Tuesday, August 15, 2000

Tuan Guru Abdul Hadi Awang


TUAN Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, 52 tahun, dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu dengan rasminya pada hari Selasa, 22 Syaaban 1420 bersamaan 30 November 1999. Beliau merupakan Menteri Besar (MB) Terengganu yang ke-11, menggantikan MB sebelumnya, Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad.

Abdul Hadi bin Haji Awang dilahirkan pada 20 Oktober 1947 (5 Zulhijjah 1366H) di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Beliau adalah anak kelima dari sembilan orang adik-beradik. Ayahnya Haji Awang Mohamad merupakan seorang ulamak yang terkemuka di Pantai Timur Semenanjung, khususnya di Terengganu. Haji Awang adalah seorang daripada perintis perjuangan Islam di negeri itu dan merupakan pucuk pimpinan Hizbul Muslimin – sebuah pertubuhan Islam yang terkemuka di zaman penjajahan Inggeris.

Hizbul Muslimin diharamkan oleh penjajah, atas kehendak parti pemerintah. Beberapa tahun selepas pengharaman itu, Haji Awang muncul pula sebagai salah seorang yang paling awal memperkenalkan perjuangan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Terengganu.

Dengan rahmat Allah SWT, segala ilmu dan semangat perjuangan Islam yang ada dalam diri Haji Awang telah dianugerahkan oleh Allah kepada salah seorang anak lelakinya, Abdul Hadi. Sejak dari kecil lagi Abdul Hadi terkenal di kalangan orang-orang kampungnya dengan keilmuan dan akhlak yang terpuji. Seorang tua di Kampung Rusila apabila ditanya mengenai peribadi Abdul Hadi, mengatakan: “Bapanya imam masjid kami dari sejak saya dilahirkan. Kami mengenali Ustaz Hadi sejak zaman kanak-kanaknya. Dia seorang yang jujur, amanah dan bersopan-santun.”

Abdul Hadi mula mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Kebangsaan Rusila, tidak berapa jauh dari rumahnya. Beliau kemudian menyambung pendidikan peringkat menengah di Sekolah Agama Marang, sebelum mengambil Sanawi di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Kebolehan semulajadinya dalam berpidato dan berhujah terserlah sejak dari bangku sekolah lagi. Setiap kali majlis perbahasan berlangsung di sekolahnya, maka hujah-hujah yang dikemukakan oleh Abdul Hadi amat solid dan sukar dipatahkan oleh peserta-peserta lain.

Di waktu umurnya menjangkau 19 tahun, Abdul Hadi telah berjaya menguasai bahasa Arab dengan fasih. Berbekalkan kebolehan itu, tatkala tamat peringkat Sanawi dengan cemerlang, beliau dengan senangnya memenangi tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, di bawah pembiayaan Kerajaan Arab Saudi.

Setelah kira-kira empat tahun berada di Semenanjung Arab (1969-1973), Abdul Hadi berjaya mendapat ijazah pertamanya dalam bidang Syariah Islam. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, di Kaherah, Mesir, dalam jurusan Siyasah Syar’iyyah (Sains Politik).

Kepintaran Abdul Hadi memahami segala pelajaran yang dipelajarinya amat menakjubkan rakan-rakan. Salah seorang yang sempat belajar bersama dengannya ialah Allahyarham Ustaz Mawardi Ahmad Kenali, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Lundang, Kelantan. Allahyarham pernah menceritakan kepada penulis tentang keistimewaan Abdul Hadi. Katanya: “Otak dia makan sungguh. Tok-tok Arab pun tabik, serendar (surrender) dengan kebolehan dia.”

Tidak berapa lama selepas menamatkan pelajarannya dan kembali ke tanahair, pada tahun 1976, bapanya yang dikasihi telah pulang ke rahmatullah. Maka tinggallah Abdul Hadi untuk menyambung tugas suci dan mulia yang telah ditinggalkan oleh ayahnya. Tugas menjadi imam dan memberi kuliah di setiap pagi Jumaat mesti diteruskan oleh Abdul Hadi.

Pada mula-mula beliau menjalankan pengajian itu, hanya kira-kira 200 orang sahaja yang hadir setiap minggu. Tetapi apabila semakin ramai yang mengetahui ‘anak Allahyarham Haji Awang telah pulang dari Mesir’, maka minggu ke minggu bilangan jemaah di Masjid Rusila semakin meningkat. Semua yang hadir semakin tertarik dengan ketokohan seorang anak muda yang padat dengan ilmu, fasih pula membaca ayat-ayat al-Quran dan Hadith.

Namanya pun mulai dikenali ramai. Panggilan ‘Tuan Guru Haji Abdul Hadi’ mula menjadi popular di kalangan pengikut-pengikutnya dan para hadirin jemaah di Masjid Rusila. Manakala di kalangan murid-murid dan penyokong-penyokong yang rapat dengannya, dia lebih mesra pula dipanggil dengan panggilan ‘Ayah Cik’.

Dalam masa yang sama dia telah dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu serta Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977, Ustaz Abdul Hadi telah dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Pada tahun 1978, Abdul Hadi mula menjadi tenaga pengajar Maahad Al-Ikhwan (Institut Berakan), sebuah sekolah swasta yang ditubuhkan oleh beberapa anak muda PAS di Mengadang Akar, Kuala Terengganu. Diceritakan, sewaktu bertugas di sana, kepetahan Abdul Hadi dalam menyampaikan kuliah kepada murid-muridnya amat menakjubkan, sehingga hampir setiap kelas yang diajarinya akan turut dihadiri juga oleh guru-guru dan ustaz-ustaz lain, yang tertarik dengan penyampaian ilmunya.

Kira-kira pada waktu yang sama juga Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu sedang mencari-cari seorang tokoh untuk memimpin pergerakan itu. Atas permintaan Sdr Anwar Ibrahim, Presiden Abim ketika itu, Abdul Hadi telah bersetuju dirinya dinamakan sebagai Yang Dipertua Abim Terengganu. Jawatan tersebut  bagaimanapun tidak lama disandangnya, apabila dia terpaksa memegang beberapa jawatan penting dalam PAS.

Dalam Pilihanraya Umum 1978, Haji Abdul Hadi buat pertama kalinya telah mengambil bahagian dalam pilihanraya. Beliau diamanahkan oleh parti PAS untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang, yang ketika itu masih dalam kawasan Parlimen Dungun. Haji Abdul Hadi, bagaimanapun, tewas kepada calon BN, dengan majoriti yang sangat tipis, iaitu 68 undi. Beliau memungut 2,618 undi, manakala lawannya Tengku Haji Zahid Musa mengutip 2,686 undi.

Sejak dari itu Haji Abdul Hadi tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam setiap pilihanraya umum yang diadakan. Dalam Pilihanraya Umum 1982, beliau diberikan tugas berat bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen. Beliau berjaya merampas kerusi DUN Marang daripada BN, tetapi tewas di kerusi Parlimen Dungun.

Di Marang, Abdul Hadi menewaskan calon BN Tengku Zahid Musa dengan kelebihan 133 undi. Tengku Zahid mendapat 3,473 undi, berbanding Hadi 3,606 undi. Manakala di kerusi Parlimen Dungun pula beliau menghadapi pertarungan tiga penjuru dengan calon-calon daripada BN dan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Hadi tewas kepada calon BN, Awang bin Jabar, dengan majoriti 3,275 undi. Awang memungut 13,447 undi, berbanding Abdul Hadi 10,172 undi, manakala calon PSRM, Abdul Hamed Embong memperolehi hanya 337 undi.

Dalam Pilihanraya 1982 itu empat orang lagi tokoh pimpinan PAS Terengganu turut memenangi kerusi DUN. Mereka ialah Haji Mustafa Ali (DUN Wakaf Mempelam), Haji Harun Taib (Manir), Haji Abu Bakar Chik (Jeram), dan Haji Wan Abdul Mutalib Embong (Batu Burok). Kelima-lima mereka ibarat lima jari yang jika digenggam akan menjadi penumbuk yang sangat menyakitkan kerajaan BN ketika itu.

Dan kebimbangan itu menjadi realiti, terutama pada setiap kali berlangsungnya sidang DUN Terengganu. Diceritakan bahawa Menteri Besar, Datuk Seri Amar Diraja Wan Mokhtar Ahmad sampai menitiskan airmata apabila wakil-wakil rakyat PAS membaca ayat-ayat suci al-Quran dan Hadith perihal kemungkaran dan dosa tidak melaksanakan perintah dan hukum Allah dalam sesebuah pemerintahan.

Sejak itu bermulalah karier Haji Abdul Hadi Awang sebagai wakil rakyat. Kepimpinannya dalam parti juga turut menyerlah. Beliau diamanahkan menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Di peringkat Pusat pula beliau dipilih sebagai salah seorang Naib Yang Dipertua Agung (kini Naib Presiden). Suaranya mula mendapat perhatian masyarakat seluruh negara.

Di kalangan wartawan, Haji Abdul Hadi sering menjadi bahan berita yang menarik. Ada-ada saja kenyataan yang dikeluarkan olehnya menjadi modal putar-belit media pro-kerajaan BN, untuk dijadikan bahan menghentam peribadinya, dan juga PAS. Publisiti meluas yang diberikan oleh media tempatan terhadapnya, meskipun dalam nada negatif, telah menarik perhatian media asing untuk mengunjunginya.

Beberapa agensi berita asing yang berpusat di Hong Kong, Perancis dan Jerman telah menemui Abdul Hadi secara peribadi, bagi mendapatkan penjelasan serta pandangannya mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam negara. Majalah Asiaweek dalam salah satu laporannya turut memuatkan biodata Haji Abdul Hadi. Ia menyifatkan Abdul Hadi sebagai ‘Imam of Rusila: A Clear Voice’, dan memuji kefasihan bacaan ayat-ayat al-Quran serta kepetahannya menyampaikan kuliah sehingga memukau ratusan hadirin setiap minggu.

Gambar Haji Hadi menjadi penghias kulit depan majalah berkenaan, dengan tajuk utama ‘A Muslim Firebrand’. Manakala laporan eksklusif di dalamnya yang banyak berkisar di sekitar politik Malaysia, turut memuatkan ramalan penulisnya mengenai gelombang kebangkitan Islam di Malaysia. Laporan itu menjangkakan PAS akan berupaya menggugat penguasaan BN dalam pemerintahan negara di suatu ketika nanti.

Di sebalik kemasyhurannya sebagai pemimpin politik, di Rusila para pengikutnya bagaimanapun tidak memandangnya sebagai pemimpin politik, tetapi lebih sebagai seorang tok guru dan ulamak.

“Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin politik. Yang kita mahu ialah supaya hukum-hukum Islam berdaulat di negara ini”, Haji Abdul Hadi pernah menegaskan sedemikian kepada wartawan Asiaweek suatu ketika dahulu.

Di sebalik kemasyhuran yang sebegitu rupa, dan kedudukannya sebagai ulamak, Tuan Guru Haji Hadi tetap mengatakan dirinya masih kekurangan ilmu dan tidak mempunyai cukup masa untuk menjalankan amanah Allah dan Rasul-Nya. Ternyata beliau bukan seorang yang tergila-gilakan kemasyhuran. Beliau bukan seorang yang suka dibesar-besarkan atau didewa-dewakan.

Beliau seorang hamba Allah yang tidak banyak bercakap (melainkan kalau berceramah) atau menghabiskan masa dengan perbualan kosong. Percakapannya lemah-lembut dan sederhana. Kata-katanya selalu merendah diri. Kerap juga beliau berseloroh untuk membangkitkan suasana ceria di kalangan rakan-rakan.

Sebagai seorang wakil rakyat, beliau tidak pernah menampakkan dirinya lebih baik daripada orang lain. Pakaiannya sederhana, hidupnya simple. Rumah kayu kampung tanpa peralatan yang mahal adalah cukup mewah baginya. Bahkan sekali-sekala beliau turut bersama-sama orang kampungnya turun ke laut menjadi nelayan, walaupun beliau seorang wakil rakyat dan ulamak pemimpin parti yang mempunyai ratusan ribu pengikut.

Di rumahnya di Kampung Rusila, Abdul Hadi adalah suami yang penyayang kepada dua orang isteri, dan ayah yang menjadi tempat bergantung 13 orang anak. Dengan isteri pertamanya, Puan Hajjah Zainab binti Awang, 47 tahun, mereka dikurniakan 11 cahaya mata. Anak yang sulung kini berusia 22 tahun, dan sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Imam, Yaman. Manakala isteri keduanya ialah Dr. Norzita Taat, 37 tahun.

Dengan keilmuan yang ada padanya, Tuan Guru adalah seorang pendakwah yang amat mendalami mawdhu’nya. Butir-butir ucapannya di kalangan mahasiswa dan para ilmuan mengandungi unsur-unsur ilmiah yang tinggi, sesuai dengan pembentukan cendikiawan dan ilmuan. Manakala ceramah-ceramah di kampung-kampung adalah dengan cara yang mudah difahami oleh hadirin di situ. Prinsip yang dipegangnya ialah apabila menyatakan sesuatu mestilah hingga dapat difahami. Tidak ada guna menyatakan sesuatu jika orang tidak faham.

Seperkara yang istimewa pada Tuan Guru ialah sikapnya yang tidak mudah melatah. Beliau tidak pernah menunjukkan emosi dan tidak pernah marah, meskipun beliau sentiasa tegas dan sangat serius dalam tingkah laku dan percakapannya. Ketegasan dan keseriusan itulah yang sering disalah anggap sebagai emosi dan marah, terutama oleh musuh-musuh politiknya.

Berita-berita mengenai Tuan Guru Haji Hadi Awang terlalu jarang dilaporkan dengan betul oleh media arus perdana di negara ini. Maka Tuan Guru selalu menjadi bahan persoalan dan buah mulut masyarakat umum. Terlalu banyak cerita serong dibawakan oleh media mengenainya. Namun beliau lebih senang menunjukkan muka yang manis, walaupun sewaktu disampaikan berita-berita yang benar-benar memburukkannya.

Ternyata keperibadian Islam yang dipamerkan Haji Hadi itu mempesonakan banyak orang. Sehingga diceritakan bagaimana wakil-wakil rakyat Umno di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu suatu ketika dulu dengan tidak segan silu memanggilnya “Tuan Guru”, walaupun selalunya mereka dengan penuh benci memanggilnya ‘Hadi’ sahaja.

Penyerahan dirinya kepada kerja-kerja melaksanakan amanah Allah dan Rasul-Nya tidak dapat dipertikaikan lagi. Sejak menganggotai kepimpinan PAS di peringkat Pusat, Tuan Guru telah mengadakan ceramah hampir setiap malam di serata negara. Kerapkali juga beliau berunding memberikan ceramah atau menyertai forum di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara.

Di rumahnya setiap hari beliau dikunjungi orang-orang yang inginkan nasihat dan tunjuk ajar berkenaan agama, cara mengatur rumahtangga dan jemaah di tempat masing-masing. Kadangkala walaupun dalam keadaan sangat letih dan mengantuk, baru pulang dari perjalanan ke program yang jauh, namun di rumahnya masih ada tetamu yang sudah lama menunggu dengan hajat serta keperluan. Maka beliau pun memberikan layanan dan nasihat, sehingga kadangkala kurang memberikan perhatian kepada kesihatannya sendiri.

Anggota masyarakat yang telah dimasakkan dengan cerita-cerita buruk mengenai Tuan Guru, dengan senangnya dapat mengubah fikiran mereka apabila berpeluang bertemu sendiri dengan Tuan Guru. Tahulah mereka bahawa cerita-cerita buruk di dalam akhbar dan sebagainya itu semata-mata fitnah yang tidak bertanggungjawab.

Sikap cakna Tuan Guru kepada permasalahan masyarakat membuatkan beliau disenangi dan disayangi oleh segenap lapisan masyarakat. Saban kali pilihanraya beliau terus diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasannya.

Apabila kawasan Parlimen Marang diwujudkan dalam Pilihanraya Umum 1986, Tuan Guru diamanahkan mewakili PAS di situ. Walaupun gagal, namun kelebihan undi calon BN, Abdul Rahman bin Bakar, hanyalah 639 undi – suatu majoriti yang sangat kecil untuk sebuah kawasan Parlimen.

Di peringkat DUN pula, Tuan Guru berjaya mengekalkan popularitinya di DUN Ru Rendang (kawasan baru). Beliau mengalahkan calon BN, Abdul Latif bin Muda, dengan kelebihan 531 undi. Prestasi PAS di Terengganu secara keseluruhannya bagaimanapun tidaklah sebagaimana diharapkan. PAS bukan sahaja gagal menambah bilangan kerusi, malah turut kehilangan tiga kerusi yang telah dimenanginya dalam tahun 1982.

Satu lagi kerusi yang berjaya dikekalkan ialah DUN Wakaf Mempelam, menerusi calonnya Haji Mustafa Ali. Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah taktik persempadanan semula kawasan pilihanraya, yang nyata banyak memberikan advantage kepada BN.

Pilihanraya Umum 1990 menempa satu lagi sejarah baru dalam hidup Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, iaitu sebagai Ahli Dewan Rakyat (Parlimen). Dalam perlawanan tiga penjuru itu, beliau berjaya menewaskan dua pencabarnya, sekaligus merampas kerusi Parlimen Marang daripada BN. Calon BN, Abdul Rahman Bakar memungut 17,281 undi, manakala seorang calon Bebas, Wan Deraman bin Wan Nik memperolehi hanya 175 undi. Tuan Guru mendapat 17,631 undi, memberikan beliau kelebihan 350 undi mengatasi pencabar terdekatnya.

Dalam pilihanraya yang sama Tuan Guru turut mengekalkan kerusi DUN Ru Rendang, dengan majoriti yang lebih tinggi, iaitu 853 undi. Pilihanraya itu juga menyaksikan pertambahan ketara bilangan wakil rakyat PAS dalam DUN Terengganu. Selain Tuan Guru, tujuh lagi calon PAS turut menang. Mereka ialah Haji Harun Taib (Manir), Haji Wan Abdul Mutalib Embong (Batu Burok), Haji Abdul Latif Muhammad (Jertih), Haji Zahari Muhammad (Jabi), Haji Harun Jusoh (Bandar), Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Wakaf Mempelam), dan Haji Baharuddin Mohamad (Bukit Payong).

Parti Melayu Semangat 46 yang bersama-sama PAS dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah, turut memenangi dua kerusi DUN, iaitu masing-masing melalui Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Sultan Ismail, di DUN Tanggul; dan Haji Adam Ali di DUN Bukit Tunggal.

Dalam Pilihanraya Umum 1995, Tuan Guru mengulangi kejayaannya seperti dalam pilihanraya sebelum itu, apabila beliau berjaya mempertahankan kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen yang ditandinginya. Majoriti yang dipungut olehnya pun turut bertambah. Di DUN Ru Rendang majoritinya meningkat kepada 1,394 undi, manakala di Parlimen Marang pula majoriti yang dipungut olehnya naik kepada 882 undi. Ini menampakkan pertambahan lebih 500 undi berbanding tahun 1986.

Pilihanraya umum kesepuluh yang lalu, bagaimanapun, menjadi titik sejarah yang sangat penting dalam hidup Tuan Guru. Beliau menang selesa ke atas para pencabarnya di kedua-dua kerusi yang ditandinginya. Di kerusi Parlimen Marang beliau berdepan dengan Datuk Muda Mamat, bekas anggota Exco Kerajaan Terengganu. Datuk Muda bagaimanapun kalah teruk dengan majoriti 12,700 undi. Tuan Guru memungut 30,183 undi, manakala Datuk Muda mengutip 17,483 undi.

Di kerusi Dun Ru Rendang pula Tuan Guru dicabar oleh tokoh muda Umno Terengganu, Tengku Zainuddin Tengku Zahid. Bagaimanapun, Tengku Zainuddin gagal mengulangi kejayaan ayahnya yang pernah mengalahkan Tuan Guru di DUN Marang, lebih dua dekad dahulu. Tuan Guru mendapat 7,881 undi, mengalahkan Tengku Zainuddin yang memungut 4,038 undi. Majoriti yang diperolehi Tuan Guru ialah 3,843 undi.

Lebih bersejarah serta bermakna daripada kemenangan peribadi itu ialah kejayaan PAS menawan 28 daripada 32 kerusi DUN Terengganu, seterusnya diberi mandat membentuk kerajaan. Selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sekali lagi memikul tugas dan tanggungjawab yang sangat berat untuk menerajui sebuah pemerintahan. Beliau diperkenankan menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar Terengganu oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 30 November 1999, sehari selepas kemenangan cemerlang PAS.

Istiadat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar dan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pada 2 Disember 1999. Dengan itu bermulalah detik rasmi Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang Mohamad sebagai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu Darul Iman. Tuan Guru juga turut mengambil tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Tanah, Galian dan Perhutanan, dan juga Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan.



(Artikel ini adalah Bab 12, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)
 

No comments:

Post a Comment