Sunday, March 30, 2008

Anti-lompat: BN lambat 16 tahun


Oleh: Mohd Nasir Awang

KALAULAH sesiapa ada menyimpan keratan-keratan akhbar sekitar Februari-Mac 1994 lalu, ada baiknya ia diteliti semula sekarang. Hal itu tentu akan memudahkan kita memahami pendirian para pemimpin Barisan Nasional (BN) tentang amalan “melompat parti” yang berlaku ketika ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, 18 dan 19 Februari 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya memenangi 25 kerusi, manakala BN, 23. Meski pun menang, usaha PBS mempertahankan kerajaan negeri pimpinannya untuk penggal keempat akhirnya gagal.

Kerajaannya hanya dapat bertahan dua minggu sebelum digulingkan secara yang sangat tidak beretika. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)nya yang baru dipilih rakyat bertindak meninggalkan parti dan menyertai parti-parti komponen BN.

Hasrat PBS membantah tindakan bekas-bekas Adunnya itu terhalang oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10, Ceraian 1 (c) menyebut, “semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan”.

Peruntukan itu ditafsirkan sebagai turut membawa maksud bahawa setiap warganegara adalah juga berhak dan bebas memilih untuk menyertai mana-mana pertubuhan atau parti politik yang disukainya.

Ertinya, tiada mana-mana pihak berhak menghalang mana-mana warganegara, termasuk seorang wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya, untuk memilih atau “melompat” kepada mana-mana parti.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu menyelamatkan kerajaan BN Sabah yang ditubuhkan di atas kejatuhan PBS itu.

Barangkali jika kita dapat meneliti kembali ulasan dan pandangan para pemimpin BN ketika itu, nescaya tidak akan kita temui sebarang kecaman terhadap tindakan “melompat parti” yang dibuat Adun-Adun PBS itu. Sebaliknya, ia dianggap sesuatu yang positif. Dikatakan mereka itu sebenarnya telah hilang kepercayaan terhadap PBS.

Disebutkan juga betapa Adun-Adun yang melompat itu telah mengambil tindakan yang tepat. Mereka itu mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri. Kononnya mereka yakin dengan janji BN untuk membawa kemajuan dan kemakmuran di Sabah.

Apa yang dialami PBS di Sabah itu bukan yang pertama seumpamanya dalam diari politik negara. Kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada 1961 juga dibayangi pengkhianatan serupa.

Kes “lompat parti” juga berlaku di Kelantan pada 1992. Dua Adun Parti Semangat 46 (S46), iaitu Nordin Salleh (Adun Sungai Pinang) dan Wan Mohd Najib Wan Mohamad (Limbongan) menyertai BN.

Di atas pertimbangan moral dan amanah rakyat (sebagaimana yang banyak disebut para pemimpin BN mutakhir ini), kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah menggubal undang-undang anti-lompat. Ia dilulus dan dilaksanakan.

Kelantan mengisytiharkan kedua-dua Adun lompat itu hilang kelayakan. Kerusi mereka diisytiharkan kosong. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil serentak di kedua-dua kawasan tersebut.

Nordin bagaimana pun memfailkan kesnya di mahkamah meminta agar keputusan Kerajaan Kelantan membatalkan kelayakannya sebagai Adun Sungai Pinang dibatalkan. Hujah diberikan ialah, undang-undang anti-lompat yang digubal Kerajaan Kelantan itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10, Ceraian 1 (c) tadi.

Keputusan mahkamah memihak kepada Nordin. Statusnya sebagai Adun Sungai Pinang dikembalikan. Keputusan itu turut mengembalikan kerusi Dun Limbongan kepada Wan Mohd Najib.

Kes itu berlaku 16 tahun lalu dan dalam suasana yang menguntungkan BN. Ia diterima tanpa sebarang kecaman oleh para pemimpin negara ketika itu.

Keadaan sebaliknya sedang menimpa parti itu mutakhir ini. BN kelihatannya amat tertekan dengan desas-desus ada Ahli-ahli Parlimennya, terutama di Sabah dan Sarawak yang akan meninggalkan parti itu. Usaha ke arah itu didakwanya telah dibuat parti pembangkang tertentu dalam rangka menumbangkan kerajaan BN Pusat.

Saya telah sebutkan di ruangan ini mengenai peranan boleh dimainkan Ahli-ahli Parlimen dari Malaysia Timur dalam menentukan jatuh-bangun kerajaan di peringkat Pusat. Dengan jumlah 54 kerusi dimiliki BN di kedua-dua negeri itu, ia mampu menggugat kedudukan kerajaan Pusat sekiranya lebih separuh mereka memilih untuk menyertai kem pembangkang.

Berbekalkan 82 kerusi sedia ada, pakatan pembangkang memerlukan hanya 30 kerusi untuk majoriti mudah di Parlimen. Di atas beberapa perkiraan tertentu, sasaran paling “jinak” ialah wakil-wakil rakyat di Sarawak dan Sabah.

Ekoran kebimbangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tampil dengan cadangan agar digubal undang-undang anti-lompat. Katanya, penggubalan itu sangat perlu sebagai langkah menjaga kepentingan dan hak rakyat serta keadilan kepada semua parti politik.

Cadangan itu mengundang reaksi spontan pelbagai pihak. Rata-rata mereka menganggap ia sesuatu yang tepat dan kena pada masanya. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malah melabelkan wakil rakyat BN yang melompat parti sebagai pengkhianat dan tidak bermaruah.

Pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga diberi perhatian meluas oleh media. Bagi Menteri Besar Kelantan itu, wakil rakyat yang melompat parti bukan manusia. Mereka itu tidak amanah dan tidak tahu dosa-pahala.

Penegasan Tuan Guru itu, yang selama ini terkenal dengan kenyataan-kenyataan yang sering “meletihkan” BN, ternyata amat melegakan parti itu. Barangkali BN merasakan telah mendapat sokongan pembangkang bagi melepaskannya dari suasana sangat terdesak kini.

Sebetulnya kenyataan Tuan Guru itu bukan sesuatu yang baru. Hujah sama telah pun disebutnya 16 tahun lalu bila Kerajaan Kelantan pimpinannya menggubal undang-undang anti-lompat. Cuma oleh kerana BN ketika itu sangat berkuasa, para pemimpinnya memekakkan telinga dan membutakan mata terhadapnya.

Kini, selepas 16 tahun, BN akui undang-undang yang pernah digubal di Kelantan itu amat tepat. Dalam hal ini, mahu tidak mahu kita perlu akui BN terlambat 16 tahun berbanding apa yang pernah dibuat PAS.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 30 Mac-5 April 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, March 23, 2008

Ketuanan Melayu modal Umno selamat maruah


Oleh: Mohd Nasir Awang

MANGSA utama Pilihan Raya Umum ke-12 dua minggu lalu ialah hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN). Secara lebih spesifik, suara rakyat itu telah menyentap keegoan politik Umno sebagai tulang belakang BN.

Sudah menjadi tabiat Umno sedari dulu, setiap kali parti itu tersepit dan terdesak, ia akan kembali kepada agenda Melayu. Ungkapan paling mudah disebutnya bagi menagih simpati rakyat ialah, “Umno kalah, ketuanan Melayu hilang”.

Lalu digambarkanlah bahawa parti itu adalah satu-satunya harapan bagi rakyat memperjuangkan agenda Melayu, sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahu pun sosial.

Melihatkan gelagat dan mainan politik Umno, parti itu seakan tidak pernah ada cukup masa untuk mencapai matlamat perjuangannya. Perjuangan yang sentiasa “masih belum selesai” itu memerlukan mandat demi mandat.

Dalam menobatkan perjuangan itu, Umno sering mendakwa hanya dia satu-satunya parti yang membela orang Melayu. Parti-parti lain yang didukung orang Melayu dianggap tidak mempunyai agenda perjuangan bansga.

Pernah diwujudkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada 1988. Ia sangat Melayu pada namanya, tidak sebagaimana Umno yang menggunakan saduran Inggeris pada nama partinya. Tiada yang memimpin dan menjadi ahli S46 melainkan yang berbangsa Melayu dan berfahaman kebangsaan Melayu belaka. Mereka pula adalah bekasan pemimpin Umno.

Berhadapan parti yang serba-serbi Melayu itu pun, para pemimpin Umno masih bertegas bahawa hanya Umno parti Melayu tulen. Sedangkan di ketika sama, sudah ada kaum bukan Melayu menganggotai Umno. Antaranya, masyarakat Portugis di Melaka, masyarakat Siam di Perlis dan beberapa suku kaum bumiputera di Sabah.

Mengambilkira komposisi keahlian Umno yang pelbagai itu, apakah masih sayugia bagi Umno mendakwa ia parti Melayu tulen?

Saya sebenarnya tidak begitu berminat membicarakan soal politik berasaskan kaum ini. Apatah lagi dalam suasana masyarakat majmuk negara ini, sesuatu perkara yang dikaitkan dengan bangsa atau kaum tertentu akan menyempit dan membataskan pemikiran dan tindakan kita.

Bagaimana pun, saya agak rimas apabila pelbagai pihak tampil melaungkan kononnya mangsa utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya kali ini ialah ketuanan Melayu. Di antara mereka yang menyuarakan perkara itu pula ada yang berlatarbelakang akademik sangat tinggi, ada wartawan terkenal dan tokoh politik tersohor.

Betulkah kekalahan BN dua minggu lalu telah menghakis ketuanan Melayu dalam politik negara? Lebih spesifik lagi, betulkah ungkapan yang sering disebut, jika Umno kalah, ketuanan Melayu akan hilang?

Bagi saya, kita tidak perlu pergi jauh untuk menilai sejauh manakah realistiknya apa yang dicanangkan Umno itu. Teliti saja keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu, di sana sudah ada jawabannya. Ambil saja keputusan pilihan raya bagi dua negeri yang tidak dimenangi BN, iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

Kelantan dimenangi PAS sejak 1990. Di sana BN diwakili lebih 90 peratus oleh Umno. Kekalahan teruk BN dengan sendirinya bererti kekalahan Umno.

Dua minggu lalu, BN/Umno hanya mampu bertahan di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi Parlimen. PAS pula menguasai 38 kerusi Dun dan 9 kerusi Parlimen. Selebihnya satu kerusi Dun dan tiga kerusi Parlimen dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Umno kalah teruk di Kelantan, tetapi adakah ketuanan politik negeri itu jatuh ke tangan bukan Melayu?

Keadaan sebaliknya berlaku di Pulau Pinang. Umno tidak kalah teruk di negeri itu. Yang kalah teruk ialah parti-parti rakannya, terutama MCA dan Gerakan. Umno masih menang dua daripada lima kerusi Parlimen ditandinginya. Di peringkat Dun pula, Umno mengekalkan 11 daripada 15 kerusi ditandinginya.

Ertinya, Umno masih menang di Pulau Pinang. Tetapi adakah kemenangan Umno itu menjamin ketuanan Melayu dalam politik negeri itu? Ternyata keyakinan yang cuba diterapkan dalam ungkapan itu tidak menepati realiti politik.

Bahkan, jika ditinjau sejarah negeri Pulau Pinang, orang boleh bertanya bila masa Umno yang menjadi ketua kerajaan negeri tersebut? Kita ambil sejarahnya bermula dengan kemerdekaan negara. Kerajaan pertama di bawah Perikatan di Pulau Pinang diterajui Tan Sri Wong Pau Nee. Beliau adalah pemimpin MCA, bukannya ahli Umno. Beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang antara 1957 hingga 1969.

Dari segi jumlah kerusi Dun dimenangi Perikatan, jumlah dimiliki Umno sentiasa lebih besar berbanding dimiliki MCA. Contohnya, dalam Pilihan Raya Umum 1959, Umno ada 10 kerusi berbanding hanya enam dimiliki MCA. Pada 1964, Umno ada 10 kerusi, MCA hanya tujuh. Namun jawatan ketua menteri kekal di tangan MCA.

Perubahan kerajaan berlaku ekoran Pilihan Raya Umum 1969. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menang besar menewaskan Perikatan. Umno tinggal hanya empat kerusi, sedangkan Gerakan memperolehi 16 kerusi. Parti itu memerintah Pulau Pinang dan Dr. Lim Chong Eu dilantik ketua menteri.

Menjelang Pilihan Raya Umum 1974, Gerakan menyertai BN. Penguasaan kerusinya bagaimana pun berubah. Umno menang 10 kerusi, manakala jumlah kerusi dimenangi Gerakan merosot kepada tujuh.

Sejak itu jumlah kerusi dimenangi Gerakan tidak pernah mengatasi jumlah kerusi dimenangi Umno. BN bagaimana pun mengekalkan Chong Eu sebagai ketua menteri sehingga 1990.

Tradisi memberikan kerusi ketua menteri kepada Gerakan diteruskan. Bermula 1990 hingga 2008, giliran Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula memegang jawatan tersebut, walau pun dalam hampir setiap pilihan raya jumlah kerusi dimenangi Umno mengatasi kerusi dimiliki parti rakannya itu.

Maaf cakap, ini bukan soal perkauman. Catatan ini sekadar mempertikaikan hujah Umno kononnya kemenangan parti itu penentu ketuanan Melayu. Kes yang berlaku di Pulau Pinang dan Kelantan adalah bukti yang menafikan fahaman itu.

Bagi saya, soal ketuanan Melayu sebenarnya sekadar modal Umno untuk menyelamatkan maruah dan egonya yang teruk tercemar dalam pilihan raya kali ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 23-29 Mac 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Memahami pengalaman kerajaan PAS Terengganu


Oleh: Anuwa Jamalullail

SEJAK berlangsungnya Pilihan Raya Umum 2008 dua minggu lalu, berbagai perkara mengejutkan dilaporkan berlaku, terutama di empat negeri yang baru terlepas daripada genggaman Barisan Nasional (BN). Perubahan pucuk pimpinan negeri di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah turut sama mengubah lanskap politik hingga ke akar unmbi.

Ada sekurang-kurangnya dua bentuk kejadian yang berlaku di negeri-negeri tersebut mutakhir ini yang segera mengingatkan banyak pihak kepada apa yang pernah berlaku di Terengganu kira-kira lapan tahun lalu. Dua kejadian itu kemudiannya diheret menjadi isu besar yang sering dimomokkan sebagai rekod buruk pemerintahan PAS di negeri itu.

Dua isu dimaksudkan ialah peristiwa pengepungan Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu oleh para penyokong PAS dan pemindahan pusat pengajian prasekolah daripada premis kerajaan negeri.

Kedua-dua kejadian ini dimanipulasi secara berkesan oleh BN Terengganu. Mereka cuba memberikan gambaran negatif terhadap kerajaan PAS. Kononnya orang PAS agresif dan ganas, tidak berperikemanusiaan dan meletakkan perkiraan politik mengatasi kepentingan umum.

Tidak ada maklumat tepat diperolehi mengenai kejadian pada malam keputusan Pilihan Raya Umum ke-10, November 1999 lalu. Cuma sedikit laporan akhbar dan ulasan mulut ke mulut menyebut bahawa sekumpulan penyokong PAS telah mengerumuni pintu utama WDI, pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Tidak dapat dipastikan apakah tindakan mereka itu atas arahan mana-mana pemimpin atau hasil cetusan idea mereka sendiri. Bagaimana pun, mereka bertindak atas prasangka bahawa para pemimpin BN yang baru kalah ketika itu akan melakukan apa saja bagi mensabotaj kerajaan baru.

Di antara perkara paling dibimbangi ialah mereka akan membawa keluar fail penting, dokumen rahsia atau apa-apa yang tidak sepatutnya dikeluarkan dari bangunan yang menjadi nadi pentadbiran kerajaan itu.

Memang diakui para penyokong PAS itu bertindak di atas prasangka. Setelah mereka terlalu mengenali gelagat dan tabiat musuh politik mereka, apakah bijak untuk mereka menaruh baik sangka terhadap Umno/BN?

Malangnya, tindakan mereka yang bertujuan menjaga harta milik kerajaan itu disalahtafsir. Media massa kroni BN segera memutarbelit kejadian itu dalam bentuk sangat negatif. Namun  kesan positifnya tetap ada. Aktiviti “menghilangkan” fail dan dokumen tidak dapat dilakukan bekas pemimpin kerajaan secara bebas.

Akhbar harian minggu lalu melaporkan kejadian kehilangan dokumen dan fail penting di Kedah dan Pulau Pinang. Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak, memberitahu media bahawa beliau sendiri terkejut apabila memasuki Pejabat Menteri Besar yang lengang dan cuma terdapat meja, kerusi, seunit komputer riba dan sebilau pisau lipat.

“Kita kesal pihak yang “menghilangkan” fail-fail milik kerajaan dan kita mahu perkara ini disiasat dan saya juga telah memaklumkan kejadian ini kepada Ketua Polis Negeri,” katanya.

Kejadian serupa turut berlaku kepada bilik anggota exconya yang baru dilantik.

Di Pulau Pinang, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh turut terkejut apabila beliau memasuki pejabatnya yang kosong. Tiada sebarang fail atau dokumen untuk rujukan beliau bagi menyemak dan memulakan tugasnya.

Kejadian ini mengajar kita bahawa adalah tidak bijak jika kita terlalu underestimate kejahatan musuh. Justeru, tindakan proaktif penyokong PAS Terengganu mengawal pintu WDI lapan tahun lalu perlu dinilai secara positif.

Kejadian kedua ialah melibatkan penggunaan balairaya dan premis milik kerajaan negeri oleh agensi atau jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan. Paling ketara ialah penggunaan balairaya untuk kelas Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan Negara.

Ada juga balairaya dijadikan pusat pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan markas BN, selain pusat aktiviti setempat.

Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu media bahawa pihaknya ada menerima laporan telah berlaku perpindahan keluar beberapa institusi BN tadi daripada premis milik kerajaan negeri.

Menurut Guan Eng, perkara itu berlaku di luar arahan pihaknya. Kerajaan negeri, katanya, tidak pernah menghalang mana-mana pihak terbabit meneruskan aktiviti masing-masing di premis sedia ada. Beliau sebaliknya kesal dengan tindakan Kemas dan JKKK tertentu yang bukan sahaja berpindah keluar tetapi turut memindahkan sebahagian besar perabot dan kelengkapan lain yang ada di premis terbabit.

Ada pula dakwaan kononnya mereka itu telah diarahkan keluar oleh pihak tertentu mewakili kerajaan negeri. Itu semua, menurut Guan Eng, bertujuan memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.

Kejadian serupa turut dilaporkan berlaku di Perak.

Itulah rupa Umno/BN. Dia yang melakukan kerosakan dan kemusnahan, tetapi masih sempat menyalahkan pihak lawan atas tindakan durjananya itu.

Kes serupa telah dialami kerajaan PAS Terengganu lapan tahun lalu. PAS difitnah kononnya menghalau JKKK, Tabika Kemas dan Tadika Perpaduan daripada balairaya milik kerajaan negeri. Sedangkan apa yang berlaku, mereka sendiri yang mencipta isu bagi memburukkan kerajaan PAS.

Bahkan, sehingga akhir pemerintahan PAS pada 2004, masih terdapat hampir 100 buah balairaya yang digunakan Tabika Kemas di Terengganu. Ertinya, isu kerajaan PAS menghalau Tabika dari balairaya sebenarnya lebih merupakan strategi dan agenda politik BN untuk memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan PAS.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 23-29 Mac 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, March 16, 2008

Sabah, Sarawak penentu politik Malaysia


Oleh: Mohd Nasir Awang

PILIHAN Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah. Ia bukan sahaja gagal dalam impiannya menobatkan Menteri Besar Umno di Kelantan, malah suaranya hampir dilenyapkan di negeri itu. BN hanya mampu mengekalkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi Parlimen.

Di samping itu, empat kerajaan negeri di Pantai Barat tumbang ke tangan pakatan parti-parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk Barisan Alternatif (BA) dengan DAP. Pulau Pinang diterajui DAP, Selangor diketuai PKR, manakala Kedah dan Perak bermenteri besarkan wakil PAS.

Nasib baik di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak diadakan pilihan raya di peringkat Dun. Jika tidak, besar kemungkinan wilayah itu juga akan dikuasai pakatan BA-DAP. Bayangkan BN hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen di wilayah berkenaan. Baki 10 lagi masing-masing dikongsi oleh DAP (5), PKR (4) dan PAS (1).

Turut tumpas ialah beberapa pemimpin kanan BN. Antara mereka ialah Presiden MIC merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden PPP, Datuk M. Kayveas dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Selain Samy Vellu, tiga menteri kabinet daripada Umno juga tewas. Mereka ialah Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil (Lembah Pantai), Datuk Aziz Shamsuddin (Shah Alam) dan Datuk Zainudin Maidin (Sungai Petani).

Meski pun masih berpeluang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, BN dalam keadaan sangat lemah. Ia ibarat orang tempang yang dilanda demam panas, sakit gigi dan senak perut.

BN gagal memastikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Ia menang hanya 140 daripada 222 kerusi. Baki 82 lagi dimiliki BA-DAP.

“Sebuah kerajaan yang tidak mendapat majoriti dua pertiga adalah kerajaan yang sangat lemah”, begitulah reaksi awal bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai kekalahan BN minggu lalu.

Kekuatan BN memang amat tercabar kini. Ia amat bernasib baik kerana masih mampu membentuk kerajaan.

Melihatkan jumlah kerusi dimenangi BN, adalah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa penyelamat utama kerajaannya ialah parti-parti komponennya di Sabah dan Sarawak. BN hampir menyapu bersih kerusi parlimen di kedua-dua negeri itu. Sabah menyumbang 24 kerusi dan Sarawak, 30.

Dalam konteks pertarungan poltiik Malaysia, percaturan politik di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kekuatan mana-mana parti, termasuk BN. Kecuali Umno dan DAP, lain-lain parti yang mampu mendapat tempat di negeri tersebut adalah bersifat negeri.

Budaya berpolitik di kedua-dua negeri itu agak unik dan amat berbeza dengan suasana di Semenanjung. Cara dan tahap berfikir masyarakat di sana tidak serupa dengan segmen terbesar rakyat negara ini. Isu pembangunan masih mendominasi pemikiran rakyatnya. Politik lompat juga bukan suatu budaya yang ditolak di sana.

Di setiap pilihan raya, pertandingan pelbagai penjuru adalah lumrah. Kekuatan calon adalah pada tarikan dan kemampuan kebendaan mereka. Faktor keperibadian calon mampu menewaskan faktor parti. Sebab itu ruang bagi calon Bebas menang sentiasa ada di sana.

Kedua-dua negeri itu juga sering mencatatkan kes kemenangan tanpa bertanding yang agak banyak. Ia berlaku pada hampir setiap pilihan raya dan turut berlaku kali ini. Contohnya, dua kerusi parlimen dimenangi tanpa bertanding pada 1990 adalah masing-masing satu di Sarawak (Lubuk Antu) dan Sabah (Keningau).

Pada 1995 pula, BN menang tanpa bertanding di 11 kerusi parlimen. Sembilan daripadanya adalah di Sarawak. Satu-satunya kerusi parlimen di menangi tanpa bertanding pada 1999 juga di Sarawak (Betong).

Kemenangan percuma BN di 17 parlimen dan 11 Dun pada 2004 juga dibayangi hakikat sama. Sembilan daripada kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun itu adalah di Sabah. Manakala enam kerusi parlimen lagi di Sarawak. Hanya dua kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun dimenangi BN itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung. Kemenangan mudah di dua negeri itu sering menjadi modal awal kekuatan BN.

Hakikat itu berkekalan hingga kini. Pada hari penamaan calon 24 Februari lalu, BN telah memperolehi kemenangan percuma di tujuh kerusi parlimen. Empat daripadanya di Sarawak, dua di Sabah dan hanya satu di Johor.

Kedua-dua negeri itu menyumbang 54 kerusi untuk mempertahankan kerajaan BN. Ertinya, tanpa sumbangan mereka, jumlah dimenangi BN di Semenanjung hanya 86 berbanding 82 dimenangi BA-DAP.

Jangan lupa terdapat 11 lagi kerusi parlimen yang dimenangi BN di Semenanjung dengan majoriti tipis, yakni di bawah 2,000 undi. Bahkan, empat daripadanya mencatatkan majoriti sangat tipis. Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu tewas hanya 665 undi di Kuala Terengganu dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din terlepas kerusi Parlimen Arau dengan hanya 300 undi majoriti.

Dua calon PKR malah tewas dengan undi lebih kecil, masing-masing di Lumut (298 undi) dan Alor Setar (184).

Perkiraan ini membuktikan, tanpa Sabah dan Sarawak, kekuatan BN adalah sekata berbanding BA-DAP. Kerajaan BN pimpinan Umno bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ jika tidak disokong parti-parti komponen dari dua negeri Malaysia Timur itu.

Dalam keadaan yang ada kini, segala kemungkinan boleh berlaku. Berbekalkan budaya politik Malaysia Timur yang kita ketahui, tidak mustahil kita bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam pemerintahan negara.

Banyak aspek boleh diulas mengenai perkembangan politik kini. Untuk kali ini, cukup sekadar itu. Saya mengambil kesempatan mengucap tahniah buat empat rakan seperjuangan di zaman kampus dulu yang kini bergelar “Yang Berhormat”. Mewakili PAS ialah Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Dun Batu Burok, Terengganu) dan Che Abdullah Mat Nawi (Dun Wakaf Baru, Kelantan). Di pihak BN pula, Dr. Mohd Fuad Zarkashi (Parlimen Batu Pahat) dan Hasbi Habibollah (Parlimen Limbang). Selamat berkhidmat, YB!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 16 Mac 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)