Wednesday, November 22, 2000

Terengganu dahului Kerajaan Pusat terokai pembaharuan


Oleh: Mohd Nasir Awang

DALAM Surat Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan Satu Tahun 2000 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam awal Februari lalu, terkandung satu pemberitahuan rasmi mengenai pelaksanaan hari rehat tambahan pada hari Sabtu ketiga setiap bulan. Menurut persetujuan Kabinet, pelaksanaan tersebut berkuatkuasa mulai 1 Februari lalu.

Sehubungan dengan itu, Kabinet turut membuat keputusan meemanjangkan waktu bekerja bagi kakitangan awam terbabit dengan mengurangkan waktu rehat selama 15 minit pada hari-hari kerja biasa di samping melanjutkan masa kerja pada hari Sabtu kedua dan keempat selama lima minit.

Laporan sebuah akhbar harian memetik satu sumber sebagai berkata kabinet telah membincangkan cadangan tersebut setelah kajian mendapati keputusan kerajaan mengisytiharkan cuti hari Sabtu pertama setiap bulan membantu meningkatkan sektor pelancongan domestik.

Hasil kajian itu menunjukkan peningkatan perbelanjaan orang ramai dalam sektor pelancongan melibatkan penginapan di hotel-hotel dan makan di restoran-restoran.  Kata sumber itu lagi, kajian tersebut juga mendapati berlaku pertambahan mendadak dari segi bilangan kenderaan yang menggunakan lebuhraya-lebuhraya bertol di seluruh negara pada setiap kali cuti hari Sabtu.

Maklum balas yang diterima oleh Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga menunjukkan kakitangan kerajaan memanfaatkan cuti Sabtu pertama setiap bulan untuk bersama anggota keluarga. Ini termasuk meluangkan masa bersama anak-anak melawat tempat-tempat menarik di dalam negara.

Di atas hasil positif yang ditunjukkan oleh pelaksanaan cuti Sabtu ini, maka pihak Kerajaan Pusat merasakan penambahan cuti Sabtu akan berupaya membantu kerajaan memulihkan ekonomi negara.

Di Malaysia, hanya dua buah negeri yang telah melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu, melibatkan setiap Sabtu sebagai hari cuti, iaitu Kerajaan Terengganu dan Kelantan. Kedua-dua negeri tersebut kebetulan pula di bawah pentadbiran PAS.  Manakala semua negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) masih belum menampakkan kesediaan menerima pakai sistem tersebut.

Ketidak-sediaan mereka itu terlalu mudah difahami, kerana para pemimpin BN adalah antara pihak paling lantang mengecam kerajaan PAS di Kelantan, sewaktu ia berhasrat melaksanakan sistem kerja lima hari seminggu seawal pemerintahannya sedekad lalu.

Ada tohmahan kononnya sistem itu akan menjejaskan produktiviti negeri dan menguncupkan pacuan pembangunan. Ada pula yang tidak segan silu menuduh kerajaan PAS menghina rakyat Kelantan. Kononnya sistem itu memberi gambaran rakyat Kelantan sebagai pemalas, suka berehat dan bersiar-siar serta lebih mengutamakan aspek sosial berbanding profesionalisme dalam perkhidmatan.

Kini, setelah sedekad rakyat Kelantan menikmati cuti setiap Sabtu dan diikuti pula oleh rakyat di negeri Terengganu sejak awal tahun lalu, sindiran dan tohmahan sumbang sebegitu sudah tidak kedengaran lagi.

Sebaliknya, tindakan Kerajaan Pusat menganugerahkan cuti tambahan pada Sabtu ketiga setiap bulan jelas membuktikan bahawa sistem kerja lima hari seminggu yang dilaksanakan di kedua-dua negeri Pantai Timur itu adalah yang terbaik. Ia bukan sahaja tidak memberi kesan negatif kepada pembangunan, sebaliknya terbukti pula mampu mendorong peningkatan pelancongan domestik dan pemulihan ekonomi negara.

Fenomena yang hampir sama berlaku terhadap langkah Kerajaan Negeri memerangi kegiatan judi mesin slot dan mengekang pusat-pusat hiburan, karaoke, snooker dan pusat video di awal pemerintahan setahun lalu.

Berbagai-bagai kecaman dan tohmahan liar yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu, kononnya langkah tersebut menyekat kebebasan muda-mudi untuk berhibur. Ada juga yang berpendapat kononnya Kerajaan Negeri gagal mengambil kira nasib para pengusaha terbabit yang hilang punca pendapatan.

Ditakdirkan Allah Ta’ala, ’perang’ yang sama turut diisytiharkan oleh Kerajaan Pusat selang beberapa bulan selepas itu. Operasi besar-besaran dilakukan di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu membasmi kegiatan judi mesin slot dan permainan video. 

Berbagai-bagai alasan dan rasional atas tidakan tersebut dikemukakan oleh Kerajaan Pusat. Antaranya, sudah tentu turut menyebut alasan-alasan yang sama yang pernah diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebelum itu.

Para pengusaha dan pekerja pusat-pusat yang terlibat dengan operasi tersebut pula dinasihatkan agar mencari pekerjaan lain yang lebih bermanfaat. Bahkan, terdapat juga cadangan dari pihak Kerajaan Pusat untuk menyediakan kemudahan bagi mereka mengikuti kursus vokasional dan teknikal.

Dalam ertikata lain, soal nasib para pengusaha yang hilang punca pendapatan dengan sendirinya tidak dapat dijadikan alasan untuk tidak bertindak!

Di antara pembaharuan yang turut diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri ialah pembentukan portfolio Hal Ehwal Wanita. Di bawah portfolio tersebut kemudian diwujudkan Badan Induk Wanita Terengganu (Mawaddah), suatu badan yang tidak pernah wujud dalam pemerintahan terdahulu. Antara misi penubuhan Mawaddah ialah untuk membela, melindungi dan memartabatkan hak wanita serta meletakkan mereka di tempat yang bersesuaian dengan tuntutan Islam.

Langkah itu dilihat secara positif sebagai usaha untuk membela dan memperjuangkan nasib wanita, terutama golongan balu dan janda, agar dapat berdikari dalam hidup mereka. Lebih-lebih lagi PAS, sebagai sebuah parti politik yang menjadi pembangkang di peringkat Pusat, sering ditohmahkan kononnya mendiskriminasi dan menafikan hak asasi kaum wanita.

Tidak disangka, di peingkat Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh parti yang kononnya memperjuangkan hak wanita itu, rupa-rupanya hal ehwal wanita itu tidak mempunyai kementeriannya yang khusus. Kini hal ehwal wanita hanyalah satu juzuk di bawah jagaan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bersempena sambutan Hari Wanita Ogos lalu, beberapa pertubuhan wanita telah mengenalpasti keperluan mengadakan sebuah organisasi peringkat tinggi yang khusus bagi menjaga dan menyelaraskan kepentingan wanita.

Untuk itu, mereka mengambil keputusan mendesak kerajaan menubuhkan sebuah Kementerian Hal Ehwal Wanita. Apakah Kerajaan Pusat yang tidak pernah bersedia dilihat sebagai meniru langkah orang lain itu akan melayan desakan mereka itu?

Kalau kes bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat dijadikan iktibar, maka besar kemungkinan desakan pertubuhan-pertubuhan wanita itu akan menjadi kenyataan.  Kerana, apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkan kenaikan kadar bantuan am itu pada Jun lalu, Kerajaan Pusat tanpa segan silu turut mengisytiharkan perkara yang sama sebulan kemudian.

Menurut pengisytiharan tersebut, kadar minimum bantuan am dinaikkan daripada RM50 kepada RM100, manakala kadar maksimumnya daripada RM150 kepada RM250. Kenaikan tersebut, walaupun diisytiharkan pada bulan Jun, tetapi dikira bermula sejak April lalu.

Pengisytiharan Kerajaan Pusat juga turut membabitkan kadar yang sama. Tidak lebih dan tidak kurang. Cuma, bagi menampakkan sedikit perbezaan dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, para penerima bantuan am Kerajaan Pusat dianugerahkan tunggakan sejak Januari lalu.

Beberapa pembaharuan yang dicatatkan di atas jelas sekali menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri yang ada kini mampu menerokai perubahan-perubahan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Langkah Kerajaan Pusat ’meniru’ pembaharuan-pembaharuan tersebut pula menjadi bukti bahawa perubahan-perubahan tersebut sebenarnya bersesuaian untuk dilaksanakan di seluruh negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT) Bil: 12, 22 November 2000 dengan tajuk sama)

Wednesday, November 8, 2000

Masa Untuk Menoleh ke Belakang

Oleh: Mohd. Nasir Awang

Dalam wawancara dengan Buletin Berita Yayasan Terengganu yang diterbitkan pertengahan tahun ini, Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi  Awang antara yang lain ditanya mengenai langkah-langkah yang dikenalpasti oleh pihak kerajaan negeri untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber royalti minyak.

Tuan Guru menjawab: “Sumber terbesar hasil Kerajaan Negeri adalah royalti minyak.  Namun demikian kerajaan juga boleh menerokai bidang-bidang lain yang mana dapat menambahkan hasil kepada kerajaan. Dari segi perancangan, sehingga kini belum ada lagi usaha untuk mempelbagaikan hasil kepada kerajaan. InsyaAllah kita akan kaji perkara ini secara mendalam.”

Sewaktu wawancara itu dibuat, isu penarikan balik pemberian royalti minyak masih belum dicetus oleh Kerajaan Pusat. Sebab itu, pihak Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang sebab yang dharuri untuk mengadakan perancangan segera, sekadar untuk ”menambahkan hasil kerajaan”. Tambahan pula, tempoh beberapa bulan pertama pemerintahan itu lebih baik ditumpukan kepada perkara-perkara yang lebih awla.

Lagipun, jumlah hasil bagi tahun 2000 yang dianggarkan sebanyak RM692.182 juta adalah lebih dari cukup untuk mentadbir dan membangunkan negeri. Daripada jumlah itu, anggaran terimaan dari royalti petroleum dan gas adalah sebanyak RM530 juta, atau 76.56 peratus dari jumlah hasil negeri.

Arah aliran ekonomi negeri secara keseluruhannya juga semakin menjurus kepada perkembangan yang dinamik dan progresif. Prospek ekonomi Negeri Terengganu pada tahun ini, dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3  peratus. Hasil-hasil lain seperti Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil turut dijangka akan mengalami pertambahan.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil kira baik buruk pergantungan kepada satu atau dua sumber sahaja. Segala macam kemungkinan boleh berlaku sekiranya sumber dan punca hasil tidak dipelbagaikan.

Apa yang disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Haji Harun Taib dalam satu program parti akhir Julai lalu menjadi bukti bahawa kesedaran tentang kemungkinan yang bakal menimpa telah pun wujud di fikiran para pemimpin negeri sedari awal lagi.

Dalam kertas kerjanya bertajuk ’Mengisi Kemenangan: Cabaran dan Perlaksanaan, Haji Harun menyebut ”Pergantungan ke atas satu atau dua sumber sahaja, walaupun ianya merupakan sumber yang besar tidak dianggap sebagai suatu perancangan yang bijak. Pihak kerajaan sedang mengenalpasti sumber-sumber lain untuk menambahkan pendapatan seterusnya dapat meneguhkan kedudukan ekonomi negeri di samping dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.”

Kini, segala-galanya telah berubah! Keperluan kepada suatu perancangan mempelbagaikan sumber dan hasil negeri bukan lagi sekadar pilihan. Tuntutan mengenalpasti sumber hasil itu pula bukan sekadar ” untuk menambahkan hasil kerajaan” sahaja. Ia sudah menjadi suatu kemestian untuk menampung defisit perbelanjaan di pelbagai sektor yang telah dirancangkan.

Inilah masanya untuk warga Terengganu, sama ada pihak kerajaan mahu pun rakyat, menoleh kembali ke sektor-sektor ekonomi yang selama ini tidak begitu diberi perhatian sepenuhnya.

Sektor pertanian, umpamanya, sememangnya perlu diberi penekanan yang sepatutunya, kerana ia dapat menjana pengeluaran bahan makanan dan sekaligus mengurangkan import negeri.

Untuk itu, teknologi dan penggunaan tanah perlu dimajukan. Pendekatan secara komersil, terutama bagi komoditi terpilih seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan mesti digalakkkan kepada rakyat. Agenda bagi meminimumkan kos pengeluaran, mengatasi isu pemasaran, meningkatkan Research and Development (R&D) tidak boleh lagi dibiarkan hanya sebagai agenda sahaja.

Sektor pelancongan juga amat berpotensi untuk dimajukan. Negeri kita ada segala macam daya tarikan yang mampu dimanfaatkan untuk menggamit pelancong. Kita ada pantai yang panjang, pulau-pulau yang indah, ada bukit, air terjun, lata, hutan lipur, tasik, gua, lagun, dan sungai yang merupakan tarikan semulajadi.

Kita juga ada keunikan-keunikan lain seperti industri ulat sutera (yang tidak terdapat di negeri-negeri lain kecuali Sarawak), senibina-senibina tradisional Melayu, dan tempat-tempat bersejarah.

Sebab itu, Terengganu pernah dikenali sebagai ”Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik!”

Dasar perbelanjaan berhemat dan telus juga mestilah dilaksanakan seiringan dengan usaha menambahkan hasil pendapatan. Sebarang ruang yang boleh menjurus kepada pembaziran haruslah dihentikan.

Pengurangan tenaga kerja yang melebihi keperluan atau gagal berfungsi, khususnya yang diwarisi hasil ’lantikan politik’ kerajaan terdahulu di majlis-majlis daerah dan lain-lain Pihak Berkuasa Tempatan wajar dipertimbangkan.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 11, 8 November 2000 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)