Sunday, July 13, 2008

Keperibadian pemimpin PAS diyakini semua kaum


“Inilah pemimpin yang saya yakini dapat menyelamatkan kami di dunia dan akhirat”

Oleh: Anuwa Jamalullail

PERHATIKAN tiga peristiwa menarik berikut. Pertama, serombongan masyarakat India dari Perak telah melakukan kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu. Majlis perjumpaan antara mereka dikatakan telah diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, Kota Bharu.

Diceritakan, sebaik melihat kelibat Tuan Guru memasuki ruang tamu, sekalian anggota rombongan itu berdiri sambil berkata, “Ampunkan kami Tuan Guru! Ampunkan kami Tuan Guru!”

Tuan Guru yang amat terkejut dengan kalimah diucapkan mereka itu bagaimana pun sempat berseloroh, “sejak bila pula ambo (saya) jadi raja?” Gurauan itu dipercayai mengambil kira kebiasaan kalimah ‘ampun’ itu yang hanya dibahasakan oleh seorang hamba kepada rajanya.

Kesemua anggota rombongan tadi turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Tuan Guru. Bahkan, ada antara mereka yang bukan sahaja mengambil kesempatan mencium tangan pemimpin spiritual PAS itu, malah turut meletakkan kedua tapak tangan mereka ke atas serban dan kaki Tuan Guru.

Apabila ditanya kemudiannya mengapa mereka mengucapkan ‘ampun’ dan melakukan demikian terhadap pemimpin PAS itu, mereka mengakui kesemua perbuatan mereka itu lahir daripada rasa teramat kagum dan penghormatan yang tinggi terhadap Tuan Guru.

Mereka yang sebelum ini hanya mendengar cerita tidak elok mengenai Menteri Besar Kelantan itu merasa amat bersalah di atas segala pandangan serong dan negatif yang selama ini tersemat dalam fikiran masing-masing terhadap beliau. Kini mereka mengakui sangat terharu dan tergamam sebaik pertama kali melihat dari dekat batang tubuh Tuan Guru.

Kejadian kedua berlaku terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Suatu ketika di tengah-tengah kehangatan kempen pilihan raya umum lalu, beliau dijemput merasmikan pembukaan markas PAS di sebuah kampung di Pantai Barat. Beliau sudah pun dimaklumkan bahawa majoriti penduduk kampung itu adalah berbangsa Cina. Cuma ada tiga orang berbangsa Melayu di kampung berkenaan dan ketiga-tiga mereka adalah anggota polis yang bertugas di situ. Kampung itu turut didiami sebilangan penduduk berbangsa India.

Golongan bukan Melayu dan bukan Islam ini berkeras mahu mendirikan markas PAS, terutama bagi menzahirkan sokongan mereka terhadap parti itu dalam pilihan raya lalu. Apa yang menarik, sebaik selesai Presiden PAS itu menyampaikan ucapannya di majlis itu, beliau didatangi seorang lelaki berbangsa India yang terus memeluknya erat.

Menurut keterangannya selepas itu kepada pemimpin PAS lain yang turut menyertai rombongan Presiden PAS itu, pakcik itu mengatakan perasaannya sangat tersentuh dengan ucapan bernas dan tulus ikhlas oleh Tuan Guru.

Pakcik berbangsa India itu malah dikatakan menyebut, “inilah pemimpin yang saya yakini dapat menyelamatkan kami di dunia dan akhirat”. Sebab itu beliau tidak mahu melepaskan peluang menyentuh batang tubuh orang yang diyakininya dapat menjadi penyelamatnya itu.

Kejadian ketiga pula berlaku awal Julai ini. Seorang timbalan menteri dari parti komponen Barisan Nasional (BN), yang bukan Melayu dan bukan Islam, bertanya kepada seorang pemimpin tertinggi PAS mengenai peperangan moral antara dua pemimpin Melayu/Islam yang sedang hangat diperkatakan kini. Beliau melahirkan rasa malu melihat gelagat kedua-dua pemimpin itu yang saling dedah-mendedahkan keburukan dan keaiban antara mereka, terutama berkaitan skandal seks masing-masing.

“YB, you orang Melayu, you orang Islam. You tak rasa malu ke tengok dua pemimpin Melayu/Islam buat macam tu?”, tanya beliau kepada pemimpin PAS yang juga Ahli Parlimen itu. Perbualan antara mereka dikatakan berlaku sewaktu sessi rehat satu sidang Dewan Rakyat.

“Malu, tapi mujurnya kedua-dua mereka bukan pemimpin PAS. Seorang pemimpin Umno, seorang lagi bekas pemimpin Umno”, jawab pemimpin PAS itu dalam bahasa politik.

Meski pun ia diucapkan secara berjenaka, kebenaran kata-kata pemimpin PAS itu segera diakui timbalan menteri tadi. Beliau malah tidak teragak-agak menyatakan kekagumannya terhadap PAS yang disifatkannya memiliki para pemimpin yang sangat bersih keperibadian mereka terutama dari sudut moral. Menurutnya, aspek itu membezakan para pemimpin PAS dengan pemimpin Melayu dari parti-parti politik lain.

Ketiga-tiga peristiwa ini bukan semata-mata cerita penglipurlara atau figmentasi penulis. Ia dibuktikan benar-benar berlaku dan menjadi bahan perbualan, terutama di kalangan para pemimpin tertinggi parti itu.

Cerita-cerita tadi dipanjangkan bukan semata-mata kerana ia sesuatu yang menarik dan sedikit melucukan. Lebih dari itu, kejadian-kejadian seumpama itu mampu memberikan implikasi sangat besar terhadap sikap dan tindakan politik PAS.

Bagi para pemimpin sebuah parti yang amat sukar mendapati berita mengenainya dilaporkan secara adil dan benar oleh media arus perdana, kesempatan menyatakan sendiri pandangan dan sikap parti kepada pihak lain amat dinanti-nantikan. Dalam konteks itu, ketiga-tiga peristiwa tadi boleh dianggap suatu perkembangan yang sangat positif dan membanggakan.

Ternyata PAS yang selama ini dipandang negatif kalangan bukan Melayu dan bukan Islam, kini sudah semakin didekati mereka. Tembok pemisah sangat tebal antara parti itu dengan masyarakat dari kaum dan agama lain sudah berjaya ditembusi.

Tidak syak lagi katalis utama kepada perkembangan ini ialah pameran keperibadian yang baik oleh para pemimpin PAS. Asas dan tunjang utama kekuatan peribadi mereka ialah dasar Islam yang dipegang parti itu. Ajaran Islam yang dijadikan teras perjuangan PAS telah memagari para pemimpinnya dari sebarang perbuatan yang melangkaui batasan agama.

Tidak ada pertikaian moral, tidak ada skandal seks mahu pun tuduhan rasuah terhadap para pemimpin PAS. Ajaran Islam yang menekankan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka menyebabkan meeka sentiasa teliti dan bercermat dalam setiap tingkah laku dan tindakan, termasuk di dalam mencapai agenda politik.

Sebab itu meski pun seluruh dunia demokrasi beriman kepada prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’, para pemimpin yang mengambil Islam sebagai teras perjuangan tidak akan tergamak mencipta fitnah dan mendedahkan keaiban musuh semata-mata untuk memenuhi kehendak politik.

Keperibadian pemimpin yang bersih dan luhur ternyata memberikan kesan mendalam ke atas manusia, terutama kepada golongan yang sedang tercari-cari siapakah hendak dijadikan pemimpin yang mampu membahagiakan kehidupan mereka dunia dan akhirat.

Tidak keterlaluan dikatakan ketiga-tiga peristiwa melibatkan pemimpin PAS dan masyarakat bukan Melayu, bukan Islam tadi adalah perkembangan amat positif. Bukan hanya untuk parti itu secara khusus, bahkan untuk agama Islam secara umumnya.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 13-19 Julai 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, July 6, 2008

DAP tidak perlu usik sensitiviti kaum


“Hak dan keistimewaan bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”

Oleh: Anuwa Jamalullail

JIKA benar bagai dilaporkan akhbar minggu lalu bahawa seorang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan di Pulau Pinang mencadangkan agar semua papan tanda di jalan-jalan utama negeri itu menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu, ia satu lagi pemikiran tidak bijak disuarakan penguasa politik negeri berkenaan.

Malah cadangan itu sendiri pun sudah membuka ruang lebih luas untuk orang Melayu berprasangka bahawa semenjak negeri itu diperintah parti bukan Melayu, kerajaannya semakin tidak sensitif terhadap hak dan keistimewaan kaum bumiputera negara ini.

Sebuah akhbar harian Sabtu (28 Jun) menggambarkan secara terperinci apa yang didakwa berlaku dalam mesyuarat penuh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sehari sebelumnya. Menurut akhbar itu, seorang Ahli Majlis MPSP berbangsa Cina telah mengemukakan cadangan agar dua bahasa lain digunakan selain bahasa Melayu di papan tanda jalan-jalan utama negeri.

Dua sebab merasionalkan cadangan itu diutarakan dan kedua-duanya hanya mengambil kira kepentingan kaum Cina. Dikatakan pelaksanaan itu akan memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke Pulau Pinang saban tahun.

Kedua, penggunaan papan tanda dalam bahasa Mandarin akan memudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina. Cadangan itu turut mendapat sokongan seorang lagi Ahli Majlis MPSP yang juga berbangsa Cina.

Mungkin ada lagi hujah lain yang lebih konkrit mereka kemukakan. Akhbar bagaimana pun hanya melaporkan setakat itu. Jika semata-mata di atas dua hujah itu, cadangan dikemukakan itu ternyata tidak bijak dan wakjar dipertikaikan, berdasarkan beberapa pertimbangan.

Pertama, jika di atas hasrat memudahkan pelancong, apakah Pulau Pinang menerima pelancong dari China sahaja? Bagaimana dengan para pelancong Eropah, Arab, Afrika dan lain-lain negara? Nanti berapa banyak bahasa yang perlu dipaparkan di papan tanda?

Ertinya, kita tidak wajar dan tidak perlu meraikan semua kehendak pelancong. Lagi pun setiap negara ada indentiti sendiri, termasuk negara kita Malaysia. Di antara identiti kita ialah bahasa tulisan dan percakapan penduduknya.

Jangan sampai pelancong tersalah anggap bahawa mereka sedang berada di Kowloon atau Madras. Sudahlah pertuturan penduduk ditemui mereka bukan dalam bahasa Malaysia, papan tanda jalan juga ditulis menggunakan bahasa berkenaan.

Kedua, jika dikatakan papan tanda dalam bahasa Mandarin atau Tamil itu untuk kemudahan penduduk setempat, apakah itu bermakna masih ada penduduk di Pulau Pinang yang tidak tahu membaca atau tidak faham tulisan bahasa Melayu? Soalan ini sangat sensitif, tetapi itulah sanggahan paling munasabah ditanya kembali terhadap hujah diberikan Ahli Majlis MPSP itu.

Perkara ini sebenarnya tidak perlu diusik. Hak dan keistimewaan bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penggunaannya telah diterimapakai seluruh rakyat sejak sekian lama tanpa sebarang pertikaian.

Amat malang sekiranya perkara yang tidak perlu menjadi isu sebegini tiba-tiba sudah dijadikan isu. Sebagai sebuah negeri yang baru diperintah Pakatan Rakyat, banyak lagi perkara yang boleh dan sepatutnya diutamakan kerajaan negeri dan PBT Pulau Pinang selain mengusik sesuatu yang tidak wajar sebegini.

Apatah lagi Pulau Pinang diterajui DAP. Sejak selesai Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, parti itu sudah acapkali terjebak dengan insiden yang ditafsirkan sebagai mengguris perasaan orang Melayu. Antaranya membabitkan penghormatan dan kesetiaan pemimpinnya terhadap Raja-Raja Melayu.

Dalam isu pelantikan Adun PAS Pasir Panjang sebagai Menteri Besar Perak, Mac lalu, DAP pada awalnya membantah pilihan istana itu sehingga menyebabkan upacara pelantikannya tertangguh. Onar mereka itu bukan sahaja mengendalakan pembentukan kerajaan negeri, tetapi lebih jauh kesannya ialah melukakan hati rakyat umum negara.

Sudah ada persepsi bahawa DAP yang rata-rata dikuasai pemimpin politik kaum Cina tidak tahu menjaga sensitiviti kaum lain. Parti itu bahkan dilihat sengaja mencabar hak dan jatidiri Melayu, termasuk kedaulatan Raja-Raja mereka.

Persepsi negatif itu diburukkan lagi dengan pertikaian Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadap titah ucapan Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat dan juga titah Tengku Mahkota Kelantan mengenai ketuanan Melayu.

Belum pun sempat kesan beberapa episod itu terubat di hati rakyat, datang pula insiden di hari perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, 19 Jun lalu. Adun DAP Bentayan, Gwee Tong Hiang lebih rela diarah meninggalkan Dewan semata-mata kerana mempertahankan apa yang didakwanya sebagai haknya untuk tidak memakai songkok.

Kes itu disifatkan banyak pihak sebagai tidak patut berlaku. Apa sebenarnya yang mahu dibukti dan diperjuangkan wakil DAP itu? Songkok bukan lagi hak eksklusif orang Melayu. Dalam negara kita pemakaian songkok sudah diterima sebagai identiti nasional. Justeru, apa perlunya wakil DAP itu memboikot pemakaiannya?

Parti itu perlu belajar dari beberapa insiden tadi. Ia wajar lebih sensitif dengan sesuatu yang menyentuh kepentingan kaum lain. Isu berkaitan mana-mana bangsa, bahasa dan agama sememangnya sentiasa sensitif. Apatah lagi dalam konteks negara kita ini, jika sesuatu tindakan itu dilihat sebagai cubaan menghakis atau mengancam hak orang-orang Melayu.

Itu belum lagi diambil kira peranan parti itu dalam memperkenalkan dasar-dasar baru di Selangor, satu lagi negeri di mana DAP mempunyai peranan besar dalam pemerintahannya. Antara isu agak sensitif bagi orang Melayu dan umat Islam ialah isu ladang babi dan penghapusan peraturan menghadkan keluasan rumah ibadat bukan Islam.

Perlu diingat tempoh beberapa bulan pertama pemerintahan Pakatan Rakyat adalah masa bagi rakyat melihat dan menilai bentuk perancangan dan dasar baru yang diperkenalkan. Sebab itu sebarang dasar dan peraturan yang mahu diperkenal dan dilaksanakan perlu diteliti dan diambil kira pelbagai aspek. Sensitiviti pihak lain, terutama kawan-kawan dari kaum lain dalam Pakatan Rakyat perlu diperhalusi.

Sebagai pihak yang sentiasa menjadi fokus media dan jentera musuh, kerajaan-kerajaan di bawah Pakatan Rakyat perlu sedari hakikat ini. Mereka tidak wajar mengusik sesuatu yang tidak perlu. Jangan menjolok sarang tebuan, jangan mengejutkan singa yang sedang tidur.

Tindakan sebegitu bukan suatu yang wajar dan bijak, sama ada untuk integrasi kaum mahu pun mileage politik jangka panjang.

(Artikel ini diisarkan kahbar Mingguan Wasilah, edisi 6-12 Julai 2008 dengan tajuk sama)

Tuesday, July 1, 2008

Berniaga di pejabat: Pro dan kontra


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEBUAH negeri di Pantai Timur April lalu mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaannya agar tidak menggunakan waktu pejabat untuk aktiviti perniagaan. Menurut Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri tersebut, tindakan sebilangan kakitangan awam negeri terutama dari kalangan wanita yang mengambil kesempatan mengadakan urusan jual beli barangan tertentu di pejabat memberikan kesan negatif terhadap prestasi kerja mereka.

Tidak dapat dipastikan apakah arahan dibuat setelah diadakan suatu kajian dan penyelidikan menyuluruh mengenainya. Bagaimana pun, sebagai ketua pentadbiran negeri, SUK berkenaan merasionalkan hujah beliau kepada sekurang-kurangnya dua fenomena yang didakwanya wujud hasil akiviti sampingan itu.

Pertama, aktiviti itu dikatakan menjejaskan tumpuan kerja. Kakitangan yang sibuk berniaga itu telah mengalih tumpuan mereka daripada tugas asasi. Akibatnya, kerja yang sepatutnya dibereskan dalam masa tertentu terpaksa memakan tempoh lebih panjang.

Mencuri masa pejabat juga dikaitkan dengan sifat tidak amanah. Memanfaatkan pejabat kerajaan sebagai medan pertemuan untuk urusniaga adalah perbuatan menyalah guna kemudahan awam untuk kepentingan peribadi. Itu belum lagi diambilkira sekiranya individu terbabit turut menggunakan talian telefon atau mesin faks milik pejabat untuk tujuan peribadinya itu.

Kedua, ada kesan langsung yang tidak diingini hasil urusniaga sesama sendiri itu. Ia didakwa boleh menimbulkan hubungan tidak baik atau mungkin bermasam muka antara sesama kakitangan. Hal ini terhasil terutama apabila pihak yang membeli secara hutang gagal melunaskan hutang pada masa atau tempoh dijanjikan.

Atau mungkin kerana pihak yang menjual gagal menepati janji membawa produk dijual pada masa diperlukan. Ia boleh juga berlaku apabila produk ditawarkan tidak menepati kualiti sebagaimana dijanji atau digambarkan si penjual, menyebabkan si pembeli merasa tertipu atau tidak berbaloi dengan bayaran dikeluarkan.

Apabila di kalangan kakitangan sesama pejabat atau penghuni di aras sama bangunan pentadbiran kerajaan sudah ada sikap bermasam muka dan tidak bertegur sapa disebabkan urusan peribadi, ia amat sukar dielak daripada turut merebak kepada urusan rasmi pejabat.

Keadaan akan bertambah rumit dan merugikan sekiranya kedua-dua pihak saling bergantung untuk menyempurnakan sesuatu urusan dikemukakan pelanggan. Keretakan hubungan antara mereka akhirnya memangsakan tempoh menunggu pelanggan.

Kita tidak tahu sejauh mana keadaan sebegitu benar-benar pernah berlaku. Jika pun ada, apakah betul seperti didakwa bahawa kerajaan negeri terbabit telah mengalami kemerosotan prestasi kerja di kalangan kakitangannya?

Bagaimana pun, fenomena kakitangan awam melakukan kerja sampingan untuk meraih pendapatan tambahan bukan berlaku di satu dua tempat sahaja. Ia boleh dikatakan berlaku di seluruh negara.

Secara umum dapat disimpulkan bahawa faktor mendorong kakitangan melakukan kerja sampingan adalah pelbagai. Ada yang melakukannya sekadar suka-suka. Mungkin atas dorongan kawan-kawan yang beriya-iya mengajak turut serta dalam rangkaian perniagaan itu. Sesetengah mereka diyakinkan bahawa mereka tidak perlu melakukan apa-apa, cuma mengeluarkan modal sahaja.

Ada juga yang berniaga atas sikap mengambil hati rakan atau menjaga persahabatan. Ada pula melihat menyertai rangkaian perniagaan itu sebagai peluang menambah kenalan sekaligus meringankan tekanan kerja.  

Sebab kedua ialah kerana ingin mewah. Duit gaji sudah lebih dari cukup, tetapi mereka mahu lebih lagi untuk pelbagai angan-angan atau kemewahan hidup. Sama ada rumah lebih besar, kereta lebih cantik mahu pun selera makan lebih beraneka.

Mereka ini iri hati melihat kejayaan orang lain dalam perniagaan. Mereka ditunjukkan gambar orang yang telah berjaya mencapai taraf ‘diamond’, ‘master’ atau sebagainya dalam hierarki perniagaan disertai. Orang itu tersenyum di sebelah kenderaan mewah atau rumah banglo.  Pendapatan mereka pula melebihi lima angka sebulan. Siapa yang tidak tertarik, bukan?

Jika di atas sebab-sebab disebutkan tadi kakitangan yang terlibat itu terpaksa menggunakan waktu pejabat sehingga membelakangkan tugasan rasmi, ia sesuatu yang amat dikesalkan.  Justeru, arahan seorang SUK tadi adalah amat dialu-alukan bagi membanteras aktiviti manusia yang mengkhianati amanah sebegini.

Namun tidak semua mereka yang berniaga di pejabat itu sekadar untuk suka-suka atau didorong rasa ingin bermewah sebegitu. Jangan dinafikan betapa sebilangan mereka memang didorong desakan hidup yang semakin mencabar mutakhir ini.

Bayangkan, dengan gaji sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, apa sangat yang dapat dilangsaikan dewasa ini? Barangkali jumlah itu belum pun dapat memenuhi keperluan dapur dan perbelanjaan sekolah anak-anak. Bagaimana pula dengan ansuran kenderaan, pinjaman perumahan dan lain-lain potongan bulanan?

Untuk kategori penjawat awam sebegini, jangan dikatakan bermewah, untuk memenuhi tuntutan asas kewangan keluarga pun mereka sering di bawah pencapaian. Maka mereka berniaga semata-mata untuk memenuhi tuntutan perbelanjaan keluarga.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kakitangan awam dalam kategori ini membentuk jumlah paling besar di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan perniagaan sambilan. Mereka terpaksa berbuat demikian untuk kelangsungan hidup.

Kita tidak menafikan dua hujah utama diberikan SUK tadi ada munasabahnya. Justeru, sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan prestasi kerja di sektor awam wajar ditangani. Namun, apakah menghalang merka secara total daripada meneruskan aktiviti sampingan di pejabat suatu penyelesaian kepada masalah mereka?

Apakah dengan tekanan kewangan yang mereka hadapi saban bulan, mereka itu dijamin dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugasan masing-masing, juga satu soalan yang wajar ditanya majikan. Kita bimbang tersilap perhitungan halangan dibuat majikan ke atas mereka itu bertukar menjadi satu bentuk tekanan pula kepada mereka yang memang kesempitan hidup.

Tidak syak lagi, keadaan ini menuntut kerajaan memikirkan kaedah terbaik menyelesaikan tekanan kewangan dihadapi penjawat awam, terutama kalangan bawahan, mutakhir ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 205, Julai 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)