Sunday, October 13, 2013

Al-Quran dan as-Sunnah berpisah tiada


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar, serta menjadikan Rasul-Nya suri teladan terbaik buat sekalian manusia.

Al-Quran adalah sumber rujukan utama dalam Islam. Ia juga disebut sebagai dustur yang mengatur segenap aspek kehidupan manusia, sekira-kira tidak tertinggal walau seperkara pun yang penting, melainkan dirakam di dalam kitab suci ini (baca al-An’am 6:38).

Dalam ungkapan lebih kontemporari, al-Quran diistilahkan sebagai “GPS” atau alat panduan perjalanan hidup manusia. Di ketika yang lain, al-Quran disebut penawar atau ubat penyembuh (syifa’) penyakit manusia. Pendekata, segenap aspek hidup kita boleh dikaitkan dengan peranan al-Quran.

Namun, sebagai makhluk yang serba lemah dan kurang, kita tidak mungkin dapat memahami maksud-maksud kandungan al-Quran berdasarkan ilmu semata-mata. Apatah lagi tidak semua ayat al-Quran diketahui maknanya, walau pun di kalangan orang-orang Arab sendiri. Bukankah kerap kita temui kisah para Sahabat ra sendiri bertanya kepada Rasulullah saw mengenai makna dan maksud ayat-ayat al-Quran?

Di sinilah terserlahnya hubungan sangat intim antara al-Quran dan as-Sunnah Nabi saw. Tanpa merujuk kepada keterangan dan penjelasan oleh Rasulullah saw, tentunya banyak kandungan al-Quran yang sukar difahami maksudnya yang sebenar.

Bahkan, di antara tugas Rasulullah saw adalah menerang dan menafsirkan al-Quran sepertimana dikehendaki oleh Allah SWT. Dalam ertikata lain, al-Quran adalah sumber asas atau pokok, manakala hadith atau as-Sunnah pula adalah huraian atau keterangannya. Kedua-duanya berpisah tiada.

Al-Imam Asy-Syafie rahimahullah di dalam menjelaskan hubungan hadith dengan al-Quran menggariskan empat peranannya. Selain menerang dan menghuraikan maksud al-Quran, hadith atau as-Sunnah juga berperanan memperkuatkan hukum yang telah didatangkan oleh al-Quran, sebagai dalil nasakh-mansukh ayat-ayat al-Quran dan mendatangkan hukum yang tidak disebutkan oleh al-Quran.

Untuk Edisi 18 ini, kami memilih tema berkisar peranan dan fungsi al-Quran dari berbagai sudut kehidupan manusia. Alhamdulillah kerjasama sebilangan kolumnis/penyumbang memudahkan kami memberikan garapan agak menyeluruh dalam pembicaraan topik ini. Diharapkan para pembaca seronok meneliti paparan kami. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah Dian - Ihya'as-Sunnah Bil. 18 (15 Oktober 2013) yang disiarkan dengan tajuk sama)

Saidina Umar cetus idea kumpul al-Quran



Muqoddimah
Apabila Rasulullah saw wafat, al-Quran belum terkumpul di dalam sebuah kitab. Sebaliknya, bahagian-bahagian daripada kitab suci itu berada pada individu-individu berbeza di kalangan para Sahabat Baginda saw – ada yang dicatatkan pada kulit-kulit binatang, di atas tulang-temulang dan sebahagian lagi tersemat di dalam hati para Sahabat ra.

Beberapa mushaf al-Quran yang agak tersusun dikatakan disimpan oleh beberapa orang Sahabat ra. Mushaf-mushaf itu dikenali dengan nama mereka yang mengumpul dan menyimpannya. Antaranya yang masyhur ialah Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ali, Mushaf Aisyah dan lain-lainnya.

Sejurus selepas kewafatan Baginda saw juga, berlaku penodaan akidah Islam oleh beberapa pihak. Antaranya kemunculan beberapa individu yang mengaku sebagai nabi. Saidin Abu Bakar ra yang dilantik sebagai khalifah menggantikan Rasulullah saw lantas memerangi mereka ini. Maka berlakulah Perang Yamamah, di mana para Sahabat menumpaskan golongan perosak Islam diketuai nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Kejayaan membanteras golongan sesat itu suatu yang menggembirakan buat Islam. Namun, ada sisi negatif hasil peperangan itu. Ramai di kalangan para Sahabat ra yang gugur. Antara mereka itu adalah Qurra’ (yang menguasai pembacaan al-Quran) dan huffaz (menghafaz al-Quran). Kehilangan mereka bukan sekadar perginya sejumlah individu muslim yang mulia dan taat. Ia juga sebenarnya mengisyaratkan kemungkinan suatu tragedi buat umat Islam, sekiranya tidak ditangani secara sebaiknya, iaitu “kehilangan” al-Quran atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada ayat-ayatnya dan juzuk-juzuknya.

Kemungkinan ini sangat besar. Apatah lagi para Sahabat Rasulullah saw adalah khalayak yang senantiasa terkedepan di dalam menyahut apa jua seruan jihad menentang musuh Islam. Maka, jika berlaku peperangan lagi selepas itu, semakin ramai antara mereka mungkin gugur syahid. Sedangkan pada merekalah tersembunyinya sebahagian ayat-ayat al-Quran, terutama yang dihafaz itu. Maka tidak mustahil tragedi “kehilangan” al-Quran boleh berlaku.

Umar bimbang “kehilangan” al-Quran
Orang pertama yang menanggapi kemungkinan yang sangat membahayakan Islam ini, dan terdetik mengambil inisiatif menyelamatkan keadaan ini, ialah Umar ibnu al-Khattab ra. Kematian sebilangan para Sahabat ra yang Qurra’ dan huffaz amat membimbangkannya. Beliau lantas melontar cadangan kepada Saidina Abu Bakar ra agar ayat-ayat al-Quran yang disimpan individu berbeza di tempat berasingan itu dikumpulkan.

Abu Bakar as-Siddiq ra pada mulanya keberatan melaksanakan cadangan itu. Antara hujah utama mengasak benak fikirnya ialah kerana hal itu sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda saw sendiri. Umar al-Khattab ra bagaimana pun tidak memadamkan hasrat itu. Kebimbangan yang menghantuinya memaksa dirinya mengajukan perkara sama kepada Abu Bakar ra berulang kali. Amirul Mukminin akhirnya bersetuju dengan cadangan Umar itu.

Bagi menyempurnakan tugasan itu, Abu Bakar memanggil Zaid ibn Thabit al-Ansari ra. Beliau merupakan salah seorang jurutulis wahyu kepada Rasulullah saw. Zaid terkenal dengan sikap amanah, teliti, cerdas akal, sangat baik akhlaknya dan pintar. Bahkan, Zaid adalah antara Sahabat yang sentiasa bersama Rasulullah saw sehingga ke akhir turunnya wahyu.

Zaid ditugaskan mengumpul
Apabila Zaid tiba di hadapan Abu Bakar, beliau melihat Umar ra turut berada di situ. Abu Bakar ra bercerita kepadanya: “Sesungguhnya Umar ra telah datang kepadaku dan berkata, ‘ramai di kalangan Qurra’ terkorban di dalam peperangan Yamamah, dan aku bimbang lebih ramai lagi Qurra’ akan meninggal dalam peperangan-peperangan yang akan datang, dan kesan terburuk daripada hal itu akan berlakunya kehilangan banyak al-Quran. Oleh itu aku berpendapat elok kamu memerintahkan seseorang mengumpulkan al-Quran’.”

“Aku telah menjawab kepada Umar, ‘bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang Rasulullah saw sendiri tidak lakukannya?’ Umar menjawab, ‘demi Allah, ini adalah suatu yang sangat baik (yang engkau perlu lakukan).’ Umar selepas itu terus datang menemuiku dengan saranan yang sama (walau pun aku menolaknya), sehingga Allah Taala membuka hatiku untuk menerima cadangan itu, sebagaimana Allah telah membuka hati Umar. Maka aku pun bersetuju dengan pandangan Umar mengenai hasrat mengumpulkan al-Quran.”

Zaid setakat itu barangkali belum dapat menduga apa yang akan berlaku. Bahawa beliau bakal diserahkan tugasan yang sangat penting dan amat berat sepanjang hidupnya. Abu Bakar ra kemudian menyambung, “demi sesungguhnya kamu seorang anak muda yang baik dan bijak, dan padamu tidak ada apa-apa yang layak kami ragui. Kamu juga pernah menulis wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Oleh itu, carilah seluruh bahagian al-Quran dan kumpulkannya (dalam satu kitab).”

Zaid kini benar-benar faham apa yang dikehendaki Abu Bakar ra daripadanya. Beliau lantas menjawab, “demi Allah, andaikata tuan mengarahkan saya untuk mengalihkan sebuah bukit dari satu tempat ke tempat lain, tuan tidaklah meletakkan beban tugas lebih berat berbanding tugas yang tuan arahkan saya dalam mengumpulkan al-Quran ini.”

Teliti syarat dua saksi
Tercatat di dalam Sunan Abu Daud bahawa Abu Bakar ra berkata kepada Umar ra dan Zaid ra:“Duduklah kamu pada pintu masjid. Sekiranya ada orang datang membawa ayat-ayat (al Quran) yang telah diperkuatkan dengan pernyataan dua saksi, maka hendaklah kamu menulisnya.”

Abu Daud juga meriwayatkan, Umar ra kemudian pergi menemui orang ramai menyampaikan perintah khalifah Abu Bakar itu, dengan katanya: “Barangsiapa yang mendapatkan ayat (al-Quran) dari Rasulullah saw, maka hendaklah ia membawa kepadanya (Zaid bin Tsabit ra).” Mereka menuliskan ayat-ayat itu pada lembaran, ketulan batu dan pelepah-pelepah tamar. Dan dia (Zaid) tidak mahu menerima ayat dari seorang pun sebelum terlebih dahulu disaksikan dua saksi.”

Imam Sakhawi menyatakan, bahawa maksud dua saksi itu ialah dua orang saksi yang menyaksikan di hadapan mata mereka sendiri ayat tersebut ditulis di hadapan Rasulullah saw. Manakala Imam Ibnu Hajar pula berpandangan ia merujuk kepada ayat yang dibawakan dalam dua bentuk, iaitu hafalan dan tulisan.

Apa pun maksudnya, yang nyata dalam hal ini ialah usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran diarahkan Saidina Abu Bakar itu dilakukan melalui prosedur sangat ketat dan teliti, serta disusun dan disemak oleh mereka yang berkelayakan dan dipercayai.

Zaid kemudiannya menceritakan, “aku pun selepas itu memulakan pencarian pelbagai bahagian dari al-Quran. Aku menemuinya tertulis di atas pelepah-pelepah tamar, di atas permukaan-permukaan batu, dari hafalan sebilangan individu, di atas kepingan-kepingan kulit dan di atas tulang-tulang binatang. Aku terus mencari al-Quran sehingga aku menemui bahagian akhir surah at-Taubah (9:128) yang ada pada Abu Khuzaimah al-Ansari – bahagian al-Quran yang tidak aku temui pada orang lain.”

Usaha itu akhirnya menghasilkan mushaf yang disusun dengan cara paling sistematik. Saidina Ali bin Abi Talib ra pernah menyanjungi usaha ini dengan katanya: “Orang yang paling besar pahalanya dalam hal mushaf ialah Abu Bakar ra. Beliaulah yang mempelopori pengumpulan al-Quran.”

Diriwayatkan naskhah-naskhah tertulis ayat-ayat al-Quran itu kemudiannya disimpan oleh Abu Bakar sehingga beliau wafat. Setelah itu, mushaf tadi disimpan oleh Umar, sehingga beliau pula wafat. Amanah untuk menyimpan mushaf al-Quran kemudian diserahkan kepada Hafsah binti Umar ra, yang juga isteri kepada Rasulullah saw.

Uthman menyalinan Mushaf Abu Bakar
Pada zaman Uthman ra menjadi khalifah, Islam telah berkembang ke pelbagai negara dan benua. Ia bukan lagi anutan bangsa Arab dan Parsi, tetapi turut dianuti pelbagai bangsa yang bertutur pelbagai bahasa berbeza.

Maka salah satu masalah yang dihadapi ketika itu ialah masalah qiraat al-Quran yang digunapakai di daerah-daerah berbeza ini. Misalnya, penduduk Kufah menggunakan qiraat disampaikan Abdullah bin Mas’ud. Penduduk Syam pula menggunakan qiraat Ubai bin Kaab. Manakala yang lain menggunakan qiraat Abu Musa al-Asyaari.

Hal perbezaan qiraat ini tidak pernah menjadi masalah di kalangan generasi Sahabat. Ia rupanya menjadi masalah besar, terutama di daerah-daerah yang jauh dari pusat pentadbiran kerajaan Islam di Madinah. Setiap qiraat itu mempunyai pengikut masing-masing yang sesetengahnya terlalu taksub kepadanya, sehingga menyebabkan mereka tergamak mengkafir kumpulan yang berbeza cara bacaan al-Quran.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu ancaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan. Justeru, isu perbezaan qiraat ini perlu diatasi segera. Di situlah timbulnya cadangan agar dihasilkan mushaf-mushaf piawai yang banyak, lalu kesemua mushaf yang seragam itu dikirimkan ke segenap pelosok daerah didiami umat Islam.

Kisah ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, dengan katanya: “Sesungguhnya Hudzaifah bin Yaman datang kepada Saidina Uthman. Ketika itu beliau sedang menyiapkan penduduk Syam dan Iraq untuk satu peperangan ke Asia Tengah. Kedatangan Hudzaifah itu bermaksud meminta pertolongan Uthman berhubung kebimbangannya melihat pertengkaran yang terjadi antara para sahabat dalam masalah qiraat. Dia berkata kepada Uthman bin Affan ra: “Wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum pertengkaran mereka mengenai Kitab (al-Quran) semakin parah sebagaimana parahnya pertengkaran antara orang Yahudi dan Nasrani.” Kemudian Uthman mengirimkan surat kepada Hafsah yang berbunyi, “Aku memohon agar kiranya Puan dapat menyerahkan mushaf kepadaku, untuk kusalin menjadi beberapa mushaf. Dan apabila sudah selesai kusalin, aku akan kembalikannya semula kepada Puan.” Hafsah pun segera mengirimkan mushaf kepada Uthman. Selanjutnya beliau (Uthman) mengarahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin Ash dan Abdur Rahman bin Harith bin Hisyam menyalin mushaf Hafsah tersebut menjadi beberapa mushaf. Dan mereka bersedia melaksanakan tugas itu. Lalu Uthman memberikan pesanan kepada tiga orang sahabat dari kalangan Quraisy itu, “jika kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Tsabit mengenai al-Quran, maka tulislah apa yang kamu perselisihkan itu dengan bahasa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy.” (HR Imam Bukhari)

Dengan usaha itu terhasillah mushaf al-Quran yang piawai dan digunakan oleh umat Islam di segenap pelusuk daerah. Mushaf itu jugalah yang kita warisi hingga ke zaman ini. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-
The Biography of ‘Umar ibn Al-Khattaab ra (Vol. 1), Dr. Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee (2010). Maktaba Dar-us-Salam, London.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum 'SECEBIS KISAH" dengan tajuk sama)

Imam Ibnu Katsir – Mufassir al-Quran terulung



Muqoddimah
TIDAK munasabah rasanya andai kedapatan seseorang individu yang mendalami ilmu tafsir al-Quran, tetapi tidak mengenali atau mengetahui nama Imam Ibnu Katsir. Selaku pengarang kitab tafsir al-Quran yang paling popular dan dikatakan menjadi kitab rujukan paling meluas di kalangan penelaah ilmu tafsir, nama itu bagaikan meniti di bibir umat Islam.

Latardiri
Nama sebenar Imam Ibnu Katsir ialah Abul Fida’ Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Bushrawi. Gelaran al-Bushrawi adalah dibahasakan kepada kota Basrah, Syam, di mana beliau dilahirkan. Lebih tepat, kelahirannya ialah di Mijdal, sebuah penempatan di kota Basrah. Tarikh kelahirannya dicatatkan pada tahun 701H. Mengenai tarikh ini, ada penulis mencatatnya bersamaan 1302M dan ada juga sebagai 1301M.

Ayahnya, seorang khatib di kota itu, meninggal ketika beliau berusia 4 tahun. Beliau diasuh bapa saudaranya, Syaikh Abdul Wahab. Dialah yang mendidiknya di usia kecilnya, sebelum berpindah ke Damsyik, Syam pada tahun 706H, yakni dalam usia 5 tahun.

Guru-gurunya
Ibnu Katsir sempat berguru dengan sebilangan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang, seumpama ilmu al-Quran, ilmu hadith, sejarah, fikah dan lain-lain. Direkodkan beliau mula belajar kepada Syaikh Burhanuddin Ibrahim bin Abdir-Rahman al-Fazari, yang terkenal dengan nama Ibnul Farkah (wafat pada 729H).

Beliau juga menuntut dengan Isa bin al-Muth’im, Ahmad bin Abi Talib, yang juga terkenal dengan nama Ibnusy Syahnah (w. 730H), Ibnul Hajar (w. 730H), Bahauddin al-Qasim bin Muzhaffar Ibnu Asakir, muhaddith negeri Syam (w. 723H), Ibnu asy-Syirazi, Ishaq bin Yahya al-Amidi Afifuddin – ulama Zahiriyah (w. 725H) dan Muhammad Ibnu Zarrad.

Ibnu Katsir turut menyertai pengajian oleh Syaikh Jamaluddin Yusuf bin az-Zaki al-Mizzi (w. 742H), seorang ahli hadith terkemuka di Syria. Beliau mendapat banyak faedah dan menimba ilmu daripada ulama besar ini. Syaikh Jamaluddin kemudiannya menikahkan Ibnu Katsir dengan puterinya.

Beliau juga belajar dari Syaikhul Islam Taqiyyuddin Ahmad bin Abdil Halim bin Abdis Salam bin Taimiyah (w. 728H), atau lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyah. Guru-gurunya yang lain ialah Syaikh al-Hafiz, seorang ahli sejarah, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin Uthman bin Qayimaz adz-Dzahabi (w. 748H). Manakala di antara ulama Mesir yang memberi beliau ijazah dalam pengajiannya ialah Abu Musa al-Qarafi, Abul Fath ad-Dabbusi dan Ali bin Umar as-Suwani.

Ibnu Katsir juga sempat mendengar hadith-hadith secara langsung daripada ulama-ulama Hijaz serta memperoleh ijazah dari mereka.

Sanjungan atas keilmuannya
Kealiman dan kesolehan sosok Ibnu Katsir telah diakui para ulama dan pembesar di zamannya mahu pun khalayak sesudahnya. Pada tahun 1366, Gabenor Mankali Bugha telah melantik Ibnu Katsir menjadi guru utama di Masjid Umaiyah, Damsyik.

Berkata Al-Hafiz Adz-Dzahabi mengenai Ibnu Katsir: “Beliau seorang imam lagi pemberi fatwa, muhaddith yang pakar, faqih yang berwawasan luas, mufassir dan pemilik banyak tulisan yang bermanfaat” (dalam al-Mu’jam al-Mukhtash).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani pula berkata: “Beliau (Ibnu Katsir) selalu menyibukkan diri dengan hadith, menelaah matan dan rijal hadith. Beliau adalah orang yang memiliki hafalan yang banyak, cerdas akal, menghasilkan banyak karya dan telah memberikan manfaat yang sangat banyak kepada orang-orang sepeninggalannya” (dalam ad-Durar al-Kaaminah).

Abul Mahasin Jamaluddin Yusuf Ibnu Saifuddin yang terkenal dengan nama Ibnu Taghri Bardi, seorang ahli sejarah, berkata: “Beliau adalah ulama yang banyak berkarya, mengaut ilmu, mengumpul, mengarang, mengajar, menyampaikan hadith dan menulis. Beliau memiliki penelaahan yang luas dalam ilmu hadith, tafsir, fikih, bahasa Arab dan ilmu-ilmu lainnya. Beliau mengeluarkan fatwa dan mengajar hingga wafat, semoga Allah merahmati beliau. Beliau dikenali sebagai ulama yang memiliki hafalan yang kuat dan tulisan yang bagus. Ia telah mencapai puncak dalam ilmu sejarah, hadith dan tafsir” (dalam kitabnya al-Manhalush Shaafii wal Mustaufa ba’dal Waafi).

Salah seorang muridnya, Syihabuddin bin Hajji pula dipetik berkata: “Beliau adalah seorang yang paling kuat hafalannya yang pernah aku temui, terutama tentang matan hadith, dan paling mengetahui cacat hadith serta status para perawinya. Hal itu diakui para sahabat dan gurunya. Ketika bergaul dengannya, aku selalu mendapat manfaat darinya.

Ibnul Imad al-Hanbali berkata: “Hafalannya banyak dan jarang lupa, pemahamannya baik, ilmunya dalam bahasa Arab sangat tinggi” (dalam kitabnya Syadzaraatudz Dzahab fii Akhbaari Man Dzahab).

Ibnu Habib pula berkata: “Dia mendengar riwayat, mengumpulkan, menulis, mengeluarkan fatwa, menyampaikan hadith, memberi banyak faedah, dan lembaran-lembaran fatwanya tersebar ke berbagai negeri. Dia dikenali dengan kekuatan hafalan dan kebagusan karyanya.”

Tulisan-tulisannya
Hasil karya Imam Ibnu Katsir tersangatlah banyak. Di antara yang utama ialah:
1.                  Kitab tafsir al-Quran yang terkenal yang bernama Tafsir Ibnu Katsir. Hingga kini, kitab tafsir 10 jilid ini masih menjadi bahan rujukan utama di seluruh dunia. Para ulama mengatakan bahawa Tafsir Ibnu Katsir adalah sebaik-baik tafsir yang ada di zaman ini, terbesar dan tersahih, kerana ia memiliki berbagai keistimewaan. Ia telah diterbitkan berulang kali dan telah diringkaskan oleh ramai ulama.

Ibnu Katsir mengaplikasikan kaedah tersendiri yang sangat mantap dalam menghasilkan karya agung ini, yakni:
a. Menafsirkan ayat al-Quran dengan al-Quran sendiri.
b.      Bagi yang tidak ditemui penafsiran al-Quran dengan ayat al-Quran, beliau menafsirkannya dengan hadith Nabi Muhammad saw. Sememangnya diakui al-Quran sendiri bahawa di antara tugas Baginda saw ialah untuk menerangkan maksud kandungan al-Quran.
c.       Jika tidak didapati hadith Nabi saw, maka al-Quran harus ditafsirkan oleh pendapat para Sahabat, kerana merekalah orang yang paling mengetahui keadaan semasa turunnya ayat-ayat tertentu dari al-Quran.
d.      Setelah itu, barulah pendapat dari para Tabien dapat diambil, disusuli pendapat Tabiet Tabien, kemudian dengan keilmuannya terhadap kaedah-kaedah bahasa Arab.

Di samping itu, Ibnu Katsir juga menulis buku Fada'il Al-Quran (Keutamaan Al-Quran), yang memuatkan ringkasan sejarah al-Quran.

2.                  Kitab sejarah yang dinamakan al-Bidaayah, terdiri dari 14 jilid, dengan judul al-Bidaayah wan Nihaayah (Permulaan dan Akhir) atau nama lainnya Tarikh Ibnu Katsir. Di dalamnya disebutkan tentang kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu, sejarah Islam hingga zamannya, ditambah dengan pembahasan tentang fitnah dan tanda-tanda hari Kiamat serta keadaan pada hari Akhirat. Kitab ini telah ditahqiq oleh ramai ulama.
3.                  Kitab At-Takmiil fii Ma’rifatith Thiqaat wadh-Dhu’afaa’ wal-Majaahil (Pelengkap dalam Mengetahui Perawi-perawi yang Dipercaya, Lemah dan Kurang Dikenal). Di dalamnya terangkum dua kitab dari tulisan guru beliau, iaitu al-Mizzi dan adz-Dzahabi (Tahdziibul Kamaal fii Asmaa-ir Rijaal dan Miizanul I’tidaal fii Naqdir Rijaal) dengan disertai beberapa tambahan yang bermanfaat dalam masalah al-Jarh wat-Ta’diil.
4.                  Kitab Al-Hadyu was Sunan fii Ahaadiithil Masaaniid was Sunan (Kitab Penghimpun Musnad dan Sunan) sebanyak lapan jilid, dan dikenal dengan nama Jaami’ al-Masaaniid. Ia memuatkan nama-nama sahabat yang banyak meriwayatkan hadith. Di dalamnya terangkum Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Bazzar, Abu Ya’la al-Mushili, Ibnu Abi Syaibah, beserta Kutubus Sittah, iaitu Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim serta kitab Sunan yang empat. Beliau menyusunnya berdasarkan bab-bab fikih dan telah dicetak beberapa juz darinya.
5.                  Thabaqaat asy-Syafi’iyyah (Peringkat-peringkat Ulama Mazhab Syafie) yang disertai biografi Imam asy-Syafie rahimahullah.
6.                  Beliau mentakhrij hadith-hadith yang digunakan sebagai dalil dalam kitab at-Tanbiih fii Fiqh asy-Syafi’iyyah.
7.                  Beliau memulai penulisan Syarah Shahih al-Bukhari tetapi tidak sempat menyelesaikannya.
8.                  Ringkasan kitab al-Madkhal, karya al-Baihaqi dan sebahagian besar belum diterbitkan.
9.                  Beliau meringkaskan kitab Ulumul Hadith karya Abu Amr bin ash-Shalah, yang beliau beri judul Mukhtasar Ulumul Hadith. Ia dicetak oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah, seorang ahli hadith dari Mesir disertai penjelasan dari beliau dan diberi judul al-Baa’itsul Hathiith fii Syarh Mukhtasar Ulumul Hadith, dan telah dicetak beberapa kali.
10.              As-Siirah an-Nabawiyyah yang panjang (bahagian dari kitab al-Bidaayah) dan ringkasannya, keduanya diterbitkan dalam cetakan yang berbeza.
11.              Risalah dalam masalah jihad yang diberi judul al-Ijtihaad fii Thahabil Jihaad (Ijtihad Dalam Mencari Jihad) dan telah dicetak berulang kali.

Kematiannya
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rhm berkata, “beliau (Ibnu Katsir) kehilangan penglihatan di akhir hayatnya dan wafat di Damsyik, Syam pada 774H/1373M. Ada penulis mencatatkan tarikh tersebut sebagai 1372M. Jenazah Ibnu Katsir dikebumikan di samping makam gurunya, Ibnu Taimiyah.

Semoga Allah mencurahkan rahmat seluas-luasnya kepada beliau dan menempatkan beliau di syurga-Nya yang luas. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Biografi Penulis (Ibnu Katsir), oleh Fadhilatusy Syaikh Abdul Qadir al-Arnauth hafizahullah pada pengantar Shahih Tafsir Ibnu Katsir oleh Shaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfuri, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2011.
-          http://solihin87.abatasa.co.id/post/detail/9415/biografi-ibnu-katsir

((Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum "ULAMA PEWARIS NABI" dengan tajuk sama)