Sunday, November 27, 2011

Piala Monsun: Yang dipertahan hanyalah ego BN


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ketika rencana ini ditulis, Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011 di Pulau Duyong, Terengganu sedang berlangsung. Ia dijadualkan berlanjutan selama enam hari bermula 22 November.

Biar pun pihak penganjur dan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri menganggapnya acara tahunan yang berprestij dan tidak jemu berusaha menggambarkannya sebagai program membanggakan, kontroversi berkisar penganjurannya tidak pernah padam sedari mula ia diadakan.

Pertikaian mengenai kejohanan itu berpusat kepada persoalan sejauh mana ia memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri Terengganu. Sejak pertama kali diadakan pada 2005 hingga kini persepsi umum yang lebih popular ialah kejohanan itu lebih sebagai projek yang “belanjanya besar tetapi manfaatnya tiada”.

Apatah lagi setelah kejohanan bertaraf antarabangsa itu memasuki tahun ketujuh, pelbagai pihak termasuk kalangan pemimpin BN sendiri kerap memperakui betapa ia gagal mendatangkan faedah kepada rakyat Terengganu.

Ertinya, pembaziran dan ketiadaan manfaat dari penganjuran Piala Monsun saban tahun bukan lagi semata-mata dakwaan kosong atau fitnah liar parti pembangkang. Pengakuan terbaru mengenai hakikat itu bahkan datangnya daripada pemimpin nombor satu BN Terengganu sendiri.

“Tidak dinafikan kita tidak memperolehi keuntungan dari segi kewangan bagi penganjuran ini, namun kita menerima kunjungan pelancong asing melalui sukan Monsun Cup (Piala Monsun) yang mendapat perhatian dunia,” demikian pengakuan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, sepertimana dipetik tabloid harian edisi negeri itu, 6 Oktober lalu.

Kenyataan beliau itu sebagai reaksi terhadap desakan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat agar kontrak penganjuran Piala Monsun yang akan berakhir tahun hadapan tidak disambung kerajaan negeri. Hanafiah mendakwa pulangan diterima rakyat atas penganjuran kejohanan itu amat tidak berbaloi.

Sememangnya kejohanan itu bagaikan terkena sumpahan. Sedari mula ia dianjurkan, ia tidak habis-habis dilanda kontroversi. Pertikaian bahkan bermula dengan pembangunan drastik yang berlaku ke atas Pulau Duyong, semata-mata bagi memenuhi maksud penganjuran Piala Monsun dengan belanja melangkaui ratusan juta ringgit.

Angka sebenar perbelanjaan dihabiskan BN untuk kejohanan itu bagaimana pun tidak pernah didedahkan secara jelas dan bertanggungjawab. Ada-ada saja dolak-dalih pemimpin kerajaan negeri untuk mengelakkan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai jumlah wang mereka yang telah dicurahkan BN di pulau tersebut.

Ada laporan mengatakan hanya RM60 juta dihabiskan untuk penyediaan prasarana kejohanan di tahun pertama. Ada pula laporan lain menyebut jumlah kosnya melebihi RM200 juta. Manakala bual-bicara selepas itu mengheret angka tersebut kepada lebih RM300 juta.

Keengganan parti pemerintah mendedahkan angka sebenar perbelanjaan dan berdepan dengan tuntut faham oleh rakyat menyebabkan keseluruhan projek pembangunan di pulau itu sentiasa dipersoalkan. Pertikaian mengenainya bukan setakat menjadi bahan perbahasan di kedai kopi atau pentas ceramah, malah turut menjadi isu pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam beberapa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu sebelum ini.

Di masa sama kesan alam sekitar akibat pembangunan tidak teliti dan tergopoh-gapah di Pulau Duyong turut memberi impak negatif terhadap kegiatan ekonomi penduduk beberapa pulau dan daratan sekitarnya. Hal itu diakui oleh dua bekas Adun BN di kawasan terbabit, iaitu Bukit Tunggal dan Seberang Takir. Masing-masing mengakui aktiviti pembangunan tidak teliti di pulau itu menyebabkan paras air sungai menjadi cetek, sekaligus menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk sekitar yang sebahagian besar mereka adalah nelayan dan pengusaha bot penambang.

Kontroversi Piala Monsun tambah diperkatakan pada Ogos 2008 apabila Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh mendedahkan beberapa penemuan tidak menyenangkan mengenai penganjuran perahu layar itu. Beliau mengesahkan betapa kejohanan itu “memakan belanja besar tetapi tidak banyak memberikan manfaat kepada kerajaan dan masyarakat Terengganu”.

Ertinya, jika dinilai berdasarkan keluh-kesah rakyat dan pendedahan serta pengakuan oleh pelbagai pihak, termasuk para pemimpin BN sendiri, sudah tidak ada alasan lagi sebenarnya yang mewajarkan kejohanan itu dipertahankan. Namun Ahmad telah menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap akan menyambung kontrak penganjuran Piala Monsun untuk tahun-tahun berikutnya.

Barangkali satu-satunya alasan atau sebab yang tinggal buat BN untuk meneruskan hasrat itu ialah kerana tidak bersedia tunduk kepada desakan dan bantahan rakyat, lebih-lebih lagi parti pembangkang. Meminjam kata-kata Hanafiah, penganjuran Piala Monsun “hanya mahu menonjolkan keegoan kerajaan BN”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1694, 28 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Thursday, November 24, 2011

Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Agaknya kalaulah Terengganu kini di bawah PAS, pada adatnya kes wabak Hepatitis A yang sedang melanda beberapa kampung di daerah Hulu Terengganu akan benar-benar dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sebagai bahan menyerang kerajaan negeri. Boleh jadi tidak akan ada pemimpin parti itu yang tidak menyuarakan keluhan dan sesalan terhadap apa yang sedang berlaku kini.

Akan ada juga kumpulan demi kumpulan rakyat yang kononnya prihatin terhadap permasalahan itu tampil meluahkan rasa tidak puas hari terhadap kerajaan negeri menerusi berbagai pertubuhan bukan kerajaan. Manakala segenap saluran media arus perdana berkemungkinan dimanfaatkan semahunya untuk berulangkali menyorot kes itu secara negatif.

Kerajaan negeri pimpinan PAS akan dibalun dan dipersalahkan atas petaka menimpa sebilangan rakyat itu. Ia akan didakwa tidak prihatin atau gagal memastikan kesihatan rakyat terjamin, apabila rakyat terpaksa menggunakan bekalan air yang tidak bersih sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti wabak tersebut.

Andaian itu tidak mustahil, bahkan berkemungkinan besar berlaku, terutama jika dilihat daripada reaksi dan kecaman diterima kerajaan Kelantan berhubung risiko wabak merbahaya yang didakwa mungkin dihadapi rakyat negeri tersebut akibat permasalahan serupa.

Tabloid harian pada Isnin, 21 November memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menyalahkan kerajaan negeri diterajui PAS di atas status bekalan air yang dikatakan tercemar. Beliau memetik hasil ujian Kementerian Kesihatan yang mendapati air di negeri itu dicemari berbagai bakteria merbahaya termasuk bakteria E-coli.

Lantas beliau mengandaikan betapa sebahagian besar rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya permasalahan itu tidak diatasi segera. Tanpa selindung Awang Adek menyalahkan pihak pengurusan air negeri. Beliau malah secara terbuka memperlekeh negerinya sendiri yang dianggapnya lebih teruk daripada Afrika Selatan.

“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya, dipetik tabloid berkenaan.

Beliau turut menempelak kerajaan  negeri yang diharapnya jangan hanya pandai berceramah saja, tetapi perlu lebih bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin, terutama dengan menyediakan bekalan air bersih.

Apa yang dilaporkan di Kelantan itu sebenarnya hanya andaian. Andaian itu juga turut disarati sentimen politik, selain wujud unsur berlebih-lebihan. Setakat ini belum ada wabak dimaksudkan itu dilaporkan berlaku. Masih belum ada mangsa E-coli yang direkodkan di negeri itu sebagai akibat daripada meminum air dibekalkan yang didakwa tercemar bakteria itu.

Namun, reaksinya sudah sedemikian keras seakan satu wabak membimbangkan telah pun melanda negeri itu. Bayangkan sebahagian besar rakyat negeri itu ditakutkan dengan kemungkinan menjadi mangsa wabak tersebut. Bahkan, belum pun tercetus wabak itu, kerajaan negeri sudah pun menerima penangannya.

Bayangkan saja andaikata wabak itu telah pun berlaku dan sudah ada sebilangan rakyat Kelantan menjadi mangsanya, sepertimana yang sedang dialami penduduk Hulu Terengganu kini. Agaknya bagai nak kiamat dunia media saban hari menyorot perkembangan membimbangkan itu.

Namun, kegilaan media itu tidak berlaku dalam kes di Terengganu itu, walau pun sudah berminggu berita wabak Hepatitis A itu dilaporkan. Terbaru, tabloid harian edisi negeri itu pada Isnin melaporkan jumlah mangsa wabak tersebut sudah mencecah 57 orang. Semua mangsa adalah penduduk dari Kampung Basung (35 orang), Kampung Pasir Dula (19) dan Kampung Padang Setebu (3).

 Bagaimana pun laporan itu disajikan kepada pembaca dalam bentuk bersahaja, sama seperti laporan dan berita lain. Gambar Exco bertanggungjawab terhadap kesihatan negeri yang sering dilampirkan bersama berita mengenai wabak itu pula sengaja dipilih dengan pose tersengih, walau pun dia sendiri tidak menolak kemungkinan wabak itu merebak ke daerah lain.

Seperkara menarik, punca wabak itu ada persamaan dengan kemungkinan wabak E-coli yang sangat digeruni Awang Adek di Kelantan itu. Hepatitis A di Hulu Terengganu ini juga berpunca daripada amalan penduduk yang tidak menjaga kebersihan, terutama meminum air yang tercemar dan memakan makanan yang tidak dimasak.

Agak pelik, kegagalan BN Terengganu memastikan kesihatan rakyatnya tidak pula menjadi bahan kritikan mana-mana pihak. Apa kata rakyat negeri itu pinjam hujah Awang Adek tadi dan isytiharkan bahawa Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil:1693, 25 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS' N5 dengan tajuk sama)

Sunday, November 20, 2011

Kempen antizina Selangor tiada peranan?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Semasa menjawab soalan seorang wakil Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Rakyat, 16 November, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie memberitahu seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan kementeriannya untuk tempoh 2008 hingga 2010.

Katanya, daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Tentu sekali angka-angka disebutkan itu amat membimbang dan mendukacitakan kita semua. Namun di masa sama ia tidak pula mengejutkan. Walau pun negara kita kerap dibanggakan sebahagian pihak kononnya menjadi ‘Negara Islam Contoh’ bagi sebilangan negara lain di dunia, rakyat Malaysia sendiri lebih tahu sejauh manakah sesuai dan sepadannya gelaran itu dengan keadaan dalam negara.

Kewujudan begitu banyak faktor pendorong berlakunya hubungan luar ikatan perkahwinan menyebabkan lambakan anak luar nikah suatu yang seakan sudah dapat dijangkakan. Justeru, walau pun angka lebih 150,000 itu wajar dipandang sebagai perkembangan tidak sihat dan memalukan, ia bukan lagi pendedahan mengejutkan.

Ibarat kata orang, alah bisa tegar biasa. Oleh kerana sebelum ini pun sudah kerap angka-angka ratusan ribu anak luar nikah dilaporkan, maka khalayak umum sudah menganggapnya suatu hakikat sosial yang tidak lagi pelik atau luar biasa bagi negara kita.

Sama lah juga bagaimana kita tidak akan terkejut apabila ada pihak memanipulasi apa-apa juga fakta didedahkan mana-mana pihak untuk dikaitkan sebagai kelemahan dan kegagalan pihak lawan. Pentas politik negara kita amat kotor dan diselaputi sentimen kepartian sangat tebal sehingga sanggup ke tahap menafikan realiti dan rasionaliti.

Memburukkan keadaan itu ialah apabila media arus perdana yang sepatutnya melapor dan membekalkan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat bertukar peranan menjadi alat propaganda dan talibarut parti pemerintah. Lalu dalam apa juga keadaan, mereka akan menyorot, bahkan memutarbelit fakta semata-mata untuk menutup kelemahan BN dan di masa sama berusaha menzahirkan kegagalan Pakatan Rakyat.

Itulah persis apa yang berlaku ekoran pendedahan fakta disebutkan di atas. Bayangkan, walau pun kenyataan timbalan menteri berkenaan secara jelas menyebutkan bahawa jumlah tertinggi anak luar nikah dicatatkan negeri Sabah yang diperintah BN, ada pihak lebih berminat mengulas dan memperbesarkan angka dicatatkan di Selangor yang diperintah PR.

“Kami juga mempertikaikan keberkesanan kempen antizina yang dilancarkan oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menerusi Jawatankuasa Generasi Idaman Selangor yang dilihat hanya sekadar nama, tetapi tidak mempunyai peranan,” kata seorang pemimpin utama Majlis Belia Selangor, sepertimana dipetik sebuah media talibarut BN, Khamis lalu.

Ya, semua pihak ada hak mempertikai dan menyatakan pandangan terhadap apa saja. Tetapi apabila ia dibuat secara melulu dan terlalu dibauri sentimen kebencian terhadap pihak lain, akan lebih mudahlah terserlahnya kedangkalan hujah dan pandangan dikemukakan itu.

Dalam kes ini, apakah semudah itu dikaitkan jumlah anak luar nikah yang tinggi di Selangor itu sebagai kegagalan program pencegahan diusahakan kerajaan negeri? Ada beberapa penilaian yang sepatutnya dirasionalkan sebelum mana-mana pihak sebegitu cepat menuding jari dan mendakwanya sebagai kegagalan kempen antizina dilaksanakan sebelum ini.

Pertama, sepertimana diutarakan tadi, jika diikutkan fakta itu Selangor bukanlah negeri mencatatkan angka tertinggi anak luar nikah dalam tempoh tersebut. Sepatutnya secara rasional semua pihak perlu melihat bahawa ia bukan soal politik. Angka di Sabah bahkan lebih dua kali ganda berbanding Selangor, manakala angka dicatatkan Sarawak pula mengekori rapat di belakang Selangor.

Justeru, jika dikatakan apa yang berlaku di negeri PR itu ekoran kelemahan program parti pemerintahnya, maka yang lebih layak dikecam sebagai gagal ialah dua kerajaan diperintah BN di Malaysia Timur itu.

Kedua, sebegitu banyak kempen dan slogan diutarakan BN, sama ada menerusi kerajaan Pusat mahu pun negeri-negeri dikuasainya sekian lama juga tidak terlepas dari kegagalan. Semua kita boleh menerima betapa kempen antimerokok dilaksanakan kerajaan sejak berdekad hingga kini belum boleh dianggap berjaya.

Ratusan atau mungkin ribuan juta RM pula telah dihabiskan untuk kempen memerangi penyalahgunaan dadah. Namun apakah jumlah penagih semakin berkurangan atau meningkat saban tahun?

Begitu juga dengan kempen keselamatan jalanraya. Setakat ini tidak ada pihak yang berpuashati melihat statistik kemalangan maut yang gagal diturunkan. Apakah kita tergamak menyalahkan kempen yang telah dibuat?

Dalam bahasa lebih tegas, apakah kita mahu mengatakan sembahyang tidak mempunyai peranan mencegah kemungkaran hanya semata-mata kerana masih ramai mereka yang bersembahyang tetapi kekal melakukan dosa. Tidakkah pendirian itu bererti kita menyalahkan janji Allah?

Seeloknya apa yang berlaku dihujahkan secara positif. Bagaimana jika kita katakan, mujur juga kerajaan Selangor telah laksanakan kempen antizina. Andaikata tidak, barangkali jumlah anak luar nikah di negeri itu untuk tempoh tersebut mungkin dua kali ganda daripada itu! Tidak mustahil, bukan?

(Artikel ini adalah versi lebih panjang daripada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1692, 21 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', N5 dengan tajuk sama)

Thursday, November 17, 2011

Kalaulah BN Terengganu tak utamakan bola...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada satu kawasan perumahan di pinggir bandaraya Kuala Terengganu yang dihuni lebih 300 keluarga. Kebanyakan penghuni itu adalah golongan pertengahan, yakni tidak termasuk golongan kaya-raya dan tidak juga dikategorikan miskin.

Masalahnya, kawasan kejiranan mereka kerap diancam banjir, terutama setiap kali berlakunya hujan berterusan. Ia bukan akibat curahan air semulajadi sepertimana dialami kawasan tanah panah, tetapi lebih didorong faktor kegagalan sistem saliran dan perparitan.

Sebab itu asal saja berlaku hujan lebat agak lama, tanpa mengira musim tengkujuh atau tidak, penduduk perumahan itu akan susah hati. Pengalaman digenangi air selama berhari-hari menjadi mimpi ngeri buat mereka. Ia bukan sekadar menyukarkan pergerakan kenderaan, mengancam keselamatan dan meragut keselesaan hidup, malah banjir kilat itu turut membabitkan kerugian harta benda mereka.

Sebagai golongan pertengahan, mereka mampu memikirkan kaedah penyelesaian terbaik. Justeru, mereka meminta kerajaan mewujudkan sistem perparitan yang sempurna. Setelah segala aturan dan peraturan diteliti, cadangan itu dikemukakan secara rasmi kepada pihak berkuasa tempatan dan jabatan berkaitan. Ada yang mendapat reaksi, ada juga yang tidak mendapat apa-apa maklum balas, sehingga memaksa mereka membuat permohonan ulangan.

Pemimpin politik bawahan dan pertengahan juga dilibatkan. Mana tahu, dalam tabiat urustadbir Terengganu yang diketahui sangat mementingkan merit politik, campurtangan ‘orang kuat kerajaan’ dianggap pendorong memastikan rintihan penduduk diambil perhatian.

Namun jawaban diterima agak stereotaip. Kononnya, “kerajaan belum ada peruntukan untuk kawasan ini”. Lalu rakyat dipaksa meneruskan hidup dalam kebimbangan. Bila-bila masa banjir kilat boleh melanda kejiranan mereka.

Kini, dalam keadaan musim tengkujuh yang sedang membadai negeri Terengganu, kerisauan itu kembali menghantui mereka.

Apatah lagi pihak bertanggungjawab mengenai kaji cuaca negara meramalkan beberapa negeri bakal menerima taburan hujan pada tahap melebihi kebiasaan kali ini. Terengganu antara negeri yang diramalkan menghadapi banjir besar. Maka pada adatnya kawasan perumahan tadi sudah hampir pasti bakal digenangi air lagi.

Rasanya tidak perlu disebutkan di manakah lokasinya. Ada beratus kawasan kejiranan yang berkongsi masalah seperti itu di Terengganu. Kebanyakan penghuni kawasan-kawasan itu juga telah mengajukan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab.

Setakat ini rakyat dipaksa menerima hakikat kononnya kerajaan memang mengambil berat permasalahan dihadapi mereka. Cuma peruntukan kewangan semasa dimiliki kerajaan tidak mengizinkannya diselesaikan. Rakyat diseru bersabar dan berharap dalam masa terdekat masalah itu akan ditangani.

Walau pun rakyat pada awalnya akur dan merasionalkan alasan itu, apa yang mereka perhatikan menerusi tindak-tanduk pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu mengisyaratkan sebaliknya. Kesediaan kerajaan negeri mengeluarkan belanja besar hanya semata-mata untuk mencari nama di arena bolasepak tanahair adalah contoh terbaru yang paling mereka kesalkan.

Rakyat akhirnya mempersoalkan alasan ketiadaan peruntukan tadi. Paling tidak pun, mereka keliru dengan keutamaan diletakkan kerajaan dalam berbelanja, terutama apabila BN sanggup menghabiskan jutaan RM hanya untuk sukan bolasepak.

“Walau pun terpaksa bayar (gaji) sehingga RM100 ribu sebulan sekali pun, kita sanggup, dengan syarat boleh bermain”, demikian kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said, sepertimana dipetik sebuah tabloid harian, 13 November.

Beliau dilaporkan menegaskan kesediaan pihaknya memperuntukkan belanja lebih besar kepada dua pasukan bolasepak negeri itu, Peteh dan T-Team, untuk mendapatkan khidmat pemain import bagi menghadapi saingan musim depan.

Perlu diingat sekarang ini pun BN Terengganu telah memperuntukkan RM6 juta semusim untuk dua pasukan tersebut. Manakala berbagai perbelanjaan lain, seperti contohnya pemberian subsidi untuk 30 ribu tiket perlawanan final Piala Malaysia (RM750,000) dan penyediaan berpuluh bas percuma untuk ke Shah Alam, adalah bergantung semata-mata kepada wewenangan pemimpin BN.

Maka dengan penambahan lebih sejuta RM lagi untuk gaji pemain import setahun, ia menjadikan perbelanjaan untuk sukan bolasepak bukan lagi kecil, bahkan melebihi jumlah peruntukan diperlukan untuk memperbaiki saliran dan perparitan di kawasan perumahan rakyat tadi.

Itulah masalah utama dengan BN. Ia gemar membelanjakan wang kerajaan secara sewenang-wenang, seolah-olah peruntukan itu datang dari kocek mak-bapak mereka. Sebab itu dalam membelanjakan wang rakyat, ia tidak pernah berfikir “kalau lah tidak dihabiskan untuk bolasepak, tentu sudah banyak kawasan perumahan bebas dari ancaman banjir kilat”.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1691, 18 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)

Saturday, November 12, 2011

Kelibat Wahid Endut di stadium ganggu Ahmad Said


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Masih belum terlambat untuk diajukan sekalung tahniah buat Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau) di atas peranan besar dimainkannya sehingga memudahkan Mohd Abdul Wahid Endut hadir menyaksikan perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kehadiran Pesuruhjaya PAS Terengganu itu di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, 29 Oktober lalu tidak syak lagi menghasilkan imej dan implikasi politik sangat signifikan, khususnya dalam konteks negeri penyu itu.

Sebab itu biar pun peristiwa itu telah berlalu lebih dua minggu, bual bicara mengenainya masih kedengaran. Paling menepati jangkaan dan matlamat ialah apabila kehadiran wakil rakyat PAS itu mendapat reaksi agak tidak menyenangkan daripada pemimpin tertinggi Umno Terengganu sendiri.

Kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam itu yang sama-sama berpeluh di celah puluhan ribu penyokong pasukan hitam-putih pada malam itu sememangnya menepati slogan “Merakyatkan Perjuangan” dilaungkan PAS Terengganu sejak beberapa tahun mutakhir ini.

Tanpa protokol, tanpa dikepung puluhan pengawal pengiring, tanpa kerusi empuk mahu pun kipas angin, Abdul Wahid tetap mendapat perhatian istimewa penonton dan juga petugas media malam itu.

Sedari awal kemunculannya di pekarangan stadium beliau telah diberikan sambutan hangat. Para penyokong yang mengenali beliau berebut menghulurkan salam. Mereka mengalu-alukan kehadirannya seraya mengucapkan tahniah di atas pendekatan “mesra anak muda” itu. Ada yang mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan di sisi beliau. Malah ada juga yang mengibarkan bendera ‘bulan’ yang mereka bawa bersama.

Cerita bergambar mengenai suasana sambutan hangat itu tersebar luas. Laman-laman sosial milik para pendukung PAS dan Pakatan Rakyat bagaikan membuat ‘lintas langsung’ kehadiran Abdul Wahid bersama beberapa pemimpin PAS Terengganu dan Perantau di stadium itu.

Tidak cukup setakat itu, sebuah tabloid harian edisi Terengganu pada 4 November malah memperuntukkan satu halaman penuh untuk peristiwa itu. Dengan subtopik “Wakil PAS turut penuhi Stadium Shah Alam”, laporan itu memaparkan tidak kurang 11 keping gambar membabitkan Abdul Wahid dan bendera PAS.

Layanan dan publisiti “istimewa” itulah yang barangkali amat mengganggu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said. Lalu bagi melunturkan kredit politik diraih parti lawannya di kalangan penyokong Terengganu itu, beliau cuba membayangkan seolah-olah selama ini pihaknya tidak mencampur adukkan sukan dengan politik.

Hampir dua minggu Ahmad memendam rasa dan menjeruk perasaan terhadap perkembangan yang mencabar wibawa politiknya itu. Akhirnya, tabloid harian edisi Terengganu, Rabu (9 November) memetik kenyataan beliau yang melahirkan rasa terkilannya kerana ada pihak didakwanya cuba mempolitikkan sukan bolasepak negeri itu. Beliau dilaporkan merujuk kes bendera parti PAS dibawa dan dikibarkan di stadium malam tersebut.

Malangnya, beliau tidak terhenti setakat itu. Bagi menggambarkan kononnya gelagat penyokong PAS itu membawa kesan buruk kepada sukan itu, Ahmad semacam cuba mengaitkan PAS dalam isu pergolakan melanda Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), khususnya berhubung status presidennya, Datuk Che Mat Jusoh.

Bekas Speaker Dun Terengganu itu berdepan desakan meletakkan jawatan oleh para penyokong pasukan penyu yang kecewa di atas kekalahan pasukan tersebut. Beliau didakwa sebagai faktor utama berlakunya salah pengurusan PBSNT sehingga mendorong kepada kekalahan tidak sepatutnya di tangan Negeri Sembilan malam itu.

Satu demonstrasi membabitkan lebih 1,000 penyokong tegar pasukan Terengganu berlangsung di Kuala Terengganu, 4 November. Selain memungut tandatangan hadirin dan mereka yang lalu-lalang, pihak penganjur juga mengumumkan lima resolusi bagi diberikan perhatian oleh kerajaan negeri, khususnya Ahmad selaku Menteri Besar.

Paling mengejutkan ialah apabila wakil penganjur demonstrasi itu dilaporkan sempat memberikan kata dua kepada pemimpin Umno itu. Sama ada beliau mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut melanda PBSNT seperti yang didakwa itu, atau berdepan kemungkinan hilang sokongan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Ada orang nak main politik dan calarkan imej Datuk Che Mat Jusoh”, tabloid pada 9 November memetik reaksi Ahmad.

Siapa pun pihak dimaksudkan Ahmad itu, apa yang pasti sukan bolasepak telah terbukti sukar dipisahkan dengan politik. Ia sekali gus membuktikan betapa penangan kehadiran pemimpin PAS ke stadium malam tersebut memberikan impak politik berpanjangan.

Sekali lagi tahniah buat Perantau dan semua pihak terlibat merealisasikan agenda “Politik Harapan Baru” itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Hraakah Bil: 1690, 14 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk serupa)

Thursday, November 10, 2011

Moral di sebalik usul potong gaji PM


Oleh: Mat Zain Mat Isa 
 
Tidak munasabah jika dikatakan bahawa Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chan a.k.a. Tian Chua tidak tahu betapa amat mustahil usulnya memohon pemotongan gaji Perdana Menteri akan diterima atau diluluskan Dewan Rakyat. Tentu sekali sedari awal lagi dia sudah menjangka keputusan tidak akan memihak kepadanya.

Akan malu besar dan merudum teruk lah imej dan kredibiliti Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri sekiranya usul berkenaan diluluskan Parlimen. Ia malah akan tercatat sebagai sejarah paling buruk dan paling memalukan buat sebuah parti pemerintah.

Bagai diduga pengakhiran itu tidak berlaku. Usul dikemukakan Tian Chua ditolak persidangan Dewan Rakyat pada 2 November dengan undian majoriti setelah melalui sessi perbahasan hangat.

Pada 28 November wakil Parti Keadilan Rakyat itu mengemukakan usul untuk memotong sebulan gaji Perdana Menteri berjumlah RM22,826.65. Dalam hujahnya Tian Chua mendakwa Najib gagal menyempurnakan tugasnya sebagai peneraju negara, terutama dalam menyelesaikan berbagai masalah melanda negara.

“Penurunan prestasi pelbagai indikator sosioekonomi mutakhir ini menunjukkan kelembapan pentadbiran Pejabat Perdana Menteri menangani isu-isu negara”, terjahnya.

Beliau antara lain memetik fakta peningkatan hutang awam negara sepertimana didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan untuk tatapan umum baru-baru ini.

Bagai diduga, segala hujah berfakta itu bukan sahaja sukar diterima anggota penyokong kerajaan, malah wakil pembangkang itu turut diherdik. Beliau dinilai berniat menjatuhkan imej dan maruah Perdana Menteri.

“Bagi pihak kerajaan kita menolak usul dikemukakan Ahli Parlimen Batu. Usul itu merupakan tohmahan dan fitnah terhadap Perdana Menteri,” media memetik hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang dipertanggungjawabkan mengenai Hal Ehwal Parlimen.

Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Bebas yang bangkit membahaskan usul berkenaan malah dikatakan berucap dengan penuh emosi dibauri sentimen politik yang tebal. Perang mulut yang tercetus semasa perbahasan itu turut menyaksikan terpaculnya kalimah-kalimah yang dianggap kasar dan tidak sewajarnya dituturkan di Dewan yang mulia itu.

Bagai diduga, usul itu akhirnya ditolak. Pihak yang mengemukakan usul berkenaan juga sudah menjangkakannya dan bersedia menerima keadaan itu. Bahkan, peluang diperolehi untuk usul berkenaan dibahaskan itu pun sudah dianggap satu kejayaan.

Selalunya, sedari awal lagi usul yang dijangka mampu menyentuh kredibiliti pemerintah seumpama itu akan ditolak dan tidak diberikan ruang untuk dibahaskan.

Justeru, apa yang telah dicapai oleh Tian Chua minggu lalu dikira agak membanggakan. Usulnya itu sekurang-kurangnya mendapat pertimbangan positif Yang Dipertua Dewan Rakyat, sehingga beliau berlapang dada membenarkan usul berkenaan diperbahaskan.

Lagi pun Tian Chua sudah tentu mengambilkira jumlah anggota Dewan yang bakal menyokong beliau tidak akan mengatasi jumlah yang menentangnya. Beberapa pengalaman lepas mengajarnya hakikat itu.

Ini bukan kali pertama usul sebegitu dikemukakan wakil pembangkang di Parlimen. Sebelum ini pun agak kerap usul dibawa agar gaji penjawat beberapa jawatan tertinggi negara dipotong, di atas berbagai hujah dan sebab-musabab tersendiri. Setakat ini belum pernah usul-usul senada itu diluluskan. Rekod itu semestinya telah dibaca dan dijadikan iktibar oleh Tian Chua.

Namun, kenapa dia meneruskan juga usul memotong gaji Perdana Menteri minggu lalu? Apakah kerana sikap degilnya? Ataukah dia sengaja mahu mensesiakan masa persidangan Dewan, sehingga sanggup mengambil risiko diaibkan ekoran usul ditolak?

Sepertimana disebutnya, pemotongan gaji sebulan ini cuma simbolik sebagai peringatan kepada pemegang jawatan tertinggi negara itu supaya menjalankan tugas dengan amanah dan telus.

“Usul ini bukan dituju pada peribadi Ahli Parlimen Pekan (Najib), tetapi ia disasar kepada pemegang jawatan ketua eksekutif tertinggi negara, bahawa jawatan ini sentiasa dipantau, diteliti agar tugasnya harus dijalankan dengan hemat dan berkesan secara konsisten”, tegasnya.

Ya, kita mungkin boleh mengibaratkan ususl itu seperti hukuman memukul seorang pesalah menggunakan sepatu. Perbuatan itu tentunya bukan bertujuan menyakitkan pesalah atau menyebabkan kecederaan fizikal. Ia tidak menyakitkan, tetapi matlamat utama ialah memalukan dia. Ia juga peringatan kepada pesalah itu betapa perbuatan salah dilakukannya tidak boleh diterima dan dia patut merasa malu di atas perbuatan itu.

Begitu juga dengan usul oleh Tian Chua itu. Biar pun ditolak, paling tidak ia telah dirakam dalam rekod Dewan Rakyat bahawa bukan semua rakyat dapat menerima sebarang kelemahan prestasi Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah,Bil: 1689, 11 November 2011 di ruangan "KOLUMNIS", F21 sambungan F23 dengan tajuk sama)

Sunday, November 6, 2011

Demokrasi AS ‘dua kali lima’ Umno


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tanggal 31 Oktober 2011 bakal diingat sebagai titik mula amat bermakna bagi para pencinta keamanan dan kedamaian dunia, khususnya dalam usaha merealisasikan wujudnya sebuah negara berdaulat dinamakan Palestin.

Negara itu akhirnya diperakui sebagai anggota penuh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia merupakan perkembangan paling membanggakan yang sekaligus menandakan masyarakat antarabangsa semakin mengiktiraf perjuangan Palestin.

Pada 23 September lalu Pihak Berkuasa negara itu (PA) mengemukakan permohonan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi diiktiraf sama ada sebagai anggota penuh kepada badan dunia itu, atau sekurang-kurangnya sebagai negara bukan anggota.

Kejayaan memperolehi salah satu status itu bererti PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat. Ia sekaligus melayakkan Palestin memiliki pelbagai hak sebagai sebuah negara dan mempertahankan kepentingannya mengikut piagam dan peraturan dunia. Antaranya menandatangani perjanjian-perjanjian antarabangsa dan menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Namun, walau pun majoriti negara dunia merestui usaha Palestin itu, terdapat pihak, terutama yang memiliki kekuasaan dan pengaruh ke atas masyarakat dunia sedang giat memastikan negara itu tidak mencapai hasratnya.

Entiti paling ke depan membantah hasrat Palestin itu ialah Amerika Syarikat (AS). Siang-siang lagi ia memberi amaran akan menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan PA di Majlis Keselamatan PBB. Ia juga mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika meneruskan hasratnya itu.

Negara yang sering berlagak selaku polis dunia itu mendapat sokongan beberapa negara sekutu kuatnya di Eropah, selain negara ‘anak emas’nya Israel.

Salah satu taktik diusahakan pihak itu ialah melengah-lengahkan agenda membuat keputusan tersebut di sidang PBB. Menyedari usahanya mendapatkan pengiktirafan sebagai anggota penuh di PBB bakal mengambil masa panjang, PA mencuba mendapatkan keahlian di UNESCO dahulu.

Nasib menyebelahi Palestin di sidang delegasi agensi PBB itu di Paris, Isnin lalu. Sebanyak 107 daripada 160 negara anggotanya menyokong penyertaan Palestin sebagai anggota penuh. Sebanyak 14 negara membangkang, manakala 49 lagi berkecuali.

Pengumuman keputusan itu dikatakan mendapat tepuk sorak bergema dari para delegasi. Reaksi positif itu dianggap mewakili suara dan pendirian masyarakat antarabangsa yang semakin menyokong hak kedaulatan Palestin.

Ia sekaligus memberikan tamparan hebat kepada keegoan AS yang bertegas dengan pendiriannya membantah sebarang penyertaan Palestin dalam mana-mana agensi antarabangsa. Bahkan, negara itu dikatakan telah lebih dua dekad memiliki undang-undang yang secara khusus melarang penyaluran sebarang dana kepada mana-mana agensi PBB yang menerima Palestin sebagai anggota penuh.

Justeru, tindakannya ekoran keputusan UNESCO itu sudah diduga. AS menggantung penyerahan dana AS$60 juta (RM184 juta) kepada agensi itu yang disepatutnya dibuat hujung bulan ini. AS dikatakan menyumbang AS$80 juta (RM240 juta) atau 22 peratus daripada bajet tahunan UNESCO.

AS mungkin merasa puas kerana dapat menghukum UNESCO kerana menerima Palestin sebagai anggota. Ia mungkin gembira melihat kesulitan bakal dihadapi agensi PBB itu dalam meneruskan operasinya ekoran ketiadaan dana tersebut.

Namun, reaksi AS itu sebenarnya mendedahkan rupa sebenar negara itu yang sangat angkuh, kejam dan pendendam. Ia secara jelas menunjukkan hipokrasinya dalam menjunjung prinsip demokrasi.

AS benar-benar memanipulasi kuasanya untuk mempertahankan keegoan. Ia tidak bersedia meraikan hak negara-negara dunia menentukan keputusan. Demokrasi di sisi AS seolah-olah hanya bermakna apabila sesuatu keputusan itu memihak kepada kepentingan dan pendiriannya.

Skrip sedemikian agak biasa kita dengar. Ia mengingatkan kita kepada perangai dan perlakuan buruk serupa oleh sebuah parti tua di negara ini. Oleh kerana selama berdekad ia menikmati kekuasaan hampir mutlak di peringkat Pusat dan memerintah hampir semua negeri, parti itu amat sukar menerima hakikat keputusan rakyat setiap kali ia hilang kuasa di mana-mana negeri.

Justeru parti yang selama ini amat menyanjung tinggi demokrasi tanpa silu secara terbuka mempertikaikan pilihan dibuat rakyat. Bukan itu sahaja, negeri-negeri di perintah parti lawan dinafikan berbagai hak yang sepatutnya ditunaikan kerajaan Pusat dikuasainya.

Lalu ada peruntukan yang telah pun diluluskan kepada negeri ditarik balik. Dua kali lima dengan tindakan dibuat AS tadi.

Bahkan, ada hak negeri yang secara jelas dijamin menerusi perjanjian bertulis dan dinikmati negeri itu sekian lama, tiba-tiba dibatalkan sewenangnya.

Itulah Umno!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1688, 7 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

Wednesday, November 2, 2011

Majlis khatam al-Quran: BN bohong dalam masjid


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sabtu (29 Oktober) lalu kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) sekali lagi menghimpunkan puluhan ribu kanak-kanak sekolah pada majlis khatam al-Quran secara beramai-ramai. Majlis berkenaan dilangsungkan secara serentak mengikut kawasan Parlimen di tujuh lokasi berbeza di seluruh negeri itu.

Dilaporkan seramai 20,133 murid sekolah rendah terlibat menjayakan program tersebut yang sengaja dirancang untuk melakar sejarah tersendiri. Kumpulan terbesar ialah seramai 6,325 murid pada majlis diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu. Ia menggabungkan murid-murid dari sekolah-sekolah di seluruh Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Serentak itu, bagi Parlimen Besut, seramai 3,149 murid berhimpun di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sejumlah 2,744 rakan sebaya mereka berkumpul di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang, manakala 2,311 lagi di Masjid Permaisuri, Setiu.

Seramai 2,024 murid di Dataran Padang Merdeka, Dungun, diikuti 1,910 murid di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang dan 1,670 lagi di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman.

Sejajar hasrat ia diadakan, majlis anjuran bersama YIT, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) itu sekali lagi berjaya menempatkan negeri itu di dalam Malaysia Book of Records (MBoR). Ia diiktiraf sebagai majlis khatam al-Quran secara serentak melibatkan paling ramai murid. Majlis kali ini malah sekaligus memecahkan rekod dicatat negeri itu sendiri tahun lalu dengan kehadiran seramai 16,929 murid dalam majlis serupa.

Tidak syak lagi pencapaian itu bakal dijadikan modal politik oleh parti pemerintah. Paling tidak ia akan dilaungkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri mendidik anak-anak sedari usia kecil untuk mendekatkan diri dengan kitab suci umat Islam itu.

Namun, biar apa pun yang akan dibangga dan digembar-gemburkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu berhubung kejayaan itu, yang pasti ia sebenarnya lebih didorong hasrat mencipta rekod dan mencari kemasyhuran. Sebab itu saban tahun perkara dijadikan sasaran utama penganjurannya ialah mempertingkat jumlah mereka yang dikumpulkan dalam program serupa.

Segalanya bermula dengan keghairahan seorang pemimpin Terengganu untuk mencipta nama. Kononnya pemerintahan BN di bawahnya mampu mengutarakan perubahan menerusi pelbagai aspek kehidupan. Lalu diuar-uarkanlah betapa kerajaan pimpinannya berupaya mengubah impian rakyat negeri itu menjadi realiti.

Pelbagai slogan dicipta dan diulangsebut. Antara yang masyhur ialah Terengganu sebagai tapak ‘Memahat Sejarah, Mencipta Tamadun’. Justeru, antara sejarah yang kononnya dipahat ialah kejayaan BN melahirkan ribuan kanak-kanak di usia awal yang sudah mampu khatam al-Quran.

Bagi membuktikan dakwaan itu, buat pertama kalinya majlis sedemikian diadakan pada 2006. Dikatakan seramai 937 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun yang belajar di tadika YIT dihimpunkan dalam satu majlis untuk kahatm al-Quran secara serentak.

Apa yang didakwa sebagai kejayaan itu mendapat laporan meluas media-media arus perdana. Ceritanya diulangsuara menerusi pelbagai saluran propaganda milik kerajaan negeri, termasuk bahan bercetak dan sesi ceramah penerangannya.

Bagaikan belum puas dengan sebaran setakat itu, BN berbelanja besar pula untuk memastikan setiap orang yang berada di Terengganu tahu tentang kejayaan didakwa itu. Lalu didirikanlah berpuluh papantanda gergasi di segenap jalan utama di serata negeri memaparkan gambar kanak-kanak sedang mengaji al-Quran beserta angka 937 itu.

Rekod itu diperbaharui oleh pihak sama dengan penganjuran majlis serupa pada 2007. Seramai 2,010 kanak-kanak pula dihimpunkan. Kali ini turut melibatkan murid-murid Tadika Kemas dan prasekolah JPNT, selain Tadika YIT. Kejayaan sama diulang-ulang saban tahun dengan peningkatan jumlah murid yang terlibat.

Apa yang dikesalkan, keberlangsungan majlis itu sebenarnya dipenuhi pembohongan dan kepalsuan. Fakta mendakwa kesemua murid yang hadir dan terlibat sudah khatam al-Quran amat mengeliru dan layak dipertikaikan. Ada bukti sangat meyakinkan betapa sebahagian besar murid-murid terbabit sebenarnya baru di peringkat sangat awal pembacaan al-Quran. Mereka mungkin telah mengenal huruf dan dapat membaca sendiri tanpa perlukan tunjuk ajar atau bimbingan guru. Tetapi sekadar dapat menbaca dan menghafal beberap surah belum sesuai dianggap sebagai khatam.

Sebahagian yang tidak sedikit daripada murid terbabit baru sekadar khatam mukaddam atau diistilahkan orang Terengganu sebagai ‘Al-Quran Kecil’. Sebilangan lagi baru berada pada juz-juz awal pembacaan. Mereka belum pun tamat membaca separuh al-Quran. Jauh sekali untuk dikatakan telah khatam 30 juzuk.

Ertinya dakwaan mengatakan kesemua murid terbabit dalam majlis itu telah khatam al-Quran adalah pembohongan yang nyata. Ia juga melibatkan pemalsuan fakta yang dicatat dalam rekod negara dan sedang dipahat sebagai sejarah, terutama untuk tatapan generasi puluhan tahun akan datang.

Tambah mendukacitakan pemalsuan dan pembohongan itu dianjurkan secara bersama oleh pihak-pihak yang ada hubungkait sangat rapat dengan kemajuan agama. Mereka sepatutnya bertanggungjawab menganjurkan ajaran agama sebenar kepada masyarakat dan bukannya mempromosi program yang penuh kepura-puraan.

Lebih dikesalkan, pemalsuan fakta dan pembohongan itu diadakan di masjid. Premis ibadat itu sepatutnya tidak disalahgunakan untuk tujuan keduniaan, lebih-lebih lagi untuk tujuan mencari kemasyhuran, mencipta nama dan mencapai agenda politik. Apatah lagi khutbah Jumaat terbaru di masjid-masjid seluruh Terengganu turut membicarakan soal fungsi sebenar masjid.

Namun melihatkan apa yang baru berlaku itu, BN nampaknya bukan sahaja gagal bertindak seperti dikhutbahkannya sendiri, malah juga amat bebal untuk menjaga kesucian masjid, sehingga sanggup berbohong di dalamnya!

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1687, 4 November 2011 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)