Friday, December 31, 2010

Isu logo 1-Malaysia serlah sikap hipokrit BN

Biar pun isu larangan penggunaan logo 1Malaysia di Selangor yang tercetus minggu lalu didakwa memakan diri Pakatan Rakyat (Pakatan), khususnya kerajaan negeri dipimpin Keadilan itu, ia sebenarnya turut menyedarkan rakyat terhadap sikap hipokrit Barisan Nasional (BN) selaku penguasa kerajaan Pusat dalam isu-isu seumpamanya.

Isu berkenaan dilaporkan menjadi pertikaian umum ekoran arahan dikeluarkan pihak Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kepada pemilik sebuah kedai serbaneka di bandar berkenaan agar menurunkan logo 1Malaysia yang dipasang di kedai itu.

Pemilik kedai berkenaan bagaimana pun bukan sahaja tidak mengendahkan arahan tersebut, sebaliknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, 20 Disember. Beliau dilaporkan turut menghantar bantahan sama kepada Yang Dipertua MDKL serta menuntut penjelasan.

Tidak cukup setakat itu, sikap tidak sedia tunduk kepada undang-undang dan peraturan ditunjukkan pekedai yang dipercayai pendukung MIC itu turut disemarakkan lagi oleh Umno dan MIC bahagian Kuala Langat.

Sikap ‘batu api’ itu mereka pamerkan menerusi perhimpunan haram di hadapan kedai tersebut, semata-mata mahu menunjukkan mereka menyokong pendirian pekedai yang tidak bersedia mematuhi arahan tersebut.

Itulah hipokritnya BN. Biar pun selalunya perhimpunan untuk menyuarakan sesuatu bantahan seumpama itu suatu yang amat dibenci dan dikutuk para pemimpin parti itu, dalam kes ini pendukung BN sendiri pula yang berada di depan menjayakannya.

Ekoran insiden yang sengaja diperbesarkan itu, BN bagaikan mendapat modal politik baru untuk mengganyang Pakatan, lebih-lebih lagi kerajaan Selangor. Beberapa label segera dilontarkan kepada kerajaan negeri.

Antaranya, Keadilan selaku peneraju gagal menghayati konsep demokrasi yang diperjuangkannya. Kononnya larangan premis perniagaan menaikkan logo 1Malaysia bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara di kalangan rakyat, bahkan tidak konsisten dengan dasar perjuangan Keadilan secara khusus dan Pakatan amnya.

Tindakan MDKL itu turut ditafsirkan sebagai bukti kerajaan negeri kini berada dalam ketakutan. Kononnya arahan sedemikian adalah kerana Pakatan semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat yang positif terhadap BN. Lalu sebarang perkara berkaitan BN, termasuk logo 1Malaysia menjadi mangsa sekatan dan diskriminasi kerajaan Pakatan.

Kita percaya tentu ada rakyat negara ini yang merasa loya dan mual membacakan komen dan ulasan-ulasan sedemikian. Mahu tidaknya jika diambil kira betapa perlakuan negatif yang dihalakan ke arah kerajaan Pakatan itu sebenarnya suatu amalan yang telah lama bersebati dalam pemerintahan BN sendiri.

Apakah layak BN bercakap soal kebebasan bersuara tatkala media-media milik parti pembangkang masih dipasung dengan pelbagai akta dan peraturan? Di masa sama, BN boleh memanfaatkan semahunya segenap ruang dan peluang disajikan pelbagai saluran media arus perdana untuk memburuk dan memfitnah pembangkang.

Kerap kali apabila terdesak BN cuba membuktikan kononnya media talibarutnya juga menyediakan ruang dan peluang secukupnya untuk pembangkang mengutarakan pandangan dan mesej kepada rakyat. Tidak sukar diakui ia bukan realiti yang wajar dibanggakan.

Contohnya, kerajaan Selangor sendiri pernah mengemukakan permohonan secara rasmi kepada RTM agar Menteri Besarnya diberi ruang khusus menerusi siaran langsung di Selangor fm. Mereka bukan meminta masa yang panjang atau siaran harian, tetapi hanya selama sejam setiap minggu. Siaran itu bagi membolehkan MB dan ahli-ahli Exconya berhubung secara langsung dengan rakyat di udara.

Kita tidak nampak di mana tidak rasionalnya tuntutan itu. Pertama, dari sudut sifatnya selaku parti pemerintah, tentu ada keperluan amat mustahak untuk pemimpin negeri berkomunikasi di udara dengan rakyat, sepertimana lazim dimanfaatkan BN di negeri-negeri lain.

Kedua, tuntutan itu bertepatan dengan lunas demokrasi dan kebebasan bersuara yang sering diperjuangkan BN.

Ketiga, ruang masa dipohon itu pula bukan suatu yang panjang. Selangor fm bersiaran setiap hari mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam. Sepanjang tempoh itu BN sudah ada begitu banyak ruang untuk kemanfaatannya.

Jika BN merasakan telah berupaya meyakinkan rakyat dengan kemajuan dan kejayaan pemerintahannya, mengapa begitu takut untuk memberikan hanya sejam daripada seminggu kepada kerajaan negeri? Bukankah penafian BN terhadap peluang pembangkang tampil di media miliknya juga boleh dijadikan bukti kebimbangan parti itu terhadap pengaruh parti lawan?

Tuntutan sama pernah diperjuangkan kerajaan PAS di Terengganu dan telah dua dekad disuarakan kerajaan Kelantan. Setakat ini belum nampak sebarang petanda BN bersedia mendemokrasikan media elektronik miliknya untuk pembangkang. Justeru, apakah layak BN bercakap mengenai pendirian yang demokratik?

Itu belum lagi kita ambilkira betapa para pemimpin Pakatan yang memerintah negeri-negeri dihalang langsung daripada memasuki institusi kerajaan Pusat, terutama pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah. Bukan sahaja batang tubuh mereka tidak dibenarkan, potret rasmi Menteri Besar Pakatan juga dilaporkan tidak dibenarkan dipamer di premis-premis kerajaan Pusat di negeri-negeri berkenaan.

Dalam isu minggu lalu, BN menghujah betapa logo 1Malaysia adalah simbol milik negara yang sepatutnya diterima semua rakyat, maka apakah para pemimpin kerajaan negeri Pakatan juga tiada hak meletakkan mereka sebagai pemimpin kepada semua rakyat negeri yang mereka perintah?

Sementara kerajaan Selangor kini telah memgambil tindakan membeku arahan MDKL itu dan memberi jaminan membincangkan semula perkara berkenaan dalam mesyuarat Exco Negeri, kita tidak nampak di masa sama dasar dan sikap BN terhadap kebebasan bersuara dan bersemuka dengan rakyat oleh pemimpin Pakatan bakal dikaji semula.

Itulah hipokritnya BN!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini diterbitkan tabloid Harakah Bil: 1601, 31 Disember 2010 dengan tajuk sama di ruangan kolumnis, F22)

Wednesday, December 29, 2010

Melaka tak guna Proton, kenapa tak kecoh?

Selasa, 28 Disember 2010, genap lah seminggu tersiarnya laporan mengenai cadangan Kerajaan Negeri Melaka menukar kereta rasmi bagi kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)nya pada tahun depan.

Malangnya, impak penyiaran berita itu sama sekali berbeza dengan laporan serupa yang pernah tersiar di media kira-kira dua tahun lalu. Berita yang melibatkan perkara sebegitu penting bagi sebuah kerajaan hanya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang ulasan atau laporan susulan mana-mana media arus perdana.

Ia hanya muncul sekali itu dan terus menghilang dari paparan media. Bahkan, tidak mustahil jika dikatakan sebahagian besar rakyat negara ini langsung terlepas pandang akan perkara itu.

Sedangkan berita disiarkan minggu lalu itu bukan berasaskan kenyataan atau maklumat tidak rasmi dari sumber tertentu. Ia sebaliknya dipetik secara bertanggungjawab dari kenyataan dibuat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sendiri.

Sebuah akhbar arus perdana pada 21 Disember memetik beliau sebagai berkata, kerajaan negeri pimpinannya mencadangkan penggunaan kereta baru jenis Honda Accord atau Nissan Teana V6 bagi kegunaan Exco, termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), pegawai undang-undang dan pegawai kewangan. Ia bagi menggantikan kereta jenis Proton Perdana Eksekutif yang digunapakai kini.

Sebetulnya cadangan sedemikian bukan lah suatu yang pelik atau layak diperbesarkan. Menukar kereta baru tidak lebih suatu rutin kerajaan, terutama apabila sampai tempoh tertentu penggunaan kenderaan rasmi sedia ada.

Di atas berbagai sebab, termasuk kos penyelenggaraan, keselesaan penggunaan dan seumpamanya, keperluan menukar kepada kereta baru tidak sukar dirasionalkan. Alasan diberikan Mohd Ali juga melibatkan rasional sama.

“Sejak 10 tahun lalu kenderaan rasmi jenis Proton Perdana Eksekutif digunakan Exco, tetapi kita terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi akibat pelbagai kerosakan,” katanya.

Sebelum ini pun rakyat tidak begitu mengambil pusing tindakan mana-mana kerajaan menukar kereta rasmi, walau seberapa kerap mereka berbuat demikian atau melibatkan apa juga jenama pembuatan kenderaan terbabit.

Namun itu cerita sebelum 2008, atau lebih tepat lagi sebelum berlakunya tindakan menukar kereta rasmi oleh kerajaan negeri Perak yang ketika itu diperintah Pakatan Rakyat (PR). Apabila langkah kerajaan negeri itu menukar kereta rasmi dimanipulasi para pemimpin Barisan Nasional (BN) dan diseret secara negatif oleh media-media talibarut parti itu, maka ia seakan menjadi kes pemula kepada pertikaian rakyat terhadap tindakan sedemikian.

Dalam ertikata lain, jika tidak kerana kerakusan BN dan kegelojohan media dikuasainya memperbesarkan langkah kerajaan Perak itu, maka isu penukaran kereta rasmi kerajaan tidak sepatutnya menjadi isu.

Malangnya, agenda biasa pemerintahan yang telah sekian lama dilakukan BN sendiri itu telah dimanipulasi secara tidak bertanggungjawab. Tanpa tangguh kerajaan PR Perak menjadi sasaran kecaman para pemimpin BN sebaik sahaja Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan kerajaannya telah memesan 16 buah kereta jenis Toyota Camry 2.4 bagi menggantikan Perdana V6 yang digunakan ketika itu.

Keadaan diburukkan menerusi perlumbaan media-media talibarut BN yang sengaja menyorot dan membuat tinjauan susulan isu berkenaan secara negatif. Komen dan ulasan pelbagai pihak sengaja ditonjol dari perspektif memburukkan kerajaan PR.

Alasan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi diberikan Nizar turut dipertikaikan. Bahkan, kenyataan pihak pengurusan Proton turut dipetik semata-mata untuk menafikan produk keluarannya berisiko mengalami kerosakan agak kerap seperti didakwa.

Ia sekaligus bagai menafikan fakta perbelanjaan RM1.3 juta bagi kos penyelenggaraan ditanggung kerajaan Perak antara 2004 hingga 2008 sepertimana dimaklumkan Nizar.

Kini, kita tertunggu-tunggu bila lagi pihak pengurusan tertinggi pengeluar kereta nasional itu akan menafikan dakwaan Mohd Ali pula. Jika benar bagai didakwa mereka ketika menyangkal kenyataan Nizar dua tahun lalu, tempoh seminggu yang telah berlalu kini sepatutnya lebih dari cukup untuk mereka tampil dengan penafian sama.

Tidak cukup setakat itu, pertikaian terhadap tindakan kerajaan PR Perak dulu turut diseret sehingga membabitkan isu patriotisme terhadap negara. Telah menjadi dasar kerajaan sejak beberapa tahun lalu untuk menjadikan kereta Proton sebagai kenderaan rasmi pembesar kerajaan.

Justeru, tindakan Perak menukarkannya dengan kereta import dianggap tidak patriotik. Pelbagai pihak tampil mengecam kerajaan negeri itu kononnya membelakangkan kereta nasional.

Malah isu itu secara tersirat semacam sengaja diseret bagi memberikan gambaran menakutkan tentang kemungkinan identiti negara tergugat sekiranya PR mengambil alih kuasa di peringkat Pusat.


Kini, sekali lagi kita tertunggu-tunggu bila lagi penilaian dan label sama dilontarkan kepada Mohd Ali dan kerajaan Melaka pula. Bukankah kereta baru pilihan mereka juga bukan model buatan tempatan?

Ke mana pula hilangnya nilai patriotisme yang kononnya amat dipertahankan para pemimpin dan penjuak BN dua tahun lalu? Ataukah dalam perkiraan mereka, asal saja sesuatu itu dibuat BN, semuanya dikira okay, walau pun dianggap amat negatif sekiranya perkara sama dibuat parti lawan.

Jika begitu halnya, dan setakat ini memang pun itulah hakikatnya, maka BN jangan salahkan orang jika dinilai sebagai bersikap dwi-piawai, hipokrit, lidah bercabang, talam dua muka dan berbagai label seumpamanya.

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 29 Disember 2010 dengan tajuk "Tak kecoh pun Melaka tak guna Proton")

Monday, December 27, 2010

Pincangnya nilaian penganalisis terhadap Program 100 Hari

Agak terserlah kegusaran pelbagai pihak yang berkepentingan dengan Barisan Nasional (BN) melihatkan hasil positif Konvensyen Pakatan Rakyat (Pakatan) kali kedua di Pulau Pinang, minggu lalu.

Perasaan yang cuba disembunyikan itu tersirat menerusi pelbagai komen mereka, sama ada sebagai reaksi terhadap kenyataan para pemimpin Pakatan, atau sebagai mengulas hasil-hasil disepakati perhimpunan tersebut.

Di antara keputusan konvensyen yang agak menjadi fokus ulasan media ialah Program 100 Hari dikemukakan pakatan pembangkang. Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan.

Antara yang disebutkan ialah mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol dan merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Turut dirancang ialah mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan FELDA Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga FELDA.

Rata-rata penjuak BN, sama ada yang bercakap atas platform politik mahu pun akademik, bagaimana pun gagal menilai tawaran ini secara positif. Ada yang digelar pakar ekonomi menganggapnya sebagai pembaziran. Selain membabitkan wang berbilion ringgit, ia juga didakwa boleh memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

Ada pandangan lain mengatakan Program 100 Hari Pakatan bakal memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur asing. Tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar “wayang politik” pembangkang yang tidak selari dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Reaksi beberapa penganalisis politik turut disorot. Bagai diduga, yang menguasai media arus perdana hanya pandangan-pandangan yang tidak merugikan BN. Kebanyakannya pula tersurat maksud memperlekeh kemampuan Pakatan merealisasikan program dimaksudkan.

Malangnya, keghairahan para penganalisis ini mengampu BN dan mempertikai keupayaan Pakatan turut sama menyerlahkan hujah yang tersasar dan sandaran agak dangkal. Pandangan mereka kelihatan amat tidak setanding dengan status akademik agak tinggi yang mereka miliki.

“Kita masih tidak nampak sebarang perubahan besar di negeri yang ditadbir pembangkang (Pakatan), mungkin ada sedikit perubahan tetapi secara keseluruhan pembangunan sebenar dibawa oleh BN (menerusi projek Kerajaan Pusat),” demikian ulasan seorang penganalisis bertaraf Profesor Madya dari sebuah universiti tempatan.

Komen sealiran itu turut diberikan seorang lagi penganalisis politik, juga pemegang Doktor Falsafah dari universiti sama. Beliau menyifatkan tawaran Pakatan itu sebagai menabur janji manis kepada rakyat untuk meraih sokongan mereka.

Menurutnya, memang amat mudah untuk menawarkan suatu yang kelihatan ‘begitu cantik’ di atas kertas, tetapi untuk melaksanakannya dalam realiti adalah suatu yang luar biasa dan mustahil jika dilihat kepada kemampuan serta kepakaran sedia ada dalam pentadbiran Pakatan.

“Ini sudah terbukti apabila manifesto mereka dalam pilihan raya umum lalu adalah terlalu ‘manis’ sehingga masih banyak yang tidak mampu dilaksanakan di negeri yang mereka kuasai walau pun sudah lebih dua tahun,” media memetik katanya.

Satu persamaan nyata dari hujah kedua-dua penganalisis yang dianggap pakar itu ialah sandaran yang masing-masing gunakan. Mereka menilai kemampuan Pakatan berdasarkan prestasi pemerintahannya beberapa negeri kini.

Lalu keupayaan yang serba terbatas dan tempoh masa yang terlalu singkat itu dijadikan sandaran utama membandingkan kemampuan Pakatan dengan keupayaan BN yang menguasai Kerajaan Pusat sejak lebih separuh abad lalu. Apakah ia perbandingan yang adil?

Di situlah terserlahnya kepincangan hujah mereka. Sepertimana disebutkan, Program 100 hari itu adalah perancangan Pakatan sekiranya mengambil alih pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Justeru, amat tidak tepat jika mahu menilai kemampuan Pakatan melaksanakannya berdasarkan tahap keupayaan beberapa kerajaan negeri sedia ada.

Sepatutnya penganalisis bertaraf akademik sebegitu tinggi tidak cuba menutup realiti berbeza yang bakal dihadapi. Sekiranya Pakatan mengambil alih pemerintahan negara, bermakna keupayaan pemerintahan Pakatan ketika itu bukan lagi setaraf kuasa kerajaan negeri-negeri seperti kini.

Kita yang tidak berkelulusan tinggi pun dapat menerima hakikat bahawa tatkala itu sudah tentu jauh berbeza keupayaannya mentadbir dan menyempurnakan pelbagai agenda pemerintahan.

Semua jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan lain-lain pihak yang ada kaitan sedikit-sebanyak dengan kerajaan akan bersama-sama menjayakan agenda tersebut. Manakala pelbagai saluran media arus perdana pula sudah tentu tidak lagi menjadi batu api menyemarakkan pertikaian dan keraguan di hati rakyat terhadap apa juga agenda pemerintahan Pakatan.

Tidak mustahil juga, ketika itu para penganalisis politik yang gemar mengampu BN kini pun akan turut mencari justifikasi positif terhadap setiap agenda dikemukakan kerajaan Pakatan.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1600, 27 Disember 2010 dengan tajuk sama).

Friday, December 24, 2010

Tenang berpotensi jadi gelora buat BN

Ada benarnya kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor, secara tradisinya milik Barisan Nasional (BN). Tanpa hipokrasi, semua pihak terutama parti-parti pembangkang wajar akui kawasan berkenaan bukan medan selesa buat mereka.

Justeru, biar pun berharap dapat menawan kerusi itu suatu masa nanti, jangan lupa hakikat bahawa ia tidak pernah ditawan pembangkang selama ini.

Punbegitu, tidak juga wajar ditolak kemungkinan rekod bersih BN itu boleh diubah. Sepertimana sering disebutkan, politik adalah ‘seni segala kemungkinan’. Ertinya, dalam politik tiada yang boleh dianggap mustahil.

Sementara pihak yang pernah kalah tidak memasuki pilihan raya di kawasan sama dengan hasrat untuk kalah lagi, begitu juga pihak yang menang. Ia selalunya tidak mengambil mudah perkembangan sosio-politik semasa yang berpotensi merubah aliran sokongan pengundi kepada parti-parti bertanding.

Hakikat serupa nampaknya turut diakui BN dalam usahanya mempertahankan kerusi Dun Tenang nanti. Kenyataan penuh hati-hati oleh Muhyiddin dalam mengulas persediaan partinya menghadapi pilihan raya kecil kawasan berkenaan menggambarkan segalanya.

“Dalam apa juga pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, kita (BN) jangan pandang mudah walau pun dalam rekod kerusi Dun Tenang memang dimenangi Umno sejak dulu,” katanya, sepertimana dipetik media pada Ahad, 19 Disember.

Beliau mengulas cakap-cakap mengenai pilihan raya kecil di kerusi berkenaan dalam masa terdekat. Sehingga rencana ini ditulis (Isnin), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh-tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu.

Kerusi Dun Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Sulaiman Taha, 17 Disember, akibat jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi kencing manis.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keduanya setelah mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Meski pun kemenangan itu turut mempertahankan rekod bersih BN di kawasan tersebut, ia bukan sesuatu yang amat menyelesakan parti itu. Kecenderungan dan pola perubahan aliran undinya, terutama yang menampakkan kemerosotan sokongan terhadap BN dan peningkatan undi memberangsangkan oleh PAS, nyata menggusarkan BN.

Apatah lagi dalam pilihan raya lalu, kecenderungan pengundi beralih angin kepada parti-parti pembangkang terserlah di seluruh Johor. Jumlah undi diraih BN ketara menurun, manakala undi parti-parti lawan rata-rata menokok, sekali gus menipiskan majoriti kemenangan BN.

Jumlah kerusi pembangkang juga bertambah daripada hanya satu pada 2004 kepada enam. PAS sendiri buat pertama kali dalam sejarah memenangi dua kerusi Dun di Johor secara bertanding. Ada pun kemenangan sulungnya pada 2004 di Dun Senggarang diperolehinya tanpa bertanding.

Biar pun jumlah enam kerusi milik pembangkang kini masih terlalu jauh untuk dianggap gugatan kepada kestabilan kerajaan BN dengan baki 50 kerusi, potensi untuk pembangkang menapak lebih gagah di masa depan tidak wajar diperkecilkan.

Bahkan, sekiranya pola perubahan selera pengundi sepertimana tergambar menerusi dua pilihan raya umum lalu berterusan, tidak mustahil lebih banyak kerusi di Johor termasuk Dun Tenang, jatuh ke tangan pembangkang.

Analisa perbandingan keputusan beberapa pilihan raya lalu di Dun Tenang sendiri menampakkan pola perubahan agak ketara memihak kepada PAS. Pada 1999, PAS mengambilalih tugas berdepan BN daripada Parti Semangat 46 (S46). Calon PAS memperolehi hanya 4,125 undi berbanding calon BN dengan 12,774 undi.

Majoriti kemenangan BN ialah 8,649 undi. Bagaimana pun, satu hakikat menarik, calon PAS berjaya meningkatkan peratus perolehan undi daripada hanya 15 peratus (oleh calon S46 pada 1995) kepada lebih 23 peratus.

Ekoran persempadanan semula, jumlah pemilih di Dun Tenang berkurangan kepada 14,146 pada 2004 berbanding 23,726 pada 1999. Jumlah dapatan undi calon PAS juga merosot kepada hanya 2,138 undi. Bagaimana ia mengekalkan populariti pada tahap 21 peratus.

Majoriti kemenangan BN turut merosot kepada hanya 5,517 undi. Sulaiman yang bertanding buat pertama kali mendapat 7,655 undi atau 75.2 peratus daripada jumlah keluar mengundi.

Pada 2008, PAS dan BN masing-masing mengekalkan calon sama. Bagaimana pun, perolehan undi kedua-dua mereka memberikan harapan amat positif buat PAS.

Sulaiman memperolehi 6,367 undi atau 59.76 peratus, merosot 1,288 undi atau 15.4 peratus. Sebaliknya Mohd Saim mendapat 3,875 undi atau 36.4 peratus, meningkat 1,737 undi atau 15.37 peratus berbanding 2004.

Majoriti kemenangan BN juga tinggal hanya 2,492 undi. Apakah jumlah itu tersangat besar dan mustahil diatasi PAS? Akui lah kemenangan PAS di Dun Sungai Abong dan Maharani adalah jauh lebih mustahil. Jangan lupa pada 2004 PAS kalah di kedua-dua kerusi tersebut dengan majoriti lebih 6,000 undi.

PAS mungkin tidak sayugia terlalu ambitious untuk menang pada pilihan raya kecil ini. Namun, mengambilkira segala kemungkinan itu beserta andaian pola perubahan tadi mungkin berterusan, BN ada sebab sangat munasabah untuk bimbang kerusi Dun Tenang berpotensi menjadi ‘gelora’ buatnya.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1599, 24 Disember 2010 dengan tajuk sama)

Memahami kemarahan Nik Aziz kepada perokok

Sebuah akhbar arus perdana pada Isnin menyorot kebanjiran rokok haram pelbagai jenama di pasaran tempatan. Ia dikatakan dijual pada harga RM3.50 sekotak mengandungi 20 batang, iaitu separuh harga minimum RM7 yang ditetapkan kerajaan.

Menurut satu sumber, penjualan rokok murah itu menguasai 20 peratus pasaran rokok negara. Berikutan lambakan itu juga kerajaan didakwa kerugian RM1 bilion setahun apabila pengeluarnya tidak membayar duti eksais dan cukai jualan kepada kerajaan.

Kebanjiran produk tembakau itu turut dikaitkan dengan risiko kesihatan. Rokok murah itu dikatakan mengandungi kadar nikotin dan tar melebihi paras dibenarkan. Ia juga didakwa menggunakan daun tembakau yang tidak memenuhi piwaian Lembaga Tembakau Negara.

Sementara dakwaan-dakwaan itu dilihat lebih sebagai sandaran pihak tertentu agar rakyat mengelak daripada membeli rokok murah tersebut, komen Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dinilai lebih rasional.

Beliau yang turut dipetik reaksinya menganggap penjualan rokok pada harga serendah itu secara berleluasa menyebabkan terbantutnya usaha kerajaan mengekang keupayaan membeli rokok di kalangan pengguna, terutama remaja dan pelajar berumur 18 tahun ke bawah.

Menurutnya, tujuan kerajaan menguatkuasakan penetapan harga minimum di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2009 pada 1 Oktober lalu ialah untuk membendung peningkatan jumlah perokok, selain mengekang gaya hidup tidak sihat di kalangan rakyat.

Sorotan akhbar itu segera mengingatkan penulis kepada rungutan seorang rakan baru-baru ini, juga berkaitan rokok. Beliau menceritakan insiden yang berlaku sewaktu Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan kuliah pagi Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu.

Katanya, Nik Aziz yang melihat ada hadirin merokok ketika sedang berkuliah secara spontan mengulas tabiat itu. Beliau memberikan teguran agak keras kepada perokok, seraya menyifatkan mereka sebagai tidak bertimbang rasa terhadap orang lain.

Menurut rakan tadi, ekoran herdikan Nik Aziz itu, ada hadirin yang segera mencampakkan rokok yang masih di mulut mereka. Ada yang berubah air muka, tidak kurang juga yang terus beredar dari kelompok hadirin, barangkali terasa terpukul atau malu.

Katanya, reaksi hadirin terhadap ulasan Mursyidul Am PAS pagi itu bercampur-campur. Ada yang menganggapnya agak keras. Ada juga yang berkata ia sepatutnya tidak dianggap suatu yang mengejutkan.

Sudah dimaklumi betapa sikapnya terhadap perokok amat konsisten sejak sekian lama. Masakan anda, khususnya ahli dan penyokong PAS, sudah lupa apa reaksinya apabila ditanya wartawan berhubung kriteria calon partinya sejurus sebelum pilihan raya umum lalu?

Di antara kata Nik Aziz, seseorang yang mahu menjadi calon PAS mestilah bukan perokok. Walau pun tidak diketahui sejauh manakah pandangan beliau itu digunapakai sebagai garis panduan oleh parti dalam memilih calon-calon bagi pilihan raya lalu, ia setidaknya menjelaskan pendirian peribadi Nik Aziz berhubung rokok.

Justeru, jika pun dalam insiden terbaru di Kota Bharu itu beliau dilihat agak ‘melenting’ dengan tabiat sebilangan hadirin yang masih merokok, ia sesuatu yang sepatutnya boleh difahami.

Malah, bagi yang menerima secara positif luahan beliau itu, berbagai fakta dan kenyataan tersedia membantu merasionalkannya. Sebelum ini kita pernah didedahkan dengan beberapa fakta dan hakikat memalukan berhubung rokok.

Pertama, ada tiga juta rakyat Malaysia dikategorikan sebagai perokok. Kedua, sekiranya setiap mereka menghabiskan sekotak rokok sehari, bermakna mereka membelanjakan tidak kurang RM20 juta sehari bagi membeli rokok.

Ketiga, statistik Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan pernah menyebut, lebih 10,000 kes kematian berkaitan amalan merokok direkodkan di negara ini setiap tahun.

Manakala fakta keempat, dan paling mengecewakan, ialah kerajaan dikatakan membelanjakan RM3.5 bilion setahun bagi memberi rawatan kepada perokok yang menderita tiga jenis penyakit berpunca daripada tabiat buruk mereka itu.

Fakta dan hakikat tersebut menjuruskan kita kepada pelbagai persoalan, terutama berhubung kesan dari amalan merokok. Paling wajar ditanyakan ialah apakah berbaloi perbelanjaan lebih RM3 bilion setahun itu untuk menyelamatkan nyawa orang yang sengaja mencari pasal atas penyakit mereka?

Maaf cakap, bebanan perbelanjaan yang terpaksa dihadapi kerajaan itu sebenarnya suatu yang sangat malang bagi negara. Dari satu sudut, ia tiada beza dengan kerugian ditanggung negara akibat menangani gejala penagihan dadah.

Penyakit akibat merokok adalah bala yang sengaja ditempah. Justeru, apa wajarnya menghabiskan duit rakyat untuk itu?

Jika anda termasuk golongan perokok tegar, jangan mudah tersinggung kalau ada orang persoalkan tabiat anda. Sebaliknya tanyakan soalan mudah kepada diri sendiri, apakah faedah yang anda dan masyarakat perolehi hasil tabiat buruk anda itu?

Ya, memang anda berhak persoalkan kembali, apa hak orang lain persoalkan bagaimana anda membelanjakan duit anda sendiri, termasuk untuk membeli rokok. Masalahnya, ia tidak terhenti setakat itu. Apabila anda kena serangan jantung, kena tibi, batuk berdarah dan seumpamanya, anda tidak terus mati. Anda pergi hospital.

Tidak semua pesakit menerima rawatan menerusi pembiayaan sendiri. Majoritinya menggunakan duit kerajaan. Duit RM3.5 bilion setahun dibelanjakan kerajaan itu adalah duit rakyat, duit kita semua.

Katakanlah Pakatan Rakyat (PR) dan PAS ditakdirkan menawan Putrajaya dalam pilihan raya nanti. Apakah suatu yang selesa dan menguntungkan kerajaan kita jika terpaksa membelanjakan duit sebanyak itu semata-mata untuk merawat perokok yang sengaja mencari pasal?

Bayangkan saja jika tidak dihabiskan untuk tujuan itu, betapa banyak perkara lain dapat dibuat kerajaan kita dengan duit sebanyak itu. Jika sebuah gelanggang futsal memakan belanja RM150,000, berapa buah gelanggang dapat kita buat untuk anak-anak muda seluruh negara dengan RM3.5 bilion?

Duit sebanyak itu juga dapat kita gunakan untuk membina lebih 100 ribu unit rumah mampu milik bernilai RM33,000 setiap satu. Ertinya, kita akan berjaya membantu lebih 100 ribu keluarga mendapat rumah percuma.

RM3.5 bilion setahun itu juga mungkin boleh dimanfaatkan untuk menstruktur semula subsidi berbagai barangan keperluan harian rakyat. Harganya dapat kita turunkan. Bukankah itu antara agenda pemerintahan PR (Price Reduce), berbanding BN (Barang Naik)?

Oleh itu, apa yang diutarakan ini jangan dipandang semata-mata dari sudut menjayakan kempen anti-merokok dibuat kerajaan. Ia sebaliknya membabitkan tanggungjawab sosial yang sepatutnya dimainkan setiap warga negara.

Perlu diingat bahawa asas utama dalam hidup kita ialah kita tidak mahu orang lain menyusahkan kita. Di atas hasrat sama, kita juga sepatutnya berfikir agar sebarang perbuatan dan tabiat kita tidak menyusahkan orang lain.

Apatah lagi jika tabiat kita itu menyebabkan berbagai faedah dan manfaat yang sepatutnya diperolehi orang lain turut terjejas. Fikir-fikirkanlah!

(Artikel ini disiarkan HarakahDaily, 24 Disember 2010 dengan tajuk "Di sebalik Nik Aziz marah para perokok")

Monday, December 20, 2010

Kudeta: Penafian Muhyiddin ibarat tutup bangkai gajah dengan nyiru

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas cuba menenangkan perasaan sendiri apabila menafikan lontaran pemimpin PAS bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin merancang rampasan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau sebaliknya menganggap kenyataan dibuat Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar, itu satu pembohongan, berunsur fitnah dan berniat jahat yang sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan rakyat terhadap partinya.

Muhyiddin dilaporkan mengulas kenyataan Mahfuz yang merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak sebelumnya, bahawa tidak ada kerajaan lain boleh mentadbir Malaysia selain BN.

Menurut Mahfuz, kenyataan Najib itu boleh diertikan seolah-olah menganggap rakyat tersalah pilih sekiranya membiarkan Pakatan menang dalam PRU nanti. Sikap dan pendirian sedemikian, menurut Mahfuz, boleh membawa maksud BN berkemungkinan merancang melakukan rampasan kuasa sekiranya mereka tewas.

Nampak sangat Timbalan Presiden Umno itu amat terganggu dengan andaian tersebut. Perasaan itu mungkin ekoran perkembangan politik semasa yang semakin merimaskan BN. Mungkin juga kerana mengenangkan rekod kepakaran BN dalam kerja buruk itu memang amat dimaklumi umum.

Sebab itu biar pun Muhyiddin begitu bersungguh berusaha menafikannya, hujah dituturkannya amat dangkal dan layak ditertawakan. Apakah semudah itu rakyat boleh percaya bila dikatakan BN sentiasa menerima dengan baik kekalahannya dalam pilihan raya?

“Jadi tidak timbul soal kudeta (rampasan kuasa). Jika sudah diandaikan begitu, tentu sudah berlaku (kudeta apabila BN kalah di negeri tertentu), tapi ini tak berlaku,” katanya.

Tidak syak lagi kenyataan ini amat hanyir dan memualkan. Kebetulan pula ulasan itu beliau buat selepas satu majlis dekat Ipoh, Perak. Kemelut politik berterusan di negeri itu sendiri menjadikan cakap Muhyiddin itu amat tidak serupa bikin. Sebaliknya, kriris yang berlanjutan hingga kini ekoran ‘kudeta’ oleh BN di negeri itu menghidangkan contoh sangat relevan dengan andaian disebutkan Mahfuz itu.

Umum mengetahui betapa keadaan di Perak kini tidak bertambah baik. Terbukti segala jangkaan ketenangan politik dan gambaran muluk untuk rakyat negeri itu setelah kerajaan Pakatan dirampas BN setakat ini kekal fatamorganik.

Ada yang menyalahkan Pakatan atas kemelut berpanjangan itu. Kononnya setelah berlalu sekian lama dan adanya beberapa keputusan di mahkamah berhubung pertikaian itu, Pakatan patut mengalah dan menerima BN sebagai kerajaan sah demi kepentingan rakyat.

Tidak kurang juga yang kekal berpegang kepada pandangan bahawa punca kemelut politik di Perak ialah apabila BN merampas kuasa. Parti itu dinilai tidak sabar menunggu pilihan raya untuk berusaha memerintah semula secara demokratik. BN dianggap terlibat memusing pendirian politik tiga bekas wakil rakyat Pakatan, yang menjadi punca utama krisis di negeri itu.

Apatah lagi rekod kesukaran BN menerima kekalahan bukan hanya terserlah di Perak. Kita boleh membawakan contoh lain yang menggambarkan secara jelas betapa BN sanggup mengaplikasi apa jua taktik dan strategi tidak bermoral dan mengenepikan lunas demokrasi semata-mata demi mendapatkan kembali kuasa kerajaan negeri yang hilang.

Kes Kelantan adalah contoh klasik. Setelah empat penggal diperintah PAS, sejak pilihan raya pertama pada 1959, BN kehabisan ikhtiar mengembalikan kuasanya di negeri itu. Niat jahat mereka akhirnya dijelmakan menerusi taktik sangat tidak bermaruah sehingga menggadai keselamatan awam.

Rusuhan yang sengaja dicipta membuka ruang kepada perisytiharan darurat. Kerajaan negeri digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) mengambil alih menerusi bidang kuasa kerajaan Pusat.

Dalam keadaan huru-hara dan rakyat diselubungi ketakutan dengan berbagai insiden direkacipta serta propaganda BN, pilihan raya baru diadakan. PAS tinggal dua kerusi, kerajaan negeri tumbang dan berjaya dirampas BN.

Drama agak berlainan berlaku di Sabah. Kerajaan PBS yang kembali berkuasa untuk penggal kedua(?) dinafikan hak mengangkat sumpah menerajui kerajaan negeri. Dalam masa hanya beberapa hari, seorang demi seorang Adun PBS berpaling tadah kepada BN. Biar pun BN menafikan terlibat dalam komplot itu, apakah rakyat begitu bodoh untuk mempercayainya?

Taktik BN menumbangkan kerajaan PAS Terengganu juga amat memalukan. Menerusi manipulasi kuasa kerajaan Pusat ke atas Petronas, BN menafikan royalti minyak yang membentuk 75 peratus kewangan negeri. Ia melumpuhkan kerajaan diterajui PAS. Di masa sama wang itu menjadi talian hayat Umno, apabila parti itu diberi keistimewaan menyalurkannya terus kepada rakyat sebagai wang ihsan.

Memang apa yang berlaku di empat negeri itu bukan kudeta dalam ertikata rampasan kuasa bersifat ketenteraan. Namun, sejarah tetap mencatatkannya sebagai taktik tidak bermoral dan strategi amat jahat oleh BN yang rakus mengekalkan kuasa.

Justeru, usaha Muhyiddin menafikan kemungkinan dibayangkan Mahfuz tadi boleh diibaratkan cubaan menutup bangkai gajah dengan nyiru. Ia bukan sahaja gagal menghalang bau busuknya menerjah hidung setiap yang berada berdekatan, bahkan badan binatang paling besar itu juga tidak terlindung dan dapat dilihat dengan jelas.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1598, 20 Disember 2010 dengan tajuk sama)

Friday, December 17, 2010

Permata Seni pelaburan terbaik rawat kebobrokan sosial?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipetik media cetak pada Khamis, 16 Disember sebagai menganggap Program Permata Seni satu pelaburan jangka panjang pembangunan modal insan negara. Usaha itu dikatakan sejajar dengan hasrat kerajaan di dalam Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau memuji program berkenaan sebagai kaedah terbaik memenuhi keperluan kanak-kanak yang berbakat dalam seni terutama bidang koir, muzik dan seni tari. Menurutnya lagi, sebagai aset negara, kanak-kanak perlu diberi peluang mengetengahkan bakat mereka sejajar dengan arus kemajuan negara.

“Sebagai pemimpin masa akan datang, satu landasan yang baik perlu disediakan bagi memenuhi sifat ingin tahu dan semangat untuk meneroka dan cemerlang di dalam bidang yang mereka minati”, media memetik katanya dari buku cenderamata Konsert Permata Seni yang berlangsung di Istana Budaya, Rabu lalu.

Perdana Menteri turut dipetik sebagai melahirkan rasa yakin, dengan bimbingan dan asuhan yang baik, para peserta program berkenaan mampu membuktikan bahawa kanak-kanak Malaysia mempunyai bakat yang boleh diketengahkan di persada antarabangsa.

Sementara langkah mana-mana pihak memulakan program asuh didik modal insan sedari awal usia mereka dianggap paling tepat dengan perkembangan fizikal dan emosional kanak-kanak, bentuk pengisian asuh didik itu juga tidak sepatutnya diwarnakan secara sewenang-wenang.

Tidak dinafikan usaha melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat perlu dimulakan pada seseorang kanak-kanak seawal yang boleh. Kajian saintifik mendapati perkembangan otak seseorang akan mencapai tahap kematangan 85 peratus apabila usianya mencecah tiga tahun.

Pada usia itu, rangsangan yang sesuai dan berkesan berupaya meningkatkan fungsi dan kapasiti otak ke tahap optima. Daya intelek seseorang akan meningkat dengan pesat bila dirangsang.

Lebih penting lagi, segala yang dipelajarinya di masa itu, sama ada melalui pendengaran, sentuhan atau penglihatan akan diserap dan disimpan di dalam memorinya sebagai pembelajaran yang kekal.

Konsep utama dalam pendidikan awal kanak-kanak ialah pendedahan dan penyesuaian diri kepada persekitarannya. Proses ini berterusan sejak mereka di dalam kandungan ibu hingga ke awal usia. Kanak-kanak diakui mudah belajar dari apa yang didedahkan kepada mereka.

Rangsangan yang cukup mampu menjana minda kea rah pembelajaran dan penyimpanan maklumat di dalam otak mereka. Kita pernah didedahkan dengan fakta bahawa peringkat usia dua setengah tahun hingga enam tahun dikenalpasti sebagai peringkat paling mudah bagi mereka menerima tunjuk ajar dan mengadaptasi perubahan persekitaran.

Kita rasa fakta ini bukan lagi hanya tersimpan di kalangan pakar psikologi kanak-kanak, ahli ilmu kesihatan atau kalangan tertentu sahaja. Para ibu bapa, para pendidik dan perancang Program Permata Seni juga barangkali sudah maklum dengan kapasiti dan potensi keemasan dimiliki kanak-kanak di usia awal mereka.

Kita percaya didorong fakta itulah maka semua pihak akan mengambil kesempatan mencorakkan kanak-kanak mengikut acuan masing-masing sedari kecil. Pepatah Melayu juga ada menyebut, “melentur buluh biar lah dari rebungnya”. Ertinya, membentuk keperibadian dan mengasah keupayaan seseorang perlulah dimulakan sedari awal usianya.

Bagi orang Islam pula, perkara ini turut menjadi sesuatu yang ditekankan Rasulullah s.a.w. Dalam salah satu hadisnya yang masyhur Baginda s.a.w. menyifatkan seorang anak yang baru dilahirkan itu berada dalam keadaan fitrah, yakni suci dan bersih. Maka terpulang kepada ibu bapanya lah yang akan mencorakkannya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Sebab itu, sama ada menilai dari sudut bangsa atau agama, amat penting bagi kita memperhalusi apakah yang hendak diisikan ke dalam minda anak-anak. Dalam keadaan mereka masih terlalu mentah, tidak tahu membezakan mana baik mana buruk dan bersedia menerima apa juga yang disuakan oleh orang dewasa kepada mereka, keputusan mengenai baik-buruk itu terletak sepenuhnya di tangan orang dewasa.

Dalam ertikata lain, dapat kita simpulkan bahawa ibubapa, guru dan sesiapa saja yang bertanggungjawab memilih bahan yang hendak disumbatkan ke kepala kanak-kanak adalah turut bertanggungjawab terhadap keperibadian yang terhasil puluhan tahun kemudiannya.

Secara khususnya, Program Permata Seni memang tidak menyentuh soal akidah dan ibadah. Ia lebih kepada soal mengasah bakat seni anak-anak sebagai persiapan mereka memasuki dunia hiburan penuh glamour, atau mungkin turut diselit agenda orang dewasa yang memayungi program itu mengaut pujian atas kejayaan mereka.

Maka kita rasa sayugia ditanyakan, sejauh manakah adil dan wajarnya minda kanak-kanak itu disumbati dengan agenda seni semata-mata. Bahkan, lebih wajar ditanyakan juga, apakah tanpa asuh didik secara khusus oleh kerajaan sebagaimana menerusi program tersebut, maka negara bakal berdepan krisis kekurangan penyanyi, penghibur dan penggiat seni yang sangat serius suatu hari nanti?

Apakah ratusan penyanyi, penari, pemuzik dan penggiat seni yang berlambakan dalam negara kini semuanya lahir menerusi program khusus dibiayi kerajaan? Bahkan mereka itu lahir dengan sendirinya tanpa perlu kerajaan bersusah-payah menyediakan asuh didik, bukan?

Apakah jumlah mereka yang begitu ramai belum mencukupi untuk menyajikan hiburan dan mementaskan bakat rakyat Malaysia di persada antarabangsa? Kemudian tanyakan juga, sejauh manakah tepatnya usaha mengutamakan hiburan sebagai pembangun modal insan yang baik?

Kita rasa topik pembangunan modal insan tidak sepatutnya dilihat secara terpisah daripada realiti yang sedang berdepan masyarakat kini. Sebagai umat Islam, kita perlu akui bahawa punca kepincangan dan kecelakaan dalam masyarakat ialah apabila rakyat jahil tentang agama. Mereka tidak dapat membezakan mana baik, mana buruk, apa dosa dan apa pahala.

Apabila masyarakat sudah pincang dan porak-peranda, matlamat murni melahirkan modal insan yang sempurna dan bermanfaat dengan sendirinya akan terbantut dan sukar direalisasikan.

Berbekalkan realiti sebegitu, wajar kita tanya, apakah negara kita sekarang memerlukan lebih ramai penyanyi, pemuzik dan penggiat seni untuk merawat kebobrokan masyarakat?

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 17 Disember 2010 dengan tajuk "Permata Seni rawat kebobrokan sosial?")

Kes Riyapadu, kenyataan BN Terengganu ‘subjudis’?

Apa pun hujah politik yang mungkin dimiliki Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk merasionalkan kenyataannya menyalahkan PAS dalam kes saman membabitkan pampasan RM 1 bilion oleh sebuah syarikat pembalakan minggu lalu, ia tetap dinilai tidak menepati kaedah dan prinsip keadilan.

Dalam keadaan kes tersebut telah difailkan di mahkamah, sudah tentu sebarang ulasan dan pandangan secara mendalam mengenainya boleh tertakluk kepada ‘subjudis’ atau dianggap memberikan kesan dan pengaruh kepada penghakiman yang bakal diputuskan mahkamah.

Malangnya, hakikat itu bagaikan tidak mampu menghalang beberapa pemimpin BN Terengganu mengulas kes tersebut secara berat sebelah. Mungkin mereka merasakan boleh memanipulasi kes itu untuk meruntuhkan imej dan kredibiliti PAS, sekali gus meraih mileage politik untuk parti pemerintah itu.

Hal itu bukan sekadar andaian, terutama menilai kenyataan mereka yang secara terbuka menyalahkan PAS selaku bekas parti pemerintah negeri ketika kes berkenaan berlaku. Media arus perdana bahkan memetik kenyataan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sebagai mendakwa kelemahan pemerintahan kerajaan negeri pimpinan PAS dulu menyebabkan kerajaan BN pimpinannya kini terpaksa menanggung beban saman tersebut.

“Jika tuntutan ini berjaya, mahu tidak mahu kita (kerajaan negeri) terpaksa bayar juga. Kita sangat kecewa dan dukacita kerana sepatutnya kes sebegini tidak berlaku. PAS tidak harus menuding jari kesalahan itu pada orang lain,” media pada Sabtu dan Ahad memetik reaksi Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Kenyataan beliau yang secara jelas amat pesimis dan negatif itu sebagai mengulas kes tuntutan saman RM 1 bilion dikemukakan syarikat Riyapadu Sdn Bhd terhadap kerajaan Terengganu di atas dakwaan gagal mematuhi perjanjian yang sudah dimeterai antara kedua-dua pihak.

Dalam writ saman difailkan, syarikat itu mendakwa pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan (balak) di kawasan 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu. Kawasan berkenaan dikatakan bakal terlibat dengan pembinaan Empangan Kedua.

Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM25 juta sepertimana dalam perjanjian. Bagaimana pun ia mendakwa kerajaan negeri kemudiannya menamatkan perjanjian tersebut.

Kes tuntutan itu bagaimana pun hanya difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 12 Disember 2007, setelah lebih tiga tahun BN kembali berkuasa. Ia diperkatakan semula minggu lalu selepas penghakiman mahkamah sama pada 27 Oktober lalu memerintahkan kerajaan Terengganu mengembalikan RM25 juta yang dijelaskan Riyapadu kepada kerajaan negeri pada 2003 sebagai bayaran premium konsesi balak di kawasan terbabit.

Media talibarut BN memetik Ahmad sebagai menganggap kes itu sebagai “menanggung kesalahan orang lain”. Katanya, kerajaan BN yang memerintah Terengganu kini menjadi mangsa kerana terpaksa menanggung beban dan natijah kepincangan kerajaan pimpinan PAS ketika itu.

Berikutan itu, terdengar pula suara pemimpin BN lain mendesak para pemimpin bekas kerajaan PAS tampil memberikan penjelasan. Sedangkan semua pihak tahu keadaan yang ada kini sukar memberikan keadilan dan ketelusan kepada PAS memperjelaskannya.

Selain kes berkenaan sudah menjadi kes mahkamah, dan tertakluk kepada keterbatasan undang-undang kerana dibimbangi boleh menjurus kepada ‘subjudis’, PAS juga berada pada posisi yang tidak kondusif mempertahankan tindakan yang dibuatnya dulu.

Sama ada tindakan tujuh tahun lalu itu betul atau silap, adalah perkara lain. Pokoknya, PAS bukan lagi parti pemerintah Terengganu. Sudah tentu apa pun pendirian dan ketegasannya mempertahankan tindakannya dulu di atas nama pemerintah belum tentu akan mampu membina persepsi positif dan memberi keyakinan kepada BN menerima penjelasan tersebut.

Apatah lagi BN selaku pemikul tanggungjawab memerintah kini awal-awal lagi menampakkan sikap amat pesimis terhadap kemungkinan menafikan tuntutan dikemukakan Riyapadu itu.

Media talibarut BN pada Ahad memetik Ahmad sebagai berkata, “kes berkenaan memperlihatkan dengan jelas kepada rakyat kepincangan pentadbiran kerajaan negeri ketika itu apabila PAS yang tidak berpengalaman memimpin negeri akhirnya disaman dalam jumlah yang cukup tinggi”.

Kenyataan itu mungkin bermaksud membina persepsi negatif terhadap PAS, sekali gus merobek kredibiliti dan imej positif cuba dibina semula oleh parti itu di mata rakyat Terengganu. Bagaimana pun ia turut memberikan implikasi lain apabila dinilai dari sudut BN selaku defendan kes tuntutan tersebut.

Apabila bermula dengan sikap pesimis, bagaimana mungkin diharapkan BN cuba mempertahankan kes tersebut? Ahmad sendiri seakan redha dan menerima kemungkinan akan kalah. Hal itu secara tersirat dapat kita fahami dari kata-katanya yang membayangkan bakal “memikul beban kesalahan dilakukan orang lain”.

Apakah tidak mungkin kenyataan tersebut dianggap plantif sebagai pengakuan defendan atas kesilapan memang berlaku di pihak kerajaan negeri dalam kes itu? Jika benar, ia seakan memberikan hujah tambahan dan membantu memudahkan pihak plaintif memenangi tuntutannya.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1597, 17 Disember 2010 dengan tajuk sama di halaman Kolumnis, F22)

Friday, December 10, 2010

Rakyat setuju “hukum” potong tangan pencuri

Kebanyakan media cetak edisi Terengganu pada Rabu, 8 Disember, memuatkan laporan kes seorang lelaki disyaki pencuri yang putus pergelangan tangannya ditetak pemilik rumah yang cuba dicerobohinya.

Kejadian dikatakan berlaku jam 3.30 pagi sehari sebelumnya di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan, Besut. Pemilik rumah terbabit yang bekerja menternak ikan dalam sangkar dilaporkan sedang tidur bersama enam ahli keluarganya sebelum terjaga apabila terdengar bunyi tingkap rumahnya diumpil.

Selepas mengesyaki sesuatu, beliau mengambil parang dan keluar rumah melalui pintu utama tanpa disedari suspek sebelum ternampak kelibat seseorang sedang mengumpil tingkap rumahnya.

Suspek yang terkejut cuba berhadapan dengan pemilik rumah itu tetapi dia dilibas dengan parang dan terkena pergelangan tangan kirinya.

Pemuda berusia 28 tahun dari Setiu itu terus melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan pergelangan tangannya yang putus itu terjatuh di halaman rumah.

Pemilik rumah itu kemudian menghubungi polis yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui pergelangan tangan tersebut dan menghantarnya ke Hospital Besut pada jam 5.30 pagi.

Gerakan mengesan suspek, terutama menerusi titisan darahnya, akhirnya membawa polis menemuinya dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah di sebuah chalet tidak jauh dari tempat kejadian.

Suspek dihantar ke Hospital Besut kira-kira jam 9 pagi sebelum dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangannya untuk penyambungan semula.

Seorang remaja wanita berusia 15 tahun yang turut berada bersamanya di chalet berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Beliau mendakwa isteri suspek, bagaimana pun kebanyakan akhbar menamakannya sekadar teman wanita. Di antara akhbar tersebut malah melaporkan remaja berkenaan sedang mengandung.

Secara kebetulan, lokasi kejadian dan chalet disebutkan itu terletak dalam lingkungan hanya tiga kilometer dari rumah penulis. Keadaan itu memudahkan penulis meninjau reaksi dan penilaian anggota masyarakat setempat berhubung kejadian itu.

Percayalah, kebanyakan yang ditemui tanpa teragak menyatakan amat bersetuju dengan tindakan tuan rumah itu. Ada yang berkata “padan muka (kepada suspek)”, ada yang menyebut “memang patut pun”.

Yang lain pula mengiyakan, “molek lah, ajar dia (pencuri) macam tu”. Malah ada juga yang memuji langkah pemilik rumah bertindak terlebih dahulu sebelum apa-apa kesempatan diambil suspek terhadapnya.

“Seribu satu macam kemungkinan boleh berlaku. Daripada dapat (kesempatan bertindak) kat dia (suspek), lebih baik tuan rumah bertindak dulu”, mereka mewajarkan tindakan tuan rumah terbabit.

Dalam ertikata lain, tiada pihak yang meluahkan rasa simpati terhadap suspek penjenayah itu. Kekerapan kejadian pecah rumah, termasuk antaranya melibatkan ugutan dan ancaman keselamatan terhadap tuan rumah, menyebabkan anggota masyarakat semakin membenci pelaku jenayah.

Di samping berharap insiden malang sebegitu tidak menimpa mereka sendiri, masing-masing anggota masyarakat turut bersetuju akan mengambil tindakan serupa sekiranya berkesempatan mengenakan suspek jenayah.

Apatah lagi mereka seakan didedahkan dengan kefahaman bahawa tidak menjadi kesalahan di sisi undang-undang bagi pemilik rumah bertindak mempertahankan harta dan nyawa mereka, terutama dalam situasi genting sebegitu.

Ulasan sedemikian mengingatkan kita kembali kepada kes lebih serius yang berlaku tidak sampai sebulan lalu. Dalam kejadian pada 16 November lalu, seorang bekas penyelia ladang berusia 70 tahun menembak mati seorang suspek berusia 17 tahun menggunakan senapang patahnya ketika remaja itu memecah masuk rumahnya di Kelana Jaya, Selangor.

Media melaporkan ketika kejadian, suspek bersama rakannya bersenjatakan parang telah menawan tiga ahli keluarga mangsa dan orang gajinya di tingkat bawah. Suspek kemudian naik ke bilik mangsa di tingkat atas sebelum terserempak dengan mangsa yang kemudian melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

Walau pun tindakan mangsa itu mengakibatkan kehilangan nyawa suspek, masyarakat umum boleh menerimanya sebagai betul, terutama di atas premis mempertahankan diri dan ahli keluarganya, serta keselamatan harta bendanya.

Maka, apabila dalam kes di Besut tadi, “hukuman” diterima suspek hanyalah melibatkan kehilangan pergelangan tangan, kebanyakan anggota masyarakat menganggapnya “hukuman” yang tidak sepatutnya dipertikaikan. Malah antara mereka mengandaikan “hukuman” itu bakal menjadi pengajaran kepada suspek seumur hidupnya.

“Sampai bila-bila pun dia (suspek) akan ingat dan tak akan berani mencuri lagi bila tengok tangannya yang sebegitu,” telah mereka.

Agak menarik, secara kebetulannya “hukuman” diterima suspek itu secara zahirnya “menyamai” pendekatan terdapat dalam hukum Islam. Kita sedia maklum bahawa salah satu jenayah syariah di bawah hudud ialah mencuri. Hukuman bagi mereka yang sabit kesalahan mencuri ialah dipotong tangan.

Hukuman inilah yang sangat ditentang dan dimomokkan sebilangan pihak dalam negara kita sendiri, terutama ekoran hasrat dua kerajaan diterajui PAS (Kelantan dan Terengganu) mendaulatkan hudud dan qisas sebelum ini.

Apa yang ditakdirkan Allah berlaku di Besut itu semacam suatu kesempatan untuk kita meninjau pendapat dan penilaian masyarakat umum tentang hukuman bersesuaian untuk seorang penjenayah, khususnya pencuri.

Alhamdulillah, sebagaimana dicatatkan di atas, reaksi mereka seakan memberikan isyarat jelas bahawa hukum memotong tangan pencuri bukan suatu digeruni, sebaliknya dialu-alukan!

(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 10 Disember 2010 dengan tajuk "Eloklah ajar pencuri macam tu!")

Betul kata Mahathir, Melayu memang ‘haprak’!

Banyak sebab yang membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamed tersenyum sendiri kebelakangan ini. Selain kejayaan diraihnya sepanjang menerajui pemerintahan, mantan Perdana Menteri itu juga hingga kini mampu mengekalkan pengaruh dan populariti di kalangan anak-anak buahnya.

Buktinya, masih banyak kata-kata dan saranan beliau dalam berbagai aspek pemerintahan negara diterima pakai oleh pelapis kepimpinannya.

Apa yang tergambar menerusi keghairahan anak-anak buahnya menjulang isu ketuanan Melayu dua minggu kebelakangan ini menghidangkan senario lebih menyeronokkan buat Mahathir.

Paling membuatnya girang ialah apabila yang menjadi sasaran utama balunan dan kutukan khalayak yang mendakwa sebagai para pejuang Melayu sehari-dua ini ialah manusia yang paling dibencinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembira bukan kepalang bekas Presiden Umno itu apabila bekas timbalannya kini digelar pengkhianat bangsa, perosak negara, dan berbagai lagi label tidak enak. Barangkali membuak-buak dadanya untuk bersuara dan mengingatkan khalayak umum kembali kepada label sama yang pernah diucapkannya dulu terhadap Anwar.

Hati Mahathir mungkin amat berharap akan ada orang yang sedar dan akui kebenaran kata dan tindakannya lebih sedekad dulu. Sama halnya dengan apa yang diucapkannya baru-baru ini mengulas fitnah demi fitnah terpaksa dihadapi Anwar dalam kes liwat.

Media melaporkan Mahathir sebagai berkata, pertuduhan terhadap bekas timbalannya itu membuktikan segala tindakannya terhadap Anwar pada 1998 adalah betul. Kini, Mahathir agaknya sekali lagi berharap ada pihak menyebarluas kesimpulannya itu.

Media sejak dua minggu lalu galak meligan Anwar dan isterinya yang juga Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, sebagai pengkhianat bangsa dan perosak negara. Ia bertolak daripada ucapan Wan Azizah di Kongres Keadilan, 27 November, yang antara lain menyeru agar rakyat meninggalkan konsep ketuanan Melayu sepertimana diamalkan Umno.

Ucapan itu diperakui Anwar, seraya membelek tahap pencapaian ekonomi dan sosial orang Melayu selepas lebih separuh abad di bawah teraju Umno dengan konsep ketuanan Melayunya.

Bagai diduga usikan itu membangkitkan emosi melulu khalayak pendukung Umno. Media arus perdana dikuasai parti itu pula memanipulasi isu itu untuk mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap pakatan pembangkang, khususnya Keadilan dan Anwar sendiri.

Seruan meninggalkan ketuanan Melayu itu ditafsirkan sebagai mengusik hak istimewa orang Melayu. Wan Azizah dan Anwar dianggap menghina bangsa sendiri.

Label itu sudah membuatkan Mahathir tersenyum. Masakan kita sudah lupa bahawa ungkapan paling hina terhadap bangsa Melayu datangnya daripada bekas Presiden Umno itu sendiri? Bukankah dia pernah melabelkan Melayu sebagai ‘haprak’!

Kamus Dewan mengkategorikan haprak di dalam kelompok ‘bahasa kasar’. Ia ditakrifkan sebagai kata makian yang bermaksud tidak bergunanya seseorang.

Mahathir melabelkan bangsanya sendiri dengan sifat amat hina itu. Setitis peluh Pemuda Umno pun tak tumpah, seurat bulu roma pejuang Melayu pun tak luruh membantah ucapan paling menghina bangsa mereka itu.

Reaksi amat berlawanan kini terhasil dari ucapan Wan Azizah. Ia malah diseret kononnya turut menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan.

Disebabkan penafsiran sewenangan itu, Anwar, Wan Azizah dan partinya dilabel penderhaka pula. Persepsi umum cuba dibentuk kononnya jika pembangkang dipilih menerajui negara, kedudukan Raja-Raja Melayu bakal tergugat.

Bantahan demi bantahan bertali arus di serata negara. Di antara yang ghairah membantah itu, ada pula yang sampai menuntut agar imuniti Raja-Raja Melayu dikembalikan.

Mereka menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan. Hanya dengan itu, kata mereka, dapat menjamin institusi terbabit terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini, seraya merujuk kepada ucapan Wan Azizah.

Mahathir sekali lagi boleh tersenyum melihat reaksi pertubuhan Melayu itu. Senyumnya itu bukan semata-mata kerana manusia paling dibencinya semakin diganyang anak-anak buahnya, tetapi kerana ia terlepas dari menjadi sasaran dalam isu tersebut secara spesifik.

Semua kita maklum bahawa pemain utama menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir sendiri. Beliau bertanggungjawab mencetus dan menggerakkan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan agar kekebalan itu dinafikan.

Tidak sedikit ketegangan dan kekeruhan terhasil oleh tindakannya itu. Anehnya, tidak ada pula mana-mana pihak berani melabelkan Mahathir sebagai ‘penderhaka’ kepada istana. Sebaliknya kini, persepsi cuba dibentuk kononnya imuniti itu perlu dikembalikan semata-mata kerana merasa tercabar oleh ucapan Wan Azizah dan pendirian Anwar.

Sekali lagi, Mahathir boleh tersenyum. Gelagat para pembantah itu ikut membuktikan kebenaran kata-katanya dulu, bahawa ‘Melayu mudah lupa’. Mereka lupa betapa yang menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu ialah Mahathir, tetapi yang dikaitkan dengan salahlaku itu kini ialah Anwar dan isterinya pula.

Seluruh episod itu tambah membuatkan Mahathir tersenyum sendiri. Kesimpulan diambil para pejuang Melayu itu turut membenarkan kata-katanya dulu, bahawa Melayu memang ‘haprak’!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan Harakah Bil: 1595, 10 Disember 2010, di ruangan Editorial dengan tajuk sama)

Monday, December 6, 2010

Negara Islam: MCA cabar DAP, sindir Umno


Sepintas lalu timbul rasa meluat membaca laporan media mengenai cabaran Pergerakan Pemuda MCA Perak agar DAP menyatakan pendirian menerima konsep Negara Islam dinyatakan PAS. Sebagai sebuah parti dengan perjuangan berasaskan perkauman sempit, cabaran itu satu lagi bukti betapa MCA gagal mempamerkan sikap terbuka menerima penjelasan atau perbezaan pendirian berhubung kepercayaan agama lain.

Namun, dari sudut lain, terasa kelakar pula menilai keceluparan Pemuda MCA itu. Ia seakan suatu sindiran terbuka terhadap Umno, parti rakannya dalam Barisan Nasional (BN), yang tidak jauh bezanya dengan DAP dalam penerimaan konsep Negara Islam dikemukakan PAS.

Media pada Khamis, 2 Disember, memuatkan cabaran Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon agar DAP memberi penjelasan kepada penyokong dan rakyat yang mengundi parti itu sama ada mereka sudah bersedia menerima prinsip perjuangan Islam ala-PAS atau sekadar bersikap hipokrit kerana mahu meraih undi khususnya daripada pengundi Melayu.

Beliau dipercayai memberikan reaksi terhadap ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kawasan Pasir Panjang, Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, ketika sesi perbahasan Bajet Negeri 2011 di sidang DUN Perak, sehari sebelumnya.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menyebut kerjasama dijalin antara PAS dan DAP menerusi Pakatan Rakyat (Pakatan) menguntungkan umat Islam di negara ini kerana DAP semakin berjinak-jinak dengan Islam dan PAS.

Bagi para pendukung Pakatan, kenyataan itu tidak sukar diakui. Perubahan sikap DAP terhadap apa-apa yang bernama dan berbunyi Islam amat ketara, terutama sejak pilihan raya 2008. Sebilangan pemimpin parti itu malah bersedia merujuk ayat-ayat suci al-Quran dalam memperkuatkan hujah mereka.

Hakikat disebut Nizar itu bukan suatu perkembangan baru. Ia malah sudah seringkali diulangsebut para pemimpin PAS dalam ceramah dan ucapan mereka di serata negara sejak sekian lama.

Justeru, cabaran Pemuda MCA terhadap DAP tadi bukan lah kerana tidak bersedia menerima hakikat hubungan baik PAS-DAP. Ia sebaliknya dinilai lebih kepada kepentingan politik parti komponen BN itu, terutama dalam usahanya memaut kembali sokongan kaumnya yang merosot teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Ia juga jelas sebagai usaha merungkai hubungan semakin erat antara DAP dan PAS, terutama dalam konteks negeri Perak sendiri.

Malangnya, dalam mencapai hasrat itu MCA sekali lagi tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam. Cabaran itu memperjelaskan minda tertutup dan pendirian amat serong MCA terhadap agenda perjuangan pihak lain.

Sudah banyak kali sebelum ini parti Cina itu menzahirkan secara terbuka sikap negatifnya terhadap apa-apa perkara berkaitan Islam, terutama konsep Negara Islam diperjuangkan PAS. Pernah salah seorang bekas presidennya tanpa silu menganggap usaha melaksanakan hukum dan peraturan Islam di negara ini ibarat memusing jarum jam ke belakang.

Baru-baru ini pula, Presiden MCA dilaporkan mengaitkan kemunduran beberapa negara umat Islam di serata dunia dengan ajaran Islam dianuti mereka. Beliau bahkan menyalahkan Umno yang terikut-ikut mahu menyaingi PAS dengan agenda Islam sehingga menjejaskan kemajuan negara.

Kenyataan yang mengusik keagungan Islam dan memperlekeh agama suci itu bagaimana pun tidak mengundang reaksi menyeluruh di kalangan pemimpin Umno sendiri. Tidak kedengaran juga bantahan mana-mana pertubuhan Melayu dan Islam, sebagaimana sensitif dan marahnya mereka apabila sesuatu berkaitan kepentingan Melayu dipertikaikan.

Barangkali MCA sudah sedia maklum tahap keikhlasan Umno memperjuangkan Islam. Parti Cina itu tahu betapa orang-orang Umno tidak begitu sensitif jika pun ia mempersenda sesuatu berhubung Islam.

Sikap Umno itu bagaikan memberi lesen istimewa untuk MCA melakukan ‘semak dan imbang’ bagi memastikan Umno tidak terlalu ghairah melaksanakan apa-apa agenda Islam dalam pemerintahan. Dalam ertikata lain, Islam yang dibawa Umno hanyalah sejauh mana ia dipersetujui MCA saja.

Ketegasan MCA menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan Islam adalah kerana ia sudah sedia maklum tentang tahap kesediaan Umno sendiri mengemukakan Islam. Selaku teman rapat Umno, parti itu tentu ada di sisinya ketika pemimpin Umno memberi amaran keras terhadap PAS yang berusaha mendaulatkan hukum Islam di Kelantan, tiga dekad lalu, misalnya.

Para pemimpin Umno juga pihak paling kecoh mengkritik dan mengulas secara negatif apabila PAS mendedahkan Dokumen Negara Islam kepada umum kira-kira sedekad lalu.

MCA juga menyaksikan bagaimana sikap bongkak pemimpin Umno yang dikuasai serakah politik menyebabkan parti itu tergamak menodai kesucian agama anutan mereka  sendiri, contohnya dalam merobohkan masjid di Terengganu.

Sebab itu selama lebih separuh abad berkawan rapat dengan Umno, tidur sebantal dan berkongsi menduduki rumah bernama ‘Barisan Nasional’, fahaman para pemimpin MCA terhadap kemurnian ajaran Islam masih ditakuk lama. Fahaman dangkal dan serong mereka terhadap Islam tidak pernah diperbetulkan Umno.

Justeru, walau pun yang dicabar Pemuda MCA Perak ialah DAP, ia sebenarnya satu sindiran buat Umno sendiri yang hingga kini amat jahil dan keras terhadap konsep Negara Islam dibawa PAS.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1594, 6 Disember 2010 di ruangan Kolumnis, F22 dengan tajuk sama)

Friday, December 3, 2010

Isu Ketuanan Melayu, Umno melenting kerana kegagalannya terdedah

Menepati jangkaan kita, seruan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) agar khalayak politik negara ini meninggalkan konsep Ketuanan Melayu mencetuskan reaksi hangat. Ia turut menjadi bahan manipulasi media-media kroni pemerintah.

Tidak syak lagi pihak paling ke depan membantah ucapan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail ini adalah para pemimpin dan pendukung Umno. Kononnya mereka lah pejuang dan pembela Melayu sejati.

Biar pun sebilangan mereka yang membantah itu berselindung di sebalik beberapa pertubuhan, seperti Perkasa, Gertak, Pewaris dan seumpamanya, kesemua badan itu adalah satelit Umno. Pertubuhan-pertubuhan itu diketahui menjadi alternatif ahli-ahli Umno yang menyedari sukar menyuarakan bantahan menerusi platform parti, terutama dalam isu-isu melibatkan kepentingan politik Umno berdepan rakan bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam Ucapan Dasar Presiden di Kongres Keadilan, Sabtu lalu, Wan Azizah menyifatkan konsep Ketuanan Melayu hanyalah slogan dimanipulasi sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu, kononnya ia perjuangan demi kepentingan bangsa ini.

Sedangkan, katanya, sekumpulan kecil penguasa ini adalah mereka yang melakukan rasuah, korupsi, pecah amanah dan pelbagai kesalahan. Mereka juga tidak menghiraukan nasib kaum sendiri, sebaliknya memanfaatkan kedudukan politik semata-mata demi kepentingan diri.

Sebab itu, walau pun konsep Ketuanan Melayu telah dijulang sejak lebih 53 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai dan terkebelakang dalam banyak hal berbanding kaum-kaum lain.

“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti (ekonomi) Melayu-Bumiputera masih gagal dicapai,” katanya.

Kita tidak melihat apa-apa kecacatan pada ucapan itu. Soal keterbelakangan pencapaian ekonomi dan akademik, serta kebobrokan sosial orang Melayu adalah fakta yang diterima umum.

Namun, ia nampaknya sukar diakui pendukung Umno. Ada yang menyifatkan seruan Wan Azizah sebagai mengkhianati bangsa Melayu. Malah beliau disamakan dengan watak Si Kitul dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka dulu.

Ada pula pemimpin Umno yang menganggap kenyataan Presiden Keadilan itu sengaja mahu mengelirukan rakyat. Mereka mendakwa maksud sebenar Ketuanan Melayu merujuk kepada kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan orang Melayu sebagai kaum majoriti.

Tidak kurang juga yang menilai kenyataan itu sebagai usaha terdesak Wan Azizah untuk menyelamatkan partinya, terutama bagi memaut sokongan kaum bukan Melayu. Mereka yakin rakyat sudah bijak menilai segala perkembangan politik negara.

Bahkan ada kumpulan yang bertindak lebih jauh. Mereka bukan sekadar menyuarakan bantahan menerusi media, malah berhimpun di balai polis dan membuat laporan terhadap Wan Azizah. Kononnya kenyataan beliau itu ancaman dan hasutan yang mampu mewujudkan provokasi terhadap orang Melayu sehingga boleh mengganggu keamanan negara.

Itulah kepakaran orang Umno yang sukar ditandingi mana-mana pihak setakat ini. Ia gemar memutarbelit fakta terutama untuk memburukkan parti lawan. Umno juga suka bertindak sembrono, mencetuskan tindakan segera tanpa usul-periksa, semata-mata mahu memperlihatkan dirinya sebagai pembela bangsa.

Biarkanlah Umno dan para pendukungnya dengan pelbagai tafsiran negatif, andaian terlampau dan tindakan kebudak-budakan sebegitu. Sepertimana mereka akui, kita juga yakin rakyat sudah bijak menilai segala gelagat dan reaksi lebih-lebih itu.

Apatah lagi hujah-hujah yang mereka utarakan dalam mewajarkan bantahan terhadap kenyataan Wan Azizah itu juga diselaputi berbagai keraguan dan pertikaian. Contohnya, usaha mereka mengaitkan konsep Ketuanan Melayu sebagai hak keistimewaan bangsa Melayu.

Apakah hakikatnya memang begitu? Benarkah Ketuanan Melayu itu termasuk antara Hak-Hak Istimewa Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh diganggu gugat? Kita percaya apa dimaksudkan Wan Azizah tidak lah sampai membuang hak-hak istimewa bangsanya sendiri.

Wajar ditanyakan juga, apa lagi yang termasuk dalam Hak-Hak Istimewa Melayu. Lebih utama lagi, apakah selama ini tidak ada hak-hak istimewa itu yang dinodai Umno sendiri?

Di antara hak istimewa itu ialah mendapatkan pendidikan percuma. Ia secara tradisinya disediakan parti pemerintah menerusi bantuan biasiswa. Malangnya sejak lebih sedekad lalu, ia dihentikan dan ditukar kepada pinjaman pelajaran. Bukankah penghapusan hak istimewa itu angkara Umno sendiri?

Jika Umno menganggap Wan Azizah terkeliru dengan konsep Ketuanan Melayu yang sebenarnya ditujukan kepada hak istimewa Raja-Raja Melayu, apakah rekod Umno terhadap istana suatu yang amat membanggakan? Jangan ingat rakyat sudah lupa bahawa parti itu sendirilah juara menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan berbagai keistimewaan dinikmati golongan istana sebelum ini.

Akuilah sebenarnya Umno menzahirkan reaksi lebih-lebih itu gara-gara merasa terpukul oleh pendedahan Wan Azizah. Hakikat bahawa tahap pencapaian ekonomi dan sosial Melayu amat mendukacitakan biar pun setelah lebih separuh abad diterajui Umno amat sukar ditelan parti itu. Keaiban atas kegagalan itulah sebenarnya punca Umno melenting tak ketahuan hala!

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1593, 3 Disember 2010 dengan tajuk "Ketuanan Melayau: Umno melenting, kegagalannya terdedah")