Friday, September 28, 2012

Bantah orang hina Nabi, kamu sendiri hina Islam...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

AGAK tajam dan memang sinis kenyataan balas oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasarudin Hasan terhadap pelawaan rakan sejawatnya daripada Umno minggu lalu. Ketua Pergerakan Pemuda parti pemerintah itu membayangkan kemungkinan menggabungkan usahanya bersama DPPP membantah penghinaan terhadap Nabi saw, khususnya menerusi filem Innocence of Muslims, yang menjadi fokus demonstrasi umat Islam serata dunia kini.

“Terima kasihlah jemput kami. Kalau tiada jemputan pun, kami memang akan turun pada 21 September ini, kerana kami terlebih awal telah “dijemput" oleh Nabi kami saw untuk turun menunjuk sikap dan mempertahankan kemuliaan Nabi kami saw, yang dihina sedemikian rupa oleh musuh-musuh Islam. Kalau 17 September baru nak jemput kami, memang terlalu lambat lah, sebab kami dah set up segalanya lebih awal”, baca kenyataan itu, yang disebarkan menerusi internet, 20 September.

Menurutnya, DPPP pimpinannya sudah pun membuat keputusan mengenai program himpunan itu seminggu lebih awal (pada 12 September). Ia sekaligus mengesahkan bahawa pelawaan Ketua Pemuda Umno (yang dibuat lima hari kemudian) itu agak terlewat.

Difahamkan kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai reaksi terhadap lontaran soalan oleh media berhubung pelawaan tersebut. Malah ada media yang turut menjadikan ajakan itu sebagai asas mendendangkan lagu-lagu “perpaduan Melayu”, kononnya Umno sangat terbuka menghulurkan tangan persahabatan dan perpaduan dengan PAS, terutama dalam menangani isu-isu bersama sebegitu. Sehinggakan reaksi ‘dingin’ di pihak PAS belum apa-apa sudah pun ditafsirkan sebagai tidak mementingkan perpaduan Melayu dan kepentingan agama.

Ketegasan dalam jawaban balas Nasruddin bagaimana pun sedikit membuatkan khalayak itu “terpukul”.

“Suka saya tegaskan bahawa perkara ini (pelawaan Ketua Pemuda Umno) bukanlah isu sebenar. Sebaliknya apa yang jadi isu ialah penghinaan ke atas Nabi saw. Ada pun siapa nak bantah filem hina Nabi tu, turunlah ke kedutaan US (Amerika Syarikat), Jumaat ini. Habis cerita,” tegas beliau.

Bahkan, Nasruddin juga sempat mempertikaikan keseriusan anak-anak muda parti lawannya itu untuk benar-benar mempertahankan kesucian Islam, khususnya peribadi Rasulullah saw. Walau pun kenyataan itu tidak memperincikan butiran dimaksudkan, contoh-contoh yang boleh menafsirkan ketidakseriusan parti pemerintah itu, termasuk khalayak pemudanya mempertahankan kesucian Islam adalah terlalu banyak. Ia malah sudah menjadi pengetahuan umum yang hanya perlu diulangsebut untuk rekod.

Bagaimana mahu diharap orang akan menganggap kita serius mempertahankan kemuliaan Rasulullah saw, sedangkan di ketika lain kita juga menjadi juara menganjurkan, mempromosi atau terlibat aktif menjayakan program yang sama sekali bercanggah dengan ajaran Baginda saw?

Misalnya, apakah Pemuda Umno mempunyai sikap yang jelas menentang pembudayaan muzik rock, k-pop, heavy metal, dan entah apa-apa lagi genre hiburan yang disajikan dengan meluas kepada golongan muda-mudi negara ini? Pernahkah rakyat negara ini mendengar atau membaca berita sekumpulan Pemuda Umno ikut bersama Pemuda PAS membantah konsert artis Barat yang jelas membawa mesej merosakkan akhlak, sekaligus mencabar usaha mendidik anak-anak muda Melayu menghayati ajaran Nabi Muhammad saw?

Kes sedemikian bukan setakat tidak pernah berlaku, sebaliknya kumpulan pemuda parti itu sendiri yang dengan senang dan tersenyum lebar menerima kehadiran artis-artis tersebut. Dalam banyak kes, Pemuda PAS “bersendirian” membantah hal-hal sedemikian.

Itu belum lagi sebutkan mengenai cacian dan cercaan terhadap ulama, yang disifatkan oleh Baginda saw sendiri sebagai “pewaris para nabi”. Bukankan kita (maksudnya, khalayak terlibat itu) pernah menghina, memaki hamun dan perlekeh ulama? Sedangkan ulama itu pewaris anbiya’, termasuk Nabi Muhammad saw sendiri. Pernahkah Pemuda Umno bersuara membantah, atau sekurang-kurangnya menegur sebilangan pemimpin parti itu sendiri yang masyhur dengan kenyataan-kenyataan mereka menghina ulama sebelum ini?

Pernah juga Sunnah-Sunnah Nabi saw dihina dan orang yang mengamalkannya dipersoalkan. Contohnya, pernah berlaku bila nampak orang pakai serban, pakai jubah, simpan janggut panjang, kita perli dan pandang serong terhadap mereka. Kita ejek orang simpan janggut sebagai “kambing”, kita kata dulu orang Arab zaman Nabi saw simpan janggut itu pun bukan sangat kerana menjadikannya Sunnah, tetapi kerana tidak ada pisau cukur “Gillette”.

Secara terang-terangan perkataan-perkataan itu menghina Sunnah Nabi. Namun, di manakah suara bantahan Umno, khususnya para pemudanya dalam hal itu?

Ertinya, nampak sangat sikap dan pendirian, bawaan hidup sedemikian tidak konsisten dengan apa yang mahu tonjolkan kebelakangan ini. Dalam ertikata lain bantahan yang mereka buat (secara berasingan) minggu lalu dinilai orang sekadar suatu “persendaan”.

Di suatu masa kamu berteriak bagai nak terputus urat leher, hampir nak pecah peti suara mempertahankan Rasulullah, mengutuk penghinaan kuffar terhadap Baginda. Malangnya, di masa yang lain kamu jugalah paling ke depan sebagai penganut dan penyebar ideologi, budaya dan cara hidup kuffar.

Akibatnya, apa jua bantahan atau demonstrasi yang kamu buat, ia tidak sedikit pun menghairankan, apatah lagi menggerunkan puak kuffar itu. Mereka sebaliknya tersenyum melihat kamu terlonjak-lonjak, bertempik-tempik, sambil hati mereka tertawa, “ini semua hanya lakonan, kepura-puraan”.

Tepat sebagaimana digambarkan oleh Nasruddin dalam kenyataan tadi, “orang kampung semua sudah kenal. Siapa yang serius mahu pertahankan Islam dan kesuciannya dan siapa pula yang hanya mahu mencari political millage dan menggunakan media untuk memposisikan diri”.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (belum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1779, 12-14 Zulkaedah 1433/28-30 September 2012 di ruangan 'KOLUMNIS F21' dengan tajuk sama)

Saturday, September 22, 2012

Moga Allah balas persendaan mereka...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

PENYAKIT lama Umno nampaknya sudah datang semula. Setiap kali sambutan masyarakat terhadap PAS dan parti-parti pembangkang menampakkan peningkatan, para pemimpin dan pendukung Umno bagaikan ‘cacing kepanasan’. Lalu ia akan berusaha sedaya mungkin untuk merosakkan perkembangan positif itu.

Selalunya, dalam keadaan tertekan apabila isu demi isu yang melanda negara gagal memaut ‘mood’ masyarakat untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN), para pendukung parti itu akan sanggup melakukan apa sahaja bagi ‘memperbetulkan’ keadaan itu.

Salah satu pendekatan yang sering diambil para penjuak dan propagandis parti itu ialah dengan melakukan tindakan sabotaj atau provokasi. Di antaranya dengan sengaja mewujudkan suasana yang boleh memberi tekanan atau desakan terhadap parti lawan.

Lalu, dalam mencapai matlamat itu, Umno kerap mengenepikan soal pertimbangan akhlak dan rasionaliti. Bahkan, kerap juga mereka sampai sanggup mempersenda ajaran agama Islam yang sama-sama mereka anuti.

Itulah yang dapat disimpulkan tatkala menilai latahan sebilangan mereka, terutama ekoran isu pelaksanaan hukum Hudud, yang kembali diperbahaskan baru-baru ini. Secara zahirnya Umno kelihatan sangat letih dengan isu ini.

Dari satu sudut, Umno sangat tidak berminat dengan pelaksanaan hukum Islam itu. Dasar kebangsaan sekular dianutinya menjadikan perjuangan parti itu tidak konsisten dengan sebarang agenda yang benar-benar mengajak rakyat menghayati hukum dan peraturan Islam.

Malangnya, dari sudut lain, Umno juga tidak mahu dinilai sebagai menolak pelaksanaan Islam, termasuk Hudud. Lebih-lebih lagi dalam konteks Terengganu, satu-satunya negeri yang diperintah Barisan Nasional (BN), tetapi telah terwarta Hudud sebagai sebahagian undang-undang negeri.

Maka, untuk Umno mempertikaikan pelaksanaannya dibimbangi akan lebih memburukkan imejnya. Dalam keadaan itu, mahu tidak mahu, Umno terpaksa berpura-pura mempamerkan sikap dan pendirian kononnya ia juga mahukan Hudud dilaksanakan.

Sebagaimana dimaklumi, juara menjulang hasrat mendaulatkan hukum Islam di negara ini ialah PAS. Maka, apabila kedengaran bantahan berterusan segelintir pemimpin bukan Islam di kalangan parti-parti rakan PAS di dalam Pakatan Rakyat, ia bagaikan ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ buat Umno. Percanggahan pendirian itu dijadikan modal politik adu-domba yang agak laris.

Apabila para pemimpin dan penyokong PAS bertegas dengan pendirian meneruskan hasrat mendaulatkan hukum Tuhan sekiranya diberi peluang memerintah, sama ada negeri atau negara, Umno memainkan peranan jahatnya menyucuk jarum.

Di tengah-tengah kehangatan pertikaian itulah muncul pemidang “Kami Rela Mati Syahid Pertahankan Hudud”. Bunyi bait itu sengaja dibuat sedemikian supaya sepintas lalu orang akan menyangka ia dari para penyokong PAS. Secara positifnya, orang mungkin menilai pemidang itu sebagai tanda betapa teguhnya pendirian mereka mempertahankan hukum Tuhan yang sekian lama menjadi agenda parti itu.

Namun, tidak wajar ditolak juga kemungkinan pemidang itu bermaksud ‘membakar’ kebencian para pendukung PAS terhadap rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat yang mempertikaikan hukum Islam. Boleh jadi ia mahu kecurigaan itu semakin semakin ‘tajam’ dan merosakkan kesatu-paduan di dalam pakatan itu.

Jika tidak kerana rekod cemerlang Umno dalam mencetuskan provokasi dan merencana kerja-kerja sabotaj sedemikian terhadap parti lawan, kita tentu sukar menerima dakwaan bahawa pemidang tadi besar kemungkinan sebahagian strategi jahat pendukung parti itu.

Rakyat negara ini, khususnya di Terengganu sudah ada pengalaman serupa lebih sedekad lalu. Tatkala Umno baru menjadi pembangkang di negeri itu, mereka serta-merta bertukar menjadi pendesak utama agar PAS segera melaksanakan agenda Islam. Dalam kata lain, suara Umno lebih lantang mahukan pelaksanaan Islam di negeri itu.

“Bila lagi nak buat hukum Islam ni?”, pertanyaan sebegitu bukan perkara pelik di akhir 1999 dan awal 2000 dulu. Tidak mengejutkan juga, ia bukan dituturkan para pendukung PAS, tetapi oleh pemimpin dan penyokong Umno.

Kata-kata itu diikuti dengan tindakan mereka menaikkan sejumlah pemidang serata negeri menyuarakan desakan sama. “Mana hukum Hudud?”, “Kami mahu PAS segerakan pelaksanaan hukum Islam”, dan berbagai lagi ungkapan menghiasi birai-birai jalan utama seluruh Terengganu.

Pada zahirnya mereka kelihatan sangat menyambut baik cita-cita PAS melaksanakan Islam. Namun, sebenarnya perbuatan mereka itu sengaja mahu mewujudkan perasaan curiga, tidak puas hati dan keliru di kalangan masyarakat. Mereka cuba mengasak minda rakyat agar mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan yang baru mengambil alih pemerintahan.

Dalam lain perkataan, Umno sebenarnya bukan mahukan hukum Islam, tetapi sekadar mempersenda agenda diperjuangkan parti lawannya itu.

Kini, persendaan itu muncul kembali. Ia mengulangi simptom penyakit parti itu yang terzahir lebih sedekad lalu, ketika mana mereka diselibungi kekecamukan minda ekoran gagal menerima hakikat kekalahan. Apakah dengan pameran perangai serupa kini menunjukkan bahawa bahang kekalahan itu kembali menghantui dan menjolok minda mereka?

Harap-harap perkembangan ini isyarat positif buat PAS, khususnya di bumi Darul Iman ini. Moga Allah balas persendaan mereka itu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1778, 8-11 Zulkaedah 1433/24-27 September 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dnegan tajuk serupa)

Friday, September 21, 2012

Mengumpul kekuatan meneruskan langkah


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

SEGALA puji bagi Allah yang hanya dengan nikmat kurniaan-Nya jua dapat kita langsungkan apa-apa niat baik yang kita pasangkan. Berbekalkan keyakinan kepada ketentuan-Nya itulah kami terus berusaha menapak ke depan, kendati pun terpaksa berdepan pelbagai cabaran yang sebahagiannya agak sukar ditangkis.

Sebagaimana dimaklumi, majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah Edisi 9 ini menemui para pembaca budiman melewati jadual sepatutnya. Mujurnya, orientasi isi kandungan majalah kegemaran anda ini tidak diprogramkan untuk semata-mata menepati kehadiran bulan atau musim tertentu. Ia sebaliknya bersifat ‘laku sepanjang masa’.

Ilmu-ilmu yang kami bentangkan di dalam majalah ini alhamdulillah “tidak ada tarikh luputnya”. Justeru, biar pun berada di bulan Oktober, misalnya, pembacaan anda terhadap Edisi 1 atau 2 majalah ini (yang terbit di awal tahun) tetap “segar” dan perbincangannya juga tidak “basi”.

Apa pun, itu bukanlah hujah untuk kami menenangkan perasaan sendiri. Jauh sekali untuk merasa selesa dengan pencapaian kini. Sebaliknya, kelemahan dan kekurangan tetap kami akui.

Untuk itu, bagi pihak pengurusan Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd (PDDSB), khususnya sidang editorial majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah, saya tidak keberatan menyusun jari sepuluh memohon kemaafan atas sebarang kesulitan atau ketergangguan yang mungkin timbul ekoran ketergendalaan ini.

Insya Allah, berkat doa dan dukungan ikhwah-akhawat semua, kami mampu mengumpul kekuatan dan langkah selanjutnya yang kami atur akan lebih gagah dan yakin. Kami percaya di sana ada jiwa-jiwa kental yang mahu melihat majalah ini meneruskan langkah, kendati pun apa halangan menimpa.

Kami percaya anda juga selaku pembaca setia dan pelanggan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah ini termasuk sebahagian khalayak yang tidak sudi melihat organ penyebaran ilmu-ilmu Islam yang sahih ini terkandas di perjalanan.

Untuk itu, sokongan dan dukungan ikhwah-akhawat amat-amat kami harapkan. Doakan ketabahan buat kami.

                                                                                              
Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan untuk ruangan EDITORIAL, majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 9, yang menerjah pasaran bermula 21 September 2012)

Al-Laith bin Saad Al-Fahmayyu

Ulama salaf yang dermawan

DALAM beberapa makalah mengisahkan kehidupan para ulama salaf sebelum ini, kebanyakan tokoh disorot adalah dari kalangan yang sangat zuhud terhadap kemewahan dunia. Bahkan, itulah yang menjadi gambaran agak sinonim apabila membicarakan perihal gaya hidup para ulama di zaman awal Islam. Sebilangan mereka malah menunjukkan sikap sangat tegas dalam menolak perhiasan dunia.

Namun, sifat itu tidak semestinya berpunca daripada keadaan mereka yang miskin harta. Terdapat sebaliknya di kalangan mereka sebilangan yang memang tergolong dalam khalayak hartawan. Cuma harta kekayaan itu tidak meleka atau menjadikan mereka hanyut dengan kemewahan dunia. Tokoh ulama disorot kali ini, Al-Laith bin Saad, adalah salah seorang di antara khalayak ini.

Abu Nuaim menggambarkan beliau sebagai “seorang ulama salaf yang dermawan”. Katanya lagi mengenai Al-Laith, “ilmunya banyak dan hartanya juga melimpah, dia banyak mengetahui hukum-hukum Islam dan sangat dermawan.”

Al-Laith termasuk pimpinan tabie tabien. Beliau hidup sezaman dengan sebilangan ulama tersohor, antaranya Malik, Sufyan dan Al-Auzaie.

Keturunannya
Nama penuh beliau ialah Laith bin Saad bin Abdirrahman al-Fahmayyu Abu Al-Harith Al-Mashri, hamba kepada Abdurrahman bin Khalid bin Musafir. Ada juga yang mengatakan bahawa Al-Laith adalah hamba dari Bani Tsabit bin Zhain, datuk kepada Abdurrahman bin Khalid bin Musafir.

Keluarga Al-Laith dikatakan berasal dari Parsi, iaitu dari keluarga Ashbahan. Menurut pendapat yang masyhur bahawa Al-Laith berasal dari Bani Fahmi, yang berasal dari Bani Qais bin Ailan.

Kelahirannya
Al-Laith dilahirkan di Qarqasyandah, sebuah desa yang terletak sekitar kira-kira 32km dari ibukota Mesir, Kaherah.

Terdapat perbezaan pendapat berhubung tahun kelahirannya. Sebahagian orang mengatakan dia dilahirkan pada 73H, manakala sebahagian lain mendakwa dia lahir pada 74H. Bagi Said bin Abi Maryam, pendapat kedua adalah yang benar. Beliau bersandarkan kepada kata-kata Yahya, “aku mendengar Al-Laith berkata, “aku dilahirkan pada bulan Syaaban, pada tahun keempat (maksudnya 74H)”.”

Hartawan yang dermawan
Sebagaimana disebutkan di awalnmakalah ini, Al-Laith adalah salah seorang ulama slaaf yang hartawan. Gambaran kekayaannya terserlah pada pakaian dan kenderaannya, sepertimana pernah disebutkan Amr bin Muhammad Al-Hairi.

Katanya, “aku mendengar Muhammad bin Muawiyah berkata, sedang Sulaiman bin Harb berada di sampingnya, “pada suatu hari Al-Laith bin Saad keluar. Orang ramai lalu menghitung nilai baju yang dipakainya, binatang yang dijadikan kenderaan dan cincin yang dipakainya. Mereka mentaksirkan kesemua itu bernilai antara lapan belas ribu hingga dua puluh ribu dirham”.”

Bagaimana pun, harta kekayaan dimilikinya itu tidak sedikit pun menjadikannya sombong atau kedekut. Sebaliknya, Al-Laith turut dikenali sebagai seorang yang sangat murah hati dan gemar membantu orang lain. Qutaibah menggambarkan sifatnya itu, “Al-Laith telah menunaikan solat di berbagai masjid, dan pada setiap harinya dia bersedekah kepada tiga ratus orang miskin.”

Seorang sahabatnya, Abdullah bin Saleh, pula berkata, “aku telah bersama Al-Laith selama 20 tahun, dia tidak akan makan baik siang atau malam, sehingga dia mengundang orang-orang untuk diajak makan bersamanya.”

Pernah diriwayatkan juga bagaimana Imam Malik menulis sepucuk surat kepada Al-Laith memintanya memberi beberapa ekor burung pipit yang dipeliharanya. Ia adalah untuk dibawa oleh Imam Malik sebagai buah tangan tatkala berkunjung ke rumah anak perempuannya.

Permintaan itu tidak sukar dipenuhinya. Al-Laith malah mengirimkan sebanyak 30 ekor burung pipit kepada Imam Malik. Sebahagian burung itu disembelih dan dijadikan lauk-pauk oleh Imam Malik untuk dibawa ke rumah anak perempuannya itu, manakala sebahagian lagi dijual dengan harga 500 dinar.

Pada kesempatan lain Qutaibah berkata, seorang perempuan datang kepada Al-Laith dan berkata, “wahai Abu Al-Harithah, anakku sedang sakit dan menginginkan makan madu.” Lalu al-Laith berkata kepada pembantunya, “berikan kepada perempuan itu satu Murth madu.”

Satu Murth adalah bersamaan 120 Rithl, iaitu timbangan yang menyamai 407.5 gram mengikut apa yang digunakan di Iraq ketika itu.

Keilmuannya dipercayai
Selain terkenal dengan sifat kedermawanan itu, keilmuan Al-Laith juga menjadi sanjungan umum, termasuk para ulama sezamannya.

Dalam hal itu Abu Al-Walid Abdul Malik bin Yahya bin Bakir pernah berkata, “aku mendengar ayah pernah berkata, “aku tidak melihat ada orang yang lebih sempurna dari Al-Laith bin Saad. Setiap gerakan dari tubuhnya merupakan pengalaman dari ilmu fiqh yang dimilikinya, mulutnya fasih berbahasa Arab, pandai membaca Al-Quran, menguasai ilmu Nahwu, banyak menghafal syair dan hadith, ingatannya bagus dan masih banyak lagi kebaikan yang dimilikinya.”

Al-Fadhl bin Ziyad berkata, Ahmad telah berkata, “Al-Laith adalah ulama yang banyak menguasai berbagai ilmu dan hadithnya sahih”. Ahmad bin Saad Az-Zuhri pula mendengar Ahmad bin Hanbal berkata, “riwayat dari Al-Laith dapat dipercayai dan sahih”.

Muhammad bin Said juga berkata, “Al-Laith mempunyai riwayat yang dapat dipercayai. Beliau banyak menghafal hadith dan hadith-hadithnya sahih. Dia sibuk memberikan fatwa kepada penduduk Mesir di zamannya, di samping dia juga seorang yang dermawan, mulia dan sangat menghormati tamu”.

Abdullah bin Ahmad bin Hanbal pula berkata, “aku mendengar ayah berkata, orang yang paling benar dalam meriwayatkan hadith dari Said bin Al-Maqburi adalah Al-Laith bin Saad. Dia meriwayatkan langsung dari Abu Hurairah dan/atau meriwayatkan dari ayahnya dari Abu Hurairah.”

Ali bin Al-Madini dan Al-Ajla turut berkongsi pendapat bahawa “riwayat (hadith) dari Al-Laith bin Saad boleh dipercayai”.

Manakala Ibnu Wahab pula mendedahkan rahsia bagaimana Al-Laith menjadi rujukan Imam Malik dalam penulisannya. Kata Ibnu Wahab, “setiap tulisan yang ada di dalam kitab Malik yang berbunyi, “dan menceritakan kepadaku seorang yang telah aku redhai dari kalangan ahlul ilmi...”, orang dimaksudnya adalah Al-Laith bin Saad.”

Menolak jawatan
Adz-Dzahabi pernah menyifatkan Al-Laith sebagai ulama besar di Mesir yang mempunyai ilmu fiqh yang mendalam dan ahli hadith. Beliau bahkan meletakkan Al-Laith bagaikan penguasa di negara Mesir. Katanya, “keberadaan Al-Laith sangat membanggakan penduduk Mesir. Dan jika ada pergantian raja, mengangkat seorang qadhi, atau mengangkat pegawai tinggi kerajaan yang lain, maka Al-Laith yang menentukannya.”

Menurut Abu Bakir, Al-Laith sendiri pernah memberitahunya, “Abu Jaafar berkata kepadaku, “mahukah kamu menggantikan ku sebagai penguasa di Mesir? Aku menjawab, “tidak wahai Amirul Mukminin, aku lebih lemah dari jawatan itu dan aku berasal dari golongan hamba.” Kemudian Abu Jaafar berkata, “kamu bukan lemah, tapi niat kamu yang lemah dalam menjalankan roda pemerintahan untuk menggantikanku.”

Yahya bin Bakir pula meriwayatkan bahawa Al-Manshur pernah berkata kepada Al-Laith, “mahukah kamu menggantikan ku sebagai penguasa Mesir?” Tawaran itu ditolak oleh Al-Laith. Kemudian Al-Manshur berkata lagi, “jika kamu menolak tawaran itu, maka tunjukkan seseorang yang mampu menggantikanku sebagai penguasa Mesir.”

Lalu Al-Laith mencadangkan Uthman bin Al-Hakam Al-Jadzami, seorang yang mempunyai keluarga besar. Yahya  bin Bakir berkata, “kemudian Uthman bin Al-Hakam menjadi raja sebagai pengganti Al-Manshur, sedangkan Al-Laith berjanji kepada Allah untuk tidak memberitahu tentang dirinya kepada siapa pun.”

Al-Manshur juga pernah ingin menjadikan Al-Laith sebagai seorang penguasa di suatu daerah, namun Al-Laith menolaknya.

Guru dan muridnya
Beliau sempat berguru kepada berpuluh ulama besar. Antaranya Nafi’, Ibnu Abi Mulaikah, Yazid bin Abi Habib, Yahya bin Said Al-Anshari, saudaranya Abdurrabbah bin Said, Ibnu Ajlan, Az-Zuhri, Hisyam bin Urwah, Atha’ bin Abi Rabah, Said al-Muqabari, Hakim bin Ubaidillah bin Qais, Al-Hassan bin Tsauban, Uqail dan Khair bin Nuaim.

Manakala senarai anak-anak muridnya yang muncul sebagai ulama terbilang adalah jauh lebih panjang.
                
Kematiannya ditangisi
Yahya bin Bakir dan Said bin Abi Maryam berkata, “Al-Laith meninggal pada pertengahan bulan Syaaban pada tahun 175 H.” Yahya berkata, “Al-Laith meninggal pada hari Jumaat dan Musa bin Isa ikut menyalatinya.”

Khalid bin Abdussalam Ash-Shadafi pula berkata, “Aku telah menyaksikan jenazah Al-Laith bin Saad dengan ayahku. Aku tidak pernah melihat ada jenazah yang lebih mulia dari jenazah Al-Laith, aku melihat semua orang bersedih, mereka menangis, hingga aku berkata, “wahai ayahku, setiap orang merasa memiliki jenazah itu.” Ayahku berkata, “wahai anakku, kamu tidak akan melihat jenazah seperti dia.” – Mohd Nasir Awang

Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur, Indonesia, 2009.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 9 (September/Oktober 2012)  di ruangan "ULAMA PEWARIS NABI" dengan tajuk sama)