Thursday, April 11, 2013

Dia bukan sebarangan ibu...


Oleh: Mohd Nasir Awang

BARU-baru ini berlangsung cuti penggal persekolahan. Di negara kita, malah mungkin di seluruh dunia, cuti persekolahan atau pengajian agak sinonim dengan trip percutian. Kesempatan musim cuti kerap dimanfaatkan sebaiknya oleh orang kita. Ketika itulah ada yang langsungkan kenduri-kendara, ada yang tunaikan hasrat melancong ke destinasi impian. Tidak kurang juga yang ambil kesempatan menjengah kampung halaman.

Bagi seorang yang banyak menghabiskan masa di kejauhan, tentu banyak perkara mengenai kaum keluarga dan rakan-taulan serta perkembangan hal ehwal kampung yang kita agak ketinggalan. Kesempatan bersua dengan sahabat-handai tentu sekali disarati dengan “pengkisahan semula” oleh mereka mengenai itu dan ini, terutama berkaitan hal ehwal kampung dan warganya.

Selain perkhabaran ada kawan yang ‘berhijrah’ dan ada yang terus berjerih-pahit di kampung, cerita yang agak tidak ketinggalan dilaporkan teman-teman ialah senarai kematian, sama ada melibatkan sanak-saudara, rakan-taulan, jiran-tetangga mahu pun sekadar orang sekampung.

Salah seorang di antara mereka yang dijemput pulang ke rahmatullah baru-baru ini ialah seorang yang kami panggil Kak Mashitah. Maklumat dari seorang teman kemudiannya mengatakan nama penuhnya Mashitah bte Abdullah, berumur di awal 50-an. Dia dikhabarkan meninggal dalam satu kemalangan dekat Gerik, Perak.

Tidak ada apa-apa hubungan atau kepentingan agak istimewa antara Allahyarhamah dengan kami, selain jiran sekampung. Namun, ada sesuatu di sebalik cerita kematiannya yang menyentap hati saya. Kata teman saya itu, turut terkorban dalam kereta yang sama ialah “emak Catriona Ross”.

Ya Rabbi, hati saya terus berdetup. Bukan setakat wajah artis kacukan itu yang segera terlintas di benak, tetapi lebih saya ingati ialah cerita panjang lebar Cat mengenai kebaikan dan kemuliaan ibunya itu. Betulkah yang meninggal itu Puan Siti Zawiah Abdul Rahman, yang sangat dikagumi dan disanjungi serta dijadikan idola hidup anak perempuannya sendiri?

Menurut rakan tadi, cerita kemalangan itu memang tersebar luas. “Siap masuk suratkhabar lagi”, katanya. Hanya saya yang sangat ketinggalan mengenai kejadian itu. Sekadar mengesahkan, saya menghubungi Cat.

“Ya, dialah ibu saya. Alhamdulillah, saya redha dan dapat menerima ketentuan takdir ini,” sayu suara Cat di hujung talian, mengesahkan kejadian itu.

Saya kira selang masa antara pertengahan Februari (tarikh kemalangan) dengan hujung Mac (tarikh dihubungi) sudah lebih dari cukup untuk Cat “menerima hakikat” kehilangan orang paling disayanginya itu.

Ya, memang saya pernah mengadakan wawancara eksklusif bersama Cat, sekitar Februari 2012 lalu. Ia termuat dalam majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah, Edisi 4 yang terbit April 2012.

Demi Allah, biar pun saya tidak mengenali dan tidak pernah bersua walau sekali pun dengan Puan Siti Zawiah ini, gambaran dituturkan anaknya sendiri, Cat, sangat mengagumkan. Sebagai tatapan pembaca, saya perturunkan kembali sebahagian catatan yang merakam sanjungan Cat terhadap ibunya itu:

“Beliau yang sangat mengagumi ibunya sempat mengimbau kembali pesanan orang paling disayanginya itu tatkala beliau mula-mula berjinak dengan dunia lakonan dulu. Masih segar dalam ingatannya bagaimana ibunya, Puan Siti Zawiah Abdul Rahman memberikan syarat sangat ketat untuknya memasuki dunia hiburan.

Dalam loghat Kelantan, Cat mengulangi kata-kata ibunya, “kalu lah ada sekali tubik dalam suratkobar, ada apa-apa kontroversi dengan budak jatae, ada apa-apa hal buat malu ke keluarga, jangan kelik kampung. Nih! (sambil mengangkat jari).. dia tunjuk kepada saya... Nih! Bukan anak aku...”

Disebabkan selalu berpegang kepada pesanan itulah, kata Cat, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, alhamdulillah beliau tidak dilanda sebarang gossip yang buruk.

Cat dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, pada 2 September 1980 sebagai Catriona Noorhayati Ross binti Bahrin Ross. Ibunya adalah anak watan ibu negeri Serambi Mekah itu, manakala ayahnya berasal dari Scotland. Mereka ditakdirkan bertemu ketika Siti Zawiah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di United Kingdom.

Cerita keupayaan ibunya menarik minat Brian Ross (nama asal bapanya) yang tidak pernah kenal Islam untuk masuk Islam, seterusnya membimbing beliau menghayati ajaran agama, adalah suatu yang amat dikagumi Cat. Hingga kini beliau menganggap apa yang dicapai ibunya itu bukan suatu yang mudah dan wajar diberikan pujian.

“Ibu ni orang yang strick tentang agama. Masa tu lah dia jumpa somebody yang tidak Islam dan boleh (buat dia) jadi muallaf. Jadi daripada dulu lagi pun, daripada kecik lagi saya rasa ibu ni memang somebody strong, sebab dia wanita tapi dia membimbing seorang lelaki dalam agama kan? Lelaki yang tidak pernah kenal Islam masa tu...”

So, daripada kecik lagi saya memang tahu (kisah itu) dan respect pada ibu ni, sebab saya rasa kerja dakwah ibu berlaku daripada usia dia yang awal itu, sebab dia kahwin dulu umur 23”, cerita Cat, membanggai peranan ibunya.

Di bawah asuhdidik dan belaian kasih insan mulia lagi berprinsip itulah Cat dibesarkan.”

Sebagai orang Islam, kita diajar supaya menyebut kebaikan dan kemuliaan orang yang sudah mati. Lebih-lebih lagi dalam kes Allahyarhamah Puan Siti Zawiah ini, ternyata beliau bukan sebarangan ibu. Keluhuran peribadi, kemampuannya menarik minat seorang bukan Islam terhadap Islam dan kejayaannya mengasuhdidik anak untuk taat kepada agama sudah terbukti.

Pada usia 63 tahun, beliau dijemput “pulang” ketika dalam perjalanan menyampaikan sumbangan derma untuk sebuah sekolah agama di Merbok, Kedah. Kak Mashitah yang turut terkorban bersamanya adalah rakan niaganya dalam satu jenama produk halal.

Sekalung doa kerahmatan buat roh mereka di sana. Al-Fatihah!

Gambar hiasan: Kulit depan majalah Dian Edisi 4 memuatkan wawancara eksklusif dengan Catriona Ross.

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Catatan Ketua Pengarang', majalah Era Muslimah, Edisi 14, yang terbit awal April 2013)

Suntikan semangat, cabaran dari kegemilangan silam


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, yang dengan nikmat-Nya jua dapat disempurnakan kerja-kerja yang baik, seumpama menghasilkan bahan bacaan sebegini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pihak kami alhamdulillah mendapat banyak maklumbalas daripada khalayak pembaca dan peminat di luar sana. Keseluruhan mereka menyambut baik kehadiran kami di celah-celah lambakan bahan bercetak, biar pun dengan nada yang agak kecewa terhadap tahap promosi majalah kami ini. Semoga komen-komen membina sebegitu akan menjadi pendorong kepada kami mempergiatkan lagi tahap promosi dan pemasaran, sekira-kira nantikan tidak akan ada peminat yang masih sukar mendapatkannya di pasaran, insya Allah.

Selain kelemahan itu, turut dibangkitkan ialah sejarah kewujudan majalah ini. Beberapa individu yang menghubungi kami malah turut berkongsi ‘luahan’ hampir sama – mengimbau kegemilangan majalah Dian Daiges, terutama di dekad-dekad 60-an hingga 80-an dulu.

Terimakasih kepada Encik Hassan Said dari Tanjung Malim, Perak yang melontarkan harapan sangat tinggi agar “Dian generasi baru” ini dapat menyamai, kalau pun tidak dapat mengatasi kegemilangan Dian Daiges dulu. Beliau merupakan peminat setia Dian “generasi dulu” dan masih memiliki koleksi daiges itu sejak keluaran terawalnya.

Cuma beliau agak terkilan kerana baru menyedari kehadiran kami di pasaran. Justeru, agar tidak ketinggalan menelaah isi kandungannya, beliau berhasrat mendapatkan koleksi penuh majalah ini sedari edisi pertamanya.

Turut meluahkan hasrat sama ialah Tuan Haji Zahari Mohamad dari Jabi, Terengganu. Beliau merupakan pelanggan Dian Daiges selama lebih tujuh tahun, sejak edisi bertulisan Jawi. Seluruh naskhah itu dijilid seeloknya, sebelum musnah diratah anai-anai. Kini, selain berhasrat mendapatkan keseluruhan edisi majalah “Dian era baru” ini, beliau juga mengharapkan kami melonjak ke puncak kegemilangan sepertimana pendahulu kami itu.

Sebelum ini kami telah memetik komen-komen serupa dari beberapa pihak. Kesemua harapan dan doa itu, selain menjadi suntikan semangat buat kami meneruskan usaha murni ini, turut kami anggap sebagai cabaran. Bahawa kegemilangan pendahulu kami itu selayaknya dijadikan penanda aras tahap kejayaan yang perlu kami capai.

Semoga Allah bersama pencinta dan pendukung medan penyebaran ilmu-ilmu Islam ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini mengisi ruangan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 13, diterbitkan awal April 2013)