Friday, March 6, 2009

Iktibar dari mi udang di Bukit Gantang


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BEBERAPA hari lalu penulis menumpang rombongan PAS Kawasan Besut berwisata ke Bukit Gantang, Perak. Tempat dituju itu akan menyaksikan pilihan raya kecil, 7 April nanti ekoran kematian Ahli Parlimennya dari PAS, Haji Roslan Shaharum akibat serangan jantung, 9 Februari lalu.

 PAS Besut diputuskan membantu gerakerja pilihan raya di Unit Peti Undi (UPU) Pekan Bukit Gantang. Di samping membuat tinjauan awal dan bertaaruf dengan para aktivis tempatan, rombongan itu juga mengenalpasti beberapa keperluan asas untuk pasukannya berkampung di situ mulai pertengahan bulan ini.

Kerja-kerja persiapan awal, terutama mendirikan pos dan mempersiapkan markas pilihan raya kelihatan sudah bermula di kedua-dua pihak bakal bertanding. Kelihatan juga di sana sini deretan bendera Barisan Nasional (BN) dan PAS menghiasi laluan.

Namun agak di luar jangkaan, selain pameran beberapa helai pemidang menyentuh isu kemelut politik negeri itu, lain-lain reaksi agak hambar.

“Orang Melayu kat sini nampaknya dah tak makan isu. Bagi mereka, derhaka ke tak derhaka, kami macam ni juga,” jelas Ustaz Abdullah Hussin, dalam taklimat ringkasnya kepada rombongan PAS Besut, Ahad (1 Mac) lalu.

Beliau adalah antara tenaga penggerak utama jentera pilihan raya PAS di UPU Pekan Bukit Gantang. Juga salah seorang aktivis peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Changkat Jering dan Kawasan Bukit Gantang.

Daerah Mengundi Pekan Bukit Gantang mempunyai lebih seribu pemilih berdaftar, termasuk hanya tujuh orang dari kaum Tionghua.

Kami dimaklumkan, UPU itu telah pun dimenangi PAS pada 2004 lalu. Meski pun majoritinya tidak sampai 100 undi, kelebihan itu berjaya dikekalkan dan turut membantu kemenangan Allahyarham Roslan, tahun lalu.

Ustaz Abdullah menjangkakan keadaan itu tidak akan banyak berubah awal bulan depan. Beliau menyifatkan pengundi kawasan itu sebagai pengundi tegar. Masing-masing telah ada pilihan dan sudah sekian lama menyokong parti-parti pilihan mereka.

Sebab itu baginya apa isu sekali pun yang berlaku, sama ada peringkat negeri mahu pun negara, orang BN akan tetap berkarat dengan BN dan orang PAS sudah tentu kekal memilih PAS.

Berbekalkan kelebihan yang telah memihak PAS, keadaan tegar itu tidak menyukarkan parti itu mengekalkan kemenangan di daerah mengundi berkenaan.

UPU Pekan Bukit Gantang mungkin bukan sampel terbaik untuk keseluruhan parlimen berkenaan. Namun potensi kemenangan PAS diramal lebih besar jika diambilkira peratus pengundi bukan Melayu lebih tinggi di daerah-daerah mengundi lain. Diakui kumpulan pengundi bukan Melayu jauh lebih sensitif terhadap isu semasa berbanding pemilih Melayu.

Di kalangan pengundi Melayu pula, golongan muda lebih terbuka dalam pemikiran dan pergaulan, serta peka terhadap perkembangan semasa. Analisis terhadap keputusan pilihan raya sebelum ini juga membuktikan saluran-saluran pengundi bawah 45 tahun cenderung memihak parti-parti pembangkang.

Sebab itu manipulasi dan pengolahan isu masih ada peranan mencorakkan kecenderungan dua sektor pengundi ini. Sedangkan isu-isu politik dan sosio-ekonomi mutakhir ini tidak memihak BN.

Justeru, apabila para pemimpin parti itu kerap mengulangsebut mengenai hasrat memilih anak tempatan Bukit Gantang sebagai calonnya, ia dinilai sebagai usaha BN menjadikannya isu pilihan raya.

Kata orang, cakap orang politik selalunya ‘ada udang di sebalik batu’. Atau dalam ungkapan moden yang diubahsuai sebagai ‘ada udang di sebalik mi’. Barangkali suara BN itu saraf terhadap PAS yang mengura-urakan seorang tokoh muda dari luar kawasan berkenaan sebagai calonnya.

“Pengundi di Bukit Gantang ni sebenarnya sudah mangli dengan calon luar. Kami dah tak kisah. Selama ini pun semua wakil rakyat kami adalah orang luar,” jelas Ustaz Abdullah lagi.

Menurut rekod, dua bekas Ahli Parlimen BN sebelum ini adalah dari Kinta (wakil Umno) dan Sungai Siput (Gerakan). Sebab itu Allahyarham Roslan diterima baik, meski pun beliau juga ‘orang luar’ Bukit Gantang.

Hakikat itu dijangka menggagalkan sebarang usaha BN memanipulasi isu calon luar. Maka strategi udang di sebalik mi tadi mungkin tidak akan menjadi.

Menariknya, di kesempatan wisata itu juga penulis dan rakan-rakan turut menikmati mi udang yang tersohor di situ. Istimewanya mi udang Bukit Gantang, anda perlu menyelak udang bagi mendapatkan minya.

Lebih tepat lagi, ia sudah jadi ‘ada mi di sebalik udang’ dan bukan lagi ‘ada udang di sebalik mi’.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 6 Mac 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipaparkan laman detikdaily.net  pada Khamis, 5 Mac)

Sunday, March 1, 2009

Penguatkuasaan tali pinggang penumpang belakang


Meneliti punca sebenar kemalangan dan penyelesaiannya

Oleh: Mohd Nasir Awang

TAHUN baru datang lagi. Selain diikuti tradisi memulakan penggal baru persekolahan, kedatangan tahun baru juga sering dijadikan tarikh keramat untuk sesuatu tujuan penting.  Antaranya termasuk bagi memulakan penguatkuasaan sesuatu peraturan atau undang-undang yang baru diperkenalkan.

Dalam konteks itu, tarikh 1 Januari 2009 akan sentiasa diingati sebagai bermulanya penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar belakang bagi penumpang kenderaan persendirian. Undang-undang itu diluluskan Parlimen pada Februari tahun lalu di atas premis mengurangkan jumlah kes kemalangan dan kematian jalan raya.

Negara kita memang diketahui mempunyai rekod kemalangan jalan raya dan kematian di antara yang tertinggi di dunia. Saban tahun kita mencatatkan sekitar 6,000 kes kemalangan.

Setiap kali musim perayaan, kita sering dikejutkan dengan laporan kemalangan jalan raya yang ngeri dan meragut ratusan nyawa. Mangsanya dari penunggang motosikal, pemandu kenderaan persendirian, pengguna pengangkutan awam dan perdagangan hinggalah pejalan kaki.

Pelbagai usaha dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.  Daripada Ops Statik dan Ops Pacak, polis trafik melancarkan pula Ops Sikap dalam usaha mengubah sikap pengguna jalan raya supaya sama-sama mengurangkan kemalangan.

Di atas hasrat sama, kerajaan memperkenalkan pemakaian tali pinggang keledar belakang.  Menurut peruntukan undang-undang itu, penumpang kereta di belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan saman maksimum RM300, manakala penalti tidak melebihi RM2,000 atau maksimum setahun penjara atau kedua-duanya.

Bagi memulakan penguatkuasaan peraturan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi serentak di 28 lokasi di seluruh negara bermula tengah malam menjelang tahun baru.  Seramai 242 pemandu kereta disaman apabila penumpang mereka tidak mengenakan tali pinggang keledar belakang.

Selain mempersoalkan kadar saman yang agak tinggi dan membebankan pengguna, masyarakat umum juga mempersoalkan sejauh manakah keberkesanan penguatkuasaan itu dalam mengurangkan jumlah kemalangan. Lebih spesifik lagi, pihak-pihak bertanggungjawab ke atas keselamatan jalan raya disaran mengadakan kajian terperinci dan mengemukakan hasil kajian tersebut bagi membuktikan bahawa punca kemalangan dan kematian memang ada kena-mengena dengan tidak memakai tali pinggang penumpang.

Hujah-hujah dikemukakan bagi mengukuhkan pertikaian itu juga agak menarik. Kata mereka, sama ada penumpang memakai tali pinggang keledar atau tidak, ia tidak memberi kesan atau gangguan kepada pemanduan. Sebuah kenderaan yang bergerak adalah sepenuhnya bergantung kepada kendalian pemandunya.

Kesan kepada penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar hanya dirasai selepas kemalangan berlaku. Penumpang belakang mungkin terhantuk ke depan atau tercampak keluar.  Ertinya, kesalahan penumpang tidak memakai tali pinggang keledar bukan punca berlaku kemalangan. Cuma diakui ia boleh menyumbang kepada kesan lebih buruk setelah kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan.

Lagi pun, memang dapat dibuktikan sekian banyak kes kemalangan dan kematian akibatnya turut melibatkan mereka yang memakai tali pinggang keledar. Kes kemalangan ngeri melibatkan tiga kenderaan dan 10 kematian dekat Gua Musang, Kelantan, awal Januari lalu boleh dijadikan contoh.

Meskipun siasatan awal pihak polis mendakwa penumpang belakang yang maut tidak mengenakan tali keledar, laporan media juga menyebut beberapa mayat mati dalam keadaan tersepit di celah kenderan mereka yang remuk.

Hakikat itu menimbulkan tandatanya. Jika benar kematian mereka disebabkan tidak memakai tali pinggang keledar, apakah dengan memakainya mereka akan dapat mengelakkan maut, walaupun badan mereka dihimpit sedemikian rupa?

Begitu juga, kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Bukankah sebahagian kes kematian mereka turut melibatkan pengguna yang mengenakan topi keledar?

Hakikat itu jelas menunjukkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar bukan pelindung daripada kemalangan dan bukan juga jaminan tidak berlaku kematian apabila kenderaan dinaiki pengguna itu terlibat dalam kemalangan.

Maka, apakah sebenarnya punca utama kemalangan dan bagaimanakah cara terbaik menyelesaikannya? Mungkin kenyataan Ketua Pengarah Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh, dapat memberikan kita sedikit panduan mencarinya.

Dalam satu kenyataannya, di tengah kesibukan kempen pemanduan berhemat sempena Ops Sikap menjelang sambutan Hari Raya Idul Fitri beberapa bulan lalu, Suret antara lain menyebut tentang sasaran pihaknya mencapai kematian sifar suatu ketika nanti. Katanya, sasaran itu hanya akan dapat dicapai setelah kita ada “pemandu bertaraf lima bintang di dalam kenderaan lima bintang di atas jalan raya lima bintang”.

Kenyataan beliau itu secara tidak langsung menggariskan tiga faktor utama mengelak (atau mendorong) kemalangan iaitu kondisi jalan raya, kenderaan dan sikap pemandu. Maka penyelesaian kepada kes kemalangan juga sepatutnya diasaskan kepada mempertingkatkan pencapaian tahap terbaik ketiga-tiga faktor itu.

Paling penting ialah memperbaiki sikap pengguna agar lebih berhemat dan bertimbang rasa kepada pengguna lain. Kesedaran sivik itu mungkin dirasakan dapat dicapai menerusi saman dan denda. Namun cara terbaik ialah mempertingkatkan kaedah mendidik masyarakat tentang baik-buruk sikap mereka semasa memandu, termasuk menyelitkan soal dosa dan pahala dalam setiap perbuatan manusia.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mac 2009 di ruangan ‘pendapat’ dengan tajuk sama)