Tuesday, August 15, 2000

Terengganu Selepas Kelantan: Teori Domino Menjadi


SEORANG pemimpin kanan PAS Terengganu pernah meluahkan rasa kurang senangnya terhadap SWOT Analysis yang penulis buat terhadap prestasi PAS Terengganu dalam menghadapi pilihanraya lalu. Analisa awal itu telah disiarkan oleh majalah Detik (keluaran khas), sekitar Mei 1999, iaitu enam bulan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Kesepuluh itu.

“Analisa hak enta buat ni mudah sangat!”, kata pemimpin itu kepada penulis, sambil bersembang-sembang politik di ruang tamu pejabat Badan Perhubungan PAS Terengganu. Nadanya agak sinis, diiringi alunan tawa kecil dengan keyakinan yang sangat hambar.

Beliau merujuk kepada ulasan penulis mengenai peluang dan kesempatan yang patut dimanipulasi sepenuhnya oleh PAS Terengganu. Penulis menggariskan sekurang-kurangnya empat peluang dan kesempatan itu, iaitu Jiran Kelantan, Krisis Kepimpinan Umno, Kebanjiran Ahli Umno Menyertai PAS dan Undi Popular.

Berikut dipetik semula sebahagian daripada tulisan tersebut dalam bab Undi Popular:
“Bagaimana pun pada 1995 perbezaan undi popular naik sedikit kepada 11 peratus apabila undi BN meningkat kepada 55.42% dan undi PAS dan S46 susut kepada 44.44%. Dengan mengandaikan undi popular terhadap PAS akan kekal di tahap tersebut, PAS memerlukan hanya enam peratus peralihan undi untuk menawan Terengganu. Jumlah enam peratus undi tersebut sudah semestinya didatangkan daripada undi yang sebelum ini berada di tangan BN.

“Jumlah pemilih berdaftar di seluruh Terengganu pada 1995 ialah 367,676 orang. Sejumlah 279,715 orang keluar mengundi. Dengan mengandaikan penambahan yang setara dalam jumlah pemilih, sekitar 350,000 pemilih di Terengganu dijangka akan mengundi pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan daftar pemilih 1998.

“Enam peratus daripada jumlah itu ialah sekitar 21,000 orang. Katakanlah jumlah kerusi yang diharap oleh PAS untuk dimenangi juga 21. Maka untuk menawan Terengganu, PAS perlu mendapatkan paling kurang 1,000 orang pengundi yang beralih di setiap DUN berkenaan.”

“Enta ingat sikit 1,000 orang tu! Nak cari mana satu DUN 1,000 orang?”, tanya pemimpin PAS itu lagi. Tidak tergambar walau sedikit pun pada raut mukanya ketika itu keupayaan PAS memujuk sekitar 1,000 pengundi di setiap DUN, agar ‘Acu Ubah Sekali’.

Ya, tidak dinafikan angka 1,000 itu agak besar bagi sebuah DUN di Terengganu, yang memiliki hanya sekitar 9,000 hingga 12,000 pengundi sahaja. Dan angka itu pun sebenarnya bukanlah suatu yang mutlak. Ia hanyalah anggaran kasar yang sengaja diletakkan mengatasi target sebenar, iaitu sekitar antara 400 hingga 700 sahaja bagi setiap DUN terbabit.

Dalam analisa yang sama juga penulis banyak mencatatkan soal kekuatan, kelemahan, kesempatan dan juga ancaman yang harus ditempuhi PAS dalam merealisasikan Terengganu sebagai Kelantan Kedua. Memang, setiap kali menjelang pilihan raya, kemampuan PAS menawan Terengganu sentiasa menjadi topik perbincangan hangat.

Secara tradisinya Terengganu adalah antara negeri paling kuat pengaruh PAS selain Kelantan, Kedah dan Perlis. Sejak rakyat negeri itu mengenal erti pilihan raya, iaitu seawal tahun 1959, PAS telah membuktikan kemampuannya memenangi hati rakyat Terengganu. Dalam pilihan raya umum kali pertama selepas negara mencapai kemerdekaan itu, PAS telah berjaya membentuk kerajaan di Terengganu.

Walau pun kerajaan PAS Terengganu tumbang pada tahun 1961 dan tidak pernah berupaya meraih kemenangan untuk kembali berkuasa selepas itu, pengaruh PAS tidak pernah padam. Ia boleh dianggap sekadar pudar untuk beberapa ketika tertentu, tetapi menyinar kembali di ketika yang lain. Turun-naik sokongan pengundi terhadap PAS membuatkan para pemimpin Umno Terengganu tidak pernah jenera tidur.

Barangkali pengalaman paling pahit bagi Umno ialah apa yang dialaminya dalam Pilihan Raya Umum 1990. BN kalah secara total di semua 39 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen di Kelantan. Manakala sepuluh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Terengganu turut menyaksikan calon-calon BN tersungkur.

Ekoran kebangkitan semula PAS di Kelantan itu, banyak pihak meletakkan harapan jirannya Terengganu akan menyusul segera ditawan oleh PAS. Abdullah Hassan, melalui sebuah akhbar harian lewat 1991 menganggap kemenangan PAS di Kelantan itu pencetus “Teori Domino”, yang didakwanya bermula di Pantai Timur. Tarmizi Mohd Jam menyusul pula dengan kupasan politiknya, Teori Domino 1994: Terengganu Selepas Kelantan, awal 1992.

Lebih kurang pada masa yang sama juga ditimbulkan Gagasan 3T atau ‘Tahun Tawan Terengganu’, yang dipelopori ideanya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Seluruh jentera pilihan raya PAS di Terengganu digerakkan sebegitu rupa bagi merealisasikan tahun 1994 (atau lebih tepat Pilihan Raya Umum 1995) sebagai tahun Terengganu ditawan semula oleh PAS. Malangnya nasib masih belum menyebelahi PAS. Ia menang hanya tujuh kerusi DUN.

Tentu sekali ada punca kenapa PAS gagal menawan Terengganu. Walau pun pada peringkat awal pengaruh PAS begitu menyerlah, namun selalunya berakhir dengan sorak-sorai kemenangan BN. Pilihan Raya Umum 1986 umpamanya, menyaksikan kemuncak kekuatan PAS di Terengganu. Banyak pihak yakin parti itu berupaya menawan Terengganu, tapi ia hanya mampu meninggalkan dua batu nesan PAS, di Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang. Tiga kerusi lagi yang dimenangi pada 1982, iaitu Jeram, Batu Burok dan Manir, terlepas.

Dalam mencari sebab-musabab sesuatu kegagalan, sudah tentu kita tidak dapat lari dari membandingkan dengan pihak yang memperolehi kejayaan. Sebab itu dalam banyak hal, kekuatan dan kesempatan yang ada pada PAS Terengganu sering diperbandingkan dengan apa yang ada kepada PAS Kelantan.

Kemenangan PAS Kelantan pada 1990 berbekalkan hanya sepuluh kerusi yang dimenanginya pada 1986. Sepuluh daripada kesemua 39 kerusi DUN adalah sedikit melebihi satu perempat sahaja. Namun, ia mampu menang bergaya pada 1990 apabila gabungannya dengan parti serpihan Umno, Semangat 46, berjaya menyapu bersih kesemua kerusi di Kelantan. Penulis sendiri pernah membuat analisa atas kemenangan tersebut, dan menggariskan tujuh faktor luaran utama yang membantu kemenangan itu.

Faktor-faktor tersebut ialah Institusi Istana, Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, Semangat 46, Kumpulan Islah, Umno/BN yang bermasalah, Institusi Pondok dan Kuasa Rakyat. Analisa tersebut pernah disiarkan dalam isu Laporan Khas: Terengganu Milik Angkatan, terbitan Rangkaian Minda Publishing, pertengahan 1993.

Bagi merealisasikan Terengganu sebagai ‘Kelantan Kedua’, tidak dapat tidak faktor-faktor berkenaan, atau mungkin sebahagian besar daripadanya, perlu diwujudkan. Melihatkan perkembangan politik dan sosial dalam masyarakat Terengganu menjelang pilihan raya umum lalu, banyak pihak berkeyakinan bahawa Terengganu bakal menyusuli Kelantan.

Ketika itu PAS Terengganu sudah memiliki tujuh kerusi iaitu kurang satu untuk menjadi seperempat daripada keseluruhan 32 kerusi DUN. Namun, secara hakiki PAS sebenarnya telah menguasai sembilan DUN. Dua kerusi di Parlimen Dungun yang dimenangi oleh BN tanpa bertanding itu sebenarnya milik PAS, mengambil kira jumlah undi calon BN Parlimen Dungun di kedua-dua DUN berkenaan adalah lebih kecil daripada undi yang diperolehi calon Parlimen PAS. Hakikat itu bermakna PAS sudah berbekalkan lebih seperempat daripada jumlah keseluruhan kerusi DUN Terengganu ketika itu.

Sebahagian para pegawai dan kakitangan kerajaan pula telah menzahirkan sikap politik masing-masing untuk sama-sama menjana perubahan. Manakala faktor serpihan Umno pula diambilalih oleh kemunculan Parti Keadilan Nasional (keADILan), walau pun Semangat 46 telah berkubur.

Masalah dalaman Umno/BN sememangnya tidak pernah sendik. Ia berlaku di Kelantan dan turut sama berlaku di Terengganu. Pergeseran dan perebutan kuasa sesama mereka seringkali tidak dapat dibendung, sehingga ‘kebusukan’ itu terhidu oleh masyarakat umum. Manakala kekuatan PAS menerusi institusi pondok di Kelantan telah diimbangi dengan pusat-pusat pengajian Islam tajaan PAS yang bercambah dengan banyak di serata negeri Terengganu.

Akhir sekali, kuasa rakyat sebagai penentu perubahan. Faktor ini telah berjaya dimanipulasi dengan baik melalui penerangan, gerak saraf dan juga khidmat masyarakat yang dihulurkan oleh PAS Terengganu.

Ada pun faktor-faktor dalaman yang telah memenangkan PAS di Kelantan dan Terengganu telah sama-sama dimiliki sejak sekian lama oleh kedua-dua negeri itu. Faktor-faktor tersebut termasuklah saf kepimpinan yang mantap, institusi pendidikan dan khidmat masyarakat, serta majlis-majlis ilmu yang mendidik dan mendakwah masyarakat sepanjang masa.

Kini, setelah Teori Domino dianggap menjadi dan Terengganu telah dapat ditawan, perhatian politik negara beralih pula kepada negeri-negeri lain yang berpotensi besar untuk dimenangi oleh PAS. Kalau kemenangan di Terengganu dikira sebagai tempias dari Kelantan, maka ke mana pulakah tempias itu akan dipercikkan selepas ini?

Berdasarkan keputusan pilihan raya 1999, sekurang-kurangnya tiga negeri berpotensi untuk melihat kemaraan PAS. Negeri-negeri tersebut ialah Perlis, Kedah dan Pahang. Bahkan dari segi congakan angka, PAS lebih mudah meletakkan harapan di Perlis dan Pahang, berbanding negeri tradisinya, Kedah.

Di Perlis, PAS telah memenangi tiga daripada 15 kerusi DUN, iaitu Guar Sanji dengan majoriti 603 undi, Sanglang (333) dan Santan (269). Untuk menawan Perlis, PAS memerlukan sekurang-kurangnya lapan kerusi, iaitu secara simple majority. Selain daripada tiga yang telah dimenanginya, terdapat tujuh lagi kerusi DUN dimana PAS tewas dengan jumlah undi kurang daripada 1,000. DUN-DUN tersebut ialah Simpang Empat (248), Bintong (306), Kayang (331), Sena (544), Mata Ayer (664), Beseri (819), dan Tambun Tulang (877).

Pengalaman di Kelantan dan Terengganu mengajar PAS bahawa amat penting bagi Jentera Pilihan raya Negeri (JPN) untuk menyenaraikan ‘DUN Sasar’, bagi dijadikan tumpuan gerak kerja dan aktiviti jangka panjang menawan hati para pengundi. DUN Sasar itu kebiasaannya ditentukan berdasarkan jumlah undi majoriti kekalahan PAS yang paling sedikit.

Berbekalkan kekalahan yang sedikit (di bawah 1,000 undi) itu, jumlah pengundi sasar yang cuba dipikat tidaklah begitu membebankan para petugas. Di atas perkiraan itu Perlis mempunyai potensi yang sangat cerah untuk ditawan.

Negeri kedua, yang sebelum ini tidak pernah menampakkan potensi secara jelas bagi kemaraan PAS, ialah jiran Terengganu, iaitu Pahang. Jika pendapat yang mengatakan Teori Domino bermula di Pantai Timur diambilkira, maka tempias Terengganu sewajarnya terpercik ke Pahang.

Lebih-lebih lagi jika dinilai prestasi yang agak memberangsangkan dalam pilihan raya umum lalu. PAS menang enam daripada keseluruhan 38 kerusi DUN Pahang. DUN-DUN berkenaan ialah Penor, dengan majoriti 1, 925 undi, Kuala Pahang (1,805), Semantan (1,314), Guai (523), Jengka (319) dan Tahan (103). Manakala dua lagi DUN yang turut dimenangi oleh parti-parti Barisan Alternatif, ialah Teriang (DAP) dan Cini (Keadilan).

Dengan jumlah lapan kerusi sekarang, BA/PAS berpotensi menjadi pembangkang yang kuat, sebelum melangkah lebih jauh ke arah menawan Pahang. Tambahan pula terdapat 11 kerusi DUN di mana PAS dan rakan-rakan BA kalah dengan majoriti di bawah 1,000 undi.

Kawasan-kawasan yang ditandingi PAS ialah Padang Tengku (dengan majoriti hanya 46 undi), Pulau Tawar (763), Bebar (829), Batu Talam (931), Jelai (952), Beserah (985) dan Cenur (997). Manakala DAP pula tewas di DUN Teras (119 undi) dan Ketari (231). Begitu juga dengan Keadilan yang kalah di DUN Benta (268) dan Ceka (321).

Kesemua kawasan yang disebutkan itu telah membentuk 19 kerusi, iaitu betul-betul separuh daripada jumlah keseluruhan 38 kerusi DUN Pahang. Manakala tiga DUN lagi, iaitu Luit, Sabai dan Bera mencatatkan hanya sedikit mengatasi 1,000 undi majoriti. Perkiraan itu meletakkan Pahang sebagai salah satu negeri berpotensi besar bagi PAS dan rakan-rakan BA di masa akan datang.

Walau pun Kedah pernah diletakkan di tempat ketiga selepas Kelantan dan Terengganu, keadaan di negeri tersebut rupa-rupanya tidaklah semudah yang dijangka. Salah satu faktor utama kesukaran itu ialah faktor undi bukan Melayu yang agak tinggi. Bahkan, peratus undi kaum India di Kedah adalah antara yang tertinggi di kalangan negeri-negeri seluruh negara.

Dalam pilihan raya lalu PAS berjaya menawan 12 daripada 36 kerusi DUN Kedah. Itu bermakna PAS sudah bertapak sangat kukuh di satu pertiga negeri Kedah. Ia memerlukan hanya tujuh kerusi sahaja lagi untuk kemenangan simple majority. Malangnya, daripada congakan majoriti undi, PAS Kedah perlu bekerja lebih keras berbanding di Perlis atau Pahang. Terdapat hanya tiga DUN yang mencatatkan majoriti kekalahan kurang daripada 1,000 undi, iaitu Kota Siputeh (261), Tanjung Seri (440) dan Pantai Merdeka (504). Manakala bagi empat DUN Sasar yang berikutnya, undi majoriti mereka adalah hampir 2,000.

Lain pula halnya di Selangor. Kalau momentum 1999 diambilkira, besar kemungkinan PAS dan rakan-rakan BA mampu membuat kejutan di negeri tersebut dalam pilihan raya akan datang. Dalam pilihan raya umum lalu Selangor mencatatkan peralihan undi daripada BN kepada BA yang paling tinggi dalam negara. Lonjakan peralihan undi itu telah membuahkan kemenangan manis bagi PAS di empat DUN, iaitu Gombak Setia, Sungai Besi, Sungai Burung dan Kajang. Manakala DAP pula menang di Bandar Klang dan Keadilan berjaya menawan Hulu Klang.

Prestasi yang membanggakan di beberapa negeri yang disebutkan itu, mampu digarap sebagai katalis kepada penggemblengan tenaga petugas yang lebih tersusun dan mantap ke arah mencapai cita-cita kemenangan. Bilakah lagi akan datangnya pertolongan Allah dan kemenangan itu, tidak dapat dipastikan. Namun, apa yang pasti Allah Ta’ala telah menjanjikan bahawa Islam akan menang, dan demi sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan memungkiri janji-Nya.

(Artikel ini adalah Bab 11, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment