Monday, March 29, 2010

Apabila bohong, khianat jadi tabiat ahli politik

oleh: Mat Zain Mat Isa

Memang benar kata orang, dunia politik ibarat permainan sangat kotor. Kekotoran itu bukan semata-mata kerana sistem atau kerangka politik itu sendiri, tetapi lebih disebabkan tabiat dan perilaku buruk watak-wataknya.

Orang politik cenderung mengenepikan soal etika, sama ada di sisi aturan demokrasi atau hukum agama. Bercakap bohong, mencipta dakwaan palsu, menabur janji kosong, berhasad dengki, menabur fitnah dan jatuh-menjatuh sesama sendiri adalah antara sifat yang seakan diterima sebagai tabiat dan lumrah politik.

Bahkan, tatkala kepentingan peribadi mengatasi keutamaan kumpulan, orang politik tergamak menggadai prinsip dan memutar haluan perjuangan. Ketika itu mereka tidak kesah menjilat kembali muntah sendiri atau dilabelkan pengkhianat, asalkan kepentingan peribadi dapat diselamatkan.

Ingat lagi istilah “membakar jambatan” yang pernah dipopularkan seorang tokoh politik lebih dua dekad lalu? Beliau bukan calang-calang orang. Seorang yang pernah keluar-masuk barisan Kabinet dan telah berada dalam parti pemerintah negara buat beberapa lama.

Ketika meyakinkan para pengikutnya dengan ungkapan “bakar jambatan” itu, beliau seorang timbalan presiden parti serpihan Umno. Tokoh itu berikrar tidak akan sekali-kali kembali kepada Umno, parti yang dilabelkannya sendiri sebagai pengkhianat bangsa dan berbagai gelaran lagi.

Bagaimana mungkin beliau menyeberangi semula kerana jambatan penghubung antaranya dengan Umno telah “dibakarnya”? Bahkan di ketika lain, kedengaran juga ikrar jika dia mati dan hidup kembali pun, dia tidak akan kembali kepada parti mungkar itu.

Semua kita tahu apa kesudahannya. Pemimpin berkelulusan doktor falsafah di bidang undang-undang itu bukan sahaja secara terbuka melanggar ikrarnya itu, malah berusaha keras membawa masuk kembali para pengikutnya secara en bloc ke dalam Umno. Sebagai habuannya beliau bukan sahaja diterima semula sebagai ahli biasa Umno, tetapi hingga kini tersenarai dalam barisan Kabinet.

Seorang lagi pelaku politik, juga dari sebuah parti serpihan Umno, pernah menggoncangkan pentas politik tanahair lebih 10 tahun lalu dengan istilah “sumpah keramat”. Hampir tiada amalan korupsi, kronisme dan nepotisme di kalangan pemimpin utama Umno yang tidak didedahkannya.

Kelantangan dan kepetahan anak muda ini menggarap isu-isu politik amat memukau pelbagai pihak. Beliau disandarkan bakal menggoncangkan keutuhan Umno dan Barisan Nasional (BN) di persada kuasa.

Ketika itu tiada khalayak politik mahu pun penganalisis dan pemerhati akan percaya seketika kemudian beliau kembali semula bersekongkol dengan parti korup yang menjadi bahan cemuhannya sendiri. Namun itulah yang berlaku kira-kira dua tahun lalu.

Banyak lagi kes membabitkan kenyataan dan pendirian bohong seumpama itu. Ia bukan sahaja mengotorkan padang permainan politik, malah turut memberikan gambaran seolah-olah dunia politik dipenuhi watak-watak tidak bermaruah dan tidak boleh diyakini pegangan perjuangan mereka.

Kebelakangan ini fenomena mengecewakan ini seakan kembali menguasai pentas politik negara. Ada parti dilanda perkelahian yang tidak berkesudahan. Ada yang berakhir dengan penyingkiran sebilangan mereka dari parti dan ada yang kemelut perebutan kuasanya belum selesai hingga kini.

Ada parti pula bertindak keluar dari gabungan induk kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya. Namun paling mutakhir dan lebih menjadi fokus media ialah tindakan beberapa bekas wakil rakyat Keadilan yang kini hebat menyerang kembali bekas parti mereka.

Apa yang paling mendukacitakan ialah kenyataan yang mereka dakwa sebagai pendedahan mengenai taktik dan tabiat buruk pemimpin bekas parti mereka seakan diterima sebagai perkembangan baik dalam politik negara.

Percanggahan kenyataan antara pihak terlibat tambah mengelirukan rakyat. Perkelahian melampaui batas antara mereka merobohkan tembok rasional. Sehinggakan semakin sukar dinilai mana hujah dan kenyataan yang benar, mana yang palsu.

Disedari atau tidak, gelagat politik sedemikian menjerumuskan negara ke lembah kemunafikan yang nyata. Maaf cakap, perlakuan sebilangan ahli politik kita menepati ciri atau sifat muanfik yang pernah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w.

Apabila berkata-kata, mereka cenderung berbohong. Itu sudah dimaklumi dan telah pun dihuraikan tadi. Apabila diberikan amanah, sama ada kuasa, kewangan atau sebagainya, mereka gemar mengkhianatinya. Berleluasanya amalan rasuah, meningkatnya gejala ketirisan dalam perbelanjaan negara dan ghairahnya ahli politik melompat parti adalah simptom utama amalan khianat.

Apabila berjanji, mereka memungkirinya dan apabila berkelahi, mereka cenderung melampaui batas. Ertinya tabiat dan perilaku ahli politik kita sebenarnya sudah menepati empat sifat utama kemunafikan itu.

Amat malang sekiranya fenoma ini seakan diterima sebagai lumrah. Ia seolah-olah satu pengiktirafan bahawa politik Malaysia adalah medan politik munafik. Sedangkan Islam masih dilaungkan sebagai agama Persekutuan dan di dalamnya masih berkumandang suara-suara menjulang amalan politik cara Islam.

Barangkali usaha kita mengenengahkan Islam sebagai pemimpin perubahan masih belum sepadan dengan kebobrokan yang telah terbentuk dalam politik negara!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1526, 29 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, March 28, 2010

Selagi Umno tidak berubah, tiada sebab PAS wajar berpadu

Oleh: Mohd Nasir Awang

Dua minggu lalu PAS Kawasan Besut menjadi hos kepada rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP). Kunjungan disertai tujuh anggota itu diketuai Timbalan Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani. Mereka berkampung di Besut selama tiga hari dua malam bermula 16 Mac lalu.

Sebagai salah seorang yang kebetulan terlibat membantu menjayakan kepemimpinan PAS di Besut, saya sendiri merasa amat bertuah dengan kehadiran rombongan adik-adik tenaga muda itu. Tambahan pula beberapa anggota rombongan itu saya kenali secara peribadi.

Mereka adalah para pejuang Islam yang gigih, berdaya tahan, memiliki daya fikir yang mengagumkan dan ada karisma. Saya menaruh keyakinan mereka itu berpotensi menapak lebih jauh dalam hierarki kepimpinan parti di masa depan.

Tidak pasti mengapa Besut yang mereka pilih. Barangkali kerana daerah itu agak sentimental bagi sebilangan mereka. Ia mungkin juga disesuaikan dengan beberapa kepentingan perjuangan, terutama aspek politik dan dakwah.

Selain sebagai pangkalan memacu kemenangan bagi PAS di Terengganu, Besut juga memiliki antara pusat tarikan pelancongan terkemuka dalam negara. Suatu yang mendukacitakan, di mana ada aktiviti pelancongan, di situlah bercambah dan suburnya aktiviti maksiat dan kemungkaran.

Sebab itu saya difahamkan jadual kunjungan rombongan DPPP itu disendati berbagai aktiviti yang menjurus kepada aktiviti politik dan dakwah. Selain memperkasa gerakerja kepemudaan, mereka juga berkunjung ke pusat peranginan di Pulau Perhentian.

Tujuan utama ialah menyampaikan dakwah kepada penduduk tempatan di pulau itu. Sebahagian besar mereka terlibat dengan sektor pelancongan. Malangnya, keadaan penghayatan Islam di kalangan mereka amat menyedihkan.

Seorang kenalan yang juga anak kelahiran pulau itu memberitahu saya, mereka bukan sahaja tidak solat, tidak berpuasa di bulan Ramadhan, bahkan hidup dalam kesesatan dan kemaksiatan. Zina, arak dan judi sudah menjadi bagaikan nasi makan, air minum mereka.

“Sedih kita tengok (gelagat penduduk tempatan), sehingga tak dapat nak beza dengan para pelancong yang bukan Islam. Mereka ini kita jumpa, kita beri risalah agar jauhi zina, jauhi maksiat, sebab mereka ini orang seagama dengan kita,” cerita Azman Shapawi dalam kuliahnya di Kampung Air Tawar, sekembalinya dari Pulau Perhentian.

Meski pun ringkas, kuliahnya malam itu menepati reputasinya sebagai pemidato berkarisma. Paling menarik bagi saya ialah apabila beberapa perkara utama disebutkannya malam itu turut menjadi isu fokus media massa di minggu berikutnya.

Di antara perkara disebutnya ialah berhubung perangkaan anak luar nikah yang menakutkan. Beliau mendakwa memperolehi maklumat angka anak kategori itu yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah melangkaui ratusan ribu.

Katanya, jika dicongak secara mudah, pertambahan jumlah itu tahun ke tahun memungkinkan dalam masa 20 tahun akan datang, separuh anak muda negara ini adalah anak luar nikah.

Suratan atau kebetulan, media pada Ahad (21 Mac) lalu menyiarkan perangkaan tersebut. Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim, seramai 17,303 anak luar nikah berketurunan Melayu didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009. Angka itu menunjukkan peningkatan 762 kes berbanding 16,541 anak tak sah taraf didaftarkan pada 2008.

Bagi tahun sebelumnya, jumlah mereka adalah 16,100 orang. Katanya lagi, dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan pendaftaran 74,723 anak luar nikah orang Melayu/Islam sahaja. Manakala jumlahnya melibatkan semua bangsa adalah 214,033 orang.

Azman Shapawi turut menyentuh penularan aktiviti maksiat. Baginya kemungkaran yang amat berleluasa kini adalah pendorong utama meningkatnya jumlah anak luar nikah. Malangnya, usaha menanganinya tidak dilakukan secara serius, terutama oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, di antara sebab utama menghalang usaha pembanteras maksiat secara lebih berkesan ialah apabila parti pemerintah mengamalkan dasar ‘politik suku, agama suku’. Nilai dan hukum agama sering diketepikan dalam dasar pemerintahan.

Terlalu banyak perkiraan politik dan karenah birokrasi pemerintahan menyebabkan bukan sahaja usaha mencegah maksiat gagal, malah lebih teruk lagi kerajaan sendiri menjadi penaja dan penganjur kepada aktiviti maksiat dan mungkar itu.

Saya sendiri telah menyelami topik ini dalam Siasah beberapa keluaran lalu ketika mengulas mengenai gejala buang bayi. Bahawa fahaman memisahkan agama dengan politik menyebabkan ahli politik tidak berfikir sebagai orang beragama. Sebaliknya mereka pula yang menjadi penganjur acara hiburan, mereka juga yang mempertahankan undang-undang yang tidak kondusif terhadap pencegahan maksiat dan hubungan terlarang.

Dalam kuliahnya tempohari, Azman Shapawi juga menyimpulkan bahawa haram bagi umat Islam yang cintakan Islam bersatu dan berdamping dengan kumpulan yang menjadikan kerja Islam sebagai main-main. Beliau tidak menamakan kumpulan dimaksudkan. Bagaimana pun amaran bersandarkan firman Allah Ta’ala itu tidak sukar diterjemahkan ke dalam dunia politik kita.

Sementara amaran itu masih hangat diingatan hadirin, datang pula saranan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan agar PAS duduk semeja dengan Umno demi kepentingan bangsa. Sebuah akhbar tempatan Terengganu pada Selasa (23 Mac) memetik kenyataan Presiden GPMS bahawa usaha menggabungkan kedua-dua parti itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atas perpecahan Melayu.

Bagi saya isu ini isu lapuk dan sudah acapkali lagu ini didendangkan. Liriknya sama dan jawabannya juga sama. Saya kira PAS boleh bersetuju dengan amaran Azman Shapawi tadi. Maka kesimpulannya, selagi Umno tidak berubah kepada parti yang menghayati dan melaksanakan Islam, tidak wajar baginya mengharapkan PAS menerima pelawaan bersatu dengannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0193, 28 Mac 2010 dengan tajuk sama)

Friday, March 26, 2010

Undang-undang antilompat, BN tunggu terhantuk?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bukan suatu yang luar biasa bagi para pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk meremehkan apa-apa saranan atau cadangan disuarakan para pemimpin Pakatan Rakyat (PR). Dalam banyak hal, BN sering memekakkan telinga terhadap rungutan dan bantahan parti-parti lawan. BN akan melabelkan tuntutan itu sebagai agenda politik pembangkang.

Baginya hanya BN yang ikhlas dan memikirkan yang terbaik untuk rakyat. Hanya apa-apa yang diputus dan dilaksanakan BN yang benar-benar memberi manfaat dan kebaikan. Apa-apa yang datang dari pihak pembangkang akan dinilai penuh pesimis dan prejudis.

Minggu lalu, persepsi menegatifkan segala yang bersifat pembangkang itu terserlah lagi. Dua saranan disuarakan PAS dan DAP sebagai penyelesaian lebih bermaruah terhadap isu wakil rakyat melompat parti bukan saja dipandang sepi, malah diperkelehkan BN.

Sabtu (20 Mac) lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri dipinda bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan sekiranya berlaku wakil rakyat keluar parti.

Katanya pindaan itu wajar dibuat bagi mengelakkan mana-mana wakil rakyat mengambil kesempatan keluar atau melompat parti. Baginya perbuatan itu membelakangkan kepentingan orang ramai, terutama kerana wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya atas tiket parti ditinggalkannya.

Karpal secara khusus menyentuh Artikel 52 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa mana-mana Ahli Dewan Rakyat tidak menghadiri Dewan bagi tempoh enam bulan tanpa kebenaran speaker secara tidak langsung menyebabkan kerusi disandangnya kosong.

“Dalam artikel itu tidak pula menyatakan satu syarat, halangan atau pun peruntukan dalam menghalang seseorang ahli Dewan Rakyat daripada menghadiri sidang Dewan itu selama enam bulan sekiranya mereka keluar daripada parti yang bertanding ketika pilihan raya,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar halangan tersebut dimasukkan ke dalam artikel itu. Peruntukan itu nantinya memudahkan urusan mengosongkan kerusi terbabit, seterusnya membuka peluang kepada pilihan raya baru.

Saranan itu dilihat sebagai salah satu jalan keluar mengurangkan kekusutan dan kebusukan akibat amalan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat, terutama yang berlaku baru-baru ini.

Lebih seminggu sebelumnya, PAS telah mencadangkan agar dikaji semula peruntukan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula.

Artikel 48 (6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang meletak jawatan (mengosongkan kerusi) tidak boleh bertanding dalam mana-mana pilihan raya umum atau pilihan raya kecil untuk tempoh lima tahun.

Dalam kenyataannya kepada media, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menyebutkan bahawa pindaan akta tersebut amat penting memandangkan peruntukan itu kini dianggap penghalang utama kepada amalan politik lebih demokratik dan bermoral.

“Pada pandangan saya secara peribadi, calon yang bertanding dalam (di atas tiket) sesuatu parti, kemudiannya keluar parti (selepas menang), secara moralnya perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Baginya, pindaan akta tersebut akan membuka peluang kepada setiap pihak yang terlibat dalam pertikaian membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing di kawasan terbabit. Wakil rakyat terbabit juga tidak lagi mempunyai alasan takut kehilangan kerusinya jika meletakkan jawatan. Dengan itu pilihan raya semula akan menghilangkan perasaan tidak puas hati semua pihak apabila berpeluang mengukur kekuatan pengaruh masing-masing.

Malangnya, kedua-dua cadangan tadi dipersendakan BN. Ia dianggap sebagai usaha terdesak PR yang terpaksa mempertahankan diri apabila beberapa Ahli Parlimennya bertindak keluar parti baru-baru ini.

Apatah lagi perkembangan itu bukan setakat merugikan PR, malah di masa sama turut menguntungkan BN. Logiknya, selagi mana BN yakin sesuatu peraturan itu menguntungkan survival politiknya, mana mungkin ia bersetuju meminda atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain?

BN akan hanya bising dan kecoh tentang kelemahan sesuatu undang-undang atau kesilapan mana-mana peraturan sedia ada apabila ia tiba-tiba merasa rugi atau terbeban dengan pelaksanaannya.

Ingat lagi bagaimana kecohnya BN mengutarakan isu pengundi hantu di Permatang Pasir tahun lalu? Ia mendakwa kewujudan pengundi hantu antara faktor membantu kemenangan PAS. Sedangkan sewaktu pembangkang menuntut dibersihkan daftar pemilih daripada pengundi diragui sebegitu, BN sebelumnya meremehkan suara itu.

Pembangkang juga sering mempertikaikan kaedah BN menjurai sempadan pilihan raya. Ia dianggap strategi BN mengekalkan kekuatannya. Contohnya suatu ketika BN memperbanyakkan “kawasan campur”. Ketika itu ia terlalu yakin dengan sokongan bukan Melayu.

Tiba-tiba strategi itu menjadi senjata makan tuan pada 2008 apabila undi kaum itu menenggelamkan BN. Kebanyakan “kawasan campur” memihak PR. Ketika itu barulah BN kembali merasionalkan bantahan pembangkang sewaktu persempadanan itu dibuat dulu.

Apakah dalam kes undang-undang antilompat ini juga, BN menunggu terhantuk oleh gejala itu baru memikirkan untuk bersetuju meminda peruntukan berkaitannya?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1525, 26 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Monday, March 22, 2010

Kaukus Bebas ringankan kerja Ahli Parlimen BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Patutlah para pemimpin Barisan Nasional (BN) beriya-iya sangat memberikan reaksi positif terhadap idea pembentukan kaukus oleh Ahli-Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat. Belum pun sempat cadangan itu direalisasikan secara rasmi, hasil maksud kaukus itu telah pun mula terzahir.

Gelagat penampilan dan butir ucapan wakil rakyat Bebas pada Sidang Dewan Rakyat bermula Selasa (16 Mac ) lalu menceritakan segala. Ia menghampiri persepsi sebelum ini bahawa tindakan tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas baru-baru ini adalah langkah permulaan menyertai BN.

Meski pun setakat ini kekal dengan status Bebas, tindakan dan kenyataan mereka banyak menguntungkan BN. Pengkhianatan mereka mengakibatkan kekecohan dan fitnah politik terhadap bekas parti mereka. Gelora itu memberi kesempatan agak selesa buat BN mengganyang Pakatan Rakyat (PR) dengan berbagai serangan dan sendaan.

Ucapan sulung Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato’ Seri Zahrain Mohamed Hashim dari kerusi Bebas di Parlimen, Rabu (17 Mac) lalu adalah bukti ketara. Dalam ucapannya, bekas rakan karib Anwar itu mendakwa rancangan ‘16 September’ diilhamkan Anwar untuk mengambil alih kerajaan Pusat dari tangan BN dipenuhi pembohongan.

Beliau menyenaraikan beberapa fakta, antaranya melibatkan dakwaan perkenan Yang Dipertuan Agong, sokongan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dokongan sejumlah Ahli Parlimen BN yang membolehkan PR membentuk kerajaan.

Sama ada fakta-fakta tersebut benar atau semata-mata fitnah, pihak paling gembira dengan pendedahan Zahrain itu ialah BN. Lihat saja reaksi girang dan senyum melebar para Ahli Parlimennya seraya memekik sinis ke arah kem pembangkang tatkala wakil Bebas itu melontarkan dakwaannya.

Malah tidak keterlaluan diandaikan bahawa ada di kalangan Ahli Parlimen BN saling berbisik sesama mereka bahawa kelantangan Zahrain itu telah meringankan kerja-kerja mereka mencari modal dan hujah berdepan serangan blok pembangkang. Dalam ertikata lain, bekas Pengerusi Keadilan Pulau Pinang itu telah meletakkan dirinya seakan “lebih BN dari Ahli Parlimen BN” sendiri.

“Dia (Zahrain) cakap saya jumpa tentera. Kenapa beliau tidak beritahu tentera mana. Beliau kata saya suruh Ahli Parlimen (PR) tunggu dalam Dewan (Rakyat) untuk menumbangkan kerajaan BN. Cakap seperti itu adalah cakap orang Umno,” demikian tempelak Anwar, ketika ditemui media di lobi Parlimen.

Apa yang dirakamkan itu adalah suasana Sidang Dewan Rakyat di hari pertama perbahasan selepas kemunculan blok Bebas. Selain Zahrain, blok ini turut dianggotai tiga lagi bekas Ahli Parlimen Keadilan, termasuk dua yang keluar parti iaitu Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Manakala seorang lagi ialah Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) yang menjadi wakil Bebas setelah dipecat keahliannya dari parti itu.

Sebelum mereka, terdapat hanya tiga wakil Bebas di Dewan Rakyat. Mereka ialah Dato’ Paduka Ibrahim Ali (Pasir Mas), Dato’ Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Dato’ Dr Chua Soon Bui (Tawau). Pada pilihan raya umum lalu Ibrahim menang di atas tiket PAS, manakala Eric dan Dr Chua di atas tiket BN mewakili Parti Maju Sabah (SAPP).

Ibrahim mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas sejurus menang, manakala dua yang lain itu menukar status berikutan tindakan SAPP mengumumkan keluar dari komponen BN.

Berbekalkan jumlah tujuh anggota itulah timbulnya usul pembentukan kaukus Bebas di Parlimen. Orang yang mencetuskan idea itu ialah Zahrain sendiri.

Kenyataan itu segera disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz. Beliau selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menganggapan pembentukan kaukus Bebas bakal menjadikannya blok kuasa ketiga dalam Parlimen. Nazri malah mendakwa kehadiran mereka amat penting terutama sebagai kuasa penentu dalam keadaan tertentu di Parlimen, termasuk dalam perkara yang memerlukan undi dua pertiga.

Kenyataan itu sudah tentu merujuk kepada jumlah sokongan diperlukan BN untuk memenangi sesuatu undian. Cara gaya bahasa Nazri itu membayangkan betapa BN amat selesa dengan pertambahan Ahli Parlimen Bebas. Seolah-olah sudah ada keyakinan di pihak BN bahawa mereka ini tidak akan mengecewakan parti pemerintah itu tatkala undi mereka diperlukan.

Secara tersirat juga pembentukan kaukus Bebas itu bakal memadamkan kekecewaan BN atas kehilangan dua Ahli Parlimen SAPP yang menyertai blok Bebas tadi. Barangkali dengan adanya kaukus itu nanti, penentangan dua Ahli Parlimen Sabah itu terhadap BN sedikit sebanyak dapat dinutraliskan, terutama hasil desakan dan pujukan lima lagi anggota sama status dengan mereka itu.

Justeru tidak jauh tersasar jika disimpulkan bahawa kemunculan wakil rakyat Bebas bakal memudahkan BN menyempurnakan perancangan politiknya. Di luar Parlimen, hakikat itu telah dibuktikan menerusi sokongan tiga wakil Bebas di Perak yang menjadi faktor utama kejayaan BN merampas kuasa.

Manakala pendedahan Umno Bahagian Padang Serai mengenai hasrat Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh menyertai parti itu mengukuhkan lagi persepsi bahawa status wakil Bebas yang mereka duduki kini hanyalah persinggahan sementara ke arah melompat sepenuhnya ke dalam BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1524, 22 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, March 21, 2010

Tidak adil salahkan kumpulan atas buruk laku anggotanya

Oleh: Mohd Nasir Awang

Di antara isu yang menjadi fokus media minggu lalu ialah kes perkahwinan dua kanak-kanak di bawah umur. Kedua-dua kes tersebut berlaku di Kelantan. Kes pertama dilaporkan berlaku pada 19 Februari lalu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Pasir Mas.

Kes kedua pula berlaku ke atas seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari Dabong, Kuala Krai. Namun kedua-dua kes itu dikenalpasti melibatkan seorang individu sebagai perancang utama.

Ada sekurang-kurangnya dua faktor utama menyebabkan kes itu menjadi sasaran media. Pertama, ia melibatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur, yang secara mudahnya akan dikaitkan dengan isu penderaan atau penganiayaan terhadap generasi mentah itu.

Apatah lagi perbuatan itu memang disahkan menyalahi peraturan keluarga Islam yang diterimapakai dalam negara. Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (EKINK) 1983 sendiri mewajibkan setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan di negeri itu mesti mencapai umur 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.

Di atas peruntukan undang-undang itu mana-mana pihak yang terbabit dengan dua kes perkahwinan tadi boleh dihadapkan ke Mahkamah Syariah atas tuduhan bersubahat melakukan perkahwinan tanpa kebenaran. Hujah itu juga menyebabkan menteri berkaitan hal ehwal keluarga dan wanita dalam ulasannya menyifatkan perbuatan mengahwinkan kanak-kanak bawah umur itu sebagai “kesalahan mencabul kehormatan kanak-kanak”.

Beliau bukan sahaja menuntut pelakunya dikenakan hukuman setimpal, malah meminta pihak polis menyiasat kumpulan dianggotai lelaki berkenaan yang didakwanya menggalakkan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur atas alasan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.

“Kita akan minta IGP (Ketua Polis Negara) menyiasat kumpulan Tabligh dipimpin lelaki itu yang menggalakkan perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dijanjikan balasan syurga. Perbuatan mereka amat melampau,” akhbar memetik dakwaan menteri itu.

Bagi saya, isu itu adalah faktor kedua meledakkan kes ini. Isunya ialah dakwaan mengahwinkan kanak-kanak bawah umur konon atas alasan melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. Media turut memperbesarkan perbincangan kononnya lelaki berkenaan berhujah mahu mencontohi perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. mengahwini  Siti Aisyah r.a. yang masih kanak-kanak.

Sedangkan sebagai umat Islam kita diajar betapa tidak semua perkara yang dilakukan Rasulullah s.a.w. itu boleh diikuti umatnya. Malah ada sunnahnya yang haram dicontohi, termasuk dalam bab kahwin melebihi empat dalam satu masa. Kes kahwin kanak-kanak bawah umur ini juga difahami hanya dikhususkan untuk Baginda s.a.w.

Isunya di sini ialah apabila perbuatan itu cuba dikaitkan dengan pembawaan dakwah dan ajaran Jemaah Tabligh yang dianggotai lelaki berkenaan. Soalnya, apakah memang benar jemaah itu mengajarkan pengikutnya dengan pemahaman sebegitu, ataukah ia lebih berupa pemahaman silap individu terbabit sahaja?

Secara peribadi saya cenderung menilainya sebagai kecetekan ilmu individu itu. Penafian rakan karib lelaki berkenaan berhubung sebarang penglibatan jemaahnya dalam kes perkahwinan itu mengukuhkan andaian ini.

Saya kebetulan mempunyai ramai kenalan dari anggota Jemaah Tabligh. Saya juga pernah diajak mendampingi aktiviti jemaah itu, terutama di zaman persekolahan dan era kampus dulu. Dalam kegiatan dakwahnya Jemaah Tabligh lebih menekankan pendekatan kesufian.

Jemaah ini pada asalnya dikenali dengan nama Tahrik al-Iman. Ia diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas pada 1925 di New Delhi, India. Gerakan Jemaah Tabligh dipercayai masuk ke negara ini melalui kedatangan kumpulan diketuai Maulana Abdul Malik Madani sekitar tahun 1952.

Saya masih ingat enam prinsip utama yang menjadi pegangan anggota jemaah ini iaitu pertama, yakin kepada kalimah tayyibah (La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah). Kedua, khusyuk dan tawadhu dalam solat (serta membawa sifat-sifat tawadhu itu dalam kehidupan seharian di luar solat).

Ketiga, mengutamakan ilmu dan zikir. Keempat, ikramul muslimin (memulia dan mengutamakan sahabat dari kalangan muslimin). Kelima, mengikhlaskan niat dalam setiap perbuatan dan keenam, mujahadah (yakni melapangkan masa untuk keluar pada jalan Allah melakukan kerja-kerja dakwah).

Tidak wajar dinafikan sejak kemunculannya hingga kini peranan dan sumbangan Jemaah Tabligh dalam menjana aktiviti dakwah di tengah-tengah masyarakat amat besar. Meski pun hingga kini kaedah gerakannya kekal dalam cara gaya tradisi, impak kehadirannya dalam mempertingkatkan pemahaman dan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian terserlah di serata negara.

Di atas kejayaannya itu, Jemaah Tabligh wajar dihormati. Saya percaya tidak menjadi tabiat dan sifat anggota jemaah itu untuk mengharapkan pujian dan pengktirafan pihak lain. Mereka memang ikhlas melakukan kerja dakwah semata-mata kerana Allah.

Namun dalam keadaan yang berlaku kini, persepsi positif terhadapnya wajar ditonjolkan. Apatah lagi semacam ada suara-suara sumbang yang cuba mengambil kesempatan atas kes yang sebenarnya amat terpencil itu untuk memalitkannya dengan salah ajaran dibawa jemaah tersebut.

Saya bimbang suara-suara itu akan dimanipulasi secara tidak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk memudaratkan usaha-usaha dakwah keseluruhannya. Nantinya bukan hanya Jemaah Tabligh yang menjadi mangsa persepsi negatif itu, malah turut dipalitkan kepada kumpulan Islam lain.

Prinsipnya, adalah tidak adil menjustifikasi label negatif ke atas mana-mana kumpulan disebabkan kesalahan individu anggotanya. Contohnya, ada parti tidak suka partinya dikenali sebagai parti rasuah, walau pun sebahagian besar pemimpinnya di segenap peringkat organisasi terlibat dan ketagih dengan rasuah dan politik wang.

Maka inikan pula bagi kes terpencil ini?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0192, 21 Mac 2010 dengan tajuk sama)

Friday, March 19, 2010

Isu karikatur cabar keghairahan sambut Maulidur Rasul

oleh: Mat Zain Mat Isa

Belum pun genap lima tahun tercetusnya isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. oleh beberapa akhbar, terutama di negara-negara Barat, kejadian serupa kini berulang kembali. Dunia Islam sekali lagi dihadapkan dengan penghinaan serupa oleh beberapa akhbar di negara Barat.

Sebelum ini sudah tercetus ketegangan besar ekoran sikap jahil dan bongkak penguasa dan pengamal media itu. Ia bermula dengan tindakan berani sebuah akhbar Denmark mempersenda dan menghina umat Islam serata dunia.

Pada 30 September 2005, akhbar Jyllands-Posten menyiarkan 12 karikatur memaparkan seorang lelaki dalam keadaan menghinakan. Berdasarkan beberapa petunjuk dan paparan, lelaki itu difahami dimaksudkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Antara karikatur itu memaparkan Baginda s.a.w. memakai serban berbentuk bom. Ia dipercayai sengaja dilukis bagi menggambarkan Islam sebagai agama yang berfikir atas paksi keganasan.

Isu itu menyemarakkan sentimen agama dan perkauman. Seluruh dunia Islam tampil membantah kebiadaban media itu. Ada negara Islam memanggil pulang duta masing-masing dari Denmark dan ada yang mengumumkan pemboikotan urusan ekonomi dengannya. Bantahan kepada PBB dan agensi hak asasi manusia antarabangsa juga dikemukakan.

Malangnya, bantahan umat Islam itu pada awalnya tidak diendahkan media terbabit, atas alasan kebebasan bersuara. Lebih biadab lagi, beberapa akhbar dan majalah di negara-negara lain pula turut menyiarkan karikatur sama, kononnya sebagai sokongan moral dan atas dasar setiakawan.

Meski pun ada permohonan maaf daripada beberapa media terbabit kemudiannya, ia hanya dibuat setelah kecaman dan rusuhan memuncak di beberapa negara Islam. Beberapa nyawa juga terkorban.

Kini, terbukti permohonan maaf itu bukan hasil penyesalan media Barat atas keterlanjuran mereka. Tindakan merobek maruah dan membelakangi sensitiviti umat Islam itu ternyata memang disengajakan.

Sebab itu penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. yang tidak dapat diterima umat Islam itu diulangi lagi. Ia sekali lagi dicetuskan akhbar di rantau Scandinavia juga. Kali ini giliran akhbar di Sweden pula, negara jiran Denmark.

Tiga akhbar negara itu iaitu Dagens Nyheter, Expressen dan Sydsvenska Dagbladet baru-baru ini menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Sebagai umat Islam yang cintakan Junjungan Mulia s.a.w., kita sentiasa berharap penghinaan sebegitu tidak berlaku. Pun begitu kita juga meyakini tentu ada hikmat sangat besar mengapa Allah Taala mentakdirkan ia dilakukan musuh Islam di saat dunia Islam masih diselubungi mood menyambut Maulidur Rasul s.a.w.

Negara kita sendiri agak terkedepan dalam menganjurkan sambutan besar-besaran. Selain dijadikan cuti umum, saban tahun turut diadakan majlis penganugerahan khas bersempena Maulidur Rasul.

Acara perarakan sambil melaungkan salawat kepada Nabi s.a.w. bagaikan sudah menjadi agenda wajib. Sehinggakan apabila ada pandangan kedua mengenai kaedah lebih tepat untuk umat Islam meraikan hari lahir Rasulullah s.a.a.w. (yakni tidak semestinya dengan berarak), ia mendapat reaksi amat tidak menyenangkan pelbagai pihak di serata negara. Mereka berpegang kepada tradisi dan menganggap ia pendekatan terbaik membuktikan kecintaan dan penghormatan terhadap Nabi Muhammad s.a.w.

Di saat roh sambutan Maulidur Rasul itu masih hangat terasa di sanubari umat Islam inilah, maka Allah Taala mentakdirkan berlakunya penghinaan terhadap Baginda s.a.w. Masanya agak tepat untuk menguji kesediaan mereka bersatu menzahirkan kecintaan dan kasih sayang mereka terhadap Rasulullah s.a.w.

Jika sejak beberapa minggu lalu mereka begitu ghairah dan bersungguh menyambut Maulidur Rasul sehingga sanggup berpeluh ketiak dan bergetar anak tekak kerana berarak dan melaungkan salawat kepada Baginda s.a.w., maka inilah masanya mereka buktikan sekali lagi kecintaan itu.

“Pemuda (PAS) akan turun beramai-ramai di Kedutaan Sweden 19 Mac ini bagi menunjukkan bantahan kita terhadap pelukis dan akhbar mereka yang telah menghina Rasulullah s.a.w. Saya mengajak seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik turun bersama-sama menzahirkan bantahan terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Rasul kita,” akhbar pada Ahad (14 Mac) memetik kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan.

Bagi kita itulah peluang untuk umat Islam negara ini merealisasikan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, “Memantap Ukhuwwah Memperkasa Ummah”. Pemantapan persaudaraan Islam hanya akan terbentuk apabila semua pihak, tanpa mengira perbezaan latarbelakang hidup, berganding bahu dan berpadu tenaga mempertahankan kemuliaan Nabi s.a.w. Hanya dengan persaudaraan yang mantap, ummah ini dapat diperkasakan.

Demonstrasi yang bakal diadakan Dewan Pemuda PAS pada Jumaat nanti akan menjadi saksi dan bukti komitmen itu. Apakah keghairahan sebilangan pihak mempamerkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. menerusi sambutan Maulidur Rasul itu benar-benar meninggalkan kesan kecintaan dalam hati mereka, bakal disaksikan. Sejauh manakah mereka tersentuh dan terpanggil untuk keluar beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pihak yang sewenang-wenangnya menghina dan menjatuhkan martabat suci Nabi Besar kita s.a.w.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1523, 19 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, March 14, 2010

Mendamba penyelesaian bermaruah kes wakil rakyat lompat

Oleh: Mohd Nasir Awang

Sebagai salah satu jalan keluar mengurangkan kekusutan dan kebusukan akibat amalan melompat parti oleh wakil-wakil rakyat, PAS sekali lagi menyuarakan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula peruntukan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada bertanding semula.

Menurut peruntukan tersebut, mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengosongkan kerusi disandangnya tidak dibenarkan menjadi calon pilihan raya selama lima tahun.

Satu kenyataan daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, yang disiarkan media pada Isnin (8 Mac) menyebutkan bahawa pindaan akta tersebut amat penting memandangkan peruntukan itu kini dianggap penghalang utama kepada amalan politik lebih demokratik dan bermaruah.

“Pada pandangan saya secara peribadi, calon yang bertanding dalam (di atas tiket) sesuatu parti, kemudiannya keluar parti (selepas menang), secara moralnya perlu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Baginya, pindaan akta tersebut akan membuka peluang kepada setiap pihak yang terlibat dalam pertikaian membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing di kawasan terbabit. Logiknya, persoalan apakah wakil rakyat tersebut menang kerana kapasiti peribadi atau lebih disebabkan faktor parti akan terjawab apabila diadakan pilihan raya semula. Hanya rakyat sebagai pengundi yang paling berhak menentukannya.

Wakil rakyat terbabit juga tidak lagi mempunyai alasan takut kehilangan kerusinya jika meletakkan jawatan. Dengan itu pilihan raya semula akan mengurangkan perasaan tidak puas hati setiap pihak terlibat apabila sekali lagi diberi peluang mengukur kekuatan pengaruh masing-masing.

Suatu ketika dahulu peraturan sedemikian tidak wujud. Tatkala itu mana-mana wakil rakyat yang merasa tidak lagi selesa untuk terus bersama parti yang menjadi tiket kemenangannya boleh mengosongkan kerusi disandangnya dan bertanding semula.

Kesempatan itu pernah dimanfaatkan pemimpin Umno sendiri suatu ketika dulu. Antara contoh klasik ialah tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad. Beliau menang Pilihan Raya Umum 1986 di atas tiket Barisan Nasional (BN).

Bagaimana pun, pemilihan Umno 1987 menyebabkan parti itu terbelah dua. Sebilangan pemimpin parti itu, termasuk Shahrir kemudiannya terpinggir. Beliau yang tidak lagi selesa untuk kekal sebagai wakil rakyat BN akhirnya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Satu pilihan raya kecil diadakan di Johor Bahru pada 25 Ogos 1988 di atas percaturan menguji kekuatan BN/Umno dan kumpulan serpihan ‘Umno 46’ ketika itu. Mewakili kumpulan ini ialah Shahrir sendiri yang bertanding sebagai calon Bebas, manakala mewakili BN ialah calon Umno, Haji Mas'ud Abdul Rahman.

Keputusannya, Shahrir menang dengan majoriti 12,613 undi. Bagi banyak pihak terutama para pengundi di kawasan terbabit, pilihan raya kecil itu adalah penyelesaian paling demokratik dan bermaruah terhadap pertikaian pengaruh di situ. Ia adalah kata putus terhadap dakwaan pihak-pihak bertelagah.

Dalam ertikata lain, Johor Bahru membenarkan dakwaan kumpulan serpihan Umno dan juga Shahrir sendiri bahawa pengaruh peribadinya atau kumpulan diwakilinya ketika itu mengatasi kekuatan pengaruh BN/Umno.

Kini hujah dan dakwaan serupa turut kedengaran daripada beberapa wakil rakyat yang kebelakangan ini bertindak meninggalkan parti dan mengisytiharkan menjadi wakil Bebas. Kononnya pengaruh peribadi mereka masih kuat di kalangan pengundi di kawasan masing-masing.

Malangnya apabila wakil lompat itu dicabar bekas partinya meletakkan jawatan bagi diadakan pilihan raya semula untuk membuktikan kekuatan pengaruh masing-masing, belum ada antara mereka bersedia berbuat demikian.

Halangan utama melaksanakan penyelesaian bermaruah itu ialah peraturan di bawah Akta Pilihan Raya yang disebutkan tadi. Kita percaya andaikata wakil lompat itu tidak dihalang mempertaruhkan nasib sekali lagi, tidak akan ada lagi alasan untuk mereka tidak mengosongkan kerusi disandang itu.

Persoalannya, apakah BN bersedia meminda kembali akta itu? Bagi yang mengenali tabiat BN, kedegilan parti pemerintah itu melayani tuntutan pihak pembangkang tidak sukar dimengertikan. Dalam perkara yang khusus berkaitan perjalanan pilihan raya, BN pernah memekakkan telinga terhadap beberapa rungutan dan bantahan parti lawan.

Selaku pemerintah negara, BN terlalu yakin setiap peraturan diperkenalkan kerajaan dan undang-undang diterimapakai SPR adalah sengaja digubal dan dilaksanakan untuk mengukuhkan status quo politiknya.

Justeru, selagi mana BN yakin sesuatu peraturan itu menguntungkan survival politiknya, maka mana mungkin untuknya meminda atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain? BN akan hanya bising dan kecoh tentang kelemahan atau kesilapan peraturan sedia ada apabila ia tiba-tiba merasa rugi atau terbeban dengan pelaksanaannya.

Apa pun alasan BN untuk tidak melayan gesaan meminda akta tadi, ia wajar memikirkan keuntungan mungkin diperolehinya, terutama jika berlaku sesuatu masalah politik dalamannya. Jangan lupa BN sendiri pernah memanfaatkan peluang mengosongkan kerusi beberapa tokohnya untuk kepentingan politiknya.

Kes pertukaran kerusi antara Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar dengan Adun Permatang, Jamaluddin Adnan pada Mei 1997 adalah contoh terbaik. Pertukaran itu adalah kaedah penyelesaian terbaik yang mampu difikirkan BN untuk memecahkan kebuntuan isu pelantikan Menteri Besar Selangor ketika itu. Abu Hassan yang menjadi menteri kabinet terpaksa “diimport” apabila BN gagal menemui calon terbaik di kalangan Adun sedia ada.

Apakah ada jaminan masalah serupa tidak akan berulang? Ataukah BN mahu menunggu terhantuk dengan masalah itu, barulah ia terngadah dan bergegas meminda semula halangan dimaksudkan itu?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0191, 14 Mac 2010 dengan tajuk sama)

Friday, March 12, 2010

Selepas 2 tahun ‘tsunami’, BN masih terkial-kial

oleh: Mat Zain Mat Isa

Duduk tak duduk penggal pilihan raya ke-12 telah pun memasuki tahun ketiga. Isnin (8 Mac) lalu menandakan genap dua tahun berlalunya tarikh keramat yang kerap dirujuk sebagai ‘tsunami politik’ itu.

Tarikh itu mencatatkan buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara kita, parti pemerintah gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Barisan Nasional (BN) yang dianggotai berbelas parti komponen mengalami kekalahan paling mengaibkan apabila hanya mampu menang di 140 daripada 222 kerusi Parlimen. Manakala baki 82 disapu tiga parti pembangkang, masing-masing 31 kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), DAP (28) dan PAS (23).

Kegagalan itu sekaligus menjadikannya pengalaman paling pahit buat BN. Ia bahkan lebih mengejutkan berbanding catatan pilihan raya umum ke-3 pada 1969, apabila buat pertama kali BN (ketika itu bernama Perikatan) disentak oleh kebangkitan mendadak parti-parti pembangkang.

Untuk rekod, pilihan raya 1969 menyaksikan perebutan 144 kerusi, iaitu masing-masing 104 di Semenanjung, 16 di Sabah dan 24 di Sarawak. Meski pun berjaya menyapu bersih kesemua 16 kerusi di Sabah menerusi komponennya, USNO (13) dan SCA (3), maruah Perikatan di seluruh negara, terutama di Semenanjung agak tercalar.

Perikatan Sarawak menang hanya tujuh daripada 24 kerusi. Bakinya dikongsi masing-masing oleh SUPP (5), Parti Pesaka Sarawak (2), SNAP (9) dan Bebas (1). Di Semenanjung pula, Perikatan menang hanya di 67 kerusi. Baki 37 kerusi lagi ditakluki DAP (13), PAS (12), Gerakan (8) dan PPP (4).

Terdapat beberapa persamaan yang dapat diperhatikan antara ‘tragedi 1969’ dan ‘tsunami 2008’ lalu. Pertama, ia keputusan mengejutkan buat parti pemerintah apabila jumlah kerusi yang jatuh ke tangan parti-parti pembangkang di luar dugaan Perikatan/BN. Dalam kedua-dua pilihan raya itu parti pemerintah itu dinafikan majoriti dua pertiga.

Kedua, faktor utama penolakan rakyat terhadap Perikatan/BN dalam kedua-dua pilihan raya itu juga ada persamaan. Paling ketara ialah membabitkan protes undi bukan Melayu terhadap parti komponen pemerintah. Jika dalam kes 1969, undi Cina beralih daripada MCA kepada Gerakan dan DAP (kedua-duanya pembangkang), maka pada 2008 lalu pula undi mereka beralih daripada MCA dan Gerakan kepada DAP dan Keadilan.

Ketiga, dalam kedua-dua pilihan raya itu Sabah kekal sebagai saham utama Perikatan/BN mengekalkan kuasa di peringkat Pusat.

Pun begitu, dua pilihan raya paling buruk buat Perikatan/BN itu juga memiliki perbezaan. Di antara perbezaan paling ketara ialah pada 1969 Perikatan berhadapan banyak parti saingan di pihak pembangkang, sedangkan pada 2008 pihak pembangkang hanya dianggotai tiga parti utama, iaitu PAS, DAP dan Keadilan.

Tidak syak lagi Perikatan cepat belajar daripada ‘tragedi 1969’. Strategi utamanya menyelesaikan kemerosotan kuasanya ialah dengan memaut hampir semua parti lawannya ketika itu untuk duduk bernaung di bawahnya. Hasilnya, daripada kesemua parti yang memenangi kerusi Parlimen pada 1969 tadi, hanya DAP yang kekal di luar gabungan pemerintah apabila BN ditubuhkan pada 1971.

Pembentukan BN berjaya mengembalikan hegemoni kuasa dimiliki Perikatan sebelumnya. Ia berupaya memulihkan kuasa majoriti dua pertiganya di Parlimen sebelum sempat separuh penggal berlalu.

Sejak itu juga BN berjaya mengubah Sarawak daripada gugatan parti-parti pembangkang lebih empat dekad lalu menjadi milik hampir mutlak BN hingga kini. Manakala Pulau Pinang yang jatuh ke tangan Gerakan (sebagai pembangkang) juga kembali sebagai negeri diperintah komponen BN. Sebahagian sokongan undi Cina berjaya dipaut kembali memihak BN.

Namun tidak semua kejayaan pasca 1969 itu memberikan kelegaan dan keselesaan buat BN. Apa yang jelas setelah dua tahun dilanda trauma ‘tsunami 2008’, BN hingga kini masih terkial-kila mencari formula terbaik. Luka parahnya akibat kejutan dua tahun lalu amat sukar diubati. Ramuan penyelesaiannya sukar difikirkan.

Formula bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1969 nampaknya tidak kesemuanya masih revelan untuk dilaksanakan anaknya kini. Apatah lagi jumlah parti lawan ketika itu sangat berbeza berbanding sekarang.

Justeru, jika dulu lebih mudah bagi BN memujuk parti-parti kecil bergabung di bawahnya, taktik serupa hampir mustahil diulangi lagi. PAS sudah tentu telah banyak belajar dari pengalaman menyertai BN. Keadilan pula tentu tidak pelahap atau tersangat tebal muka untuk kembali ke pangkuan BN.

Manakala DAP memang dijangkakan tidak akan mudah terpesona dengan ajakan dan pujukan parti itu. Sebaliknya, pengalaman beberapa parti komponen BN menerima layanan buruk dari Umno selaku parti dominan menyukarkan usaha BN memaut parti lain. Siapa tidak tahu apa sudah jadi dengan SAPP? Apa pula nasib PPP, MIC dan Gerakan selepas kalah teruk pada 2008?

Lebih menyulitkan usaha pemulihan imej dan maruah BN ialah apabila parti-parti komponen utamanya, seperti MCA, MIC dan Gerakan juga berhadapan masalahan dalaman yang serius. Setakat ini belum nampak tanda-tanda sokongan dan undi kaum Cina dan India yang bangkit menolak BN dua tahun lalu akan kembali ke pangkuannya. Entah apa pula taktik BN selepas ini?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1521, 12 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, March 8, 2010

Ahli keluar parti uji setiakawan komponen PR

oleh: Mat Zain Mat Isa

Dalam sesi pertemuan ringkas dengan sekumpulan tonggak utama PAS Kawasan Besut pada Isnin (1 Mac) lalu, Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar diterjah soalan berhubung kecenderungan para pemimpin Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) meninggalkan parti itu mutakhir ini.

Kebetulan pula beberapa jam sebelum pertemuan tertutup itu, tersebar berita Ahli Parlimen Keadilan Nibong Tebal, Tan Tee Beng, mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Dalam sidang medianya beliau menyenaraikan empat sebab utama berbuat demikian. Antaranya ialah kecewa dengan kerenah kepimpinan tertinggi parti.

Bekas Setiausaha Agung Keadilan, Dato’ Salehuddin Hashim, yang turut hadir pada sidang media tersebut pula mengesahkan telah terlebih dahulu mengambil tindakan demikian. Beliau mendakwa keluar parti dua minggu selepas melepaskan jawatannya pada 7 Januari lalu.

Perisytiharan itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, mengumumkan keluar Keadilan dan menyertai Umno. Beliau yang sebelum ini mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti disandangnya berbuat demikian di hadapan Perdana Menteri pada majlis perjumpaan kepimpinan tertinggi sebuah pertubuhan silat di ibu negara.

Alasan diberikannya sudah agak klise. Beliau mendakwa hilang kepercayaan terhadap parti dan kepimpinannya. Alasan serupa telah kerap diberikan oleh mana-mana pemimpin yang melompat sebelum ini. Paling akhir kedengaran ialah pada 12 Februari lalu apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato’ Seri Zahrain Mohd Hashim mengumumkan pendiriannya keluar Keadilan.

Rentetan kejadian keluar parti yang bagaikan sambung-menyambung itulah yang menimbulkan keresahan di kalangan para pendokong Pakatan Rakyat (PR), termasuk pendokong PAS di Besut. Apatah lagi di kalangan mereka yang berbuat demikian adalah wakil-wakil rakyat.

Tindakan mereka itu sudah tentu akan menjejaskan kekuatan dan kedudukan PR di dalam Dewan. Paling tidak ia memberi impak negatif terhadap imej dan kredibiliti pakatan pembangkang itu, terutama dalam usaha membina dan meraih kepercayaan lebih besar daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya kira tidak ada apa yang perlu dibimbangkan (ekoran wakil rakyat Keadilan keluar parti). Saya melihat apa yang berlaku terhadap Keadilan itu adalah proses pembersihan untuk partinya. Ia adalah proses biasa yang berlaku kepada mana-mana parti. Kita PAS sendiri pun telah lama melalui proses ini,” tegas Mahfuz.

Bagi memperkuatkan hujahnya, beliau turut menyebut nama beberapa bekas pemimpin utama PAS yang bertindak keluar parti, termasuk dua bekas Presiden dan Naib Presiden. Namun apa yang dilihatnya, dan menjadi fakta sejarah yang diakui semua pihak, perbuatan pemimpin meninggalkan PAS tidak memberikan kesan negatif jangka panjang kepada parti. Ia sebaliknya, sepertimana didakwa Mahfuz, telah membersih dan mematangkan PAS selepas peninggalan mereka.

Sememangnya wujud kebimbangan agak ketara di dalam masyarakat ekoran siri tindakan keluar parti oleh beberapa pemimpin Keadilan tadi. Meski pun bagi sesetengah khayalak politik masalah itu lebih menjurus kepada kelemahan dan kepincangan pentadbiran parti tersebut sahaja, suara lebih besar mengatakan ia juga menjadi masalah bersama parti-parti pendokong PR, termasuk PAS dan DAP.

Sepertimana dimaklumi, oleh kerana calon diletakkan mana-mana parti itu menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu adalah atas kesepakatan mewakili PR, maka keputusan rakyat memilih calon berkenaan hendaklah diakui atas dasar menyokong PR. Justeru, apa-apa tindakan dibuat mereka yang menjadi wakil rakyat itu adalah juga berkait rapat dengan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap pakatan tersebut. Ia tidak wajar dianggap sekadar menggambarkan masalah sokongan terhadap parti-parti tertentu sahaja.

Tidak syak lagi pihak paling gembira dan bersyukur dengan perkembangan ini ialah para pemimpin BN. Bertalu-talu sudah kedengaran berbagai komen dan ulasan mereka. Antara mereka mendakwa kejadian itu mengesahkan wujudnya masalah dalaman serius di kalangan parti-parti pembangkang, khususnya Keadilan. Ada pula optimis parti itu sudah hilang pengaruh dan bakal berkubur sedikit masa lagi.

Bahkan ada yang secara sinis memulangkan paku buah keras terhadap keghairahan PR mencanangkan hasrat menawan Putrajaya. Bagi mereka kejadian wakil rakyat Keadilan keluar parti mutakhir ini adalah bahana perancangan 16 September yang dilaung-laungkan pemimpin parti tersebut sendiri.

Apa pun telahan dan ulasan pihak lawan, para pendokong PR sepatutnya menangani keadaan kini dengan lebih berhati-hati. Itulah cabaran sebenar yang mendepani kita. Bahawa perkembangan tidak menyenangkan ini amat memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan semua pihak dalam PR.

Sementara BN kelihatan optimis mencanangkan akan memperolehi kembali majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat menerusi sokongan wakil-wakil Bebas yang didakwa bakal bertambah jumlah mereka dalam masa terdekat, kedudukan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang juga cuba digugatnya. Tusukan itu adalah jarum paling berbisa untuk menguji setiakawan parti-parti dalam PR.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1520, 8 Mac 2010 di ruangan 'FOKUS', N21 dengan tajuk "Pemimpin keluar parti uji setiakawan dalam Pakatan")

Sunday, March 7, 2010

Mentaliti kebendaan strategi kembali makan diri BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Ketika bercakap kepada media di majlis Program Juara Rakyat: Bulan Kebajikan anjuran Umno Bahagian Marang, Sabtu (27 Februari) lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said meluahkan rasa kesalnya terhadap sebilangan rakyat yang sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan.

Apa yang amat mengecewakannya ialah apabila ada antara mereka didapati mempunyai keupayaan kewangan yang sepatutnya tidak melayakkan mereka menerima bantuan. Contohnya termasuklah kemampuan anak masing-masing yang telah berjaya dan sepatutnya tidak lagi membiarkan ibu bapa menagih bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jika diikutkan rasa hati, mahu saja saya katakan, “padan muka” kepada Barisan Nasional (BN), terutama MB Terengganu itu. Sebab bagi saya apa yang dikesalkan beliau itu sebenarnya angkara kesilapan strategi yang direncanakan BN sendiri sejak sekian lama.

Maksudnya, kalaulah tidak kerana sikap para pemimpin BN yang suka mengungkit dan memasyhurkan keupayaannya menghulurkan segala macam bantuan kepada rakyat, maka pada adatnya usaha menyemai sikap berdikari di kalangan rakyat akan lebih berjaya.

Didorong hasrat yang terlalu mahu diiktiraf kebaikan dan keprihatinannya membela rakyat, BN seakan terlupa bahawa di masa sama sikap memanjai rakyat dengan berbagai bantuan, khususnya wang ringgit, sebenarnya menyuburkan mentaliti subsidi dan cintakan kebendaan di hati rakyat.

Umum mengetahui amalan memberikan pelbagai subsidi dan sumbangan wang kepada rakyat telah puluhan tahun menjadi senjata paling ampuh buat BN memenangi hati rakyat. Sepanjang hayatnya BN hidup atas sokongan rakyat yang antara lain diikat dengan curahan kebendaan.

BN sangat selesa menyemai mentaliti agar rakyat sentiasa mengharapkan bantuan kerajaan. Dengan itu mudahlah baginya memaksa mereka terus memberikan sokongan dan undi di setiap kali berlangsungnya pilihan raya. Umpan kebendaan dijadikan bahan “ugutan” atau dalam bentuk lebih lunak sebagai “penambat hati” rakyat agar terus ingat kebaikan BN. Ada sesiapa mahu membantah hujah ini?

Tradisi ini amat ketara di negeri-negeri di mana kekuatan pembangkang agak seimbang dengan BN. Saban tahun BN berbelanja besar bagi melaksanakan strategi politik ini.

Matlamat mewujudkan apa-apa skim bantuan bagi membantu golongan yang memerlukan wajar dipuji. Malangnya, tidak semua golongan sasar berpeluang memanfaatkannya. Pengagihan bantuan kebendaan di peringkat kampung dan daerah banyak bergantung kepada perakuan pemimpin politik.

Dalam banyak keadaan, kriteria pemilihan penerima bantuan tidak dibuat berdasarkan status ekonomi mereka tetapi lebih kepada merit politik. Akhirnya bantuan itu tidak sampai kepada golongan sasaran.

Kepincangan sebegini sudah lama disuarakan. Bahkan di kalangan rakyat yang menjadi mangsa pilih kasih itu, mereka lebih rela jika bantuan-bantuan itu ditiadakan. Namun tidak kelihatan usaha bersungguh di BN memperbetulkan keadaan ini. Ia sebaliknya terus berulang.

Barangkali BN sendiri lebih selesa keadaan sebegitu berterusan. Ia rela peruntukan subsidi itu tidak dimanfaat golongan sasar. Dengan itu BN akan sentiasa ada peluang memanipulasi kesusahan dan kesempitan hidup golongan miskin untuk kepentingan politiknya.

Strategi jahat BN ini amat terserlah sewaktu Terengganu di bawah PAS. Ada fakta yang boleh dipercayai betapa para pemimpin BN yang ketika itu menjadi pembangkang memainkan peranan besar menghasut rakyat agar berduyun-duyun menagih bantuan kebajikan dari kerajaan negeri. Mereka tahu kerajaan berdepan kekangan kewangan sangat kritikal, lalu mengambil kesempatan menambah tekanan politik ke atas PAS.

Saya masih ingat awal Januari 2002, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar Terengganu menegur sikap segelintir rakyat negerinya yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyulitkan usaha kerajaan negeri membantu golongan tidak berkemampuan. Beliau memetik satu contoh bagaimana seorang yang mampu memiliki kenderaan mewah tetapi masih menagih bantuan JKM untuk ibunya.

“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada anak yang datang bawa kereta Mercedes .. bukan dia driver (pemandu), memang itu kereta dia. Marah (kepada JKM) kerana lambat beri bantuan kepada emaknya. Itu memalukan dan tak ada maruah”, kata Tuan Guru.

“Pernah berlaku kita ambil tindakan (pemutihan) terhadap mereka yang ada kebun getah dan kelapa sawit atau berniaga di mana-mana tetapi masih mendapat bantuan. Itu tidak patut kerana mereka ada alat untuk bekerja. Itu kita kena betulkan,” katanya lagi.

Nah! Bukankah apa dialami PAS itu persis apa yang dikesalkan Ahmad minggu lalu? Sememangnya program ‘pemutihan’ yang dilakukan kerajaan negeri terhadap senarai penerima bantuan kebajikan dan zakat tahunan telah menjadi isu hangat ketika itu. Sedari awal tindakan itu dilakukan, berbagai pihak telah memanipulasi isu berkenaan.

Ketelusan diterapkan PAS dalam melakukan pemutihan senarai penerima bantuan JKM sengaja diputarbelit ‘suara-suara ghaib’ di dalam masyarakat. Mereka nampaknya berjaya menaikkan sentimen kemarahan golongan yang terbabit dengan ‘pemutihan’ itu terhadap PAS.

Siapakah ‘suara-suara ghaib’ itu? Itulah yang saya katakan, ada fakta mendorong kita percaya bahawa BN berperanan besar menyemarakkan bantahan pihak yang digugurkan nama mereka itu terhadap kerajaan negeri ketika itu.

Kini apabila masalah sama menimpa BN pula, ia ibarat strategi jahat yang kembali memakan diri parti itu. BN bagaikan terjatuh ke dalam lubang telaga digalinya sendiri untuk memerangkap parti lawan sebelum ini.

Barangkali inilah yang diajarkan Al-Quran, “mereka merencanakan kejahatan dan Allah Ta’ala juga merencanakan yang demikian ke atas mereka sedang Allah Ta’ala itulah sebaik-baik perencana.” Elok kita renungkan maksud ayat Allah ini.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0190, 7 Mac 2010 dengan tajuk sama)

Friday, March 5, 2010

Terengganu selepas 6 tahun penjanaan “Ulul Albab”

oleh: Mat Zain Mat Isa

Renungkan beberapa fakta berikut. Pertama, seramai 6,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu dikenal pasti sebagai pelajar berisiko terbabit dalam berbagai masalah sosial.

Kedua, seorang pelajar perempuan di Besut yang ketagih menonton rakaman klip video lucah yang dibeli daripada rakannya sehingga berhutang RM1,000 bersubahat membuka laluan rumahnya dipecah masuk rakannya itu bagi melunaskan hutangnya.

Ketiga, seorang pelajar perempuan dari Marang tergamak menggadaikan tubuhnya untuk diratah samseng jalanan hanya dengan tukaran nilai tambah kredit telefon bimbit berharga RM5.

Keempat, hasil Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan (NHMS), Terengganu berada di kedudukan ketiga kadar peningkatan masalah gangguan mental kanak-kanak dan remaja.

Kelima, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Terengganu mendedahkan sepanjang 2009 seramai 127 pelajar ditahan kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah, termasuk curi motosikal, pecah rumah, rogol dan pemerasan.

Demi Allah apa yang dimuatkan di atas bukannya rekaan atau figmentasi penulis. Kesemua kes dan fakta itu dikutip dari paparan dua tabloid harian edisi Terengganu antara Jumaat (26 Februari) hingga Isnin (1 Mac) lalu.

Fakta pertama tadi memetik pendedahan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman. Menurutnya, masalah ponteng sekolah mencatatkan peratusan tertinggi. Selebihnya membabitkan gejala samseng jalanan dan penyalahgunaan dadah.

Ada pun kes di Besut itu memetik kenyataan Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria. Katanya, pelajar Tingkatan Empat itu mengambil kesempatan melunaskan hutangnya ketika dia dan keluarga bercuti ke Kuala Lumpur hujung minggu itu.

Pelajar itu membuka selak tingkap rumah yang sebelum itu sudah dikunci bapanya bagi memudahkan dua rakannya yang juga pembekal video lucah dilangganinya memecah masuk rumahnya. Beberapa barang kemas milik ibunya didapati hilang sebaik keluarga itu pulang.

Minat remaja belasan tahun terhadap aksi lucah rupanya tidak terhenti sekadar sebagai penonton video. Mereka juga sanggup melakukannya sendiri. Itulah yang terbukti dengan pengakuan pelajar Tingkatan Tiga dari Marang. Akhbar turut menyiarkan gambarnya dari sisi belakang dengan pakaian ‘topless’.

Selain menjaja tubuh, remaja itu turut mengakui menjadi anggota kumpulan samseng jalanan sejak lebih setahun lalu dan bergiat aktif di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Dengan bayaran hanya RM5 dia sedia menyerahkan tubuhnya kepada lelaki.

“Saya akan ikut sesiapa saja yang memenuhi permintaan saya dan selepas setahun menjadi minah rempit, saya sering bertukar pasangan dan sehingga kini sudah lebih 20 lelaki mendampingi saya,” akuinya tanpa rasa malu.

Tidak syak lagi pengakuan berani sebegitu mengundang seribu persoalan mengenai aspek asuh didik dan penyemaian nilai murni hidup terhadap mereka. Sungguh menjijikkan, mereka bagaikan hidup tanpa ilmu dan kesedaran tentang dosa-pahala.

Apakah didikan agama dan akhlak tidak sampai kepada mereka? Ataukah mereka sebenarnya dibelenggu kaedah berfikir yang sudah tidak normal? Satu soalan agak sensitif, tetapi wajar ditanyakan, apakah perlakuan sedemikian menggambarkan kesempurnaan kesihatan mental remaja kita?

Jika hujah-hujah dikemukakan Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dijadikan sandaran, persoalan itu mungkin lebih mudah dirungkaikan. Menurut Dr Tuan Sharipah Tuan Hadi, peningkatan masalah gangguan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja di Terengganu antara lain disebabkan faktor persekitaran dan pembangunan fizikal yang terlalu pesat yang tidak seimbang dengan pendedahan dalam aspek kerohanian.

“Kebanyakan kanak-kanak tidak mampu berhadapan dengan pembangunan yang berlaku terlalu pesat sedangkan pendedahan yang diterima dalam aspek kerohanian tidak diberikan penekanan,” katanya.

Menurutnya lagi, desakan hidup yang melampaui kemampuan diri dan kehendak sebenar seseorang anak juga mengakibatkan kecelaruan dalam diri mereka.

Meski pun akhbar-akhbar berkenaan sekadar melaporkan apa yang kebetulan berlaku pada hari-hari terbabit dan tidak berhasrat mengaitkan antara satu kes tadi dengan yang lain, hubungkait itu boleh diperhati dan dinilai sendiri oleh para pembaca.

Misalnya, akibat kurang pendedahan terhadap nilai agama beserta desakan hidup yang cintakan kebendaan, maka generasi muda mudah terjebak dengan segala macam aktiviti jenayah. Statistik dikeluarkan polis berhubung tangkapan pelajar tadi mengesahkan andaian tersebut.

Seringkali disebutkan orang bahawa apa pun isu yang disorot media atau termuat di dada akhbar hanyalah sebahagian amat kecil berbanding jumlah kes sebenar di luar sana. Kita percaya kes dan fakta berhubung salah laku sosial dan kebejatan moral remaja juga tidak terkecuali.

Cuma agak mendukacitakan apabila kes-kes tersebut berlaku di Terengganu, negeri yang telah melancarkan program penjanaan generasi Ulul-Albab. Sudah lebih enam tahun program itu dicanangkan kerajaan negeri. Sepatutnya ia telah menampakkan kesan positif, paling tidak pun lebih baik berbanding negeri-negeri lain yang tiada program Ulul-Albab!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1519, 5 Mac 2010 di ruangan 'rencana', F17 dengan tajuk serupa)

Monday, March 1, 2010

'Umno juara perhabis duit rakyat'

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada benarnya terjahan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, bahawa banyak projek pembangunan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri kini mengakibatkan kesusahan kepada rakyat. Walau pun tujuan asal beberapa projek disebutkannya didakwa untuk memberi manfaat kepada rakyat, kegagalan BN mengurus dengan baik pelaksanaannya menyebabkan ia bertukar menjadi cemuhan dan rungutan penduduk.

“Pasar kecil pun belum mampu disiapkan dengan sempurna dan Umno tidak boleh membawa projek ‘juara projek’ ke Terengganu sebab ia akan menjadi ‘juara susah’ kepada rakyat,” akhbar tempatan pada Khamis (25 Februari) memetik lukuan sinis ulama muda itu.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong, Marang, mengulas kegagalan beberapa projek dilaksanakan kerajaan negeri seraya mengaitkannya dengan keghairahan Umno mencanangkan parti itu sebagai ‘Juara Rakyat’.

Baginya masih banyak prasarana awam yang lebih diperlukan rakyat tetapi gagal disempurnakan pembinaannya oleh BN, berbanding beberapa projek yang cuba diketengahkan Umno menerusi program anjuran partinya itu. Beliau mengambil contoh ketidak sempurnaan pembinaan pasar, jalan dan pembangunan tanah terbiar di kawasan diwakilinya.

Kebetulan akhbar sama pada hari sama turut menyiarkan keluhan berhubung perkara serupa dari para peniaga dan penjaja di Pekan Batu Enam, Kuala Nerus. Jurucakap mereka meluahkan kekesalan apabila kerja-kerja menaik taraf pasar pekan itu masih belum disiapkan. Akibatnya para peniaga terpaksa menjalankan urusan harian mereka dalam keadaan tidak selesa dan tidak teratur.

Difahamkan projek menaik taraf pasar berkenaan telah dimulakan pada 2007 lalu. Ia membabitkan sebahagian tapak asal pasar tersebut dan menyebabkan sebilangan peniaga terbabit terpaksa berpindah ke ruang sementara yang amat tidak sempurna.

Meski pun permasalahan yang dibangkitkan itu mungkin bagi sebilangan orang dianggap remeh dan kecil, ia tidak semestinya begitu bagi rakyat terbabit. Bagi mereka ia adalah isu “bread and butter”, yang berkait rapat dengan urusan mereka ‘cari makan’.

Masalah serupa turut disuarakan penduduk Bandar Jerteh, Besut. Beberapa prasarana yang kononnya bertujuan meningkatkan imej dan kemudahan pusat ekonomi daerah itu hingga kini masih gagal disiapkan. Projek seumpama Jerteh Souq dan hentian kenderaan awamnya bagaikan tidak tahu bila akan siap.

Sedangkan menurut cakap-cakap penduduk yang mendakwa memperolehi maklumat daripada kontraktor terbabit, projek berkenaan sepatutnya telah disiapkan pertengahan tahun lalu. Akibat kegagalan projek yang menjadi nadi bandar itu, maka yang menanggung susah ialah rakyat.

Dinilai dari sudut itu, memang tepatlah kesimpulan Mohd Nor tadi bahawa projek-projek dibawa BN itu lebih layak dilabelkan sebagai ‘juara susahkan rakyat’. Dari sudut berbeza bagaimana pun, Umno-BN Terengganu juga boleh dibuktikan telah melayakkan diri digelar ‘juara perhabiskan duit rakyat’. Contoh-contoh untuk itu terlalu banyak.

Ambil saja beberapa projek yang dilaksanakan BN khusus bagi mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Antaranya ialah beca elektrik. Pelancaran penggunaannya di Kuala Terengganu pada 2005 menjanjikan keunikan tersendiri. Ia diharap menjadi daya penarik pelancong menggunakan kaedah pengangkutan tradisi itu.

Sehingga ini bagaimana pun belum ada perangkaan diumumkan sejauh mana penggunaan beca elektrik telah membantu melonjakkan jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu sejak itu. Sebaliknya, para pengayuh beca yang sepatutnya mendapat manfaat langsung daripada teknologi itu kini berhadapan berbagai kesusahan.

Akhbar tempatan September lalu yang menyorot keadaan mereka melaporkan lebih 80 peratus sistem automasi beca itu sudah tidak boleh digunakan. Motor elektrik yang sepatutnya membantu meringankan kerja mengayuh kini menjadi sekadar penghias beca. Ia sering rosak dan ada yang sudah tidak mampu diperbaiki.

Kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja agak besar untuk projek yang tidak begitu praktikal itu. Setiap set sistem automasi beca itu bernilai RM3,000. Malangnya pelaksanaannya tidak mengambilkira realiti kehidupan pengayuh beca yang kais pagi makan pagi.

Penyelenggaraan beca elektrik tidak dapat dibuat di bengkel biasa. Ia sukar dibaiki dan kosnya pula tinggi, tidak sepadan dengan pendapatan pengayuh. Satu bateri sahaja berharga RM130.

Perkhidmatan bas percuma Cas Ligas satu lagi projek pelancongan yang dipertikaikan. BN membeli 28 buah bas berekabentuk tradisi dengan harga RM11.3 juta tetapi gagal berfungsi dengan sempurna. Kisah ia tidak mendapat kelulusan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pernah menjadi bahan cemuhan rakyat.

Namun kesemua kegagalan dan kepincangan itu nampaknya tidak membantutkan keghairahan BN berbelanja besar terutamanya atas premis memajukan pelancongan. BN bagaikan tidak pernah belajar dari pengalaman itu untuk lebih bertanggungjawab dalam membelanjakan wang rakyat.

Akhirnya benarlah bagai dikata, wang rakyat diperhabis, tetapi kesusahan rakyat semakin bertambah. Oleh hal yang demikian, Umno memang layak digelar juara dalam kedua-dua hal itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1518, 1 Mac 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)