Tuesday, August 15, 2000

Haji Wan Abdul Mutalib @ Wan Musa bin Wan Embong


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar
 
WAN Abdul Muttalib @ Wan Musa bin Wan Embong dilahirkan pada bulan Oktober 1941 di Kampung Bukit, Kuala Terengganu. Anak kedua daripada sembilan adik-beradik itu memulakan pengajiannya di Sekolah Melayu Pasir Panjang, Kuala Terengganu, sekitar tahun 1949. Pada tahun 1956 beliau berpindah ke Sekolah Melayu Kuala Terengganu, sebelum mengikuti kelas peralihan di Sekolah Sultan Sulaiman, Batu Burok, dari tahun 1957 hingga 1962.

Selepas menamatkan era persekolahan dengan keputusan yang cemerlang, Wan Muttalib berkhidmat sebagai kerani di Pejabat Haiwan Negeri Terengganu, sehingga tahun 1966. Beliau kemudiannya ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beliau dijadualkan mengikuti jurusan Sains Perubatan Kehaiwanan di Mohiymen Singh, Pakistan Timur (sekarang Bangladesh). Bagaimanapun, peperangan saudara yang berlaku di benua India pada tahun tersebut mengakibatkan pemergiannya ditangguhkan.

Nasibnya sangat baik, kerana di tahun yang sama beliau ditawarkan tempat di Lincoln’s Inn, London, untuk mengikuti kursus ijazah pertama jurusan undang-undang. Beliau diterima masuk ke institut pengajian guaman terkemuka itu setelah lulus ujian Cambridge Seberang Laut. Maka pada awal tahun 1967 bermulalah pengajian Wan Muttalib di situ. Pada tahun 1969 beliau berjaya menamatkan pengajiannya.

Sekembali ke tanahair, Wan Muttalib berkhidmat dengan Jabatan Kehakiman dan Perundangan, dari tahun 1969 hingga 1975. Antara jawatan yang pernah dipegang olehnya sepanjang perkhidmatan itu ialah Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Pulau Pinang; Majistret di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan; Yang Dipertua Mahkamah Sesyen Taiping, Perak; dan Timbalan Pendakwa Raya Biro Siasatan Negara (BSN), yang kini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Setelah mengambil keputusan berhenti berkhidmat dengan jabatan kerajaan, Wan Muttalib bertugas pula di Pulp and Paper Industries Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat), sebagai Penasihat Undang-undang merangkap Setiausaha Syarikat.

Pada tahun yang sama juga (1975) Wan Muttalib secara rasmi menyertai PAS, dan mulai aktif memainkan peranan penting dalam parti. Penglibatannya di peringkat Pusat bermula apabila dilantik sebagai AJK Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Belia berkhidmat selama dua penggal berturut-turut (1977/78 dan 1979/80). Wan Muttalib meninggalkan tugas-tugas dalam Dewan Pemuda PAS apabila menjangkau umur 40 tahun.

Dalam Pilihan Raya Umum 1978, Wan Muttalib dipilih untuk menjadi calon PAS bagi kerusi DUN Batu Burok, dalam Parlimen Kuala Terengganu. Beliau bertembung dengan calon BN, Haji Abdul Muttalib bin Salleh. Dalam pertarungan itu Wan Muttalib tewas dengan majoriti yang sangat tipis, iaitu 74 undi. Beliau memungut 2,626 undi, berbanding Abdul Muttalib yang mengutip 2,700 undi.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menawarkan semangatnya untuk terus komited dengan perjuangan PAS. Pada tahun 1979 beliau terpilih menganggotai saf kepimpinan tertinggi PAS, iaitu AJK Kerja PAS Pusat. Sejak itu peranannya di peringkat Pusat semakin besar. Beliau kemudiannya diamanahkan menjadi Penasihat Undang-undang PAS Pusat.

Dalam Pilihan Raya Umum 1982, Wan Muttalib bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN. Di Parlimen Kuala Terengganu beliau menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan calon BN dan calon PSRM. BN mencalonkan Datuk Abdul Manan Othman, manakala PSRM diwakili Syed Shafie bin Tuan Baharu. Wan Muttalib mengutip 13,078 undi, manakala Datuk Manan memungut 18,545 undi. Keputusan itu memberi kelebihan kepada calon BN dengan 5,467 undi. Syed Shafie hanya memperolehi 1,231 undi.  

Bagaimanapun, Wan Muttalib berjaya merampas kerusi DUN Batu Burok daripada penguasaan BN. Beliau memperolehi 3,979 undi, berbanding calon BN, Mustafa bin Awang yang mengutip 3,893 undi, sekaligus memberikan kemenangan tipis kepada PAS dengan majoriti 86 undi.

Pilihan Raya Umum seterusnya mempertemukan kembali Wan Muttalib dengan Haji Abdul Muttalib di DUN Batu Burok. Sekali lagi Wan Muttalib kecundang di tangan Haji Muttalib. Kali ini dengan majoriti 554 undi. Kekalahan itu banyak dikaitkan dengan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya yang diwartakan oleh kerajaan BN sebelum itu.

Sekalipun kalah, tugas politik yang diamanahkan kepada Wan Muttalib semakin bertambah berat. Beliau dilantik pula menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Di peringkat kawasan pula beliau dipilih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu. Beliau kekal memegang kedua-dua jawatan tersebut hingga kini.

Ledakan politik Umno pada tahun 1987, sehingga menghasilkan parti serpihan Semangat 46, telah membuka kembali ruang PAS untuk merampas semula beberapa kerusi DUN yang pernah dimenanginya di Terengganu. Ruang yang digunakan sepenuhnya oleh Wan Muttalib, yang diamanahkan untuk menawan semula DUN Batu Burok.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990 beliau menewaskan dua calon lain dengan majoriti 984 undi. Calon BN, Zulkifli bin Mohd Nasir memungut 5,064 undi, manakala seorang calon Bebas, Rasid bin Musa memperolehi hanya 86 undi.

Kejayaan itu diulangi lagi dalam Pilihan Raya Umum 1995 apabila beliau berjaya mengalahkan calon BN dengan majotiti 641 undi. BN yang diwakili Zubir bin Embong mengutip 6,115 undi, manakala Wan Muttalib mendapat sokongan 6,756 pengundi.

Dalam pilihan raya umum kesepuluh lalu, Wan Muttalib sekali lagi mempertahankan kerusi DUN Batu Burok. Kali ini dengan majoriti yang sangat memberangsangkan, iaitu 5,400 undi. Beliau memperolehi 9,422 undi berbanding lawannya Mohamad bin Jusoh yang mewakili BN, 4,022 undi.

Berikutan kemenangan itu, dalam perisytiharan pembentukan Kerajaan Negeri Terengganu pada 2 Disember 1999, Yang Berhormat Haji Wan Abdul Muttalib @ Wan Musa bin Wan Embong telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dengan diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment