NAIB Presiden PAS, Senator Ustaz Hassan Shukri pernah menceritakan kepada penulis perihal keperitan masalah kewangan yang dihadapi PAS, terutama selepas kembali menjadi pembangkang pada tahun 1978. Sebagai seorang pemimpin kanan parti, beliau adalah juga salah seorang pemimpin yang mengalami sendiri pahit-maung zaman peralihan PAS daripada menganggotai sebuah kerajaan, kepada menjadi pembangkang semula.
“Pada masa itu, nak cari orang yang nak hulur derma jihad
cukup payah. Orang PAS dah tak biasa nak bagi derma-derma ni. Hinggakan nak
bayar elaun kerani Pejabat Agung pun, garu kepala kami!”, kata Ustaz Hassan sewaktu kami sembang-sembang petang
di atas buaian di depan Pejabat Agung PAS di Taman Melewar, pinggir ibukota.
Kebetulan di tahun-tahun awal 90-an dulu, penulis tinggal berjiran dengan
beliau di lorong depan Pejabat Agung, yang dinamakan sempena nama beliau itu.
Bagi Ustaz Hassan, dan mungkin
ramai lagi para pemimpin PAS, keadaan itu berlaku adalah akibat kesilapan PAS
sendiri. Sewaktu berada dalam kerajaan, PAS telah sekelip mata berubah corak
perjalanannya. Ia gagal mengekalkan identitinya sebagai parti berteraskan
pengorbanan para ahli dan gagal juga memanfaatkan peluang sebagai kerabat
pemerintah, untuk memperkuatkan parti.
Tradisi ‘menderma pada jalan Allah’ hampir berkubur dalam beberapa tahun
PAS menjadi kerabat BN itu. Ahli-ahli PAS dibiasakan dengan program percuma. ‘Everything
is fully sponsored’. Manakala beberapa program yang agak besar dilaksanakan
dengan jaya, dengan mengambil manfaat daripada peruntukan dan kemudahan
tertentu. Maklumlah, parti yang ada kerajaan, katakan!
Akibatnya PAS menghadapi Pilihan
Raya Umum 1978 seolah-olah tanpa persediaan. Tahap sokongan kewangan dan juga
moral ahli-ahli PAS waktu itu sangat rendah. PAS bukan sahaja tinggal dua ‘batu
nesan’ di Kelantan lewat pilihan raya negeri yang diadakan lebih awal, malah ia
juga gagal mempertahankan sebarang kerusi di Terengganu. Ia mengambil masa yang
agak lama pula untuk memulihkan kembali kekuatannya sebagai sebuah parti yang competent
dalam arena politik tanahair.
Sememangnya secara jujur harus
diakui bahawa satu-satunya parti pembangkang yang berdaya tahan dan masih
menyengat dalam menongkah arus politik negara ialah PAS. Lain-lain parti yang
datang seangkatan dengannya atau kemudian daripadanya, hampir kesemuanya telah
berkubur. Parti Kemerdekaan Malaya (IPM) dan Parti Negara hanya bertahan untuk
satu-dua penggal pilihan raya. Parti Progresif Rakyat (PPP) yang pernah
menyengat suatu ketika dahulu, hanya tinggal nama dalam senarai kerabat BN.
Parti Buruh dan Front Sosialis
sudah lama tidak disebut orang. Berjasa, Hamim dan Akim pula dikatakan ada
lebih ramai pemimpin daripada ahli. Manakala Semangat 46 pula memilih untuk
‘membunuh diri’ setelah Presidennya gagal mencapai cita-cita menjadi Perdana
Menteri.
DAP dan PRM boleh dianggap
berdaya tahan juga. Tetapi ia masih belum berpeluang memerintah mana-mana
negeri setakat ini. BN juga tidak banyak memfokuskan serangan kepada mereka
berdua.
Ranjau yang dihadapi PAS
sepanjang liku perjuangannya amat menguji kesabaran dan ketabahan. Walau pun
dalam sejarahnya menghadapi pilihan raya, pencapaian PAS seringkali tersangkut
di bawah sasaran, parti ini mampu bangkit semula setiap kali ia dikatakan
tersungkur. Bahkan kejatuhan kerajaan PAS yang dianggap ‘tersembam’ di dua
negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu, juga tidak melemahkan perjuangan PAS.
Ia menjunam di Terengganu daripada 13 kerusi pada 1959 kepada hanya 3 kerusi
pada 1964, tetapi bangkit mendadak kepada 11 kerusi dalam pilihan raya
berikutnya.
Begitu juga di Kelantan.
Daripada hanya tinggal dua kerusi selepas kejatuhan pada tahun 1978, PAS
bangkit semula dan mampu bertahan di 10 kerusi dalam dua pilihan raya umum
selepas itu, sebelum menawan semula Kelantan pada tahun 1990.
Dalam Pilihan Raya Umum 1999
lalu, PAS disifatkan oleh banyak pihak sebagai paling bertuah. Parti ini adalah
pemenang sebenar dalam pertarungan memenangi hati para pengundi, khususnya Melayu/Islam
yang membentuk majoriti penduduk negara ini. Selain memperkukuhkan kemenangan
di Kelantan, PAS juga berjaya membentuk kerajaan baru di Terengganu. Ia menapak
gagah di Kedah dan Perlis, sambil membuka lembaran baru di Pahang, Selangor dan
Perak.
Kepimpinan ulama yang
dikemukakan oleh PAS nyata dapat diterima oleh masyarakat negara ini. Gandingan
mantap tiga tokoh utama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Datuk
Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang kebetulan pula mewakili
tiga negeri kubu kuat PAS (masing-masing Kelantan, Kedah dan Terengganu),
dilihat sangat berwibawa, bukan sahaja untuk memimpin negeri-negeri berkenaan
malah Malaysia secara amnya.
Sejak beberapa ketika sebelum
berlangsungnya pilihan raya, poster dan pelekat yang menggabungkan gambar
ketiga-tiga pemimpin berkenaan adalah antara bahan bercetak yang sangat
menambat hati masyarakat. ‘Pemimpin Alaf Baru: Kepimpinan Ulama’, baca sebuah
poster. ‘Taati Kepimpinan Syarat Kemenangan’, baca yang lain pula. ‘Confirm Pangkah
PAS’, bunyi yang satu lagi pula.
Kemaraan mendadak PAS bersama
gandingan Barisan Alternatif (BA) itu sebagai suatu isyarat jelas bahawa
Umno/BN dianggap sudah tidak relevan lagi. Rakyat sudah memihak kepada BA,
sebagai alternatif kepada BN. Umno sudah dianggap sebagai ‘kalah dalam menang’.
Walau pun BN masih mempu menang bergaya melebihi dua pertiga majoriti di Dewan
Rakyat, tetapi pada masa yang sama Umno sebagai tulang belakang BN telah
kehilangan berbelas-belas kerusi di Parlimen, dan berpuluh-puluh lagi di
DUN-DUN seluruh negara.
Beberapa tokoh ulamanya tumbang
serentak. Beberapa Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen turut
kecundang. Seorang Naib Presidennya menang tipis dengan hanya 241 undi,
manakala Presidennya sendiri merosot populariti lebih 10,000 undi. Di beberapa
tempat, majoriti undi Umno menjunam daripada puluhan ribu kepada beberapa ribu
sahaja. Tulang belakang BN itu sudah semakin reput, dan ia tentunya suatu
petanda awal kehancuran BN.
Maka rakyat semestinya akan
beralih sepenuhnya kepada BA. Manakala parti yang paling menonjol untuk
memimpin BA ialah PAS. Parti Keadilan Nasional mampu melangkah ke hadapan,
tetapi ia mestilah berwaspada dan berketabahan. Jangan mudah goyah atau kecewa
dengan kegagalan dan pujuk rayu rakan-rakan di dalam BN. Ketabahan amat
diperlukan dalam mengharungi dugaan dan keperitan hidup. Belajarlah
banyak-banyak daripada orang-orang PAS tentang selok-belok ini.
DAP pula perlu mengubah
persepsi negatifnya terhadap Islam dan hukum Islam. Sikapnya yang menentang
keras hasrat PAS mendaulatkan hukum Islam menyebabkan ia dilihat sebagai parti
yang bersikap ‘double standard’. Di
suatu masa para pemimpinnya menyerang secara terbuka kenyataan-kenyataan para
pemimpin PAS mengenai hukum dan syariat Islam. Di masa yang lain pula ia
bersetuju dengan manifesto bersama gabungan BA, yang antara lain memuatkan
kelonggaran kepada PAS untuk melaksanakan cita-cita politiknya, iaitu Negara
Islam.
Barangkali DAP merasa perlu
membantah hasrat PAS itu dengan tujuan untuk menambat hati masyarakat Cina yang
menjadi pengundi tradisinya. Tetapi pilihan raya lalu jelas membuktikan
pengundi Cina solid di belakang BN.
Ertinya sikap keras yang ditunjukkan DAP terhadap hasrat PAS menubuhkan Negara
Islam itu tidak mendatangkan sebarang keuntungan politik kepadanya. Ia tidak
berupaya memaut simpati pengundi Cina. Sebaliknya ia menyulitkan jalinan
kemesraan dengan para pendukung BA yang lain, khususnya ahli-ahli PAS.
Bagi kita, ada baiknya DAP cuba
memahami dengan sebaik mungkin apa yang dimaksudkan oleh PAS dengan hasratnya
itu. Kemudian buatlah pertimbangan yang adil. Tidak ada salahnya kalau DAP
tampil ke dalam masyarakat secara ‘gentleman’,
menyeru dan cuba meyakinkan rakyat akan keadilan Islam dan kebaikan bernaung di
bawah pemerintahan Islam.
Dalam apa pun keadaan, BN sudah
tidak relevan. Hanya BA, setakat ini, yang mampu menjadi alternatif. Sedangkan
yang paling layak diakui secara jujur untuk memimpin BA ialah PAS. Justeru,
mahu tidak mahu, PAS mestilah memikul tanggungjawab sebagai parti yang bakal
memimpin Malaysia di alaf baru.
Untuk itu, kemenangan bergaya
di dua negeri Pantai Timur seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk lebih
memperkuatkan parti. Jangan dibiarkan pengalaman pahit 1978, sebagaimana yang
disuarakan oleh Ustaz Hassan itu, berulang kembali. Dalam apa keadaan
sekalipun, slogan ‘parti memerintah
kerajaan’ hendaklah sentiasa diterima pakai. Untuk memastikan ia berfungsi
dengan lancar, maka mereka yang dipilih dan dilantik menganggotai jentera
kerajaan hendaklah dari kalangan ahli PAS yang komited dengan parti.
Tidak ada salahnya bagi
orang-orang PAS untuk belajar daripada Umno, bahawa punca utama kedurjanaan dan
kejatuhan yang menimpa Umno ialah perilaku buruk para ahli dan pemimpinnya,
yang membudayai Umno. Umno dipenuhi orang-orang yang lebih mengutamakan
kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti. Mereka menyertai politik dan
bergiat aktif dengan matlamat dan niat peribadi masing-masing. Soal kepentingan
parti telah menjadi agenda sampingan.
Demi mencapai matlamat peribadi
itu mereka tidak segan-silu berebut jawatan. Mereka menaja cawangan-cawangan
yang dibentuk oleh para kroni masing-masing, untuk tujuan politik peribadi.
Mereka menonjol-nonjolkan kelebihan dan keupayaan diri sendiri, seolah-olah mereka
itu layak untuk memegang apa-apa jua jawatan.
Pada masa yang sama, dengan
cara yang tidak bermoral mereka sanggup merendah dan menjatuhkan sesiapa jua
yang dirasakan mampu memberi saingan politik kepada mereka. Itulah sebabnya
budaya memfitnah sesama sendiri juga menular dalam Umno.
Orang-orang Umno juga telah
terbudaya untuk berbangga-bangga dengan jasa dan sumbangan masing-masing. Di
sebalik setiap kejayaan, akan ada suatu perlumbaan untuk saling mendakwa bahawa,
“Kamilah yang memenangkan parti! Kamilah
yang bekerja kuat! Kamilah yang menghabiskan begian-begian banyak duit untuk
parti!”
Mengapa dakwaan-dakwaan itu
muncul tiba-tiba? Kerana mereka minta dibalas segala jasa dan budi tadi. Mereka
mahukan habuan, seolah-olah untuk cover balik segala yang kononnya
dihabiskan tadi. “Kami dah kerja
kuat-kuat, takkan tak dapat apa-apa?”. Itulah ungkapan yang lumrah dalam
‘politik isi perut’ Umno.
Demi Allah, penulis sendiri
mampu melihat bahawa ‘benih-benih’ budaya Umno itu sedang bertunas dengan galak
sekali selepas kemenangan PAS di Terengganu. Inilah yang sangat membimbangkan
kita. Kalau ia tidak direpih
(dipatahkan) segera, tunas itu akan menyubur menjadi ranting dan dahan pula.
Bukan hendak mengata, sebab
utama perkara sebegitu boleh berlaku ialah kerana kebanjiran terlalu ramai
bekas ahli Umno menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Maaf
cakaplah, mereka itu sebenarnya masih tidak sempat ditarbiyah dengan cara dan
budaya hidup orang PAS. Bahkan sebahagian mereka walau pun sudah menjadi ahli
PAS, masih kekal dengan budaya hidup Umno.
Tambahan pula apabila
kemenangan memihak kepada PAS, saki-baki mereka yang sebenarnya masing ‘betul seling’ Umno, turut mengambil
kesempatan menyelinap bersama rakan-rakan mereka itu, untuk sama-sama mendakwa
mereka adalah ahli dan penyokong PAS juga. Mereka itulah nampaknya yang sedang
galak cuba membudayakan PAS dengan budaya karut Umno. Merekalah yang paling ke
hadapan mendakwa, “PAS menang kerana
kami”.
Sebab itu barangkali kini masih
bersipongang dalam masyarakat di segenap peringkat suatu ungkapan: “Umno perintah, Umno kenyang. PAS perintah
pun, Umno juga kenyang!”. Ungkapan itu sedikit-sebanyak ada benarnya, walau
pun ia mungkin mempunyai unsur-unsur sindiran terhadap keupayaan dan nasib
malang orang-orang PAS yang sering gagal memanfaatkan peluang.
Khabarnya beberapa pertukaran
jawatan dan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan negeri banyak melibatkan
orang-orang kuat Umno. Satu sumber yang rapat dengan jabatan-jabatan kerajaan
mendakwa peluang rombakan perjawatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh para
ketua atau mereka yang bertanggungjawab di jabatan-jabatan, untuk
memperkemaskan semula kedudukan ‘geng-geng Umno’ dalam jabatan masing-masing.
Manakala di peringkat daerah pula, sebilangan besar projek utama di
daerah-daerah masih dimonopoli oleh kontraktor-kontraktor dari kalangan
orang-orang Umno juga.
Para Penghulu Mukim (Penggawa),
Imam dan Bilal pula sebahagian mereka masih kekal dengan Umno mereka dan mereka
masih bertugas seperti biasa, walau pun tidak berupaya menuruti dasar
pemerintahan kerajaan baru. Mereka inilah khabarnya yang membentuk ruang-ruang
yang mampu mencemarkan kredibiliti kerajaan dengan cara masing-masing.
PAS sudah memerintah Terengganu
kini. Di peringkat nasional pula ia sangat diharapkan untuk menjadi pemimpin
bagi sebuah kerajaan alternatif kepada kerajaan BN yang bakal tumbang entah
bila. Maka ahli-ahli dan pemimpin PAS mestilah melayakkan diri mereka sebagai
pemimpin alternatif kepada Umno/BN yang penuh kedurjanaan itu.
Jawabannya tentu sekali bukan
dengan cara membiarkan PAS dan kerajaan pimpinan PAS terus diresapi budaya Umno
yang sangat jijik dan meloyakan itu. Jagalah PAS baik-baik!
(Artikel ini adalah Bab 4, Bahagia A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment