Sunday, October 25, 2009

Mampukah Umno berubah di celah kegagalannya?


Oleh: Mohd Nasir Awang

PERHIMPUNAN Agung Umno 2009 yang baru berlangsung lebih seminggu lalu menyerlahkan berbagai hakikat sebenar yang sedang dihadapi parti tua itu. Sementara khalayak pendukungnya menilai segala perbahasan dan rumusan dalam perhimpunan itu secara positif, kalangan di luar parti itu pula menemui beberapa pemerhatian sebaliknya.

Kebanyakan kalangan penyokong Umno dan pendukung Barisan Nasional (BN) menyifatkan kesudahan perhimpunan itu sebagai titik perubahan sangat bermakna buat Umno. Keputusan 2,359 perwakilan sebulat suara menerima kesemua tujuh pindaan perlembagaan parti itu dianggap bakal mencorakkan halatuju Umno ke arah lebih telus, realistik dan demokratik. Ia dijangka akan memudahkan parti itu memulihkan imejnya, sekali gus mengembalikan sokongan rakyat terhadapnya.

Ucapan dan amanat beberapa pemimpin utama sepanjang perhimpunan diterima baik para perwakilan. Mereka menganggap segala lontaran dan luahan itu sebagai suntikan semangat untuk setiap ahli menyemarakkan lagi perjuangan parti.

Pelbagai pihak menyatakan keyakinan bahawa persepsi masyarakat terhadap Umno akan berubah. Parti itu dikatakan akan kembali gemilang.

Malah mereka pergi lebih jauh. Disebabkan terlalu yakin dengan kesungguhan dan ikrar segenap lapisan pendukungnya untuk berubah, pemimpin parti itu mengisyaratkan kepada parti-parti komponen BN lain agar turut sama berubah bersama Umno. Seolah-olah Umno lah parti paling layak diteladani berbanding seberapa banyak komponen BN yang lain.

Keghairahan segenap lapisan Umno mencanangkan perubahan parti mereka bagaimana pun ikut menyerlahkan beberapa hakikat negatif tentang parti itu. Disedari atau tidak, pendedahan dan pengakuan sebilangan pengucap sepanjang perhimpunan tersebut turut membuktikan bahawa parti itu diselubungi segala macam kegagalan.

Beberapa isu dibangkitkan para pemimpinnya sendiri menyerlahkan betapa lemah dan tidak berdayanya parti itu menangani permasalahan yang sepatutnya telah diselesaikan. Mengambilkira tempoh penguasaan Umno selaku tonggak pemerintahan negara selama lebih separuh abad, adalah tidak munasabah parti itu masih gagal dalam beberapa agenda perjuangannya yang disuarakan sejak sekian lama.

Teras utama perjuangan Umno ialah bangsa Melayu. Apa-apa juga berkaitan Melayu dianggap tidak akan sah jika tidak menerusi perjuangan parti itu. Lalu segala apa yang dicapai dan dimiliki orang Melayu begitu mudah dibahasakan sebagai hasil perjuangan Umno.

Malangnya, bagi mengekalkan pergantungan orang-orang Melayu terhadap parti itu, Umno sering mendendangkan lagu pilu nasib bangsanya sendiri. Saban tahun di setiap kali perhimpunan parti itu, para pemimpinnya akan menjadikan soal pembelaan nasib bangsa sebagai alasan dan hujah untuk memaksa orang Melayu terus memberikan sokongan dan kepercayaan pemerintahan kepada Umno.

Minggu lalu suara serupa kedengaran lagi. Presiden Umno merangkap Perdana Menteri dalam ucapan dasarnya menegaskan kerajaannya tidak akan menghentikan bantuan kepada orang Melayu, seraya mengakui kebanyakan mereka masih jauh ketinggalan berbanding bangsa lain.

“Adakah adil jika topang ini dibuang hanya kerana ada orang yang sudah mendapat bantuan, tidak lagi bergantung kepadanya, sedangkan orang Melayu keseluruhannya masih ketinggalan dan memerlukan bantuan?”, terjahnya.

Nah! Bukankah kenyataan itu ibarat membuka pekung di dada Umno? Berbanggakah para pendukung parti itu dengan lebih 50 tahun penguasaan politik negara sedangkan hingga kini bangsa Melayu yang menunjangi perjuangan Umno masih terpaksa merempat dan hidup atas sokongan hayat oleh kerajaan?

Suara-suara yang menyerlahkan kegagalan Umno turut kedengaran di persidangan sayap-sayapnya, terutama Pergerakan Wanita dan Pemuda. Di antara isu utama diperbahas dan dipersetujui perwakilan Wanita ialah soal perkongsian kuasa. Isu ini sebenarnya cerita lama dan telah kedengaran sejak kepimpinan beberapa ketua pergerakan itu sebelum ini.

Perjuangan mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus kalangan mereka di peringkat membuat dasar, sama ada dalam parti mahu un kerajaan, adalah perjuangan Wanita Umno sejak dulu. Tidakkah suatu yang mengaibkan apabila Umno terpaksa mengambil masa lebih setengah kurun untuk mengiktiraf keupayaan wanitanya dalam menentukan keputusan?

Soal memartabatkan Islam turut dibangkitkan. Sementara perwakilan Wanita Pulau Pinang mendakwa perjuangan Umno telah berjaya mengangkat martabat Islam dan perwakilan Terengganu pula merasakan Islam akan lemah jika Umno lemah, kegagalan Umno berperanan pada tahap sepatutnya dalam mendaulatkan Islam tidak dapat disembunyikan.

Bukankah itu yang dapat difahami dari desakan perwakilan Wanita Kelantan agar partinya memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan pelaksanaan undang-undang syariah secara menyeluruh di negara ini?

Wakil itu melihat penularan gejala sosial melibatkan umat Islam negara kini, khususnya golongan remaja, hanya dapat dibendung menerusi pelaksanaan undang-undang syariah.

Apakah saranan yang lebih menepati agenda perjuangan PAS itu akan diterima pakai Umno adalah suatu yang amat diragukan. Maka apakah sebenarnya yang boleh dibanggakan  dengan kejayaan Umno memartabatkan Islam?

Kegagalan utama Umno bagaimana pun tidak lain dari penyakit rasuah politik. Itulah sebenarnya isu utama yang menunjangi pindaan perlembagaan parti itu.

Antara pindaan itu ialah mengubah kaedah pemilihan jawatan supaya lebih terbuka dan tanpa kuota. Selain untuk dilihat lebih demokratik, hasrat utama di sebalik pindaan itu ialah bagi membendung gejala politik wang yang telah berdarah daging dalam Umno sejak sekian lama.

Di celah sejumlah kegagalan itulah Umno melaungkan perubahan. Apakah ia akan benar-benar berubah dan sejauh manakah perubahan itu akan memadamkan kegagalan Umno, biarlah masa menentukannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil:0171, 6-12 Zulkaedah 1430/25-31 Oktober 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, October 18, 2009

BN menang besar kerana rakyat ‘tak kesah’


Oleh: MOHD NASIR AWANG

TIADA apa sangat yang wajar dibanggakan rakyat terbanyak dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang, Ahad (11 Oktober) lalu. Pada hakikatnya BN hanya berjaya melonjakkan perolehan undi dan majoriti kemenangan, sedangkan gerak kerjanya yang berasaskan “matlamat menghalalkan cara” itu meninggalkan banyak kesan memalukan.

Berbanggakah anda di pihak yang menang semata-mata atas keupayaan parti anda menamatkan marathon kejayaan parti lawan dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini, sedangkan jalan ke arah itu menempa satu lagi rekod pilihan raya terburuk dan paling ganas dalam era mutakhir ini?

Ahad lalu, calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menepati ramalan menewaskan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar. Majoriti 5,435 undi diraihnya merupakan lonjakan lebih dua kali ganda berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum lalu.

Bekas Naib Presiden Umno yang disabitkan rasuah politik itu direstui 8,013 pemilih, berbanding Zulkefly yang tidak ada sebarang rekod rasuah atau moral, disokong hanya 2,578 pengundi. Apakah kemenangan seorang bekas pesalah rasuah politik itu bakal memperbaiki kedudukan indeks persepsi rasuah negara pada nilaian antarabangsa?

Asas nilaiannya mungkin bermula dengan pertanyaan ini: Kalaulah untuk menang dalam pemilihan sesama parti pun Isa sanggup berbelanja besar membeli undi, apakah calon BN itu atau agen-agen beliau tidak berkeupayaan merencanakan sogokan lebih hebat untuk mengalahkan parti lawan?

Andaian itu mendorong tanggapan sinis bahawa kini bukan sahaja pendokong Umno yang tidak ada masalah menerima perasuah memimpin parti, tetapi kecenderungan itu nampaknya sudah merebak ke dalam masyarakat terbanyak. Berbanggakah kita dengan perkembangan itu?

Keputusan di Bagan Pinang bagai mengisyaratkan seolah-olah rakyat sudah dihinggapi sindrom “mati rasa”. Rakyat sudah tidak kesah dengan soal moral atau maruah. Ukuran kewibawaan seseorang bukan lagi pada nilaian agama mahu pun keluhuran peribadinya, tetapi lebih dilonjak kekuatan kebendaan dan kuasa dimilikinya.

Latar belakang pengaruh Isa yang dikatakan sangat kuat dalam masyarakat Bagan Pinang juga menjadikan BN terlalu terdorong menunjukkan kuasa. Apatah lagi Negeri Sembilan adalah negeri BN. Lalu sasaran memastikan kemenangan menyebabkan BN melayan kehadiran PAS seolah-olah sebagai sebuah parti asing bagi masyarakat setempat.

Budaya samseng dikatakan menyerlah kembali. Ia bukan sahaja bertujuan menakut-nakutkan pengundi daripada berjinak-jinak dengan pembangkang, malah turut dihalakan kepada petugas Pakatan Rakyat.

Sikap ego dipamerkan BN, terutama perisytiharan Pemuda Umno untuk bertindak cara sendiri di Bagan Pinang, mengingatkan kita kembali kepada episod keganasan pilihan raya oleh Pemuda Tahan Lasak pada era 60-an dulu. Apakah nostalgia hitam itu yang mahu dihidupkan semula BN?

Kedengaran juga dakwaan tentang taktik ancam-ugut terhadap pengundi, terutama membabitkan para pekerja dan penghuni beberapa estet. Akhbar Harakah milik PAS dalam edisi 12 Oktober lalu menyorot pendedahan pekerja Ladang Bratwall, salah satu daerah mengundi di Bagan Pinang, bahawa mereka diberi kata dua sama ada memilih BN atau berhadapan kemungkinan semua bantuan termasuk kemudahan asas kepada mereka dihentikan.

Manipulasi kuasa pemerintahan turut membeli hati pengundi dengan taburan bantuan berbagai bentuk. Sokongan pengundi India dikatakan beralih semula kepada BN antaranya kerana parti itu bersedia memenuhi beberapa tuntutan kaum berkenaan, termasuk tanah untuk pembinaan kuil dekat Port Dickson.

Secara keseluruhannya kemenangan BN di Bagan Pinang tidak berjaya mengikis imej buruk dan negatif parti itu selama ini. Palitannya dengan rasuah politik, membudayakan keganasan pilihan raya, taktik ancam-ugut, penggunaan uslub paksaan dan menabur sogokan kebendaan amat menyerlah dalam pilihan raya minggu lalu.

Sementara BN dilihat tidak mampu berubah dari tabiat dan penyakit lama, PAS pula diharap belajar banyak perkara dari pengalaman itu. Harus dinyatakan bahawa PAS perlu meletakkan sasaran yang betul pada setiap penyertaannya dalam mana-mana pilihan raya. Maaf cakap, saya melihat jentera PAS di Bagan Pinang sedikit kurang jelas mengenai sasaran sebenar parti mereka.

Beberapa pihak sedari awal membayangkan kesukaran untuk PAS menang. Itulah pengakuan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Itulah juga kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Secara realistiknya sasaran penyertaan PAS di Bagan Pinang bukan untuk menang, tetapi lebih kepada memanfaatkan ruang demokrasi untuk menyampaikan mesej parti serta merebut beberapa peluang lain. Matlamat di sini ialah kejayaan jangka panjang.

Malangnya, apabila sasaran itu tersilap letak sehingga ada yang terlalu yakin kononnya kemenangan bakal menjelma, maka sebahagian gerakerja sudah terpesong dari perancangan sepatutnya. Dalam pengurusan mana-mana organisasi pun, sasaran menentukan halacara tindakan dan susunatur gerakerja.

PAS juga wajar menilai kelemahan dalaman jenteranya. Ada sungutan rakan-rakan bahawa pengurusan maklumat dalam jentera pilihan raya PAS agak lemah. Contohnya, sesuatu berita atau maklumat diterima tidak diperhalusi atau ditapis cermat sebelum disebar atau diambil tindakan susulan mengenainya. Akhirnya, ada kes-kes tertentu PAS dikatakan terperangkap dengan maklumat tidak tepat yang tidak mustahil datang dari saraf musuh atau agennya yang menyelinap dalam jentera PAS.

Namun kekalahan PAS itu tidak bermakna ia tidak berjaya memalukan BN. Meski pun PAS gagal dari sudut jumlah undi, penyertaan dan tentangan hebat diberikannya bersama jentera rakan-rakan Pakatan Rakyat berjaya meninggalkam kesan memalukan pada imej dan maruah BN. Paling memalukan ialah apabila rakyat sudah dihinggap sindrom “tak kesah” dan sanggup memenangkan pihak tidak bermaruah.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, Bil: 170, 18-24 Oktober 2009 di ruangan ‘komentar’ dengan tajuk sama)

Sunday, October 11, 2009

Masjid runtuh, cukupkah sekadar ‘kita akan siasat’?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

DALAM satu ceramah umum anjuran PAS di Kampung Alur Keladi, Besut, pada 4 Oktober lalu, pengerusi majlis malam itu antara lain mengingatkan para hadirin agar berhati-hati setiap kali memasuki mana-mana masjid yang baru siap dibina di negeri itu.

“Muslimin-muslimat sekalian, lepas ini ambo (saya) rasa kalau masuk mana-mana masjid hak baru siap tu, beringat lah sikit. Tengok di luar comel, molek pun tak kena buat runtuh bila-bila masa”, ujarnya.

Usikan sinis beliau itu disambut gelak ketawa ribuan hadirin malam itu. Apatah lagi semua yang hadir maklum tentang isu yang beliau maksudkan. Ia menjadi tajuk utama sebuah akhbar tempatan Terengganu di hari sama.

Runtuh lagi. Sebelum ini membabitkan kejadian runtuh dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Marang dan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak”, demikian baca tajuk beserta sinopsis laporan di muka depan akhbar berkenaan.

Laporan itu merujuk kejadian pagi Sabtu (3 Oktober) lalu, bilamana sebahagian besar bahagian hadapan bangunan Masjid Kampung Batu Putih Kemaman, termasuk struktur kelulinya runtuh. Masjid bernilai RM2.1 juta itu dilaporkan dibina akhir 2006 dan baru siap sepenuhnya kira-kira setahun lalu.

Kejadian itu yang mengejutkan para penduduk berdekatan turut mencederakan tiga buruh warga Indonesia yang sedang melakukan kerja membaik pulih bahagian bumbung masjid itu yang dikatakan bocor sejak tiga bulan lalu.

Seperti biasa, kerajaan segera tampil dengan kenyataan akan menyiasat kes itu. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, yang enggan mengulas lanjut sekadar mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat laporan terperinci berhubung kejadian itu.

“Saya minta JKR menyiasat dan membuat laporan terperinci berhubung perkara ini”, katanya.

Sementara itu, kejadian tersebut menyebabkan rakyat Terengganu diselubungi kebimbangan. Bagi mereka tidak mustahil kejadian serupa akan berulang, terutama membabitkan masjid dan binaan yang baru siap setahun-dua kebelakangan ini.

Apatah lagi kejadian Sabtu lalu itu berlaku di saat rakyat negeri itu masih belum dimaklumkan sepenuhnya mengenai hasil siasatan terhadap keruntuhan stadium sebelum ini.

Dalam kejadian pada pagi 2 Jun lalu, seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu runtuh secara tiba-tiba. Kejadian disahkan berlaku tanpa sebarang faktor semulajadi seperti ribut atau angin kencang.

Stadium itu merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak yang baru siap dibina lebih setahun lalu dengan kos keseluruhan lebih RM500 juta. Kos pembinaan stadium itu sahaja adalah RM292 juta. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang bergegas meninjau lokasi kejadian menyifatkannya sebagai kejadian yang amat memalukan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menganggap kejadian itu tidak menggambarkan profesionalisme dalam pembinaannya.

Ertinya, kesannya dirasai bukan sahaja oleh kerajaan Terengganu, malah turut memalitkan imej industri pembinaan negara. Ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai jutaan ringgit itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Fakta itulah yang menimbulkan syak wasangka di kalangan rakyat bahawa keruntuhan itu ada kena-mengena dengan pengurusan pembinaannya, termasuk kemungkinan berlakunya rasuah dan sebagainya.

Kejadian itu mengingatkan kita kepada beberapa kejadian serupa melibatkan keruntuhan banguna baru siap dibina yang pernah berlaku sebelum ini di Terengganu sendiri. Antaranya ialah kes runtuhan siling dalam sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang, pada 16 Januari 2006.

Bangunan itu baru siap dibina tidak sampai tiga tahun sebelumnya. Kejadian dikatakan berpunca daripada struktur yang menyokong siling tidak cukup kukuh untuk menampung beratnya.

Kejadian lebih menggemparkan berlaku pada 12 April 2008. Seluruh struktur bumbung Dewan Serbaguna SMK Wakaf Tapai, juga di daerah Marang, ranap sekelip mata. Ia dikatakan berpunca daripada pemasangan sendi kekuda bumbung itu yang tidak kukuh. Bangunan bernilai RM2 juta itu siap dibina pada tahun 2004 dan baru mula digunakan pada 2005.

Dalam kesemua kes itu, kerajaan negeri menjanjikan siasatan terperinci. Manakala dalam kes stadium pula, Ahmad pada awalnya mengumumkan pihaknya akan melantik konsultan bebas bagi menyiasat secara terperinci punca keruntuhan tersebut. Cadangan itu kemudiannya tidak menjadi kenyataan.

Bukan itu sahaja, para pemimpin kerajaan dikatakan memandang ringan kejadian tersebut dan tergamak menyeru rakyat agar menerimanya sebagai satu suratan takdir semata-mata. Setakat ini hasil siasatan terhadap kes-kes disebutkan itu tidak diumumkan.

Hasrat rakyat melihat pihak-pihak yang bertanggungjawab didakwa dan dikenakaan tanggungjawab setimpal tidak terlaksana. Kerajaan seolah-olah cuba melindung pihak terbabit.

Setakat ini nasib masih menyebelahi kita dan tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Sepertimana kes stadium dan dewan sekolah menengah itu, kejadian menimpa masjid di Kemaman itu juga berlaku ketika tiada sesiapa menggunakannya.

Rakyat bimbang kes serupa berulang dan mungkin bakal meragut nyawa. Sebab itu usikan sinis pengerusi majlis di Besut malam itu tidak boleh dianggap sekadar gurauan.

Kerajaan pula dituntut agar tidak sekadar menuturkan janji “kita akan siasat”. Ada baiknya semua bangunan yang baru siap dibina dalam dua tahun kebelakangan ini diperiksa penuh teliti.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 169, 11-17 Oktober 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, October 4, 2009

Implikasi pemilihan Isa Samad di Bagan Pinang


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SETELAH disulami perbahasan pro dan kontra, pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akhirnya merestui bekas Naib Presiden Umno yang pernah disabitkan rasuah politik, Tan Sri Isa Samad, sebagai calonnya bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (Dun) Bagan Pinang nanti.

Keputusan itu sekali gus memperakui pendirian Umno Bahagian Teluk Kemang yang sedari awal sebulat suara menamakan Isa, yang juga ketua bahagian itu, sebagai calon. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu dijadualkan pada Sabtu (3 Oktober). Manakala tarikh pengundian ditetapkan pada 11 Oktober.

Keputusan memilih Isa sebagai calon disambut bercampur-campur, terutama di kalangan para pemimpin BN sendiri. Ada yang menyambut baik, ada pula yang menerima separuh hati semata-amat atas dasar mengutamakan kemenangan parti. Ada juga terpaksa merasionalkan pemilihan Isa sebagai mendahulukan pilihan rakyat.

Berbagai hujah dituturkan para pemimpin dan pendukung BN. Semuanya positif dan muluk belaka terhadap Isa. Agak lucu apabila diperhatikan sebahagian suara sokongan itu bercanggah dengan luahan sebilangan mereka sendiri seminggu dua lalu.

Lebih-lebih lagi mengenangkan ulasan beberapa pemimpin BN dan wartawan akhbar arus perdana yang sebelum ini begitu beriya-iya mendesak BN mengemukakan seorang tokoh yang bersih, berintegriti, tidak tercemar oleh rekod buruk serta berusia muda sebagai calon. Sanggupkah mereka ini menjilat semula muntah dan air ludah itu?

Apa pun justifikasi diluahkan para pemimpin BN atas pemilihan Isa, ikhlas mahu pun terpaksa, kita sudah dapat menyimpulkan beberapa pemerhatian ekoran episod itu. Pertama, pemilihan Isa sebagai calon BN membuktikan Umno ketandusan pelapis berkaliber. Parti itu gagal menonjolkan tokoh lebih muda bersesuaian dengan hasratnya meremajakan perjuangan. Ia terpaksa kitar semula pemimpin yang sudah dilumuri kekotoran politik.

Kedua, pilihan BN itu mengukuhkan dakwaan kesebatian Umno dengan rasuah politik. Umno hilang upaya menolak pemimpin rasuah. Rekod Isa yang dibuktikan bersalah dalam politik wang sehingga digantung keahlian dan dilucutkan jawatan parti bagaikan tidak membawa apa-apa erti.

Umno terlalu lemah untuk bertegas membersihkan dalamannya dari rasuah politik. Ia juga ibarat membenarkan dakwaan bahawa Umno sebenarnya terlalu sukar mencari pemimpin bersih.

Seolah-olahnya untuk mencari pemimpin berintegriti dalam Umno seperti mengharapkan bertemu antah dalam beras Siam Super! Ataukah rasuah politik sudah diterima sebagai asam garam perjuangan Umno? Kesebatian antara keduanya sukar dipisahkan, macam isi dengan kuku, bagai tahi dengan kentut. Begitu?

Ketiga, pemilihan Isa sebagai calon BN secara tidak langsung menghina bekas pemimpin utamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Keputusan itu menolak mentah-mentah pendirian bekas Presiden Umno itu.

Keadaan agak berbeza sekiranya Dr. Mahathir tidak begitu berterus-terang tentang sikap menolak Isa. Sedangkan dalam soal ini, sedari awal ianya diura-urakan, Dr. Mahathir telah menjelaskan pendiriannya.

Beliau malah secara spesifik menyebutkan sekiranya beliau adalah Isa, beliau akan menolak namanya dicalonkan, sebaliknya secara bertanggungjawab menyokong calon lain. Kelantangan bekas Perdana Menteri itu bagaimana pun ibarat mencurah air ke daun keladi. Atau ibarat masuk telinga kanan keluar telingan kiri para pemimpin Umno.

Bagi saya cara Umno melayan teguran Dr. Mahathr itu amat menghinakan. Ia malah lebih hina dan menyedihkan berbanding saranan mengalungkan selipar pada gambar Dr. Mahathir oleh seorang perwakilan MIC tempoh hari.

Kes kalungan selipar itu hanya saranan. Ia hanya suara individu dalam sebuah parti yang tidak pernah dipimpin Dr. Mahathir. Saranan itu juga tidak disambut MIC, bahkan orang itu dikecam segenap lapisan BN.

Berbanding pemilihan Isa ini, ia direstui pucuk pimpinan tertinggi BN terutama Umno sendiri. Sedangkan ia amat bertentangan dengan pendirian Dr. Mahathir. Ertinya, segenap lapisan BN dan Umno secara terbuka menolak pendirian dan saranan beliau.

Barangkali ada baiknya selepas ini Dr. Mahathir mengurangkan komennya mengenai urusan BN dan Umno. Lupakanlah cadangan berunsur ampu oleh jaguh lompat dari Pasir Mas yang mahu Dr. Mahathir dinobatkan sebagai penasihat BN dan kerajaan. Apa wibawanya menjadi penasihat jika air liur orang tua itu sudah “tawar”, cakap dan nasihatnya ditolak mentah-mentah oleh bekas anak-anak buahnya sendiri?

Keempat, pemilihan Isa membuktikan pengaruh tokoh itu masih mencengkam kekuatan Umno, bukan sahaja di bahagiannya malah di seluruh negeri. Ia menjadi isyarat kebangkitan semula Isa.

Namun harus ditelah bahawa kemunculan semula beliau itu ibarat bebasnya singa lapar yang telah lama terkurung. Amukannya berpotensi menghuru-harakan politik, khususnya dalaman Umno sendiri.

Kudis pergeseran antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bukan lagi rahsia. Andaikan saja pemulihan pengaruh Isa bakal mengubah kudis itu menjadi tokak.

Ia juga memberi inspirasi kepada mana-mana pemimpin Umno yang selama ini menyembunyikan penentangan atau perasaan tidak sebulu dengan Mohamad. Dari perspektif itu, Isa mungkin dijadikan nukleas kepada usaha penentangan lebih berencana terhadap Mohamad selepas ini.

Keadaan dijangka semakin sulit dan kusut buat Umno sekiranya Isa menang pada 11 Oktober nanti. Tiket sebagai wakil rakyat memberi kuasa tambahan buatnya menggembleng kekuatan politik.

Kesimpulannya, pemilihan Isa sebagai calon BN sudah meletakkan parti itu dalam keadaan “kalah-kalah”. Sama ada Isa menang atau kalah dalam pilihan raya kecil minggu depan, kedua-dua keadaan itu sudah memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat.

Jika Isa kalah, ia kemenangan jangka pendek PR. Jika Isa menang, ia pula akan membuka ruang keuntungan jangka panjang hasil pergolakan dalaman Umno yang dijangka lebih parah.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 168, 4-10 Oktober 2009 di ruangan ‘KOLUM’ dengan tajuk sama)