Tuesday, August 15, 2000

Haji Abu Bakar bin Chik

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan

ABU Bakar @ Zaid bin Chik dilahirkan pada 18 Ogos 1950 di Kampung Masjid Tepuh, Mukim Kuala Nerus, Kuala Terengganu. Beliau adalah anak yang kedua dari tujuh adik-beradik, dalam sebuah keluarga petani. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bukit Cempaka, tidak berapa jauh dari rumahnya. Beliau kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas, Kuala Terengganu.

Pada tahun 1963 Abu Bakar melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah (Agama) Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu. Di sana beliau menuntut selama empat tahun, sehingga 1966. Seterusnya beliau menyambung lagi pelajarannya di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin di Batu Burok, Kuala Terengganu (1967-1970).

Pada tahun 1968 Abu Bakar turut menjadi salah seorang pengasas penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), bagi cawangan Terengganu.

Dari Kuala Terengganu Abu Bakar berhijrah pula ke Kolej Islam, Klang, pada tahun 1971. Sewaktu di Kolej Islam beliau terlibat dengan gerakan pelajar, dan memimpin beberapa buah persatuan di kolej itu.

Selesai pengajiannya di sana, pada tahun 1973 Abu Bakar melanjutkan pula pelajarannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, dalam bidang Pengajian Islam. Di situlah bakat kepimpinannya semakin terserlah apabila beliau diberi kepercayaan memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) pada tahun 1976/77, dan dipilih menjadi Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) bagi sesi 1975/76.

Abu Bakar berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, disamping Diploma Pendidikan, di UKM.

Kegigihannya membantu menggerakkan dakwah, dan cita-citanya untuk melihat dan melahirkan insan yang berjiwa Islam telah membuahkan hasil, bilamana beliau dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan Maahad al-Ikhwan (Institut Berakan), di Kuala Terengganu pada tahun 1977, iaitu sebaik sahaja selesai pengajiannya di UKM.

Di rumahnya di Kampung Tok Jiring, berhampiran Pekan Batu Enam, Kuala Terengganu, Abu Bakar adalah suami kepada Cikgu Zaitun binti Salleh. Hasil perkongsian hidup mereka, lahirlah lapan orang anak. Di kalangan anggota keluarga, Abu Bakar lebih dikenali sebagai ‘Abang Zaid’. Manakala di kalangan rakan-rakan dalam parti beliau lebih terkenal dengan panggilan ringkas ‘ABC’ (diambil dari initial namanya).

ABC mula bergerak aktif dalam PAS sewaktu Pilihan Raya Umum 1974. Dalam pilihan raya itu beliau berkempen untuk PAS di seluruh negeri Terengganu. Bermula tahun 1982, ABC muncul sebagai salah satu tenaga terpenting PAS peringkat negeri Terengganu, dan juga Pusat. Beliau diamanahkan beberapa jawatan penting dalam parti, seperti Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ketua DPP Negeri Terengganu, dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus.

Kepimpinannya dalam DPP menapak lagi apabila beliau dipilih menjadi Naib Ketua dalam dua era, iaitu era DPP Pusat pimpinan Haji Mustafa Ali dan sekali lagi sewaktu ia dipimpin oleh Ustaz Halim Arshat. Bermula pada tahun 1989, Abu Bakar dipilih pula sebagai Ketua DPP Pusat untuk beberapa penggal seterusnya.

Dalam Pilihan Raya Umum 1982 juga ABC diamanahkan untuk mewakili PAS bertanding di kerusi DUN Jeram, menghadapi calon BN, Sufian Mohd Said. ABC berjaya menewaskan calon BN itu dengan kelebihan 208 undi. Beliau mendapat 3,388 undi berbanding Sufian yang memungut 3,180 undi.

Penggal perkhidmatan ABC itu bagaimanapun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila pada tahun 1984 ABC telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam penahanan itu, tidak terdapat alasan keselamatan yang boleh diterima melainkan alasan-alasan politik yang sengaja direka oleh Umno. ABC bersama beberapa pemimpin lain yang turut ditahan, dibebaskan dua tahun kemudian, pada tahun 1986.

Seperkara yang menarik, sewaktu masih lagi berada dalam tahanan ISA, ABC dipilih untuk menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1986. Beliau bertanding dari dalam tahanan, menentang Ibrahim Azmi bin Hassan (BN) bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus. Majoriti undi sudah tentu memihak kepada calon BN, iaitu dengan kelebihan sebanyak 7,296 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990, ABC bertanding di kerusi Parlimen Setiu, menentang calon BN, Datuk Tengku Mahmud bin Mansor. Rekahan hebat yang berlaku ke atas batang tubuh Umno ketika itu memberikan harapan kepada PAS untuk menawan beberapa kerusi, khususnya di Terengganu. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan Parti Melayu Semangat 46 sebagai rakan kongsi politik dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Namun, kebangkitan parti serpihan Umno itu tidak memadai untuk menewaskan BN di Terengganu. Hanya satu kerusi Parlimen berjaya ditawan, iaitu di Marang, menerusi Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Lain-lain calon APU tewas dengan majoriti yang berbagai. ABC sendiri tewas dengan majoriti 3,969 undi.

Cubaannya buat kali pertama di kawasan Setiu itu rupa-rupanya menjadi titik penting dalam karier politiknya. ABC kemudiannya dipilih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan berkenaan, hingga kini.

Dalam Pilihan Raya Umum 1995, ABC kembali bertanding di peringkat DUN. Beliau ditugaskan membawa bendera PAS di DUN Batu Rakit, salah sebuah DUN dalam kawasan Setiu. Bagaimanapun, nasib masih belum menyebelahinya. Calon BN, Dr Abdul Wahab Ngah menang tipis dengan majoriti 590 undi. Keputusan itu menjadikan DUN Batu Rakit sebagai salah sebuah DUN sasaran bagi PAS Terengganu dalam perancangan untuk merampas negeri itu daripada BN melalui pilihan raya umum kesepuluh.

Pada 29 November 1999 impian itu menjadi kenyataan. DUN Batu Rakit rebah ke pangkuan PAS dengan kelebihan memihak kepada PAS sebanyak 1,187 undi. ABC memungut 4,381 undi, manakala calon BN Datuk Ismail @ Mansor bin Said mengutip 3,194 undi.

Tanggal 2 Disember 1999, Yang Berhormat Ustaz Haji Abu Bakar bin Chik telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) dan bertanggungjawab ke atas portfolio Pertanian, Perikanan dan Ternakan.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment