Sunday, July 1, 2007

Susu Ibu Basmi Anak Derhaka?


Oleh: Mohd. Nasir Awang

Katakanlah satu kajian saintifik telah dibuat bagi mengesan faktor biologikal terhadap masalah anak menderhakai ibu bapa yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Hipotesis kepada kajian tersebut ialah, selain faktor-faktor asuhdidik dan persekitaran sepanjang peningkatan usia seseorang, susu ibu juga menjadi faktor penting mempengaruhi pembentukan peribadi sejak awal usianya.

Secara lebih khusus, hipotesis yang cuba dibuktikan ialah seseorang yang tidak disusui dengan susu ibu ketika bayi mempunyai kadar penderhakaan lebih tinggi berbanding mereka yang menyusu dengan susu ibu. Tanpa mengenepikan faktor-faktor lain, kajian tersebut mengandaikan suatu kaitan sangat rapat antara ketidakhadiran susu ibu dalam tubuh seseorang dengan kecenderungannya untuk tidak menghormati ibu bapanya tatkala ia dewasa.

Isu penderhakaan dan pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa yang telah uzur dan tidak upaya berlaku sepanjang zaman. Jika dahulu kala ada cerita anak derhaka menerusi watak “Si Tanggang”, kini timbul pula istilah “Si Tanggang Moden”. Ia merujuk kepada watak serupa di zaman kini yang tidak mempedulikan ibu bapa. Malah ada antara mereka yang lebih selesa menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan.

Islam memandang berat perlakuan anak-anak yang biadab dan tidak mengenang budi sebegini.  Tempat ibu bapa tersangat tinggi dan mulia di sisi Islam. Sehinggakan suruhan mentaati ibu bapa dirangkaikan bersama dengan suruhan menyembah Allah Ta’ala.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. (Surah al-Isra’ 17:23-24).

Dalam ayat lain, Allah Ta’ala menggandingkan perbuatan membalas jasa ibu bapa dengan bersyukur kepada-Nya: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (selama sembilan bulan) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh itu) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. (Luqman 31:14).

Jelas sekali Islam amat menuntut si anak mengenangkan kepayahan si ibu mengandungkannya serta menyusukannya sewaktu ia masih tidak bermaya dan tidak berkeupayaan melakukan apa-apa.

Firman Allah lagi: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur, (An-Nahl 16:78).

Dan lagi: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu” . (Surah al-Baqarah 2:233).

Tentu ada hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala merakamkan soal penyusuan susu ibu dalam ayat di atas dan beberapa ayat lain. Secara saintifik, telah dibuktikan bahawa susu ibu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi untuk tumbesaran bayi.

Ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi daripada penyakit dan bebas daripada sebarang risiko pencemaran.

Susu ibu memiliki ramuan terbaik untuk pertumbuhan bayi dari jumlah asid lemak, laktosa, air, asid amino untuk pencernaan, pertumbuhan minda bayi dan antibodi.

Malah susu ibu memberi kesan kepada pembentukan minda dan meningkatkan IQ anak. Kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah 5.2 mata lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu (baca American Journal of Clinical 1991).

Berbeza dengan susu formula yang diperkayakan dengan pelbagai zat, kandungan zat dalam susu ibu berubah mengikut umur dan perkembangan bayi. Penghasilan susu ibu itu sendiri adalah reaksi kepada rangsangan yang dihasilkan oleh aktiviti bayi, seperti menangis, menetek dan sebagainya.

Menyedari kelebihan susu ibu, Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu menggalakkan semua ibu menyusukan anaknya dengan susu ibu selama enam bulan (dikenali tempoh penyusuan eksklusif) dan meneruskannya sehingga dua tahun. Makanan tambahan pula hanya dimulakan ketika bayi berusia enam bulan.

Menurut satu perangkaan, 88.6 peratus ibu di Malaysia pernah menyusukan anak. Bagaimana pun, hanya 29 peratus daripada jumlah itu yang mampu menyusukan bayi mereka secara eksklusif. Manakala hanya 11.7 peratus yang menyambung penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun.

Kebanyakan ibu hanya mampu menyusukan anak mereka sehingga dua bulan atau sepanjang tempoh pantang. Apabila kembali bekerja, ramai yang mengambil jalan mudah dengan memberikan bayi mereka susu formula.

Seperkara yang diakui semua pihak, tempoh penyusuan adalah tempoh jalinan perasaan dan kasih sayang antara ibu dan anak. Jalinan emosi antara kedua mereka meninggalkan kesan psikologikal dan biologikal yang berkekalan.

Tidak mustahil sentuhan awal itu mempengaruhi pembentukan peribadi anak sehingga dewasa.  Persepsi dan sikap anak terhadap ibu bapa di belakang hari adalah hasil benih asuhan dan belaian yang disemai di peringkat paling awal dalam hidup mereka itu.

Itulah kesan susu ibu terhadap perwatakan seseorang yang cuba dibuktikan. Andaikata hipotesis tadi dapat dibuktikan, nescaya ia bukan sahaja suatu pencapaian saintifik menakjubkan. Ia malah sekaligus membongkar satu lagi mukjizat dan pengajaran mengapa al-Quran sebegitu menitikberatkan penyusuan susu ibu.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Julai 2007 di ruangan 'Pendapat' dengan tajuk sama).