Sunday, June 28, 2009

Pro, kontra perubahan saf kepimpinan PAS Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

DEWAN Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyifatkan saf kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) yang diumumkan 17 Jun lalu adalah gabung jalin terbaik antara muka-muka lama, baru dan pemimpin pelapis parti di negeri itu.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah, melahirkan keyakinan bahawa ketiga-tiga kumpulan itu yang memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing akan saling melengkapi antara satu sama lain. Gabungan mereka akan membuahkan saf kepimpinan mantap, terutama dalam menyusun strategi dan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Ianya (saf kepimpinan) sangat mantap. Di samping muka-muka lama, Datuk PJ (Datuk Harun Taib, Pesuruhjaya PAS Terengganu) dan Datuk ABC sebagai TPJ I (Datuk Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya I), Wahid (Mohd Abdul Wahid Endut) mewakili muka baru. Ustaz Saiful (Satiful Bahari Mamat) pula pelapis,” ujar Wan Sukairi.

Beliau mengulas saf kepimpinan baru PAS Terengganu yang diumumkan Harun, minggu lalu. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu kira-kira seminggu sebelumnya.

Harun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama enam penggal menamakan Abu Bakar sebagai salah seorang dari tiga timbalannya. Seperti Harun, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu adalah juga bekas anggota Exco kerajaan Terengganu di zaman pemerintahan PAS lalu.

Turut diumumkan ialah pelantikan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid, sebagai TPJ II. Pada beberapa penggal sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Adun Wakaf Mempelam itu memegang tugas Bendahari PAS Terengganu.

Jawatan TPJ III pula disandang bekas Adun Paka, Satiful Bahari. Jawatan setiausaha kekal di tangan YDP PAS Marang, Yahaya Ali. Beliau dibantu dua penolong setiausaha, iaitu Ustaz Kamaruddin Yunus (Pegawai Tadbir Pejabat BPPNT) dan Mohd Hanafiah Ramli (PAS Kemaman).

Jawatan bendahari pula disandang bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Muhyiddin Abdul Rashid. Beliau adalah Ketua Penerangan PAS negeri sessi lalu.

Jawatan itu kini diisi bekas YDP PAS Besut, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh. Beliau adalah Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat sessi lalu.

Turut diumumkan ialah pelantikan tujuh Ahli Jawatankuasa BPPNT yang baru. Mereka ialah Abdul Haris Malek, Mohd @ Harun Jusoh, Husin Ismail, Azman Shapawi Abdul Rani, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Toh Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim dan Zaroni Othman.

“Dalam mencanangkan perubahan, kita tidak semestinya berubah seratus-peratus. Kepimpinan yang baik tidak boleh lari dari tunjuk ajar dan pengalaman orang lama. Harapnya muka baru dan pelapis yang digandingkan itu akan memanfaatkan peluang ini menimba pengalaman dan mempelajari kebijaksanaan mereka (orang lama) sebagai bekal mengambilalih kepimpinan di masa akan datang,” ulas Wan Sukairi lagi.

Pandangan yang menuntut perubahan kepimpinan itu dilontarkan secara lebih kritis oleh seorang pengamal undnag-undang di Kuala Terengganu, Haji Zabidi Abdul Halim. Baginya, sudah sampai masanya bagi PAS negeri mengemukakan anjakan kepimpinan dengan mengenengahkan muka-muka baru menduduki tempat-tempat strategik dalam parti.

Secara kritis beliau menilai kepimpinan yang diumumkan sessi ini adalah tokoh-tokoh yang bakal dibariskan PAS untuk berhadapan pilihan raya umum nanti. Rakyat katanya, akan menilai sejauh mana keupayaan dan reputasi mereka untuk dipilih menerajui kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu lagi melihat PAS dipinggir oleh masyarakat Terengganu, ditolak dalam pilihan raya, semata-mata kerana ia gagal menampilkan kepimpinan yang benar-benar menepati hasrat dan impian rakyat. Mercedez sekali pun modelnya selalu bertukar, orang nak model baru, tak pakai dah model lama,” ulasnya dalam nada serius.

Seorang usahawan di Besut, Haji Omar Sidek pula melahirkan keyakinannya terhadap gabungan kepimpinan diumumkan itu. Beliau yang juga bekas Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) di zaman pemerintahan PAS lalu secara peribadi percaya pelantikan Abu Bakar sebagai gandingan Harun akan mampu memantapkan gerak kerja PAS negeri.

“Mereka ini (Harun dan Abu Bakar) adalah pejuang yang gigih dan bersemangat kental. Pemilihan mereka di peringkat (PAS) Pusat membuktikan meski pun mereka muka lama, tetapi masih diakui relevan dengan perjuangan ini,” katanya.

Apa pun pandangan pro dan kontra berhubung pelantikan saf kepimpinan baru PAS Terengganu, ia wajar diakui menampilkan gabungan mantap dan berencana. Hampir tidak ada pemimpin penting negeri itu yang ketinggalan, termasuk Adun-Adun PAS.

Selain Harun sebagai Adun Manir, Mohd Abdul Wahid (Wakaf Mempelam) dan Dr. Syed Azman (Batu Burok), Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Ru Rendang) turut dilantik sebagai penasihat.

Adun Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah secara ex-officio menjadi ahli mesyuarat PAS negeri atas kapasitinya sebagai Ketua Dewan Pemuda negeri. Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli pula terlibat atas kedudukannya sebagai YDP PAS Dungun.

Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Omar yang juga Timbalan YDP Kuala Terengganu akan mewakili Mohd Abdul Wahid di kerusi YDP kawasan itu.

Pelantikan Satiful Bahari sebagai TPJ III pula dilihat bakal memacu program tarbiyah dengan lebih rancak. Berbekalkan pengalaman dan latar belakang beliau yang sangat mantap dalam aspek pentarbiyahan, PAS boleh mempertaruhkan beliau untuk tujuan tersebut.

Pelantikan dua penolong setiausaha juga satu lagi pendekatan ke arah lebih memantapkan pentadbiran dan pengurusan parti menerusi pembahagian tugas lebih tersusun, insya Allah.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 5-11 Rejab 1430/28 Jun-4 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

BN kerap silap kaedah, lembab selesai masalah


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ADA benarnya nilaian kritis Timbalan Perusuhjaya I PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik, bahawa pelantikan jawatan utama menerajui Umno negeri itu sepertimana diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mingu lalu tidak akan mampu menyatupadukan para pemimpin parti tersebut.

Meski pun saya tidak berkongsi pendirian Abu Bakar yang menganggap percaturan pelantikan baru Umno itu tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada rakyat Terengganu, saya turut melihat kemunasabahan di sebalik kesimpulan beliau bahawa pelantikan itu bakal menjuruskan Umno Terengganu kepada perpecahan lebih besar.

Dalam kenyataan disiarkan akhbar, Rabu (24 Jun), Abu Bakar menganggap percaturan pelantikan oleh Hishammuddin beberapa hari sebelum itu akan mengembangkan perpecahan parti itu kepada tiga puak.

“Sebelum ini kita semua sudah maklum Umno (Terengganu) ada dua puak iaitu kumpulan Idris (Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar) dan (Datuk) Ahmad Said (Menteri Besar). Sebagai Pengerusi Umno negeri, kehadiran Hishammuddin akan jadikan Umno Terengganu kepada tiga puak,” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengulas pelantikan diumumkan Hishammuddin pada Ahad (21 Jun) lalu. Antara yang dilantik ialah bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha Umno Terengganu menggantikan bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan.

Turut dilantik ialah anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang mengambilalih jawatan bendahari daripada Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Jawatan ketua penerangan pula diisi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek. Beliau menggantikan Datuk Zuber Embong.

“Kalau kita memihak dan dilihat sebagai pemimpin yang mirip kepada puak tertentu, akhirnya apa yang kita harapkan tidak akan jadi kenyataan dan saya akan gagal sebagai Pengerusi Umno Terengganu,” kata Hishammuddin sewaktu mengulas pelantikan mereka.

Pertimbangan digunapakai Hishammuddin itu dianggap bertepatan dengan hasrat Umno Pusat melantik beliau menggantikan Ahmad. Ia adalah sebahagian formula parti itu meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno Terengganu.

Lalu Ahmad “diturunkan pangkat” sebagai timbalan pengerusi dengan harapan langkah itu akan dapat meredakan penentangan kumpulan yang satu lagi.

Kita boleh menghurai lebih berjela mengenai perkembangan itu dari berbagai sudut. Antaranya, sepertimana disimpulkan Abu Bakar tadi, bahawa kewujudan satu kumpulan yang tidak memihak kepada mana-mana puak (jika benar begitu) sebenarnya menambahkan satu lagi puak.

Ertinya, Umno sudah tersilap kaedah dalam menyelesaikan perpecahan dan menyatupadukan para pemimpinnya yang bertelagah. Daripada berpecah dua, Umno Terengganu kini diambang berpecah tiga pula.

Saya juga musykil dengan masa agak panjang diambil Hishammuddin untuk mengadakan mesyuarat pertama Umno Terengganu dan menyempurnakan pelantikan tiga jawatan utama itu. Pengumuman pelantikan beliau sebagai peneraju Umno Terengganu oleh Umno Pusat dibuat pada 24 April lalu.

Kelewatan hampir genap dua bulan itu boleh dirasionalkannya dengan berbagai hujah dan alasan. Sebagai “orang luar” agak munasabah Hishammuddin memerlukan tempoh sebegitu lama untuk mengenalpasti tokoh paling sesuai sebagai gandingannya.

Namun apa pun alasan diberikan, ia tetap menimbulkan persepsi negatif terhadap Umno. Di mana imej dan reputasinya sebagai sebuah parti kerajaan yang sering melaungkan slogan kecekapan, tindakan cepat dan seumpamanya?

Sedangkan parti lawannya, PAS dapat menyempurnakan pelantikan semua jawatan utama ngeri dalam masa hanya seminggu. Pelantikan Datuk Harun Taib sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dibuat sejurus selesai muktamar tahunan parti itu, awal Jun. Pada 17 Jun, pelantikan penuh semua jawatan penting PAS negeri telah diselesaikan. Tidakkah Umno patut malu dengan kecekapan dan kepantasan PAS itu?

Saya percaya ada yang sinikal dan memandang remeh rembatan itu. Mungkin mereka kira tidak selayaknya soal cepat-lambat pelantikan kepimpinan baru kedua-dua parti itu dijadikan hujah membandingkan kecekapan mereka.

Ya, saya juga boleh menerima nilaian itu, tetapi tidak sepenuhnya. Sebabnya, bagi saya soal lambat dan tersilap mencari kaedah penyelesaian kepada permasalahan ini sebenarnya bukan sekadar menghantui Umno Terengganu dalam hal ehwal partinya sahaja. Ia turut terjelma dalam tindakan mereka menyelesaikan berbagai permasalahan dihadapi rakyat.

Pengalaman saya berkhidmat di Terengganu selama sedekad, antara 1998 hingga 2008, memungkinkan saya menilai secara dekat beberapa kes yang bagi saya cukup dijadikan bukti bahawa Umno sering berhadapan karenah ciptaannya sendiri dalam menyelesaikan masalah rakyat. Sebaliknya, rakyat menilai kerajaan PAS dalam banyak hal jauh lebih cekap berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

Perbandingan kecekapan antara dua kerajaan agak menyerlah. Antaranya ialah isu penyelesaian hak milik tanah. Dalam tempoh empat tahun PAS memerintah Terengganu, ia sempat menyelesaikan puluhan ribu permohonan tanah rakyat, termasuk yang sudah berlanjutan lebih 30 atau 40 tahun.

Kes Lot Perpindahan Tok Adis yang tidak kunjung selesai sehingga mengundang reaksi kesal Ahmad, sepertimana disiarkan akhbar minggu lalu, juga satu lagi contoh kelembaban BN. Penempatan itu dikhaskan bagi puluhan keluarga yang menjadi mangsa ombak besar Kampung Kuala Ibai Pantai.

Seingat saya, kes itu sudah berlanjutan hampir tiga tahun. Lot perumahan itu diluluskan kerajaan BN sejurus selepas tragedi ombak besar melanda kampung di tepi pantai itu, Disember 2006. Hingga kini, mangsa yang dijanjikan kediaman di penempatan itu masih menagih janji dan BN gagal menyelesaikannya.

Mungkinkah itu juga gambaran betapa ‘cekapnya’ kerajaan BN?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 5-11 Rejab 1430/28 Jun-4 Julai 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Tuesday, June 23, 2009

Dosa, sikap Umno sulitkan usaha perpaduan


Oleh Mat Zain Mat Isa

TIDAK syak lagi punca utama pertikaian dan penolakan banyak pihak terhadap sebarang usaha mana-mana pemimpin PAS merundingkan perpaduan dengan Umno adalah disebabkan sejarah dan pengalaman pahit membabitkan hubungan antara kedua-dua parti itu.

Selain dosa-dosa silam Umno yang tidak mudah dilupakan ahli-ahli PAS, sikap dan layanan buruk parti pemerintah itu terhadap PAS dalam menangani situasi politik terkini memburukkan lagi hubungan antara pendokong masing-masing.

Di sebalik itu semua, Umno tidak pernah menampakkan sebarang penyesalan atas kedurjanaan yang pernah dilakukannya terhadap PAS. Sebagai parti pemerintah, ia menangkap dan menyeksa para pemimpin dan ahli PAS, sama ada di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau lain-lain peruntukan undang-undang.

Umno sebagai teraju negara dan negeri-negeri dikuasainya sejak merdeka terlibat menyisih dan mendiskriminasi para penyokong PAS dalam segala macam bentuk dan urusan. Sebegitu ramai penjawat awam dari kalangan penyokong PAS ditindas, ditukar kerja ke tempat yang jauh, disekat kenaikan pangkat dan dikongkong setiap gerak-geri.

Rakyat yang menyokong PAS ditakutkan dengan berbagai cara. Para petani dinafikan bantuan baja dan input pertanian. Yang jadi nelayan pula hanya berputih mata melihat rakan ahli Umno memperolehi segala macam subsidi dan bantuan kewangan. Kelayakan menerima bantuan semata-mata atas merit politik.

Dalam sejarah pemerintahan negara pula, manipulasi kuasa politik Umno di peringkat Pusat memungkinkan ia melakukan beberapa rampasan kuasa secara tidak demokratik di negeri-negeri diperintah parti lawan, terutama di bawah PAS. Kerajaan PAS Terengganu yang berakhir pada 1961 adalah tragedi pertama angkara politik wang Umno.

Kalaulah Umno tidak mengkhianati keikhlasan PAS menyertai Barisan Nasional dulu, sehingga meninggalkan PAS tanpa pilihan melainkan keluar dari gabungan itu, sudah tentu perseteruan antara penyokong masing-masing tidak setebal kini.

Pengalaman PAS menyertai BN bukanlah serba-serbi menyeronokkan. PAS terpaksa berhadapan perpecahan dalaman yang teruk apabila tidak semua ahlinya bersetuju dengan keputusan tersebut. Keretakan dalaman PAS paling menyerlah di Kelantan. PAS yang menyertai Pilihan Raya Umum 1974 di atas tiket BN menerima tentangan paling hebat daripada bekas-bekas pemimpinnya sendiri yang bergabung membentuk Pakatan Bebas Bersatu.

Pengorbanan PAS itu bagaimana pun tidak dihargai langsung oleh Umno. Parti itu mengkhianati kesetiaan PAS apabila kekuatan politiknya pulih kembali. Dosa Umno itu menjadi bahadi yang kekal menghantui ahli PAS hingga kini.

Kalaulah tidak kerana Umno yang merancang memporak-perandakan negeri Kelantan sehingga memudahkan parti itu merampas pemerintahan negeri daripada PAS hampir 30 tahun lalu, nescaya para pemimpin PAS tidak begitu sukar memaafkan parti itu.

Katakanlah para pemimpin Umno Terengganu tidak bersikap rakus dan ganas sepanjang pemerintahan PAS di negeri itu sedekad lalu. Kerajaan PAS tidak digugat dan digigit dengan segala macam karenah, penafian dan diskriminasi. Penipuan dan sabotaj tidak direncanakan sedemikian rupa menerusi pilihan raya 2004.

Umno perlu buktikan keikhlasan di Perak
Maka banyak pihak boleh setuju pada adatnya kerajaan itu besar kemungkinan belum jatuh. Rakyat Terengganu pula tidak mungkin ditimpakan dengan berbagai kezaliman, termasuk perampasan tanah, perobohan rumah, penafian segala anugerah yang telah diberikan PAS tetapi sewenangnya dibatalkan kerajaan Umno yang mengambilalih pemerintahan.

Umno boleh mendakwa ia sudah insaf dan mahu berubah. Ia tidak lagi sezalim dulu dan mahu memperbetulkan kesilapan dan menebus segala dosanya terhadap PAS. Bak kata timbalan presidennya minggu lalu, segala kesilapan itu di bawah pemimpin Umno yang dulu-dulu. Pemimpin Umno sudah bertukar, pemimpin PAS juga sudah berganti yang baru.

Dakwaan itu sudah tentu tidak sukar diterima, termasuk oleh orang-orang PAS, sekiranya tragedi hitam perampasan kuasa secara tidak bermoral di Perak tidak berlaku hanya beberapa ketika sebelum ini. Umno perlu buktikan ia ikhlas untuk berubah dan mencintai perdamaian serta perpaduan. Ia perlu mewujudkan suasana lebih kondusif dan konstruktif terhadap kerjasama dan perundingan ke arah itu.

Dalam keadaan yang ada, rakyat tidak mengharapkan Umno sebagai tunjang BN menyerahkan kembali sebulatnya pemerintahan di Perak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Umno masih boleh mempertahankan maruah dan egonya sebagai parti yang berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti rakyat.

Cara bermaruah ialah ia mengembalikan hak memilih kerajaan kepada rakyat. Adakah Umno bersedia menunjukkan keikhlasannya mengusahakan perpaduan dengan parti lawan dan memulai pembuktian itu di Perak?

Setelah segala yang berlaku itu, jangan salahkan orang PAS sekiranya mereka terlalu sensitif terhadap sebarang usaha berbaik-baik dengan musuh tradisi mereka itu. Jika anda seorang ahli PAS yang pernah menjadi mangsa kezaliman, keegoan, penindasan dan pengkhianatan Umno, anda tidak akan sukar memahami bagaimana pendirian tersebut terbentuk.

Sebab itu, jangan dikatakan untuk mengusahakan penyatuan dalam bentuk yang berpanjangan, usaha mengadakan kerjasama bagi tujuan tertentu demi kepentingan negara dan agama pun sering menimbulkan perbahasan hangat.

Yang menyulitkan perpaduan antara kedua mereka ialah sikap dan pendirian Umno sendiri yang tidak bersedia mengakui dosa dan kesalahannya. Jauh sekali untuk meminta maaf atas kedurjanaannya itu.

Perpaduan hanya berhasil menerusi keikhlasan. Sedangkan keikhlasan itu perlu dibuktikan menerusi perubahan sikap dan pendirian. Umno perlu terlebih dahulu berubah jika mahu tanggapan orang PAS terhadapnya diubah.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 23 Jun 2009. Ia dipetik laman wargamarhaen.blogspot.com/ dan pemudasarawak.wordpress.com/ pada hari sama, diikuti laman detikdaily.net dan suwaritimur.blogspot.com/. pada 24 Jun 2009)

Sunday, June 21, 2009

Rakyat muak kemelut berpanjangan Umno Terengganu


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SAMA ada satu perubahan sikap atau terdorong oleh keadaan terpaksa, keterbukaan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Salleh, dalam memperkatakan kemelut dihadapi kepimpinan partinya di negeri itu adalah suatu yang agak luar daripada kebiasaan.

Selalunya apabila masyarakat umum rancak memperkatakan tentang pergeseran atau masalah dalaman Umno, para pemimpin parti itu akan berlumba-lumba membuat kenyataan menafikan perkara itu. Umno cuba digambarkan sebagai parti yang tidak ada masalah, walau pun mereka sedar penafian mereka itu ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru. Bukan sahaja bau busuknya tidak dapat dihalang daripada merebak, bahkan fizikal bangkai itu juga terserlah dipandang orang.

Para pemimpin Umno Terengganu memang bergelumang dengan masalah. Mereka maklum tentang hal itu dan mereka juga sedar sebarang usaha menutupnya tidak akan berhasil. Mahu tidak mahu, hakikat itu terpaksa diterima.

“Saya tidak boleh duduk di sini dan kata kita (Umno Terengganu) tidak ada masalah, bahkan semua parti ada masalah, bukan sahaja Umno... jadi persoalan sekarang bukan menafikan wujudnya masalah, tetapi bagaimana kita tanganinya,” ujar Wan Farid, sepertimana dipetik akhbar harian, Rabu (17 Jun).

Menurutnya, sebarang penyelesaian memerlukan pendekatan memberi dan menerima, sementara setiap rundingan yang dilakukan pula tidak boleh menjadikan seseorang itu mengambil serta mempertahankan kepentingan dirinya semata-mata.

Tidak syak lagi pengakuan terus terang bekas calon Barisan Nasional (BN) yang kalah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu itu merujuk secara terbuka kepada masalah perebutan kuasa sedang dihadapi partinya.

Umno Terengganu memang diketahui dan diakui bermasalah. Bermula isu perebutan jawatan menteri besar pada Mac 2008, pertembungan antara puak-puak bertelagah di negeri itu tidak kunjung reda.

Pertengahan April lalu pertelagahan sesama para pemimpin Umno kembali menguasai bual bicara masyarakat apabila berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Desas-desus akan adanya usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Adun Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu menghangatkan suasana.

Ia membawa kepada satu isu lain yang lebih memalukan Umno negeri, iaitu isu servis mesej singkat (sms) ugutan kepada tiga Adun BN yang dianggap pemain utama di sebalik usul tersebut. Kehangatan perbalahan antara dua puak tadi tambah mendidih.

Apatah lagi cara gaya isu itu dimainkan menampakkan seolah-olah kerja jahat itu didalangi pihak yang cuba mempertahankan kedudukannya. Meski pun usul yang diura-urakan itu tidak menjadi kenyataan, moral daripada persepsi yang dihasilkan isu sms ugutan itu cuba dimanfaatkan puak penentang Ahmad untuk menjatuhkannya daripada tampuk kuasa, sama ada dalam kerajaan atau parti.

Usaha itu makin menjadi-jadi apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan Umno peringkat Pusat. Pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu menggantikan Ahmad seakan menghampirkan kumpulan penentang tadi kepada matlamat mereka.

Kesempatan itu mereka gunakan sepenuhnya untuk terus menekan Hishammuddin agar melakukan perubahan lebih besar dan lebih mereka hajati, iaitu menukar penjawat menteri besar. Kenyataan memperlekeh dan memburukkan Ahmad dibuat secara terbuka para pemimpin Umno Terengganu sendiri.

Apabila yang empunya angkara isu sms itu tertangkap, suasana kemelut sedikit berubah. Ia seakan kembali memihak kepada Ahmad kerana yang tertangkap itu bukan dari kalangan anak buahnya. Bahkan orang tersebut ada hubungan sangat rapat dengan seteru utama Ahmad dalam perebutan kuasa di Terengganu.

Kes itu masih dibicarakan dan pihak yang tertangkap mengaku tidak bersalah. Pihak pendakwaan bagaimana pun mengatakan ada kes sangat kuat terhadapnya.

Apa pun, setakat itu nama Ahmad dianggap bersih dari fitnah mengugut tiga Adun tadi. Kedudukan beliau dilihat bertambah selesa apabila berlakunya keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Kuala Terengganu awal bulan ini.

Ahmad antara pihak paling awal mengalu-alukan siasatan terperinci dilakukan atas kejadian itu. Bukan sahaja bagi mengenalpasti punca keruntuhan, tetapi juga sebarang kemungkinan berlaku akibat penyelewengan atau salah urustadbir berkaitan pembinaannya.

Keterbukaan Ahmad itu tidak sukar dimengertikan memandangkan beliau bukannya ketua kerajaan ketika stadium itu dibina. Meski pun turut menganggotai kerajaan BN ketika itu, beliau tidak memegang portfolio berkaitan dengan projek mega itu.

Perkembangan itu sekali gus mengisyaratkan bahawa kemelut dalaman dihadapi parti itu tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Kes terbaru siasatan rasuah membabitkan dua pemimpin daripada kem Ahmad dalam projek lebuh raya di ibu negara minggu lalu menggelegakkan lagi gelora Umno negeri.

Ada benarnya kata Wan Farid tadi, bahawa masalah bukan sahaja berlaku dalam Umno, tetapi juga parti-parti lain. Bagaimana pun, sebagai parti pemerintah Terengganu, pertelagahan berterusan para pemimpin Umno negeri itu adalah suatu yang merugikan masyarakat. Ia malah sudah sampai ke peringkat memuakkan rakyatnya.

Seolah-olah mereka tidak ada kerja lain selain asyik bergaduh, sehingga tumpuan membela nasib dan kepentingan rakyat tidak dapat disempurnakan.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 27 Jamadilakhir-4 Rejab 1430/21-27 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)