Friday, June 22, 2001

Sambut Maulud tapi pertikai Sunnah Rasulullah


Oleh: Mohd. Nasir Awang

SUDAH diperakui sejarah bahawa di antara manusia paling gembira di hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ialah bapa saudara Baginda yang bernama Abu Lahab. Di atas sifatnya sebagai seorang bangsawan Kota Mekah, Abu Lahab dikatakan telah menyembelih berpuluh-puluh ekor unta sebagai jamuan kesyukuran di atas kelahiran anak saudaranya itu. Seluruh Kota Mekah turut berkenduri meraikan peristiwa penting itu.

Sejarah turut merakamkan bahawa Abu Lahab yang sama juga kemudiannya menjadi orang yang paling lantang memerangi risalah Islam yang dibawa Baginda s.a.w. Sehinggakan nama Abu Lahab diabadikan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran.

Bukan kerana jasanya mengadakan majlis sambutan hari lahir Nabi, tetapi kerana keceluparan mulutnya. Ia telah mencelakakan Rasulullah s.a.w., lalu ia dicelakakan oleh Allah s.w.t. Setiap kali seseorang Islam membaca Surah Al-Masad, setiap itulah kita turut mengutuk Abu Lahab, dulu, kini dan selamanya.

Celaan Abu Lahab itu telah membuka ruang penentangan lebih dahsyat daripada masyarakat Makkah. Daripada seorang yang disepakati sebagai ‘berjurus’ dan berpekerti mulia sehingga mendapat gelaran Al-Amin, Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya dituduh dengan berbagai-bagai label.

Antara mereka ada yang berkata, “Wahai Muhammad, kamulah yang menimbulkan berbagai-bagai masalah. Kamulah yang membawa perpecahan dalam masyarakat, kamulah yang menghina tuhan-tuhan kami. Kamulah yang mencaci nenek moyang kami dan kamulah yang mengkufurkan orang-orang terdahulu daripada kami”.

Bagi umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah uswatun hasanah, atau role model yang tidak ada tolok bandingnya. Justeru, apa jua yang berlaku di dalam sirah hidup Baginda merupakan sumber panduan dan peraturan hidup. Di dalam sirahlah orang Islam mencari inspirasi bagi mencontohi Rasulullah.

Sebab itu, kalaulah orang seagung dan semulia Baginda pun masih ada manusia yang sanggup mentomahkannya sebagai memecahbelah, menghina ajaran nenek moyang dan melakukan perbuatan yang mengkafirkan orang lain, apalah peliknya tohmahan yang sama dilemparkan kepada golongan yang cuba mengikuti Baginda di akhir zaman ini?

Bukankah itu tanda walau pun Abu Lahab sudah tidak ada, legacy-nya sebagai penentang Rasulullah tetap wujud juga? Sebab itu kita perhatikan terlalu ramai umat Islam dewasa ini  yang, pada suatu masa, kelihatan paling hadapan di dalam menyambut Maulidur Rasul setiap kali datangnya Rabi’ulAwwal. Tetapi di ketika yang lain pula, mereka jugalah yang terlalu banyak mempertikaikan ajaran dan sunnah Baginda s.a.w.

Sebagai contoh, ada seorang pemimpin negara yang pernah secara terbuka mencampakkan keraguan terhadap kesahihan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh beberapa imam muktabar seperti Imam Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan lain-lain.

Katanya, kerana imam dan ulama’ bukannya nabi, tetapi hanya manusia biasa, mereka juga boleh terdedah kepada kesilapan. Hadith dan sunnah yang mereka tolak mungkin sahih dan apa yang mereka terima mungkin tidak asli. Sudah pasti ramai yang masih memetik hadis-hadis yang tidak disahkan.

Sewaktu isu syahid sedang hebat diperbahaskan ekoran tindakan barbaric pihak kerajaan membunuh beramai-ramai rakyat yang tidak berdosa di Memali, Kedah, 15 tahun lalu, seorang pemimpin negara turut mempertikaikan hukum syahid di dalam Islam. Beliau malah mengatakan, Saidina Hamzah yang gugur di Uhud tidak  dimandikan kerana tidak ada air (bukan kerana syahid), kerana terkorban di tengah-tengah padang pasir.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda, penghulu bagi orang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Mutalib dan (hingga akhirnya). Apakah pemimpin itu yang benar atau  sabda Rasulullah s.a.w. yang kita hendak pakai?

Tidak cukup  setakat itu, hinggakan sunnah Baginda menyimpan janggut turut dipersoalkan.  Seorang pemimpin negara pernah bertanya, “Siapa tahu  janggut nabi macamana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu. Ada pula kata janggut mesti sampai ke pusat. Apakah kita hendak jadikan ini ukuran agama Islam kerana kita berjanggut ikut sunnah nabi? Kita tak tau! Kita taulah dia ada janggut tapi tak tau janggut dia macamana. Zaman itu nak cukur mudah? Bukan ada gilette. Zaman Nabi ada gilette? Tak ada! Pisau cukur pun tak ada masa tu”.

Kita bimbang, sekiranya logik itu yang diterima pakai, maka akan tiba suatu ketika seluruh ajaran Islam akan diabai terus. Tidak mustahil, sepuluh tahun akan datang, ada pula orang yang mempersoalkan hadith Nabi s.a.w. ‘sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang’. Kerana, kalau mengikut logik di atas, ada pula persoalan baru berbunyi, “siapa tahu nabi sembahyang macamana? Siapa pernah tengok? Ada gambar ke? Kita tidak tahu”.  

Maka konklusinya, kita tidak payah sembahyang! Logik bukan?

Jika itu yang berlaku, maka antara manusia yang paling gembira ialah Abu Lahab. Kerana, walau pun dia telah lama ditelan bumi, namun legasinya tetap diteruskan oleh umat  manusia hingga akhir zaman. Kita mohon dijauhkan Allah s.w.t. daripada takdir seumpama itu, lebih-lebih lagi di saat kita masih mengingati Maulidur Rasul s.a.w.


Friday, June 8, 2001

‘Orang beriman’ tidak jaga kebersihan

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG ahli keluarga, yang menjadi pegawai tadbir di sebuah pejabat pihak berkuasa tempatan, suatu hari merungut soal tabiat orang ramai membuang sampah merata-rata.
Katanya kepada kita: “Tak boleh ke educate sikit orang tempat demo tu, minta jangan buang sampah di luar tong? Payah lori kita nak angkut, makan masa!”
Selang tidak berapa hari selepas itu, dalam Buletin Utama di kaca TV, seorang wartawan terkenal tanahair juga tampil melaporkan masalah sampah. Siapa tidak kenal dengan Karam Singh Walia, seorang wartawan yang berani dan dedikasi dalam mendedahkan kes-kes pencemaran alam sekitar.
Berdasarkan namanya, kita boleh katakan bahawa beliau bukannya seorang yang beragama Islam. Tetapi, di dalam laporannya pada malam itu, Karam Singh telah membuat kesimpulan yang sangat menarik.
Beliau mengakhiri laporannya di Kota Bharu itu dengan berkata lebih kurang begini: “Tanggungjawab menjaga kebersihan kini bukan terletak kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sahaja. Ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap anggota masyarakat, lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang beriman.”
Nah! Apakah ‘orang-orang yang beriman’ tidak terusik hati mendengar teguran tersebut diungkapkan oleh seorang bukan Islam?
Hakikat kebersihan yang tidak terjaga atau tabiat membuang sampah merata-rata ini sememangnya amat memalukan. Lebih-lebih lagi, sebagai seorang yang beriman, kita diajar oleh Islam tentang perkara itu. Bukankah Rasulullah s.a.w. ada bersabda, “kebersihan itu sebahagian daripada iman?”
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur yang datang bersama keluarga untuk bercuti di Pulau Redang juga turut menyentuh soal kebersihan di Terengganu.
Sekembalinya ke KL beliau manulis kepada sebuah akhbar tempatan menceritakan pengalaman manis selama bercuti menikmati keindahan panorama semulajadi di bumi bertuah ini.
Di samping itu, beliau juga turut mencatatkan beberapa perkara yang mencacatkan keindahan percutiannya itu. Antaranya ialah tentang kebersihan di Pasar Kedai Payang sebagai tempat kunjungan para pelancong membeli-belah.
Beliau juga menulis tentang perjalanannya dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Merang (jeti ke Pulau Redang) melalui beberapa buah kampung. Beliau menggambarkan, ‘rumah-rumah usang dengan suasana sekitarnya yang bersepah-sepah amat menyakitkan mata memandang’. Komentarnya itu ditatap oleh pembaca seluruh Negara.
Kita bukan mahu menbicarakan soal ‘rumah-rumah usang’ itu di sini. Kerana, mungkin bagi orang luar Terengganu, ianya amat menyakitkan mata. Tetapi, bagi kita anak negeri ini, ‘rumah-rumah usang’ itu sebenarnya adalah lambang ‘pembelaan’ yang rakyat perolehi daripada kerajaan yang selama 38 tahun memerintah negeri yang kaya ini.
Lagi pun, bukan semua destinasi pelancongan utama dunia dihiasi rumah-rumah banglo atau chalet dan kotej yang indah-indah. Pulau Bali, Hawaii dan penempatan orang-orang asli yang sering dikunjungi pelancong sudah tentu bukan semuanya dipenuhi rumah-rumah yang indah.
Tetapi, soal ‘suasana sekitarnya yang bersepah-sepah’ adalah suatu hal yang lain. Betul, rumah kita adalah usang dan kelam. Apa nak buat, itu sahaja yang kita mampu bina. Tetapi, membiarkan sampah dan kotoran bersepah dan menyemakkan kawasan sekitar sebenarnya tambah mengusang dan mengkelamkan lagi kampung kita.
Seorang wakil rakyat, di awal-awal kemenangannya dahulu, sering membangkitkan soal kebersihan di dalam beberapa siri ucapannya di kampung-kampung. Beliau menegur sikap masyarakat yang tidak ambil berat soal kebersihan tandas awam termasuk di masjid dan surau.
Sehinggakan di beberapa tempat yang beliau kunjungi, ‘aroma’ tandas itu kadang-kadang menusuk hidung para jemaah yang bersolat. Begitu juga dengan tabiat masyarakat yang membuat reban ayam-itik atau lembu-kambing di bawah rumah. Malangnya, teguran beliau itu telah mengundang kontroversi, dan dianggap soal remeh-temeh.
Kita pernah sebutkan bahawa usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah.  Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat.    Sebarang usaha mengubahnya menuntut langkah yang cermat dan tabah, kerana ia berkemungkinan mengundang kontroversi dalam masyarakat. Kerana, kerja yang paling payah ialah bagi mengubah persepsi yang dianggap ‘kebiasaan’ untuk menjadikannya bertepatan dengan tuntutan agama.
Mungkin, bagi pihak berkuasa tempatan, pelbagai pendekatan telah dilakukan untuk menangani masalah kebersihan ini. Sebab itu pegawai tadbirnya meminta kita educate masyarakat pula.  Kerana bagi beliau, dan bagi kita juga, masalah kebersihan ini banyak mempunyai kaitan dengan sikap dan tabiat penduduk setempat.
Adakalanya tindakan tegas termasuk mengenakan denda yang berat bagi kesalahan membuang sampah merata-rata dapat membantu mendisiplinkan masyarakat. Mungkin juga kempen secara besar-besaran dengan kerjasama semua pihak, perlu diadakan dari masa kesemasa bagi menimbulkan kesedaran sivik dan kebersihan di kalangan masyarakat.
Harap-harapnya kita tidak akan tunggu Karam Singh datang membuat laporan di tempat kita, barulah kita bersegera nak bertindak!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 25, 8 Jun 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)