Friday, July 30, 2010

Umno ibarat orang berkudis jual ubat kurap

oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak syak lagi perkara paling payah bagi Umno dewasa ini ialah untuk membuktikan bahawa parti itu sangat sukakan perpaduan di kalangan rakyat, khususnya bangsa Melayu. Selain diketahui gemar bertindak keras dan sukar berkompromi dengan parti lawan sebangsanya, sejarah perpecahan dalamannya yang tidak pernah berkesudahan juga mengisyaratkan bahawa Umno bukan sebuah parti yang layak bercakap soal perpaduan dan perdamaian.

Imej buruk itulah yang ikut melatari isu perpaduan antara PAS-Umno yang masih digema-riuhkan kebelakangan ini. Ajakan dan kesediaan bersangatan sebilangan pemimpin utama Umno agar parti lawannya itu bekerjasama dengannya dianggap bagai persendaan apabila dalaman Umno sendiri sedang bergelumang dengan perseteruan dan perpecahan yang tidak berkesudahan.

Hakikat itu jelas tergambar apabila isu pergolakan dalaman parti itu menjadi agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno minggu lalu. Mesyuarat berkenaan malah terpaksa mengambil keputusan menyerahkan dua bahagiannya yang bermasalah ke bawah teraju Badan Perhubungan Umno Negeri masing-masing.

“MT bersetuju pentadbiran Umno Bahagian Rantau Panjang diambil alih oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan sehingga keadaan kembali pulih,” media memetik kenyataan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak.

Beliau mengulas pergolakan dalam bahagian itu yang berlarutan sekian lama. Kemuncaknya ialah apabila dua kumpulan berseteruan mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan pada 26 Jun lalu. Satu diterajui ketua bahagian kini dan satu lagi diketuai bekas ketua bahagian. Masing-masing mendakwa mesyuarat anjuran mereka adalah yang sah di sisi perlembagaan parti, manakala yang dianjurkan kumpulan lawan sebagai tidak sah.

Jika dua puak bertelagah dalam Umno Rantau Panjang memilih mengadakan mesyuarat di tempat berasingan, rakan mereka di Sungai Petani pula memilih cara lebih berani. Kumpulan yang tidak sebulu dengan ketua bahagian itu ikut menyertai mesyuarat perwakilan diadakan.

Mereka bagaimana pun menunggu masa ditetapkan ketua bahagian berucap untuk menzahirkan sikap mereka terhadap pemimpin itu. Akibatnya, ketua bahagian berkenaan gagal menyampaikan ucapannya dan insiden memalukan itu mendapat liputan meluas media massa.

Sepertimana Rantau Panjang, Sungai Petani juga akhirnya diputuskan MT Umno untuk diletakkan di bawah pentadbiran Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah.

Lain ceritanya pula yang berlaku dalam Umno Bahagian Setiu. Kumpulan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian tidak cukup kuat untuk mengadakan mesyuarat perwakilan secara berasingan. Mereka juga mungkin tidak terfikir menggunapakai taktik rakan-rakan di Sungai Petani.

Kumpulan ini bagaimana pun memilih untuk memboikot mesyuarat, walau pun ia dirasmikan Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Tidak syak lagi keengganan mereka hadir meraikan kedatangan pemimpin nombor dua parti dan kerajaan itu memberikan kesan amat buruk kepada Umno. Lebih melukakan lagi parti yang sedang beriya-iya mengajak PAS bersatu itu ialah apabila kalangan yang tidak hadir itu bukan calang-calang pemimpin.

Antara mereka adalah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang turut memegang jawatan terkanan dalam Umno Bahagian Setiu. Dua antara mereka pula menjawat Exco kerajaan Terengganu.

Justeru, timbul persoalan mengapa MT Umno tidak ikut meletakkan bahagian itu di bawah pentadbiran Umno negeri? Secara sinis ada yang menjawab, tindakan itu sudah tidak relevan memandangkan Perhubungan Umno Terengganu sendiri pun kini diletakkan di bawah pentadbiran Umno Pusat. Masakan kita tidak tahu betapa masalah dua nakhoda dihadapi Umno negeri itu jauh lebih dahsyat daripada itu?

Bahkan, jika diikutkan mahu diambil tindakan sedemikian, maka dalam konteks Umno Terengganu, ia bukan sahaja berdepan masalah perpecahan di Setiu, malah keadaan serupa turut berlaku di Marang, Hulu Terengganu dan Dungun. Justeru, berapa banyak bahagian mahu dipikul pentadbirannya oleh Umno negeri?

Kes perebutan kuasa dalam Umno Terengganu juga dilaporkan berlaku di negeri-negeri lain, khususnya Selangor dan Perlis. Jika di Perlis ia pertembungan antara menteri besar kini dengan bekas menteri besar, di Selangor pula antara bekas menteri besar dengan seorang menteri kabinet.

Itulah senario yang sedang melanda Umno. Di celah-celah kepeningan Najib menyelesaikan perbalahan anak-anak buahnya sendiri itulah, timbalannya beriya-iya menghulurkan salam perpaduan kepada musuh tradisinya, PAS.

Agak sinikal dinilai orang apabila Umno lantang mengajak PAS berpadu, sedangkan parti itu kini sedang berhempas-pulas mencari ruang bernafas daripada porak-peranda dalamannya sendiri.

Gelagat Umno itu mengingatkan kita kepada kata-kata hikmah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, “kita nak jual ubat kurap kat orang, kita sendiri bertepek (bertompok kudis), siapa nak beli?”.

Nik Aziz mempersoalkan, siapa Umno untuk melabekan PAS sebagai sesat, sedangkan pada perkiraan beliau, Umno sendiri berpegang kepada dasar dan fahaman nasionalisme yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam.

Dalam konteks kini pula, siapa Umno untuk ajak orang lain berpadu, sedangkan dalamannya sendiri tidak pernah reda dari perbalahan?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1560, 30 Julai 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Monday, July 26, 2010

Tiada cara lain jimatkan perbelanjaan negara?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Apa yang dibimbangi sebelum ini nampaknya sudah menjadi kenyataan. Penerimaan baik sebahagian rakyat terhadap kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian sebelum ini terbukti menjadi isyarat silap terhadap tindakan kerajaan itu.

Bagai diduga, Barisan Nasional (BN) memanipulasi penerimaan rakyat atas kenaikan itu untuk mengurangkan lebih banyak bantuan, peruntukan dan subsidi yang selama ini mereka nikmati. Terbaru, sebagai sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi, kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api dan gula, berkuatkuasa Jumaat (16 Julai) lalu.

Subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram. Dengan penyelarasan itu, petrol RON95 kini dijual pada harga RM1.85 seliter, diesel RM1.75 seliter dan LPG RM1.85 sekilogram.

Turut diselaraskan ialah harga gula, sebanyak 25 sen sekilogram menjadikannya RM1.90 sekilogram. Kenaikan itu adalah kali kedua selepas Januari lalu.

Sepertimana lazimnya di setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga barangan keperluan utama rakyat, ia sering diiringi seruan klise agar rakyat berjimat cermat atau berbelanja dengan berhemah. Bagi menyokong pendiriannya itu, BN yang selalunya tidak mengutamakan hujah agama tergamak pula menukilkan hujah dan pandangan Islam berhubung kebaikan berjimat-cermat dan kekejian berborosn.

Ditaburkan juga janji manis kononnya setiap sen yang dijimatkan kerajaan ekoran penarikan balik subsidi itu akan disalurkan kepada perkara lain yang dibayangkan akan memebri manfaat lebih besar kepada rakyat.

Kita masih ingat itulah antara hujah BN ketika ia mengumumkan kenaikan harga runcit petrol dan diesel dulu. Rakyat disintuk limau dengan janji penambahbaikan sistem pengangkutan awam menggunakan wang negara dijimatkan itu.

“Pada saya tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 bilion untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat pada rakyat,” itu pula hujah Perdana Menteri sepertimana dipetik media pada 4 Januari lalu bagi merasionalkan kenaikan harga gula.

Kerapkali juga BN berterus-terang bahawa kerajaannya sudah tidak mampu menampung pembiayaan subsidi barangan terbabit. Bahkan ada menteri sampai tergamak membayangkan negara akan muflis dalam masa sedekad lagi sekiranya pembiayaan subsidi sepertimana diamalkan kini tidak dirasionalisasikan.

Andaian itulah yang dijadikan alasan utama untuk merasionalkan mengapa soal penyusunan semula subsidi wajar diterima secara positif oleh rakyat.

Setakat itu kelihatannya BN memiliki hujah dari berbagai sudut – agama, kesihatan, maslahah umum mahu pun ekonomi negara. BN bertuah kerana setiap kali ia mengambil tindakan menambah bebanan hidup rakyat, akan sentiasa ada golongan yang tampil membela dan menyokong tindakan itu.

Itulah yang kita katakan isyarat silap. Betapa penerimaan dizahirkan rakyat itu, biar pun tidak mewakili keseluruhan mereka, sudah lebih dari cukup memberikan keselesaan kepada parti pemerintah itu untuk terus melaksanakan apa juga langkah difikirkannya sesuai.

Lebih menyeronokkan lagi bagi BN ialah apabila penerimaan rakyat terhadap hujah dan rasional dikemukakan tadi akhirnya semacam menjadi karat yang membentengi pemikiran rakyat daripada menyelongkar punca sebenar yang menjerumuskan kewangan negara ke kedudukan amat tenat kini.

Usaha menjimatkan perbendaharaan negara adalah langkah yang wajar dialukan. Soalnya, apakah setiap kali langkah penjimatan itu disuarakan maka yang perlu menanggung bebannya semestinya rakyat?

Kita kerap didendangkan dengan lagu bernada apologetik dan menagih simpati dari mulut para pemimpin negara. Kononnya rakyat perlu berkongsi masalah di hadapi negara. Kononnya negara ini milik bersama antara pemimpin dan rakyat. Justeru, rakyat juga perlu berperanan membina negara.

Tempat jatuh bodekan itu ialah agar rakyat dapat menerima hakikat bahawa mereka perlu berganding bahu bersama kerajaan memikul beban perbelanjaan negara. Kononnya perkongsian bijak rakyat-kerajaan akan memudahkan usaha memantapkan kedudukan ekonomi negara. Untuk itu rakyat perlu bersedia menyerap sedikit kos kenaikan harga barangan keperluan mereka.

Agak rendah diri kelihatannya para pemimpin tatkala membuat rayuan itu. Seolah-olah sebelum ini setiap keputusan berhubung perbelanjaan negara, mereka membuatnya dengan terlebih dahulu bertanyakan rakyat selaku “rakan kongsi pemerintahan”.

Sudah agak kerap kita dihidangkan dengan luahan dan pandangan berterus-terang beberapa tokoh negara berhubung salah pengurusan kewangan negara. Bagi mereka ini punca utama kedudukan kewangan negara terjejas adalah apabila perbelanjaan tidak diurus dengan baik.

Tidak syak lagi rekod pembaziran dan salahurus kewangan negara di bawah BN amat menakjubkan. Isu kapal selam, kapal perinda TUDM, Sukhoi, PKFZ, dan banyak lagi menjadikan negara kita persendaan dunia. Itu belum lagi kita senaraikan kes-kes pembelian tidak masuk akal barangan oleh agensi dan jabatan kerajaan sepertimana sering didedahkan laporan Ketua Audit Negara saban tahun.

Kita rasa fakta-fakta itu dengan sendirinya menjelaskan bahawa cara lebih berkesan menjimatkan wang negara ialah dengan mengelakkan pemborosan, ketirisan dan pembaziran dan perbelanjaan negara.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1559, 26 Julai 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Kenapa Umno susah sangat terima Islam?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Perbezaan paling pokok antara Umno dan PAS ialah pegangan dan pemahaman masing-masing terhadap Islam. Perisytiharan pertama selaku muqoddimah Perlembagaan PAS secara jelas menerangkan bahawa penubuhan parti Islam itu ialah demi menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada semua manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-Amru bil Maaruf wan Nahyu anil Mungkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Nama PAS ialah Parti Islam Se Malaysia. Dasar PAS ialah Islam. Seruan PAS ialah Allahu Akbar. Tujuan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sementara PAS secara terbuka mengisytiharkan Islam sebagai asas utama perjuangannya, letak duduk agama Allah itu di dalam Perlembagaan Umno pula agak “terselindung”. Umno sebaliknya lebih mengutamakan perjuangan berasaskan bangsa Melayu.

Kerap kali para pemimpin Umno meloyar dengan hujah, oleh kerana dalam konteks Malaysia ini Islam dikaitkan dengan Melayu dan setiap orang Melayu itu beragama Islam, maka perjuangan memartabatkan Melayu dengan sendirinya turut memartabatkan Islam.

Congak simplistik itu bagaimana pun tidak diterima PAS. Pertama, agama bukan identiti yang kekal pada seseorang sepertimana bangsanya. Soal pegangan agama adalah perkara yang turun-naik dan berubah-ubah. Ia seperti apa yang pernah diingatkan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang Muslim itu mungkin paginya masih Islam, tetapi pada petangnya menjadi kafir. Begitulah sebaliknya.

Ada pun bangsa dan keturunan adalah suatu perkara yang kekal pada seseorang. Sekali kita dilahirkan daripada perut ibu berbangsa Melayu, atau dari benih bapa Melayu, kita tidak boleh lagi mendakwa atau membuktikan kita tidak berdarah Melayu, biar pun kita menolak bertutur dalam bahasa Melayu atau hidup dengan adat dan budaya bukan Melayu.

Kedua, perangkaan oleh beberapa jabatan kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Umno sendiri membuktikan tidak semua orang Melayu di negara kita beragama Islam. Ada Melayu Kristian, Melayu Hindu dan Melayu animisme, bahkan Melayu atheis.

Tidak salah diakui juga di kalangan Melayu yang masih merekodkan Islam sebagai agama pada identiti diri pun, ada yang memilih cara dan jalan hidup amat jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Islam mengharamkan arak, misalnya, tetapi ada orang Melayu tanpa silu mentedarah air kencing syaitan itu. Bahkan, ada yang tidak malu gambarnya memegang gelas dan botol arak dirakamkan.

Islam mengharamkan judi, contohnya, tetapi bulan lalu kita dapat menyaksikan bagaimana pemimpin politik Melayu (baca: Umno!) jauh lebih ghairah mempertahankan pemberian lesen judi bola sepak berbanding para pemimpin bukan Melayu. Kata pemimpin Melayu, lesen itu bukti mereka meraikan budaya bukan Melayu yang suka berjudi.

Malunya, sebilangan bukan Melayu sendiri tampil membantah lesen judi. Akhirnya terbukti kesungguhan pemimpin Umno mempertahankan lesen judi itu rupanya kerana sangat ramai suku-sakat mereka sendiri yang bukan sahaja ketagihan judi, malah menjadi penguasa perniagaan judi.

Contoh lagi, semua pemimpin muslimat PAS dan isteri-isteri pemimpin tertinggi PAS berpakaian menutup aurat. Ia bukan dilakon-buat, atau kerana mereka orang Melayu, tetapi kerana faham tuntutan hukum Islam.

Bagaimana pula menghayatan hukum berpakaian Islam itu dalam Umno? Pernah ada menteri wanita bertudung, tetapi hayat politiknya tidak lama. Ada pun ketrampilan fesyen rambut para isteri pemimpin tertinggi Umno, masya Allah, kita sendiri sedia maklum, bukan?

Sebab itu walau pun Presiden Umno baru-baru ini mendakwa Umno juga memperjuangkan Islam, bahkan mantan presidennya yang dulu pernah mendakwa “kununnya” Umno sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia, akuilah betapa realiti penghayatan Islam di kalangan anggota parti itu tidak menepati dakwaan-dakwaan tersebut.

Justeru, amat tepat PAS mengambil prinsip berlawanan dengan Umno tadi. Bagi PAS, jika Melayu berkuasa, tidak semestinya Islam berkuasa. Malah, realiti yang ada di hadapan kita membuktikan sekali pun Melayu (Umno) memerintah, Islam belum tentu selamat.

Sebaliknya, PAS berkeyakinan jika Islam naik, bukan sahaja Melayu akan selamat, malah semua bangsa akan mendapat kebaktian masing-masing. Islam tidak mengenepikan kepentingan mana-mana bangsa. Maka, semua kita akan hanya selamat dan berjaya (di sisi Tuhan) jika Islam diletakkan di hadapan.

Perbezaan pemahaman mengenai peranan dan penghayatan Islam dalam mencorakkan pemerintahan inilah menjadi batu penghalang utama sebarang usaha perpaduan antara PAS dan Umno. Keengganan Umno menerima beberapa prinsip dan tuntutan Islam menyukarkan PAS bertoleransi dengan parti sekular itu.

Jangan lupa wujudnya PAS dulu adalah ekoran kegagalan Umno meraikan pandangan kumpulan ulamanya berhubung beberapa hukum agama.

Sebab itu PAS berterusan menuntut Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan dan pemerintahannya jika benar mahu bersatu dengan PAS. Akuilah, dasar digunapakai Umno kini, sama ada untuk partinya atau kerajaannya, tidak menepati Islam dan tidak dapat diterima PAS.

Justeru, demi perpaduan hakiki, kenapa susah sangat untuk Umno menerima Islam?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1559, 26 Julai 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Sunday, July 25, 2010

Gambaran indah perpaduan PAS-Umno ibarat fatamorgana


Bukan pesimis, tetapi hati saya cenderung mengatakan hasrat melihat PAS dan Umno bersatu dan berpadu tidak akan menjadi kenyataan. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tempoh waktu terdekat ini saya tidak nampak sebarang dorongan yang cukup meyakinkan sehingga membolehkan usaha ke arah itu dapat dicapai.

Selain perbezaan ketara dasar perjuangan dan tabiat politik yang berdarah daging dalam kedua-dua parti didukungi orang Melayu itu, pemahaman dan penghayatan para pendukung Umno dan PAS berhubung beberapa perkara prinsip juga amat sukar disepakatkan.

Penyatuan mereka dipayahkan lagi dengan parut pengalaman pahit yang pernah terhasil antara kedua-dua parti. Manakala kenyataan demi kenyataan yang saling bercanggah antara para pemimpin parti berlawanan itu tidak menyediakan ruang lebih kondusif dan konstruktif ke arah hubungan lebih baik.

Secara ringkasnya ada beberapa pemerhatian yang membantu saya merumuskan pendirian sedemikian. Pertama, saya melihat tidak ada kebulatan sama ada di pihak PAS mahu pun Umno untuk melihat kedua-dua parti saling bekerjasama, apatah lagi bersatu.

Dalam pusingan terbaru isu perpaduan PAS-Umno yang tercetus dua minggu lalu misalnya, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana yang paling bersungguh menyuarakan hasrat itu dalam Umno ialah Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sedangkan pemimpin nombor satu parti itu agak sinikal.

“Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah (sehingga) kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS,” ujar Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga tidak mnyembunyikan rasa tidak senangnya dengan ulasan para pemimpin PAS yang menuntut Umno Umno selaku penguasa negara mempertimbangkan beberapa prasyarat, jika mahu melihat usaha perpaduan itu direalisasikan.

D pihak PAS pula, pendirian parti dalam hal ini lebih berselewang. Kita boleh menerima keadaan itu setelah PAS sendiri pernah melalui tempoh sukar setiap kali isu perpaduan dengan Umno disuarakan.

Di zaman Allahyarham Dato’ Mohd Asri Muda dulu, PAS membentuk kerajaan campuran dengan Umno, kemudian menyertai Barisan Nasional (BN). Dalaman PAS berpecah sehingga melahirkan kumpulan bekas pemimpinnya yang dinamakan Bebas Bersatu.

Di zaman Angkatan Perpaduan Ummah dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 (S46), ahli PAS yang menolak kerjasama itu membentuk Kumpulan Islah PAS. Idea Kerajaan Perpaduan yang tercetus beberapa tahun lalu pula menggoncangkan kesatuan dalaman parti Islam itu.

Satu-satunya pemimpin PAS agak ke depan dalam pusingan terbaru cakap-cakap perpaduan ini ialah Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Cuma saya kurang pasti ketika dia menyatakan kesediaan bertemu dan berbincang dengan Umno itu, apakah Nik Aziz bercakap atas kapasitinya selaku Mursyidul Am PAS, atau sebagai Menteri Besar Kelantan.

Namun jika kenyataan susulannya diambilkira, kesediaannya hanyalah terbatas dalam konteks kerjasama antara dua kerajaan, yakni Kelantan dipimpin PAS dengan Pusat diterajui Umno. Ertinya, ia sebenarnya bukan bermaksud membuka ruang kerjasama politik antara dua parti, PAS-Umno sepertimana difahami umum.

Kedua, pemahaman tentang Islam dan peranannya dalam mencorakkan pemerintahan juga jelas berbeza di antara PAS dan Umno. Panjang ceritanya jika nak dihuraikan persoalan ini.

Namun suatu yang ketara dalam perbahasan terbaru ini, PAS berterusan menuntut Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan dan pemerintahannya jika benar mahu bersatu dengan PAS. Daripada ketegasan itu difahami bahawa pada pendirian PAS, dasar digunapakai Umno kini, sama ada untuk partinya atau kerajaan dipimpinnya, tidak menepati Islam dan tidak dapat diterima PAS.

Apa pula pandangan Umno? Presidennya sebagai reaksi mengingatkan pemimpin PAS agar berhenti menghina Umno, terutama dalam hal berkaitan Islam. Beliau malah mendakwa Umno juga memperjuangkan Islam.

Saya melihat percanggahan pemahaman mengenai peranan dan penghayatan Islam ini tidak berkesudahan. Ia bahkan menjadi faktor utama yang sering dijulang PAS dalam menolak Umno. Keengganan Umno menerima beberapa prinsip perjuangan yang menepati tuntutan Islam menyukarkan PAS bertoleransi dengan parti sekular itu.

Ketiga, tabiat Umno sendiri yang gemar berseteru dan berpecah-belah sesama sendiri turut meruntuhkan keyakinan orang terhadap keupayaannya menjaga kesatuan. Selain track recordnya, dalam kes terbaru kita menyaksikan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani dihalang berucap pada mesyuarat perwakilan.

Kehadiran Muhyiddin di Setiu pula ‘diboikot’ empat Adun Umno bahagian itu. Manakala Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya menyisih diri dari parti selama bertahun. Ada pun kewujudan dua kem berseteru dalam Umno Perlis, Selangor dan Terengganu bukan lagi rahsia.

Memang perpaduan yang cuba dibentuk antara PAS dan Umno, sama ada atas nama Melayu atau Islam, kelihatan amat indah. Malah bagi sebilangan pihak, ia sesuatu yang tidak dapat tidak mesti dicapai demi kelangsungan bangsa dan agama.

Dalam ertikata lain, kedahagaan umat Melayu/Islam dalam negara ini kepada perpaduan di kalangan penguasa politik mereka boleh diumpamakan seperti kebutuhan musafir di kepanasan gurun terhadap air. Hanya sanya peluang untuk meneruskan hidup ialah dengan menemui air.

Namun disebabkan terlalu kemarukkan air itu, sang musafir kerap tertipu dengan kewujudan fatamorgana. Nampak dari jauh kerdipannya seperti air, lalu ia memberikan harapan sangat tinggi kepada sang musafir menghilangkan kehausannya.

Malangnya, setelah bersungguh menghampirinya, fatamorgana itu menghilang. Begitulah berulang kali berlaku, hingga sang musafir keletihan ditipu gambaran indah fatamorgana.

Bukan pesimis, tetapi sekadar mengingatkan agar kita tidak tertipu oleh keindahan perpaduan digambarkan sesetengah pihak.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0210, 25 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Friday, July 23, 2010

Surat sokongan ruang suburkan campurtangan politik

oleh: Mat Zain Mat Isa

Wajar diakui agak sukar diharapkan mana-mana parti pemerintah mengambil sikap langsung tidak campurtangan dalam urusan pengagihan bantuan atau kontrak kerajaan kepada mana-mana pihak. Bagaimana pun demi melihat terlaksananya amalan pemerintahan lebih telus dan bertanggungjawab, kita tidak jemu meletakkan harapan agar soal campurtangan orang politik dalam urusan penjawat awam sebolehnya diminimakan, jika pun sukar dihapuskan sepenuhnya.

Bertolak dari hasrat itu kita menyambut baik pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala baru-baru ini yang meminta ahli politik menghentikan amalan mengeluarkan surat sokongan kepada para kontraktor yang memohon projek kerajaan. Beliau menganggap kewujudan surat sedemikian mengakibatkan pembaziran perbelanjaan kerajaan apabila penjawat awam yang mengendalikan urusan terbabit diletakkan dalam keadaan tidak selesa kerana terpaksa melayan kehendak “orang atasan”.

Sebetulnya perkara disebutkannya itu bukan isu baru. Ia malah bukan sahaja tertakluk kepada soal mengeluarkan surat sokongan untuk para kontraktor sahaja. Hakikat sebenar yang mendasari isu ini ialah soal campurtangan orang politik di dalam urusan penjawat awam, yang selalunya berakhir dengan perasaan amat tidak selesa di kalangan mereka.

Kewujudan surat sokongan sebegitu tidak ubah ibarat mewujudkan tekanan dan “arahan tersirat” agar pihak disokong mereka diberikan pertimbangan utama. Di masa sama, wujud pula perasaan rendah diri di kalangan penjawat awam apabila terpaksa akur dengan kehendak “orang atasan”.

Tahap profesionalisme mereka sudah tentu tercabar apabila mekanisme pemilihan calon berkelayakan bukan lagi di atas kriteria yang ditetapkan dalam syarat permohonan, tetapi lebih mengambil kira merit politik.

Seperti disebutkan tadi hakikat kewujudan “arahan tersirat” itu sebetulnya sudah menjadi tradisi di negara kita. Ia seakan sudah diterima sebagai amalan pemerintahan, sama ada di peringkat nasional, negeri mahu pun serendah peringkat kampung. Sokongan orang politik adalah perkara yang mesti disertakan rakyat yang memerlukan apa juga bentuk bantuan atau kelulusan dari kerajaan.

Ambil saja contoh pengagihan bantuan wang kepada golongan termiskin dan miskin. Penyediaan senarai penerima program itu selalunya dikuasai sepenuhnya oleh ketua masyarakat. Sudah menjadi tradisi, para ketua itu pula dilantik berdasarkan penguasaan politiknya di kawasan setempat.

Maka biar pun jenuh dilaungkan para pemimpin lebih tinggi kononnya kerajaan pimpinannya tidak mengamalkan pilih kasih dan tidak membezakan penerima berkelayakan berdasarkan merit politik, senarai penerima yang terhasil di bawah sana tetap tidak terlepas dari perkiraan tidak diingini itu.

Isu itu setakat ini masih berlarutan. Contohnya, minggu lalu Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said masih meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap soal keciciran nama golongan termiskin dan miskin di negerinya dari senarai penerima program e-Kasih. Beliau juga sedar betapa senarai sebelum ini banyak mengandungi unsur tidak sihat apabila ada di kalangan nama tersenarai bukan dari kalangan yang benar-benar termiskin dan miskin.

Soalnya, bagaimana kah kesilapan penyenaraian itu berlaku? Adakah ia semata-mata di atas kecuaian dan kelemahan para penghulu selaku penjawat awam yang dipertanggungjawabkan mengesahkan senarai itu? Ataukah ia berpunca daripada ketua-ketua kampung (lantikan politik) yang menyerahkan senarai nama itu untuk disahkan para penghulu?

Rasanya soalan-soalan tadi tidak perlu dijawab. Semua kita tidak sukar menerima hakikat bahawa penentu sebenar senarai penerima bantuan dari kerajaan, apa juga bentuk bantuan dan agihan ke peringkat kampung, ialah tidak lain daripada penguasa-penguasa politik bawahan. Para penghulu selaku penjawat awam hanyalah ibarat “rubber stamp” yang terpaksa mengesahkan senarai dari orang politik.

Dalam bentuk yang kononnya lebih sistematik dan berkesan, kita ambil pula contoh penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Barisan Nasional (BN) mengumumkan fungsi utamanya ialah sebagai badan penentu dalam meluluskan setiap bantuan disalurkan kerajaan Pusat.

MPPP dipengerusikan Ahli Parlimen BN di kawasan masing-masing. Manakala di kawasan di mana Ahli Parlimennya bukan daripada BN, pengerusi MPPP dipilih daripada salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN. Ahli-ahli MPPP terdiri daripada wakil-wakil rakyat, selain wakil-wakil jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.

Seperkara paling ketara, kewujudan majlis ini sekali gus merampas kuasa meluluskan bantuan kepada penerima yang selama ini diberikan kepada para pegawai agensi atau jabatan terbabit. Ia kini dikuasai sepenuhnya wakil-wakil rakyat BN yang menganggotai dan menguasai mesyuarat MPPP.

Bukan setakat itu saja, pegawai agensi pertanian diberikan amaran keras agar jangan pandai-pandai meluluskan sebarang bantuan kepada rakyat tanpa persetujuan MPPP.

Berdasarkan realiti yang sudah bertradisi dalam masyarakat itu, apakah kita masih mahu berdalih kononnya kewujudan surat sokongan orang politik sekadar pengesyoran atau cadangan dan bukannya arahan atau tekanan kepada penjawat awam?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1558, 23 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Monday, July 19, 2010

Umno pembela bahasa Melayu? Biar betul, Rais!

oleh: Mat Zain Mat Isa

Suatu yang lumrah saban tahun tatkala berlangsungnya mesyuarat agung atau perhimpunan Umno di mana-mana peringkat pun, suara-suara menyentuh ketuanan politik Melayu, nasib ekonomi bangsa Melayu dan berbagai lagi cabang kepentingan kaum itu berkumandang di sana-sini.

Persepsi yang sekian lama dibentuk ialah hanya Umno pejuang tulen hak dan kepentingan Melayu. Parti atau kumpulan lain, betapa pun mereka itu berjaya membuktikan komitmen terhadap perjuangan Melayu, seakan tidak diiktiraf kesungguhan dan keikhlasan mereka. Apa-apa jua berkaitan dengan usaha memartabatkan Melayu tidak akan sah tanpa membabitkan parti itu.

Dari sudut lain, apa juga pencapaian dan keistimewaan dinikmati orang-orang Melayu dewasa ini semuanya mahu dipulangkan kepada usaha dan jasa Umno. Seolah-olahnya tidak ada Melayu tanpa Umno dan tidak terbela hak dan kepentingan bangsa tanpa parti Melayu itu.

Kepercayaan khurafat yang memutlakkan kelangsungan hak Melayu hanya pada Umno itu menjadi modal paling ampuh buatnya mengekalkan kuasa politik. Bila-bila saja ia merasa perlu demi menyelamatkan keadaan, Umno akan memalu gendang perkauman Melayu.

Dalam hal ini ada benarnya pengamatan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dua minggu lalu berhubung tahap pendaftaran pengundi baru yang sangat rendah di kalangan orang Melayu. Pendedahan yang kononnya hasil kajian Pemuda Umno itu baginya hanyalah taktik halus parti Melayu itu membangkitkan sentimen di kalangan pengundi kaumnya.

Telahan itu agak tepat apabila pendedahan Pemuda Umno itu tidak terhenti di situ. Ia disusuli luahan kebimbangan pelbagai pihak, terutama pemimpin dan pengamat politik Melayu. Rata-rata mereka menjuruskan andaian kononnya jika peratusan pengundi Melayu semakin merosot, kuasa politik Melayu kemungkinan akan terhakis.

Rakyat cuba ditakutkan dengan kemungkinan yang sengaja dilontarkan itu. Jika nasib Umno baik, sentimen kaum itu akan menguasai suasana. Ketika itu mudah lah bagi Umno menobatkan dirinya juara Melayu dan kembali meyakinkan orang Melayu bahawa hanya dengan mengembalikan sokongan padu kepada parti itu dapat menjamin terpeliharanya hak dan kepentingan Melayu.

Kini, Umno melebarkan lagi cakapnya mengenai perjuangannya untuk bangsa. Selain kuasa politik, Umno mendakwa hanya dengan berpaut kepadanya orang Melayu akan dapat memastikan hak bahasa Melayu diperjuangkan.

Bunyinya agak meloyakan. Namun itulah loyar buruk terbaru dari Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Dr Rais Yatim. Beliau mendakwa Umno sebagai pembela dan penegak kepada usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Sebagai ahli Umno, kita mesti memperjuangkan isu berkaitan hak bahasa Melayu. Ia penting untuk memastikan kaum lain menghormati kita,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi, Ahad (11 Julai).

Untuk itu, beliau meyeru ahli Umno kembali merujuk tanggungjawab mereka berhubung perkara itu sepertimana dimaktubkan dalam Fasal 3 Perkara 5 Perlembagaan Umno yang menetapkan bahasa Melayu dijamin kedudukannya sebagai bahasa rasmi yang tunggal.

Kita tidak arif tentang perlembagaan Umno dan kita juga tidak kelubur nak ambil tahu. Jika benar fasal itu berbunyi demikian, kita terima seadanya. Namun, sekadar memaktubkannya dalam perlembagaan parti tidak menjadikan Umno secara automatik pelindung dan pembela bahasa Melayu.

Kita tentu lebih percaya kepada realiti dihadapi bahasa ibunda di bawah pemerintahan Umno. Keluh-kesah dan rintihan para pejuang bahasa sejak berdekad lalu menceritakan bahawa pembelaan didakwa Umno itu lebih tepat dianggap pengkhianatan terhadap bahasa Melayu.

Masakan tidak jika peristiwa demi peristiwa protes dan kecaman keras pejuang bahasa sering bersambungan sejak sekian lama. Demonstrasi Keranda 152 tanggal 3 Mac 1967 adalah contoh klasik protes rakyat terhadap sikap tidak bertanggungjawab Umno dalam isu bahasa.

Para pejuang bahasa berarak ke kediaman Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman untuk menyampaikan bantahan kepada Majlis Tertinggi Umno yang bersidang pada hari itu. Mereka mendesak Umno mempertahankan bahasa Melayu, ekoran perbahasan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967 di Parlimen.

Bagaimana pun peristiwa bersejarah itu nyata tidak mengubah sikap liberal Umno terhadap isu bahasa. Penodaan Dasar Bahasa Kebangsaan masih berterusan hingga kini, terutama oleh pemimpin Umno sendiri.

Kita tentu masih ingat bagaimana pemimpin kerajaan menghina pendirian pejuang bahasa dengan memperkenalkan beberapa istilah yang amat dipertikaikan. Antaranya, tema Hari Kebangsaan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ yang dipertikaikan tata bahasanya, tagline ‘Saluran Infotainmen Anda’ untuk RTM, istilah ‘boulevard’ dan ‘presint’ di Putrajaya yang sepatutnya memanfaatkan istilah bahasa Melayu.

Begitu juga dengan pengenalan dasar pembelajaran yang mengutamakan bahasa Inggeris (BI) dan mencabar kedaulatan bahasa Melayu, seperti dasar PPSMI, cadangan wajib lulus BI untuk SPM, bahasa pengantar BI di universiti dan banyak lagi.

Kita kira rakyat, terutamanya orang Melayu tahu sejarah-sejarah ini. Maka jika kini Rais mahu mendabik dada sebagai pembela bahasa Melayu, apakah itu bertepatan dengan realiti yang telah dilakukan Umno selama ini?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1557, 19 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Sunday, July 18, 2010

Betulkah kuasa politik Melayu terhakis jika PR menang?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pentas politik negara sekali lagi diseret untuk membicarakan soal kuasa politik Melayu. Kononnya ia semakin terhakis dan berkemungkinan dirampas bangsa lain sekiranya keadaan yang ada tidak diperbetulkan.

Andaian menakutkan itu ekoran pendedahan tiba-tiba oleh Pergerakan Pemuda Umno akhir bulan lalu berhubung tahap pendaftaran pengundi baru yang sangat rendah di kalangan orang Melayu. Pergerakan itu mendakwa hasil kajiannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga Jun lalu menunjukkan nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi baru adalah satu Melayu bagi 40 bukan Melayu (1:40).

Bagai diduga, berbagai pihak buat-buat terkejut dengan pendedahan itu. Lalu pemain dan pemerhati politik Melayu berlumba meluahkan rasa kecewa dan bimbang tentang kecenderungan yang mereka sifatkan bakal memberikan kesan negatif terhadap masa depan politik bangsa mereka.

Banyak tanggapan dan terjahan disuarakan. Oleh kerana kegagalan mendaftar sebagai pengundi itu hanya ketara berlaku di kalangan pengundi muda Melayu dan tidak pada bangsa lain, maka ada yang mendakwa ia berpunca sikap selesa orang Melayu dengan kuasa politik yang masih dipegang bangsa mereka. Sebahagian generasi muda ini malah dikatakan tidak ada pun kesedaran tentang tanggungjawab mengundi dan memilih pemimpin.

Tidak kurang juga yang mengaitkan kecenderungan itu dengan sikap muak dan menyampah pengundi terhadap gelagat politik negara yang bagi mereka semakin menjemu dan mengecewakan.

Sementara pelbagai pihak, sama ada dari kalangan parti-parti pembangkang mahu pun pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri mempertikaikan kesahihan data kajian tersebut, niat sebenar Pemuda Umno di sebalik pendedahan itu tidak sukar ditelah. Sepintas lalu saja pun dapat dirasakan ia bagaikan suatu skrip yang sengaja diulangsebut.

Senario tahap pendaftaran pengundi baru yang terlalu tidak memuaskan semacam telah menjadi isu yang wajib diulang tayang setiap kali negara diura-urakan bakal menghadapi pilihan raya umum. Berdasarkan pengalaman lalu, pendedahan itu akan disusuli dakwaan oleh parti-parti komponen BN kononnya sekian-sekian ramai ahli masing-masing masih belum mendaftar sebagai pengundi. Angka disebut setiap parti selalunya melebihi 100 ribu orang.

Dakwaan itu disusuli pula tindakan agresif dan intensif BN meningkatkan jumlah pemilih baru. Dalam usaha memperbetulkan keadaan itulah BN, khususnya Umno, selalunya mengambil kesempatan mengikat kesetiaan bakal pengundi ini terhadap parti itu. Ia mungkin dibuat menerusi bayaran insentif khas atau dengan membangkitkan sentimen pengundi.

Saya kira rakyat mampu melihat dengan jelas bagaimana pendedahan kajian itu dimanipulasi Umno, dengan bantuan media kroninya, untuk meniupkan sentimen kemelayuan. Dakwaan paling banyak dilaungkan ialah kononnya kuasa politik Melayu kemungkinan akan hilang sekiranya jumlah pengundi baru Melayu tidak ditingkatkan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pemimpin PAS bahawa andaian itu satu cubaan halus Umno menakutkan rakyat, khususnya orang Melayu. Bila mana sentimen kaum itu menguasai suasana, mudah lah bagi Umno menobatkan dirinya sebagai tuan politik Melayu. Rakyat akan sekali lagi disintuk-limau untuk percaya kononnya hanya dengan mengembalikan sokongan padu kepada Umno dapat menjamin terpeliharanya kuasa politik Melayu di negara ini.

“Walau pun semua pihak mengakui Melayu merupakan teras kepada negara ini, tetapi Umno kini berada dalam ketakutan, (ia takut) kehilangan kuasa , kebimbangan bahawa orang bukan Melayu akan menyokong Pakatan Rakyat (PR) dan teras kepimpinan (negara) beralih kepada pakatan yang lain (dari BN),” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa isu pengundi baru tadi sengaja dilontarkan dengan motif untuk menyempurnakan agenda politik Umno-BN. Bahawa rakyat sengaja ditakutkan dengan sentimen perkauman untuk secara halus membayangkan kononnya jika pemerintahan beralih kepada PR, kuasa politik negara tidak lagi dipegang bangsa Melayu.

Soalnya, sejauh manakah benar dan munasabahnya kemungkinan itu? Sedikit analisa ke atas keputusan dua PRU lalu mungkin boleh membantu kita membakul-sampahkan dakwaan Umno itu.

BN, khususnya Umno, sering mendakwa tsunami politik 2008 menukar warna pentas politik negara. Umno kerap menggambarkan kemenangan paling bersejarah buat pembangkang itu sealiran dengan penguasaan ketara pemimpin bukan Melayu. Namun berapa ramai yang tahu hakikat sebenarnya bahawa jumlah Ahli Parlimen (AP) Melayu semakin bertambah pada 2008 berbanding 2004?

Mengikut perkiraan saya, jumlah AP Melayu pada 2004 mengikut pecahan parti ialah 110 dari Umno, PBB (6), PAS (6) dan PKR (1). Jumlah itu menjadikannya 123 orang atau 56.16 peratus daripada kesemua 219 AP.

Pada masa ini pula, jumlah AP Melayu ialah 130 orang (setelah Hulu Selangor dicuri Umno untuk diserahkan kepada MIC) atau 58.56 peratus daripada 222 AP. Umno ada 78 AP, diikuti PAS (23), PKR (16), PBB (9) dan Bebas (4).

Angka itu dengan sendirinya menepis dakwaan Umno bahawa kemenangan PR menghakis suara dan kuasa politik Melayu. Yang jelas terhakis sebenarnya jumlah penguasaan politik Umno.

Ada fakta lebih menarik. Penambahan tujuh AP Melayu pada 2008 berbanding 2004 itu tidak satu pun hasil sumbangan Umno. Selain tiga tambahan itu dari PBB ekoran pertambahan kerusi baru di Sarawak, empat kerusi lagi “dirampas” AP Melayu dari PAS dan PKR.

Keempat-empat kerusi itu pada 2004 lalu disandang AP bukan Melayu dari parti sahabat Umno. PKR merampas Kuantan dan Bandar Tun Razak daripada MCA, serta Telok Kemang dari MIC. Manakala PAS menawan Kota Raja, juga dari MIC.

Saya harap sedikit fakta itu membolehkan kita menolak kepercayaan khurafat kononnya kelangsungan kuasa politik Melayu hanya diperolehi dengan kejayaan Umno.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0209, 18 Julai 2010 dengan tajuk sama)

Thursday, July 15, 2010

Memori indah bersama Almarhum Ustaz Hassan Shukri

Oleh: Mohd Nasir Awang

Saya tentu sekali amat sukar memaafkan diri saya tatkala menerima berita kematian bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri, awal petang Isnin, 14 Jun lalu. Usikan perasaan itu bukan kerana saya ada kesalahan besar dengan beliau atau apa-apa urusan penting yang masih belum selesai antara kami.

Bukan juga kerana saya tidak berupaya bergegas ke kediamannya di Taman Melewar, pinggir ibukota menyertai ribuan yang lain memberikan penghormatan terakhir buatnya, tetapi kerana saya melepaskan peluang sangat bermakna untuk duduk berbicara dengannya di Muktamar Tahunan PAS ke-56, di Putik, Pengkalan Chepa, beberapa hari sebelum itu.

Siapa sangka pertembungan mata dan gamitan tangan antara kami dua hari sebelumnya rupa-rupanya yang terakhir kali. Masih amat jelas terbayang bagaimana beliau yang mengenakan baju Melayu biru terang pagi itu beriya-iya menggamit tangan mengajak saya duduk bersamanya.

Ketika itu beliau kelihatan rancak berbual sambil minum bersama beberapa yang lain di salah sebuah gerai berderetan di luar kawasan Putik. Saya pula mengekori teman wartawan, Tarmizi Mohd Jam (TMJ), melewati gerai itu mencari ruang bersesuaian untuk melawaskan tekak.

“Ustaz Hassan lambai ana, ajak duduk nu sheikh,” ujar saya kepada TMJ. Beliau yang sudah terlajak ke depan bagaimana pun mengajak saya terus mencari gerai lain yang lebih “eksklusif” untuk menghadamkan pelbagai topik bual bicara kami berdua.

Demi Allah tidak disangka saya telah melepaskan peluang amat bermakna. Andaikata berlaku bual bicara antara saya dan Ustaz Hassan pagi itu, saya percaya pada adatnya akan ada sesuatu yang boleh diabadikan sebagai “amanat terakhir” beliau untuk saya.

Itulah yang membuatkan saya amat terkilan. Saya telah melepaskan peluang paling keemasan untuk berbicara atau sekurang-kurangnya meraikan pelawaannya buat kali terakhir. Walau pun mungkin di kesempatan sebegitu beliau tidak bercadang memperkatakan sesuatu yang agak luar biasa atau khusus sehingga boleh dianggap “amanat”, siapa tahu kemungkinan sebaliknya?

Lagi pun, pengalaman saya bergaul dan berinteraksi dengan Almarhum banyak mengajar saya bahawa sentiasa ada sesuatu yang bernas dan bermanfaat dari butir bicaranya.

Saya sempat tinggal berjiran dengan Ustaz Hassan selama hampir dua tahun ketika berkhidmat sebagai wartawan Harakah di Kuala Lumpur antara Januari 1990 hingga September 1991. Meski pun tidak begitu lama, tempoh itu lebih dari cukup untuk saya menyelami dan menghayati kepelbagaian watak dimiliki insan bernama Hassan Shukri ini.

Sepanjang penglibatannya dalam PAS, Almarhum sempat mengisi berbagai jawatan. Antara yang terbilang ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Naib Presiden PAS. Jawatan eksekutif tertinggi pernah dipikulnya ialah sebagai Timbalan Presiden PAS. Manakala jawatan Ahli Majlis Syura Ulama pula disandangnya hingga ke akhir hayat.

Meski pun pernah menjawat orang nombor dua dalam kepimpinan PAS, bagi kebanyakan pendokong parti itu Almarhum lebih sinonim dengan jawatan Setiausaha Agung PAS. Beliau sempat berkhidmat di posisi itu di bawah tiga Presiden, iaitu Allahyarham Dato’ Dr Mohd Asri Muda, Almarhum Yusof Abdullah ar-Rawa dan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Beliau dianggap “buku undang-undang PAS”, kerana segenap aspek perlembagaan parti terlekat di kepalanya. Selok-belok pentadbiran dan pengurusan parti ibarat nasi makan air minum beliau. Tanyalah dan terjahlah apa juga berkaitan pengurusan parti, nescaya anda akan terpegun dan amat berpuashati dengan huraian dan penjelasan diberikan Ustaz Hassan.

Beliau juga “arkitek” Markas Tarbiyah PAS Pusat bersebelahan rumahnya. Bahkan beliau dianggap sebagai “penghulu” bagi Taman Melewar. Lorong menyelusuri depan rumahnya dinamakan Lorong Haji Hassan, bersempena nama beliau. Kira-kira 150 meter di hujung lorong itulah saya, TMJ, Zulkifli Sulong dan sebilangan bekas wartawan Harakah lain sempat berkampung.

Sewaktu saya mengambil keputusan mengundur diri daripada Harakah, Almarhum antara orang paling awal saya maklumkan. Saya tidak perlu bercerita panjang tentang sebab dan akibat tindakan itu. Beliau ternyata sudah memahami.

Ketika itu boleh dikatakan Harakah menjadi “tempat persinggahan” kalau pun bukan “batu loncatan” mencipta kerjaya. Sebilangan petugasnya datang dari kampung, belajar hidup di ibukota sambil bekerja dan menimba kemahiran bidang tertentu di Harakah secara “latihan sambil bekerja”, kemudian cabut apabila ada peluang lebih baik di luar.

Pengalaman dilihatnya berlaku ke atas beberapa rakan bekas petugas Harakah sebelum saya memasakkannya dengan kecenderungan itu. Sebab itu beliau tidak pula melarang saya berhenti, tetapi terus bertanya, “habis tu, enta nak buat apa?”

Kami terdiam seketika. Sebelum sempat saya menjawab, Ustaz Hassan mengambil kesempatan mengingatkan saya tentang kelebihan menyumbang khidmat kepada jamaah. Antara katanya, bekerja untuk jamaah ibarat kita menolong Allah, dan orang yang tolong Allah pasti akan ditolongNya pula.

Dari nada suara dan memek mukanya dapat saya fahami betapa beliau rasa amat bangga melihat anak-anak muda semakin ramai yang sanggup mewakafkan diri kepada perjuangan suci ini. Katanya penuh yakin, biar pun bekerja untuk jamaah tidak menjamin kita jadi kaya dan hidup mewah, tetapi kita juga insya Allah tidak akan susah atau melarat.

“Ana akan balik terus ke Besut”, saya berterus-terang. Beliau agak tersentak. Barangkali beliau tidak menyangka saya akan berundur sejauh itu. Agaknya beliau ingat saya sekadar berhasrat meninggalkan suasana kurang selesa di Harakah ketika itu dan mengintai kehidupan lebih sesuai di sekitar ibukota juga.

“Kalau anta tak nak balik dulu pun tak apa ‘Sir’, duduk dengan ana kat sini. Kita boleh fikirkan sesuatu untuk tampung anta”, sambungnya, dengan nada agak kendur.

Beliau yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat lalu memperincikan perancangannya menerbitkan makalah khas atas nama dewan itu. Beliau mahu saya bertugas sepenuh masa di bawahnya menghidupkan unit penerbitan itu.

Ampun Tuhan, suasana ketika itu tidak membantu saya menyantuni permintaan itu. Saya gagal menyelami apa jua hasrat murni yang mungkin terfikir oleh Ustaz Hassan sehingga memujuk saya terus menghuni ibukota.

Saya malah menilai lontaran itu lebih sebagai usaha peribadinya memujuk. Apatah lagi beliau mengakui rancangan itu masih sebagai idea peribadinya dan tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan Dewan Ulama.

Sedekad kemudian, saya antara insan yang sangat gembira apabila kerajaan PAS Terengganu menamakan Ustaz Hassan sebagai senator. Bagi saya beliau lebih dari layak diiktiraf jasa baktinya, terutama mengambil kira khidmatnya terhadap parti. Bahkan saya kira sepatutnya beliau diberikan penghormatan itu sedekad lebih awal dari negeri yang terlebih dahulu diperintah PAS sebelum Terengganu.

Suatu ketika kemudiannya saya kebetulan menghadiri satu program parti di Taman Melewar mewakili negeri Terengganu. Kebetulan Almarhum baru pulang dari sidang Dewan Negara. Dengan nada berseloroh saya memuji gaya segaknya berkot dan mengusiknya “Yang Berhormat nampak makin muda pula pakai macam ni”.

Kami sama-sama ketawa sebelum beliau menjawab, “apa pulak Yang Berhormat ni. Ana ni anta pun tahu, segak macam mana pun, balik-balik potong rumput juga kerja ana”. Gelak kami bertambah besar.

Ya, saya akui itulah kerja asasi yang tidak dapat dipisahkan dengan Ustaz Hassan. Saudara mungkin insan tidak bertuah jika tidak pernah berpeluang melihat beliau menggalas mesin pemotong rumput mundar-mandir di sekitar Markas Tarbiyah dan Pejabat Agung di Taman Melewar.

Sayang sekali aksi klasik seorang pemimpin agung itu tidak sempat saya potretkan. Namun itulah keunikan manusia bernama Hassan Shukri. Beliau seorang ulama, pentadbir parti, pemimpin masyarakat, tetapi di kebanyakan masa adalah seorang teman berbicara yang tidak menjemukan.

Suatu ketika dulu di depan Pejabat Agung PAS bersebelahan rumahnya itu ada buaian besi. Di situlah antara tempat saya dan Almarhum melabuhkan punggung sambil berbual pelbagai topik. Perbualan kami yang kadang-kadang bertukar serius itu kerap pula dihiburkan dengan telatah dua anak kembar seiras beliau, Uswah dan Hasanah yang ketika itu masih keanak-anakan.

Saya masih ingat suatu ketika beliau mengkisahkan pengalamannya yang paling pahit sebagai pentadbir Pejabat Agung. Hal itu berlaku sejurus selepas PAS diusir keluar dari Barisan Nasional (BN).

“Waktu dalam kerajaan, derma-derma ni tak main. Semua program PAS waktu tu ada yang sponsor. Cakap je nak buat apa, duit mudah datang”, ceritanya bersungguh.

Malangnya, amalan mengenepikan tradisi mengutip derma dari ahli dan penyokong itu meninggalkan kesan sangat negatif kepada PAS kemudiannya. Selepas tidak lagi menjadi anggota gabungan pemerintah, PAS berdepan suasana paling menyulitkan untuk membiayai pengurusan dan aktiviti parti.

Ahli dan pendokong PAS yang sejak beberapa tahun itu dibiasakan dengan sumber kewangan yang mudah, ketika itu sudah hilang tabiat menderma untuk parti. Amat sukar menghidupkan kembali amalan mulia itu.

Bagi Ustaz Hassan itulah tempoh paling menyulitkan, terutama untuk menguruskan pentadbiran parti. Sebab itu beliau amat tidak bersetuju sekiranya amalan mengutip derma di kalangan pendokong PAS dihentikan, sekali pun parti itu berjaya memerintah mana-mana kerajaan.

Banyak lagi pengajaran dan amanat berguna yang sering dituturkan beliau sepanjang pergaulan kami. Tidak upaya saya coretkan kesemuanya di sini. Biarlah ia terabadi sebagai memori indah bersama seorang insan terpilih ini.

Sekalung al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Hassan Shukri.

(Artikel ini dijadikan satu bab daripada buku kolaborasi "Tribut Buat Sang Murabbi: Ustaz Hassan Shukri" diketuai Riduan Mohamad Nor, terbitan Jundi Resources, Kuala Lumpur, Julai 2010, di bawah tajuk "Tribut untuk Almarhum Ustaz Hassan Shukri". Versi lebih pendek disiarkan lebih awal oleh tabloid mingguan Siasah Bil: 0205, 20 Jun 2010 dengan tajuk seperti di atas).

Monday, July 12, 2010

‘Parti Ajaran Sesat’, PAS atau Umno?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Celupar benar mulut Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Shafie Apdal, apabila sewenang-wenangnya melabelkan PAS sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’. Mungkin bagi beliau menyebut gelaran itu hanya semudah menepati akronim P.A.S. pada ejaan nama parti itu.

Barangkali tidak terlintas pada benaknya ketika menuturkan ungkapan itu, ia boleh dianggap penghinaan kepada umat sesama bangsa dan agama. Atau mungkin otaknya tidak begitu lawas sehingga tidak dapat menjangka sekiranya beliau semudah itu menggelarkan parti lawan sedemikian, maka lebih mudah lagi bagi ahli PAS jika berhasrat memulangkan gelaran lebih tidak enak kepada Umno pula.

Dalam ucapan perasmiannya di Mesyuarat Umno Bahagian Kulai Jaya, minggu lalu, Shafie dilaporkan menuduh PAS sebagai ‘parti ajaran sesat’. Ucapan bodoh itu segera mengundang reaksi tidak senang para pemimpin dan penyokong PAS seluruh negara.

“Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa?”, soal Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataan balasnya.

Seperti kebanyakan pendokong PAS, Idris menganggap dakwaan Shafie itu sebagai sangat biadab dan keterlaluan. Beliau memberi amaran akan membuat laporan polis sekiranya Shafie tidak menarik balik kenyataannya.

Sebagai seorang OKU (akronim kepada ‘Orang Kuat Umno’), Shafie tidak sepatutnya terlalu boros melontarkan gelaran semahunya kepada parti lawan. Biar pun beliau terlalu benci dan meluat dengan PAS, apakah sudah tidak berbaki walau pun sedikit adab ketimuran dan ajaran agama sehingga sanggup menganggap parti sebangsanya itu sebagai kumpulan ajaran sesat?

Keterlanjuran Shafie itu sudah tentu tidak dapat diterima oleh mana-mana warga negara Malaysia yang waras. Ia bukan sahaja menyalahi adab Melayu dan aturan Islam, malah juga bersalahan dengan hasrat mewujudkan suasana politik lebih budiman dalam negara kita.

Sebagai seorang Melayu, kita sering diajar betapa bahasa adalah jiwa bangsa. Bangsa kita dikenali sebagai kaum beradab. Orang kita menilai kesopanan anak bangsanya menerusi tingkah laku dan tuturkata yang bertertib dan bersopan.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri sering mempromosikan tatasusila di kalangan rakyat. Entah berapa ratus juta RM telah dihabiskan BN sejak kita merdeka hingga kini untuk menjayakan kempen menjadikan budi bahasa sebagai budaya kita. Kempen agar rakyat melemparkan senyum juga diadakan.

Lagi pun, tabiat semulajadi manusia memang mengharapkan digelar atau dipanggil dengan panggilan menyedapkan telinga. Jika semata-mata mahu mewujudkan provokasi, orang PAS juga boleh memikirkan berbagai ungkapan bersesuaian dengan singkatan Umno. Kita percaya bukan hanya Shafie atau ahli Umno yang mampu berbuat demikian.

Sudah tentu jika perkara sebegitu dibiarkan atau dianggap remeh-temeh, ia boleh berlanjutan kepada suasana politik lebih tidak menyenangkan. Tolak tepi sepenuhnya soal perpaduan antara PAS dengan Umno. Secara sinisnya, tentu amat janggal jika Umno masih mahu bersahabat dengan penganut ajaran sesat, bukan?

Ia juga akan menyulitkan sebarang usaha melihat PAS boleh duduk semeja atau bergandingan dengan Umno dalam menangani permasalahan bersama, terutama berkaitan kepentingan Islam. Malah ia akan membuka jalan kepada pertikaian lebih jauh berhubung pegangan dan anutan politik Umno itu sendiri.

Apakah sesat itu diukur berdasarkan nilaian agama? Jika begitu, di antara PAS dan Umno, parti manakah dasar dan perlembagaannya lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Islam? Buka dan telitilah kedua-duanya.

“Saya tidak kisah sekiranya kita bercanggah pandangan politik, tetapi kenyataan (Shafie) itu melibatkan agama. Tuduhan ajaran sesat adalah sangat berat dan berkaitan dengan akidah. Sapa dia mahu (melabel) orang lain seperti itu? Lainlah jika ada buat rujukan kepada Majlis Fatwa (Kebangsaan) atau sebagainya,” selar Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib.

Baginya, jika pemimpin Umno itu berani mengatakan PAS sesat, PAS juga boleh mengatakan perkara sama terhadap Umno.

“PAS pun boleh cakap Umno lebih sesat dan tidak berpegang kepada ajaran Islam. Malah Umno mengamalkan politik perkauman,” sambungnya lagi.

Ya, politik perkauman memang bercanggah dengan ajaran Islam yang meletakkan semua bangsa setaraf di sisi Tuhan. Al-Quran dengan jelas menyebut bahawa yang membezakan kemuliaan di kalangan umat Islam bukannya bangsa mereka tetapi tahap ketaqwaan kepada Allah. Maka jika Umno meletakkan Melayu lebih mulia daripada Cina atau India, pegangan itu bersalahan dengan ajaran Islam. Itu sesat namanya!

Dan lagi, Umno juga berpegang kepada prinsip politik suku agama suku. Apa-apa yang berkaitan agama tidak boleh dicampur dalam urusan pemerintahan. Ada sesiapa di kalangan OKU mahu menafikannya?

Sedangkan menurut ajaran Islam, seluruh ibadat, hidup dan mati kita kesemuanya kerana Allah, kerana agamanya. Bukankah itu satu lagi bukti Umno sebenarnya yang sesat?

“Takkan kerana kita berjuang nak menang kerusi Dun dan kerusi Parlimen, berebut dengan mereka (Umno), kita dianggap sesat,” itu pula ulasan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar.

Baginya, jika kenyataan Shafie itu hanya bersandar hujah di atas, menteri Umno itu belum cukup bijak untuk jadi pemimpin.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1556, 12 Julai 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Demi kebebasan media, bersediakah BN hapus permit akhbar?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Tentu ada hikmah sangat besar mengapa Allah Ta’ala mentakdirkan Kumpulan Media Karangkraf memilih minggu lalu untuk melancarkan penerbitan peringkat nasional bagi tabloidnya, Sinar Harian. Paling tidak pun peristiwa bersejarah itu mendorong masyarakat, terutama khalayak media, kembali membicarakan soal kebebasan media dalam negara kita.

Apatah lagi dalam konteks Sinar Harian yang bermottokan ‘Telus dan Tulus’ memang mengamalkan konsep kewartawanan yang bebas dan tidak memihak. Bak kata Penasihat Editorial Kumpulannya, Abdul Jalil Ali, “Sinar Harian dilabel pembangkang sebagai suara kerajaan manakala pada pihak kerajaan beranggapan Sinar Harian sebagai suara pembangkang. Namun .... Sinar Harian tidak berpihak kepada mana-mana pihak dan berpegang kepada sikap neutral”.

Setakat ini hakikat itu diakui semua pihak, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sendiri, yang dijemput merasmikan pelancaran akhbar itu. Besar kemungkinan beliau terikat dengan janjinya sebelum ini. Di hadapan pemilik dan pengamal media, Najib pada April 2009 pernah menyatakan bahawa media tidak semestinya menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membuat liputan. Apa yang lebih ditekankannya ialah laporan yang bertanggungjawab, benar, adil dan berfakta.

Bagaimana pun itu tidak bermakna beliau senang hati dan bersedia menerima kecenderungan bebas itu berlanjutan sehingga ke tahap tidak menguntungkan parti dan kerajaannya. Hasrat sebenar beliau itu secara tidak langsung diluahkannya minggu lalu.

“Saya akui beritanya (Sinar Harian) kadang-kadang lebih ke sana (pembangkang), kadang-kadang lebih kita (BN), tapi saya harap lebih (kepada) kita sikit,” katanya sewaktu melancarkan akhbar berkenaan.

Mahu tidak mahu perlu kita akui bahawa setakat ini itulah tahap kebebasan media yang boleh diterima BN. Bahawa keterbukaannya untuk menerima perbezaan pandangan dan laporan tidak memihaknya hanya sekadar retorik. Realitinya masih jauh dari apa yang disebutkan itu.

Cakap Najib itu seakan mengisyaratkan bahawa baginya kebebasan sesuatu media itu seeloknya perlulah melebihkan liputan dan kecenderungan yang menguntungkan BN berbanding pembangkang, biar pun sedikit. Ertinya, dalam keadaan parti itu sudah ada sebilangan media arus perdana yang hampir seratus-peratus memihaknya dan tidak langsung menampakkan kecenderungan menguntungkan pembangkang, BN masih menganggap perlu memastikan mana-mana media alternatif tidak merugikannya.

Maka apakah boleh diharapkan BN bersikap terbuka dan selesa dengan “kebebasan sementara” yang dipinjamkannya kepada media milik pembangkang? Masalah permit penerbitan yang membelenggu akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan Harakah sendiri seperti diketahui umum minggu lalu bagaikan menjawab persoalan itu.

Isu kebebasan media, terutama penerbitan akhbar oleh pembangkang sering diperbahaskan. Bagi membuktikan ketelusan dalam menjamin kebebasan media, BN sering memetik contoh keterbukaannya memberikan permit penerbitan kepada parti-parti pembangkang.

Bagaimana pun, hakikat bahawa kuasa melulus atau membatalkan permit tersebut terletak di tangan BN menyebabkan akhbar-akhbar pembangkang sentiasa dihantui kebimbangan. Permit penerbitan menjadi belenggu agar mereka tidak terlalu bebas mengutarakan pandangan alternatif, terutama sehingga mencabar dan menggugat kekuatan BN.

Memang pada zahirnya BN sering menyebut hasrat mewujudkan media bertaraf dunia. Bahawa media perlu berperanan menyalurkan maklumat yang tepat. Media adalah pendidik rakyat supaya boleh berfikir secara terbuka dan bijak membuat pilihan saksama dalam apa jua perkara berhubung hidup mereka.

Namun prinsip yang ideal itu setakat ini hanya tinggal impian Realitinya, BN terlalu sempit dan berat sebelah dalam pertimbangannya berhubung hal itu. Contohnya, sudah menjadi adat akhbar pembangkang mengutarakan pandangan kedua yang bersalahan dengan pendirian BN. Mana logiknya kita mengharapkan mereka senada dengan media arus perdana yang pro-BN?

Malangnya mereka sering dimomokkan kononnya menyiarkan berita menyalahi fakta, fitnah dan bohong. Laporan media pembangkang yang mendedahkan kelemahan dan kepincangan kerajaan dengan mudah dinilai sebagai menghasut rakyat membenci BN. Maka jalan singkat bagi menyelesaikannya ialah dengan menarik balik permit penerbitannya.

Anehnya, sudah ada beberapa kes di mana akhbar arus perdana kroni BN diseret ke mahkamah dan dibuktikan bersalah menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap pembangkang atau menyalahi ajaran agama. Tidak pula pernah kita dengar BN berura-ura membatalkan permitnya. Apakah itu adil namanya?

Mahu tidak mahu wajar diakui setakat ini permit penerbitan cenderung disalahgunakan BN sebagai senjata untuknya mengekang kebebasan akhbar pembangkang. Sedangkan negara ini sudah ada berbagai akta dan peraturan untuk menangani sebarang salah lapor atau perlanggaran undang-undang oleh media cetak.

Selain itu, kongkongan permit cetak juga dilihat sudah tidak relevan dengan dunia langit terbuka dan teknologi maklumat tanpa sempadan masakini.

Maka, apakah demi kebebasan media, BN bersedia menghapuskan sama sekali peraturan mewajibkan permit penerbitan akhbar suatu masa nanti?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1556, 12 Julai 2010 dengan tajuk serupa)

Sunday, July 11, 2010

Apabila nasib Umno diibaratkan pasukan bola


Oleh: Mohd Nasir Awang

Tambah satu lagi dalam senarai panjang alasan kukuh untuk rakyat menolak Umno. Para pemimpin parti itu dihinggapi sindrom primadona dan individualistik. Sifat itu dikaitkan dengan tabiat merasakan dirinya lebih baik dan hanya dia yang layak membuat atau memutuskan sesuatu tanpa mengambilkira peranan dan kemampuan orang lain.

Itulah perangai yang dikatakan dimiliki pemimpin Umno. Lebih baik anda percaya dengan hakikat itu. Sebabnya label itu bukan pandai-pandai pemimpin pembangkang menciptakannya. Ia juga bukan dakwaan penganalisis politik pro-pembangkang atau hasil kajian tidak konkrit mana-mana badan yang tidak mesra Barisan Nasional (BN).

Sifat yang dianggap tidak mesra rakyat dan boleh merosakkan Umno itu didedahkan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak sendiri. Setakat ini tidak ada mana-mana pemimpin Umno, peringkat tertinggi, pertengahan mahu pun bawahan yang memaklumkan rasa tidak setuju mereka dengan lontaran pemimpin nombor satu parti mereka itu.

Ambil perhatian juga bahawa cerita itu bukan dipetik dari akhbar terbitan pembangkang, atau media baru pro-Pakatan Rakyat (PR). Ertinya jika anda seorang OKU (maksud saya, “orang kuat Umno”) dan terlintas bahawa kenyataan pemimpin kesayangan anda itu ada kemungkinan telah disalahlapor media, elok anda padamkan keraguan itu.

Ia dipaparkan media cetak yang memang diiktiraf dunia sebagai kroni dan talibarut BN. Tidak ada yang tidak baik berkenaan BN pernah disiarkan media-media itu melainkan hanya yang baik-baik belaka. Justeru, mana mungkin media penyokong fanatik parti pemerintah itu akan melaporkan sesuatu yang tidak benar mengenai Umno?

“Kalau dalam parti kita ramai primadona, yang nak sumbat gol sendiri walau pun tidak boleh gol dan tersungkur. Oleh demikian, pentingnya kita bina semangat berpasukan tinggi supaya individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya,” saya menyalin semula kata Najib sepertimana dipetik media kroni itu.

Ayat Najib itu mungkin sedikit tidak memenuhi tata bahasa Melayu yang baik, tetapi kita wajar maafkan dia mengambilkira latar belakang pendidikannya dulu. Lagi pun maksudnya boleh difahami. Beliau menekankan perihal ada pemimpin Umno yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu berkongsi tugas secara berpasukan.

Sebab itu beliau membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak di Piala Dunia yang sedang berlangsung. Simpulnya, pasukan yang mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi mampu menewaskan pasukan yang mempunyai ramai pemain bertaraf primadona.

Perbandingan itu mendorong Najib meluahkan rasa bimbang kekalahan sama berkemungkinan turut menimpa Umno. Beliau akui sifat yang kini melekat pada anak-anak buahnya itu boleh merosakkan Umno dan menjejaskan semangat berpasukan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya memang setuju kena kerja berpasukan. Kita tidak boleh benarkan seseorang itu berasakan dia lebih daripada segala-gala,” itu reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Media kroni BN memetik katanya, pemimpin Umno sememangnya perlu bekerja secara berkumpulan tanpa memikirkan kepentingan diri jika mahu berjaya dalam pilihan raya nanti. Reaksi senada turut disuarakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Itulah tabiat dalam politik. Asal ada saja sesuatu kenyataan pemimpin tertinggi, yang di bawahnya akan ikut senada. Macam gerabak keretapi yang setia bergerak ke mana hala kepalanya. Wajar diakui hampir semua parti ada kecenderungan itu, tetapi saya lihat tabiat ‘yes bos’ itu lebih ketara dalam Umno.

Sementara kedua-dua pemimpin tertinggi Umno itu, dan mungkin Najib sendiri, lebih bermaksud membasmi sifat suka bergerak bersendirian dan kurang bekerjasama di kalangan pemimpin Umno, terjemahan terhadap sifat primadona dan individualistik itu jauh lebih lebar daripada apa yang disebutnya.

Ia tidak dinilai setakat kegagalan memupuk kecenderungan bekerjasama dan saling memikul tugas, malah turut mengaitkan sama perihal hubungan tidak mesra pemimpin Umno dengan rakyat bawahan.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin yang mengulas kenyataan Najib itu berkata dalam usaha meraih sokongan rakyat, para pemimpin Umno perlu memiliki sifat mesra rakyat dan rendah diri, bukannya sifat primadona.

“Mereka perlu turun padang kerana rakyat mahu melihat wajah pemimpin. Jiwa orang Melayu mudah tersentuh dan saya yakin inilah antara cara untuk kita menawan hati dan perasaan mereka,” kata Menteri Besar ‘kerajaan katak’ Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Nampaknya itulah masalah besar pemimpin Umno yang kerap diakui mereka sendiri. Tidak mesra rakyat, tidak turun padang dan gagal menyelesaikan permasalahan rakyat menjadi kebimbangan utama Umno mungkin ditolak rakyat dalam pilihan raya nanti.

Lebih malang lagi, sebahagian pemimpin Umno gemar menunggu saat akhir menjelang pilihan raya untuk turun bermesra dengan rakyat. Bagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, sikap itu akan menyebabkan Umno bakal menerima nasib serupa pasukan Brazil yang kalah kepada Belanda baru-baru ini.

Katanya, selepas Belanda menyamakan kedudukan dan kemudiannya mendahului 2-1, barulah Brazil bekerja keras terutama dua minit terakhir.

“Malangnya ketika itu semua sudah terlewat. Sama lah juga dengan pemimpin Umno yang gemar menunggu saat akhir sedangkan pilihan raya umum sudah dekat, nanti segalanya terlambat,” ujarnya.

Tidak kira apa pun pasukan yang diibaratkan kepada Umno, analogi Najib dan Shafie memperakukan satu hakikat. Bahawa biar pun Umno memiliki para pemimpin tersohor, sebagai pasukan yang ada tabiat buruk dan kelemahan, tidak mustahil Umno boleh dikalahkan dalam pilihan raya umum nanti.

Adat permainan, selain kekuatan pasukan lawan, kelemahan pasukan sendiri juga penyumbang kekalahan.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0208, 11 Julai 2010 dengan tajuk sama)