Monday, December 28, 2009

Apabila Ahmad Said ‘diserang’ Adun BN sendiri

oleh: Mat Zain Mat Isa

Semakin terbukti benarnya dakwaan pelbagai pihak selama ini bahawa perbalahan di kalangan sesama pemimpin Umno sukar didamaikan. Sebarang pertelingkahan tercetus antara mereka sering berpanjangan dan melarat menjadi barah kepada parti.

Apa yang dipamerkan oleh beberapa pemimpin Umno Terengganu sepanjang sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) itu minggu lalu adalah antara contoh terbaik yang dapat disaksikan pelbagai pihak. Pertelagahan terbuka di antara beberapa Adun penyokong kerajaan dengan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, membuktikan bahawa rumahtangga parti itu masih dilanda ribut yang tidak kunjung reda.

Rakyat sebenarnya sudah muak dan naik jelak dengan perbalahan mereka yang tidak kunjung padam sejak Mac 2008. Rakyat sudah tidak larat menghitung apa yang berlaku  di sidang Dun minggu lalu itu entah gelombang kemelut yang ke berapa.

Pasang surut landaan gelora Umno Terengganu terlalu kerap dan sukar diramalkan. Ia lebih sukar daripada menjangkakan hujan ribut monsun timur laut atau turun-naik pasaran saham di bursa. Seketika mereka berdamai, sekejep kemudian bergelut semula. Sejurus politik kata-mengata antara mereka reda, tiba-tiba ia meletup kembali. Itulah persis apa dizahirkan mereka minggu lalu.

“Setelah menyembunyikan diri sekian lama, muncul dengan ‘ledakan bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan. Inilah saya katakan, siapa dendam siapa? Jangan jadikan soal peribadi mengambil (tempat) tanggungjawab kita,” ujar Ahmad.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Adun Alor Limbat, Alias Abdullah yang sebelum itu menyifatkan Ahmad berdendam kepada rakyat di kawasannya. Dalam kejadian pada hari pertama sidang Dun Terengganu, Isnin (21 Disember) lalu, Adun Barisan Nasional (BN) itu mendakwa projek perparitan di kawasannya tidak selesai ekoran sikap Menteri Besar itu yang marahkan beliau.

Ahmad kemudian meminta Adun berkenaan tidak menjadikan sidang Dun sebagai medan melemparkan tuduhan tidak menentu atau melepaskan perasaan.

Terdahulu pada hari sama, telah berlaku insiden sindir-menyindir antara Ahmad dengan Adun Bukit Besi, Dato’ Din Adam berhubung perlombongan bijij besi di kawasannya. Pertelagahan antara mereka turut mendedahkan kelemahan kedua-dua pihak. Sementara Ahmad didakwa tidak merujuk keputusan penting di Bukit Besi kepada Din, Adun itu pula didakwa sering tidak hadir ke sidang Dun dan pejabat pentadbiran negeri.

Tuduh-menuduh dan kata-mengata antara para pemimpin Umno sendiri semakin memuncak dan melarat ke hari-hari berikutnya. Sehinggakan soal pengagihan air zamzam dan buah kurma pun dibayangkan berlaku penyelewengan.

Tuduhan Alias itu dipandang serius oleh Ahmad. Menteri Besar itu melafazkan sumpah bahawa beliau tidak melakukan sebarang penyelewengan dalam pengurusan ekonomi negeri, terutama merujuk kes air zamzam itu.

Apa yang berlaku minggu lalu itu tidak lagi boleh dianggap kes terpencil. Perlu diakui bahawa antara kemelut dalaman paling memening dan memalukan BN ialah kemelut tidak berkesudahan di Terengganu.

Pelbagai usaha mendamaikan antara dua puak bertelagah di negeri itu sebelum ini menemui jalan buntu. Perbalahan mereka ibarat api dalam sekam. Di luar nampak tenang, tetapi di dalamnya sentiasa panas membara dan sukar dipadamkan.

Keputusan Umno Pusat menugaskan Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengetuai Umno Terengganu tidak juga berjaya meredakan tentangan segolongan pemimpinnya terhadap Ahmad. Beberapa formula perdamaian dikemukakan Hishammuddin diterima hanya secara lahiriah dan tidak berupaya menjernihkan kekeruhan.

Keadaan bagaikan sudah menemui kejernihan dicari apabila secara tiba-tiba di akhir Oktober lalu salah seorang di antara Adun BN yang bermasalah untuk menerima kepimpinan Ahmad tampil mengisytiharkan perdamaian.

Adun Jabi, Ramlan Ali memohon maaf secara terbuka kepada Ahmad dan Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee, pada satu majlis sempena Idulfitri di kawasannya, 19 Oktober lalu. Majlis yang turut dihadiri Ahmad dan Mohd Jidin itu dikatakan yang pertama seumpamanya menghimpunkan para pemimpin dari dua puak bertelagah dalam suasana harmoni.

Ramlan selama ini dikenali sebagai ahli kumpulan Adun-Adun BN Terengganu yang memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Manakala Mohd Jidin pula memihak kepada Ahmad.

Krisis antara mereka tidak terbatas sekadar saling menyokong dua pemimpin berbeza. Dun Jabi adalah antara salah satu kawasan dimenangi BN di Terengganu yang dilaporkan mempunyai masalah ‘dua nakhoda’ paling serius. Di situ diwujudkan Pejabat Penyelaras Ahli Parlimen yang beroperasi tanpa koordinasi dengan Pejabat Khidmat Adun.

Bagaimana pun episod harmoni itu gagal menimbus kesangsian dalam masyarakat. Bagi rakyat yang mengikuti perkembangan kemelut parti itu, suara-suara yang kononnya mahu berdamai itu sudah semacam menjadi klise di kalangan para pemimpin Umno Terengganu.

Hishammuddin sendiri sebelum ini pernah beberapa kali mendakwa perdamaian telah wujud dalam Umno Terengganu. Namun ia terbukti sekadar ibarat kata orang, ‘harap ada, percaya tiada’.

Ada benarnya kata orang, dalam politik sukar untuk mengenepikan perasaan tidak puas hati atau perasaan yang sudah tercalar. Mungkin keberanian Din dan Alias minggu lalu hanyalah pedoman bungkah ais kepada hakikat sebenar kemelut Umno Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1500, 28 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 27, 2009

Tolak perkauman, PR lebih realistik berbanding BN

Oleh: Mohd Nasir Awang

Secara tersurat, terdapat beberapa perbezaan ketara antara Pakatan Rakyat (PR) dengan Barisan Nasional (BN). Sementara BN dianggotai berbelas parti komponen, PR pula dibentuk hanya tiga pendokong utama, iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Perbezaan itu memberikan implikasi berbeza kepada kedua-duanya. BN mungkin ada kelebihan dari sudut jumlah suara, sekaligus dianggap lebih kuat memandangkan ia ada lebih ramai jentera mendokongnya.

Namun PR pula ada kelebihan dari aspek mendisiplin anggota. Perkongsian yang melibatkan tiga pihak pada adatnya lebih mudah diuruskan berbanding kesepakatan berbelas parti. Apatah lagi sekiranya setiap anggota itu sering menyuarakan perjuangan berbeza.

Pengalaman politik kedua-dua gabungan itu juga tidak sama. BN telah berusia hampir 40 tahun. Bahkan jika diambil usianya dari asal kewujudan Perikatan (gabungan Umno-MCA-MIC), parti itu sudah pun wujud sebelum kemerdekaan negara. Usianya sudah melebihi separuh abad, sudah masuk umur pencen.

Tentu sekali dalam usia sematang itu, rencah pengalaman BN dalam sepak terajang politik lebih berwarna-warni berbanding PR yang hanya wujud secara lebih bersepakat selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Mac 2008. Sebelum itu parti-parti gabungannya bertindak secara berasingan dengan persefahaman dan kerjasama sangat terbatas di antara mereka.

Pun begitu, sekadar memiliki usia lebih tua dan pengalaman lebih luas tidak semestinya menjaminkan BN segala kelebihan ke atas PR untuk mendepani percaturan politik seterusnya. Apatah lagi sekiranya permuafakatan BN sedari awal lagi diasaskan di atas persefahaman hanya secara tersurat, sedangkan yang tersirat di dalam agenda berasingan parti-parti komponennya saling bercanggah antara satu sama lain.

Jangan lupa betapa pengalaman dilalui rakyat di bawah pemerintaha BN (Perikatan sebelumnya) sejak lebih separuh abad lalu juga menzahirkan beberapa kekalutan politik yang menghasilkan natijah buruk terhadap keselamatan negara.

Di antara punca utama ialah apabila parti itu gagal membendung sentimen perkauman sempit untuk terus menyubur dalam masyarakat. Lebih malang lagi, BN gagal menyekat barah perkauman itu dari berkembang biak di kalangan parti-parti komponennya sendiri.

Titik paling hitam dalam sejarah negara tentunya Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969. Negara nyaris terjerumus ke lembah kemusnahan, bukan ekoran belanjawan negara yang nyaris ditolak seperti minggu lalu, tetapi ekoran api perkauman sempit yang terlalu marak dan sudah tidak dapat dibendung ketika itu.

Perikatan selaku pemerintah negara tidak berupaya merawat kebejatan sentimen itu. Punca utama yang perlu diakui ialah kerana dua parti utamanya, Umno dan MCA, berada di pihak bertentangan. Masing-masing mempertahankan perjuangan kaum sendiri, lalu menyukarkan mereka menyebarkan toleransi kepada pengikut masing-masing di saat genting itu.

Suatu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah BN diwujudkan melalui gabungan sebilangan parti utama yang hidup berasaskan perjuangan kaum masing-masing. Bahkan nama-nama parti itu sendiri menerangkan kaum yang setiap mereka wakili. Umno dengan perjuangan ketuanan Melayu, MCA dengan kepentingan Cina dan MIC dengan pembelaan kaum India.

Di Malaysia Timur pun begitu. Komponen utama BN di sana adalah parti-parti untuk kaum tertentu. Ada yang khusus untuk Bansa Dayak, Kadazandusun, gabungan Melayu/Melanau, Cina dan lain-lain.

Hakikat itulah sebenarnya penghalang utama perpaduan kaum. Kuasa politik diperolehi setiap mereka yang dianggap tanda kekuatan dokongan kaum masing-masing dijadikan sandaran untuk setiap parti mempertahankan kepentingan kaum sendiri.

Jika peristiwa 13 Mei dianggap sejarah yang tidak mahu diulang, kecelakaan hampir sama sebenarnya sudah berulang lagi. Jangan cakap anda tidak tahu tentang pertembungan hangat antara parti-parti utama BN di atas isu perkauman. Bukankah api perkauman ekoran pertelagahan Pemuda Umno dengan Pemuda MCA yang mencetuskan Operasi Lalang pada 1987 lalu?

Kini masih bersipongang pertembungan serupa di kalangan mereka. Isu-isu seperti pengajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular, jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang dan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanyalah secebis antara isu terkini berasaskan perkauman yang menjadi bagai api dalam sekam yang memamah perpaduan di kalangan komponen BN.

Sebab itu seruan menolak perkauman sempit di kalangan anggota BN tidak pernah berjaya direalisasikan. Hakikat sebaliknya lebih terserlah di kalangan komponen PR. Dasar ketiga-tiga parti adalah parti adalah untuk semua kaum.

Lihat saja secara jujur kepada PKR, DAP mahu pun PAS. Semua kaum ada dalam kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu. Paling jelas gabungan kaum ialah pada PKR. Manakala DAP, meski pun didominasi pemimpin Cina, ia turut dianggotai pemimpin India dan Melayu. PAS juga menerima pemimpin Cina dan India, asalkan mereka Islam.

Sebab itu apabila Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Shah Alam, 19 Disember lalu berikrar menolak fahaman perkauman sempit demi menegakkan prinsip keadilan bagi semua kaum, ia dirasakan sesuatu yang realistik untuk dicapai.

Memetik kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapan perdananya di perhimpunan itu, “kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman”.

Penegasan itu amat selari dan serasi dengan dasar perjuangan parti-parti gabungan PR. Hendaknya selepas ini jangan lagi ada mana-mana parti di antara yang bertiga itu mengutamakan perjuangan sempit untuk kaum tertentu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0180, 27 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Friday, December 25, 2009

Sejarah kedayusan Umno sukarkan tuntutan Zahid

oleh: Mat Zain Mat Isa

Rumahtangga Barisan Nasional (BN) nampaknya sudah tidak setenang sebelum ini. Suasana hingar-bingar dalam beberapa ‘bilik’ di ‘banglo besar’ itu semakin sukar diredakan. Sebaliknya ia kekadang menerjah ke ruang utama dan bertukar menjadi acara pekik-memekik antara para penghuni ‘bilik-bilik’ berbeza.

Ketika kekusutan dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) masih belum terlerai, MCA juga dilanda krisis kepimpinan. Sementara MIC terpaksa menerima kemunculan parti baru kaum India ekoran kegagalannya memulihkan sokongan kaum itu terhadap BN,.Umno pula menghadapi pergeseran dalaman yang makin menebal terutama di peringkat negeri dan bahagian.

Namun parti yang menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya tentulah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Ia menghadapi prestasi terburuk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) tahun lalu.

Parti itu bukan sahaja terlepas genggaman ke atas kerajaan Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang diterajuinya, tetapi turut dikuburkan tanpa nesan di situ. Kesemua calonnya yang bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di Pulau Pinang tewas di tangan pakatan pembangkang.

Tidak lama selepas kekalahan memalukan itu, seorang bekas pemimpin kanan Gerakan meninggalkan parti apabila ditawarkan berkhidmat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.

Minggu lalu pula seorang lagi bekas pemimpin kanan parti itu mengisytiharkan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti baru berasaskan kaum Cina. Media pada Ahad (20 Disember) lalu melaporkan kejayaan besar bekas Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, memberikan tamparan hebat kepada bekas partinya itu. Beliau mendakwa menarik keluar 500 ahli Gerakan di cawangan Machang Bubuk, sekaligus membubarkan cawangan berkenaan.

Nasib menimpa Gerakan itu ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Melihatkan kesukaran dialaminya itulah barangkali menyebabkan Umno selaku rakan komponen BN ‘menawarkan pertolongan’. Bagi memantapkan kedudukan BN di Pulau Pinang, Umno negeri menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepadanya.

Ketika mengumumkan keputusan mesyuarat, menganggap tuntutan itu amat wajar demi kebaikan BN.

“Permintaan ini wajar memandangkan Umno Pulau Pinang mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak ada wakil (rakyat),” Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mewajarkan tuntutan itu, Sabtu lalu.

Bagai diduga, cadangan Umno itu segera mendapat reaksi negatif Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Seraya menyifatkan tuntutan itu bertentangan dengan tradisi diamalkan BN di negeri itu sejak lebih 35 tahun lalu, Tsu Koon juga tidak menganggap ini masa yang sesuai untuk Umno bangkitkan perkara tersebut.

Meski pun agak tidak realistik bagi sebuah parti yang tidak ada sebarang wakil rakyat mempertahankan kepimpinannya ke atas sebuah parti lain yang ada 11 Adun, Gerakan masih ada sebab sangat kukuh mempertahankan kepemimpinannya di Pulau Pinang. Negeri itu adalah nadi Gerakan. Parti itu tidak pernah menghasilkan pengaruh dan sokongan signifikan di luar Pulau Pinang.

Jika ada pun ia bukan hasil kekuatan tersendiri, tetapi lebih atas ihsan parti-parti rakan dalam BN, khususnya Umno dan MCA yang memberi laluan kepada calon Gerakan bertanding di kawasan dikuasai mereka. Contohnya ialah dua kerusi dimiliki Gerakan kini, iaitu Parlimen Gerik dan Simpang Renggam.

Berbeza dengan Umno, MCA dan MIC yang boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri di hampir kesemua negeri, kehilangan kuasa di Pulau Pinang boleh diibaratkan tergadainya pangkalan kekuatan Gerakan.

Di samping itu, faktor sejarah kegagalan Umno sendiri mempertahankan ketuanannya di Pulau Pinang turut menyukarkan sebarang perubahan kini.

Kita ambil sejarahnya bermula dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Kemunculan pertama Gerakan menghasilkan kemenangan besarnya menewaskan Perikatan di Pulau Pinang. Umno tinggal hanya empat kerusi, sedangkan Gerakan memperolehi 16 kerusi. Parti itu memerintah Pulau Pinang dan Presidennya, Dr. Lim Chong Eu dilantik ketua menteri.

Menjelang PRU 1974, Gerakan menyertai BN. Penguasaan kerusinya bagaimana pun berubah. Umno menang 10 kerusi, manakala jumlah kerusi dimenangi Gerakan merosot kepada tujuh.

Sejak itu jumlah kerusi dimenangi Gerakan tidak pernah mengatasi jumlah kerusi dimenangi Umno. BN bagaimana pun mengekalkan Chong Eu sebagai ketua menteri merangkap Pengerusi BN negeri sehingga 1990.

Tradisi BN memberikan dua jawatan utama itu kepada Gerakan diteruskan. Bermula 1990 hingga 2008, giliran Tsu Koon pula memegang jawatan tersebut, walau pun dalam hampir setiap pilihan raya, jumlah kerusi dimenangi Umno mengatasi kerusi dimiliki parti rakannya itu.

Maaf cakap, ini bukan soal perkauman. Catatan ini sekadar mengukuhkan hujah bahawa fakta sejarah kedayusan Umno ini bakal menyukarkan sebarang usaha mengubah status quo kepemimpinan BN di Pulau Pinang. Meski pun tidak realistik, Gerakan diyakini akan cuba berpaut kepada persefahaman antara Chong Eu dan Tun Abdul Razak itu untuk menekan BN yang kini diterajui anaknya pula.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1499, 25 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Monday, December 21, 2009

Pengertian di sebalik insiden 66-63 di Parlimen

oleh: Mat Zain Mat Isa

Buat pertama kalinya dalam sejarah Parlimen Malaysia, belanjawan dibentangkan Perdana Menteri nyaris ditolak sidang Dewan. Dalam pengundian secara belah bahagian bagi meluluskan bacaan kali ketiga Bajet 2010, Isnin (14 Disember) lalu, jumlah yang menyokong hanya lebih tiga undi berbanding yang menolaknya. Hanya 66 daripada 137 Ahli Parlimen penyokong Barisan Nasional (BN) berada dalam Dewan ketika itu, berbanding 63 daripada 82 anggota pembangkang.

Insiden itu amat mencemaskan BN. Sekiranya bajet itu gagal diluluskan, ia bukan sahaja melibatkan implikasi kewangan yang melumpuhkan kerajaan, malah turut meruntuhkan kredibiliti BN sebagai pemerintah negara. Hal itu mungkin terpaksa berakhir dengan sebuah pilihan raya baru.

Amat mujur bagi BN, hayat kerajaannya masih terselamat. Media mendakwa ia ekoran tindakan cepat menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen menghubungi Ahli Parlimen BN, termasuk Perdana Menteri dan timbalannya yang sedang menghadiri majlis berasingan di Kuala Lumpur, agar segera hadir ke Dewan Rakyat.

Meski pun BN terselamat daripada ‘undi tidak percaya’ itu, insiden 66-63 itu sudah membawa beberapa pengertian. Pertama, ia satu tampatan hebat buat imej kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN. Kemenangan sangat tipis ke atas pembangkang boleh ditafsir menerusi berbagai sudut. Antaranya mungkinkah 71 wakil BN yang tidak hadir itu menolak atau tidak menyetujui belanjawan Najib?

Kedua, ia petanda permulaan malang buat Najib dalam merancang dan menguruskan ekonomi negara. Sebagai belanjawan sulungnya, kelulusannya dengan kelebihan tiga undi bukan suatu yang membanggakan. Dari segi moralnya, belanjawan itu boleh dianggap telah tertolak.

Ketiga, jika dikatakan insiden itu perancangan Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk memalukan BN, maka ia sebenarnya perakuan tentang kehebatan pembangkang merencanakan sesuatu sehingga tidak dapat dihidu terlebih awal oleh agen-agen risikan BN yang kononnya sangat hebat. Hidung mereka yang selalunya lebih tajam daripada lalat hijau mencium bau perancangan pembangkang nampaknya tersumbat Isnin lalu.

Namun pengertian terpenting insiden itu ialah kita seolah-olah tidak pernah belajar dari kesilapan lalu. Tabiat buruk wakil rakyat yang suka ponteng sidang Dewan, sama ada di peringkat Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri (Dun) bukan cerita baru.

Sebelum ini sudah kerap kedengaran teguran terhadap mereka yang tidak memandang serius tanggungjawab menghadirkan diri ke sidang Dewan. Kes Dun Kota Siputeh, Kedah yang kini masih dalam perbicaraan adalah contoh terbaik. Ia sepatutnya telah menyedarkan wakil rakyat tentang kesan buruk sikap sambil lewa mereka daripada mengambil bahagian dalam sidang Dewan.

Kes itu juga mencetuskan andaian betapa fenomena sebegitu agak lumrah di negeri-negeri lain, terutama di kalangan wakil BN. Mereka dikatakan tidak begitu mengambil berat soal prosedur ketidakhadiran ke sidang Dun kerana mengira bahawa tiada tindakan serius akan diambil ke atas mereka memandangkan kerajaan negeri dikuasai BN.

Tabiat serupa turut menjangkiti Ahli Parlimen. Mereka, terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan, kerap beralasan mempunyai jadual bertindih dengan program rasmi di luar. Ada juga yang memberi alasan kesihatan.

Pernah berlaku persidangan yang sedang rancak berjalan terpaksa ditangguhkan apabila jumlah wakil rakyat dalam Dewan tidak melepasi korum.

Pernah juga wakil rakyat kedua-dua pihak menegur menteri yang sebahagian mereka sangat selesa membiarkan timbalan atau setiausaha parlimen sahaja menyantuni soalan-soalan anggota Parlimen. Keadaan bertambah pincang apabila jawaban yang dibekalkan oleh timbalan menteri tidak memuaskan hati pihak bertanya.

Apatah lagi sekiranya jawaban berkenaan mengandungi fakta yang bercanggah dengan jawaban yang pernah diberikan menteri. Hal itu berlaku beberapa minggu lalu apabila dua soalan serupa mengenai pembiayaan pengecualian bayaran tol yang diajukan secara berasingan kepada seorang menteri dan timbalan diberikan jawaban berbeza. Perdana Menteri menjawab ia ditanggung kerajaan, manakala timbalan menteri itu pula mengatakan ia ditanggung syarikat konsesi. Mana satu jawaban yang betul?

Di kalangan Ahli Parlimen yang hadir pula, ada yang sekadar mengambil syarat untuk melayakkan menerima elaun kehadiran. Mereka ini tidak berminat mengambil bahagian, apatah lagi menghabiskan masa sehari suntuk mengikuti perjalanan sidang. Atau sekurang-kurangnya menghadirkan diri ketika sesi penting, seumpama melibatkan pengundian sepertimana minggu lalu.

Meski pun fenomena ini berlaku di kalangan Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak, BN dan Pakatan, kesan lebih besar tentunya diakibatkan ketidak hadiran wakil kerajaan.

Bagi yang mendakwa wakil Pakatan juga tidak kurang malas dan tidak bertanggungjawab berbanding BN, mereka sepatutnya bersyukur kerana 19 lagi anggota pembangkang tidak mengundi. Bayangkan apa berlaku jika hanya empat lagi Ahli Parlimen Pakatan yang hadir malam itu.

Apa pun, kedua-dua pihak selepas ini seeloknya mengemukakan mereka yang benar-benar komited menyempurnakan tanggungjawab di Dewan sebagai calon untuk dipilih rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1498, 21 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 20, 2009

Antara peruntukan pembinaan dan kemakmuran masjid

Oleh: Mohd Nasir Awang

Apa pun niat sebenar Ahli Parlimen Taiping dari DAP, Nga Kor Ming membandingkan peruntukan kerajaan untuk masjid dengan bantuan diterima rumah-rumah ibadat bukan Islam, kenyataan beliau minggu lalu itu telah menjadi antara bahan utama manipulasi politik.

Sama ada beliau memang berniat mempertikaikan peruntukan besar untuk masjid-masjid di seluruh negara, atau sekadar membandingkannya dengan peruntukan terlalu kecil untuk rumah-rumah ibadat bukan Islam, sebahagian besar reaksi dipaparkan media tidak memperbaiki imej DAP yang selama ini dilihat anti Islam dan bersifat perkauman.

Pemimpin muda DAP Perak itu dalam penjelasannya menegaskan beliau sekadar merujuk kepada jawaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008, manakala hanya RM9 juta diagihkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Jika benar niatnya sekadar itu, bermakna segala riuh-rendah dan hiruk-pikuk bual bicara mengenai isu itu hanyalah semata-mata ekoran manipulasi tidak bertanggungjawab oleh media-media tertentu. Kenyataan yang diputarbelitkan atau sengaja disalahlapor menghasilkan salah tanggapan dan tindakan susulan yang tersasar dari hakikat sebenar.

Itulah bobroknya politik Malaysia. Keghairahan mana-mana pihak memanipulasi apa-apa isu bagi mencari keuntungan politik seringkali mendorong mereka mengobarkan sentimen perkauman dan keagamaan.

Semua kita maklum betapa isu agama dan hubungan antara kaum sejak sekian lama menjadi ‘bom jangka’ paling menakutkan dalam masyarakat majmuk negara ini. Anehnya, meski pun semua pihak maklum akan hakikat itu, isu-isu sensitif itu juga yang sering dijadikan modal paling laris meraih sokongan kumpulan etnik masing-masing.

Sebab itu apabila seorang pemimpin DAP menyentuh pembiayaan kerajaan Pusat terhadap perbelanjaan pembinaan masjid, ia sekelip mata dibauri sentimen agama dan kaum. Tidak syak lagi yang muncul juara memanipulasi isu ini ialah Umno.

Berbagai kecaman dan label perkauman dilontarkan terhadap Nga. Beberapa kumpulan yang ada hubungkait dengan Umno membuat laporan polis terhadapnya. Ada juga suara mendesak beliau dihalau dari Perak

Sepintas lalu isu ini dilihat berpotensi mengikis sokongan orang Melayu/Islam terhadap Pakatan Rakyat (PR). Imej dan reputasi DAP sebagai parti anti Islam dan Melayu semakin ditonjolkan.

Namun secara positifnya saya menilai isu ini ada manfaat tersendiri buat umat Islam. Bagi saya, keghairahan Umno memanipulasi isu ini bagi menggambarkan dirinya jaguh membela agama adalah satu aspek yang mendedahkan rupa sebenar parti itu.

Meski pun kenyataan para pemimpinnya dan ulasan media tali barutnya menjurus kepada gambaran kononnya Umno amat memuliakan dan menyanjung tinggi institusi masjid, rakyat terbanyak negara ini hanya perlu diingatkan semula tentang hakikat sebenar mengenai perkara tersebut.

Satu soalan mudah untuk itu, apakah tanda dan bukti komitmen sesuatu pihak terhadap masjid itu sekadar menyalurkan peruntukan yang tinggi bagi pembinaan dan penyelenggaraannya?

Tidak sayugia dinafikan bahawa kerajaan telah membina masjid dengan jumlah yang sebegitu banyak. Namun hasrat pembinaannya seringkali tidak menepati maksud sebenar di sisi agama. Sebahagiannya dibina lebih besar daripada keperluan setempat (untuk kepentingan kontraktor kroni?) dan ada yang dihiasi dengan cantik melebihi apa yang disarankan agama. Ada pula yang dibina semata-mata atas tujuan pelancongan.

Jangan lupa juga bahawa sepanjang pemerintahan Umno di beberapa negeri, parti yang seminggu dua ini menonjol diri sebagai pembela kemuliaan masjid itu sebenarnya turut menjadi pemain utama mencemar kemuliaan rumah Allah itu. Beberapa kes membabitkan perobohan surau di Selangor dan masjid di Terengganu oleh pemerintahan parti itu boleh diungkap kembali.

Sebagai pemerintah yang dalam banyak hal sering mengutamakan agenda politik mengatasi agama, Umno juga diketahui amat tidak kondusif terhadap usaha memakmurkan masjid dan surau. Akibat terlalu dirasuk sentimen politik, Umno sanggup menggadai kemakmuran masjid.

Bermula dengan soal melantik imam dan bilal, parti itu terlalu menekankan soal kecenderungan politik calon yang mahu dilantik. Sepertimana kes yang kini masih berlanjutan di Terengganu, sebahagian besar masjidnya tidak dapat berfungsi dengan sempurna apabila jumlah kuota tiga imam dan bilal satu masjid tidak dapat dipenuhi.

Keadaan itu berlaku sama ada disebabkan kegagalan mencari calon yang ‘sesuai’ dengan selera politik Umno, atau kerana tindakan penguasa politik setempat yang memecat imam sedia ada yang dinilai cenderung kepada parti lawan.

Turut merencatkan kemakmuran masjid ialah apabila tenaga penceramah atau guru takmirnya juga menghadapi ‘tapisan politik’. Para pemuka Umno peringkat kampung terlalu sempit pemikiran dan dada mereka untuk mengiktiraf keilmuan dalam agama dimiliki pendokong parti lawan.

Lalu mereka lebih rela masjid dikuasai mereka tandus dari majlis ilmu daripada ia diisi oleh suara pengajaran dari ustaz-ustaz parti lawan. Jika di Selangor, beberapa kes larangan memberikan kuliah dihubungkait dengan soal tauliah, kes-kes di Terengganu pula ialah semata-mata kerana perbezaan politik. Umno menarik balik tauliah sebilangan imam, guru pelawat dan mubaligh yang tidak bersedia menurut kemahuan politiknya.

Justeru, jika keterlanjuran DAP menyentuh peruntukan terhadap masjid ghairah dimanipulasi Umno bagi menggambarkan DAP sebagai anti Islam, apakah Umno yang membunuh kemakmuran masjid itu boleh dibiarkan begitu sahaja?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0179, 20 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Friday, December 18, 2009

DAP-kah yang ranapkan Masjid Bujal di Terengganu?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Keghairahan mana-mana pihak memanipulasi apa-apa isu bagi mencari keuntungan politik tidak seharusnya mendorong mereka menyentuh perkara-perkara sensitif, terutama berkaitan kepentingan agama pihak lain. Isu agama dan hubungan antara kaum sejak sekian lama menjadi pantang larang paling tidak menyenangkan dalam politik Malaysia.

Sebab itu apabila minggu lalu tercetusnya isu perbandingan antara pembiayaan kerajaan Pusat terhadap perbelanjaan pembinaan masjid dan rumah ibadat bukan Islam, ia bukan lah sesuatu yang sihat untuk keharmonian rakyat berbilang kaum.

Isu ini didakwa bermula dengan pertikaian Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming terhadap ketidak adilan BN dalam memperuntukkan perbelanjaan rumah ibadat Islam dan bukan Islam.

 Pemimpin DAP Perak itu merujuk kepada jawaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat bahawa kerajaan memperuntukkan RM748.26 juta membina dan menyelenggara 611 buah masjid bagi tempoh 2000 hingga 2008. Sedangkan untuk tempoh sama, hanya RM9 juta diagihkan kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam.

Tidak sukar diagak betapa kenyataan kurang cermat beliau itu segera dimanipulasi BN, khususnya Umno. Segenap saluran media tali barut BN, secara melulu menyorot isu berkenaan dari perspektif serong.

Imej dan reputasi DAP sebagai parti yang anti Islam dan anti Melayu dikobarkan sedapat mungkin. Kenyataan dan kecaman pelbagai pihak yang ada hubungkait dengan aspirasi perjuangan BN diberikan ruang selesa di media. Ada yang membuat laporan polis terhadap Nga, malah ada yang mendesak beliau dihalau dari Perak

Sama ada Nga memang berniat mempertikaikan peruntukan besar untuk masjid, atau sekadar membandingkannya dengan peruntukan terlalu kecil untuk rumah-rumah ibadat bukan Islam, hanya beliau yang paling tahu. Namun apa yang pasti perbandingan dibuatnya mengundang rasa tidak senang bukan sahaja pihak lawan, malah kawan dalam Pakatan sendiri.

“Kita harap DAP tidak akan bercakap mengenai perkara yang boleh menunjukkan mereka anti Islam,” ulas Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Harun Taib.

Nada sealiran turut diluahkan seorang pakar Perlembagaan Malaysia yang dikenali amat mendokong perjuangan Pakatan. Dalam wawancara dengan sebuah mingguan, Ahad (13 Disember), profesor undang-undang itu menegaskan tindakan mempersoalkan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Pada saya ahli politik yang bijak tidak perlu menyentuh kedudukan orang lain. Dalam soal ini mengapa soal masjid dibangkitkan? Lainlah kalau pembinaan masjid ini membazir atau masjid ini kosong dan tidak digunakan. Kalau hendakkan bantuan kerajaan untuk orang bukan Islam, minta. Itu saja. Mengapa pula kedudukan Islam dan masjid disinggung sama?,” ujarnya.

Sementara para pendokong DAP sendiri mungkin berusaha menjernihkan kekeruhan hasil kenyataan Nga itu dan secara jujur menilainya sebagai antara yang berpotensi mengikis sokongan orang Melayu/Islam terhadap Pakatan, keghairahan Umno memanipulasi isu itu tidak wajar dibiarkan.

Parti ultra Melayu itu memang cuba menonjolkan diri sebagai jaguh membela agama. Kenyataan para pemimpinnya dan ulasan media tali barutnya menjurus kepada gambaran kononnya Umno amat memuliakan dan menyanjung tinggi institusi masjid.

Rakyat perlu dibekalkan maklumat dan hujah yang menafikan hakikat itu. Bahawa Umno bukan lah parti yang sepanjang masa sensitif apabila masjid ternoda. Bahkan parti itu sendiri pernah beberapa kali menjadi pemain utama mencemar dan menghina tempat ibadat Islam.

Rakyat wajar diingatkan bahawa sejarah panjang pemerintahan Umno di negara ini turut dipalitkan beberapa insiden yang secara terang-terangan membuktikan Umno sanggup membelakangkan kepentingan agama semata-mata menegakkan kepentingan partinya. Selain beberapa kes membabitkan perobohan surau di Selangor, apa yang berlaku terhadap Masjid Desa Makmur di Kampung Bujal, Kemaman, lebih empat tahun lalu adalah contoh ekstrim sikap Umno terhadap masjid.

Mengimbas kembali kejadian malang buat umat Islam pada 26 Mei 2005, kerajaan BN Terengganu diterajui Umno mengerahkan beberapa jabatan melakukan operasi bersepadu merobohkan 10 buah rumah peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bujal. Turut diranapkan ialah sebuah masjid dibina penduduk dan telah pun digunakan.

Para pemimpin BN, khususnya Umno Terengganu seakan hilang kewarasan ketika itu. Tiada jalan penyelesaian lebih rasional dapat difikirkannya. Umno hanya ghairah mencari berbagai justifikasi atas tindakannya meratah rumah Allah itu.

Sehinggakan mereka tergamak mengaitkan masjid berkenaan sebagai markas parti lawan. Dakwaan jahat itu diburukkan lagi dengan pemalsuan bukti, kononnya ia menjadi pusat pihak tertentu membuat bom buatan sendiri bagi tujuan mencetuskan keganasan terhadap kerajaan.

Dakwaan karut itu bagaimana pun tidak pernah dibuktikan. Siasatan lanjut pihak berwajib terhadap perkara itu juga tidak pernah didedahkan.

Justeru, jika keterlanjuran DAP menyentuh peruntukan terhadap masjid ghairah dimanipulasi Umno bagi menggambarkan DAP sebagai anti Islam, rakyat juga wajar diajukan satu soalan mudah, “apakah DAP yang meranapkan Masjid Bujal?”

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1497, 18 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Monday, December 14, 2009

Tutup SRAB cara BN atasi masalah jahil agama?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak sampai tiga minggu lagi tahun baru 2010 akan menjelma. Serentak itu juga secara tradisinya akan bermula penggal baru persekolahan di seluruh negara.

Namun bagi masyarakat yang cintakan pendidikan Islam, khususnya di Terengganu, penggal akan datang bakal mencatat satu lagi sejarah hitam. Satu-satunya sekolah rendah agama milik kerajaan negeri itu tidak lagi akan beroperasi seperti tahun-tahun sebelum ini.

Sebetulnya kepiluan itu sudah pun dirasai lebih awal. Berakhirnya penggal persekolahan pada 19 November lalu menandakan turut berakhirnya kewujudan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Terengganu. Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri telah muktamad tidak meneruskan hayat SRAB, walau pun ia dibantah pelbagai pihak.

Suara menuntut sekolah berkenaan diteruskan bukan sahaja kedengaran dari pihak PAS yang bertanggungjawab menubuhkannya, tetapi juga kalangan ibu bapa yang dahagakan pendidikan Islam untuk anak bangsa serta guru-guru yang terbabit menjayakan SRAB selama sembilan tahun. Malah, bantahan mereka terhadap keputusan BN menutupnya dikatakan pernah mendapat perhatian pihak istana.

SRAB adalah cetusan idea kerajaan negeri pimpinan PAS. Ia mula beroperasi pada 2001 di enam sekolah menengah agama negeri (SMAN). Nama mereka juga diambil sempena nama sekolah-sekolah terbabit, iaitu SRAB Al-Falah, Kemaman; SRAB Sultan Ismail, Dungun; SRAB Mahmudiah, Kuala Berang; SRAB Al-Khairiah, Kuala Terengganu; SRAB Maarif, Besut dan SRAB Ittifakiah, Jertih.

Seperti gambaran namanya, SRAB menggunakan kurikulum tersendiri yang merupakan gabung jalin antara kurikulum pendidikan asas agama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) untuk penekanan akademik.

Malang sekali hasrat penubuhannya untuk menyemai asas penting melahirkan insan yang seimbang antara akademik dengan akhlak dan agama tidak sempat direalisasikan. Belum pun generasi pertama pelajarnya menamatkan persekolahan mereka, SRAB sudah dibayangi usaha menutupnya.

Pada usia belum memasuki tiga tahun, kerajaan negeri beralih kepada BN. Parti sekular itu hanya mengambil masa empat bulan untuk memuktamadkan keputusan mengakhiri hayat SRAB. BN pada Julai 2004 bersepakat mencari jalan terbaik menutupnya.

Bantahan pelbagai pihak, yang dikatakan turut disertai campurtangan istana, membantutkan serakah BN untuk segera menghapuskan SRAB. Ia bagaimana pun kekal dengan niatnya membiarkan sekolah itu mati dengan sendiri apabila tidak lagi mengambil pelajar baru bermula sessi 2005.

Pelajar SRAB paling bongsu adalah ambilan tahun 2004, iaitu dua bulan sebelum pilihan raya. Mereka inilah kelas terakhir yang tamat Tahun Enam, November lalu.

Meski pun BN meremehkan keupayaan SRAB, kecemerlangan para pelajarnya hasil asuh didik para gurunya yang dedikasi telah berjaya dibuktikan. Kejayaan membanggakan kumpulan pertama pelajar SRAB yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2006 memalukan BN. Dalam keadaan dianaktirikan dari bantuan sepatutnya dan sudah dibayangi penutupannya, SRAB muncul antara sekolah terbaik seluruh negeri dalam UPSR.

Seramai 44 (lebih 20 peratus) daripada keseluruhan 215 pelajar dari enam SRAB memperolehi 5A. Mereka juga cemerlang dalam penguasaan bahasa Arab dan hafazan Al-Quran. Seramai 477 daripada hampir 800 pelajar enam SRAB itu juga khatam Al-Quran sehingga akhir 2006 itu.

Kecemerlangan itu dikekalkan hingga ke tahun terakhirnya. Seramai 21 atau lebih 25 peratus daripada 83 pelajar SRAB Al-Khairiah mendapat 5A dalam UPSR tahun ini.

Ertinya mereka telah buktikan bahawa SRAB mampu menghasilkan produk cemerlang. Sebab itu keputusan BN Terengganu menutup SRAB tidak dianggap berasaskan nilaian akademik. Ia semata-mata disebabkan sentimen balas dendam dan politik sempit sehingga tidak mengenal batas sempadan, termasuk dalam aspek pendidikan agama.

BN gagal merasionalkan keperluan pendidikan Islam sebagai ubat paling mujarab kepada permasalahan sosial melanda dunia sekarang. Semakin kita digema riuhkan dengan segala macam kejahilan tentang agama, semakin mundur pula komitmen kerajaan terhadap pendidikan Islam.

Apa yang dilakukan BN itu amat mendukacitakan. Apatah lagi Terengganu sendiri turut berhadapan berbagai kepincangan dalam aspek agama. Pernah didedahkan fakta bahawa lebih sepertiga pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu tidak tahu perkara asas mengenai solat, terutama jumlah rakaat lima waktu dan bacaan al-Fatihah. Apakah menutup SRAB jalan terbaik menyelesaikan masalah ini?

Terengganu juga menghadapi masalah kekurangan imam yang sangat serius. Kuota tiga imam untuk sebuah masjid sudah hampir dipenuhi ketika PAS memerintah. Kini keadaannya amat membimbangkan. Sebahagian besar masjid, termasuk masjid utama di daerah-daerah, hanya bertahan dengan seorang imam sejak beberapa tahun lalu.

Tidak dinafikan sebagai sebuah institusi pendidikan baru, SRAB tidak terlepas dari cacat-celanya. Namun itu tidak bermakna ia tidak boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Di saat rakyat mengharapkan kebobrokan remaja diperbaiki dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pendidikan agama dan akhlak mereka, jalan sebaliknya pula yang diambil BN Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1496, 14 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 13, 2009

Mahathir ada cara tersendiri perbaiki Umno

Oleh: Mohd Nasir Awang
 
Saya agak terusik melihat keghairahan rakan-rakan pendokong Pakatan Rakyat (PR) menggema-riuhkan kutukan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti yang pernah dipimpinnya dulu. Tanpa memadamkan nama bekas Perdana Menteri itu dari senarai tokoh Barisan Nasional (BN) yang tidak akan meredhakan laluan kepada PR menguasai negara, saya tidak nampak di mana wajarnya pandangan beliau terhadap parti kesayangannya sendiri diberikan ‘layanan istimewa’ oleh segenap lapisan pendokong parti lawannya.

Saya pernah diberitahu seseorang bahawa di dalam ilmu peperangan, di antara prinsip yang perlu dipegang oleh pihak bermusuhan ialah jangan sekali-kali memandang rendah kejahatan musuh. Jangan meremehkan keupayaan pihak lawan merencana dan menimpakan kecelakaan terhadap kita, meski pun pada zahirnya sesuatu yang dibuatnya cenderung memberi kelebihan kepada kita.

Sebab itu apabila Mahathir menerusi laman blognya pada akhir November lalu sekali lagi mendedahkan kebusukan Umno dan memuntahkan kekecewaannya terhadap keadaan semasa parti itu, saya tidak fikir beliau berhasrat menjahanamkan partinya sendiri.

Saya mengandaikan sekurang-kurangnya dua hasrat tersirat pada Mahathir menerusi komentarnya itu. Kedua-duanya memberi kebaikan kepada Umno dan bakal meninggalkan kesan negatif terhadap parti lawannya.

Pertama, ia adalah teguran membina buat Umno. Meski pun pada zahirnya ia layak digelar kutukan berat terhadap Umno (dan begitulah nampaknya ia diraikan oleh para pendokong PR), ia merupakan sergahan untuk mengejutkan mereka dari kelenaan.

Ia amaran dari Mahathir agar Umno lekas berbuat sesuatu, perbetulkan keadaan dan perbaiki kesilapan sebelum terlambat. Jangan lupa tulisan itu dimulakannya dengan mengingatkan pembaca bahawa ‘Pilihan Raya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi’.

Dalam sejarah panjang karier politiknya, Mahathir telah acapkali menghamburkan buah fikirannya yang menyentap hati rakyat, terutama orang Melayu. Buku karangannya, Dilema Melayu, merakamkan keberaniannya mengkritik pemimpin Melayu (Umno) ketika itu dan mendedahkan kelemahan bangsanya sendiri.

Kelantangan Mahathir menjadi antara faktor Umno sedar kesilapan, lalu bangkit memperbetulkan diri. Tidak lama selepas itu Tunku Abdul Rahman berundur. Umno yang menghadapi saat paling cemas pada Pilihan Raya Umum 1969 berjaya memulih dan memantapkan diri.

Mahathir juga pernah menseranah bangsanya sendiri sebagai “haprak”. Dia memperlekeh Melayu sebagai bangsa yang “mudah lupa”. Melayu juga, menurut Mahathir, suka makan rasuah. Melayu yang dimaksudkan itu bukan ditujukan kepada Melayu dalam PAS atau parti lain, bahkan Melayu yang berada bersamanya di dalam Umno.

Orang Umno sudah masak dengan cara Mahathir berfikir dan melontarkan ideanya. Mereka sudah tahu membaca mesej yang cuba disampaikan bekas pemimpin mereka itu.

Sebab itu saya kira tidak sukar bagi mereka menerima hakikat bahawa maksud tulisan Mahathir dua minggu lalu tidak sekali-kali atas hasrat menghina dan memalukan Umno. Perasaan terkejut Mahathir terhadap keadaan semasa Umno sebenarnya bermaksud agar ia diperbaiki segera dalam tempoh berbaki dua tahun lagi menjelang PRU-13 nanti, bagi memastikan BN masih berkuasa.

Kita sering diajar bahawa manusia yang menyedari kesilapan, sedia menerima teguran atas kelemahan diri dan bersungguh pula memperbetulkan kesalahan mampu mengubah kebusukan diri menjadi sesuatu yang disenangi.

Kemungkinan kedua, Mahathir cuba mempertahankan imejnya yang dikatakan berfikiran terbuka. Kononnya beliau jujur dan berterus-terang dalam mengutarakan pandangan, tanpa memilih bulu.

Di masa sama beliau berjaya membina keyakinan dan kepercayaan orang terhadap hujah dan analisisnya. Mahathir mempamerkan dirinya seorang penganalisis politik yang adil, praktikal dan berhujah berdasarkan fakta. Pandangannya boleh diterima segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berfikiran tajam, berpandangan jauh dan wajar sentiasa dijadikan tempat rujukan. Apatah lagi dia banyak memanipulasi perasaan dan lojik akal manusia dalam memantapkan hujah dan pandangannya.

Persepsi itu akan tambah mempopularkan beliau. Pandangannya akan sentiasa ditunggu-tunggu setiap kali tercetus isu penting. Laman blognya akan menjadi tempat rujuk bagi menyelongkar mindanya. Bahkan akhbar dan laman blog pendokong pembangkang sanggup menyalin secara verbatim tulisan-tulisan beliau.

Kepercayaan rakyat terhadap pendirian Mahathir adalah aset amat penting buat Umno. Ia amat diperlukan, terutama di saat menentukan arus aliran sokongan masyarakat terbanyak terhadap mana-mana parti. Apakah tidak mustahil berbekalkan kepercayaan dan kelebihan dirinya itu, di saat penentuan dalam pilihan raya nanti Mahathir melontarkan sesuatu yang mampu memaut pertimbangan masyarakat umum kembali memilih BN lagi?

Jangan lupa banyak pihak menyandarkan kejayaan BN di zamannya kepada faktor empat ‘M’ – Money (Wang), Missionary (Jentera Kerajaan), Media dan Mahathir. Ertinya keupayaan peribadi Mahathir, terutama kekuatan hujah dan logikanya dalam mematahkan serangan lawan, diakui sebagai antara faktor kejayaan BN.

Coretan ini jangan disalahertikan sebagai menyanjung dan mengagumi Mahathir. Astaghfirullah al-Azim, mohon selisih ‘Malaikat 44’. Apa yang mahu diutarakan ialah orang sepintar dan ‘semasak’ beliau sudah tentu telah menghitung kebaikan untuknya atau pihak yang disayanginya beberapa langkah lebih ke hadapan sebelum mengutarakan pandangan yang pada zahirnya mengutuk partinya sendiri itu. Percayalah itu sudah menjadi cara tersendiri Mahathir memastikan survival parti kesayangannya itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0178, 13 Disember 2009 dengan tajuk sama)

Sunday, December 6, 2009

Sejarah pengkhianatan Umno teladan buat DAP

oleh: Mohd Nasir Awang

Kata orang, tiada yang mustahil dalam politik. Asas itulah membuatkan saya tergamak melontarkan andaian dalam Siasah keluaran lalu bahawa tidak mustahil dalam keadaan terdesak mengekalkan kelangsungan kuasa Barisan Nasional (BN), Umno yang amat membutuhi sokongan masyarakat Cina akan berpaling kepada musuh tradisinya, DAP.

Matlamat Umno selaku peneraju BN untuk mengekalkan status penguasa mutlak politik negara memungkinkan apa juga cara. Kejayaan memaut DAP ke pangkuan BN bukan sahaja bakal memulangkan sokongan kaum Cina terhadap parti pemerintah itu, malah secara automatik akan mengembalikan kekuasaan BN di beberapa negeri.

Bayangkan, bukan sahaja Pulau Pinang yang dikuasai DAP akan kembali di bawah kibaran bendera BN, malah kerajaan Selangor juga akan beralih tangan. Jumlah 18 kerusi dimiliki Umno dicampur 13 kerusi DAP sudah pun mencukupi untuk majoriti mudah membentuk kerajaan sekali pun MCA yang ada dua kerusi tidak ikut serta.

Pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS akan hanya tinggal 23 kerusi dan kembali menjadi pembangkang. Kedudukan BN di Perak dan Negeri Sembilan pula tentu bertambah kukuh dengan penyertaan DAP.

Jangan lupa langkah sama pernah dibuat Umno terhadap Gerakan selepas parti itu merampas Pulau Pinang pada 1969. Sebelum pilihan raya itu, kerajaan Perikatan diterajui Datuk Wong Paw Nee dari MCA memiliki 18 daripada 24 kerusi negeri. Sepuluh daripadanya dimenangi Umno, manakala satu oleh MIC.

Kemunculan parti Gerakan pada 1969 meruntuhkan keegoan Perikatan. Parti baru itu menang di 16 kerusi, sekaligus membentuk kerajaan negeri. Perikatan hanya bertahan di empat kerusi, kesemuanya menerusi calon Umno.

Namun kerajaan milik Gerakan tidak kekal sepenggal. Umno menghulurkan tangan perdamaian dan berjaya memaut Gerakan ke dalam BN. Perikatan/BN kembali sebagai kerajaan di Pulau Pinang.

Taktik serupa diulang Umno terhadap Parti Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) yang menguasai Kelantan pada 1978. Modus operandi itu juga yang membawa Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN apabila parti itu menumbangkan BN di sana. Status BN sebagai parti pemerintah di kedua-dua negeri dipulihkan menerusi penyertaan parti pemerintahnya ke dalam gabungan itu.

Itu adalah fakta sejarah yang ada di hadapan kita. Bahawa keegoan BN, khususnya Umno, untuk memutlakkan penguasaan politik tidak memungkinkannya bertolak ansur atau menerima hakikat bahawa ada negeri di bawahnya terlepas ke tangan pembangkang. Ia akan sedaya mungkin berusaha dengan apa jua kaedah mengembalikan BN ke tampuk kuasa di negeri-negeri tersebut, termasuk dengan “membeli” pemimpin atau parti.

Ada pun soal apakah DAP sanggup menerima pelawaan Umno dan mengenepikan pakatan dengan rakan-rakan pembangkang, adalah suatu perkara lain Apa yang saya andaikan itu hanyalah kemungkinan tindakan dari pihak BN-Umno.

Desakan dan dorongan ke arah itu semakin munasabah mengambilkira kemelut berpanjangan dialami para pemimpin MCA selaku tonggak naungan kaum Cina dalam BN. Manakala Gerakan pula di masa sama masih bergelut menemukan formula terbaik memulihkan keyakinan kaum itu terhadapnya.

Namun, kebetulan atau tidak, perkembangan politik negara minggu lalu bagaikan menjawab andaian saya itu. Bahawa buat masa ini DAP kelihatannya tidak mungkin bersedia menerima pelawaan Umno, sekali pun jika ia benar-benar diintai tonggak BN itu.

Maksud saya, apakah moral tindakan para delegasi Konvensyen DAP Negeri Perak di Ipoh, Ahad (29 November) lalu yang memijak poster tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang keluar parti jika DAP juga sanggup beralih menyokong BN?

Pada konvensyen minggu lalu, poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang “lompat” parti awal Februari lalu hingga membuka laluan BN merampas kuasa di negeri berkenaan dihampar di lantai pintu masuk dewan untuk dipijak setiap delegasi.

Untuk rekod, tiga petualang itu ialah Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang) dan Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering).

Difahamkan tindakan DAP itu adalah sebagai gimik protes terhadap tiga ahli politik tidak bertanggungjawab dan menipu rakyat itu. Tindakan mereka mengisytiharkan pendirian sebagai Adun Bebas yang menyokong BN dianggap satu penghinaan terhadap demokrasi. Ia pengkhianatan terhadap rakyat yang memilih mereka demi perjuangan pakatan pembangkang menumbangkan BN.

Saya percaya para pemimpin DAP antara ahi politik paling teguh pendirian dan amat berpegang kepada prinsip. Jika ia membenci pembelot politik dan sanggup memijak poster mereka yang berbuat demikian, mana mungkin parti itu sendiri turut mengulangi perbuatan sama?

Setakat ini mereka bukan mudah “dibeli”. Apatah lagi para pemimpin DAP juga dari kalangan yang mampu membelek sejarah. Mereka tentunya sedia maklum dengan nasib yang kini menimpa beberapa parti yang menyertai BN dulu.

Dari parti yang menerajui pemerintahan Sabah, PBS kini hanya komponen biasa yang bagaikan sudah hilang taring. Nasib lebih buruk melanda Berjasa. Ia betul-betul diperalatkan BN-Umno hanya untuk merampas Kelantan daripada PAS. Parti itu kini entahkan masih hidup atau sudah “almarhum”, tidak ramai yang tahu.

Boleh dikatakan kesemua parti pembangkang yang asalnya kuat dan berpengaruh lalu dipujuk menyertai BN, demi mengembalikan kuasa dan kekuatannya, berakhir sebagai parti pinggiran dalam BN. Nasib itulah sedang menimpa Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP). Kedua-duanya memiliki kekuatan dan pengaruh agak signifikan ketika mula menyertai BN, kemudiannya semakin menikus.

Saya percaya tabiat khianat Umno yang gemar melayan rakannya seumpama “habis manis sepah dibuang” turut dipelajari DAP.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0177, 6 Disember 2009 dengan tajuk sama)