap kali menjelang sesuatu pilihan raya, sama ada kecil mahu pun umum, ia bukan semata-mata didorong perkembangan terkini itu. Justeru, amat tidak wajar ditohmahkan kononnya bantahan pembangkang itu semata-mata kerana menilai kekuatan mereka yang masih gagal menandingi keutuhan sokongan terhadap BN.

Intipati usaha membantah undi pos tidak wajar dilihat semata-mata kerana pembangkang cemburu dengan deposit tetap yang tidak memihak mereka. Hasrat utama rakyat ialah melihat ketelusan perjalanan pilihan raya dan ketulusan penghayatan demokrasi.

Setakat ini tidak nampak sebarang tanda BN akan memperbetulkan kepincangan dikaitkan dengan sistem undi pos. Tambahan pula kewujudannya buat masa ini amat menyelesakan BN. Ia ibarat deposit tetap buat parti itu, malah dalam keadaan tertentu ia bertukar menjadi ‘talian hayat’ buat BN menyelamatkan hegemoni politiknya.

Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Justeru, secara logiknya adalah suatu yang amat menghairankan andainya dalam keadaan itu BN bersetuju memansuhkannya.

Lagi pun, bila masa BN peduli soal ketelusan dalam pelaksanan pemerintahannya atau halangan kebebasan terhadap rakyat? Malah dalam isu undi pos ini kita dapat lihat BN tidak kisah dicemuh sebagai menyalahgunakan kuasa menekan pengundi terbabit. Ia sebaliknya selesa menafikan wujudnya unsur paksaan dan kongkongan itu, walau pun ada kes membuktikan hal itu memang berlaku.

Ertinya, yang penting bagi BN hanyalah kemenangan. Apa dipedulikannya soal ketelusan proses demokrasi. Katalah apa nak kata sekali pun, termasuk melabelkannya sebagai bukan anak jantan, tidak gentleman dan seumpamanya, BN tidak kisah.

Yang dipentingkannya, asalkan kuasa politik negara kekal di tangannya. Berbekalkan kekuasaaan itu, jika pun nanti akan ada seribu satu bantahan, petisyen mahu pun memorandum, BN juga ada seribu satu muslihat melepaskan dirinya.

Mengakui betapa sukarnya parti pemerintah itu tunduk kepada apa-apa suara desakan rakyat, maka rakyat wajar digerakkan untuk bangkit dalam suasana lebih ‘luar biasa’. BN perlu diajar agar tidak terlalu memandang ringan tuntutan rakyat, terutama berhubung hak dan kebebasan mereka.

Rakyat pernah mengajar BN sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 2008 lalu menerusi Himpunan 100,000 menuntut pilihan raya yang bersih dan adil. Kini PAS sekali lagi menyatakan kesediaannya untuk mengepalai rakyat membanjiri jalan-jalan raya di ibu negara.

Baru-baru ini Mohamad selaku Pengerusi BPDM telah melaungkan tekad bahawa himpunan besar-besaran membantah undi pos bakal diadakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Demonstrasi jalan raya dicadangkan itu adalah dalam rangka memulihkan demokrasi dan menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan adil. Tidak lebih dari itu. Apakah ibu negara akan ‘banjir’ lagi?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1552, 15-18 Rejab 1431/28 Jun-1 Julai 2010 di ruangan ‘kolumnis F21’ dengan tajuk sama)

Sunday, June 27, 2010

“Apa salahnya pakai kasut buatan Gombak?”

Oleh: Mohd Nasir Awang

PAS sekali lagi dianggap bermimpi dan beromong kosong apabila mencanangkan hasrat bersama Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dari tangan Barisan Nasional (BN) lewat pilihan raya umum akan datang.

“Perwakilan (muktamar PAS) kelihatan resah apabila terus dihumban dengan keburukan parti pemerintah, kerana ramai gusar dengan kemampuan Pakatan Rakyat terutama PAS sendiri, sekiranya mereka benar-benar berjaya menguasai Putrajaya nanti,” coret wartawan sebuah akhbar tali barut BN.

Catatan itu jelas sekali untuk demoralisasi tekad para pemimpin PAS mencapai impian besar itu. Sepanjang muktamar tahunan parti itu di Kota Bharu, antara 9 hingga 13 Jun lalu, topik menawan Putrajaya dalam pilihan raya nanti tidak lekang dari menjadi bahan bicara para perwakilan.

“Ke Putrajaya, insya-Allah, kita membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kita bermimpi yang soleh,” ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Melihatkan reaksi spontan sidang muktamar petang itu yang menyahut tekad itu dengan gema takbir, kata-kata sang pemimpin itu tidak syak lagi telah menyemarakkan keyakinan anak-anak buahnya terhadap tekad parti itu. Penegasan Presiden PAS itu juga sekaligus menempelak usaha parti lawan dan anasir upahannya memperlekehkan impian besar PAS bersama PR mengambil alih pemerintaha negara nanti.

Namun di masa sama, PAS tidak akan sekadar terlena dibuai impian itu. Parti itu turut mengatur berbagai strategi dan tindakan ke arah itu. Ia bertekad mengambil kesempatan atas kebencian dan kemarahan rakyat terhadap BN.

Di masa sama, serangan propaganda BN tidak diremehkan. Apatah lagi PAS yang sudah masak dengan tendang terajang politik BN, khususnya Umno, dapat menjangka bahawa parti pemerintah itu tidak akan berdiam diri.

BN akan berusaha sedaya mungkin meyakinkan rakyat bahawa yang terbaik bagi mereka ialah untuk kekal memilih BN. Seperti lazimnya, parti itu tidak akan teragak untuk mengulangi politik cara lapuk dengan menabur persepsi kononnya negara akan mundur dan huru-hara jika diperintah parti selain BN.

Minda rakyat akan terus diasak dan dipasak dengan fahaman kurafat kononnya hanya BN mampu memerintah negara dengan baik. Hanya BN didakwa boleh menganjurkan pembangunan dan kemajuan. Hanya parti itu yang berupaya menjamin keselamatan negara dan masa depan rakyatnya.

Diakui atau tidak, kepakaran BN dalam menakluki pemikiran rakyat dengan dakyah sebegitu sebenarnya diwarisinya dari bangsa penjajah. Dengan kuasa dan kepakaran mereka, penjajah telah berjaya mengindoktrinasi pemikiran rakyat mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki.

Nilai dan persepsi utama ditanam ke dalam pemikiran rakyat ialah kehebatan mereka. Bangsa penjajah digambarkan sebagai maju, bertamadun dan jauh lebih ke depan dalam segenap aspek kehidupan berbanding penduduk tanah jajahan mereka.

Penjajah berjaya memasak pemikiran masyarakat kita sehinggakan segala yang didatang dan diwariskan Barat dilihat sebagai nilai dan cara hidup paling baik dan secocok dengan kelas dunia. Akibatnya, sebilangan orang Melayu sendiri memandang remeh soal budaya dan identiti bangsa.

Contohnya, ada yang rasa “malu” menggunakan bahasa Melayu. Pada mereka seseorang itu dianggap hebat apabila mampu mengetengahkan istilah atau ungkapan Inggeris, sama ada dalam ucapan, tulisan, ketika berdepan media atau urusan-urusan rasmi lain. Bahasa Melayu dianggap tidak setanding dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.

Pemilihan pakaian, makanan dan lain-lain keperluan hidup juga menyediakan medan sangat subur untuk penjajahan pemikiran. Apa-apa yang berjenama Barat dianggap berprestij dan berimej tinggi. Tersemat di hati rakyat kononnya hanya dengan memiliki atau menggunakan apa-apa yang bersifat Barat yang mampu menjadikan mereka berkelas dunia.

Negara kita sudah merdeka lebih 50 tahun. Usia itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk menjadikan kita sebuah negara matang dan dewasa. Maka sudah sampai masanya pemikiran rakyat juga dimerdekakan dari penjajahan itu.

BN seakan menyedari kesilapan itu. Sebab itu sejak beberapa tahun lalu, setiap kali menyambut hari kemerdekaan negara, media elektronik ada menayangkan iklan yang cuba memperbaiki persepsi negatif rakyat terhadap jatidiri bangsa merdeka.

Antaranya ialah iklan yang mengisahkan kedukaan seorang pemuda kerana hanya mampu memakai kasut buatan Gombak. Di dalam tren, beliau terpikat dengan seorang wanita Melayu yang duduk di kerusi bersebelahannya.

Fikirannya melayang dan berangan menaiki pelamin bersama wanita itu. Namun kegembiraannya terhenti apabila ia membayangkan wanita itu menjenguk ke arah kasutnya.

“Apa salahnya pakai kasut buatan Gombak?”, teriak pemuda itu, sekali gus menyedarkan ia dari lamunan indah tadi.

“Tidak salah. Kasut buatan Gombak kan bagus!”, balas wanita tadi sambil mengangkat kakinya. Dia juga memakai kasut buatan sama.

Moral cuba disemat iklan itu ialah setelah lebih 50 tahun merdeka, kita sepatutnya tidak lagi masih terbelenggu dengan jiwa kerdil kononnya hanya sesuatu yang berjenama Barat yang mampu memberikan kehidupan berkelas.

Saya kira ramai seronok dan terhibur melihat iklan itu. Kita juga sepatutnya mengambil pengajaran berguna dari iklan itu. Bahawa tidak semestinya jenama Barat yang selama ini dianggap baik dan bertaraf dunia itu tidak mampu ditandingi kehebatannya oleh jenama tempatan.

Maka apa kata kita terjemahkan dialog tadi ke dalam realiti politik di depan mata kita kini. BN sudah lama memerintah dan segala macam keburukan serta kepincangan telah terserlah di bawah kekuasaannya.

Kini cuba tanyakan, apa salahnya rakyat beri peluang kepada PAS pula menduduki Putrajaya? Harap-harap kita akan mendengar jawaban berkumandang, “tidak salah. Parti Islam itu kan jauh lebih bagus daripada BN!”

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0206, 27 Jun 2010 dengan tajuk sama)

Friday, June 25, 2010

Umno patut malu Gerakan, DAP tolak judi bola

oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampak sangat Umno sebenarnya yang lebih beriya-iya mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan sempena pesta bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung kini. Berbanding parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain yang sekurang-kurangnya mempertikaikan kewajaran pemberian lesen tersebut, para pemimpin parti Melayu itu pula hingga kini masih giat berusaha menampilkan berbagai hujah merasionalkan tindakan kerajaan itu.

Mana tidaknya jika diambilkira betapa yang memulakan cerita judi bola ini ialah seorang timbalan menteri dari Umno. Awal Mei lalu media memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein yang membayangkan kemungkinan kerajaan BN ditunjangi Umno mengeluarkan lesen judi pertaruhan itu.

Alasan utama pemimpin Umno itu sehingga tergamak berfikir menghalalkan perkara diharamkan Allah ialah kononnya kelulusan lesen judi itu mampu membendung aktiviti judi haram.

Hal itu disahkan beberapa hari kemudiannya oleh seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chor Chee Heung. Katanya, kementeriannya telah pun memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Chee Heung turut mengutarakan hujah serupa dengan Awang Adek. Bahawa alasan utama kerajaan menimbangkan permohonan syarikat itu ialah agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa.

Hujah itu sudah terlalu kerap kita dengar. Ia bukan sahaja diucap pemimpin bukan Islam yang tidak tertakluk kepada soal halal dan haram, tetapi turut pernah dicanang seorang bekas pemimpin kanan Umno berkelulusan pengajian Islam dari Timur Tengah.

Suatu ketika apabila terpinga-pinga diserang wakil rakyat PAS dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) berhubung kelulusan lesen judi oleh kerajaan BN dipimpinnya, pemimpin itu lantas mengajukan perumpamaan. Beliau mengibaratkan kepentingan mewujudkan premis judi adalah seumpama kepentingan mengadakan tandas.

“Setiap orang akan buang air. Maka bagi mengelakkan orang buang air merata tempat, kita perlu menyediakan tandas. Maka begitulah juga dengan kedai judi. Kita cadang tempat judi berlesen supaya orang tidak berjudi secara haram merata tempat,” begitulah hujah loyar buruk ustaz Umno itu.

Walau pun menyedari hujah itu bunyinya semacam datang dari seorang yang tidak bersekolah, Umno tetap menjulang rasional itu. Sebab itu sejak dulu hingga kini hujah memberi lesen judi untuk membendung judi haram masih digunapakainya.

Namun Umno tahu rakyat sukar menerima hujah itu. Ia bersalahan dengan realiti. Sudah sekian lama kerajaan berpegang kepada alasan itu, namun sindiket judi haram tidak juga berjaya dihapuskan. Setiap kali polis berjaya membanteras sindiket judi haram, ia ibarat satu tertumpas, sepuluh bertunas.

Ertinya sudah terbukti menghalalkan perjudian (pemberian lesen) bukan penyelesaian terbaik membendung aktiviti perjudian haram. Semua pihak akui hakikat itu. Umno juga sedar rakyat semakin mempersoalkan tindakannya terus berpegang kepada rasional tadi.

Bagaimana pun pemimpin parti itu tetap berdegil mempertahankan tindakan kerajaannya menghalalkan dosa besar itu. Lalu mereka tampil dengan berbagai hujah bodoh. Mereka mendakwa pihak yang membantah lesen judi itu sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Setelah kehabisan hujah, Umno kini menyandarkan pula tindakan haram itu kononnya atas dasar meraikan kehendak orang bukan Islam. Akhbar kroni BN pada Ahad (20 Jun) lalu memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa langkah kerajaan memberikan lesen judi kepada Ascott Sports Sdn Bhd adalah bagi menghormati hak masyarakat bukan Islam di negara ini.

Beliau mendakwa amalan bertaruh adalah sebahagian daripada cara hidup masyarakat bukan Islam. Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak, bukan kepentingan masyarakat Islam sahaja.

Jika benar langkah BN itu demi menjaga kepentingan semua kaum, ia suatu yang wajar dialu-alukan. Bagaimana pun, persoalannya betulkah amalan bertaruh itu cara hidup orang bukan Islam, sepertimana didakwa Nazri itu?

Dakwaan itu agak janggal apabila kita dapati para pemimpin parti berasaskan kaum Cina sendiri tidak sebegitu lantang mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan itu berbanding Umno.

Kita tahu pemimpin DAP yang memerintah Pulau Pinang secara terbuka mengumumkan kerajaannya tidak akan meluluskan lesen judi bola.

Laporan akhbar Ahad lalu juga memetik ulasan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berhubung isu sama.

Berbeza dengan Nazri, Presiden Gerakan itu dilaporkan amat mengalu-alukan keputusan kerajaan menangguhkan pemberian lesen judi itu. Meski pun Nazri kononnya meraikan masyarakat bukan Islam, Tsu Koon sebaliknya menegaskan kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup, termasuk masalah moral dan sosial, kepada sesiapa yang terlibat.

“Selama ini, Gerakan mengambil pendirian menentang promosi pertaruhan dan perjudian kerana kita adalah para penganut agama-agama terhebat di dunia,” kata Tsu Koon lagi.

Ya Allah, tak malunya muka orang-orang Umno yang mengaku Islam tetapi menyokong lesen judi ini!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1551, 25 Jun 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Umno patut malu Gerakan, DAP tolak judi bola



Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

NAMPAK sangat Umno sebenarnya yang lebih beriya-iya mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan sempena pesta bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung. Berbanding parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain yang sekurang-kurangnya mempertikaikan kewajaran pemberian lesen tersebut, para pemimpin parti Melayu itu pula hingga kini masih giat berusaha menampilkan pelbagai hujah merasionalkan tindakan kerajaan itu.

Mana tidaknya jika diambil kira betapa yang memulakan cerita judi bola ini ialah seorang timbalan menteri daripada Umno. Awal Mei lalu media memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr. Awang Adek Hussein yang membayangkan kemungkinan kerajaan BN ditunjangi Umno mengeluarkan lesen judi pertaruhan itu.

Alasan utama pemimpin Umno itu sehingga tergamak berfikir menghalalkan perkara diharamkan Allah itu ialah kononnya kelulusan lesen judi itu mampu membendung aktiviti judi haram.

Hal itu disahkan beberapa hari kemudiannya oleh seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chor Chee Heung. Katanya, kementeriannya telah pun memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Chee Heung turut mengutarakan hujah serupa dengan Awang Adek. Bahawa alasan utama kerajaan menimbangkan permohonan syarikat itu ialah agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa.

Hujah itu sudah terlalu kerap kita dengar. Ia bukan sahaja diucap pemimpin bukan Islam yang tidak tertakluk kepada soal halal dan haram, tetapi turut pernah dicanang seorang bekas pemimpin kanan Umno berkelulusan Pengajian Islam dari Timur Tengah.

Suatu ketika apabila terpinga-pinga diserang wakil rakyat PAS dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) berhubung kelulusan lesen judi oleh kerajaan BN dipimpinnya, pemimpin itu lantas mengajukan perumpamaan. Beliau mengibaratkan kepentingan mewujudkan premis judi adalah seumpama kepentingan mengadakan tandas.

“Setiap orang akan buang air. Maka bagi mengelakkan orang buang air merata tempat, kita perlu menyediakan tandas. Maka begitulah juga dengan kedai judi. Kita cadang tempat judi berlesen supaya orang tidak berjudi secara haram merata tempat”, begitulah hujah loyar buruk ustaz Umno itu.

Walau pun menyedari hujah itu bunyinya semacam datang daripada seorang yang tidak bersekolah, Umno tetap menjulang rasional itu. Sebab itu sejak dulu hingga kini hujah memberi lesen judi untuk membendung judi haram masih digunapakainya.

Namun Umno tahu rakyat sukar menerima hujah itu. Ia bersalahan dengan realiti. Sudah sekian lama kerajaan berpegang kepada alasan itu, namun sindiket judi haram tidak juga berjaya dihapuskan. Setiap kali polis berjaya membanteras sindiket judi haram, ia ibarat ‘satu tertumpas, 10 bertunas’.

Ertinya, sudah terbukti menghalalkan perjudian (pemberian lesen) bukan penyelesaian terbaik membendung aktiviti perjudian haram. Semua pihak akui hakikat itu, Umno juga sedar rakyat semakin mempersoalkan tindakannya terus berpegang kepada  rasional tadi.

Bagaimana pun pemimpin parti itu tetap berdegil mempertahankan tindakan kerajaannya menghalalkan dosa besar itu. Lalu mereka tampil dengan pelbagai hujah bodoh. Mereka mendakwa pihak yang membantah lesen judi itu sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Setelah kehabisan hujah, Umno kini menyandarkan pula tindakan haram itu kononnya atas dasar meraikan kehendak orang bukan Islam. Akhbar kroni BN pada Ahad (20 Jun) lalu memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa langkah kerajaan memberikan lesen judi kepada Ascott Sports Sdn Bhd adalah bagi menghormati hak masyarakat bukan Islam di negara ini.

Beliau mendakwa amalan bertaruh adalah sebahagian daripada cara hidup masyarakat bukan Islam. Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak, bukan kepentingan masyarakat Islam sahaja.

Jika benar langkah BN itu demi menjaga kepentingan semua kaum, ia sesuatu yang wajar dialu-alukan. Bagaimana pun, persoalannya betulkah amalan bertaruh itu cara hidup orang bukan Islam, seperti mana didakwa Nazri itu?

Dakwaan itu agak janggal apabila kita dapati para pemimpin parti berasaskan kaum Cina sendiri tidak sebegitu lantang mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan itu berbanding Umno.

Kita tahu pemimpin DAP yang memerintah Pulau Pinang secara terbuka mengumumkan kerajaannya tidak akan meluluskan lesen judi bola.

Laporan akhbar Ahad lalu juga memetik ulasan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berhubung isu sama. Berbeza dengan Nazri, Presiden Gerakan itu dilaporkan amat mengalu-alukan keputusan kerajaan menangguhkan pemberian lesen judi itu.

Meski pun Nazri kononnya meraikan masyarakat bukan Islam, Tsu Koon sebaliknya menegaskan kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup, termasuk masalah moral dan sosial kepada sesiapa yang terlibat.

“Selama ini Gerakan mengambil pendirian menentang promosi pertaruhan dan perjudian kerana kita adalah para penganut agama-agama terhebat di dunia”, kata Tsu Koon lagi.

Ya Allah, tak malunya muka orang-orang Umno yang mengaku Islam tetapi menyokong lesen judi ini!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1551, 25-27 Jun 2010 di halaman EDITORIAL dengan tajuk sama)

Monday, June 21, 2010

Kes Alor Limbat bukti Umno Terengganu masih bergolak

oleh: Mat Zain Mat Isa

Jika ada mana-mana pihak menganggap ketiadaan isu dan cerita panas mengenai pergeseran dalaman Umno Terengganu mutakhir ini membuktikan parti itu telah berjaya mendamaikan puak-puak bertelagah di dalamnya, ia memang satu andaian amat silap.

Tepat sepertimana sering disebut orang, perbalahan dalaman Umno memang boleh diibaratkan seumpama api dalam sekam. Meski pun zahirnya kelihatan tenang dan selamat, hakikat sebenar di bawah timbunan hampas padi itu tidak seindah tergambar pada zahirnya.

Sepertimana tabiat api dalam sekam yang sentiasa membahang, bara permusuhan para pemimpin Umno juga begitu. Dendam dan kebencian antara mereka sentiasa menyala dan hanya menunggu “cuaca” bersesuaian untuk kembali marak.

Bagi yang memahami dan meyakini tabiat semulajadi parti yang gemar bertelagah itu, sebarang berita mengenai perbalahan dalamannya, meski pun terzahir secara tiba-tiba, bukan lagi suatu yang menghairankan. Sebab itu apabila sebuah akhbar tempatan Terengganu pada Khamis (17 Jun) tidak semena-mena menjadikan berita pertembungan antara para pemimpin cawangan Umno di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan wakil rakyat parti mereka sendiri, ia sedikit pun tidak mengejutkan.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah, sebagai mendakwa ada pihak tertentu cuba menjanjikan projek bernilai puluhan juta ringgit kepada mana-mana pihak yang berjaya menjatuhkannya.

Menurutnya, ekoran tawaran itulah wujudnya kumpulan melibatkan sebilangan ketua cawangan di kawasannya menzahirkan penentangan terhadap beliau.

Alias mengulas tindakan lebih 40 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Dun diwakilinya yang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Selasa lalu.

Difahamkan memorandum itu bertujuan mendesak Alias melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Penyelaras Dun Alor Limbat. Para pemimpin Umno terbabit mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Cerita pertembungan dan pergeseran dua pihak di dalam Umno Marang, khususnya di Dun Alor Limbat, bukan lagi dongengan atau sesuatu yang boleh dianggap sebagai rekaan parti lawan. Ia ibarat bangkai gajah yang mudah dilihat batang tubuhnya atau dihidu baunya dari jarak yang jauh.

Kekeruhan hubungan antara Adun itu dan pemimpin bawahannya sebenarnya sudah terhasil sejak sekian lama. Kemuncak pertembungan itu ialah pada 2007 lalu apabila ada cawangan di dalam Dun berkenaan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Alias.

Umno Cawangan Padang Midin pernah memutuskan usul berkenaan dalam mesyuarat cawangan berkenaan pada 28 Mei 2007. Dikatakan tiga daripada lima usul tersebut berkaitan hilang kepercayaan terhadap Adun berkenaan.

Pihak cawangan itu mendakwa pertikaian antara mereka dengan waki rakyat itu berpunca daripada tindakan Adun berkenaan yang tidak mematuhi undang-undang parti dan tidak melaksanakan arahan parti. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan dakwaan tersebut.

Bagaimana pun, di antara desas-desus diperkatakan ketika itu, Adun berkenaan didakwa membatalkan pemilihan jawatankuasa Peti Undi Umno Padang Midin yang diarah diadakan oleh Umno Bahagian Marang pada 2006.

Alias juga didakwa menolak senarai calon anggota JKKK kampung berkenaan bagi sesi 2006/07 sepertimana diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Umno cawangan. Perselisihan itu dikatakan merebak kepada fitnah-memfitnah sesama mereka. Perpecahan tambah ketara apaila wujud suasana saling pulau-memulau program yang masing-masing adakan.

Ketika telah pun kedengaran cubaan melunakkan pergeseran itu. Didakwa kononnya pertikaian dihebahkan itu sengaja dicipta pihak yang berseteru dengan Adun berkenaan. Sehingga dikatakan seorang pemimpin kanan bahagian tersebut adalah pemain utama di belakang seluruh episod itu.

Beliau dikatakan sangat terliur untuk bertanding di Dun berkenaan. Lalu didakwa bertanggungjawab merancang dan mengadakan pelbagai strategi bagi menjatuhkan Alias termasuk memberi gambaran negatif betapa Adun berkenaan tidak disenangi para pemimpin bawahan Umno dan wajar ditukar.

Andaian itu seakan terbukti apabila kemuncak bantahan kumpulan penentang itu ialah desakan agar Presiden Umno menolak Alias sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008.

Di dalam hujah mengiringi usul berkenaan, jurucakap cawangan tersebut menegaskan, “biarlah kita korbankan seorang wakil rakyat, asalkan rakyat sekampung hidup harmoni dan berpadu”.

Usul itu secara jelas menerangkan maksud perjuangan mereka, iaitu agar Umno-BN menggantikan Alias dengan calon yang mereka senangi. Ia bagaimana pun tidak diterima pucuk pimpinan Umno. Alias dipilih bertanding semula dan beliau masih mampu mempertahankan kemenangannya. Pada 2004, BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PAS.

Dalam usaha PAS Terengganu mencanangkan hasrat menawan semula negeri itu, Dun Alor Limbat sentiasa berada di pertengahan senarai 17 atau 18 kerusi yang mesti dimenangi PAS.

Sama ada Alias akan kekal mewakili BN nanti atau PAS berjaya merampas semula kerusi Dun tersebut, seperkara yang pasti, kes Alor Limbat membuktikan pergolakan dalaman Umno Terengganu tidak pernah padam.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1550, 21 Jun 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)