Tuesday, August 15, 2000

Wan Hassan bin Mohd Ramli


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan

WAN Hassan bin Mohd Ramli dilahirkan pada 17 Julai 1957 di Kampung Lubuk Bongor, Kuala Kri, Kelantan. Beliau bersama-sama keluarganya berhijrah ke Terengganu sewaktu usianya empat tahun, kerana mengikuti ayahnya yang bekerja sebagai anggota polis. Tempat pertama yang didudukinya ialah Kampung Jerangau Sungai, dalam Daerah Dungun. Di situlah beliau memulakan alam persekolahannya, di Sekolah Kebangsaan Jerangau Sungai, pada tahun 1963.

Belum pun sempat menghabiskan tahun pertama di sekolah tersebut, Wan Hassan berpindah ke Sekolah Kebangsaan Laki-laki Dungun, apabila bapanya berpindah tugas ke bandar Dungun. Setelah tamat pengajian rendah, belajar pula di Sekolah Menengah Inggeris Dungun (kini Sekolah Menengah Sultan Omar). Di situlah minatnya terhadap politik mula bercambah, terutama hasil tempias daripada Pilihan Raya Umum 1969, yang menyaksikan kebangkitan semula PAS di Terengganu, setelah jatuh pada tahun 1961.

Dalam pilihan raya itu PAS berjaya menawan dua daripada enam kerusi Parlimen, termasuk Parlimen Dungun. Calon-calon yang menang itu ialah Mohd Daud bin Abdul Samad di Kuala Terengganu Selatan dan Abdul Wahab bin Yunus di Dungun.

Di peringkat DUN pula PAS hampir-hampir menawan semula Terengganu apabila berjaya merampas 11 daripada 24 kerusi. Dalam kawasan Parlimen Dungun PAS menang di DUN Marang, Ulu Dungun dan Sura, tempat Wan Hassan tinggal pada waktu itu.

Pada tahun 1974, Wan Hassan menduduki peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE), di sekolah yang sama. Minatnya terhadap ilmu agama mendorong dia mengikuti kelas-kelas pengajian Islam di sekitar kampung tempat tinggalnya. Dikatakan, di mana jua beliau dengar ada ustaz memberi kuliah agama, beliau pasti tidak akan melepaskan peluang menadah telinga dan kitab untuk memahami ilmu-ilmu Islam.

Pada tahun 1979, Wan Hassan mula bekerja di sebuah jabatan kerajaan. Sejak itu beliau merasakan kongkongan masa agak menyulitkan beliau meneruskan aktiviti menimba ilmu di surau-surau. Lebih-lebih lagi apabila dia mendaftar menjadi ahli PAS, pada tahun 1983, maka bertambah-tambahlah tekanan perasaan terhadap kebebasannya menzahirkan sikap politiknya.

Minat yang mendalam terhadap pendidikan Islam, beserta dorongan perasaan untuk mencari kebebasan berpolitik, akhirnya menyebabkan Wan Hassan meletakkan jawatan dari jabatan berkenaan pada tahun 1985. Beliau memilih untuk menjadi pelajar sepenuh masa, dan memasuki Pusat Pengajian Taman Islam, Kemaman. Setelah kira-kira empat tahun di situ, beliau beralih angin pula ke Pondok Pasir Tumboh, Kelantan, sehingga tahun 1991.

Sekembalinya dari pengajiannya itu, PAS Kawasan Dungun terus tidak mensia-siakan tenaga dan ilmu yang ditimbanya selama ini. Pada tahun yang sama juga ‘Ustaz’ Wan Hassan telah dipilih untuk menerajui Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun. Beliau kekal menjadi ketua dewan itu selama dua penggal, sehingga tahun 1995.

Di celah-celah kesibukan perjuangan itulah Ustaz Wan Hassan sempat ‘mencuri masa’ untuk mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah, rumahtangganya itu kini diceriakan dengan seorang cahaya mata yang sudah berusia enam tahun.

Bermula tahun 1997, Ustaz Wan Hassan dipilih pula sebagai Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun dan anggota Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, hingga sekarang. Di masa yang sama beliau juga diamanahkan memikul tugas sebagai Pengerusi Majlis Tindakan DUN Sura hingga sekarang.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-10, Ustaz Wan Hassan buat pertama kalinya mencuba nasib di gelanggang politik. Beliau bertanding di DUN Sura, dan menang selesa ke atas pencabarnya, Zaaba Datuk Mohd Adib dari BN, dengan majoriti yang di luar jangkaan. Wan Hassan memungut 6,643 undi, manakala Zaaba mengutip 3,470, memberikan kelebihan 3,173 undi. Keputusan itu juga meletakkan DUN Sura sebagai salah satu kawasan paling kukuh bagi PAS untuk menghadapi sebarang pilihan raya akan datang.

Pada 2 Disember 1999, Yang Berhormat Ustaz Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, bertanggungjawab ke atas Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Pelancongan.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment