Friday, August 19, 2005

Fenomena bom asap kembali “meriah” di Terengganu


Oleh: Anuwa Jamalullail

KALAU ada orang kata setahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu membawa negeri itu maju ke hadapan, orang itu boleh dianggap “katak di bawah tempurung”. Ia hanya menilai keindahan luaran tanpa menyelami kedukaan hidup rakyat.

Dalam aspek tertentu, rakyat Terengganu seolah-olah dibawa sepuluh atau 20 tahun ke belakang. Contohnya, kesukaran mendapat pekerjaan dan kesempitan sumber rezeki. Sedangkan di masa sama, kerajaan menampakkan trend berbelanja secara mewah. Ia mengingatkan kembalil slogan “ Negeri Kaya, Rakyat Miskin” yang pernah popular 20 tahun lalu.

Di pihak pembangkang pula, nostalgia ‘bom asap’ nampaknya kembali menjadi realiti. Ia sekaligus mengembalikan ingatan ke tahun awal 80-an yang menyaksikan kemuncak ketegangan politik. Peristiwa di Keluang, Besut, Kampung Buloh (Setiu), Seberang Takir (Kuala Terengganu) dan Sura (Dungun) adalah antara tragedi bom asap paling tragis dalam sejarah PAS Terengganu.

Kini, fenomena itu seakan mahu diulang. Segalanya tercetus ekoran tindakan “rejim Hadhari” merampas tanah serta menceroboh masjid dan rumah rakyat di serata negeri.

Bermula 23 Mac 2005, di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api, Besut, diikuti pada 19 Mei di RTB Pengkalan Merbau, Setiu dan 26 Mei di RTB Bujal, Kemaman. Operasi terakhir ini turut melibatkan perobohan sebuah masjid yang telah siap dan digunakan.

Bagai menjolok sarang tebuan, tindakan itu mengundang kebangkitan semula PAS. Di mana sahaja PAS menganjurkan ceramah, rakyat pelbagai latarbelakang hadir mencari penjelasan. Umno yang merasa tersepit turut menganjurkan ceramah menjelaskan isu itu. Namun majlisnya lengang dan hambar.

VCD peristiwa perobohan rumah dan masjid itu turut tersebar luas. Seperti pepatah Inggeris “sekeping gambar menceritakan seribu kisah”, VCD itu sangat memukau penonton. BN turut mengedarkan VCD, versinya sendiri mengenai operasi perobohan itu. Rakyat tidak dapat diyakinkan dengan VCD suntingan BN itu.

19 Jun lalu, ribuan rakyat membanjiri pekarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu membantah tindakan rakus kerajaan BN merobohkan rumah rakyat dan Rumah Allah itu. Simpati masyarakat dalam isu ini menjadi tamparan hebat kepada kerajaan negeri.

BN turut menganjurkan “demonstrasi” atas isu yang sama beberapa hari kemudian. Jumlah yang ditaja hadir itu bagaimana pun tidak melebihi satu perlima kehadiran demonstrasi PAS, walau pun kanak-kanak pra-sekolah turut diangkut.

Ia tambah menyakitkan hati pemimpin Umno Terengganu sehingga memperalatkkan jabatan-jabatan kerajaan, khususnya polis, untuk berdepan dengan PAS.

Sehingga rencana ini ditulis, beberapa kes gangguan ketara pihak polis berlaku terhadap ceramah PAS di serata negeri. Antaranya di Kampung Mak Chili, Kemaman, 7 Julai lalu dan di Batu Rakit, Kuala Terengganu (8 Ogos). Puluhan bedilan bom asap dilepaskan. Bahkan, kejadian di Kemaman itu turut melibatkan semburan air ke arah hadirin. Ada yang ditahan reman beberapa hari.

Dalam kejadian di Kampung Gong Manok, Besut pada 12 Julai, penganjur dikatakan berusaha memenuhi syarat polis. Malangnya, sebaik penceramah pertama selesai berucap, pihak polis yang sedari awal ada di situ mengarahkan majlis ditamatkan serta-merta. Penganjur akur.

Dalam beberapa kes lain seperti di Alor Lintang, Besut dan di Bukit Putera, Setiu, pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan sejak senja mengepung kawasan ceramah.

Majlis dikatakan tidak mendapat kebenaran polis. Sedangkan dalam beberapa kes di atas, permohonan permit dibuat penganjur. Ia ditolak semata-mata di atas  alasan “keselamatan”. Soalnya, pernahkah berlaku kekecohan dan suasana “tidak selamat” di mana-mana ceramah PAS tanpa gangguan pihak lain?

Polis hadir ke ceramah PAS bukan untuk memastikan keselamatan hadirin. Sebaliknya, mereka yang mengganggu keselamatan rakyat dengan melepaskan bom asap dan menyemburkan air. Kenapa nampaknya polis beria-ia bertindak terhadap majlis PAS, sedangkan ia tahu PAS bukannya mahu berlawan dengan mereka? Lawan PAS adalah Umno, bukan polis!

“Ohh..itu memang kerja polis, menjaga kedaulatan kerajaan dan bekerjasama dengan pemerintah,” ada orang kata macam itu.

Soalnya, kenapa sewaktu PAS memerintah, kedaulatan kerajaan tidak dijaga dan kerjasama begitu tidak diberikan polis? Jangan dikatakan program anjuran parti (PAS), sesuatu yang dibuat atas nama kerajaan Terengganu pun tidak mendapat kerjasama yang baik daripada polis.

Malah, ketua polis negeri ketika itu, bukan sekadar mengisytiharkan pihaknya tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang diluluskan itu. Beliau turut menaiki pentas Umno dan membentangkan kertaskerja mengecam tindakan kerajaan PAS mengemukakan cadangan pelaksanaan hukum Islam itu.

Setakat ini, belum ada jawaban yang pasti mengapa pihak polis sanggup bekerjasama dengan BN untuk mengembalikan “nostalgia 20 tahun lalu” dalam kancah politik negeri Terengganu. Cuma secara sinis, ada yang berkata “tahu-tahu aja lah!”

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 19 Ogos-1 September 2005 di ruangan ‘KOMENTAR’ dengan tajuk sama)    

Lebihnya jika orang agama jadi orang politik


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAHIBUS Samahah Mufti Negeri Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ada sebab wajar untuk tersenyum lebar, 2 Ogos lalu. Apa tidaknya! Sebagai ulama yang sukar mendapati pandangannya tidak disanggah penguasa, kenyataan Timbalan Perdana Menteri sehari sebelum itu mengenai program realiti tv barangkali bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ baginya.

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan stesen tv tempatan agar tidak ‘mencedok bulat-bulat’ program tv Barat. Katanya, pengeluar, pengusaha atau penerbit tempatan tidak sepatutnya didorong pertimbangan komersial semata-mata, sehingga mengetepikan etika serta moral masyarakat.

“Format program realiti tv seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia kadangkala adegannya agak melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya Timur”, kata Najib.

Ia dianggap pendirian rasmi pertama kerajaan berhubung rancangan hiburan realiti yang kini menjadi trend di kalangan stesen tv swasta. Kenyataan Najib itu bunyinya senada dengan pendirian Harussani. Bezanya, Najib terlewat setahun berbanding Harussani untuk mengutarakannya.

Pada 30 Julai tahun lalu, Harussani menggemparkan negara dengan pendiriannya tentang konsert Sure Heboh TV3. Bercakap mewakili Majlis Mufti-Mufti Malaysia, Harussani berkata konsert itu adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat. Justeru, mereka yang menganjur, menghadiri dan menonton konsert itu juga haram. Oleh itu majlis seperti itu hendaklah dihentikan.

Seperti diduga keputusan badan agama itu dihujani kritikan pelbagai pihak, terutama ‘orang-orang politik’. Menteri Penerangan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir antara yang paling awal memberi reaksi. Kenyataan Harussani itu, baginya, ‘menimbulkan banyak kekeliruan dan menyusahkan banyak pihak’.

Beliau sebaliknya berpendapat konsert itu patut digalakkan ‘kerana memberi sedikit keceriaan kepada rakyat’.

“Saya tidak nampak penganjuran konsert Sure Heboh TV3 ini salah, tidak ada salahnya mengadakan sedikit hiburan untuk keluarga selepas mereka penat bekerja,” kata Kadir.

Tiada suara pembesar negara yang menyanggahi pendirian Kadir itu. Konsert yang dirancangkan 1 Ogos 2004 itu diadakan dengan jayanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, tanpa sedikit pun rasa ‘terganggu’ oleh pendapat para mufti tadi. Tambahan pula, Perdana Menteri seakan-akan mempersoalkan kredibiliti kenyataan Majlis Mufti itu. Katanya, biasanya kalau ada satu ‘fatwa’, mesti ada kertas yang memberi segala hujah-hujah.

Dalam kenyataan susulan pada 2 Ogos, Harussani menjelaskan sebarang karnival atau konsert yang jelas bertentangan dengan syarak seperti mengabaikan solat, pergaulan bebas lelaki dan wanita serta pendedahan aurat adalah haram, walau pun ia tidak difatwakan.

“Kita tidak perlu menunggu fatwa, apabila sesuatu itu jelas bertentangan dengan kehendak syarak, ia adalah haram sekali pun tidak difatwakan. Ini termasuklah budaya berhibur yang keterlaluan seperti yang dipaparkan melalui rancangan Akademi Fantasia, Audition, Malaysian Idol dan sebagainya yang jelas bertentangan dengan hukum syarak”, katanya.

Namun, pandangan itu seakan tidak didengari sesiapa. Siri konsert Sure Heboh TV3 yang dirancangkan di seluruh negara tetap diteruskan. Malah, saban hari iklan mengenainya kerap diulang tayang di kaca tv, semacam sengaja ‘mempersenda’ pandangan mufti tadi. Begitu juga program hiburan realiti tv yang disebut Harussani itu.

Setahun berlalu, bukan tidak ada pihak yang menyuarakan rasa terkilan terhadap ‘kedegilan’ stesen tv menganjur dan menyiarkan program hiburan ‘melampau’ sebegitu. Bagaimana pun, suara mereka hanya sayup-sayup kedengaran.

Pemain utama semestinya media massa. Media berkuasa menjadikan isu ini tajuk paparan atau meminggirkannya. Namun, setakat yang kita tahu sejarah campur tangan orang politik dalam menentukan kepimpinan media utama, media tidak akan sewenang-wenangnya memainkan sesuatu isu tanpa mendapat lampu hijau orang politik.

Isu program hiburan realiti tv ini pun begitu. Kejelekan dan kesan negatifnya sudah jenuh dibicarakan termasuk oleh para ulama, pemimpin masyarakat dan budayawan.

“Kenapa perlu menangis dan berpeluk-peluk di hadapan khalayak ramai? Ke mana hilangnya budaya orang Melayu yang selama ini terkenal dengan sifat pemalu? Ia bukan realiti. Tidak usahlah kita pupuk budaya macam itu”, kata Azah Aziz, tokoh budaya.

Azah Aziz mungkin sudah berpandangan sebegitu sejak sekian lama. Tetapi kenapa pandangan positifnya itu baru dapat dibaca 3 Ogos lalu? Sudah tentu kerana akhbar baru mendapat ‘keberanian’ untuk menyiarkan pandangan yang ‘kontra-popular’ itu.

‘Keberanian’ media itu datang hanya setelah ‘orang politik nombor dua’ bersuara. Barulah para penjuak politik bawahan masing-masing turut menyuarakan rasa jelek terhadap moral dan etika program-program hiburan itu.

Perkembangan itulah barangkali yang mendorong Harussani berkata, “saya cukup seronok, mudah-mudahan kenyataan TPM itu mendapat perhatian mereka semua. Kalau itu pun mereka tidak mahu dengar, tak tahulah apa nak jadi”.

Harussani hanyalah seorang mufti. Kenyataannya tidak dianggap arahan, boleh dipakai atau dipertikai. Bayangkan apa yang beliau boleh lakukan sekiranya dia juga ‘orang politik’ yang mengetuai kerajaan.

Sekurang-kurangnya, dalam isu di atas, terbukti pemikiran ‘orang politik’ terlewat setahun berbanding ‘orang agama’ untuk menegur program hiburan di hadapan mata mereka. Itulah, lebihnya jika ‘orang agama’ menjadi ketua politik.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 19 Ogos-1 September 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

Friday, August 5, 2005

Ayah Pin dan kampung ‘Melayu-Hindu’


Oleh: Mohd Nasir Awang
 
MAJLIS Fatwa Negeri Terengganu pada 1997 mengisytiharkan ajaran yang dipelopori Ariffin Mohamad di Besut adalah sesat mengikut Seksyen 25, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 1986.

Ariffin, atau lebih dikenali Ayah Pin, memimpin sebuah perkampungan yang dinamakan “Kerajaan Langit”, bertempat di Kampung Batu 13, Hulu Besut. Beliau pernah mengisytiharkan secara terbuka meninggalkan Islam pada 1998. Begitu juga para pengikutnya. Bagaimana pun, beliau dan penganutnya seakan bebas mengamalkan ajaran itu tanpa sebarang tindakan dari pihak kerajaan buat beberapa lama.

Ayah Pin ditahan hanya selepas kerajaan Terengganu bertukar tangan, ekoran Pillihan Raya Umum 1999 lalu. Beliau dibicarakan atas dakwaan menghina Islam. Pada 27 Jun 2001, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut dan dihukum penjara 11 bulan serta denda RM2,900.

Empat pengikut Ayah Pin pula turut menuntut pengisytiharan mahkamah untuk meninggalkan Islam. Semuanya dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 19 November 2000 setelah didapati bersalah mengingkari perintah Mahkamah Rendah Syariah supaya bertaubat kerana terlibat dengan ajaran sesat itu. Mereka menjalani hukuman penjara di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Selepas dibebaskan, mereka memfailkan kes ke Mahkamah Rayuan pada 2003 untuk mendapat deklarasi hak mutlak dan bebas menganuti serta mengamalkan agama pilihan mereka. Kes turut dipanjangkan ke Mahkamah Persekutuan apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan mereka itu.

Hingga Julai 2005, terdapat 120 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak tinggal di dalam 34 buah rumah kayu di perkampungan “Kerajaan Langit” itu. Manakala ratusan lagi “rakan seanutan” mereka dikatakan bertebaran di serata negara.

Beberapa binaan atau replika gergasi yang dibina di situ diakui Ayah Pin sendiri sebagai memiliki signifikan menurut ajaran Hindu. Antaranya sebuah teko yang dikaitkan dengan air suci yang memancut dari dahi Dewa Shiva. Manakala replika payung pula dikaitkan dengan sembilan planet di dalam ajaran Hindu.

Ayah Pin dan pengikutnya, sebagaimana dirakam VCD yang disebar meluas di seluruh negara, pernah melakukan beberapa ibadat mengikut agama Hindu di Batu Caves, Selangor. Manakala sekeping VCD lain memaparkan beliau diberikan sambutan sebagai “Maha Guru Bhagawan Tok Ayah” oleh masyarakat Hindu di kepulauan Bali, Indonesia. Hadirin bergilir mencium tangan, menyembah serta sujud dan mencium kaki Ayah Pin.

Penularan aktiviti kumpulan Ayah Pin dibawa ke pengetahuan umum hanya setelah kerajaan Terengganu merasa “serba-salah” ekoran beberapa tindakannya meroboh rumah rakyat dan sebuah masjid di negeri itu. Rakyat yang berang dan terhina dengan tindakan itu telah menempelak kerajaan negeri sebagai “double standard”.

Antara rasional mereka ialah, mengapa masjid diroboh, binaan di kampung ajaran sesat tidak disentuh? Sedangkan, jika di atas alasan pembinaan tanpa kebenaran dari pihak berkuasa, maka binaan-binaan di kampung tersebut juga telah lama diakui oleh pihak Pentadbir Tanah Daerah Besut sebagai “dibina tanpa kebenaran yang sah”.

Didorong keinginan “mengimbangi” kemarahan rakyat akibat perobohan masjid dan rumah mereka itulah barangkali, maka kerajaan negeri terpaksa bertindak ke atas perkampungan “Kerajaan Langit” itu. Operasi tangkapan pertama dilakukan pada Sabtu 2 Julai 2005. Seramai 21 pengikut kumpulan tersebut ditahan, termasuk seorang inspektor polis dan ahli kumpulan rock.

Operasi kedua pula dilangsungkan pada 20 Julai lalu. Seramai 58 orang lagi ditahan. Ayah Pin sendiri gagal dikesan.

Agak panjang lebar catatan ini menghuraikan kisah “Kerajaan Langit”. Tujuannya bukanlah untuk turut mensensasikan kumpulan ajaran sesat tersebut. Sebaliknya, untuk sama-sama mengajak rakyat negara ini, khususnya masyarakat Melayu-Islam, memperakui bahawa sudah wujud di negara kita ini sebuah perkampungan “Melayu-Hindu”.

Hakikat bahawa sudah ada orang Melayu yang menganut agama Hindu bukanlah cerita baru sebenarnya. Ia berlaku sejak beberapa lama. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi tahun 1980 boleh dijadikan bukti. Daripada 6.1 juta penduduk berbangsa Melayu di Semenanjung Malaysia 4,766 menganut agama Kristian.

Seramai 522 orang Melayu menganut agama Hindu, 746 menganut Buddha, 456 menganut ajaran Confusius, Tao dan lain-lain agama tradisi orang Cina. Manakala seramai 13,666 orang Melayu tidak menganut sebarang agama (atheis).

Sengaja kita memetik perangkaan 25 tahun lalu, sekaligus membuktikan bahawa fenomena orang Melayu tidak beragama Islam bukannya perkara baru.

Tulisan ini tidak bermaksud menafikan kebebasan penganut agama selain Islam untuk mempraktikkan agama masing-masing. Jauh sekali untuk mengapi-apikan persoalan agama yang sememangnya sangat sensitif dalam negara ini. Kita sebenarnya mahu membuktikan bahawa Melayu tidak semestinya beragama Islam semuanya, sebagaimana Islam itu juga tidak semestinya dianuti orang Melayu sahaja.

Ertinya, kita tidak boleh lagi berkata Islam dan Melayu adalah sinonim. Lantaran itu, slogan “Hidup Melayu, Hiduplah Islam!”, sudah tidak relevan dengan realiti kini.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 5-18 Ogos 2005 di kolum tetap ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

‘Darurat’ di sisi Mashitah dan ayah pesakit jantung


Oleh: Anuwa Jamalullail

Kes 1: Demi kasih terhadap anak, seorang ayah terpaksa menjual rumah kos rendah bagi menampung perbelanjaan rawatan anak bongsunya yang menghidap sindrom Rubella, selain menghadapi masalah saluran darah ke bahagian jantung tersumbat.

Kes 2: Seorang warga emas, yang merompak RM200 dari seorang penolong pengurus syarikat pengangkutan menggunakan revolver dengan alasan membiayai pengajian anaknya, dihukum penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, 16 Jun lalu.

Kes 3: Seorang Setiausaha Parlimen mengatakan bahawa melacur atau menjual diri dimaafkan jika terdesak dan darurat, termasuk demi memberi makan dan membesarkan anaknya.

Ketiga-tiga kes yang dinyatakan di atas benar-benar berlaku di negara kita. Semuanya berkisar persoalan “darurat dari segi kewangan”. Kes 1 berlaku di Pulau Pinang. Johari Omar, 41, menjaul rumah kos rendah miliknya di Teluk Kumbar, Georgetown dengan harga RM25,000 sebagai jalan terakhir bagi membiayai kos rawatan anaknya.

Anaknya, Siti Nazirah Johari, 4, yang sehingga kini tidak boleh bercakap turut menghadapi komplikasi jantung akibat Rubella dan dijangka menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 26 Oktober ini.

Johari berkata, kesukaran menyediakan kos rawatan berjumlah RM20,000 menyebabkan dia mengambil keputusan menjual rumah kos rendah yang dibelinya empat tahun lalu.

Kes 2 juga memaparkan tindakan nekad akibat desakan hidup. Loo Moy Shan @ Loo Mooi Heong, 63, didakwa melakukan rompakan bersenjata di lampu isyarat persimpangan Jalan Hang Kasturi/ Jalan Leboh Pasar Besar, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari, 23 Mac 2001. Dia didakwa menunjukkan sepucuk revolver .38 Smith & Wesson kepada Yeow Lan Song, 60.

Dalam keterangannya, Loo berkata dia melakukan kesalahan itu kerana hendak mencari wang bagi membiayai pengajian anaknya. Loo mempunyai empat orang anak di samping menjaga ibunya yang berusia 85 tahun.

Bekas pemandu bas, Loo menjadi mangsa kemelesetan ekonomi apabila syarikat bas ekspress di Ipoh memberhentikannya pada tahun 1998 lalu. Beliau kemudiannya gagal mendapatkan sebarang pekerjaan lain.

Kes 3 dicetus oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Melalui kolumnya di Harian Metro, 21 Jun lalu, beliau memberikan respons kepada satu soalan mengenai wanita  (terutama ibu tunggal) yang terpaksa menjual diri untuk membesarkan anak.

Jawabnya, “mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu “terpaksa” membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan terlarang dan bukan dengan kehendak hatinya. Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.”

“Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas dari hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram. Tetapi jika terdesak dan darurat, ia dimaafkan.”

Kenyataan seorang pemuka negara yang kebetulan pula memiliki imej ilmuan agama itu mengundang reaksi pelbagai pihak. Keseluruhan pandangan itu mempertikai kewajaran Dr Mashitah yang begitu mudah “menghalalkan” perbuatan melacur, yang pada hakikatnya adalah zina.

Beberapa reaksi yang menyanggah “fatwa” Dr Mashitah itu menjurus kepada penghuraian darurat menurut Islam. Pandangan beberapa ulama terkenal seperti Imam Abu Bakar Al-Jasas, Imam Abu Zuhrah dan Al-Bazdawi menyimpulkan bahawa darurat itu ialah satu keadaan ditakuti atau dikhuatiri akan berlaku kemusnahan ke atas nyawa atau beberapa bahagian anggota badan ataupun maslahat dharurinya (agama, nyawa, harta, akal, maruah) terancam apabila tidak memakan makanan yang haram.

Dalam kata lain, darurat menurut Islam hanya dihubungkait dengan soal mengambil makanan yang haram. Ia tiada kaitan langsung dengan soal menjual diri atau melacur.

Kedudukan “darurat” di sisi undang-undang sekular yang diterimapakai dalam negara kita pula dapat dinilai berdasarkan Kes 2. Jelas sekali prinsip sekular yang dipelopori Niccolo Machiavelli yang menyebut “matlamat menghalalkan cara” tidak diterima pakai di sini. Sebab itu hakim bicara kes berkenaan tidak memaafkan tindakan tertuduh yang mendakwa dirinya terdesak dan terpaksa melakukan rompakan itu.

Masih banyak lagi jalan lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah dan mencari jalan keluar dari “darurat kewangan” ini, lebih-lebih lagi disokong dengan statistik peluang pekerjaan yang diuar-uarkan oleh para pemimpin negara.

Tambahan pula, masih terdapat badan-badan kebajikan kerajaan mahupun swasta dan masih ramai warganegara ini yang berjiwa pemurah dan dermawan yang suka membantu orang yang dalam kesusahan.

Tindakan Johari (Kes 1) adalah satu contoh penyelesaian yang bijak. Ia bukan sahaja bermaruah dan menepati syarak, malah mengundang simpati anggota masyarakat yang membaca kisahnnya.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 5-18 Ogos 2005 di ruangan ‘KOMENTAR’ dengan tajuk sama)