Wednesday, December 26, 2012

Mengharap kebaikan di sebalik kesulitan


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

KERAP disebut orang (dan turut menjadi pegangan kita) bahawa sebagai hamba Tuhan, kita manusia hanya berhak berusaha dan mengharap. Ada pun ketentuan di atas sesuatu perkara yang kita usaha dan harapkan itu segalanya terpulang kepada Allah SWT.

Banyak ketika juga, kita mengharapkan sesuatu yang diusahakan itu membuahkan hasil yang begian dan begian. Pada anggapan dan perhitungan kita itulah hasil dan pengharapan paling baik buat kita dan/atau sesiapa juga yang dimaksudkan atas sesuatu usaha itu.

Namun, kerap juga berlaku tidak semua hasil itu terjadi sepertimana diharapkan. Apa yang akhirnya berlaku tidak menepati apa yang dihajati. Bahkan, ada ketikanya kita terpaksa menerima keadaan yang sama sekali bertentangan dengan apa yang dicita-citakan.

Dalam keadaan semacam itu, selain berpegang kepada kata-kata di permulaan tadi, kita turut diajar merenung ayat-ayat Allah berhubung kuasa, ilmu dan ketentuan-Nya. Di antara yang bertepatan dengan situasi seumpama ini ialah ayat 216 surah al-Baqarah, maksudnya: “diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Walau pun topik utama ayat ini menyentuh perihal perang, pengajarannya boleh juga dicakupi ke atas segala hal yang bersifat umum. Di antara pengajaran yang dikutip darinya ialah betapa Allah Ta’ala jua yang lebih tahu berhubung baik-buruk akibat segala sesuatu.

Saya percaya di dalam mengharungi liku penghidupan ini, setiap kita pernah berdepan situasi seumpama disebutkan. Bahawa ada ketika kita mengharapkan sesuatu yang bagi kita amat baik dan sesuai, tiba-tiba kita ditakdirkan menerima yang tidak seumpama diharapkan. Begitulah sebaliknya.

Namun, harapnya tatkala itu sama-sama lah kita ingat bahawa “apa yang kita tidak suka itu boleh jadi baik untuk kita, dan apa yang kita suka itu boleh jadi buruk untuk kita”.

Semoga kita semua senantiasa dinaungi rahmat Allah. Wassalam.


Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini mengisi kolum EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)

Seluruh keluarga seronok dengan perubahan ini - Akma


 Oleh: Mohd Nasir Awang & Siti Nur Amirah Fauzi

Bukan mudah untuk berubah. Bahkan, lebih tidak mudah untuk berdepan dengan pelbagai reaksi dan tanggapan serong masyarakat sekeliling di kala kita memulakan proses perubahan dalam hidup.

Itulah antara kesimpulan yang dapat kami buat berhubung pengalaman peribadi dilalui sebilangan selebriti yang pernah kami wawancarai. Setakat ini ruangan KEMBARA IMAN majalah Dian – Ihya as-Sunnah telah menghidangkan para pembaca dengan kisah hidup penuh berliku lima penggiat seni tanahair.

Terimakasih kepada Ustaz Akhil Abdul Hayy yang telah mengisi ruangan ini pada Edisi 1. Juga buat Iwan Syahman (Edisi 2), Catriona Bahrin Ross (Edisi 4), Dayangku Intan (Edisi 6) dan Abby Abadi (Edisi 8) yang telah sudi berkongsi pengalaman masing-masing, terutama bagaimana mereka akhirnya terdorong melakukan perubahan dalam hidup.

Kesemua mereka mengakui pernah menghadapi situasi yang hampir sama, iaitu dipandang serong dan negatif oleh segelintir anggota masyarakat, tatkala menzahirkan hasrat melakukan “hijrah” dalam cara dan gaya hidup mereka.

Ada khalayak yang tidak segan silu mempertikaikan keikhlasan dan kesungguhan mereka mahu berubah. Ada juga kalangan teman atau rakan rapat serta-merta menjauhkan diri dari mereka yang mula menampilkan imej yang barangkali “sangat asing” bagi dunia yang selama ini mereka diami.

Lebih mendukacitakan, ada yang tergamak melontarkan tanggapan liar kononnya mereka ini berhijrah semata-mata kerana mengambil kesempatan atas tuntutan kehidupan (faktor sesuap nasi), atau kerana mengikut trend semasa (penghijrahan artis), bukannya didorong keinsafan dan keikhlasan kerana Allah Ta’ala.

Tuduhan sama turut dihadapi personaliti KEMBARA IMAN edisi ini, Akma AF3. Keputusannya untuk mengubah penampilan, terutamanya dengan mengenakan hijab lebih setahun lalu, dikatakan sekadar mengikut trend fesyen semasa agar kelihatan lebih anggun dan menawan.

“Seharusnya sebagai masyarakat terutama Muslim, kita memberi sokongan dan membantu orang yang mahu berubah, bukannya sekadar melempar kata-kata negatif,” demikian ulas Akma.

Beliau bagaimana pun mengakui tidak terganggu oleh persepsi sedemikian. Sebaliknya, jati diri yang kuat beserta keyakinan yang tinggi bahawa apa yang dibuatnya bertepatan dengan ajaran Islam membuatkan beliau mampu mengenepikan kritikan negatif sebegitu.

Akma dilahirkan sebagai Asiahtunakma binti Abdullah di Hospital Universiti, Kuala Lumpur, pada tanggal 9 Mac 1985. Beliau merupakan anak keempat daripada enam beradik. Ibubapanya, Kharion Tan dan Abdullah bin Hj. Abdul Rahim, masing-masing berasal dari Teluk Intan dan Kuala Kangsar, Perak.

Sosok yang pernah menggegarkan pentas hiburan tanahair ini, terutama menerusi rancangan realiti tv Akademi Fantasia 3 suatu ketika dulu, mengakui telah mula terlibat dengan bidang seni suara sejak kecil lagi. Beliau sangat meminati bidang itu, bahkan telah memasuki berbagai pertandingan nyanyian bermula dari zaman sekolah rendah.

“Tambahan pula apabila menang akan dapat wang tunai dan sebagainya. Ini membuatkan Akma seronok... seronok dapat duit hasil usaha sendiri, dan itu berterusan sehingga meningkat dewasa”, ujarnya, ketika diwawancara baru-baru ini.

Sepanjang penglibatannya di pentas hiburan Akma banyak memasuki pertandingan nyanyian. Antaranya rancangan Bintang RTM dan Golden Teen Star bersama RTM, serta Who Will Win bersama NTV7. Namun pentas Akademi Fantasia 3 dianggap sebagai platform yang paling besar dan terbaik untuknya. Malah, program itulah yang telah melonjakkan dirinya ke persada hiburan tanahair.

Kehidupan sebagai artis dalam dunia penuh glamor dan keseronokan itu bagaimana pun diakuinya kerap menjerumuskan dirinya dalam kecelaruan. Semakin hari dirinya semakin alpa dan hanyut. Akhirnya kejayaan dinikmatinya itu, yang pada awalnya turut menjadi kebanggaan keluarga, tidak lagi dikongsi oleh anggota keluarga lain terutama kedua ibubapanya sendiri.

“Akma rasa diri Akma sudah pergi jauh, orang kata bila kita terlalu seronok terhadap dunia, kita akan lupa diri dan alpa walau pun pada ketika itu Akma tinggal bersama Mak dan Abah. Memang betul apabila duduk dengan Mak dan Abah memang terjaga, tetapi degil dan keras kepala Akma sehinggakan Mak dan Abah tidak boleh berkata apa. Keluarga Akma marah dekat Akma,” akuinya jujur.

Terbukti Allah masih sayangkan dia. Keadaan itu tidak dibiarkan-Nya berlarutan agak lama. Allah Ta’ala menimpakan ujian ke atas Akma, sekaligus menjadi titik pusing dalam hidupnya.

“Titik permulaannya pada dua tahun lepas, dugaan yang teruk datang bertimpa-timpa. Akma rasa dunia Akma gelap, Akma jadi malu nak berhadapan dengan masyarakat. Ia membuatkan Akma rasa nak pergi jauh, tak nak duduk di sini.”

“Mujur juga dalam keadaan sebegitu, ibubapa dan keluarga ada bersama menyokong Akma. Apabila ada sokongan dari keluarga dan kawan-kawan, menjadikan Akma ada semangat balik. Akma mula sedar,” ceritanya lagi.

Dari situ dia mula memuhasabah diri, merenung kembali liku hidupnya. Beliau terfikir sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena pada laluannya dulu menyebabkan Allah memberinya ujian sedemikian berat.

“Akma cari balik apa kesalahan-kesalahan diri Akma, apa yang Akma sudah lakukan, sudah jauh mana Akma dah pergi. Apabila difikirkan balik Akma rasa malu dan sedih sangat. Akma minta maaf dengan keluarga dan Akma mula solat taubat. Alhamdulillah bermulanya hari itu, Akma mula rasa tenang,” sambungnya, serius.

Menurutnya, perkara paling diutamakannya selepas itu ialah menjaga solat lima waktu.

“Dalam tempoh perubahan tu Akma rasa seronok sangat. Contohnya, apabila melambatkan solat, rasa sangat bersalah. Perkara (titik berat) seperti ini membuatkan Akma rasa seronok,” ujarnya lagi.

Akma turut membataskan pergaulan. Beliau sudah jarang keluar dengan kawan-kawan dan mereka faham. Dalam masa setahun itu juga Akma mula melazimi kelas-kelas agama, mengaji dan belajar balik apa yang patut.

Pada tahun lepas, Akma terbuka hati untuk berhijab. Beliau menceritakan, “pada mulanya Akma cuma pakai selendang dan pada ketika itu Akma sudah mula membeli dan mengumpul tudung. Akma rasa seronok sangat pada ketika itu. Sehinggalah pada satu hari, Mak temankan Akma pergi beli tudung di Timesquare. Akma beritahu Mak, “Mak, Kak Cik (nama panggilan dirinya dalam keluarga) rasa Kak Cik dah ready la nak bertudung.” Mak kata, “betul ke? Mak suka kalau Kak Cik nak berhijrah, tapi fikir betul-betul, mak tak nak selepas bertudung rasa nak buka la, rasa tak tenang la.”

Beliau sudah nekad untuk bertudung. Ahlamdulillah, bukan sahaja dirinya, semua anggota keluarganya turut seronok dengan keputusannya itu. Maka, keesokan harinya Akma mula tampil berhijab.

Menurutnya, di antara perkara pertama dirasainya ialah perasaan yang sangat tenang. Dengan bertudung juga dia rasa dirinya lebih dihormati.

“Orang dah mula hormat kita... kalau dulu orang suka hati bertepuk bertampar dengan kita, sekarang orang dah tidak berani. Akma tetap Akma, tetapi batasan-batasan itu perlu dijaga, jadi bagi Akma, Akma rasa tenang dan orang mula hormat dekat kita,” katanya.

Hidupnya tambah teratur setelah bergelar isteri. Akma bertemu jodoh dengan Farih Hamshi Mohamad Fatmi, seorang eksekutif di syarikat Petronas. Beliau juga kini menjadi guru sepenuh masa di sebuah sekolah swasta di Petaling Jaya.

Akma juga bangga melihat semakin ramai rakan-rakan artis turut berhijab dan betul-betul berubah. Sebahagian besar mereka malah sangat aktif berkongsi kisah perubahan mereka dengan masyarakat di forum dan ceramah agama. Antar sesama mereka pula kerap bertemu dalam pelbagai aktiviti, termasuk kelas agama dan usrah.

Pesanan Akma untuk orang di luar sana, “perubahan akan berlaku pada diri kita semua, cuma cepat atau lambat sahaja. Yang penting kita sentiasa mencari sesuatu untuk berubah”.

Ya, selama puluhan tahun sebelum ini, Akma akui hidupnya sangat seronok dengan bidang nyanyian yang disertainya secara aktif. Namun, sepertimana ditegaskannya sendiri, “saya lebih seronok dengan perubahan ini”

(Artikel ini mengisi kolum KEMBARA IMAN, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)

Laungan azan “mengunyah” hati Rustam


Oleh: Siti Nur Amirah Fauzi & Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Perang Al-Qadisiyah adalah antara perang besar dan penting dalam sejarah Islam. Ia berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab ra, pada 14 Hijrah. Ia berlangsung selama empat hari, menyaksikan pertempuran antara tentera Islam dipimpin Saad bin Abi Waqqas menentang tentera Parsi dipimpin komander terkenal, Rustam.

Kekuatan ketenteraan antara kedua-dua pihak sangat jauh berbeza. Sementara tentera Islam berjumlah hanya antara 33 ke 39 ribu, pasukan Parsi pula dianggarkan berjumlah lebih 220 ribu orang. Tentera Parsi turut dilengkapi 33 ekor gajah.

Ia tercatat sebagai peperangan yang memakan jumlah korban paling ramai di kalangan tentera Islam, iaitu mencecah 8,500 syuhada. Pun begitu, umat Islam tetap memperolehi kemenangan, terutama setelah dengan kuasa Allah berlaku ribut pasir yang mengkucar-kacirkan pertahanan tentera Parsi. Mereka dapat dikalahkan dan turut terbunuh ialah komander terkenal mereka, Rustam.

Delegasi Islam Menemui Rustam
Namun, sepertimana lazimnya diamalkan tentera Islam dalam mana-mana peperangan, sebelum berlakunya pertempuran sebenar, mereka akan menghantar delegasi menemui pemimpin musuh. Kunjungan itu antara lain bertujuan mengemukakan tawaran damai dan mengelakkan pertempuran.

Selalunya pihak Islam menawarkan tiga bentuk penyelesaian; pertama, musuh diseru memeluk Islam, jika diterima mereka dibenar meneruskan kehidupan biasa; kedua, menyerah kalah dan bersetuju membayar jizyah (cukai perlindungan) kepada kerajaan Islam; atau ketiga, menghadapi peperangan.

Di atas maksud itu, Khalifah Umar mengarahkan Saad menghantar panglimanya menemui Rustam. Kebetulan pula di masa yang sama Rustam turut menghantar pesanan kepada Saad, “hantarkan wakil kepada kami untuk berbincang.”

Ketika itu Rustam bersama bala tenteranya telah mara ke hadapan mendekati bandar al-Qadisiyah. Mereka mendirikan khemah berdekatan Al-‘Atiq, iaitu jambatan Qadisiyah yang letaknya bersetentang dengan khemah tentera Islam. Kedua-dua pasukan tentera ini dipisahkan hanya oleh sungai.

Saad telah menghantar panglimanya, Rubaie bin Amir untuk tugasan itu. Apabila beliau masuk bertemu Rustam, beliau melihat Rustam duduk di atas takhta yang dibuat daripada emas, termasuklah kusyen dan permaidani ditenun dengan benang emas.

Rubaie tidak terus turun dari kudanya, sebaliknya dengan pedang serta lembing terhunus, Rubaie membiarkan kudanya berjalan di atas permaidani yang bertenun emas itu. Beliau turun dari kudanya, menebuk permaidani dan kusyen di hadapan Rustam, serta mengikat kudanya di situ.

Tentera Parsi yang melihat perbuatan itu merasa agak tercabar. Mereka lantas menyuruh Rubaie menanggalkan senjatanya, tetapi dijawab tegas olehnya, “andainya aku yang datang kepadamu, aku akan patuhi, tetapi kamu yang memanggilku untuk datang ke sini.”

Lalu beliau dengan sengaja menyeret lembingnya sehingga merosakkan permaidani seraya berjalan menghampiri Rustam. Kemudian beliau duduk di atas tanah dan memacakkan lembingnya di atas permaidani, lalu berkata, “kami tidak akan duduk di atas barang perhiasan kamu.”

Rustam bertanya, “apa tujuan kamu datang ke mari?”

Rubaie menjawab dengan ucapannya yang masyhur, “Allah yang menghantar kami ke mari, untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki, daripada perhambaan terhadap manusia kepada perhambaan terhadap Allah; daripada kesusahan dunia kepada keselesaan; dan daripada penindasan agama-agama (yang palsu) kepada keadilan Islam. Untuk itu, Allah telah menghantarkan kepada kami Utusan-Nya untuk semua makhluk-Nya. Sesiapa yang menerima seruannya, kami akan menerimanya dan kami akan biarkan dia dan tanahnya bebas. Sesiapa yang mengabaikan seruannya, kami  akan memeranginya sehingga kami mendapat kemenangan atau syurga.”

Rustam berkata, “kami telah mendengar apa yang kamu nak beritahu, bolehkah kamu berikan kami tempoh untuk kami pertimbangkannya?”

Rubaie menjawab, “ya, Rasulullah saw telah mengajar kami supaya tidak membenarkan tempoh itu melebihi tiga hari. Kami tidak akan mengapa-apakan kamu selama tiga hari. Fikirkan perkara ini dan pilih satu antara tiga pilihan ini, iaitu; Islam - jika kamu memilihnya, kami akan bebaskan kamu dan tanah kamu; atau bayar cukai jizyah - kami akan terima tanpa mengapa-apakan kamu dan apabila kamu memerlukan kami, kami akan melindungi kamu; atau, peperangan secara terbuka pada hari yang keempat, kecuali kamu menyerang kami sebelum hari tersebut. Aku akan bertanggujawab ke atas sahabat-sahabatku.”

Rustam berkata, “adakah kamu ini ketua mereka?” Dia menjawab, “tidak, orang Islam adalah seperti satu badan, kami saling memiliki antara satu sama lain dan anggota bawah badan mewakili anggota yang lebih tinggi.”

Kemudian beliau pulang, meninggalkan Rustam dan para pengiringnya. Rustam bertanya kepada mereka, “pernahkah kamu dengar sesuatu seperti ini sebelum ini?” Apabila para pegawai istananya memperkecilkan penampilan Rubaie, Rustam menjerit, “celaka kamu! Aku bercakap tentang kebijaksanaan beliau, ucapan dan wataknya. Orang Arab tidak peduli tentang penampilan mereka berbanding keturunan mereka!”

Ya, terbukti hingga tahap itu Rustam telah mula terganggu dengan perwatakan dan ucapan panglima Islam itu. Lalu keesokan harinya, Rustam menghantar pesanan lagi kepada Saad, “hantar semula lelaki semalam kepada kami.”

Namun, kali ini Saad menghantar pula Huthaifah bin Mihsin Al-Ghalafani. Tingkah laku ditunjukkan beliau sama juga seperti Rubaie.

Rustam bertanya, “mengapa tidak orang yang sama datang kepada kami?” Huthaifah menjawab, “komander kami melayan kami sama rata, dalam kesusahan mahu pun kesenangan. Kali ini giliran aku.”

Rustam bertanya, “bilakah tempoh (perundingan) akan tamat?” Huthaifah menjawab, “pada hari yang ketiga, bermula semalam.”

Hari berikutnya, sekali lagi Rustam meminta Saad untuk menghantar utusan kepadanya. Kali ini Al-Mughirah bin Shu’bah pula yang pergi. Al-Mughirah duduk di atas takhta bersebelahan Rustam, yang mendorong pegawai-pegawai istana menariknya turun (kerana menyalahi adat mereka).

Al-Mughirah berkata kepada mereka, “kami pernah mendengar cerita tentang kehebatan kamu tetapi aku tidak pernah melihat orang yang lebih bodoh daripada kamu semua. Kami orang Arab tidak menghambakan satu sama lain melainkan ada peperangan di kalangan kami. Aku fikir kamu juga mengasihani orang-orang kamu. Namun, apa yang aku lihat adalah sebahagian kamu menjadi tuan-tuan kepada sebahagian yang lain. Biar aku beritahu kepada kamu bahawa bukan aku yang mahu datang kepadamu, tetapi kamu yang menjemput aku ke mari. Aku nampak bahawa kamu sudah dikalahkan dan kamulah raja yang ada otak yang tidak sejajar dengan perwatakan!”

Orang ramai yang hadir di pertemuan itu berkata, "demi tuhan, orang Arab ini telah memberitahu satu kebenaran." Beberapa pemimpin kampung pula berkata, "dia berkata sesuatu yang menarik perhatian para hamba. Semoga tuhan mencela orang-orang yang terdahulu daripada kami! Mereka telah mempengaruhi kita supaya percaya bahawa negara ini tidak penting."

Rustam kemudian membuat ucapan memperkecilkan orang-orang Arab dan mengagungkan kebesaran bangsa Parsi. Dia turut mendakwa bahawa orang-orang Arab hidup dalam keadaan yang amat dhaif, sehinggalah beberapa ketika yang terdekat ini.

Al-Mughirah membalas:
"Apa yang kamu nyatakan tentang kedhaifan hidup kami dan konflik dalaman kami adalah benar dan kami tidak menafikannya. Itulah dunia - kesusahan diikuti dengan kesenangan. Jika kamu berterima kasih kepada Allah Yang Maha Kuasa untuk apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu, maka kesyukuran kamu itu jauh ketinggalan berbanding dengan apa yang Allah telah kurniakan. Walau bagaimana pun, kurangnya kesyukuran kamu kepada Allah akan mengubah nasib kamu. Allah menghantar kepada kami Rasul-Nya ... "

Dan beliau memberitahu perkara yang sama seperti dua panglima sebelumnya, dan mengakhiri ucapannya dengan memberi pilihan kepada mereka antara Islam, cukai dan peperangan.

Apabila Al-Mughirah  pergi, Rustam berkata kepada orang Parsi, "Bagaimana kamu membandingkan mereka dengan diri sendiri? Bukankah dua yang sebelum ini datang dan bercakap kepada kamu dengan bijaksana? Mereka tidak berbeza daripada satu sama lain dan mereka mempunyai cara yang sama . Demi tuhan, ini adalah lelaki! Sama ada mereka adalah pendusta atau benar, demi tuhan, jika mereka begitu teliti dalam adab dan menjaga rahsia dan mereka tidak berbeza daripada satu sama lain, maka tiada siapa yang boleh mengatasi ketelitian mereka. Jika mereka orang-orang yang benar, maka demi tuhan tiada apa yang boleh menghalang mereka!"

Kenyataan ini menyebabkan suasana riuh-rendah di ruang perjumpaan itu.

Rustam takut dengan panggilan azan
Dalam menunggu berakhir tempoh rundingan itu, Rustam menghantar perisik ke kem Islam. Pengintip tersebut menyamar dirinya sebagai seseorang yang telah berpaling tadah dari sebelah Parsi. Dia melihat tentera Islam menggunakan siwak untuk membersihkan mulut mereka pada setiap waktu solat, kemudian bersolat.

Sekembalinya kepada Rustam dia memberitahu tentang tingkah-laku musuh itu. Rustam bertanya jenis makanan yang tentera Islam makan. Pengintip itu menjawab, "saya tinggal semalaman bersama mereka, dan saya tidak melihat mereka makan apa-apa kecuali mereka menghisap batang kayu (siwak) pada waktu malam, sebelum tidur dan sebelum fajar."

Ketika berjalan-jalan di sekitar perkhemahan tenteranya, Rustam mendengar panggilan azan untuk solat Subuh dari kem tentera Islam di seberang sungai. Beliau melihat tentera Islam bergegas mengatur diri dalam barisan (saf solat).

Rustam yang tersangat gementar dengan seruan itu segera mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia. Apabila ditanya oleh tenteranya, beliau berkata, "tidakkah kamu melihat bahawa musuh (tentera Islam) telah melaungkan seruan perang dan kini mereka sedang bersiap sedia?" Pengintip yang sama menjelaskan, "mereka sedang bersiap sedia untuk solat."

Rustam yang tidak berpuashati lantas berteriak, "aku mendengar bunyi pada waktu pagi, itu mesti Umar yang bercakap kepada anjing-anjingnya, mengajar mereka untuk menjadi pintar. Apabila mereka melaungkan seperti ini bermakna mereka bersedia untuk perang.”

Apabila muazzin sekali lagi melaungkan azan untuk solat Zohor, Rustam mengeluh,"aku rasa seperti Umar telah mengunyah-ngunyah hatiku!"

Rujukan: The Biography of ‘Umar Ibn Al-Khattab ra, Vol. 2, Dr. ‘Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee. Maktaba Darus-Salam, 2010. London.

(Artikel ini mengisi kolum SECEBIS KISAH majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)