Tuesday, May 22, 2001

Pusat lengah-lengahkan peruntukan kepada negeri

Oleh: Mohd. Nasir Awang
DI DALAM ucapannya di Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Seluruh Malaysia yang diadakan di Putrajaya pada 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka menegur ‘sikap sesetengah pegawai daerah yang melengah-lengahkan pengeluaran perbelanjaan pembangunan atau membayar kontraktor sehingga menyebabkan projek yang dirancang tergendala’.
Menurut laporan akhbar, Perdana Menteri turut berkata: “Kita hendak menentukan seboleh-bolehnya projek yang dirancang tahun ini, ia kena dilaksanakan dan disiapkan tahun ini juga. Ia perlu mengikut jadual dan prosedur yang tepat”.
Hampir seminggu kemudian, ingatan yang sama turut dituturkan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan di Terengganu.
TPM dilaporkan mengingatkan para pegawai berkenaan ‘agar pembayaran kepada kontraktor atau pembekal mesti dibuat dengan cepat dan tidak menampakkan ia sengaja dilengah-lengahkan.”
Katanya: “Ia perlu kerana apa yang dilaksanakan oleh kontraktor  atau pembekal dijalankan mengikut jadual dan menepati spesifikasi.”
Tidak dapat dipastikan sejauh manakah yang diucapkan oleh TPM itu turut terpakai sama bagi ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri ini. Apa yang jelas, ucapan PM di Putrajaya yang juga menekankan persoalan yang sama sememangnya ditujukan kepada para pegawai daerah dari negeri ini. Kerana, kita dimaklumkan bahawa mereka turut menerima undangan ke persidangan berkenaan dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberikan keizinan kepada para pegawai itu menghadirinya.
Terdapat dua penegasan utama yang sama-sama diutarakan oleh kedua-dua pemimpin tersebut di dua majlis berasingan itu. Pertama, soal pengeluaran perbelanjaan atau pembayaran yang dilengah-lengahkan. Manakala soal kedua ialah pelaksanaan projek pembangunan mengikut jadual.
Tanpa hipokrit, perlulah diakui bahawa PM telah banyak berjasa kepada pembangunan negara ini. Justeru, saranan atau apa jua teguran beliau membabitkan pelaksanaan pembangunan negara dilihat sebagai manifestasi kesungguhan beliau untuk melihat kejayaannya. Dan, sebagaimana yang beliau sendiri akui, sebarang pelaksanaan projek pembangunan pasti sukar disempurnakan mengikut jadual sekiranya berlaku kelengahan di dalam penyaluran perbelanjaan.
Agak melucukan juga, kerana apa yang diakui PM itulah sebenarnya antara punca utama yang mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pusat selama ini. Puluhan, malah ratusan, projek pembangunan yang telah dirancangkan Kerajaan Negeri gagal dilaksanakan mengikut jadual. Semuanya sama ada disebabkan penarikan balik peruntukan yang telah diluluskan, ataupun pembayaran geran wajib yang sengaja dilengah-lengahkan.
Kita percaya PM dan sekalian yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan tersebut menyedari hakikat yang wujud ini. Jadi, kita tertanya-tanya, kepada siapakah sebenarnya kenyataan PM itu patut ditujukan?
Menurut sumber Kerajaan Negeri, beberapa peruntukan pembangunan (sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman) dari Kerajaan Pusat tidak disalurkan mengikut jadualnya bagi tahun 2000 lalu. Antaranya ialah, peruntukan perumahan kos rendah dan perparitan, yang langsung tidak diberikan.
Manakala peruntukan bagi projek Keindahan Bandar pula, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak (sedikit sebenarnya!) RM505,000, iaitu hanya 26.5 peratus daripada peruntukan asal yang telah diluluskan untuk tahun 2000 yang berjumlah RM1,907 juta. Kekurangan pembiayaan tersebut termasuklah penarikan balik Waran Peruntukan Penyelenggaraan Landskap 2000 yang berjumlah RM470,000.
Kita juga pernah dimaklumkan tentang belasan projek perumahan yang sebilangannya telah pun bermula pembinaannya, tetapi dibatalkan oleh Kerajaan Pusat. Manakala penafian peruntukan pembangunan RM500,000 setahun untuk setiap ahli parlimen pembangkang telah dimaklumi sebagai tradisi pemerintah negara ini.
Perlu disebutkan juga bahawa tragedi ‘rompakan’ royalti petroleum adalah satu lagi contoh ketara tindakan Kerajaan Pusat “menghalang pembayaran”. Akibatnya, ratusan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat telah tergendala. Rakyat yang sepatutnya mengecapi hidup yang lebih selesa telah dinafikan peluang berkenaan.
“Jika ini berlaku ia amat mendukacitakan. Kelulusan tanah untuk pelaksanaan projek adalah demi kebaikan rakyat. Jika ia tergendala, yang merasai kerugian adalah rakyat. Apa yang kita boleh buat jika ia sengaja dilengah-lengahkan,” itu kata Dato’ Seri TPM mengulas kelewatan kelulusan tanah oleh Kerajaan Negeri untuk projek-projek Kerajaan Pusat.
Tahu pun dia bahawa yang merasai kerugian adalah rakyat! Sepatutnya, kalau sudah tahu keburukan dan kesan melengah-lengahkan pembayaran (atau ‘merampas royalti), pemimpin negara perlu menyelesaikannya secepat mungkin. Buktikan kepada negara, dan juga dunia, bahawa mereka tidak sekadar bercakap tak serupa bikin.
Atau hanya nampak sesuatu kesalahan itu apabila dilakukan oleh pihak lain, sedangkan kesalahan yang sama turut dilakukan oleh diri mereka. Kerana, inilah yang sedang berlaku dan ia amat mendukacitakan ambe, Dato’ Seri!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 24, 22 Mei 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Tuesday, May 8, 2001

Bahaya Fahaman ‘Politik Suku, Agama Suku’

Oleh: Mohd Nasir Awang

USAHA mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah bukanlah agenda politik semata-mata.

Bagi orang Islam, menegakkan pemerintahan sedemikian adalah merupakan suatu tuntutan agama. Ini kerana, setiap diri yang bergelar Muslim semestinya memperakui bahawa bumi ini adalah milik dan ciptaan Allah.

Tuhan yang sama juga bertanggungjawab mencipta Islam sebagai ajaran dan panduan hidup manusia. Manakala panduan dan ajaran tersebut dirangkumkan pula di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Menafikan kewibawaan dan kesesuaian Islam untuk mentadbir dunia adalah merupakan suatu kederhakaan dan kekufuran terhadap Allah yang menciptakan Islam itu sendiri. Ia sekaligus mengundang kemurkaan Allah yang akhirnya mengakibatkan dunia ini porak-peranda dan kacau-bilau dilanda ribuan permasalahan sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. 

Tidak syak lagi, langkah memisahkan agama dengan urusan kehidupan telah mendedahkan dunia ini kepada keburukan dan kemusnahan. Apabila ekonomi disukukan daripada agama, misalnya, maka soal riba’ adalah haram di sisi agama tidak menjadi perkiraan lagi.

Sebaliknya, riba’ yang bersifat menindas itu dijadikan tunjang utama sistem ekonomi dunia. Akhirnya, dunia menyaksikan kejatuhan demi kejatuhan ekonomi.

Fahaman memisahkan agama dari politik pula meninggalkan kesan sangat parah kepada dunia. Kerana, apabila fahaman ’politik suku-agama suku’ ini diterima sebagai dasar pemerintahan sesebuah negara, manusia politik akan bebas melakukan apa sahaja yang dia mahu.

Di bawah fahaman ’politik suku-agama suku’, seorang ahli politik boleh bercakap bohong. Boleh sahaja dia berjanji begian-begian kepada rakyat, tetapi hanya membiarkannya sebagai janji kosong yang tidak perlu ditunaikan.

Seorang pemimpin negara boleh mengamalkan rasuah, politik wang, salahguna kuasa dan diskriminasi. Mereka boleh memilih uslub ancam-ugut, paksaan atau kezaliman terhadap kawan dan lawan. Islam mengajar kita bahawa sebilangan perbuatan seperti bercakap bohong, memungkiri janji, rasuah, diskriminasi, ancam-ugut, dan zalim adalah perbuatan keji dan terkutuk.

Barangsiapa melakukan yang demikian dikira berdosa di sisi Allah. Manakala balasan kedosaan ialah azab neraka yang pedih di Akhirat kelak. 

Tetapi, kita harus ingat bahawa semua ajaran tentang dosa pahala, azab atau nikmat,  syurga dan neraka itu adalah urusan agama. Menurut fahaman ’politik suku agama suku’, ia tidak ada kena-mengena dengan politik!

Fahaman itu mengajar sebilangan manusia bahawa urusan dosa pahala atau syurga neraka tidak sepatutnya dicampur-adukkan di dalam ehwal politik. Agama adalah agama, dan politik adalah politik. Dalam ertikata yang lain, fahaman ’politik suku-agama suku’ menuntut bahawa tidak boleh ada pada suatu masa yang sama pada seseorang itu agama dan politik.

Seorang ahli politik sewaktu berpolitik, berceramah, berkempen pilihanraya, menyertai Sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, atau apa jua yang dibuat atas nama ’ahli politik’ tidak boleh di masa yang sama menjadi orang yang Islam (beragama)?. Begitukah gamaknya?

Ataupun, oleh kerana Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan Exco adalah jawatan-jawatan politik, maka selama mereka itu bergelar dengan gelaran politik masing-masing, mereka tidak sepatutnya bersembahyang, berpuasa, atau melakukan lain-lain ibadat. Kenapa? Kerana, soal ibadat adalah soal agama. Orang politik tidak boleh campur dengan urusan agama. Betulkah begitu?

Apabila soal politik disukukan daripada soal agama, orang-orang politik nampaknya tidak menghiraukan soal halal-haram, dosa atau pahala.

Mereka seolah-olah tidak rasa takut kepada Allah, terhadap azab kubur dan neraka.  Bahkan, mereka sebenarnya telah menolak kewibawaan dan kesesuaian Islam untuk mentadbir negara dan dunia.

Hukum Islam mengenai hal ini amatlah jelas. Itulah sebenarnya yang telah ditegaskan oleh Menteri Besar kita Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 20 tahun lalu:  ”Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.

Kerajaan Negeri telah meletakkan dasar utama pemerintahannya untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sekali lagi, ia bukannya agenda politik semata-mata, malah memenuhi tuntutan agama.

Oleh sebab ianya tuntutan agama, maka sebarang penentangan terhadap usaha melaksanakan kewajiban ini, daripada kumpulan atau puak mana sekali pun, semestinya ditentang dengan segala daya usaha. Tepat sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Tuan Guru Menteri Besar:

”Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Dan kerana kita berjuang dengan puak-puak (yang menentang Islam) ini, kalau kita mati kerana berlawan (penentang Islam) ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”.

Hanya golongan atau puak penentang Islam sahaja yang tidak setuju ucapan sebegitu dikeluarkan.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman Bil: 23, 8 Mei 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)