Friday, May 20, 2016

Bersahabat dengan Lutfi suatu anugerah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Saya berkawan dengan ramai orang, tapi tak semua kawan berakhir dengan keakraban. Ada kawan yang pada suatu tahap agak mesra, tetapi berakhir tanpa keserasian. Ada juga yang kemesraan terpaut lebih disebabkan tuntutan tugasan atau urusan hidup. Hubungan luaran sebegitu tentu sekali bersifat sementara dan tidak berkekalan.

Namun agak ramai kawan yang saya kategorikan sebagai “sahabat”. Mereka bukan sekadar “kamceng” atau “kacik” bersama saya dalam menjalani kehidupan seharian, sekurang-kurangnya buat suatu tempoh tertentu dalam hidup saya, tetapi “sahabat” ini banyak berkongsi nilai-nilai kehidupan sepertimana yang ada pada diri saya sendiri.

Tidak keterlaluan, salah seorang kawan yang saya layak nobatkan sebagai “sahabat” ialah Ahmad Lutfi Othman. Hubungan antara kami dijalin bertitik-tolak daripada sebuah kekaguman atas kelebihan peribadinya, diikuti rasa penghormatan yang tebal atas hemah dan akhlaknya.

Mentor penulisan politik

Saya tak pasti bila dan di mana minat saya terhadap bidang penulisan bermula. Saya juga sudah tidak ingat siapa yang mula mengajar dan mendorong saya menceburi dunia penulisan.

Sekadar mengundur beberapa dekad ke belakang, ketika itu sebagai seorang yang agak baru hendak berjinak dengan dunia penulisan, saya gemar meneliti dan meniru gaya bahasa, lenggok hujah dan pendekatan dibuat para penulis yang lebih senior atau profesional. Salah seorang penulis politik tahanair yang saya minati ialah Tuan Haji Ahmad Subky Abdul Latif. 

Saya banyak belajar daripada Pak Subky. Sebermula secara menekuni tulisan beliau di beberapa akhbar politik tanahair, terutama Watan, Tanahair dan Harakah, sehinggalah mengutip pedoman secara lisan daripadanya. Sewaktu bekerja di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur (1990-91), saya banyak menerima tunjuk ajar beliau, secara tidak langsung, apabila beliau agak kerap bersama kami di bilik operasi.

Walau pun teguran dan tunjuk ajarnya itu tidak diberikannya secara formal, lebih secara santai dan diselitkan gurau jenaka, kami yang amatur ini agak bersungguh mengutip pedoman dan pengajaran daripadanya. Pengalamannya bekerja dan menerajui beberapa akhbar sebelum itu banyak didedahkannya kepada kami sebagai panduan dan pengajaran.

Jika Pak Subky Latif saya angkat sebagai “sifu” saya di dunia penulisan, maka Ahmad Lutfi Othman pula adalah “mentor” saya. Saya istilahkan dia mentor kerana dia banyak memainkan peranan memastikan saya terus aktif menulis dan menulis, selagi mana saya masih mampu berbuat demikian.

Saya banyak belajar daripada Mad (nama panggilan kawan-kawan kepada Ahmad Lutfi), terutama sewaktu bertugas sebumbung dengannya di ibupejabat Harakah, Kuala Lumpur (1990-91). Walau pun tak banyak kesempatan bergaul dengannya ketika itu, kerana beliau lebih banyak menumpukan masa kepada tugasan menjaga dua majalah – al-Muslimah dan Dunia Islam, interaksi yang “minima” di situ pun sudah cukup mendedahkan saya kepada cara gaya penulisannya. Teknik olahbahasanya, gayanya menyorot isu dan pendekatannya bagi menarik pembaca memang ada keunikan tersendiri dan agak mengagumkan saya.

Sebagai wartawan berpengalaman, beliau juga mampu membezakan mana isu utama dan sampingan, mana isi penting dan ulasan sekunder. Hal itu terbukti sangat penting dimiliki seorang penulis yang baik, terutama tatkala saya menjawat Penyunting Rencana Harakah kemudiannya. Tugasan itu kekadang memerlukan saya mengedit dan memendekkan artikel orang, misalnya daripada lima mukasurat menjadi tiga atau dua setengah sahaja (bagi menyesuaikannya dengan ruang). Maka, mengenalpasti mana hujah dan isi penting, mana pula yang sampingan amatlah mustahak.

Walau pun tahu saya sudah ada tugasan khusus di Harakah, Mad tetap tidak melepaskan peluang memanfaatkan saya untuk dua majalah diterajuinya. Saya kerap dimintanya menyumbang artikel dan cerpen untuk Dunia Islam dan al-Muslimah

Khidmat saya di ibupejabat Harakah tidak lama. Namun, jalinan persahabatan dengan rakan-rakan sekerja dalam tempoh tidak sampai dua tahun di situ memberi impak kekal yang sangat bermakna dalam hidup saya hingga kini. Rupa-rupanya bersama saya di situ ketika itu adalah sekumpulan sosok yang kemudiannya muncul sebagai penulis prolifik dan aktivis media alternatif yang disegani. Siapa tidak kenal dengan Zin Mahmud, Tarmizi Mohd Jam, Zulkifli Yahya, Zulkifli Sulong, Abu Bakar Rashid dan Taufek Yahya?

Justeru, biar pun saya sudah berhenti kerja dengan Harakah dan pulang ke kampung halaman di Besut, hubungan kami tak putus. Kawan-kawan tadi akan minta saya menulis sekali-sekala buat Harakah. Orang paling kerap menghubungi saya untuk tujuan itu ialah Mad dan Tarmizi. Mereka akan “paksa” saya menulis, terutama jika ada isu-isu berkaitan yang dirasakan “memerlukan sentuhan" saya. 

Pelopor media alternatif

Sebagai seorang penulis yang bagaikan tak pernah kering idea, orang seperti Ahmad Lutfi selayaknya memiliki penerbitan sendiri. Jika tidak, banyak bahan fikirnya tidak dapat disalurkan keluar, jika semata mengharapkan pihak lain menerbitkannya. 

Beliau justeru mengusahakan penerbitannya sendiri, Penerbitan Pemuda. Saya masih ingat, di era kemuncaknya, pejabatnya di Medan Idaman, Gombak menjadi antara destinasi yang saya “mesti singgah” setiap kali saya naik ke KL.

Kelebihan itu bagaimana pun tidak beliau manfaatkan sepenuhnya untuk mempopularkan dirinya sendiri sahaja. Beliau “menumpangkan” sama kawan-kawan lain dalam bahtera media alternatif dinakhodainya. Beliau banyak meminta saya dan kawan-kawan lain mengisi ruang di beberapa penerbitan diusahakannya, termasuk penerbitan tidak berkala (yang tidak memerlukan permit penerbitan KDN - seperti siri Memo, Haraki, Gerak, Ehsan, Kritik, Kritis, Lunas, Islah, Reformis, Fitri, Alternatif, Adil dan banyak lagi - dan beberapa majalah isu semasa lain seperti Detik, Wasilah dan Tamadun, juga akhbar mingguan Cabaran. Semua penerbitan berkala yang memerlukan izin permit KDN "disewa" daripada pemilik asal.

Kemelut politik negara yang mencetuskan gelombang reformasi di akhir 90an seakan menyediakan peluang sangat besar buat para penulis dan pengulas politik. Salah seorang penggiat yang telah memanfaatkan kesempatan itu dengan sangat baik ialah Ahmad Lutfi. Sejak September 1998 hingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1999, beliau sempat muncul dengan beberapa buah buku, akhbar tidak berkala (berbentuk tabloid) dan makalah isu bersaiz majalah, misalnya, Pantang Undur: Dari Bukit Damansara ke Penjara, Bagaimana Mahathir Boleh Ditumbangkan?, Suara Rakyat Kuasa Keramat, Misteri Lebam Mata Anwar, Siapa Dibicarakan: Anwar, PM atau Polis Cawangan Khas?.

Beliau turut menerbitkan komik khas berwarna-warni dua siri, Puteri Reformasi. Saya antara penulis yang tidak pernah dilupainya untuk turut menghangatkan bual-bicara politik semasa sepanjang tempoh itu.

Sejurus kemenangan bergaya PAS menawan Terengganu pada 1999, Mad menghubungi saya dan memberi saranan agar saya menyusun buku berkaitan kejayaan cemerlang itu. “Ramai orang berminat nak baca hal Terengganu ni, dan ana rasa enta orang paling layak nak cerita hal tu…”, antara komennya yang membuatkan saya sedikit bangga. Maklumlah pengamat politik yang sangat saya segani itu seolah “mengiktiraf” keistimewaan saya. Dia “singled-out” nama saya sebagai paling layak.

Buku dihasratkannya itu terbit atas tajuk “Masa Untuk Tok Guru Buktikan – PAS Mampu Pimpin Malaysia”, menampilkan gambar Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sebelumnya tersiar di majalah Asiaweek sebagai penghias kulit depannya. Ia diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda pada 2000.

Ia menjadi buku politik kedua saya, selepas buku pertama “Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah”, sebuah biografi ringkas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Negeri Kelantan pada 1991.

Ketika menerajui kembali Harakah (setelah berada di luar buat beberapa ketika), Ahmad Lutfi tidak mengambil masa lama untuk menghubungi saya. Beliau minta saya kembali menyumbang rencana untuk lidah rasmi parti itu, “kalau boleh secara tetap”. Walau pun tidak dijanjikan kolum tetap, tetapi ruang dan peluang untuk artikel saya dimuatkan di lembaran Harakah seakan “dijaminnya”.

Bagi seorang penulis macam saya, tawaran itu bagaikan “pucuk dicita, ulam mendatang”. Bukan sangat soal wang atau honorariumnya, tetapi wujud kepuasan hati setiap kali melihat rencana kita disiarkan, dengan imaginasi bahawa sekian ramai pembaca Harakah menatap dan meneliti tulisan kita.

Saya jarang mengecewakannya. Asal dia minta, akan saya usahakan menulis. Kekadang, apabila ada isu yang memerlukan artikel yang pelbagai, beliau meminta saya menulis lebih dari satu artikel, menyorot dari perspektif berbeza. Bahkan, jika perlu, gunakan “by-line” (nama pena) berbeza. Itu pun selalunya saya kotakan.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Ada kalanya mendung tanpa diduga. Berlaku juga kekadang kesilapan teknikal, besar kemungkinan di pihak anak-anak buahnya, sehingga menyebabkan artikel saya dilepas pandang. Ia tidak disiarkan. Ada ketika lain, artikelnya keluar, tetapi banyak sangat dipotong, boleh jadi bagi disesuaikan dengan ruang yang terbatas.

Dalam kes-kes sebegitu, saya selalunya mengambil sikap “break for a while”, yakni tidak meneruskan jadual penghantaran artikel… seakan protes. Selalunya juga, berselang beberapa keluaran Harakah, Mad akan menghubungi saya. Ayat yang biasa dia gunakan, “lama tak nampak tulisan ente dalam Harakah?”

Saya selalunya memberikan alasan agak sibuk dengan kerja harian atau urusan hidup. Tapi Mad sangat bijak, dan dia tidak “membeli” alasan saya itu. Beliau malah akan periksa semula kot-kot ada kesilapan berlaku di pihak anak-anak buahnya sehingga menyebabkan saya mengambil sikap “break” itu.

Beliau akan kembali menghubungi saya. Perbualan kami selalunya berakhir dengan gesaan kuat daripadanya agar saya kembali menulis, “jangan REHAT lama sangat!” Maksudnya, dia tidak mahu saya ambil masa yang panjang berehat menulis untuknya. Bukankah itu sikap yang selayaknya dinobatkan sebagai “mentor”?

“Hantu” keropok basah

Ditakdirkan Allah Ta’ala, saya kembali “menghuni” Jalan Pahang Barat bermula 2011, sebagai editor di Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd. Pejabat saya di Pekeliling Business Centre hanya sepelaung daripada pejabat editorial Harakah. Maka saya bagaikan dipersatukan kembali dengan kawan-kawan yang kembali berkhidmat di akhbar itu, terutamanya Mad, Tarmizi dan Taufek.

Saya bagaimana pun sangat kerap berulang-alik ke Terengganu. Menjadi kebiasaan pula, saya akan bawakan keropok untuk kawan-kawan. Boleh dikatakan setiap kali Mad tahu saya akan balik ke Terengganu, beliau akan pesan supaya bawakan keropok lekor untuknya bila datang semula ke KL. Istilah yang digunakannya ialah “keropok basah”. Mungkin sebagai membezakannya dengan keropok keping atau keropok kering.

Beliau sangat minat dengan keropok lekor Terengganu, boleh dikatakan tahap “hantu”. Sehinggakan saya naik bimbang untuk terlalu kerap membekalkannya dengan keropok basah itu, mengambilkira keadaan kesihatannya. Maklumlah keropok diperbuat daripada pelbagai bahan, seperti sagu, kanji, gula, garam, monosodium glutamate dan ikan yang belum tentu tahap kesegarannya. Kita tahu bahan-bahan itu tidak begitu sesuai untuk orang berpenyakit, terutama kencing manis, jantung, buah pinggang dan seumpamanya.

Pernah juga saya musykilkan hal itu kepada Mad. Beliau hanya menjawab,"nak ikutkan kena pantang… takdak benda la ana boleh makan..”. Di ketika lain, beliau ada juga menjawab, “pantang sikit-sikit sudah laa…”. Seronoknya, setiap kali menjawab itu beliau akan susuli dengan gelak sehingga menggegarkan tubuhnya.

Utamakan keraian

Mad tidak lokek untuk belanja kawan-kawan makan-minum. Suatu tabiat atau sikap yang saya sangat suka ada pada kawan baik saya, sebab saya juga jenis yang macam itu. Pantang diajak minum atau makan, asal berbetulan dengan jadual kerja, akan saya raikan.

Mad memiliki sifat serupa, malah mungkin jauh lebih baik dari saya dalam bab itu. Dia bukan sahaja kerap ajak saya makan/minum di mana-mana restoran atau warung sekitar pejabat kami, malah banyak kali juga dia bekalkan saya dan staf saya dengan beberapa bungkus nasi. Ada ketikanya - terutama semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 - nasi Arab kambing dan ayam, nasi minyak, nasi lemak dan lain-lain.

Hatta dalam keadaan kesihatannya tak berapa baik pun, beliau rela menggagahkan diri keluar dar rumahnya di Ampang, datang ke Jalan Pahang meraikan kehadiran saya. Beliau seakan tidak mahu melepaskan peluang bertemu, bertanya khabar secara berdepan, seraya bersembang berbagai topik sambil menikmati kudapan.

Kesungguhannya meraikan saya menyebabkan setiap kehadiran saya ke KL tidak “sunyi”. Saya akan berasa tempoh berada di ibukota terisi, selain dengan memenuhi tugasan di pejabat sendiri, dengan bual-bicara yang sangat bermanfaat bersama Mad, terutama berkaitan perkembangan politik semasa tanahair. Bagi saya, menerima maklumat politik daripada orang seperti beliau adalah ibarat menceduk dari sumber alternatif paling dipercayai.

Penutup

Saya hanya mencatatkan perihal keperibadian Ahmad Lutfi berdasarkan pengalaman personal bersama beliau. Ini hanya secebis. Masih banyak yang layak saya coretkan. Ada pun bagaimana beliau ditanggapi umum atau dikenali pihak lain, itu terpulang kepada masing-masing pihak menjustifikasikannya.

Tidak keterlaluan untuk saya simpulkan bahawa memiliki seorang sahabat seperti Ahmad Lutfi Othman adalah suatu rahmat dan anugerah yang tidak ternilai. Semoga sahabat ku ini terus dihujani rahmat dan berkat dari sisi Allah, dunia dan akhirat!

Kampung Air Tawar, Besut.
30 November 2015.

(Artikel khas ini mengisi Bab Tujuh Belas, buku tribut buat Ahmad Lutfi Othman, berjudul "Lorong Sunyi Media Bebas, terbitan Penerbitan Pemuda, Ampang, Mei 2016)