Saturday, December 8, 2001

Dua tahun pemerintahan penuh barakah

Oleh: Mohd. Nasir Awang
LEBIH 20 tahun lalu, seorang ulama’ muda yang baru pulang dari Timur Tengah telah mengejutkan umat Islam negeri ini dengan kuliah dan syarahannya yang nyata berbeza daripada apa yang selama ini didengari oleh masyarakat. Kepadatan ilmunya, kelantangan suaranya beserta keberaniannya menghuraikan soal-soal yang agak sensitif dalam masyarakat menyebabkan kuliah dan syarahannya semakin hari semakin mendapat sambutan. 
Di antara perkara yang sering beliau tekankan ialah soal penjajahan minda masyarakat. Penjajah ternyata telah berjaya menerapkan fahaman yang menyimpang dari ajaran Islam. Antaranya ialah fahaman politik suku agama suku. Manakala istilah ‘barakah’ telah dibuang terus dari kamus politik moden.
Maha Benarlah Allah Ta’ala apabila Ia menjanjikan bahawa jika sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Ia akan membukakan pintu barakah dari langit dan bumi untuk mereka. Itulah janji yang termaktub di dalam kitab suci Al-Quran.
Tetapi, setelah dijajah begitu lama, maka soal keberkatan sebuah pemerintahan yang beriman dan bertaqwa amat jarang diperkatakan orang. Kalau pun ada pihak yang cuba mengetengahkan konsep itu, ia akan dicap sebagai mencampur-adukkan politik dengan agama. Ataupun memperalatkan agama untuk kepentingan politik.
Alhamdulillah, berkat ketekunan dan ketabahan ulama’ muda tadi beserta rakan-rakan yang lain, rakyat negeri ini akhirnya telah memilih sebuah pemerintahan yang beriman dan bertaqwa. Kini sudah genap dua tahun ia diizinkan Allah berjalan dalam negeri ini.
Manakala ulama’ muda itu yang asalnya hanya menjadi tok guru kepada orang kampungnya kini telah bergelar Tuan Guru Menteri Besar.
Dalam masa dua tahun ini, tidak terhitung rahmat dan barakah dikurniakan Allah kepada negeri ini. Sesiapa juga yang menilai dengan mata hati pasti akan pasrah kepada kebenaran janji Allah itu.
Dalam ilmu sosio-ekonomi, terdapat istilah yang disebut ‘indeks kualiti hidup’. Ia merujuk kepada ukuran tahap kedudukan sosio-ekonomi rakyat atau penduduk sesebuah negeri. Demi Allah, dalam konteks negeri ini, kita dapat melihat dengan jelas peningkatan indeks kualiti hidup rakyatnya.
Walau pun sering digembar-gemburkan orang bahawa rakyat negeri ini semakin susah dan miskin, tetapi semakin ramai yang memiliki kereta-motor, membeli atau membina rumah batu.
Di bulan puasa ini pula, pergilah ke mana-mana Bazar Ramadhan. Satu fenomena yang tidak dapat dinafikan ialah para pengunjungnya terlalu ramai, hingga ‘tidak cukup’ ruang meletak kenderaan. Kuasa beli rakyat nampaknya tidak merosot, malah semakin meningkat.
Dari mana mereka mendapat rezeki? Antara mereka, ada yang tanpa disangka-sangka dihadiahkan ‘orang’ ratusan ringgit untuk belanja raya. Memang tidak disangka sungguh bagaimana sekumpulan orang yang pernah berpuluh tahun memerintah negeri ini, tetapi selama itu tidak pernah memikirkan untuk menghulurkan bantuan itu kepada rakyat. Tiba-tiba setelah kalah mereka menjadi tersangat pemurah pula.
Maha Benarlah Allah Ta’ala dengan firman-Nya bahawa nikmat orang yang bertaqwa itu antaranya dijanjikan rezeki kepadanya dari sumber yang tidak disangka-sangkakan. Siapa sangka itu salah satu barakah bernaung di bawah pemerintah yang taqwa ini?
Mujur juga mereka kalah. Berkat kekalahan itu, mereka menjadi manusia yang baik!
Ada juga orang yang tidak senang apabila dikaitkan kemenangan bergaya skuad Penyu menjulang Piala Malaysia bulan lalu sebagai barakah pemerintahan kini. Bagi mereka, ianya tidak lebih semata-mata kebetulan.
Soalnya, apa hikmatnya Allah Ta’ala mentakdirkan, selepas 80 tahun piala itu wujud, kebetulan itu berlaku semasa negeri ini diperintah oleh pemerintah kini?
Kebetulan lagikah apabila Terengganu mencatat sejarah pencapaian tertinggi dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini? Kita diberitahu sebanyak 9.2 peratus murid yang menduduki ujian itu di negeri ini mendapat 5A. Pencapaian mengejutkan itu mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu pada kadar 5.2 peratus dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini!
Banyak lagi barakah yang tidak cukup ruang untuk kita bicarakan kesemuanya di sini.  Antaranya ialah jumlah kutipan zakat yang melonjak dari tahun ke tahun.  Begitu juga dengan peningkatan jumlah umat Islam yang memakmurkan rumah-rumah Allah.
Manakala pembinaan pagar batu untuk semua sekolah persekutuan di negeri ini juga sedang berjalan. Apakah semua itu semata-mata kebetulan?
Seorang mukmin wajib percaya bahawa ‘barakah’ kewujudan sebuah pemerintah yang bertaqwa itu bukanlah janji-janji kosong mulut manusia sahaja. Mulut manusia sebagai makhluk kadang ia baik kadang ia celupar. Tetapi Allah tidak begitu sifat-Nya, kerana demi sesungguhnya Allah itu tidak memungkiri janji-Nya.
Amat malang kiranya, setelah lebih dua puluh tahun Tuan Guru mengutarakan soal barakah ini, masih ada orang yang sukar menerima hakikat kewujudannya. Inilah yang selalu kita sebutkan bahawa mendidik masyarakat bukanlah suatu kerja yang mudah.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 37, 8 Disember 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)