Thursday, May 15, 2014

Berpada-pada dalam berkasih, bermusuh


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEORANG teman sehari-hari di zaman belia saya dulu mempunyai tabiat yang sangat baik. Dia sering menuturkan kata-kata nasihat yang bagus ketika bersama rakan-rakan. Bersesuaian dengan statusnya sebagai orang paling tua di dalam kelompok kami, dan paling berwarna-warni juga latar belakang perjalanan telaah ilmu-ilmu agamanya berbanding yang lain, tutur bicaranya adalah paling bertertib dan paling berisi.

Justeru pantang ada kesempatan, lebih-lebih lagi di kala berlakunya insiden atau kejadian yang menjadi topik bual bicara dalam masyarakat, nescaya teman saya ini akan melontarkan ulasan atau komentar spontannya. Selalunya apa yang disebutnya akan turut dikaitkan dengan ungkapan-ungkapan sama ada daripada firman Allah SWT, sabda Rasulullah saw, kata-kata para sahabat mahu pun para bijak pandai Islam terdahulu, yang bersesuaian dengan isu semasa dibualkan itu.

Maka banyaklah buah fikir yang bernas dan garapan isu yang mantap saya sempat kutip daripada beliau. Sebahagiannya malah saya jadikan asas perbincangan lebih panjang lebar dalam beberapa komentar saya di media-media cetak ketika itu, terutama berkaitan perkembangan politik dan sosial tanahair. Selebihnya saya jadikan panduan dalam meneruskan langkah kehidupan.

Di antara apa yang pernah dituturkannya yang masih melekat kemas dalam ingatan saya hingga kini ialah suatu rangkap yang bermaksud, “sayanginya orang yang kamu sayang itu berpada-pada, kerana ada kemungkinan kamu akan bermusuhan dengannya suatu hari nanti. Bermusuhlah dengan orang yang kamu musuhi itu berpada-pada, kerana ada kemungkinan kamu akan berkasih-sayang pula dengannya suatu hari nanti”.

Beliau membacakan rangkap ini di dalam teks asalnya (bahasa Arab). Bunyinya sangat sedap didengar. Ia berirama, seumpama susunan bahasa yang sering kita temui dalam sebuah syair atau puisi.

Teman saya ini mendakwa rangkap ini sebuah hadith Nabi saw. Cuma beliau sendiri tidak dapat menyebut siapa perawinya atau dari kitab mana ianya dipetik. “Kawe terimo dari guru kawe maso ngaji ghetu (maksudnya, ‘saya terima daripada guru saya semasa belajar dulu’)”, itu saja hujah beliau mempertahankan dakwaannya.

Namun, apabila saya mohon pencerahan daripada beberapa asatizah, tiada antara mereka yang berani mengesahkan ia sebuah hadith. Kata mereka, ia mungkin hanya kata-kata sahabat atau para ulama. Wallahu a’lam!

Apa pun statusnya, sama ada hadith atau bukan hadith, saya kira tidak salah untuk kita kutip ibrah daripada intipati maksud ungkapan itu. Lagi pun, sudah menjadi kebiasaan orang kita untuk memetik sebegitu banyak kata-kata hikmah atau pesan bestari daripada seseorang (ada kalanya termasuk daripada tokoh bukan muslim) yang kita rasa sangat bersesuaian dengan sesuatu yang ingin kita sampaikan.

Saya sendiri cenderung beramal dengan kebiasaan itu. Maka, mengapa tidak kita terima ungkapan itu seadanya dan hayati pengajaran daripadanya?

Saya masih ingat teman tadi beberapa kali menghuraikan maksud rangkap itu. Hal itu antara faktor utama membantu saya mengingatinya dengan baik. Pengajaran pokoknya ialah agar kita “bersederhana” dalam berhubungan dengan sesama manusia, sama ada ketika berbaik mahu pun bermusuh.

Di kala berhubung baik, atau berkasih sayang sekali pun, kita dinasihatkan agar jangan terlalu berlebihan. Pertama, ia boleh mengundang rasa tidak senang atau ‘meluat’ pihak lain yang tidak terlibat dalam ‘kasih-sayang’ itu.

Kedua, hubungan yang terlalu baik juga kadangkala turut memudahkan tercetusnya rasa kecewa atau kecil hati walau pun disebabkan kesilapan yang kecil oleh mana-mana pihak.

Di satu sudut lain, baik yang “berlebihan” dalam hubungan juga mengundang kesan buruk di kemudian hari. Maksud saya antara kita mungkin ada yang terlalu yakin dengan sesebuah persahabatan di satu peringkat hidup kita. Kita ada kawan-kawan yang sangat dipercayai. Justeru, kepada mereka kita curah atau dedahkan segalanya, sekira-kira tidak ada rahsia lagi antara kita.

Baik-buruk mengenai peribadi kita semua diketahui mereka. Akibatnya, apabila berkelahi atau berlaku sesuatu yang menjejaskan hubungan antara kita, ia akan memberi kesan sangat mendalam kepada kita. Rahsia-rahsia peribadi yang kurang enak itu, dan berada dalam genggaman bekas kawan baik itu, akan menghantui kehidupan.

Sebab itu teman saya tadi menggunakan istilah “kena taruh cadang”, yakni dalam bahasa Inggerisnya disebut “reserve”. Maksudnya, kena simpan separuh-separuh. Jangan lah mentang-mentang kita berbaik, semuanya kita kongsikan dengan kawan. Itulah maksudnya “berpada-pada” dalam ungkapan tadi.

Dalam ertikata lain, berkawan baik perlu ada batasnya. Jangan sampai kawan tahu segala rahsia, kerana tabiat manusia di ketika baik tersangatlah baik, di ketika berkelahi atau bermusuhan pula, sesuatu yang rahsia atau yang tak sepatutnya diketahui orang lain itu akan dijadikan modal atau bahan serangan kembali kepada dirinya.

Begitu juga dalam berkelahi atau bermusuhan. Jangan dibangkit, jangan dicerca semahunya. Jangan diisytihar “bakar jambatan”, atau menuturkan “sampai kiamat aku tak akan berbaik dengan dia”. Jangan dilabelkan si anu dengan gelaran atau momokan begian dan begian.

Kerap berlaku, terutama dalam konteks politik, pihak yang menjadi musuh hari ini boleh menjadi kawan baik keesokannya. Begitulah juga sebaliknya. Maka dapat kita lihat bagaimana hipokritnya sebilangan manusia yang bagaikan terpaksa “menjilat muntah sendiri” apabila perlu duduk semeja, makan sepinggan atau tidur sebantal dengan pihak yang selama ini dicemuh, dicaci-nista dan dihebahkannya dengan segala keaiban dan kebusukan!

Bagi saya, rangkap yang diulangsebut teman saya tadi kena dengan saranan agama agar kita bersederhana dalam banyak hal, termasuk dalam bab ibadah dan berbagai aspek kehidupan ini. Kesederhanaan dalam menjalin hubungan antara sesama manusia juga tidak terkecuali.

Namun, bagi saya konteks perbincangan ini tentu sekali tidak termasuk hubungan antara sepasang suami-isteri yang sememangnya patut dijalin penuh kejujuran, saling mengasihi dan percaya-mempercayai, tanpa perlu ada sekelumit rasa curiga mahu pun berahsia.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah, Bil:24, terbitan Mei 2014 di kolum Coretan Ketua Pengarang dengan tajuk sama)