Wednesday, September 15, 1999

Sampai Menghina Bangsa Sendiri

Oleh: Mohd Nasir Awang

BANYAK tindakan dan fikiran Dr. Mahathir menjadi bahan pertikaian semua pihak. Baik ia membabitkan ekonomi, agama, politik dan lain-lain, tindakannya seringkali menyulitkan pihak lain. Ia memanaskan orang dalam negeri dan merimaskan orang luar negara. Unsur kontroversi sentiasa ada di setiap tindakan dan ucapannya, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi hinggalah sekarang.

Pemikiran kritis Mahathir terhadap orang lain, termasuk terhadap bangsa Melayu dan Umno sendiri diluahkannya secara berani lewat bukunya The Malay Dilemma pada tahun 1970. Buku tersebut nyata memanaskan politik dalaman Umno sehinggakan diharamkan dan dilarang dari diedar dan dibaca di Malaysia di bawah tiga Perdana Menteri atau selama sebelas tahun sebelum pengharaman itu ditarik balik.

Orang yang bertanggungjawab mengharamkan buku tersebut ialah Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Menteri Dalam Negeri ketika Tunku dan Tun Abdul Razak Hussein menjadi PM.  Dr. Ismail adalah seorang tokoh Umno yang terkenal tegas dan tidak banyak dipertikaikan sikap dan tindakannya. Justeru itu, tidak munasabah Dr. Ismail mengambil sikap berpura-pura bila beliau mengharamkan buku itu. 

Allahyarham Syed Jaafar Albar, satu-satunya tokoh Umno yang digelar ‘Singa Umno’ menyifatkan The Malay Dilemma tidak wajar dikarang oleh seorang ahli Umno dan tidak mungkin seorang ahli Umno dapat melaksanakan segala saranan yang terkandung di dalamnya. Kiranya Mahathir berhasrat merealisasikan saranan buku tersebut, maka bagi Syed Jaafar, Mahathir tidak wajar berada dalam Umno. Dia mestilah berada di luar Umno.

Tema umum dalam buku itu menggambarkan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang lemah, manja dan tidak berdaya maju. Sifat-sifat itu menyebabkan orang-orang Melayu ketinggalan dalam berbagai aspek kehidupan, berbanding orang-orang Cina. Di atas kebimbangan orang-orang Melayu akan terus ditenggelami oleh lautan orang-orang Cina itulah, Mahathir mendakwa: “Umno came into being because of  the Malay fear of losing out to the Chinese.”

Pandangan Mahathir itu mengandungi satu kenyataan adanya kebimbangan orang-orang Melayu terhadap kehadiran orang Cina yang begitu ramai sebelum merdeka. Maka ia seolah-olah mahu menyampaikan maksud betapa pentadbiran Tunku gagal mengatasi kebimbangan tadi sekali pun telah beroleh kekuasaan sejak tahun 1955 dan setelah merdeka sejak tahun 1957.

Mungkin Razak dan Hussein Onn banyak mewarisi pentadbiran dan sistem yang ditinggalkan oleh Tunku, tetapi Mahathir yang mengarang The Malay Dilemma berpeluang menentukan arus politik negara sebagai Timbalan Perdana Menteri dari tahun 1975 dan sebagai Perdana Menteri sejak tahun 1981. Bagaimanapun, beliau sendiri juga tidak menunjukkan apa-apa perbezaan dan perubahan khususnya dalam hal-hal yang dikritiknya dalam buku tersebut.

Nasib bangsa Melayu tidak boleh dikatakan lebih terbela di zaman pemerintahan Mahathir. Penguasaan ekonomi negara tetap berlegar di kalangan kaum Cina. Bahkan, beberapa kenyataan hidup menyerlahkan telah berlaku hakisan yang kuat terhadap peranan dan pegangan kuasa bangsa Melayu dalam pemerintahan negara.

Mahathir gagal mempertahankan ketuanan politik Melayu apabila kekuatan ahli politik Melayu dalam Parlimen terus merosot. Puluhan kawasan pilihan raya yang bermajoritikan pengundi Melayu di peringkat Parlimen dan negeri-negeri digadaikan kepada kerabat BN bukan Melayu. Tanah Rizab Melayu semakin terhakis. Kedaulatan Raja-Raja Melayu sudah tercabar. Bahasa Melayu sebagai media komunikasi dilayan sebagai satu bahasa yang tidak mempunyai nilai komersial.

Barangkali satu-satunya impian Mahathir yang hampir disempurnakan ialah soal Hak Istimewa Orang-orang Melayu. Pernah di pertengahan tahun 60-an dulu, berlaku perdebatan antara beliau dengan Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Hulu, Abdul Samad Gul Ahmad Mianji tentang Hak Istimewa Orang-orang Melayu. Sehingga Mahathir menyebut bahawa beliau menentang usaha yang dibawa oleh PAS untuk memasukkan jaminan perlindungan terhadap Hak Istimewa Orang-orang Melayu di dalam Perlembagaan. Bahkan, Mahathir berpendapat bahawa sampai satu masa nanti seharusnya Hak Istimewa Orang-orang Melayu mesti dihapuskan.

Perlakuan-perlakuan tidak bertanggungjawab Mahathir dan Umno terhadap bangsa Melayu yang menjadi teras perjuangan parti itu menyebabkan semakin ramai orang Melayu hilang kepercayaan terhadap parti itu. Mahathir dan Umno dianggap sudah tidak relevan lagi dengan perjuangan membela nasib bangsanya sendiri.

Dalam suasana kemarahan masyarakat Melayu terhadap Umno pada hari ini, pengundi Cina dianggap sebagai ‘penyelamat’ utama Mahathir dan BN. Menurut kebanyakan penganalisis politik negara, dari segi sejarahnya 40 peratus pengundi Cina biasanya akan mengundi pembangkang, 30 peratus akan tetap bersama parti pemerintah, manakala 30 peratus selebihnya adalah pengundi atas pagar.

Mahathir yang sudah begitu kecewa dengan para pengundi Melayu dikatakan menumpukan perhatiannya kepada merayu sokongan para pengundi bukan Melayu, terutamanya Cina. Salah satu pendekatan yang diterapkan ialah menyerang dan memperkecilkan masyarakat Melayu – dari para siswa hingga ulamak, dari para pengundi hingga para profesornya. Di masa yang sama, memuji-muji pencapaian dan keistimewaan kaum Cina.

Beberapa pentafsiran Mahathir berhubung kelemahan dan kemunduran mahasiswa Melayu berbanding rakan berbangsa Cina benar-benar menyinggung perasaan mereka. Mahathir menyatakan tabiat mahasiswa Melayu yang banyak berpolitik dan berdemonstrasi menjadi punca kemunduran prestasi akademik mereka. Lebih dari itu, bangsa Melayu digambarkan sebagai bangsa yang malas dan bodoh.

Dakwaan itu disangkal oleh berbagai pertubuhan mahasiswa. Antaranya ialah Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis). Menurut Gamis, hakikatnya hanya 10 hingga 20 peratus mahasiswa di sesebuah universiti itu yang agak aktif berpesatuan. Dari jumlah sekecil itulah lahirnya mereka yang aktif serta peka dengan perkembangan politik luar. Mereka yang selebihnya, lebih banyak terpesong kepada gejala kurang sihat yang ditaja oleh kerajaan sendiri.

Gamis turut menyenaraikan faktor-faktor utama yang menyebabkan kemunduran mahasiswa Melayu. Antaranya ialah dasar dan sistem pendidikan yang tidak konsisten. Perubahan dasar dan sistem pendidikan beberapa kali, dari tiga tahun kepada empat tahun, kemudian kepada tiga tahun semula menyebabkan kekalutan berlaku di kalangan mahasiswa sehingga tidak dapat menguasai sepenuhnya sistem baru itu.

Faktor ekonomi keluarga dan diri yang tidak mantap juga menjadi penyebab. Tinjauan yang dibuat oleh Gamis di kalangan mahasiswa mendapati hampir 30 peratus antara mereka terpaksa bekerja semasa belajar demi menampung kehidupan di universiti. Ini mengakibatkan tumpuan mereka kepada pelajaran terganggu. Kedua-dua faktor tersebut, bagi Gamis, terhasil daripada kelemahan pentadbiran pendidikan dan kepincangan pengurusan ekonomi kerajaan BN.

Golongan cerdik pandai Melayu turut terpanggil menyatakan bantahan mereka. Seramai 150 tenaga akademik yang terdiri daripada profesor, profesor madya serta pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan perhimpunan khas pada 21 Julai lalu. Di situ mereka mengeluarkan satu deklarasi bersama bagi menjawab siri penghinaan yang bertalu-talu yang dibuat oleh Mahathir terhadap pelajar dan bangsa Melayu.

Pada 29 Julai, Mahathir sekali lagi menghina orang-orang Melayu. Kali ini golongan profesional Melayu menjadi sasarannya. Mahathir berkata orang Melayu tidak mungkin mendapat jawatan tinggi jika kriteria merit digunakan untuk menilai mereka. Jika ujian-ujian diadakan untuk menentukan kelayakan golongan bumiputera, kata Mahathir, hanya segelintir kecil yang akan lulus. Ramai pensyarah dan profesor Melayu dikatakan mendapat kedudukan kerana polisi kerajaan, bukan kerana kebolehan mereka.

“Saya kecewa dengan mereka yang nampaknya melupai kenyataan bahawa tanpa bantuan (kerajaan), mereka (profesional Melayu) barangkali tidak berada di tempat mereka sekarang”, kata Mahathir.

Kenyataan itu meledakkan lagi kemarahan orang-orang Melayu terhadap Mahathir dan Umno. Habis segenap lapisan dalam masyarakat Melayu dihinanya – mahasiswa, profesional, dan sebelum itu para pengundi Melayu. Pada 17 Julai lalu, semasa berucap di Perhimpunan Tahunan MCA, Mahathir menyerang para pengundi Melayu ‘kununnya’ mengikut emosi tidak seperti pengundi Cina yang katanya lebih ‘pragmatik’.

Pengundi Cina dipuji kerana amat menghargai kestabilan yang dijamin oleh kerajaan BN, takut akan huru-hara yang mungkin dicetuskan oleh kemenangan pihak alternatif dan yang terpenting sekali ialah tidak bersedianya mereka menerima sebuah kerajaan alternatif yang akan dipimpin dan didominasi oleh PAS yang akan mendirikan “Negara Islam” yang akan menindas kaum Cina di negara ini.

Secara logiknya, memanglah dalam keadaan tidak menentu ini kebanyakan pengundi Cina akan berdiri teguh di belakang Mahathir. Antara faktor terpenting ialah fear element yang begitu tinggi di kalangan mereka. Ia berlandaskan kepada fahaman bahawa ketidakstabilan politik akan membawa kepada rusuhan kaum sepertimana yang telah berlaku kepada etnik Cina di Indonesia.

Fear element yang wujud itu dimanipulasi sepenuhnya oleh Mahathir. Beliau secara terus-terang membayangkan Tragedi 13 Mei 1969 akan berulang sekiranya BN gagal memperolehi kuasa majoriti dua-pertiga melalui pilihan raya umum akan datang. “Kerajaan BN yang lemah akibatnya akan tercetus huru-hara dan rusuhan kaum,” katanya.

Kenyataan dan tindakan Mahathir itu jelas menggambarkan diri beliau sebagai seorang desperado politik. Baginya, matlamat untuk mengekalkan kuasa dirinya dan partinya mengatasi segala kepentingan yang lain. By hook or by crook, kuasa pemerintahan mesti dipulangkan ke tangan BN dengan mandat majoriti dua-pertiga. Mahathir mahu dirinya dinobatkan semula sebagai Perdana Menteri selapas pilihan raya akan datang.

Dengan tindakannya itu, Mahathir jelas sekali telah mengambil Niccolo Machiavelli sebagai gurunya. Kiranya dengan mempertikaikan keupayaan profesor dan kepintaran mahasiswa Melayu boleh menyenangkan kaum lain, menurut ajaran Machiavelli, ia mesti dibuat.  Kiranya dengan memperbodohkan para pengundi Melayu dan merendah-rendahkan martabat ulamak mampu menambat hati kaum lain, ia juga mesti dilakukan. Matlamat menghalalkan cara, sekali pun menghina bangsa sendiri!

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Detik, 15 September 1999 dengan tajuk sama)