Friday, March 1, 2013

Seksi - antara hak individu dan keselesaan awam


Oleh: Mohd Nasir Awang

Tuntutan ke arah wujud dan berkuatkuasanya suatu peraturan khusus berhubung etika berpakaian (sopan) di khalayak awam, terutama terhadap wanita, sering berkumandang. Sebagai sebuah negara berteraskan bangsa Melayu yang tebal dengan adat sopan ketimuran, ditambah pula dengan imej negara kita yang sering ditonjol dan diwar-warkan sebagai “Negara Islam Contoh”, maka sudah selayaknya hal-hal berkaitan kesopanan awam dititikberatkan oleh masyarakat negara ini.

Perbahasan dicetuskan isu berpakaian sopan ini juga tidak kurang menghangatkan dada media. Setiap kali berbangkit, ia selalunya segera mengundang reaksi pelbagai pihak, yang pada kebiasaannya terbahagi kepada dua kelompok pandangan atau pendirian.

Pihak yang terbabit dengan penguatkuasaan peraturan tersebut, serta sebilangan yang berpendirian selari dengannya, sudah tentu akan mengutarakan hujah dan sandaran bagi mengukuhkan tindakan mereka.

Secara positif, peraturan itu dilihat usaha terbaik untuk menegakkan kesopanan awam, sekaligus mengurangkan keruntuhan akhlak di kalangan anggota masyarakat. Bagi khalayak ini, menjadi tanggungjawab sebuah kerajaan untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara.

Bahawa wanita bukan bahan pameran atau barang dagangan untuk menarik perhatian lelaki. Daya tarikan istimewa yang ada pada wanita tidak seharusnya disalahgunakan, termasuk bagi melariskan perniagaan. Membiarkan wanita memperagakan susuk tubuh dan kecantikan sebenarnya menjatuhkan martabat mereka yang suci.

Malangnya, hasrat murni itu gagal difahami, terutama oleh khalayak yang kononnya memperjuangkan martabat wanita sendiri. Peraturan sedemikian dianggap prejudis dan diskriminasi terhadap wanita. Kata mereka, “pakaian adalah hak individu dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak berhak mencampuri atau menentukan fesyen pakaian individu”.

Itulah hujah agak stereotaip yang kerap diulangsuara pelbagai pihak tatkala berbangkit perbahasan mengenai penampilan sopan di tempat awam. Bantahan dan sanggahan itu seringkali bersandarkan hak dan kebebasan individu.

Kes seumpama ini pernah berbangkit apabila masyarakat setempat di beberapa kampung berdekatan sebuah pusat peranginan di Terengganu membantah cara berpakaian para pelancong di situ. Bagi mereka, para pelancong perlu berpakaian lebih sopan, terutama ketika mandi kerana kawasan itu adalah pantai awam yang turut dikongsi masyarakat setempat.

Agak mendukacitakan, pihak berkuasa dikatakan tidak berminat menyantuni desakan awam itu. Alasan utama diberikan kononnya tidak ada undang-undang khusus membenarkan mereka bertindak berkaitan pakaian tidak sopan di khalayak awam. Turut kedengaran ialah justifikasi “bodoh” kononnya apa yang dipakai para pelancong itu adalah hak individu, terutama dalam kes pelancong dari negara-negara Barat.

Itu satu lagi mindset orang kita yang agak terkebelakang. Mengapa kita mesti “mengalah” sehingga menggadai keselesaan awam kita, hanya semata-mata mahu meraikan gaya hidup pelancong luar? Malah, jika diterjah lebih jauh, apakah betul fahaman kita kononnya masyarakat di negara-negara Barat mengamalkan kebebasan individu sehingga ke tahap seseorang itu boleh berpakaian sesuka hati di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja?

Dalam memahami hakikat ini, saya suka berkongsi satu kes yang baru berlaku hujung tahun lalu di Amerika Syarikat, negara yang sering menjadi kiblat para pejuang hak dan kebebasan individu sedunia.

Ceritanya, selepas bekerja sebagai pembantu pergigian selama 10 tahun, Melissa Nelson dipecat kerana bertabiat terlalu “menggoda” dan dianggap menjadi “ancaman” terhadap perkahwinan majikannya. Menariknya, kes ini diputuskan menerusi saluran undang-undang.

Pada 21 Disember 2012, Mahkamah Agung Negeri Iowa memutuskan bahawa Dr. James Knight, majikan Nelson, berada di dalam hak undang-undangnya apabila memecat Nelson. Keputusan itu mengesahkan keputusan mahkamah rendah sebelumnya.

"Kita sentiasa berpendirian bahawa Puan Nelson tidak diberhentikan disebabkan gender, dia diberhentikan kerana pertimbangan bahawa tabiatnya tidak sesuai di tempat kerja. Dia seorang wanita yang menawan. Dr. Knight menganggap perlakuan dan pakaiannya tidak sesuai", kata Stuart Cochrane, peguambela Knight.

Berdasarkan dokumen mahkamah, mereka berdua tidak pernah melakukan hubungan seks atau cuba melakukannya. Bagaimana pun, dalam setahun setengah terakhir perkhidmatan Nelson, Knight mula menegur mengenai cara Nelson berpakaian yang disifatkan terlalu ketat atau “mengganggu”.

"Dr. Knight mengakui dia pernah sekali memberitahu Nelson bahawa jika dia melihat seluarnya (Knight) timbul, dia (Nelson) patut tahu bahawa pakaiannya terlalu menjolok mata," baca penghakiman itu.

"Dr. Knight merasakan demi kepentingan terbaik perkahwinannya dan kepentingan terbaik untuk dia (Nelson) juga, ialah dengan menamatkan hubungan perkhidmatannya," kata Cochrane.

Knight mengesahkan di dalam dokumen mahkamah bahawa Nelson berkhidmat dengan baik. Nelson sendiri malah mengakui dia dilayan dengan penuh hormat.

Apabila suami Nelson cuba berunding dengan Knight, doktor gigi itu memberitahunya dia "bimbang dia akan mempunyai hubungan sulit dengan Nelson kemudian hari jika dia tidak memecatnya."

Nah! Bukankah kes ini menafikan alasan “bodoh” tadi, kononnya negara Barat mengamalkan kebebasan individu yang tidak boleh disentuh atau disanggah? Apa yang pasti, sebuah masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat negara kita yang bertunjangkan penduduk beragama Islam, perlu ada peraturan termasuklah peraturan berpakaian.

Ya, memang setiap individu mempunyai hak dalam memilih cara berpakaian dan menampilkan diri. Tetapi dia harus ingat bahawa orang lain juga mempunyai hak untuk berasa selesa ketika berada bersamanya di tempat awam.

Akuilah bahawa kita hidup dalam masyarakat, bukan tinggal seorang diri dalam gua atau hutan belantara. Sekiranya kita memilih untuk berpakaian sesuka hati, ia mungkin menyinggung perasaan dan keselesaan orang lain. Justeru, hormatilah hak-hak keselesaan awam!

(Artikel ini termuat di dalam majalah ERA Muslimah Bil. 13 (Mac 2013) di ruangan "Coretan Ketua Pengarang" dengan judul sama)

Secebis sumbangan untuk Palestin


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah kerana di sebalik segala kesulitan dan kekangan yang membelenggu, kami masih diberi peluang dan pertolongan oleh-Nya untuk menerbitkan majalah kesayangan anda ini. Selagi mana termampu, kami komited menyebarluas dan menyemarakkan penghayatan ilmu-ilmu Islam ini dalam masyarakat.

Sepertimana pernah dicoretkan di sini sebelum ini, kami akan cuba dari masa ke semasa memberikan ‘nilai tambah’ kepada persembahan majalah ini. Untuk itu, komentar berupa cadangan, teguran, pembaikian mahu pun kritikan (yang membina, tentunya!) dari para pembaca amatlah kami harapkan. Manfaatkanlah laman facebook kami atau apa jua wasilah yang selesa bagi anda.

Untuk edisi ini kami memilih pembicaraan isu Palestin sebagai topik utama. Sentuhan dipaparkan bagaimana pun bukanlah berorientasikan perbincangan semasa semata-mata, tetapi lebih bersifat umum dan luas – dari aspek latar sejarah politik dunia, kaitan kewujudan wilayah itu dengan era para anbiya’ dan mursalin, mendetail tabiat dan perangai bangsa Yahudi (selaku aktor paling jahat dalam kisah Palestin), sehinggalah kepada tuntutan tanggungjawab kita sebagai umat Islam “menyelesaikannya” dalam konteks semasa.

Selamat membaca, mengutip ilmunya dan membantu kami menyebarluas pengajaran-pengajarannya. Semoga setiap kita yang mengambil bahagian di dalam usaha ini akan memperolehi rahmat dan keberkatan dari sisi Allah Ta’ala. Wassalam.


Al-Faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini termuat di ruangan EDITORIAL majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 12, Mac '2013)

Toleransi Saidina Umar - Yahudi tak kenang budi


PERGERAKAN pembebasan Kota al-Quds bermula dengan peperangan Mu'tah, perutusan tentera Usamah bin Zaid dan peperangan Yarmouk, yang menyaksikan kemenangan Islam mengalahkan tentera Romawi. Pada bulan Rabiul Awwal tahun 15 Hijrah, Saidina Umar  bin al-Khattab ra menerima anak kunci Kota al-Quds dan memeterai perjanjian dengan kaum Kristian, yang dikenali sebagai al-Uhdah al-Umariyah.

Perjanjian bersejarah itu berbunyi:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Inilah apa yang telah diberikan hamba Allah Umar, Amirul Mukminin, keamanan kepada penduduk Iliya'. Dia (Allah) telah memberikan keamanan untuk diri mereka, harta benda mereka, gereja-gereja mereka dan rumah-rumah ibadat mereka, sama ada yang elok atau rosak, dan kepada seluruh penganut, bahawa tidak sekali-kali gereja-gereja mereka dihuni (rampas) dan tidak sekali-kali dimusnahkan dan sekali-kali dilakukan kekerasan terhadap mereka, sama ada pada tubuh badan atau harta benda. Mereka sekali-kali tidak dipaksa untuk meninggalkan agama mereka dan tidak sekali orang Yahudi menghuni bersama mereka di Iliya'.

Menjadi kewajiban ke atas penduduk Iliya' untuk membayar jizyah sebagaimana ahli agama lain membayarnya. Menjadi kemestian ke atas mereka untuk mengeluarkan orang Rom dan perompak. Maka sesiapa dari kalangan mereka yang keluar, dia dan hartanya selamat sehinggalah dia sampai ke tempat perlindungannya. Sesiapa dari kalangan mereka mahu kekal, maka dia selamat tetapi mestilah dia membayar jizyah, sebagaimana yang dilakukan oleh penduduk Iliya'.

Sesiapa dari kalangan penduduk Iliya' yang mahu pergi dengan hartanya bersama-sama orang Rom, maka mereka selamat sehinggalah mereka sampai ke tempat perlindungan. Sesiapa dari kalangan penduduk bumi ini yang mahu kekal, maka hendaklah dia membayar jizyah sebagaimana penduduk Iliya' dan sesiapa yang mahu berada di bawah Rom dan sesiapa yang mahu kembali kepada keluarganya, tidak diambil daripada mereka sesuatu pun sehinggalah mereka menuai tanaman mereka.

Sesungguhnya apa yang ada di atas tulisan ini adalah janji yang bertunjang kepada Allah, Rasul dan para Khulafa' dan orang-orang Mukmin, jika mereka membayar jizyah yang diwajibkan ke atas mereka.

Ditulis dan dihadiri pada tahun 15H oleh Umar bin Al-Khattab. Saksi kepadanya ialah: Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-Aas, Abdul Rahman bin Auf dan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Sejarah telah membuktikan sikap bertanggungjawab umat Islam yang berpegang teguh kepada janji setia ini. Begitu juga dengan keredhaan dan setiakawan ditunjukkan oleh kaum Kristian yang tulen terhadap kerajaan Islam.

Antara isi kandung terpenting perjanjian aman dengan penduduk Kristian di Kota al-Quds (Jerusalem atau Iliya') ini ialah tidak membenarkan pendudukan Yahudi mendiami kota ini. Tentang hal ini, Abdul Hadi Awang berpandangan, “kerana pada waktu itu belum ada lagi orang Yahudi ketika orang Islam membukanya, ini kerana orang Nasrani (Kristian) mengharamkan ke atas orang Yahudi untuk menghuni di kota-kota suci.” Dalam ertikata lain, penegasan Saidina Umar yang melarang orang Yahudi mendiami Kota Al-Quds adalah sebagai meraikan pendirian kaum Kristian sejak sekian lama.

Menurut Ahmad Fauzi Hassan pula, tindakan itu “hanya ilham dan pandangan jauh Saidina Umar tentang masa depan dan nasib kota ini (Al-Quds) jika diduduki sama oleh bangsa Yahudi. Sedangkan bangsa Yahudi tidaklah menimbulkan apa-apa permasalahan ketika itu.”

Namun seperkara yang jelas, meski pun Islam mendakwa Al-Quds milik umat Islam, penghormatan diberikan Islam terhadap pegangan dan kepercayaan agama-agama lain amatlah tinggi. Soal kebebasan menganut dan mengamalkan ajaran agama bukan Islam adalah suatu kewajiban yang dijamin oleh Islam.

Islam adalah agama yang penuh tolak ansur dan tidak memaksa pihak lain mempercayai dan menerima apa yang mereka tidak percaya atau terima. Apa yang dibuat oleh Saidina Umar terhadap kaum Kristian di Kota Al-Quds jelas membuktikan bahawa meski pun memiliki kuasa sebagai penakluk, Islam tidak mengajar umatnya untuk memaksa apatah lagi menindas kaum yang ditakluki.

Sebab itu apabila Saidina Umar mengetuai umat Islam membuka Kota Al-Quds, kerajaan Islam pimpinannya telah memberikan hak-hak yang berkait dengan keagamaan kepada penganut-penganut agama yang mempunyai asas dan kedudukan agama di situ. Kota itu memiliki kesuciannya dan kesucian itu adalah untuk semua umat yang mempunyai risalah samawiyah – Yahudi dan Kristian. Sebab itu tidak boleh sama sekali mana-mana agama memonopoli kota itu dan menyisihkan penganut-penganut agama lain.

Secara praktikal, prinsip ini ditunjukkan oleh Saidina Umar, menerusi beberapa kejadian. Satu ketika Baginda meraikan jemputan daripada orang Kristian untuk menziarahi Gereja Qiyamah. Tatkala sedang berada di situ, masuklah waktu solat. Lantas Saidina Umar berpaling kepada paderi yang ada bersamanya dan bertanya: “Di manakah aku boleh bersolat?

Paderi itu menjawab: “Sembahyanglah di tempat kamu berdiri ( di dalam gereja).”

Umar menjawab: “Tidak sayugia bagi Umar untuk bersolat di Gereja Qiyamah, kerana kemungkinan selepas ini orang-orang Islam akan berkata, ‘di sinilah Umar mendirikan solat’, lalu mereka (menjadikannya alasan untuk) mendirikan masjid di sini.”

Lalu Umar menunaikan solat di tempat lain tidak jauh dari Gereja Qiyamah itu (dan tepat sebagaimana dijangkanya, di situlah umat Islam membina masjid kemudiannya), (Abdul Hadi, 2010).

Dalam riwayat lain oleh Abu Salamah, bahawa Abu Sinan memberitahunya bahawa Ubaid bin Adam mendengar Umar bin Al-Khattab ra berkata kepada Kaab bin Al-Ahbar (seorang Yahudi yang telah memeluk Islam) ketika kedua-dua mereka berada di dalam Masjid Al-Aqsa, “di mana kamu fikir aku patut bersolat di dalam masjid ini?”

Kaab menjawab, “jika tuan menanyakan pendapat hamba, maka hamba rasa seeloknya tuan bersolat di belakang Batu Sakhrah, supaya dengan itu seluruh Kota Al-Quds berada di depan tuan hamba (dan di masa sama turut menghadap ke Mekah – Kaabah).”

Batu Sakhrah atau Foundation Stone (dalam bahasa Ibrani disebut ‘Even haShetiya’) adalah batu yang dianggap suci oleh kaum Yahudi. Mereka bersembahyang menghadap batu itu dan percaya ia merupakan persimpangan untuk mereka menuju ke syurga.

Mendengarkan cadangan itu, Umar menjawab: “Kamu nampaknya mahu aku berebut dengan kaum Yahudi! Tidak, aku sepatutnya bersolat di mana Rasulullah saw bersolat (ketika malam Isra’ Baginda).”

Lalu Saidina Umar menghadap ke arah Kaabah dan bersolat. Baginda kemudiannya menyapu masjid dengan jubahnya dan sekalian yang hadir ikut berbuat demikian (As-Sallaabee, 2008).

Ibnu Taimiyah pula menyebut, “apabila Umar menakluki Kota Al-Quds, Baginda dapati banyak sampah-sarap dilonggokkan di atas Batu Sakhrah, yang dipercayai sengaja dicampakkan oleh kaum Kristian untuk menghina kepercayaan kaum Yahudi yang menganggap batu itu suci dan bersembahyang menghadapnya.

Melihatkan keadaan itu, Umar segera mengarahkan orang-orang Islam yang ada bersamanya agar mengalihkan sampah-sarap dari situ.”

Sebagaimana Saidina Umar menunjukkan sikap tolak ansur dan hormat terhadap kebebasan beragama untuk kaum Kristian, memberikan jaminan keselamatan untuk gereja dan hak milik mereka, Baginda juga tidak menyimpan walau sedikit pun perasaan buruk terhadap kaum Yahudi, di sebalik segala macam karenah dan kejahatan dilakukan kaum itu terhadap umat Islam. Baginda sendiri bahkan menyapu dan membersihkan batu paling suci bagi kaum Yahudi itu dengan tangannya serta mengangkat sebahagian sampah dari situ.

Malangnya, sikap toleransi dan rasa hormat sebegitu tinggi dari umat Islam terhadap kepercayaan kaum Yahudi, sepertimana yang telah dicontohkan oleh Saidina Umar itu nampaknya tidak langsung meninggalkan bekas di kalangan mereka. Kaum itu terus mengganas dan menzalimi umat Islam, sehingga akhirnya memonopoli segala hak memakmurkan kota suci Al-Quds. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Abdul Hadi Awang, 2010, Palestin: Daripada Perampas Jalanan Kepada Peta Jalanan, Kuala Lumpur: Jundi Resources Sdn Bhd.
-          Ahmad Fauzi Hasan, 2011, Palestin: Bumi Pertemuan dan Pertembungan, Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
-          Dr. Muhammad As-Sallaabee, 2008, The Biography of Umar Al-Khattab r.a. (2), London: Maktaba Darus-Salam.

Maahad Darul Anuar perlukan sokongan, bantuan masyarakat


Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Sebagai menyempurnakan agenda sosial, sekaligus membantu menyemarakkan lagi kecintaan masyarakat kepada ilmu-ilmu Islam, maka bermula edisi ini pihak kami – Majalah Dian Ihya’ as-Sunnah – akan membawa para pembaca mengenali lebih dekat satu demi satu institusi/pusat pengajian dalam negara ini. Institusi terpilih tidak semestinya berlabelkan pusat pengajian Islam, tetapi yang kami dapati memiliki program penyebaran ilmu dan tarbiyah Islam, khususnya dalam aspek pembinaan sahsiah para penghuninya. Sebagai pembuka ruangan MEDAN ILMU ini, kami paparkan tulisan mengenai Maahad Darl Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Sejarah penubuhan dan perkembangan awal
Maahad Darul Anuar atau ringkasan namanya MADA adalah salah sebuah pusat pengajian Islam yang tidak asing lagi, terutama bagi masyarakat di negeri Kelantan dan Pantai Timur. Ia diasaskan pada tahun 1963 oleh Tuan Guru Haji Nik Mat bin Raja Banjar, atau lebih dikenali oleh anggota masyarakat sekitar sebagai Tok Ku Nik Mat Alim.

Ia bermula sebagai sebuah institusi persendirian keluarga tok guru itu yang bertitik tolak daripada hasratnya untuk menyebarkan ilmu kepada anak-anaknya yang ramai (17 orang), selain kepada anggota masyarakat setempat. Pusat pengajian itu kemudiannya berkembang menjadi sebuah madrasah dan dikenali sebagai Madrasah Darul Anuar.

Skop operasi MADA semakin berkembang, terutama selepas kembalinya Nik Abdul Aziz, anak kepada Tok Ku Nik Mat Alim, dari pengajiannya di Al-Azhar. Ia mula membuka kelas-kelas pengajian yang menggabungkan sistem pengajian pondok dengan pengajian sekolah.

Komitmen Nik Abdul Aziz (yang kemudiannya juga dikenali sebagai Tok Guru) untuk memajukan MADA bagaimana pun tidak mampu diteruskannya. Penglibatannya dalam politik secara sepenuh masa (setelah bergelar wakil rakyat) menyebabkannya tidak berupaya memperikan tumpuan sepatutnya kepada sekolah itu.

Akibatnya, setelah Tok Ku Nik Mat Alim berpulang ke rahmatullah, tiada siapa yang sanggup menggalas tanggungjawab dan amanah meneruskan usaha murni beliau mengasaskan pusat pengajian itu. Maka pada 1977, pengurusan MADA diserahkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Keluarga mohon semula
Pada 1998, perjumpaan Keluarga Nikmatillah (anak-anak dan cucu-cucu Tok Ku Nik Mat) memutuskan resolusi untuk mengambil alih semula pengurusan MADA. Mereka merasakan suatu yang tidak kena dan tidak selesa untuk membiarkan usaha diasaskan ayah/datuk mereka itu terputus begitu sahaj, tanpa ada penerusan oleh anak-cucunya sendiri.

Namun, usaha itu bukan suatu yang mudah. Ia memakan masa untuk kembali direalisasikan.

Dalam pada itu, sejak 2001, salah seorang anak kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Omar diberi kepercayaan oleh YIK sebagai Pengetua MADA. Di bawah teraju anak kedua Tok Guru ini juga, status MADA sebagai ‘Madrasah’ ditukar kepada Maahad, pada 2004.

Hanya pada Mei 2008, persetujuan diperolehi daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz (ketika itu sudah berjawat Menteri Besar Kelantan) agar MADA dikembalikan pengurusannya kepada Keluarga Nikmatillah. Kata putus diambil bahawa MADA akan diurus sendiri bermula 2009.

Sudah tentu mandat menguruskan MADA diserahkan kepada Ustaz Nik Omar, selaku penyandang jawata Pengetua di situ. Pemegang ijazah Sarjana Syariah (Pendidikan Dalam Islam) dari Universiti Yarmouk, Jordan ini ternyata mempunyai komitmen dan keazaman sangat tinggi untuk melihat MADA maju lebih jauh di masa mendatang.

Kekangan kewangan
Usaha itu bagaimana pun sedikti terbantut. Sebab utama ialah kekangan kewangan dihadapi MADA. Sumber kewangan utama ialah menerusi kutipan yuran daripada para pelajar yang berjumlah tidak sampai 300 orang. Itu pun, jika dikutip kesemuanya, hanya mampu menampung 80 peratus perbelanjaan keseluruhan. Apatah lagi, kebiasaannya akan ada antara 20 hingga 25 peratus pelajar yang tidak mampu menjelaskan yuran masing-masing.

Akibatnya, saban bulan belanjawan MADA mengalami defisit. Jumlah defisit itu mencecah RM20 ribu.

Bagi menyelesaikan masalah itu, pihak MADA merancang pelbagai usaha. Antaranya, membuka kedai koperasi sekolah (Laa Tansa). Turut dibuat ialah kempen infaq dari kalangan anggota masyarakat.

Derma siapkan bangunan
Satu rayuan khusus daripada pihak pengurusan MADA ialah sumbangan derma bagi menyiapkan dua blok bangunan tambahan bernilai hampir RM1.5 juta. Sumbangan boleh dibuat di atas nama: Maahad Darul Anuar, akaun Bank Islam – 03018010044630.

Mudah-mudahan segala sumbangan anda akan menjadi amal jariah untuk generasi akan datang.

INFO RINGKAS:
Nama institusi: Maahad Darul Anuar (MADA)
Lokasi: Kampung Pulau Melaka, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Visi: Kecemerlangan akademik, keunggukan akhlak dan kecapaian martabat.
Komitmen: Melahirkan generasi berilmu, beriman dan bertaqwa.

(Artikel ini disiarkan di ruangan MEDAN ILMU, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 12, Mac 2013)