Friday, March 30, 1990

Bayangan kejayaan mula kelihatan


28 tahun perjuangan kemerdekaan Eritrea

Oleh: Anuwa Jamalullail

NEGARA Ethiopia dan pejuang-pejuang pembebasan di Wilayah Utara Eritrea telah sekian lama terjebak dalam kancah peperangan merebut sebuah pelabuhan kecil di pinggir Laut Merah. Pelabuhan tersebut dikira sebagai nadi kehidupan bagi berjuta-juta rakyat yang kebuluran.

Presiden Ethiopia, Mengistu Haile Mariam menggelarkan perjuangan merebut Pelabuhan Massawa itu sebagai “berjuang untuk mati”. Dipercayai ratusan ribu askar beliau telah dibabitkan dalam pertelingkahan tersebut.

Kesan daripada penumpuan kerajaan terhadap peperangan itu, kira-kira empat juta rakyat Ethiopia, terutama di utara negara tersebut mengalami kebuluran. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah menyatakan harapan dapat menghantar sejumlah 1.1 juta tan bantuan makanan melalui Pelabuhan Massawa untuk mangsa-mangsa kemarau di Eritrea dan wilayah-wilayah yang berdekatan seperti Tigre, Wollo dan Gondor.

Tetapi hari berganti hari, pertentangan yang tidak berkesudahan antara pihak kerajaan dengan Barisan Pembebasan Rakyat Eritrea (EPL) telah menggagalkan usaha itu. Gerila-gerila EPLF tanpa menghiraukan perintah gencatan senjata telah bertindak menyerang gerombolan tentera kerajaan yang mengawal sempadan sepanjang 320km itu pada awal Februari lalu.

Dalam masa dua hari serangan bertubi-tubi itu dilakukan, pihak gerila mendakwa mereka telah berjaya “menawan” Pelabuhan Massawa. Tanpa menafikan dakwaan pihak gerila pembebasan itu, pentadbiran Addis Ababa tetap menyatakan bahawa peperangan untuk menguasai pelabuhan rebutan itu akan diteruskan.

Ekoran dari itu, pihak gerila EPLF mendakwa serangan pihak tentera kerajaan telah mengubah corak Pelabuhan Massawa menjadi medan letupan bom, peluru dan senjata api.

Pada tanggal 17 Februari lalu, Presiden Mengistu tidak semena-mena mengisytiharkan kekalahan batalion kedua tentera kerajaannya mempertahankan Pelabuhan Massawa itu. Beliau juga mengatakan kerajaan beliau tidak akan dapat lagi menghalang pemisahan Wilayah Eritrea sekiranya Pelabuhan Massawa benar-benar jatuh ke tangan pejuang pembebasan tersebut. Bagaimana pun, Presiden Mengistu berikrar akan memprtahankan pelabuhan tersebut “sehingga mati”.

Ethiopia memiliki jumlah angkatan bersenjata yang terbesar di kalangan negara-negara Afrika. Dianggarkan jumlah mereka adalah seramai 315,000 orang. Sebahagian besar mereka tidak terlatih dan memiliki semangat perjuangan yang sangat lemah. Kira-kira 130,000 daripada mereka ini telah ditempatkan dalam batalion kedua yang menghadapi tentangan kumpulan gerila pembebasan Eritrea itu.

Institut Penyelidikan Strategi Antarabangsa yang berpusat di London meletakkan kekuatan
gerila Eritrea seramai 30,000 orang. Sungguh pun bilangan mereka adalah kecil berbanding dengan jumlah tentera kerajaan, mereka dikatakan lengkap bersenjata dan cukup terlatih serta memiliki disiplin perjuangan yang sangat tinggi.

Kenyataan itu terbukti apabila dalam beberapa hari pertama pertembungan berlaku antara pihak tentera kerajaan dengan mereka di sekitar Massawa, pihak gerila telah berjaya membunuh, menangkap atau mencederakan tidak kurang dari 12,000 tentera kerajaan.

Dalam operasi yang sama juga, mereka telah berjaya merampas 72 buah kereta kebal buatan Rusia, berpuluh-puluh bom dan bahan letupan serta ratusan senjata-senjata kecil. Mereka juga mendakwa telah menenggelamkan 12 buah kapal perang kerajaan Ethiopia di pinggir Pelabuhan Massawa.

Dari segi kebagusan sistem pelabuhan, Massawa bukanlah boleh dikatakan suatu pelabuhan yang baik. Bangunan-bangunan batu berkerutu, lorong-lorong sempit dan tidak teratur adalah pandangan yang biasa di situ. Penduduknya pula berjumlah 19,400 orang, menjadikannya suatu kawasan yang sesak.

Sungguh pun begitu, Massawa merupakan satu di antara hanya dua pelabuhan yang ada di Ethiopia sepanjang pantai Laut Merah. Ia menjadi pintu masuk ke wilayah pergunungan di utara dan satu-satunya laluan laut ke Eritrea dari selatan. Pinggiran pelabuhannya yang mempunyai dasar laut yang dalam lebih menjadikannya sesuai untuk kapal-kapal besar berlabuh.

Pelabuhan Ethiopia yang lain ialah di Assab, juga dalam wilayah Eritrea, berhampiran sempadan dengan Djibouti. Air pinggir yang cetek, bagaimana pun, menyebabkan pelabuhan  ini kurang menjadi kunjungan kapal-kapal dagang.

Kemarau yang melanda beberapa bahagian dari wilayah Eritrea dan Tigre tahun ini telah memusnahkan sama sekali tanaman makanan. Akibatnya, simpanan makanan selama setahun lalu susut begitu cepat sekali.

Maka bantuan makanan dari luar mesti diusahakan untuk dibawa masuk. Manakala jalan terbaik untuk kemasukan itu ialah melalui Pelabuhan Massawa juga. Ianya tentu tidak selamat untuk dilakukan sekiranya pertelingkahan dan pertempuran yang berlaku kini masih berterusan.

Bagi pihak gerila Eritrea, masalah ini dapat diselesaikan hanya jika wilayah tersebut berjaya dibebaskan. Dengan tertawannya Pelabuhan Massawa, dan yang terbaru bandar Addis Zemen di utara Tasik Lana, sekurang-kurangnya perjuangan membebaskan wilayah Eritrea dari cengkaman kerajaan Ethiopia mula menampakkan sinar kejayaannya.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi Jumaat, 3 Ramadhan 1410/30 Mac 1990 di ruangan ‘Antarabangsa’ dengan tajuk sama)

Friday, March 23, 1990

Bukti Kristian tidak senang terhadap kebangkitan Islam


Surat Persatuan Kristian Nigeria kepada Pres. Babangida

Oleh: Saodah Mohd Nasir

MENJADI suatu kecenderungan sejak dahulu bagi penganut dan pengembang agama Kristian sedunia untuk menumpukan kerja-kerja mereka di negara-negara Dunia Ketiga yang didiami oleh umat Islam. Suasana sosio-ekonomi umat Islam di negara-negara tersebut tambah memudahkan mereka mencapai tujuan “memalingkan” umat Islam dari kepercayaan dan agama Islam.

Persatuan Kristian Nigeria (CAN), sebagai contoh, adalah antara pertubuhan-pertubuhan Kristian yang paling aktif menyusun strategi dan melaksanakan berbagai-bagai usaha bagi, bukan sahaja mengkristiankan penduduk yang atheis dan tidak beragama, malah menghalang sebarang pengembangan yang berlaku dalam agama Islam.

Paling terbaru dilakukan oleh CAN ialah mengutus surat bantahan kepada Presiden Nigeria, Ibrahim Babangida mendakwa presiden itu sedang melaksanakan secara sulit program Islamisasi di negara itu sekarang ini.

Malah surat tersebut lebih jauh mengecam Presiden Babangida, menyatakan: “Kami lebih tahu tindakan ‘sulit tetapi nyata’ yang tuan lakukan untuk menjadikan Nigeria ini sebuah Negara Islam.”

Surat itu juga menuduh pemimpin itu memihak kepada orang-orang Islam dalam satu pergaduhan agama di Kaduna dalam tahun 1987. Kebanyakan orang-orang Islam di Nigeria tahu bahawa Babangida tidak terlibat langsung dengan peristiwa itu, malahan Pasukan Keselamatan Negeri sendiri menyebelahi orang-orang Kristian yang memulakan krisis itu dengan membakar masjid-masjid di Kafanchan.

Selain daripada surat itu, CAN juga telah mengadakan demonstrasi-demonstrasi di empat wilayah utara negara itu pada hari yang sama. Tuduhan yang dilemparkan oleh CAN itu jelas sekali menggambarkan sifat busuk hati puak-puak Kristian terhadap Islam dan rasa tidak puas hati mereka dengan perkembangan Islam di Nigeria kini.

Surat yang panjang lebar itu juga memuatkan tuduhan CAN terhadap Presiden Babangida kononnya beliau memperlakukan negara Nigeria seolah-olah negara itu hak milik beliau. Ini berikutan daripada bantahan mereka kerana Babangida telah membawa Nigeria menganggotai OIC, sebuah pertubuhan Islam yang dikatakan berjuang untuk mengembangkan pengaruh Islam.

Selain daripada itu pentadbiran Babangida juga dikatakan telah melibatkan negara itu dengan sebuah syarikat perkongsian dalam Bank Pembangunan Islam (Islamic Development Bank), di mana Nigeria mempunyai kongsi sebanyak 0.32 peratus, menurut satu sumber dari bank tersebut dalam bulan Januari 1988.

Di bawah pentadbiran Babangida juga sebuah akhbar kerajaan New Nigerian dikatakan telah menganjurkan satu perbahasan yang berat sebelah dengan bebasnya untuk “mengukuhkan Undang-Undang Syariah dalam Perlembagaan”, yang hampir-hampir membawa negara itu kepada jurang pertumpahan darah.

Dalam satu kejadian rusuhan agama antara Kristian dan Islam yang melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda di Wilayah Kaduna dalam tahun 1987, pihak berkuasa dikatakan telah diarahkan supaya tidak campur tangan sehingga keadaan orang-orang Kristian benar-benar terancam. Presiden Babangida dituduh tidak mengambil berat tentang peristiwa itu.

Dalam tahun 1989 pula, orang-orang Islam telah dituduh menyerang dan membunuh seorang Koperal Polis Kristian semasa beliau sedang beribadat di dalam sebuah gereja Khatolik di Rigasa, Wilayah Kaduna.

Orang Islam juga dituduh menyerang orang-orang Kristian yang sedang melakukan upacara ibadat di Gereja Goodnews, Malali. CAN mendakwa pentadbiran Babangida dan beliau sendiri sengaja tidak menghiraukan masalah itu dan hanya mendesak orang-orang Kristian supaya bersabar dan bertolak ansur sahaja.

CAN juga mempertikaikan tentang usaha-usaha Babangida untuk memelihara hak-hak rakyat dan undang-undang. Sebuah masjid dikatakan diperuntukkan di Universiti Nigeria, Nsukka. Walhal, untuk mengadakan gereja di kampus-kampus Universiti Bayero dan Universiti Usman Dan Fodio dilarang dengan sekeras-kerasnya.

Satu pelancaran tabung bantuan mendirikan gereja oleh masyarakat Kristian di Universiti Dan Fodio, Sokoto dikatakan telah dibatalkan oleh kerajaan Wilayah Sokoto dengan alasan menghadapi bantahan dan ugutan oleh orang-orang Islam. Tabung bantuan kewangan CAN di Katsina juga dibatalkan dengan alasan yang sama.

Selain daripada itu CAN juga menuduh pentadbiran Babangida sengaja cuba mengenepikan orang-orang Kristian daripada memegang jawatan dalam kerajaan dengan menggantikan mereka dengan orang Islam. Banyak contoh yang diutarakan untuk menguatkan lagi hujah mereka.

Antaranya, Babangida telah melucutkan jawatan Ukiwe, seorang Kristian kerana beliau berani menyuarakan kebenaran tentang isu OIC yang dikatakan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat A.F.R.C.

Professor Tam-David West, seorang lagi Kristian, juga dikatakan dilucutkan dari Kementerian Minyak hanya kerana beliau menyuarakan tentang monopoli Arab-Islam di dalam OPEC dan juga tentang keanggotaan Nigeria di dalam OIC. Beliau kemudiannya digantikan oleh seorang Islam bernama Alhaji Lukman.

Baru-baru ini, Dr Onyia dan Adams, kedua-duanya beragama Kristian, telah dilucutkan daripada jawatan Pengarah/Pengurus NNPC untuk memberi laluan kepada Pengarah Pengurusan Islam, Alhaji Sani Bello.

Rombakan pentadbiran baru-baru ini juga tidak ketinggalan menjadi sasaran pandangan serong pertubuhan Kristian tersebut. CAN dengan terang menganggapnya sebagai satu perencanaan rapi untuk membawa Nigeria menjadi sebuah negara Islam.

Babangida dikatakan telah memberi perlindungan kepada orang Islam dengan mengadakan pengukuhan dari segi politik, ekonomi dan kuasa ketenteraan. Walau pun Babangida mengatakan itu semua sebagai usaha untuk mengatasi jurang perbezaan status dan memberbaharui keadaan politik, tetapi CAN mendakwa yang mereka lebih tahu rahsia politik di sebalik tindakan itu.

Selain daripada itu, CAN menyatakan kecurigaan puak Kristian tentang alasan untuk menyusun semula Angkatan Tentera yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada orang-orang Kristian, walau pun ketua dan orang atasannya terdiri daripada orang Islam.

Mereka menuduh penyusunan semula tentera itu semata-mata untuk mengenepikan orang-orang Kristian daripada menganggotai tentera untuk mengawal keselamatan negara apabila negara itu diisytiharkan sebagai Negara Islam kelak.

CAN yang mewakili orang-orang Kristian negara itu mengatakan bahawa keyakinan mereka tentang keselamatan mereka bukanlah terletak di tangan Presiden atau banyaknya jumlah Kristian dalam angkatan tentera. Tetapi mereka mendakwa keselamatan mereka pada tuhan dan semua usaha untuk menentang ‘orang-orang tuhan’, menurut mereka tidak akan berjaya walau pun seluruh angkatan tentera diislamkan.

Itulah tindakan berani dari sebuah pertubuhan Kristian. Amat Benar Allah SWT apabila Dia berfirman: Orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) sekali-kali tidak akan redha (kepada umat Islam) sehinggalah kamu menuruti millah mereka. (maksud Ayat Al-Quran).

Rujukan: Muslimedia, London, 1990.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 23 Mac 1990/26 Syaaban 1410 di ruangan ‘Antarabangsa’ dengan tajuk sama)

Friday, March 9, 1990

Cita-cita penyatuan ummah


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEORANG pejuang yang benar-benar berhasrat mahu memperjuangkan Islam mestilah menanamkan sikap cintakan perpaduan dan kesatupaduan di antara jamaah-jamaah Islam dan pekerja-pekerja Islam.

Mutakhir ini kelihatan seolah-olah kerja-kerja Islam lebih perlu ditumpukan ke arah penyatuan tenaga dan penyelarasan kerja pendukung-pendukung kerja Islam itu sendiri, daripada usaha-usaha untuk menambahkan bilangan pengikut dan penyokong. Suasana kebangkitan Islam kini telah berjaya menghasilkan pekerja-pekerja Islam yang begitu ramai. Alhamdulillah, ke mana sahaja kita pergi dan di mana sahaja kita berada, dapat kita temui pemuda dan muslimat yang ikhlas pada agamanya dan bersedia untuk mengorbankan kemampuannya kepada Islam dan perjuangan Islam.

Malangnya, kefahaman mereka untuk berjuang Islam ini tidak dapat dijuruskan semaksima mungkin untuk kebaikan perjuangan Islam. Antara sebab utama ialah tidak wujudnya kesatuan fikrah dan perencanaan kerja yang teliti. Hakikat ini menghasilkan kerja-kerja Islam yang tidak selaras antara mereka.

Hal ini berlaku apabila Gerakan Islam yang bersatu di atas fikrah dan manhaj yang satu tidak dapat diwujudkan dalam negara kita. Ianya jelas sekali hasil daripada kewujudan pelbagai tanzim dan jamaah Islam dalam suasana ta’addud (berbagai ragam). Lebih-lebih lagi apabila tiada wujudnya hubungan yang baik antara jamaah-jamaah berkenaan, sehinggakan jalan untuk mencapai penyatuan ummah amat kabur dan sukar sekali.

Kesan dari itu menyebabkan perjuangan Islam di Malaysia kelihatan tidak berencana dan menampakkan gambaran yang tidak menyeluruh (syumuliyyah) dan pergerakan yang tidak sejagat (alamiyyah). Perkara ini amat tidak wajar dibiarkan berterusan. Ianya akan merugikan Islam dan membantutkan perjuangan Islam.

Al-Ustaz Mustafa Masyhur, seorang ulama haraki yang terkemuka ada menulis tentang hal ini di dalam bukunya, yang diterjemahkan sebagai Pesanan dan Peringatan. Di mana antara lain beliau menggariskan sifat-sifat tertentu yang mesti dimiliki oleh setiap jamaah yang mahu mendakwa ianya sebagai sebuah jamaah Islam.

Pertama: Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul, syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk Islam.

Kedua: Meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk Negara Islam, sistem khilafah dan peneguhan agama ini (Islam) di bumi.

Ketiga: Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jamaah dan setakat adanya ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja belumlah cukup lagi. Tetapi jamaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan kewajiban itu dengan cara yang betul.

Keempat: Jamaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya-upaya di seluruh dunia Islam, bukannya setakat di sesebuah negara sahaja.

Kesudahannya, beliau menyimpulkan bahawa kesemua sifat itu terdapat pada jamaah Ikhwanul Muslimin. Maka Al-Ustaz Mustafa Masyhur menyarankan seterusnya, “jika terdapat dua jamaah yang sama-sama mempunyai keempat-empat syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan, pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah menyertai jamaah yang pertama”, iaitu yang lebih tua, lebih matang dan tentu sekali lebih berpengalaman dalam kerja-kerja Islam.

Tidak dinafikan bahawa saranan tersebut dibuat oleh Al-Ustaz Mustafa Masyhur dengan tujuan menangani permasalahan yang timbul di dalam jamaah Ikhwanul Muslimin sendiri. Namun, berdasarkan kepada beberapa persamaan termasuk persamaan waqi’ (realiti) pelbagai tanzim dan jamaah Islam yang ada di Malaysia sekarang, peraturan am sebagaimana yang disarankan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas nampaknya padan dan sesuai untuk dilaksanakan di negara kita.

Dalam suasana wujudnya berbagai jamaah, dengan slogan yang berbeza, para pejuang Islam khususnya tenaga muda yang mula cenderung kepada kerja-kerja Islam dan mahu menjuruskan diri ke dalam perjuangan Islam perlu sekali menilai kembali sifat-sifat yang dinyatakan di atas. Kerana persoalan memilih wadah perjuangan yang tepat bukanlah suatu yang boleh diambil ringan oleh seseorang pejuang Islam.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa di Malaysia kini sudah ada jamaah yang memiliki keempat-empat sifat yang diutarakan oleh Ustaz Mustafa Masyhur di atas. Kalau pun masih belum cukup sempurna, paling tidak jamaah itu bersungguh-sungguh bergerak ke arah menyempurnakan sifat-sifat itu.

Di samping jamaah yang sama juga memiliki pengalaman, kematangan di dalam dakwah dan persediaan yang penting di dalam menempuh jalan perjuangan menegakkan hakimiyyah Allah. Sudah ada di kalangan anggota dan pejuangnya yang menghadapi berbagai mehnah sehingga ke peringkat syahid dalam menentang kemungkaran.

Maka, para duat pejuang Islam perlu memikirkan secara bijak dan memilih jamaah yang tertua di negara kita. Dengan itu, para pejuang muda tidak perlu lagi merintis jalan bagi mendapatkan pengalaman. Lagi pun, dengan penyertaan ke dalam jamaah yang paling matang dan berpengalaman, insya Allah para pejuang Islam dapat menyatukan kaum muslimin di bawah satu kalimah, dan ummah muslimin tidak perlu pula mengangkat terlalu banyak panji-panji yang menyebabkan pekerja-pekerja Islam berpecah.

Amatlah tidak patut bagi seorang yang mahu berjuang Islam, tiba-tiba dalam suasana pelbagai jamaah yang sedia wujud kini, masih lagi memikirkan untuk mewujudkan jamaah yang lain. Apakah ada seorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada agamanya yang berfikir persoalan perpecahan ummah dapat diselesaikan dengan tindakan sebegitu?

Al-Ustaz Fathi Yakan, seorang lagi aktivis Ikhwanul Muslimin telah menulis dalam bukunya, Abjadiyat Haraki (A,B,C, Gerakan Islam) dan menekankan bahawa adalah suatu langkah yang tidak bijak bagi para duat mengadakan berbagai-bagai jamaah. Islam akan rugi, sebabnya orang yang sudah mulai tertarik dengan kebaikan Islam, mungkin hilang keyakinan dengan Islam apabila melihat para pekerja Islam sendiri saling bertelagah sesama mereka, sehinggakan wujudnya berbagai-bagai jamaah.

Gejala tidak sihat hasil ta’addud jamaah ini amat dirasai mutakhir ini. Amat malang dirasakan apabila pejuang Islam yang berpendidikan, lebih-lebih lagi yang berilmu tinggi, tiba-tiba terus mengenepi dan menyisihkan saudara seIslam semata-mata kerana perbezaan fikrah perjuangan yang didokongi atau semata-mata kerana saudaranya itu mengkritik cara pembawaannya tanpa membuat penilaian ilmiah terhadap hujah dan pendapat yang dikemukakan.

Perbezaan pendapat adalah lumrah insan. Namun, seseorang pejuang Islam mestilah memahami bahawa tenaga para pekerja Islam tidak seharusnya lagi dibiarkan bersesia, bertindak berasingan dalam berbagai tanzim yang mempunyai slogan yang berbeza.

Cubalah mengutamakan kepentingan Islam dan mengenepikan kepentingan-kepentingan yang lain, sama ada kepentingan puak-kumpulan atau, lebih buruk lagi, kepentingan diri perseorangan.

Seseorang pejuang Islam yang benar-benar ikhlas pada menyatukan ummah tidak wajar mengambil tindakan yang tambah memecahkan ummah. Perpaduan antara jamaah-jamaah dan pekerja-pekerja Islam mesti dicita-citakan. Sama ada ianya mampu dicapai atau tidak, itu persoalan selanjutnya. Pokoknya, hasrat dan cita-cita perpaduan itu tidak dapat tidak mesti disuburkan senantiasa.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, edisi 9 Mac 1990 dengan tajuk sama)