Saturday, June 29, 2013

Kak Sah kalah hanya kerana dia muslimat?

Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

PADA adatnya, Puan Napisah Ismail  adalah orang paling berhak untuk dipertaruhkan sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut, nanti. Selaku bekas calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru sahaja berlalu tidak sampai dua bulan lalu, adalah amat beradab sekiranya peluang kali ini ditawarkan semula kepada beliau.

Lagi pun menurut kebiasaannya, PAS tidak ada apa-apa halangan untuk memberikan peluang kedua, malah ketiga atau lebih, kepada mana-mana individu yang diyakininya mampu memberikan tentangan terbaik kepada parti lawan dalam mana-mana pilihan raya diadakan.

Persoalan ini terlontar semula apabila satu pilihan raya kecil pasti akan diadakan di Dun Kuala Besut tidak berapa lama lagi. Kerusi itu kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat penyakit jantung dan paru-paru pada Rabu, 26 Jun.

Lalu persoalan siapakah bakal dipilih mewakili PAS dalam pertarungan nanti mula disuarakan. Di situlah timbul pengesyoran di atas tadi. Lagi pun Napisah, atau lebih mesra dipanggil ‘Kak Sah’, sendiri tidak ada apa-apa kelemahan peribadi sehingga boleh dipertikaikan kewibawaannya membawa suara parti sekiranya terpilih.

Pengalamannya memegang berbagai jawatan parti sejak hampir tiga dekad lalu, sama ada di peringkat Cawangan, MTD, Kawasan mahu pun Negeri adalah suatu yang tidak dapat dinafikan. Komitmennya terhadap kerja-kerja parti tidak pernah luntur mahu pun goyah.

Malah, memperkukuhkan lagi pengorbanan beliau ialah wujudnya gandingan mantap bersama suami, Cikgu Zawawi Mahmud. Pesara guru itu bukan sosok yang asing bagi pendukung PAS, khususnya di Besut. Kewujudannya dalam PAS di pelbagai peringkat agak sinonim dengan jawatan ‘setiausaha’.

Cikgu Zawawi pernah memegang jawatan yang merupakan ‘nadi organisasi’ itu di cawangannya, Kampung Dengir; Unit Peti Undi (UPU) Bukit Puteri, Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Besut dan terakhir sempat menjawat Setiausaha PAS Kawasan Besut. Malah sepanjang kempen PRU-13 lalu, beliau bertindak selaku ‘Setiausaha Peribadi’ kepada calon Dun Kuala Besut, iaitu tidak lain dari isterinya sendiri.

Ertinya, jika mahu dipersoalkan tentang kelayakan Kak Sah dari sudut komitmen terhadap perjuangan parti, penulis rasakan hampir tidak ada ruang untuk beliau diremehkan. Satu-satunya hakikat yang nampaknya diketengahkan sebagai faktor mengurangkan sokongan terhadap beliau ialah kerana beliau seorang wanita (muslimah).

Itulah sahaja “kekurangan” beliau. Sebenarnya, penulis sendiri telah lama mendengar sungutan beberapa pihak, sedari awal nama Kak Sah disebut-sebut bakal dipilih mewakili PAS di Dun Kuala Besut dalam PRU-13 lalu. Ketika itu belum pun ada kata putus dari pucuk pimpinan, tetapi nama beliau sudah “lacuh” disebut.

Penulis pernah mengulas isu kemungkinan PAS meletakkan calon muslimat di Terengganu menerusi akhbar Harakah (rujuk bil: 1769, 17 Ogos 2012 atau layari http://padredeumares.blogspot.com/2012/08/terengganu-bakal-pertaruh-calon-muslimat.html). Walau pun dalam artikel itu penulis memilih untuk tidak menyebut di kawasan mana calon dimaksudkan itu akan muncul, ia sebenrnya sudah ada dalam pengetahun, termasuk siapa nama bakal calonnya.

Di waktu itu juga penulis sendiri sudah diterjah dengan berbagai suara kurang enak, mempersoalkan kewajaran PAS meletakkan calon muslimat. Salah seorang mereka secara penuh bertanggungjawab melontarkan, “tak ada orang lelaki dah ke kita ni? Ana bimbang takut orang tak boleh terima lagi kat tempat kita ni calon perempuan ni...”

Rakan penulis itu seorang pemerhati politik yang cermat. Beliau mendakwa menerima maklumbalas agak negatif daripada beberapa pihak ditemuinya berhubung hasrat PAS meletakkan calon muslimat.

Ya, kita memang tidak menyangka isu itu akan berlarutan. Kepimpinan parti juga barangkali menganggap ahli-ahli dan pendukung PAS akan akur akhirnya kepada pilihan parti. Justeru, kita diyakinkan bahawa sebarang gertakan atau penegasan mana-mana pihak untuk “boikot” kerja pilihan raya sekiranya calon muslimat diletak, tidak akan menjadi kenyataan.

Tambahan pula di masa sama, Dewan Muslimat PAS Pusat katanya sangat beriya-iya menampilkan calon muslimat di Terengganu. Konon katanya bagi memperlihatkan Muslimat Terengganu tidak ketinggalan dalam ‘perlumbaan’ mengetengahkan wakilnya seperti yang telah bertahun dilakukan oleh Muslimat di negeri-negeri lain.

Tidak sangka pula, bahawa isu itu rupa-rupanya tidak mudah untuk dipadamkan. Penolakan segelintir itu terhadap calon muslimat, melarat menjadi “serangan peribadi” terhadap Kak Sah. Ternyata PAS tersilap underestimate penolakan itu, apabila segelintir itu sanggup pergi lebih jauh mengisytiharkan “haram” mengundi calon muslimat. Memburukkan keadaan ialah apabila “hukum” ini tercium oleh jentera saraf BN. Hasilnya, tidak sedikit mereka yang pada asalnya cenderung memilih PAS akhirnya mengubah pendirian.

Kak Sah memperolehi 6,375 undi berbanding Allahyarham Dr A. Rahman yang mendapat 8,809 undi. Majoriti kekalahannya ialah 2,434 undi, meningkat hanya sedikit berbanding 2,631 pada 2008. Apabila ditanya kenapa keputusan itu sedemikian rupa, ada yang menjawab, “kerana oghe toksir ko calon muslimat”.

Astaghfirullah al-‘Azim, sempit benarkah pemikiran orang di Besut ini sehingga tidak dapat terima muslimat sebagai calon? Ataukah pemimpin kita yang silap kerana meremehkan isyarat awal penolakan itu?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1857, 22-25 Syaaban 1434/1-4 Julai 2013 di ruangan ‘KOLUMNIS F21’ dengan tajuk serupa)

Analisa prestasi PAS di Dun Kuala Besut


Oleh: MOHD NASIR AWANG

ADA beberapa pemerhatian menarik yang dapat saya simpulkan tatkala meneliti semula keputusan-keputusan pilihan raya lepas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu. Menghayati pemerhatian dan kesimpulan itu insya Allah sedikit sebanyak akan dapat membantu peminat politik lebih memahami perkembangan terkini perebutan pengaruh dan kuasa di kawasan tersebut.

Dun Kuala Besut sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara apabila satu pilihan raya kecil bagi kawasan itu bakal diadakan dalam masa terdekat. Menurut catatan sejarah pilihan raya negara, ini merupakan pilihan raya kecil kedua berlaku di Dun berkenaan. Kali pertama ialah pada 30 Julai 1979, ekoran kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN), Zakaria Muda.

Rabu (26 Jun) lalu, kerusi berkenaan kosong lagi, juga berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat paru-paru berair.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru lalu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Puan Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memperolehi 8,809 undi berbanding Napisah yang mendapat 6,375 undi.

Ini merupakan penggal kedua bagi Allahyarham. Pada 2008, beliau menewaskan calon PAS, Ustaz Muhammad Zawawi Salleh dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mengumpul 7,123 undi manakala lawannya mengutip 4,492 undi.

Allahyarham dipilih mewakili BN menggantikan penyandang, Abdullah Che Muda yang memenangi kerusi berkenaan pada 2004 dengan majoriti 2,027. Abdullah mendapat 6,334 undi sekaligus menewaskan Ustaz Muhammad Zawawi yang memperolehi 4,307 undi.

Walau pun sejak tiga PRU lalu (bermula 2004), Dun Kuala Besut menjadi milik BN, ia sebenarnya tidak senantiasa begitu sepanjang sejarah kewujudannya. Malah, sebagai pemerhatian pertama saya, bahawa pemenang pertama kerusi Dun Kuala Besut (menerusi PRU 1959) ialah PAS, bukannya BN (atau Perikatan ketika itu).

Bahkan, dalam PRU berkenaan, saingan terdekat PAS bukannya Perikatan, tetapi Front Sosial (SF). Calon PAS, Haji Wan Said Mohd Nor menewaskan calon “Parti Ppalo Kubar” (sepertimana disebut oleh warga tempatan Kuala Besut, secara literal bermaksud “Parti Kepala Kerbau”, merujuk kepada lambang SF), Wan Ali Wan Jusoh dengan majoriti 245 undi.

Wan Said memperolehi 1,303 undi berbanding Wan Ali dengan 1,058 undi. Manakala Abu Bakar Ahmad mewakili Perikatan hanya di tempat ketiga dengan 942 undi.

Kedua, kehadiran Wan Ali selaku tonggak utama SF Ranting Besut menjadikan Kuala Besut sebagai antara pangkalan utama parti itu di Terengganu. Beliau sendiri bertanding sebanyak tiga kali di situ, iaitu pada 1959 dan 1964 (atas tiket SF), diikuti PRU 1974 (atas tiket Partai Sosialis Rakyat Malaysia - PSRM). Tidak syak lagi mana-mana kawasan yang menjadi tumpuan parti tersebut banyak dicorakkan dengan isu-isu ekonomi dan kemasyarakatan. Kuala Besut tidak terkecuali.

Ketiga, sejarah juga mencatatkan bahawa PAS pernah mewakili Dun Kuala Besut sebanyak empat kali. Selain menerusi PRU 1959, parti itu memenanginya semula pada PRU 1969 menerusi Mohamad Said. Beliau menewaskan calon Perikatan, Zakaria Muda dengan majoriti 257 undi, sekali gus menjadi wakil tunggal pembangkang dari Besut.

Pada PRU 1974, PAS bertanding atas tiket BN. Kuala Besut adalah satu-satunya kerusi di Besut yang difaraidkan kepada PAS. Calonnya, Ustaz Husin Jusoh menang agak besar ke atas pencabarnya daripada PSRM, Wan Ali Wan Jusoh.

Kemenangan PAS kali keempat di situ ialah menerusi Ustaz Zawawi Salleh, iaitu pada PRU 1999. Beliau memperolehi 4,426 undi berbanding Dato’ Wan Zakaria Abd. Rahman, selaku penyandang, yang mendapat 3,939 undi.

Keempat, meski pun BN (Perikatan) lebih kerap menang berbanding PAS, kekuatan kedua-dua pihak kelihatan agak seimbang. Majoriti kemenangan terbesar BN ialah 2,631 yang dicatatkan pada 2008. Manakala pada kesempatan lain, angka itu jauh lebih rendah.

Bahkan, dalam beberapa pertarungan lain, kekalahan dialami PAS tidaklah seteruk mana. Contohnya, pada PRU 1964, ia kalah dengan hanya 330 undi. Begitu juga pada 1978 (875 undi), 1990 (263) dan 1995 (811).

Keupayaan PAS memberikan saingan sengit di situ meletakkan Dun Kuala Besut sebagai salah satu kerusi yang sentiasa menjadi sasaran PAS untuk dimenangi dalam perkiraan parti itu menakluki Terengganu.

Kelima, sebahagian besar calon dipilih mewakili PAS di situ ialah pemimpin PAS dari “luar Dun”. Bermula PRU 1964, PAS mempertaruhkan Yusof Mat Sah, yang tinggal di Jertih. Begitu juga dengan Mohamad Said dan Ustaz Husin Jusoh, yang menang masing-masing pada 1969 dan 1974, kedua-dua mereka juga dari Jertih. Ustaz Husin malah turut mewakili PAS dalam dua pilihan raya berikutnya, iaitu pada 1978 dan pilihan raya kecil 1979.

Pada PRU 1982, PAS menjemput Muhammad Jusoh @ Ustaz Stimat, dari Kerandang (sekarang dalam Dun Jabi) pula bertanding di situ. Ini diikuti Ustaz Abdul Latif Muhammad (1986) dan Ustaz Husain Awang (1990), kedua-dua mereka juga dari Jertih.

Malah, Ustaz Zawawi yang menang pada 1999, didatangkan dari Kampung Alor Keladi, dalam Dun Hulu Besut. Alhamdulillah, beliau diterima baik masyarakat setempat (khususnya pendukung PAS) sehingga diberi kepercayaan bertanding lagi pada 2004 dan 2008 di situ.

Ertinya, dari sudut penerimaan masyarakat, faktor “orang luar Dun” nampaknya tidak menjadi masalah utama dalam pemilihan calon mewakili PAS di Kuala Besut. Asal saja tokoh yang dipilih itu dari kalangan kepimpinan PAS di Besut, selain mempunyai hubungan baik sedia terjalin dengan masyarakat di dalam kawasan berkenaan.

Semoga analisa ringkas ini dapat membantu kita memahami latarbelakang pergolakan politik di Kuala Besut sedari dulu. Bahawa peluang di kerusi berkenaan sentiasa terbuka buat kedua-dua pihak – PAS mahu pun BN, bergantung kepada sejauh mana mereka berupaya memanipulasi kecenderungan dan sentimen dalam masyarakat.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil:1857, 22-25 Syaaban 1434/1-4 Julai 2013 di ruangan ‘KOLUMNIS F21’ dengan tajuk ‘Memahami latar belakang pergolakan politik Kuala Besut’)

Thursday, June 20, 2013

‘Generasi kedua’ penerus legasi perjuangan PAS


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAYA bukanlah antara orang pertama menuturkan tahniah kepada Haji Muhyidin Abdul Rashid atas kejayaannya memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu lewat Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Saya hanya berkesempatan bertemu beliau buat pertama kali setelah agak lama usai pilihan raya tersebut. Entahkan sudah berapa ratus ucapan tahniah yang beliau terima sebelum tuturan saya itu.

Namun saya agak yakin bahawa besar kemungkinan saya orang pertama memberikan pengiktirafan kepada beliau selaku ‘pewaris politik’ pertama dalam sejarah PAS Terengganu. Maksud saya, beliau ialah orang pertama yang berjaya mewarisi pencapaian ayahnya di gelanggang politik sebagai ‘Yang Berhormat’. Hal itu bagi saya merupakan catatan sejarah tersendiri buatnya dan PAS negeri itu.

Semua orang yang mengikuti perkembangan politik tanahair tahu Muhyidin menjadi wakil rakyat. Tidak sedikit juga yang tahu bahawa almarhum ayahnya juga bekas wakil rakyat PAS. Cuma tidak ada yang mengambil kisah fakta bahawa beliau adalah pencipta rekod sebagai ahli politik pertama dari generasi kedua pemimpin PAS Terengganu yang menang pilihan raya.

Muhyidin dilahirkan pada 4 Julai 1961 dalam sebuah keluarga ahli perniagaan dan ahli politik di Kuala Berang. Almarhum ayahnya, Haji Abdul Rashid Su adalah bekas wakil rakyat PAS di Dun Kuala Brang pada 1974.

Pemegang ijazah Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM) ini aktif dalam berbagai bentuk perniagaan, seperti pembekalan bahan binaan, urusniaga getah dan kayu-kayan. Beliau pernah menjawat Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, beribupejabat di Kuala Lumpur.

Muhyidin yang kini Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu memang sangat aktif dalam parti. Beliau pernah memegang berbagai jawatan di peringkat kawasan mahu pun negeri. Antaranya, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Hulu Terengganu, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Setiausaha PAS Kawasan, Ketua Penerangan DPP negeri, Ketua DPP negeri dan Ketua Penerangan PAS negeri.

Mula bertanding PRU 1995 bagi kerusi Dun Kuala Berang, tetapi tewas. Pada 1999 beliau beralih ke kerusi Parlimen Hulu Terengganu dan menang. Beliau tewas di situ pada 2004. Di tahun sama juga dipilih sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Berang. Pada PRU 2008 dan 2013, Muhyidin mencuba lagi di Dun sama, namun nasib tidak menyebelahinya.

PRU ke-13 baru-baru ini bagaimana pun berjaya melahirkan dua lagi ‘pewaris politik’ di negeri itu. Mereka ialah Ustaz Ridzuan Hashim dan Ustaz Hilmi Harun.

Ridzuan dipertaruhkan PAS untuk merampas semula Dun Teluk Pasu. Beliau adalah anak Almarhum Ustaz Hashim Embong, bekas Adun PAS-Jeram pada 1969. Dun Jeram ditukar nama kepada Teluk Pasu bermula 1986.

Ridzuan lahir pada 2 Januari 1972 di Kampung Teluk Pasu, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak keenam daripada 11 beradik. Selesai pengajian diploma di Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dalam jurusan Syariah Islam, beliau menyambung ke peringkat ijazah pertama jurusan sama di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau kemudian mendapat ijazah sarjana (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2002.

Pernah bertugas sebagai imam di Masjid Subang, Selangor sebelum dipecat kerana faktor politik. Sejak itu beliau kembali ke Terengganu dan giat mengadakan kuliah mingguan dan bulanan di beberapa tempat, khususnya sekitar Dun Teluk Pasu. Beliau mencuba nasib dalam PRU 2008 di Dun tersebut, namun kemenangannya tertangguh. Dalam PRU-13 baru-baru ini, beliau berjaya merampas semula kerusi berkenaan dari BN, sekaligus menempatkan namanya sebagai “pewaris politik” di Terengganu.

Di dalam parti, Ridzuan pernah memikul berbagai amanah. Antaranya Timbalan Pengarah 2 Majlis Tindakan Dun Teluk Pasu, Pengarah Jabatan Mahasiswa DPP negeri, Ketua DPP Kawasan Kuala Nerus dan Timbalan Ketua DPP Negeri.

Ustaz Hilmi pula adalah anak kepada bekas Adun Manir, yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dato’ Harun Taib. Beliau memiliki jalur pendidikan agak menarik. Bermula dengan pencapaian Syahadah 4 Thanawi di Maahad Darul Quran, Rusila, beliau kemudiannya memperolehi Sarjana Muda Pengajian Islam dan Bahasa Arab, dari Universiti Abu Nour, Syria.

Kedahagaannya terhadap ilmu diteruskan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sehingga menggenggam ijazah Sarjana Syariah. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat PhD jurusan Sains Politik di University of Western Australia, Perth. Ini menjadikannya fasih berbahasa Arab dan Inggeris, sesuatu penguasaan yang jarang dimiliki kebanyakan ustaz.

Dikatakan atas permintaan orang ramai di Dun Manir, beliau dipanggil pulang sejak setahun lalu, ketika sedang menyiapkan 'tesis' ijazah kedoktorannya. Walau pun tidak begitu dikenali di negeri sendiri, pemilihannya sebagai calon dikatakan turut dibantu rekod penglibatan aktifnya sebagai pendukung utama Majlis Perwakilan PAS Australia Barat (PRCWA).

Pemilihannya kemudian disahkan di peringkat cawangan-cawangan PAS dalam Dun Manir. Sokongan padu akar umbi di Dun itu terbukti apabila pada 5 Mei lalu, Ustaz Hilmi dinobatkan wakil rakyat yang baru, sekaligus mengambil alih tempat ayahnya, Dato’ Harun.

Setakat ini hanya mereka bertiga yang berjaya mencatatkan nama dalam senarai “pewaris politik” PAS di Terengganu. Ramai lagi sebenarnya aktivis “generasi kedua” seperti mereka yang, disebabkan pelbagai faktor, belum berkesempatan membuktikan kemampuan masing-masing. Antara mereka ialah Zaihan Mohd Daud Samad dan Mohd Khalil Abdul Hadi Awang. Manakala nama-nama seperti Fariz Irwan Mustafa Ali dan Fathi Aziz Abu Bakar Chik juga pernah disebut-sebut sebagai penerus perjuangan ayah masing-masing.

Dalam hal ini, parti lawan Barisan Nasional (BN) nampaknya jauh lebih agresif mengetengahkan politikus “generasi kedua” mereka ke pentas pilihan raya. Terbaru (lewat PRU 2008) ialah Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, anak bekas MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Dalam PRU-13 ini, beliau mengekalkan kerusi Dun Air Putih.

Sebelum beliau, sudah ada beberapa nama, termasuk bekas Adun Bandar, Toh Chin Yaw. Wakil MCA ini bukan sahaja mewarisi kerusi berkenaan daripada bapanya. Turut diwarisinya ialah jawatan Exco kerajaan negeri (penggal lalu).

Bapanya, Dato’ Maha Kurnia Toh Seng Chong, menjadi Adun Bandar selama dua penggal bermula 1969. Beliau juga dilantik sebagai Exco kerajaan negeri selama tempoh itu.

Bekas Adun Rantau Abang, Zaabar Mohamed Adib adalah juga generasi kedua politik Terengganu. Beliau adalah anak kepada Mohamed Adib Omar, Adun BN-Merchang bagi penggal 1974-82.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus dan bekas Adun Bukit Tunggal, Mohd Nasir Ibrahim Fikri pula adalah anak kepada MB Terengganu ke-7, Tan Sri Ibrahim Fikri Mohamad. Ibrahim Fikri memenangi Dun Kuala Nerus selama tiga penggal bermula 1959 dan menjadi MB antara 1961 hingga 1970.

Kedua-dua pihak nampaknya telah menemui “pewaris politik” masing-masing. Diharap kehadiran mereka bukan sahaja untuk mengekalkan legasi orang-orang tua mereka, malah tambah memeriahkan demokrasi dengan nafas baru yang lebih segar dan progresif.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1854, 12-14 Syaaban 1434/21-23 Jun 2013 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)

Saturday, June 8, 2013

BN ‘bunuh’ kemakmuran masjid Kota Putera


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Di kesempatan berada di Besut minggu lalu, penulis berpeluang mengikuti dua kuliah oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Adam Mat Said. Pertama, pada hari Isnin malam Selasa di Masjid Darul Iman, Kampung Lahar, sebuah masjid persendirian yang kelihatannya dikuasai oleh para pendukung PAS.

Kali kedua, pada Rabu malam Khamis di sebuah surau di kawasan perumahan di Alor Lintang. Melihatkan beberapa bahan bercetak yang ditampal secara terbuka di papan kenyataannya, surau ini juga nampaknya ‘ditakluki’ pendukung parti Islam.

Kedua-dua premis tersebut terletak di dalam kawasan Dun Kota Putera, salah satu kawasan pilihan raya di Parlimen Besut. Difahamkan kuliah di kedua-dua premis ini hanya bermula selepas PRU13 lalu, sebagai ganti kepada kuliah pada malam-malam sama di dua masjid kerajaan berdekatan.

Subhanallah! Bagi sesiapa yang belum pernah mengikuti kuliah Ustaz Adam pasti akan terasa kagum dan bangga dengan keupayaannya memaut kehadiran sebegitu ramai pendengar. Kedua-dua majlis itu dihadiri ratusan pencinta ilmu Islam, sehingga melimpah ke luar bangunan. Difahamkan mereka itu bukan hanya yang tinggal di sekitar rumah-rumah ibadat tersebut. Mereka malah dari belasan kampung sekitar daerah Besut.

Dapat penulis simpulkan bahawa ulama muda ini mempunyai pendekatan dakwahnya yang tersendiri. Butir bicaranya sangat bertertib. Bait-bait ucapannya padat dengan ilmu dan nasihat, terutama untuk membina keperibadian muslim yang beradab, lebih-lebih lagi dengan Allah Ta’ala.

Seperkara agak nyata, bersalahan dengan imej aktivis PAS yang melekat kuat pada batang tubuhnya, butir-butir pengajarannya tidak langsung menyentuh hal-hal politik kepartian. Hal itu dengan sendirinya menjelaskan mengapa setiap masjid atau surau dikunjungi beliau mampu menggamit kehadiran pendengar yang begitu ramai. Popularitinya melangkaui batasan parti. Yang datang menadah telinga mendengar kuliahnya bukan sahaja penyokong PAS, tetapi juga khalayak ‘atas pagar’ dan pendukung Umno.

Ustaz Adam adalah bekas calon PAS bagi kerusi Dun Kota Putera pada PRU13 baru-baru ini. Meski pun tidak mampu mengatasi jumlah undi diperolehi calon parti lawan, pengasas Pusat Tarbiah Nurul Iman di Kampung Kubang Ikan ini telah berjaya melonjakkan undi buat partinya. Berbekalkan majoriti kekalahan lebih 3,300 undi pada 2008, beliau berjaya menyusutkan kemenangan BN kepada hanya lebih 1,400 undi.

Walau pun lonjakan itu tidak cukup besar untuk menghasilkan kemenangan buat PAS, ia merupakan kemaraan yang boleh dibanggakan. Mengambilkira betapa Dun Kota Putera adalah salah satu kerusi yang tidak pernah diberikan harapan tinggi untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat, khususnya PAS Terengganu sendiri, pencapaian itu diluar jangkaan banyak pihak.

Tidak syak lagi saham utama peningkatan sokongan terhadap PAS di situ ialah keperibadian Ustaz Adam sendiri. Kesungguhan dan keikhlasannnya mencurahkan ilmu kepada masyarakat menjadi bahan pertuturan. Di mana sejak beberapa tahun sebelum disahkan menjadi calon PAS, Ustaz Adam adalah tenaga pengajar paling popular di beberapa masjid mukim (masjid kerajaan), jika pun tidak di seluruh daerah Besut. Dikatakan pada setiap malam beliau memberikan kuliah, jumlah hadirin sangatlah ramai, bahkan paling ramai berbanding kuliah-kuliah oleh lain-lain tenaga pengajar di premis sama.

Kebetulan pula tumpuan aktiviti kuliahnya ialah di masjid dan surau di Kota Putera. Maka, apabila mula disebut-sebut namanya sebagai bakal calon seawal 2011 lalu, ia amat tidak disenangi kalangan pendukung Umno. Usaha berterusan dikatakan dibuat, termasuk oleh penyandang Adun Kota Putera ketika itu agar kuliah-kuliah Ustaz Adam dihentikan di masjid-masjid mukim.

Difahamkan pada setiap Isnin malam Selasa, beliau berkuliah di Masjid al-Muqorrobin, Gong Kepas. Manakala Rabu malam Khamis giliran di Masjid Nasiruddin Shah, Kampung Raja. Sepertimana disebutkan tadi, penerimaan terhadap pengajarannya bukan lagi terbatas kepada penyokong PAS atau pembangkang sahaja. Populariti Ustaz Adam sudah melangkaui batasan parti.

Sebab itu biar pun berkali-kali penyandang Adun ketika itu cuba menggunakan kuasa dan kedudukannya untuk memaksa kuliah Ustaz Adam di dua masjid kerajaan itu ditamatkan, ia mendapat bantahan hebat, termasuk oleh jawatankuasa masjid-masjid terbabit sendiri. Bahkan, pihak Pejabat Agama Daerah Besut sendiri dikatakan tidak menemui sebarang masalah dengan isi kuliah beliau yang langsung tidak menyentuh hal-hal politik kepartian.

Dikatakan kegagalan itu juga antara faktor besar mendorong penyandang Adun itu ‘berpindah’ ke kerusi Dun Jertih dalam PRU13 baru-baru ini. Kata orang Besut, dia “terlekat kuong” kekalahan dengan Ustaz Adam apabila gagal dalam usahanya memadamkan populariti ulama itu, termasuk di kalangan penyokong Umno sendiri.

Kini usaha dimulainya itu membuahkan hasil. Ustaz Adam tidak lagi dibenar meneruskan kuliah-kuliahnya di dua masjid tersebut. Peliknya, sekatan itu bukan datang daripada Pejabat Agama Daerah Besut, sebaliknya daripada pemenang PRU13 yang mengambilalih jawatan Adun Kota Putera. Tanpa sebarang surat atau arahan rasmi daripada jabatan yang bertanggungjawab terhadap tauliah kuliah, beliau sendiri mengumumkan sekatan itu sejurus sebelum majlis kuliah sepatutnya bermula di Masjid Al-Muqorrobin.

Sekatan sama dibuat pula ketika giliran Ustaz Adam berkuliah di Masjid Nasiruddin Shah pada minggu berikutnya.

Tidak dinafikan selaku Adun, beliau ada kedudukan untuk memaksa jabatan agama mengeluarkan surat pemberhentian itu. Beliau juga boleh memberikan alasan kononnya kuliah itu akan diambilalih oleh tenaga pengajar lain yang disenangi pemerintah.

Cuma yang sangat mendukacitakan anggota masyarakat setempat ialah apabila itu semua akhirnya terbukti hanyalah alasan untuk mengenepikan Ustaz Adam daripada terus berkuliah di situ. Sehingga rencana ini ditulis, selepas hanya sebulan PRU13 berlalu, kedua-dua malam yang dikatakan akan dihidupkan oleh pengkuliah lain itu menjadi malam sangat suram dan sepi buat jemaah masjid-masjid terbabit.

Terbukti sudah bahawa kemenangan BN telah membunuh kemakmuran masjid-masjid tersebut. Ingatlah, setiap yang mengundi BN di Kota Putera sudah tentu tidak terlepas saham atas ‘pembunuhan’ ini.

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1851, 1-4 Syaaban 1434/10-13 Jun 2013 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)