Wednesday, August 16, 2006

Cuti bersalin 3 bulan legasi PAS Terengganu


oleh: MAT ZAIN MAT ISA


KERAJAAN sudah hampir pasti bakal melanjutkan tempoh cuti bersalin bgai kakitangan wanita sektor awam daripada 60 hari kepada 84 hari. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil memberitahu media 26 Julai lalu bahawa cadangan itu mendapat reaksi positif Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Isu melanjutkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 12 minggu tercetus Julai 2005 apabila Shahrizat membangkitkan soal semakin ramai kakitangan wanita sektor awam memilih meletak jawatan selepas melahirkan anak. Shahrizat berkata, alasan utama mereka ialah bagi menumpukan lebih masa kepada keluarga. Kecenderungan itu, menurutnya, amat merugikan negara.

“Kita tidak mahu disebabkan tempoh cuti bersalin yang pendek (60 hari), maka mereka (pekerja wanita) berhenti kerja kerana kesihatan serta tubuh badan belum bersedia untuk kembali bertugas”, kata Shahrizat.

Kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati ramai pekerja wanita menamatkan perkhidmatan selepas melahirkan anak pertama. Fenomena itu turut melanda Malaysia.

Cuti bersalin di negara ini pada asalnya hanya 40 hari. Tempoh itu diubah kepada 60 hari selepas PAS memerintah Kelantan pada 1990. Pada awal pelaksanaan dasar baru itu, kerajaan Kelantan dikritik hebat para pemimpin BN. Namun, atas desakan pelbagai pihak, terutama kesatuan sekerja dan penjawat awam, Kerajaan Pusat akhirnya turut meluluskan cuti bersalin selama 60 hari untuk kakitangan awam seluruh negara.

Selepas itu, satu-satunya kerajaan yang melaksanakan cuti bersalin melebihi 60 hari kepada kakitangannya ialah kerajaan Terengganu yang diterajui PAS. Berkuatkuasa 1 April 2000, ia memperkenalkan Kemudahan Cuti Bersalin 90 Hari kepada pegawai dan guru wanita. Serentak itu juga diperkenalkan Cuti Isteri Bersalin selama tujuh hari kepada suami terbabit.

Bagi melaksanakan kemudahan itu, pegawai atau guru wanita diberi opsyen tambahan 30 hari cuti bersalin yang direkodkan sebagai Cuti Menjaga Anak (Cuti Tanpa Gaji). Bagaimana pun, kerajaan negeri bersetuju membayar gaji penuh 30 hari tambahan itu sebagai Elaun Khas Bersalin.

Sebagaimana pembaharuan kerajaan PAS Kelantan awal 90-an dulu, idea cuti 90 hari itu juga dipandang sinis para pemimpin negara. Mereka memberi komen negatif, kononnya tempoh cuti yang terlalu panjang akan merugikan produktiviti. Pegawai atau kakitangan berkenaan juga didakwa akan menjadi bertambah malas untuk kembali bekerja setelah terlalu lama berehat.

Reaksi sebaliknya diterima daripada kakitangan awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Mereka nampak rasional pembaharuan itu, khususnya bagi memastikan tahap kesihatan ibu dalam keadaan terbaik sebelum mula bekerja semula.

Kini, setelah lebih enam tahun idea itu diperkenalkan PAS Terengganu, Shahrizat bukan setakat mengakui kebaikannya, malah turut mengemukakan berbagai justifikasi menyokong pelaksanaannya.

Beliau antara lain mengatakan hampir 80 peratus negara di dunia kini memberikan tempoh cuti bersalin selama 12 minggu atau lebih kepada wanita yang melahirkan anak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz dalam reaksinya turut merasionalkan cadangan Shahrizat itu. Katanya, ia sejajar ketetapan Konvensyen ILO, bahawa temoh cuti bersalin bagi pekerja wanita yang paling ideal ialah 12 minggu.

Nah! Bukankah itu suatu “pengiktirafan” terhadap legasi pemerintahan PAS Terengganu itu? Mereka yang dahulunya beria-ia mencari kelemahan pelaksanaan itu, kini sepenuh daya merasionalkan pula tindakan yang sama.

Bukan mahu berbangga dengan PAS. Namun, wajar diakui beberapa pembaharuan yang dipelopori parti itu, sama ada di Terengganu atau Kelantan, terbukti menjadi ikutan kerajaan BN. Antaranya ialah sistem kerja lima hari seminggu yang dimulai Kelantan awal 90-an.

Di Terengganu, beberapa perubahan yang dibuat PAS masih kekal dilaksanakan BN. Antaranya, pemansuhan kutipan tol di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan pembelaan nasib imam dan bilal. Terengganu di bawah PAS muncul negeri pertama menaikkan elaun imam dan bilal melebihi RM300 sebulan. Idea itu mendorong kerajaan Pusat kemudiannya menyelaraskan elaun bulanan para imam di seluruh negara.

Konsep hub halal yang digemariuhkan kini juga dipelopori PAS seawal 2003 lalu. Kerajaan Terengganu menerusi Pelan Induk Pertanian mensasarkan negeri itu sebagai pusat pengeluar makanan dan produk halal serantau menjelang 2010. Perbadanan Pembangunan Makanan Terengganu (Tefdec) ditubuhkan sebagai agensi sehenti dan jawatankuasa pemandu Hab Halal Terengganu. Ia bagaimana pun tidak diteruskan BN.

Legasi lain yang ditinggalkan kerajaan PAS Terengganu ialah penubuhan pofrtfolio Hal Ehwal Wanita pada akhir 1999. Ketika itu, di peringkat Pusat dan negeri-negeri lain belum ada kementerian atau portfolio khusus bagi hal ehwal wanita. Hanya dalam rombakan kabinet pada 17 Januari 2001, satu kementerian baru dinamakan Kementerian Hal Ehwal Wanita diwujudkan. Beberapa negeri kemudiannya mula mewujudkan portfolio berkenaan.

Bukan mahu takabur dengan kebaikan yang telah dibuat PAS. Tetapi adalah tidak adil membiarkan BN mendabik dada kononnya hanya dia yang ada idea pembangunan dan mampu mentadbir negara.

Lagi pun, Rasulullah saw pernah berpesan bahawa bersikap takabur terhadap orang yang takabur itu mendapat pahala sedekah. Untuk itu, sikap takabur BN perlu dibalas seara takabur juga!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 16-31 Ogos 2006 dengan tajuk sama)

Tuesday, August 1, 2006

Nilai Tambah Kepada Konsep Pendidikan Awal


Oleh: Mohd. Nasir Awang

ADA sekurang-kurangnya dua perkara yang wajar dihalusi berkaitan konsep pendidikan awal sebagaimana dicadangkan kerajaan baru-baru ini. Pertama, rasional di sebalik cadangan tersebut.  Kedua, bentuk pengisian pendidikan itu.

Akhir Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan hasrat kerajaan memperkenalkan konsep pendidikan peringkat awal melibatkan kanak-kanak seawal usia dua setengah tahun hingga prasekolah. Menurut Najib, ia bakal dilaksanakan bermula akhir tahun ini.

Matlamat utamanya ialah bagi melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat. Pelaksanaannya pula dirasionalkan atas dua prinsip utama. Pertama, kajian saintifik bahawa otak manusia berkembang fungsinya pada usia awal seseorang. Kedua, kesempatan tersebut patut dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan modal insan yang lebih berketerampilan.

Kajian saintifik mendapati perkembangan otak seseorang akan mencapai tahap kematangan 85 peratus apabila usianya mencecah tiga tahun. Pada tahap itu, rangsangan yang sesuai dan berkesan berupaya meningkatkan fungsi dan kapasiti otak ke tahap optima.

Daya intelek seseorang akan meningkat dengan pesat apabila dirangsang. Lebih penting lagi, segala yang dipelajari pada masa itu, sama ada melalui pendengaran, sentuhan atau penglihatan akan diserap sebagai pembelajaran yang kekal.

Bagi seorang Islam, penemuan ini membuktikan kehebatan ajaran agamanya. Walau pun Rasulullah s.a.w. tidak menyertakan dalil saintifik, Baginda sejak lebih 1400 tahun lalu telah menyarankan bahawa usaha menuntut ilmu patut bermula dari alam buaian.

Bahkan Islam pergi lebih jauh. Ia merintis jalan kesempurnaan peribadi seseorang sedari awal kejadiannya. Tugas seorang bakal bapa bermula daripada ketelitiannya memilih bakal isteri.  Keutamaan ialah memilih wanita yang beragama, dalam ertikata faham dan berpegang kepada ajaran Islam. Agama mengatasi kriteria-kriteria lain seperti harta, rupa dan seumpamanya.

Proses penyemaian benih si anak juga diperhalusi oleh Islam, termasuk mengiringinya dengan doa khusus sewaktu melakukan persetubuhan. Niat bakal bapa dan ibu mesti betul, iaitu bagi mendapatkan zuriat yang ‘bebas daripada pengaruh syaitan’.

Tahap pendidikan secara tidak langsung dikira bermula dengan pembentukan janin. Kajian saintifik menyokong ajaran Islam betapa perlakuan ibu sewaktu mengandungkan anak (tidak terkecuali bapanya) juga mempengaruhi pembentukan watak si anak. Apa yang didengar, dirasai dan dimakan si ibu, itulah juga yang ‘sampai’ dan memberi kesan kepada kandungannya.

Konsep utama dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah pendedahan kepada persekitarannya.  Ia berterusan sejak di dalam kandungan sehingga ke usia awal mereka. Kanak-kanak mudah belajar daripada apa yang didedahkan kepada mereka.

Rangsangan yang cukup mampu menjana minda ke arah pembelajaran dan penyimpanan maklumat di dalam otak mereka. Peringkat usia dua setengah tahun hingga enam tahun dikenalpasti sebagai peringkat paling mudah bagi mereka menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Oleh itu, amat penting diperhalusi apakah yang hendak diisikan ke dalam minda mereka. Ibu bapa, guru dan sesiapa juga yang bertanggungjawab memilih bahan yang hendak disumbatkan itu sebenarnya turut bertanggungjawab terhadap keperibadian yang dihasilkan puluhan tahun selepas itu.

Pepatah Melayu ada menyebutkan, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ertinya, membentuk keperibadian seseorang mestilah dilakukan di awal usianya.

Nabi Muhammad s.a.w pula mengingatkan kita, ‘Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah.  Ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks perbincangan ini, pengisian pendidikan awal itu mungkin tidak menyentuh soal akidah. Ia lebih kepada soal penyediaan minda kanak-kanak menimba ilmu akademik. Maka perbahasannya ialah sejauh mana minda kanak-kanak itu wajar dijuruskan kepada ilmu akademik semata-mata.

Islam amat menitikberatkan soal pendidikan. Bahawasanya fardhu ain ke atas setiap muslim melengkapkan dirinya dengan ilmu, yang tanpanya tidak akan sah iman dan Islam seseorang.

Asasnya, orang Islam mesti mengetahui hukum agama. Jika tidak ia mudah tercebur ke dalam perkara yang dimurkai Allah Ta’ala, sama ada sengaja atau tidak disedari. Seseorang yang jahil tentang agama tidak akan dapat membezakan mana yang wajib mana yang haram.

Halal dan haram ketentuan Tuhan. Seseorang yang tidak menghiraukan hukum itu bererti dia tidak menghormati Tuhannya. Logiknya, jika Tuhan Yang Maha Mencipta dan Maha Berkuasa pun manusia tidak hormati, bagaimana kita mengharapkan mereka menghormati sesama manusia yang kerdil dan tidak berupaya ini?

Di situlah punca kepincangan dan kecelakaan dalam masyarakat. Apabila masyarakat sudah pincang dan porak-peranda, matlamat murni melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat dengan sendirinya akan terhakis.

Pertimbangan ini mendesak kita menitikberatkan soal pendidikan agama. Kita tentunya tidak mahu melahirkan generasi yang pintar dan cemerlang dalam akademik tetapi berperangai jelek dan bobrok.

Salah satu kebobrokan itu ialah apabila mereka sanggup meruntuhkan agama mereka sendiri.  Antaranya ialah dengan tidak menunaikan solat. Sedangkan Nabi s.a.w. telah berpesan, “ Solat itu tiang agama. Barangsiapa mendirikannya maka dia mendirikan agama. Barangsiapa meninggalkannya, maka dia meruntuhkan agama.”  (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Solat juga menjadi senjata utama mencegah perbuatan keji dan mungkar di dalam masyarakat (baca al-Ankabut 29:45). Sebab itu Islam menyuruh ibu bapa mengajarkan solat kepada anak-anak seawal usia tujuh tahun. Sabda Baginda s.a.w., “Suruhlah anak-anakmu bersolat tatkala tiba umurnya tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) di kala mereka berumur sepuluh tahun, dan (pada umur itu) pisahkanlah mereka dari tempat tidur”.  (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim, juga diriwayatkan at-Tirmidzi)

Dalam konteks ini, kenyataan bahawa lebih 51,000 pelajar tahun dua hingga tahun enam di Terengganu tidak tahu bersolat amat mendukacitakan kita. Pada 19 Mei lalu, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Mohd Nasir Harun berkata angka itu adalah hasil kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

Terengganu adalah antara negeri yang masyarakatnya menitikberatkan soal agama, selain Kelantan, Kedah dan Johor. Jika di negeri sedemikian itu pun jumlah yang terlibat mencecah 51,000 bayangkan berapakah jumlah kes sama di negeri-negeri lain?

Kes ini patut dijadikan ukuran betapa sistem pendidikan formal kini masih gagal melahirkan insan yang berpegang kepada ajaran agama. Kita difahamkan, dalam seminggu hanya tiga jam diperuntukkan kepada mata pelajaran agama di sekolah.

Mengambilkira hakikat yang ada, konsep pendidikan awal yang dicadangkan kerajaan wajar menitikberatkan soal pendidikan asas agama. Ilmu akademik dan asas kehidupan adalah sesuatu yang akan dicari sendiri apabila seseorang memerlukannya kelak.

Tambahan pula, pendidikan peringkat rendah kini semakin ‘tepu’ dengan pembentukan modal insan sempurna. Sukatan pelajaran sedia ada bakal ditambah lagi pendidikan seks awal 2007 depan. Turut bakal diperkenal ialah bahasa Tamil dan Mandarin, selain pendidikan keselamatan jalanraya.

Penekanan kepada bahasa Inggeris telah pun bermula seawal prasekolah. Kesemua itu bakal mencuri ruang yang telah pun suntuk bagi kanak-kanak.

Malaysia adalah model negara Islam, di mana agama menjadi darah daging orang Melayu. Oleh itu, mendidik rakyat mestilah ke arah menjadikan mereka orang yang berpegang kepada agama.  Untuk itu, pendidikan agama di peringkat awal tidak dapat dielakkan. Ia merupakan suatu nilai tambah kepada konsep yang diutarakan itu.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian, Ogos 2006 di ruangan 'Nasional' dengan tajuk sama).