Monday, January 22, 2001

Antara Perpaduan, Kezaliman dan Keadilan

Oleh: Mohd Nasir Awang

SEBUAH parti yang secara terang-terangan menyisihkan dua negeri dominan Melayu, secara tiba-tiba pula bercakap tentang pembelaan nasib bangsa Melayu.  Bagi mempamerkan niat ikhlas tersebut, maka dicanangkanlah soal perpaduan Melayu.

Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri di mana dominasi Melayu mencatatkan peratusan paling tinggi dalam negara.  Mengikut data Pilihan Raya 1999 lalu, terdapat 26 kawasan Parlimen di seluruh negara yang mencatatkan peratusan pengundi berbangsa Melayu di tahap 90% ke atas.  Dari jumlah tersebut, 13 berada di Kelantan, Terengganu (enam kawasan), Kedah (empat kawasan), Pahang (dua) dan Sarawak (satu).  Hanya lima daripada jumlah tersebut dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

Dalam ertikata yang lain, Barisan Alternatif (BA) telah membuktikan mendapat tempat di majoriti rakyat bangsa Melayu.  Sebab itu, daripada 22 kawasan Parlimen di Kelantan dan Terengganu, hanya satu sahaja yang dimenangi oleh BN.  Di peringkat negeri pula, rakyat dominan Melayu di kedua-dua negeri tersebut telah memilih BA pimpinan PAS untuk memerintah mereka.  BA mengatasi BN secara 41-2 di Kelantan dan 28-4 di Terengganu.

Jika benar, di atas dasar membela nasib bangsa Melayu maka soal politik kepartian sepatutnya dikesampingkan, maka sudah semestinya antara negeri paling layak diberi pembelaan oleh Kerajaan Pusat ialah Kelantan dan Terengganu.  Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Kedua-dua negeri dinafikan hak-hak mendapat berbagai kemudahan, termasuk peruntukan-peruntukan wajib yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak cukup setakat itu, pencabulan demi pencabulan terus dilakukan untuk menghakis kuasa dan hak kedaulatan kerajaan kedua-dua negeri tersebut.  Sumber hasil negeri yang sepatutnya dinikmati dan dimanfaatkan oleh kedua-dua kerajaan juga turut dicabuli.

Kita diberitahu bahawa, tidak lama selepas PAS menerajui Kelantan, minyak dan gas asli telah ditemui di luar pantai Kelantan.  Mengikut perkiraan awal pihak bertanggungjawab terhadap usaha carigali tersebut, hasil bumi itu bakal didaratkan di Pantai Senok, Bachok, Kelantan.  Sudah tentu sekiranya perancangan tersebut berjalan bagai dirangka, ia sedikit sebanyak bakal memacu pembangunan kepada Kelantan.  Malangnya, Kerajaan Persekutuan yang sedang mencanangkan soal nasib bangsa Melayu kini, telah bertindak mengalihkan saluran gas tersebut ke Wilayah Selatan Thailand.  Rakyat tertanya-tanya, berapa ramaikah bangsa Melayu rakyat Malaysia yang hendak dibela di sana?

Kezaliman yang hampir sama turut dilakukan terhadap Negeri Terengganu apabila Kerajaan Pusat bertindak nekad melakukan ’rompakan di siang hari’ ke atas terimaan hasil petroleum yang sejak lebih dua dekad lalu dinikmati oleh Kerajaan Negeri.  Sedangkan, dalam masa setahun yang lalu, pemerintahan kerajaan kita telah membuktikan bahawa kita telah berusaha bersungguh-sungguh membela nasib bangsa.  Kita telah mengangkat martabat imam/bilal, meningkatkan tahap jayadiri golongan miskin dan penerima bantuan am, membebaskan rakyat daripada berbagai bebanan cukai dan tol, menyucikan kerajaan dan agensi-agensinya daripada muamalah riba dan berbagai-bagai lagi.

Lawan kepada kezaliman ialah keadilan dan kesaksamaan.  Semua manusia, secara fitrah mencintai keadilan dan menjunjung kesaksamaan.  Tidak ada manusia yang waras yang akan bersetuju dengan sebarang bentuk kezaliman.  Kerana, kezaliman adalah punca perselisihan, persengketaan, permusuhan dan perpecahan.

Jika benar pihak parti yang menerajui Kerajaan Pusat sungguh-sungguh berhasrat melihat terjalinnya perpaduan yang erat di kalangan bangsa Melayu di negara ini, maka kezaliman ke atas dua negeri yang diterajui BA mestilah ditamatkan terlebih dahulu.  Mana mungkin di masa kita menghulurkan tangan kononnya mahukan persahabatan, di masa yang sama juga kita mengasah pedang dan menggilap senapang?

Di saat pemimpin tertinggi BN menyuarakan mahu bersemuka membincangkan soal perpaduan, di saat itu juga pemimpin BN negeri keluar masuk kampung menabur ’wang ihsan’ yang dirompak dari Kerajaan Negeri.  Di saat yang sama juga BN Terengganu bergerak seolah-olah mereka ada kerajaan berasingan daripada kerajaan pilihan rakyat yang sah ini.

Kita bukan hendak mempersoalkan keikhlasan pihak lain dalam sesuatu hal.  Kerana soal ikhlas atau tidak adalah soal hati.  Tetapi, kadang-kadang dari hati itulah yang menzahirkan tindakan-tindakan lahiriah yang dapat dilihat dan dinilai oleh mata kasar.  Kita telah lama dalam politik, dan pengalaman-pengalaman lalu mengajar kita mengenal mana intan dan mana kaca.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman Bil: 16, 22 Januari 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Monday, January 8, 2001

Hukum dan Peraturan Islam mula terlaksana

Oleh: Mohd Nasir Awang

ANDAIKATA diadakan pungutan suara bagi beberapa perkataan paling popular sepanjang setahun pemerintahan Kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS di Terengganu, barangkali salah satu perkataan yang berada di carta utama ialah ”hudud”.

Sedari awal pemerintahan lagi sudah kedengaran suara-suara menuntut kerajaan yang ada melaksanakan hukum hudud di negeri ini. Kata-kata ”bila lagi nak jalankan hudud ni? Kata nak buat hukum Islam?”, seringkali kedengaran terutamanya daripada para pendokong parti pembangkang.

Kita sangat mengharapkan rungutan atau tuntutan mereka itu ikhlas. Kerana, kalau ianya berniat menyindir atau mempersendakan, mereka perlu ingat bahawa yang dipersendakan bukannya parti yang memerintah kerajaan. Silap haribulan, mereka sebenarnya mempersendakan hukum Allah Yang Maha Suci itu. Wal ’Iyazubillah.

Hudud adalah salah satu cabang kecil daripada cabang-cabang hukum dan undang-undang Islam. Kalau mahu dikira angkanya, ia sebenarnya tidak sampai pun satu peratus daripada keseluruhan hukum dan undang-undang Islam. Di sana ada hukum-hukum lain seperti Qisas, Ta’azir, Munakahat, Mu’amalat Hiwalat dan lain-lain lagi.

Sebab itu, di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-10 yang lalu PAS tidak berjanji akan melaksanakan hukum hudud. Apa yang dicatatkan ialah ”mendaulat sebuah pemerintahan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah”. Ungkapan ini secara jelas menggambarkan kesyumulan Islam dan seluruh pandangannya yang berlandaskan kepada dua sumber utama syariat Islam itu.

Dalam tempoh setahun pemerintahannya, kerajaan BA pimpinan PAS sebenarnya telah banyak melaksanakan hukum dan peraturan Islam. Terpulanglah kepada rakyat untuk menilainya berdasarkan akal fikiran yang rasional menggunakan pertimbangan hidayah.

Antara perkara awal yang dibasmikan ialah persoalan riba yang sangat dikutuk Allah itu. Justeru, Kerajaan Negeri berusaha membasmi kewujudan unsur riba di dalam pengurusan kewangannya.

Maka semua bentuk pengurusan akaun Kewangan Kerajaan Negeri, agensi-agensi dan anak-anak syarikatnya mula diuruskan mengikut sistem perbankan Islam (al-Wadiah).

Pengambilan kadar faedah empat peratus daripada Skim Pinjaman Kakitangan Kerajaan yang melibatkan skim pinjaman kereta dan komputer dihapuskan. Kadar yang sama ke atas pinjaman pelajaran daripada Dana Tabung Pendidikan Tinggi Negeri juga dihapuskan.

Bukan semata-mata di atas dasar meringankan beban sebenarnya, tetapi membebaskan mereka daripada cengkaman riba yang dikutuk Allah itu.
   
Skim Pinjaman Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu (TPUT) turut dipinda.  Dasar terdahulu yang menggunakan kaedah konvensional yang melibatkan faedah sebanyak antara satu peratus-sembilan peratus bagi jenis-jenis pinjaman Skim Modal Teroka (Venture Capital), Skim Pinjaman Langsung (SPL), Skim Kredit Pusingan (SKP) dan Skim Pemfaktoran (SP) telah diubahsuai.

Skim Pinjaman Tanpa Faedah berlandaskan sistem kewangan Islam yang diperkenalkan ialah Al-Murabahah, Al-Mudharabah, Al-ijarah dan Al-Qordhul Hasan.

Kerajaan Negeri juga begitu tegas dalam mengharamkan segala bentuk perjudian. Lesen premis perjudian dihapuskan secara mutlak. Turut dibanteras ialah kegiatan snooker, karaoke, pusat video dan sukan tinju atau tomoi yang dipercayai menjadi tempat menyemai unsur judi dan maksiat.

Soal mengangkat martabat wanita juga menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Negeri. Untuk itu, penglibatan kaum wanita di dalam setiap persembahan kebudayaan sama ada membabitkan penyanyi artis wanita atau penari-penari dalam persembahan gamelan, rodat dan seumpamanya dilarang sama sekali. Kawalan lesen persembahan dikir barat pula disyaratkan tiada penyanyi wanita.

Para pekerja wanita Islam, sama ada di sektor awam atau swasta disyaratkan menutup aurat dengan bertudung melebihi paras bahu. Manakala bagi rakan mereka yang bukan Islam dipohon berpakaian sopan.

Kerajaan Negeri juga mengarahkan semua pengusaha perhotelan, resort atau chalet dan gedung perniagaan supaya mengasingkan bilik atau asrama pekerja lelaki dan perempuan dengan harapan menghindarkan berlakunya sebarang gejala tidak diingini.

Manakala penyertaan wanita dalam Ujian Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan turut dihentikan.

Soal mengingatkan rakyat kepada Tuhan dan tuntutan agama juga dititikberatkan. Untuk itu, program tazkirah mingguan setiap hari Khamis di pejabat-pejabat kerajaan dilaksanakan. Ia lebih dipertingkatkan lagi dengan penubuhan Unit Pembangunan Insan (UPI).

Manakala Program Pekan Budaya Daerah –Daerah dan Festival Terengganu yang merupakan agenda tahunan dalam kalendar pelancongan negeri diselitkan acara ceramah atau Forum Perdana bertujuan menyuntik jiwa masyarakat agar lebih bertaqwa kepada Allah swt.

Bagi mengingatkan rakyat kepada solat, pasar malam direhatkan operasi jual-beli selama setengah jam di permulaan waktu maghrib. Manakala para pengguna jalanraya pula diingatkan dengan kalimah-kalimah tasbih, tahmid dan takbir yang dipacak dibirai-birai jalan.

Sejajar tuntutan Islam juga, kerajaan telah mengawal penggunaan minuman keras dengan mengekalkan hanya sebahagian kecil daripada lesen arak sekira-kira hanya cukup untuk masyarakat bukan Islam.

Beberapa pelaksanaan yang diutarakan di atas hanyalah sebagai contoh peraturan dan hukum Islam yang telah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Islam itu luas.  Maka hukum, peraturan dan perundangan Islam juga sudah tentu sangat luas, seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Pihak yang menganggap jika tidak melaksanakan hudud seolah-olah tidak melaksanakan syariat Islam, sebenarnya menyerlahkan tahap kefahaman mereka yang sangat sempit terhadap Islam.

Oleh itu yang penting kepada umat Islam ialah memahami Islam dalam erti kata yang sebenarnya, bukan secara kefahaman yang sempit.                

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 15, 8 Januari 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)