Tuesday, August 15, 2000

Tun (Dr.) Haji Mohd Salleh bin Abas


Pengerusi Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas

MOHD Salleh bin Abas dilahirkan pada 25 Ogos 1929 di Kampung Pinang, Besut, Terengganu. Beliau memulakan pengajiannya di Sekolah Melayu Kampung Raja, tidak berapa jauh dari kampungnya. Setelah tamat di situ beliau melanjutkan pula pelajarannya ke Sekolah Sultan Sulaiman di Batu Burok, Kuala Terengganu, satu-satunya sekolah Inggeris yang ternama di Terengganu pada waktu itu.

Pada bulan Jun 1954, Mohd Salleh melanjutkan pelajarannya ke University of Wales, United Kingdom, dalam jurusan undang-undang. Di sana beliau berjaya memperolehi LLB. Hons. Pada bulan Disember tahun yang sama beliau menyambung lagi pengajian undang-undangnya dengan memasuki Middle Temple Barrister at Law. Kemudian, pada tahun 1962, Mohd Salleh memasuki University of London, dan memperolehi ijazah undang-undang LLM.

Sepanjang hidupnya Mohd Salleh telah berkhidmat dengan jabatan kerajaan di berbagai peringkat selama lebih 30 tahun. Bermula sebagai kerani di Pejabat Kerajaan Negeri Terengganu, beliau kemudiannya menjadi Penolong Pentadbir Tanah Kuala Terengganu.

Di bidang perundangan pula Mohd Salleh bermula sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan. Kemudian beliau menjadi Pendakwa Raya di Kuala Lumpur, dan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Sembilan dan Melaka. Beliau juga terpilih menjadi salah seorang Penggubal Undang-undang Parlimen Malaysia.

Seterusnya Mohd Salleh mendaki lagi hirarki perundangan negara apabila dilantik menjadi Peguamcara Negara, sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan (Mahkamah Rayuan) pada tahun 1979. Tiga tahun kemudian, beliau dilantik pula menjadi Hakim Besar Malaya. Kemuncak kerjayanya dalam bidang kehakiman ialah apabila dilantik menjadi Ketua Hakim Negara pada tahun 1984, seterusnya mendapat gelaran Tun.

Bagaimanapun, Tun Mohd Salleh dipecat oleh Kerajaan Malaysia daripada jawatan tersebut pada 8 Ogos 1988, dalam drama tragis yang menandakan bermulanya detik pencabulan kuasa politik ke atas kebebasan kehakiman negara.

Dalam bidang akademik, Tun Salleh pernah menjadi Pemeriksa Luar Bahagian Undang-undang Universiti Malaya dan National University of Singapore. Beliau juga menjadi Pensyarah Undang-undang Perlembagaan secara separuh masa di Universiti Malaya, antara tahun 1963 hingga 1965. Beliau juga menjadi Profesor Pelawat di University of Monash dan University of Melbourne, Australia, buat beberapa ketika. Selain itu Tun Salleh juga turut menjadi Fellow di Harvard University, Amerika Syarikat, pada tahun 1972.

Atas sumbangan tinggi yang tidak ternilai dalam bidang akademik itu, Tun Mohd Salleh telah dianugerahkan Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya dan Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia).

Pilihan Raya Umum 1995 menyaksikan Tun Salleh buat pertama kalinya mengambil bahagian secara rasmi dalam politik kepartian. Sebagai seorang yang dewasa dalam perkhidmatan kerajaan, bukanlah suatu yang mudah baginya untuk menerjunkan diri ke dalam politik. Lebih-lebih lagi untuk menyertai parti pembangkang. Namun atas dasar menegakkan keadilan dan menentang kezaliman, Tun Salleh telah menerima pelawaan ‘anak-anak’ dari Parti Melayu Semangat 46.

Tun diamanahkan untuk beradu nasib di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Calon BN yang menjadi lawannya ialah Shahrizat binti Abdul Jalil. Dalam percubaan pertamanya itu, Tun memperolehi 10,058 undi, manakala Shahrizat mendapat 23,447 undi. Keputusan itu memberikan kelebihan kepada calon BN itu sebanyak 13,389 undi.

Kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan BN menyebabkan Tun Salleh merasa bersalah kepada diri sendiri untuk terus mendiamkan diri dalam permasalahan yang menimpa masyarakatnya. Sekali lagi, atas dasar menegakkan keadilan dan menentang kezaliman, Tun menyahut pelawaan ‘anak-anak’ untuk terjun sebagai ahli politik, sepenuh masa.

Kali ini giliran PAS pula menghulurkan pelawaan itu. Tun dibawa balik ke Besut, Terengganu, dan bertanding di kerusi DUN Jertih. Beliau berdepan dengan calon BN yang juga bekas penyandang, Idris bin Mamat. Tun Salleh menang cemerlang dengan majoriti 1,464 undi.

Pada 2 Disember 1999, Tuan Guru Menteri Besar Terengganu telah memilih Tun Dr Haji Mohd Salleh bin Abas sebagai salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang baru, dan diamanahkan menerajui Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment