Tuesday, January 16, 2007

Campur tangan politik punca SUK Terengganu berundur?



oleh: MAT ZAIN MAT ISA

KERAJAAN BN Terengganu menamatkan tahun 2006 dengan sekali lagi merombak pentadbiran awamnya. Seramai 40 pegawai kanan termasuk Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri terbabit dalam rombakan berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Walau pun merombak susunan pegawai tadbir bukan perkara asing bagi mana-mana kerajaan, ia dikira luar biasa apabila melibatkan BN Terengganu. Pertama, soal pertukaran pegawai tadbir negeri sangat “dibenci” BN Terengganu, mengambil kira sikap dan komentar para pemimpinnya sepanjang pemerintahan PAS di negeri itu penggal lalu.

Ketika itu, soal rombakan pegawai tadbir menjadi antara isu utama yang dipolitikkan BN. Meski pun mereka sendiri tahu rombakan dan anjakan terpaksa dibuat terutama ekoran persaraan mana-mana penjawat kanan, BN tidak pernah melihatnya secara positif. Mereka malah mengaitkannya dengan kelemahan dan kegagalan PAS mentadbir negeri. Maka agak janggal dalam masa tidak sampai tiga tahun, BN sendiri beberapa kali merombak pegawai tadbirnya.

Antara rasional dikemukakan BN atas rombakan terbaru ialah kerana Terengganu memerlukan pegawai-pegawai yang mampu menjalankan tugas dengan cekap. Ertinya, ia bukan pertukaran biasa. Ia ada hubung kait dengan kesesuaian pegawai dengan jawatan masing-masing.

Agak memalukan BN, setelah beberapa rombakan, masih ada pegawai yang tidak bersesuaian dengan kedudukan mereka. Apakah sebuah pentadbiran cekap memerlukan beberapa cuba ralat (trial and error) dalam menyusun pentadbirannya?

Kedua, rombakan kali ini mengejutkan banyak pihak apabila BN memangsakan “anak emasnya” sendiri. Semua orang tahu Dato’ Muhatar Abdullah dilompatkan ke jawatan SUK oleh BN di awal pemerintahannya dulu. BN mengenepikan beberapa pegawai lebih senior daripada Muhatar, semata-mata memastikan “ayam tambatannya” itu mengisi jawatan nombor satu dalam pentadbiran negeri.

Kini tentu ada sesuatu yang sangat tidak kena apabila BN bertindak “menyembelih” ayam tambatannya. Walau pun bekas SUK itu dilaporkan memilih bersara awal, cakap-cakap yang lebih laris di Terengganu mengatakan beliau dipaksa menerima pilihan tersebut. Sedangkan tempoh bersara wajib baginya ialah Januari 2009.

Guane pulok ni weh? Sebuah akhbar harian tanpa selindung mempersoalkan nasib yang menimpa Muhatar. Pelbagai pihak dikatakan tidak pasti mengapa SUK itu bersara awal. Namun akhbar itu mencoretkan kemungkinan ia ada kaitan dengan masalah hubungan Muhatar dengan pucuk pimpinan negeri.

Ketidak-serasian bekas SUK itu dengan cara gaya pemerintahan BN telah lama diperkatakan. Perasaan tidak senang itu malah tidak terbatas kepada SUK sahaja. Ia turut diluahkan sebilangan pegawai kanan lain. Punca utama ialah campur tangan politik yang bersangatan dalam hal ehwal pentadbiran sehingga mencabar profesionalisme para pegawai.

Dalam kes bekas SUK Terengganu ini, beliau antara lain dikatakan tidak senang dengan cara pengurusan kewangan negeri. Banyak perbelanjaan didakwa dikeluarkan tanpa mengikut prosedur pengurusan kewangan sepatutnya.

Dalam pentadbiran negeri, Pegawai Kewangan adalah bertanggungjawab terhadap SUK. Namun, apa yang berlaku Pegawai Kewangan menerima arahan secara terus daripada Pejabat Menteri Besar. Sehinggakan beberapa projek kerajaan dikatakan terlaksana tanpa “kepala perbelanjaan” semata-mata bagi memenuhi arahan “orang atasan”.

Ketidak-sediaan beliau dan beberapa pegawai kanan lain menjadi “yes men” orang politik menyebabkan mereka diberikan “pilihan” agar bersara awal. Dikatakan seramai 15 pegawai tadbir turut menerima tawaran tersebut. Malah bagi yang menolak tawaran itu dikatakan bakal berhadapan risiko dilucutkan jawatan.

Satu ciri utama dalam setiap rombakan dibuat BN ialah penafian senioriti di kalangan pegawai. Ada pegawai yang sepatutnya mendapat anjakan perjawatan, tetapi di atas sebab-sebab politik distatikkan. Malah ada yang diturunkan pangkat. Beberapa pegawai yang amat tidak disenangi pula “disejuk-bekukan”.

Apa yang dialami para pegawai tadbir Terengganu kini mengingatkan kita laporan akhbar mingguan awal Jun 2003 lalu. Ia menyiarkan kenyataan Dato’ Seri Idris Jusoh (ketika itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu) yang mendakwa kerajaan PAS merampas kuasa SUK untuk membuat pertukaran pegawai dan kakitangan kerajaan negeri. Kononnya di bawah pemerintahan PAS, para pegawai dan kakitangan kerajaan dikongkong dan ditekan orang-orang politik.

Dengan apa yang dilakukan BN beberapa minggu lalu mengesahkan bahawa dakwaan itu hanyalah ibarat “mengata dulang paku serpih”. Segala tohmahan kepada kerajaan PAS sebelum ini hanya satu pembohongan. Pemimpin BN kini jauh lebih menekan dan menakutkan para pegawai. Kebebasan para pegawai untuk bersuara atau bertindak mengikut profesionalisme hanya tinggal teori.

Rombakan terbaru ini sebenarnya suatu isyarat jelas kepada para pegawai bahawa BN akan bertindak apa jua kepada sesiapa yang gagal memenuhi selera dan serakah politik mereka. BN telah membuktikan ia tidak teragak-agak mengorbankan “anak emas” atau menyembelih “ayam tambatan” sendiri, asal saja matlamat politik mereka tercapai.

Demi mengelakkan lebih ramai pegawai yang dedikasi dan profesional ini menjadi mangsa kerakusan politik BN, mereka perlu berperanan memastikan cukup sepenggal ini untuk BN di Terengganu!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 26 Zulhijjah 1427-12 Muharram 1428/16-31 Januari 2007 dengan tajuk ‘Campur tangan politik punca SUK Muhatar Abdullah berundur?’)

Monday, January 1, 2007

Iklan Tv Dan Imej ‘Perigi Mencari Timba’


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Iklan 1 (Produk kecantikan): Dua remaja perempuan dengan perasaan girang merancang sesuatu - untuk menarik perhatian seorang remaja lelaki. Mereka telah mengenalpasti lorong yang menjadi laluan tetap jejaka idaman itu merentasi sebuah taman. Sebaik melihat jejaka itu mengayuh basikal ke arah mereka, salah seorang mereka berpura-pura membaca di atas bangku di tepi laluan. Seorang lagi menyorok sambil memerhati di belakang pokok.

Si tampan yang melihat gadis itu membaca majalah secara terbalik, berhenti menegurnya.  Kesempatan itu digunakan si gadis untuk menatap muka dan melemparkan senyum kepada sasarannya itu. Bagaikan mencapai kejayaan besar dalam hidup, kedua-dua remaja perempuan itu terkinja-kinja kegirangan apabila berjaya menarik perhatian jejaka itu.

Iklan 2 (Syampu): Seorang gadis bertudung yang manis menawan berada di perpustakaan.  Seorang jejaka tertarik kepadanya. Kali pertama bertentangan mata, gadis itu nampak tidak yakin dan malu-malu seraya membetulkan tudungnya.

Setelah menggunakan satu jenama syampu, wujud keyakinan dalam diri si gadis untuk bertembung mata dengan si lelaki. Mereka akhirnya saling bertukar renungan dan senyuman.

Babak seterusnya menggambarkan gadis itu ke perpustakaan bukan lagi sekadar untuk membaca, tetapi matanya melilau ke arah kerusi yang biasa diduduki lelaki tampan itu. Sikap berbeza ditunjukkan si lelaki - kerusi yang didudukinya kosong. Beliau memilih untuk tidak pergi lagi ke perpustakaan, sehingga si perempuan menjadi tertunggu-tunggu.

Dalam versi panjang iklan itu ada dialog ketika mereka berdua bertemu semula. Si cantik manis itu bertanya si tampan mengapa lama tidak kelihatan di perpustakaan. Si jejaka antara lain mengakui beliau “tak boleh nak tumpu study di sana (perpustakaan)”.

Ada beberapa pemerhatian yang dapat dibuat berdasarkan dua iklan tadi yang sering diulangsiar lewat kaca tv. Pertama, kedua-duanya adalah contoh beberapa paparan yang mengutarakan wanita sebagai watak utamanya. Ia boleh dianggap sebagai suatu eksploitasi kecantikan wanita untuk kepentingan komersil.

Malangnya sudah tiada pihak, termasuk mereka yang lantang memperjuangkan hak dan nasib wanita, yang menganggap paparan sebegitu suatu yang merentap maruah dan harga diri kaum mereka. Sebaliknya,amalan itu seakan telah diterima sebagai suatu yang ‘membanggakan’ wanita pula.

Kedua, iklan itu memaparkan pelaku wanitanya sebagai penggoda si lelaki. Kedua-dua iklan itu secara jelas cenderung menggambarkan imej wanita sebagai ‘perigi mencari timba’. Dalam ertikata lain, si gadis digambarkan lebih agresif memburu jejaka idaman dan bukan sebaliknya.

Mungkin mesej yang dibawa ialah keberkesanan penggunaan kedua-dua produk tadi. Wajah manis dan cantik kedua-dua gadis itu tambah menyerlah selepas menggunakannya. Kesan itu sekaligus memberi keyakinan diri kepada kedua-dua mereka untuk berhadapan jejaka idaman masing-masing.

Bahkan, dalam iklan kedua (syampu) itu, lelaki yang bertentang mata dengan gadis itu langsung hilang tumpuan untuk belajar. Sebab itu dia memilih untuk tidak ke perpustakaan.

Bagi pihak pengeluar produk itu, paparan sebegitu mungkin dirasakan suatu yang menepati strategi pemasaran mereka. Bagaimana pun, sejauh manakah imej wanita kita sebagai penggoda lelaki menepati realiti sebenar dalam masyarakat? Apakah wanita kita semurah dan semudah itu bertindak seumpama ‘perigi mencari timba’?

Di sisi masyarakat kita, sama ada diukur berdasarkan ajaran agama atau pun adat bangsa, kaum wanita mempunyai pantang larang tersendiri yang mesti dipelihara. Sopan santun dan budi bahasa merupakan teras utama kehidupan. Batasan agama dan adat ini jika dihayati akan mengekang gejala tidak diingini di kalangan masyarakat, terutama membabitkan kaum wanita.

Soal ‘perigi mencari timba’ bagaimana pun bukan suatu larangan total terhadap wanita. Dalam sejarah Islam sendiri terdapat beberapa contoh di mana amalan merisik dan meminang tidak hanya dilakukan pihak lelaki. Dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Syuaib a.s. yang menawarkan salah seorang anaknya kepada Nabi Musa a.s. untuk dikahwini.

Firman Allah Ta’ala: ‘Salah seorang dari wanita itu berkata: “Ya bapaku, ambillah ia (Nabi Musa) sebagai orang yang bekerja (dengan kita) kerana sesungguhnya orang yang paling baik kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.”  Berkatalah dia (Nabi Syuaib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu (Musa) dengan salah seorang dari kedua anakku ini atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun’. (Maksud Surah Al-Qashah 28:26-27)

Seorang ulama tersohor, Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam menghuraikan kisah ini turut membawakan contoh lain dari sejarah Islam dalam konteks serupa. Beliau antara lain menyebutkan kisah Saidina Umar Al-Khattab r.a. yang menawarkan anaknya Hafsah untuk dijodohkan dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Saidina Usman Ibn Affan r.a.

Manakala kisah yang paling diingati setiap muslim ialah apa yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. sendiri. Baginda s.a.w. dipinang oleh Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwailid r.a.

Sejarah Islam itu bagaimana pun tidak wajar sewenangnya dianggap suatu ‘lesen besar’ bagi wanita Islam untuk mengejar dan memburu jejaka idaman. Agama dan bangsa kita mengajarkan kita adab dan kesopanan dalam setiap perkara. Meski pun dibolehkan, fenomena ‘perigi mencari timba’ bukan suatu yang menjadi kebiasaan. Apatah lagi untuk diuar-uar atau dipertonton kepada umum.

Sebagaimana yang sering disebutkan, pengaruh tv amat signifikan dalam kehidupan masa kini.  Apa yang dipaparkan di kaca tv, sama ada menerusi rancangan-rancangan siarannya atau iklan dan selingan menggambarkan nilai sosio-budaya sesebuah masyarakat. Dalam konteks itu, apakah imej wanita kita sebagai penggoda lelaki suatu nilai yang telah diterima umum?

Majoriti penonton tv adalah bangsa Melayu yang beragama Islam. Justeru, apa jua yang dipaparkan sepatutnya mengambilkira adat bangsa dan ajaran agama para penontonnya.

(Artikel ini disiarkan di majalah bulanan wanita Islam 'Al-Muslimah', Januari 2007 di ruangan 'Komentar' dengan tajuk sama).

Asyik-asyik syarikat sama bolot projek di Terengganu


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

DI ANTARA isu paling laris diperkatakan mutakhir ini ialah penjelmaan semula kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan beberapa tahun lalu. Kerajaan mendakwa sekumpulan bekas pemimpin dan pengikut jamaah itu kini giat menghidupkannya kembali.

Walau pun mereka dikesan tidak lagi menggunakan nama Darul Arqam, tetapi beberapa ciri dan sifat utama kumpulan itu dikekalkan. Mereka terjelma di bawah organisasi baru bernama Rufaqa Corporation.

Di samping bergiat di sektor perniagaan, penggerak Rufaqa dikatakan turut mengamalkan ajaran-ajaran yang menyamai ajaran Aurad Muhammadiah yang diharam sebelum ini. Malah, pendewaan ke atas bekas pemimpin utama Darul Arqam, Abuya Ashaari Muhammad didakwa masih menebal di kalangan mereka.

Beberapa kaitan jelas antara Rufaqa Corporation dengan Darul Arqam menjurus kepada satu kesimpulan, iaitu “nama sahaja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Kesimpulan itulah yang cuba dibuktikan kebenarannya oleh pihak kerajaan.

Di Terengganu, ungkapan “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama” turut kedengaran. Tetapi mereka bukan bercakap soal Al-Arqam atau Rufaqa. Mereka merujuk kepada kecenderungan membolot projek-projek besar kerajaan oleh pihak-pihak tertentu.

Tabiat itu mengingatkan semua orang kepada kisah pembolotan projek-projek infrastruktur di Terengganu oleh syarikat tertentu beberapa tahun lalu. Kini, syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan para pemimpin kanan BN Terengganu itu tidak menjadi sebutan lagi. Bukan kerana syarikat itu sudah tidak beroperasi atau tidak diberikan projek lagi. Mereka masih membolot, tetapi ia dijelmakan melalui penjenamaan semula syarikat terbabit.

Seorang kontraktor kecil di Kuala Terengganu menerangkan, “memang payah nak kesan (pembolotan) sekarang. Syarikat dah tukar nama, pengarah orang lain, pemegang saham dah berubah. Ada pula guna nama syarikat lain untuk masuk tender, tapi yang buat kerja syarikat itu juga. Macam-macam cara sekarang”.

Hakikat ini mendorong mereka menyimpulkan “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Beberapa syarikat tertentu masih membolot projek-projek di negeri itu.

Lebih mendukacitakan rakyat apabila projek-projek yang dilaksanakan itu penuh unsur-unsur tidak sihat dan dipertikaikan. Sekurang-kurangnya tiga pemerhatian dapat dibuat daripada pelaksanaan projek tersebut. Pertama, kebanyakan projek kerajaan berunsur membazir dan kosmetik. Tiga bidang utama ialah pembinaan masjid baru, blok tambahan di sekolah dan jalan raya.

Sebahagian besar projek ini sebenarnya bukan berdasarkan keperluan. Sesetengah jalan yang diturap semula itu baru sahaja dibina. Manakala blok tambahan di sekolah-sekolah dan satu masjid baru di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah melebihi keperluan. Ia lebih kepada mempamerkan keupayaan menaja pembangunan.

Kedua, pelaksanaannya membelakangkan pentadbiran dan mengenepikan prosedur pengurusan kewangan negeri. Menurut sumber yang rapat dengan perbendaharaan negeri, duit perbendaharaan kini dikeluarkan tanpa mengikut “kepala perbelanjaan”. Pegawai Kewangan katanya terpaksa menurut sahaja kehendak “Tingkat 16” (Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman).

Dalam pentadbiran, Pegawai Kewangan di bawah arahan Setiausaha Kerajaan (SUK). Sebagai ketua pentadbiran, SUK yang mengesahkan perbelanjaan negeri. Kini, prosedur itu tidak lagi diamalkan.

Ketiga, mengutamakan kroni dan mengkayakan suku-sakat politik. Bagi memastikan survival anak-anak buah, projek mesti diwujudkan.  Akhirnya, sesuatu yang melebihi keperluan pun masih dibina dan diperbaiki. Beberapa bidang kerja yang sebelum ini dilakukan jabatan kerajaan turut diswastakan bagi menambah peluang kroni mengaut untung.

Soalnya, siapa yang mendapat projek-projek itu? Di sinilah timbul ungkapan tadi, “nama saja berbeza, sifat dan amalan mereka sama”. Nama-nama syarikat besar yang pernah diulang sebut sebagai pembolot projek sebelum ini tidak disebut lagi sekarang. Tetapi menjelma pula nama-nama baru yang pelbagai.

Antara yang paling kerap disebut orang sekarang ialah MSA Bina Sdn Bhd. Dikatakan ia dimiliki seorang pemimpin muda Umno Terengganu. Kuasanya dalam menentukan pengagihan projek-projek di Terengganu dikatakan menyerupai kuasa menantu PM di peringkat Pusat.

Bahkan, setiap pembinaan jalan di negeri itu dikatakan mesti diakui syarikat ini. Jika projek itu diperolehi syarikat lain, kerja-kerja penyudah (meletak lapisan premix) mesti diambil alih MSA Bina atau sekurang-kurangnya menggunakan jentera dan peralatan syarikat itu.

Kesempatan turut diambil BN untuk mengisi tabung partinya dari pelaksanaan projek-projek tadi. Seorang kontraktor mendakwa, semua kontraktor yang memperolehi projek kerajaan disyaratkan menabung lima peratus nilai projek kepada dana Umno.

Orang yang menguasai tabung atau dana ini pula dikatakan orang sama yang memiliki MSA Bina tadi. Jika segala dakwaan di atas tadi benar, maka sudah sah bahawa dua tahun pemerintahan BN melahirkan generasi baru pembolot projek di Terengganu.

Itulah kisah “nama saja berbeza, tetapi sifat dan amalan mereka adalah sama”. Cuma yang membezakan kes Terengganu ini dengan Rufaqa ialah organisasi itu kini berhadapan pendakwaan dan tindakan kerajaan. Sedangkan dalam kes Terengganu itu, ia bukan sahaja direstu kerajaan, malah menjadi sebahagian perancangan parti pemerintah.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 11-25 Zulhijjah 1427/1-15 Januari 2007 dengan tajuk ‘Rufaqa dan pembolotan projek besar di Terengganu’)