Tuesday, November 11, 2014

“Aku nak usap kepala anak yatim!”


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ANDAIKATA saya dipaksa membuat pilihan DI ANTARA menyentuh kepala seekor anak anjing yang dijaga dengan sempurna dan baru dimandikan dengan shampu serta disembur pula dengan segala macam wangian, ATAU mendukung seorang anak yatim yang keadaannya tidak terurus, comot dan berbau, maka saya lebih rela melakukan pilihan kedua.

Tidak dinafikan naluri seorang manusia yang normal sukakan yang cantik, bersih, wangi dan terurus. Namun itu tidak bermakna kita wajar menidakkan tuntutan terhadap sesama makhluk bernama manusia, semata-mata kerana keadaan lahiriahnya yang tidak menyenangkan.

Bagi saya, seekor anjing tetap kekal sebagai binatang biar pun ia disantuni sebaiknya, hatta dikenakan pakaian yang cantik sekali pun. Begitu pula seorang anak, akan kekal sebagai seorang manusia walau pun fizikalnya tidak sempurna, tidak terurus atau tidak berpakaian sekali pun.

Jika dapat dibandingkan, perbezaan di antara hakikat kedua-dua makhluk ini pada hubungannya dengan manusia adalah ibarat kita membandingkan daging dan tulang pada manfaat masing-masing. Sepertimana yang kerap disebut orang, “sebusuk-busuk daging, dibasuh orang, dimakan jua. Sewangi-wangi tulang, akhirnya dibuang jua.”

Maka begitulah juga, seekor anjing tetap seekor binatang dan seorang anak yatim tetap seorang manusia, biar apa pun keadaan fizikal masing-masing. Justeru, bersandarkan naluri kemanusiaan, saya akan memilih untuk menyantuni manusia berbanding binatang (jika dipaksa memilih hanya satu di antara dua itu).

Kedua, saya turut membelek hujah dan tuntutan agama Islam terhadap kedua-dua makhluk ini. Terdapat perbezaan amat luas di antara hukum sengaja menyentuh anjing berbanding hukum menyentuh atau membelai anak yatim. Walau pun ada sebilangan anggota masyarakat kita dewasa ini yang lebih seronok mencari “pengecualian” di dalam hukum Islam dan lebih suka melakukan sesuatu yang “dibolehkan”, perlu mereka ingat bahawa hukum melakukan perkara sedemikian selalunya datang dengan syarat-syarat yang agak ketat dan perlu diperhalusi.

 Saya sempat bertanya kepada beberapa asatizah berhubung hukum sengaja menyentuh anjing. Kesemua mereka memberikan pandangan sealiran, yakni berdosa jika sengaja menyentuhnya. Hujah mereka berdasarkan hakikat bahawa anjing adalah seekor binatang yang najis.

Memang ada perbahasan para ulama berhubung tahap kenajisan anjing, termasuk mengambilkira jika persentuhan itu berlaku dalam keadaan kering. Namun, kata para asatizah, perbahasan mengenai hukum najis atau tidak itu lebih banyak bertitik-tolak daripada keadaan “tersentuh” dan bukannya perbuatan “sengaja menyentuh”.

Justeru mereka tetap beranggapan menyentuh anjing dengan sengaja mengundang dosa. Apatah lagi jika dipakai pandangan bahawa perbuatan itu berpotensi mengundang kekeliruan hukum di dalam masyarakat. Malah ada yang menganggap perbuatan itu seakan mempersenda sensitiviti umat Islam.

Soal uruf atau kebiasaan masyarakat perlu diambilkira. Perbuatan menyentuh atau membelai anjing bukan budaya atau uruf dalam masyarakat kita. Ia suatu perlakuan yang asing dan dipandang jelik, justeru tidak wajar dijadikan kebiasaan. Ia akan hanya menambahkan kekeliruan kepada hukum di sisi agama.

Pokok pangkalnya, perbuatan sengaja menyentuh seekor anjing lebih banyak cenderung kepada hukum yang tidak menyenangkan. Paling ringan pun ia mungkin sekadar “dibolehkan, dengan syaratnya....”. Jauh sekali untuk dikatakan bahawa ia adalah suatu yang dituntut oleh agama dan beroleh pahala akan sesiapa yang melakukannya.

Ada pun hukum menyentuh, membelai dan menyantuni anak yatim adalah sebaliknya. Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadith Rasulullah saw yang menyentuh keutamaan menjaga hak dan kebajikan anak-anak yatim.

Pada beberapa tempat di dalam al-Quran disebutkan perbuatan tidak menghiraukan kebajikan anak-anak yatim sebagai salah dan keji. Firman Allah dalam surah Al-Maa’un 107:1-2: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim...”

Dan lagi (Adh-Dhuha 93:9): “Oleh itu, ada pun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.”

Perhatikan pula beberapa hadith Rasulullah saw di bawah, yang secara jelas memperihalkan kelebihan menyantuni anak yatim:

Sabda Baginda saw:
Ada seorang laki-laki yang datang kepada Nabi saw mengeluhkan kekerasan hatinya. Nabi saw bertanya: Sukakah kamu jika hatimu menjadi lunak dan keperluanmu terpenuhi? Kasihilah anak yatim, usaplah mukanya, dan berilah makan dari makananmu, nescaya hatimu menjadi lunak dan keperluanmu akan terpenuhi.” (Diriwayatkan oleh Abu Darda’ ra HR: Thabrani, Targhib, Al-Albaniy: 254)

Sabdanya lagi:
Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya...”. (HR At-Thabrani)

Dalam hadith yang lain, disebutkannya:
Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang diperlakukan (diasuh) dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum muslimin ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk.” (HR Ibnu Majah)

Disebutkan juga jaminan syurga sebagai ganjaran memberi makan anak yatim:
Barang siapa yang mengikut-sertakan seorang anak yatim di antara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk syurga.” (HR Abu Ya’la dan Thabrani, Sahih At-Targhib, Al-Albani)

Hadith berikut malah sepatutnya menjadi dorongan kepada kita semua untuk berlumba menjenguk dan mengusap anak-anak yatim:

Barangsiapa meletakkan tangannya (mengusap) di atas kepala anak yatim dengan penuh kasih sayang, maka Allah akan menuliskan kebaikan pada setiap lembar rambut yang disentuh tangannya. (HR Ahmad, Ath-Thabrani, Ibnu Hibban, Ibnu Abi Aufa)

Nah! Jelas sekali saranan agama kita agar umatnya menjaga kebajikan anak yatim. Ia sudah lebih dari cukup jika kita mahu mencari dalil dan sandaran untuk mengadakan kempen menyantuni mereka. Maka apa kata selepas ini kita adakan program sebegitu, misalnya dengan tema “Aku nak usap kepala anak yatim!”. Okay, bukan?

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Coretan Ketua Pengarang", majalah Era Muslimah bil. 29 (terbitan November 2014) dengan tajuk sama)