Tuesday, August 15, 2000

Menguak Pintu Yang ‘Berkarat’


SEGALA-galanya bagaikan bermula pada 23 Jun 1998. Itu tarikh keramat bagi PAS Kawasan Besut. Pada tarikh tersebut Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bermesyuarat dan mengambil keputusan nekad menggantung pentadbiran PAS Kawasan Besut (PKB), berkuatkuasa serta-merta. Peraturan yang diterimapakai dalam mengambil keputusan tersebut ialah Fasal 23 Perlembagaan PAS Ceraian (7): Tugas-tugas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Pecahan (g) yang berbunyi:
“Menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti, dan berkuasa menggantung dan membubarkan serta mengambilalih mana-mana Badan Perhubungan PAS Negeri/Wilayah Persekutuan, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan dengan melantik satu Jawatankuasa Tadbir Sementara yang akan mempunyai kuasa sebagaimana sesebuah Jawatankuasa yang diambilalihnya menurut Perlembagaan ini untuk tempoh masa yang ditentukan.”

Di atas peruntukan yang sama, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Sementara PAS Kawasan Besut (JTS/PKB). Dengan pelantikan itu beliau diberikan mandat untuk melantik sesiapa sahaja dari kalangan ahli PAS untuk membantu beliau melaksanakan tugasnya.

Sejurus selepas menerima pemakluman bertulis mengenai penggantungan itu daripada Pejabat Agung PAS, bekas Yang Dipertua (YDP) PKB, Ustaz Abdul Latif Mohamad telah memanggil satu perjumpaan khas kesemua bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PKB. Sememangnya sebagai seorang ketua beliau mengambil tanggungjawab untuk meminta penjelasan lanjut mengenai sebab-musabab penggantungan itu dilakukan. Tambahan pula PKB turut bertanggungjawab untuk menerangkan permasalahan yang berlaku itu kepada ribuan ahli PAS kawasan tersebut.

Lagi pun itu bukanlah kali pertama peristiwa yang mencabar kewibawaan pentadbiran PKB berlaku. Penggantungan itu adalah kali yang ketiga pernah diambil oleh Pejabat Agung terhadap PKB. Kali pertama pada tahun 1993, dan kali kedua berlaku dua tahun berikutnya.  Akibat daripada kedua-dua tindakan tersebut, PKB telah ‘direhatkan’ daripada menyertai muktamar PAS Pusat pada tahun-tahun berkenaan.

Dalam perjumpaan yang berbaur emosi dan prasangka, bekas YDP PKB dengan jelas menganggap tindakan penggantungan pentadbiran PKB itu sebagai satu penghinaan terhadap dirinya dan juga sekalian saf kepimpinan PKB. Sebagai salah seorang pemimpin kanan PKB, penulis sendiri turut dijemput menghadiri perjumpaan tersebut. Hiba juga rasanya, bagaimana sebuah kawasan yang berdaya maju itu terpaksa pula berhadapan dengan suasana yang ‘tegang’.

“Mungkin bagi demo ni, kemuliaan itu letaknya pada jawatan. Sebab itu demo ni rasa terhina bila jawatan mereka dirampas,” kata salah seorang bekas AJK PKB. Beliau sepertimana sebahagian besar AJK PKB yang lain, dapat melihat rasional tindakan PAS Pusat, sekali pun turut dibauri rasa terharu.

Bertolak dari situ suasana di Besut sudah tidak setenang sebelumnya lagi. Bekas YDP dan beberapa rakan setianya dari kalangan bekas AJK PKB memulau terus pelawaan Tuan Guru Timbalan Presiden untuk sama-sama berada dalam JTS/PKB yang baru dibentuk. Penulis sendiri adalah antara orang paling awal dilantik menganggotai JTS/PKB bersama-sama Naib Presiden, Haji Mustafa Ali, sebagai Timbalan Pengerusi JTS/PKB, dan Yahya Ali sebagai Setiausahanya.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa keadaan yang berlaku selepas itu tidak ubah suatu pergolakan. Ia bukan sekadar berlaku di peringkat Kawasan, malah merebak begitu cepat ke cawangan-cawangan dan juga Dewan-Dewan Pemuda dan Muslimat. Hampir setiap majlis penerangan dan taklimat yang dianjurkan oleh JTS/PKB bagi memperjelaskan keadaan sebenar, disusuli oleh majlis yang seakan-akan sama oleh rakan-rakan bekas YDP. Mereka kemudiannya membentuk satu badan induk bagi menangani urusan perundingan dengan pihak atasan parti, yang dinamakan Jawatankuasa Perunding PAS Besut.

Diringkaskan cerita, berlakulah beberapa insiden tegang dan mencemaskan di hampir setiap kali kehadiran Timbalan dan Naib Presiden PAS ke Besut. Malah mereka bertindak lebih berani mencabar arahan-arahan dan larangan-larangan Pejabat Agung PAS mengenai tindakan dan aktiviti mereka. Suatu Mesyuarat Agung Tahunan PKB turut dianjurkan tanpa kebenaran JTS/PKB mahu pun PAS Pusat.

Akhirnya, PAS Pusat mengambil keputusan lebih nekad. Ia mengumumkan tindakan tata tertib ke atas beberapa orang yang dianggap menjadi ‘master mind’ dalam pergolakan tersebut. Empat orang daripada mereka, iaitu Ustaz Abdul Latif Mohamad, Cikgu Mansor Kassim, Cikgu Fauzi Awang Hamat dan Wan Mohd Wan Ahmad telah dipecat daripada PAS. Manakala dua yang lain, iaitu Ismail Awang dan Aziz Ismail, digantung keahlian mereka.

Buat beberapa ketika selepas Ustaz Latif dipecat, penulis sendiri bagaikan berada di alam mimpi. Tidak pernah terbayang sebelum ini bagaimana mungkin pemimpin sehebat dan seagung beliau mengakhiri perjuangannya secara begitu sadis dan disingkirkan daripada PAS.

Tanpa hipokrit, perlulah diakui bahawa saham yang diberikan oleh Ustaz Latif dalam pembangunan PAS Besut tiada tolok bandingnya. Penulis sendiri banyak terhutang budi dan jasa kepada beliau yang sering dianggap bagaikan seorang bapa dan pendidik, dan bertanggungjawab secara langsung ‘mematangkan’ penulis dengan asam-garam politik di Besut, sedari awal kepulangan penulis pada tahun 1988.

Namun, tarbiyah mengajar kita bahawa perjuangan ini bukan kerana peribadi tertentu. Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan tetap perjuangan. Lagi pun Ustaz Latif sering membacakan hadith kepada kami beberapa ketika dahulu, yang maksudnya: “Kamu hendaklah bersama-sama dengan jamaah. Demi sesungguhnya berjemaah itu rahmat, dan perpecahan itu azab.”

Pada 13 Julai 1999, satu perhimpunan ahli-ahli PAS Besut diadakan di pekarangan rumah Ustaz Latif di Gong Kemuntong, Besut. Mereka menutup majlis dengan sama-sama membacakan ikrar yang berbunyi:

“Kami adalah ahli-ahli PAS yang sah dari 42 cawangan di bawah PAS Kawasan Besut dan 10 cawangan dari PAS Kawasan Setiu serta yang hadir pada malam ini berikrar bahawa sesungguhnya kami tetap perpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam dan dasar perjuangan parti berteraskan kebenaran dan keadilan Islam.

“Oleh itu, kami tetap menolak sebarang arahan yang tidak berlandaskan Islam terhadap pemimpin kami yang dipecat dan digantung. Kami mahu mereka yang terbabit, sama ada yang dipecat atau digantung keahlian, diterima semula tanpa syarat dan dibicarakan secara adil, jujur dan bijaksana menurut Islam.

“Jika penerimaan semua ahli yang dipecat atau digantung tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 21 hari dari pengisytiharan ini, maka kami akan membekukan segala kegiatan parti, memulaukan pilihan raya akan datang dan apa sahaja yang patut sehingga tuntutan kami ini diterima.”

Over-exposure oleh media massa terhadap isu berkenaan menyebabkan isu PAS Besut itu bertukar menjadi isu nasional. Sudah tentu apabila tv dan akhbar-akhbar kroni yang membuat liputan, orang-orang PAS secara automatik akan terus mempersoalkan kesahihan berita yang mereka siarkan.

Berbagai-bagai pihak telah menghubungi kepimpinan JTS/PKB. Penulis sendiri adalah antara kepimpinan PAS Besut yang paling banyak menerima panggilan telefon daripada rakan-rakan di serata ceruk negara, bertanyakan keadaan sebenar. Ada yang sekadar bertanyakan khabar, ada yang melahirkan rasa simpati, malah ada juga yang mencadangkan tindakan susulan begian dan begian.

Bertolak dari situlah beberapa rakan anak-anak Besut yang tinggal di sekitar Lembah Klang mencadangkan agar dibentuk sebuah jawatankuasa bagi membantu JTS/PKB dari segi logistik dan kewangan, terutama dalam menyusun gerak kerja menghadapi pilihan raya. Jika benar sebahagian ahli-ahli PAS Besut betul-betul memulaukan pilihan raya, sebahagian jentera pilihan raya PAS Besut pasti akan tempang, jika persiapan awal menggantikan ‘tenaga yang bakal hilang’ itu tidak dilakukan segera.

Ekoran dari itu, Konvensyen “Besut Pintu Tawan Terengganu” telah diadakan di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 15 Ogos 1999. Di akhir konvensyen tersebut para peserta sepakat menubuhkan Jawatankuasa Profesional Anak-anak Besut Lembah Klang (JPABLK). Penulis sendiri bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Redhuan Mohd Noor (yang juga anak Besut), telah dilantik sebagai Penasihat kepada JPABLK. Manakala seorang eksekutif telekomunikasi, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman, ditugaskan mengetuai jawatankuasa yang turut sama dianggotai oleh peguam, pensyarah, eksekutif syarikat, pegawai bank dan juga pemimpin pelajar itu. Konvensyen itu turut menerima resolusi yang berbunyi:
*Menolak kezaliman, penindasan, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, kronisme, nepotisme, tipudaya dan ketidakadilan pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional.
*Menolak pemimpin yang korupsi, kolusi dan mengamalkan politik suku-sakat untuk kepentingan peribadi sehingga merugikan rakyat.
*Memperteguhkan kesatuan seluruh ahli-ahli profesional dan anak-anak Terengganu di perantaun bagi menjana suatu kombinasi tenaga dalam memantapkan gerak kerja dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum yang kesepuluh.
*Memberikan sumbangan dan komitmen yang padu dalam bentuk penggemblengan tenaga, masa dan kepakaran yang ada kepada PAS Terengganu, khususnya Jawatankuasa Tadbir Sementara PAS Kawasan Besut.
*Menyatakan kebersamaan dan kesetiaan serta wala’ yang tidak berbelah bagi kepada Majlis Syura Ulama, kepimpinan PAS Pusat Pusat dan Negeri selama mana mereka tidak menyeleweng daripada al-Quran dan Sunnah.

“Demi memenuhi hasrat dan cita-cita murni di atas, maka kami Jawatankuasa Profesional Anak-anak Besut di Lembah Klang sanggup berkorban apa jua untuk menolak kemungkaran dan menegakkan kebenaran serta keadilan bagi memastikan Besut dalam genggaman dan Terengganu dapat ditawan, seterusnya membentuk sebuah kerajaan yang berteraskan Islam di bawah kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS).”

Besut yang sering dianggap oleh banyak pihak sebagai ‘Pintu Tawan Terengganu’, semestinya dipastikan dalam genggaman PAS, sekiranya parti itu bercita-cita menawan Terengganu. Walau pun dibelenggu oleh time-frame yang sangat singkat, alhamdulillah, JPABLK telah berjaya mengadakan sesuatu untuk JTS/PKB.

Bantuan kewangan dan juga tenaga daripada mereka kepada jentera pilihan raya PAS di Besut amat dirasai. Paling ketara ialah di Bilik Gerakan DUN Kampung Raja, yang mana keseluruhannya digerakkan sepenuh masa oleh petugas-petugas dari JPABLK, termasuk pengerusinya sendiri.

Sememangnya kejayaan di Besut sangat signifikan bagi PAS Terengganu. Buat pertama kali sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, PAS telah memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Besut dengan meletakkan pemimpin nombor satunya, Dr. Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Besut dalam Pilihan Raya 1959. Hasil pilihanraya itu PAS menyapu bersih kesemua kerusi DUN dan Parlimen di Besut, dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri Terengganu.

Mereka yang menang ialah Ustaz Husin Jusoh di DUN Hulu Besut, Wan Said Wan Mohd Noor (Kuala Besut), Mohamad Ismail (Besut Tengah), Mohd Senari Yunos (Kampung Raja) dan Mohd Daud Samad (Setiu).

Kejayaan yang mengejutkan itu seterusnya meletakkan Besut sebagai sebuah kubu kuat PAS di Terengganu. Suara PAS Besut bergema di Parlimen buat beberapa tahun, dan yang lebih menarik suara itu ialah suara Yang Dipertua Agung PAS sendiri.

Di peringkat negeri pula, wakil-wakil rakyat dari Besut turut memainkan peranan yang signifikan dalam pembentukan kerajaan PAS yang pertama di negara ini. Peranan paling menyerlah ialah dengan pemilihan ADUN Setiu, Haji Mohd Daud Samad, sebagai Menteri Besar Kerajaan PAS Terengganu.

Setelah berlalu beberapa masa, berbagai-bagai perubahan dan pertukaran suasana politik melanda daerah Besut. Dalam pilihan raya umum selepas itu PAS mengalami beberapa keadaan jatuh-bangunnya.

Secara keseluruhannya keadaan itu memperlihatkan suatu kemerosotan undi yang ketara terhadap calon-calon PAS di Besut, dari pilihan raya ke pilihan raya. Di samping gagal mempertahankan kerusi di Parlimen Besut sejak 1969, PAS juga tidak berjaya memenangi sebarang kerusi DUN di Besut sejak 1974 (sehinggalah tahun 1990 apabila PAS menang di Jerteh).

Ledakan pembebasan ummah yang melanda umat Islam seluruh dunia di akhir 70-an dan awal 80-an, nyata membawa kesan yang amat signifikan terhadap rentak perjuangan PAS. Kejatuhan kerajaan PAS di Kelantan beserta kehilangan sebahagian besar kerusi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 1978 bagaikan tidak sempat mendatangkan sebarang ‘kelumpuhan’ kepada perjuangan PAS.

Kebangkitan Islam seluruh dunia telah memberi aspirasi baru kepada semua gerakan Islam, termasuk PAS di Malaysia. Melalui gelombang ‘pembersihan aqidah’, PAS bagaikan mendapat nafas baru untuk turun ke tengah-tengah masyarakat, memberi penerangan ‘batas-batas iman dan kufur’.

Pihak yang paling tertekan dan terpukul dengan penerangan isu akidah ini tentu sekali dari kalangan orang Melayu/Islam yang tidak menganggotai parti/kumpulan Islam. Dalam hal ini Umno menjadi satu contoh yang paling baik untuk disebut, betapa memang ada kumpulan orang yang mengaku Islam tetapi perancangan dan tindakannya tidak menepati lunas-lunas Islam. Malah sebahagian tindakan Umno nyata ‘terbabas’ melewati batas-batas iman dan kufur.

Dalam keadaan takutkan bayang-bayang sendiri itu, tiada langkah politik yang paling wajar bagi Umno melainkan untuk mengembalikan segala ‘kegerhanaan politik’ yang timbul ekoran isu itu kepada PAS. Maka timbullah tohmahan bahawa PAS ‘mengkafirkan orang Islam’ dan ‘memecahbelahkan perpaduan masyarakat’.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam dalam kata-kata aluan beliau pada Kertas Putih terbitan kementeriannya pada awal November 1983 secara terus terang menghukum PAS sebagai ‘mengkafirkan orang Islam’. Beliau menyebut:
“There are also certain groups and individuals, especially members and supporters of the Parti Islam SeMalaysia (PAS), who have formulated, issued, and disseminated what they claimed to be ‘fatwa’, which branded those Malaysians/Muslims outside their party as ‘kafir’. This activity is serious, harmful and dangerous.”

Salah tanggapan terhadap PAS itu bagaimana pun telah diperbetulkan oleh seorang penulis politik seminggu kemudian. Sdr Abdul Razak Ayub yang menghabiskan beberapa masa di Terengganu dan Kelantan bagi menyelidik persoalan akidah dan politik masyarakat Melayu mendapati keadaan sebenar yang berlaku tidak sebagaimana yang digambarkan oleh menteri berkenaan. Di dalam bukunya bertajuk ‘Perpecahan Bangsa Melayu’ beliau menulis:

“Ada pun fitnah kafir-mengkafir yang membabitkan soal iman-Islam-kufur seperti yang digema-riuhkan oleh sebaran am tempatan khususnya, dari kajian dan penyelidikan saya didapati perkara ini tidak terjadi.... Apa yang sebenarnya berlaku ialah diskriminasi dan penindasan politik Melayu yang berkuasa ke atas Melayu yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung hingga menyebabkan rasa keterasingan sebahagian besar orang Melayu. Manakala kafir-mengkafir adalah semata-mata tuduhan Umno terhadap PAS dan sehingga ini tuduhan itu masih tidak terbukti.”

Klimaks kepada gelombang pembersihan akidah itu telah ditakdirkan berlaku di daerah Besut. Beberapa ‘ketegangan dan perpecahan’ dalam masyarakat telah sekali lagi menjulang nama Besut dalam arena politik negara, terutama di kalangan pemimpin Umno dan juga pasukan keselamatan.

Kertas Putih terbitan KDN pada November 1984 di beberapa bahagian dalam laporannya mencatatkan kejadian-kejadian ‘yang tidak pernah diingini’ yang melanda daerah Besut. Antaranya ialah pemulauan kenduri-kendara, sembahyang berasingan, tidak mengeluarkan zakat kepada amil kerajaan, kubur berasingan, tidak makan sembelihan orang Umno, dan ‘mengkafirkan’ Umno.

Satu senarai kelab-kelab PAS yang dijadikan tempat solat Jumaat juga dilampirkan dalam Kertas Putih berkenaan. Daripada sejumlah 33 buah kelab, surau dan masjid di seluruh negara yang disenaraikan itu, sebanyak 22 buah adalah di daerah Besut. Dengan kata lain, bolehlah dikatakan bahawa dua pertiga ‘ketegangan’ politik Melayu/Islam antara PAS dan Umno di seluruh negara pada akhir 70-an dan awal 80-an itu telah berlaku di daerah Besut.

Tembok pemisah antara ahli-ahli PAS dan Umno amat tebal dan terlalu sukar ditembusi. Bulan dan dacing terpisah jelas. Kopiah dan songkok juga terbahagi nyata. Meski pun mereka dilihat kebetulan minum di kedai yang sama, atau di atas meja yang sama sekali pun, tetapi pengamat politik yang cermat dengan mudah dapat menentukan mana orang PAS dan mana antara mereka orang Umno.

Bahkan, menjadi kebiasaan orang-orang PAS memilih untuk memakmurkan kedai dan masjid secara berasingan daripada orang-orang Umno. Mereka bermuamalat, bersolat jamaah, bahkan Jumaat di tempat-tempat eksklusif yang tidak dihadiri melainkan oleh orang-orang kuat PAS dan Special Branch sahaja. Jangan dikatakan orang Umno, orang PAS yang tidak cukup kuat pun memilih jalan selamat untuk tidak bersembahyang di surau atau masjid eksklusif itu.

Hasilnya pergerakan dan interaksi ahli-ahli PAS hanya terbatas di kalangan mereka sahaja. Peluang untuk mereka bersemuka dan berbicara dengan orang Umno hampir tidak wujud. Mesej dakwah sukar menerjah telinga orang-orang Umno, melainkan dari kejauhan melalui pembesar suara majlis-majlis ceramah. Itu pun kalau ada penyokong Umno yang sudi hadir, atau kebetulan ceramah PAS itu diadakan berdekatan rumah mereka.

Itulah senario politik yang dihadapi oleh JTS/PKB tatkala mengambilalih pentadbiran PKB. Dan itulah juga tradisi politik yang terpaksa diambil kira oleh JPABLK dalam menyusun strategi penerangan dan dakwah kepada masyarakat di Besut. Bukanlah suatu kerja yang mudah untuk merobohkan tembok pemisah yang begitu kebal antara PAS dan Umno, yang telah dibina belasan tahun.

Allah Ta’ala Maha Bijaksana dan Dialah juga sebaik-baik Perancang. Berkat ketekunan dan ketabahan para petugas PAS dengan momentum kepimpinan baru, tembok yang kebal itu berjaya juga ditembusi sedikit demi sedikit. Pintu-pintu hati orang Umno yang selama belasan tahun itu terlalu berkarat terhadap PAS dan perjuangan Islam akhirnya dapat juga diketuk dan dikuak. Tidak sedikit dari mereka berhijrah meninggalkan Umno dan menerima PAS sebagai wadah perjuangan. Mereka ada saham dalam kemenangan yang baru dikecapi ini!

(Artikel ini adalah Bab 8, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment