Tuesday, August 15, 2000

Haji Harun bin Taib



Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah

HARUN bin Taib dilahirkan pada tahun 1943 di Kampung Kesom, Manir, Kuala Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Belara, tidak berapa jauh dari rumahnya. Seterusnya, beliau memasuki Kelas Khas 7 di Sekolah Umum Serada, sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Tok Jiring (sekolah menengah agama). Dari situ beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Di samping pintar dalam pelajaran dan mampu menguasai bahasa Arab dengan baik, Harun juga dikatakan sangat aktif dalam bidang sukan. Beliau terkenal sebagai seorang pemain bola sepak yang handal di sekolahnya.

Tamat pengajian di sekolah tersebut, Harun melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, di Semenanjung Arab. Di sana beliau mula aktif dalam gerakan pelajar dan kegiatan ko-kurikulum. Beliau memperolehi ijazah pertamanya di universiti berkenaan.

Selepas itu Harun melanjutkan pula pelajarannya ke peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Sewaktu di sana bakat kepimpinannya semakin menyerlah. Beliau sangat aktif dalam persatuan-persatuan pelajar dan sering berhubung terus dengan para pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, serta tokoh-tokoh gerakan Islam serata dunia. Harun kemudian berjaya memperolehi ijazah Sarjana dalam jurusan Siasah Syar’iyyah, dengan keputusan ‘cemerlang’.

Sifat dahagakan pendidikan mendorongnya melanjutkan lagi pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi, PhD. Hasrat itu bagaimanapun tidak dapat dipenuhi apabila pada tahun 1978, beliau dipanggil pulang oleh PAS untuk bertanding dalam pilihanraya umum. Beliau bertanding di DUN Manir, berdepan dengan calon BN, Ismail bin Yusof. Keputusannya bagaimanapun memihak kepada Ismail. Calon BN itu mengutip 3,112 undi, berbanding Harun yang mendapat 2,877 undi. Keputusan itu memberikan kelebihan kepada Ismail sebanyak 235 undi.

Setelah berada di tanahair buat beberapa ketika, Harun berasa terpanggil untuk kembali semula ke Al-Azhar bagi menyiapkan tesis PhD-nya dalam bidang Undang-undang Antarabangsa. Belum sempat tesis itu dibentangkan, beliau sekali lagi dipanggil pulang oleh PAS untuk memikul tugas berat memenangkan perjuangan Islam lewat Pilihan Raya Umum 1982.

Sekali lagi Ustaz Harun mengambil tanggungjawab bertanding di DUN Manir. Kali ini beliau berdepan pula dengan Jamaluddin @ Sulaiman bin Jusoh, bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang menjadi calon BN. Harun berjaya menewaskan pencabarnya, sekaligus merampas kerusi DUN Manir dari penguasaan BN, dengan majoriti yang memberangsangkan, iaitu 932 undi. Harun mendapat 4,134 undi, manakala Jamaluddin mengutip 3,202 undi.

Kejayaan itu turut memberikan tempat kepada Ustaz Harun dalam hierarki parti. Beliau dilantik oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, dan turut memainkan peranan penting dalam Dewan Ulama Negeri, serta menerajui kawasannya, Hulu Terengganu.

Di peringkat Pusat pula beliau memainkan peranan utama dalam aspek pentarbiyahan ahli-ahli PAS seluruh negara. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat, yang diterajui oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Peranan Ustaz Harun semakin menyerlah di dalam parti apabila kemudiannya beliau turut terpilih menduduki saf utama kepimpinan PAS di peringkat Pusat. Selain menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, beliau juga adalah AJK Dewan Ulama PAS Pusat. Penghargaan paling besar baginya ialah apabila dilantik menganggotai Majlis Syura Ulama PAS, iaitu badan consultative/legislative tertinggi dalam PAS.

Pilihan Raya Umum 1986 menyaksikan persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya DUN dan juga Parlimen di seluruh negara. Secara taktikal langkah itu banyak menguntungkan parti pemerintah, kerana ia diolah sedemikian rupa bagi mengimbangi kekuatan parti pembangkang. Semua kawasan yang menjadi kubu kuat PAS dipecah-pecahkan bagi memberi keselesaan kepada BN. Dalam pilihan raya itu, Ustaz Harun sekali lagi bertanding di DUN Manir.

Persempadanan semula itu nyata memberikan kesan besar ke atas jumlah undi yang diperolehi setiap calon. Ustaz Harun mengutip hanya 2,810 undi, suatu kemerosotan ketara berbanding lebih 4,000 undi pada pilihan raya umum sebelumnya. Lawannya Awang Abu Bakar bin Sulong memungut 2,918 undi. Ustaz Harun tewas dengan majoriti yang sangat kecil, iaitu hanya 108 undi.

Tiga tahun selepas itu, April 1989, berlaku kematian ke atas ADUN Teluk Pasu, Ismail bin Yusof. Bagi menghadapi BN dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu, PAS sekali lagi memilih Ustaz Harun Taib sebagai calon. Ustaz Harun pun sekali lagi terpaksa berdepan dengan tokoh agama Umno, setelah pernah disuakan dengan Pengarah YIT pada Pilihan Raya Umum 1982. Lawannya kali ini ialah bekas Kadhi Besar Terengganu, Haji Abdul Rahman bin Muhammad.

Suasana pilihan raya kecil itu menjadi bertambah hebat dan meriah dengan kehadiran bekas-bekas tokoh Umno berkempen di pihak PAS. Mereka yang baru sahaja terserkah daripada Umno ekoran perbalahan dalaman yang memuncak dalam pemilihan kepimpinan parti itu pada tahun 1987, berkempen habis-habisan untuk ‘mengajar’ BN dan memenangkan PAS.

Dalam pilihan raya umum sebelum itu, Allahyarham Ismail mengalahkan calon PAS, Ustaz Mahmood bin Sulaiman dengan majoriti 776 undi. Pilihan Raya Kecil Teluk Pasu pada Jun 1989 itu bagaimanapun menyaksikan kejayaan cemerlang PAS menundukkan BN, dengan majoriti 141 undi.

Setahun kemudian berlangsung pula pilihan raya umum. Ustaz Harun diamanahkan oleh parti untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN. Di Parlimen Hulu Terengganu, Ustaz Harun berdepan dengan Datuk Alias bin Ali, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Alias memungut 15,443 undi, manakala Harun memperolehi 12,931 undi. Itu bermakna Harun tewas kepada Alias dengan majoriti 2,512 undi.

Di DUN Manir, keadaan sebaliknya berlaku. Ustaz Harun berjaya merampas kembali kerusi tersebut daripada BN. Calon BN, yang juga penyandangnya, Awang Abu Bakar Sulong tewas dengan majoriti 423 undi.

Pilihan Raya Umum 1995 sekali lagi menyaksikan Ustaz Harun bertanding di kedua-dua kerusi yang sama. Keputusannya juga sama, iaitu berjaya mempertahankan kerusi DUN, tetapi masih belum berjaya menawan kerusi Parlimen. Di Parlimen Hulu Terengganu, Ustaz Harun berdepan dengan Mustafa bin Muda (BN) dan tewas dengan majoriti 2,759 undi. Manakala di DUN Manir pula beliau dicabar oleh Shamsudin bin Sulong. Shamsudin memperolehi 3,726 undi berbanding Harun yang memungut 4,091 undi, sekaligus memberi kemenangan kepada Harun dengan majoriti 365 undi.

Dalam pilihan raya umum kesepuluh, Ustaz Harun sekali lagi berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Manir, iaitu untuk penggal keempat bagi dirinya. Beliau yang sekali lagi berdepan dengan Shamsudin, menang selesa dengan majoriti 1,916 undi. Shamsudin mendapat 3,291 undi, manakala Harun mengutip 5,207 undi.

Pada 2 Disember 1999, Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan nama Yang Berhormat Ustaz Haji Harun bin Taib sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Beliau diamanahkan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment