Monday, August 29, 2011

Berulangkah ‘rekod bersih’ Ramadhan di Terengganu?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Ramadhan al-mubarak sudah menghampiri penghujung. Serentak itu suasana kemeriahan Idulfitri semakin terasa. Sementara majoriti umat Islam kian gigih melakukan persiapan menyambut lebaran, sebahagian mereka yang memanfaatkan kehadiran bulan mulia ini dengan aktiviti perniagaan mula menghitung hasil yang sempat dikumpulkan.

Namun rasanya tidak ramai yang mengambil kesempatan di saat Ramadhan melangkah pergi kini untuk kembali menghitung, menilai dan mengamati amal ibadat sepanjang sebulan lalu. Sempurnakan ibadat puasa dikerjakan? Sempatkah dikhatamkan tadarus al-Quran? Berjayakah menemui Lailatul Qadar yang diidami setiap insan bertaqwa?

Segala persoalan di atas beserta berbagai pertanyaan lagi adalah antara yang sepatutnya melintasi fikiran kita. Asas utama ialah setiap kita mengharapkan natijah Ramadhan lebih baik berbanding tahun sudah.

Jika Ramadhan lalu pergi tanpa sempat dihiasi qiyamullail, mungkin tahun ini diharapkan ada anjakan. Jika tahun lalu tidak banyak peluang melakukan sedekah membantu golongan tidak bernasib baik, harap-harap di tahun ini kemampuan kita lebih baik.

Sementara segala pencapaian lebih positif itu menjadi hasrat setiap umat Islam, bagi para pemimpin Umno di Terengganu, mereka mungkin turut menyimpan satu lagi hasrat menggunung. Oleh kerana Ramadhan lalu kerajaan negeri diterajui parti itu mencatatkan rekod bersih tanpa sebarang kes tangkapan orang tidak berpuasa, maka tentu pencapaian sama diharapkan untuk tahun ini. Namun, sejauh manakah ia wajar dianggap pencapaian ‘cemerlang’?

Tahun lalu, para pendukung Barisan Nasional (BN) Terengganu, terutama pemimpin Umno negeri bagaikan tersengih hingga ke pipi apabila operasi penguatkuasaan oleh kerajaan negeri tidak menemukan sebarang kes orang Islam tidak berpuasa. Pencapaian itu bukan sahaja menakjubkan, malah bunyinya pun macam mustahil.

Apatah lagi bukan suatu yang sukar untuk anggota masyarakat di seluruh negeri menyaksikan ‘tanda-tanda’ wujudnya aktiviti orang menjamu selera di siang hari. Para pengunjung Taman Shahbandar di muara Sungai Terengganu misalnya, dapat menyaksikan dengan jelas taburan bekas polistrin dan plastik berisi sisa minuman di sebalik tembok sungai.

Struktur binaan tembok itu mewujudkan ruang agak tersorok dari pandangan mata. Ia menjadi tempat amat selesa bagi kalangan tidak berpuasa menyempurnakan agenda mereka.

Longkang besar di sekitar kawasan stadium di Gong Badak juga dikatakan antara lokasi pilihan ‘menjamu selera’ di siang hari Ramadhan. Lokasinya yang memang tersisih daripada laluan awam serta tersorok di ‘bawah tanah’ bagaikan ‘syurga’ buat pelaku maksiat itu.

Di tapak-tapak pembinaan, suasana lebih memalukan terpamer, tanpa tersembunyi lagi. Sekelompok buruh binaan yang berehat sambil makan atau meneguk air adalah fenomena lumrah. Pemandu jentolak yang melakukan kerja sambil menghisap rokok juga tidak sukar dilihat.

Itu belum lagi disebut ‘bau semerbak’ masakan dari atas bot-bot nelayan yang berlabuh di kompleks-kompleks perikanan. Dikatakan awak-awak bot laut dalam itu sudah menyediakan juadah berbuka seawal jam 11 pagi.

Jika contoh-contoh itu dianggap cerita yang boleh dibuat-buat, bagaimana pula dengan pendedahan oleh media cetak mengenai aktiviti kalangan tidak berpuasa ini? Sebuah tabloid harian edisi Terengganu Ramadhan lalu malah membuat sorotan eksklusif berhubung aktiviti berkenaan.

Ia melaporkan ada restoran di Marang beroperasi di siang hari secara mencurigakan, di mana ramai golongan muda dilihat masuk dan keluar dengan bungkusan minuman dan makanan. Ada kedai lain di tepi jalan di Setiu dan Kuala Terengganudikesan menjadi tumpuan remaja membeli makanan tanpa segan atau takut seawal jam 12 tengahari.

Kesemua pembongkaran itu disertakan gambar-gambar yang meyakinkan. Ia ibarat bukti yang sudah terang lagi bersuluh. Sebab itu banyak pihak mempersoalkan bagaimana mungkin operasi pencegahan oleh pihak berkuasa agama gagal mengesan walau pun satu kes orang tidak berpuasa sepanjang sebulan pada Ramadhan lalu.

Namun pencapaian dianggap tidak logik itu tidak pula menghalang para pemimpin Umno meuar-uarkannya sebagai kebanggaan. Cakap-cakap mereka seolah membayangkan bahawa pencapaian itu hasil kesungguhan pihak penguatkuasa agama melakukan operasi berterusan membanteras gejala itu.

Tidak kurang juga ada yang mengaitkan rekod bersih orang tidak berpuasa itu dengan tahap keimanan dan ketaqwaan yang semakin tinggi di kalangan rakyat Terengganu. Kononnya ia hasil pemerintahan Umno yang menitikberatkan dakwah dan tarbiyah kepada rakyat.

Dakwaan itu agak meloyakan, bukan? Bagi sesiapa yang rasional, moral utama isu ini ialah betapa lemahnya penguatkuasaan syariah di bawah pemerintahan Umno/BN. Operasi pencegahan dilihat bagaikan sekadar melepas batuk di tangga. Adanya seperti tiada, sehingga ia menjadi bahan persendaan di kalangan para pelaku maksiat dan pelanggar hukum Tuhan.

Ertinya, rekod bersih yang dianggap pencapaian cemerlang oleh Umno itu sepatutnya dianggap bukti ketidakupayaan kerajaan pimpinan parti itu mengurustadbir hal ehwal agama di Terengganu. Jika rekod itu berulang lagi tahun ini, bermakna Umno semakin melayakkan dirinya ditukar dari tampuk kuasa.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1670, 29 Ogos 2011di ruangan 'kolumnis' (F21) dengan tajuk sama)

Friday, August 26, 2011

Kristianisasi agenda dirancang sejak era penjajahan


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Silap besar sekiranya kita menganggap kedatangan kuasa penjajah Eropah ke tanah-tanah jajahan mereka, termasuk negara kita, hanyalah di atas hasrat perluasan kuasa politik dan agenda ekonomi. Biar pun secara zahirnya tumpuan mereka kelihatan menjurus kepada mempamerkan kekuatan ketenteraan dan mengaut hasil mahsul dimiliki negara dijajah, agenda tersirat mengembangkan ajaran agama mereka juga bukan sekadar tugas sampingan.

Bagaikan ada kesepakatan kedatangan Portugis dan Belanda ke Melaka sebelum disusuli Inggeris pada zahirnya digambarkan semata-mata perlumbaan antara mereka untuk meluaskan takluk politik. Sejarah yang diajarkan kepada kita sejak dulu juga seakan sengaja ditulis mengikut acuan penjajah bagi menggambarkan kehebatan kelengkapan perang dimiliki mereka.

Kita juga diajar kononnya penjajah lebih berminat menumpukan usaha memunggah khazanah alam dari bumi bertuah ini, terutama bijih besi, timah, getah dan rempah ratus. Di masa sama kita juga sengaja dikaburi kononnya penjajah Eropah sangat kuat berpegang kepada prinsip sekularisme yang sama sekali memisahkan urusan politik dengan agama.

Sebab itu tutur bicara sejarah penaklukan negara oleh kuasa penjajah lebih dipenuhi cerita kekuatan bala tentera mereka, di samping kisah tabiat buruk pembesar-pembesar Melayu yang gemar bertelagah sesama sendiri sehingga memudahkan campurtangan asing. Banyak juga cerita keseronokan penjajah membawa balik harta kekayaan kita ke negara mereka.

Mitos kononnya penjajah berpegang kepada fahaman sekuralisme membuatkan kita tertipu. Malah ada anak Melayu yang bersangka baik kononnya penjajah tidak sedikit pun berhasrat mengembangkan ajaran Kristian dibawa mereka. Jika pun ada gereja dan rumah ibadat dibina, ia hanya untuk kegunaan kumpulan mereka sahaja.

Sedangkan agenda agama sebenarnya telah menjadi sebahagian perancangan penjajah. Sebab itu ketika berita kejatuhan Melaka ke tangan Portugis sampai ke Eropah, satu perayaan besar diadakan di Vatican City, bandar suci penganut Kristian. Logiknya, jika penjajahan mereka semata-mata di atas dasar perluasan kuasa politik, mengapa perayaan itu tidak diadakan di Lisbon, ibu negara Portugal?

Mereka sebenarnya merayakan kemenangan ‘tentera Salib’ menawan salah satu kuasa pemerintahan Islam terbesar di rantau Asia ketika itu. Sejarah betapa Melaka ketika itu sebenarnya mendaulatkan hukum Islam juga suatu yang sengaja dipadam daripada pengetahuan orang Melayu sendiri.

Kita hanya diajar untuk melihat kerajaan Melaka purba tidak lebih sekadar salah satu Kesultanan Melayu di rantau ini. Manakala kedatangan penjajah hanya di atas misi penaklukan.

Sebab itu sejarah kita tidak menekankan bagaimana tatkala satu gerombolan penjajah sibuk dengan aktiviti pemerintahan dan pemunggahan hasil mahsul negara, gerombolan paderi dan mubaligh yang ikut didatangkan dari negara mereka pula giat memainkan peranan berasingan.

Salah satu ruang dimanipulasi mereka ialah menerusi penubuhan institusi pendidikan. Menerusi sekolah-sekolah mubaligh ini mereka secara halus memperkenal dan menerapkan ajaran agama Kristian ke dalam masyarakat Melayu. Anak-anak Melayu diajar membiasakan diri dengan budaya dan ajaran agama itu.

Antaranya menerusi lagu-lagu yang pada zahirnya kedengaran santai dan bersahaja, tetapi sarat dengan unsur-unsur agama. Salah satu lagu yang boleh dikatakan dihafal setiap murid suatu ketika dulu ialah “Are you sleeping, Brother John”. Ia sering dinyanyikan kita semua di bangku sekolah dan diulangsuara di rumah-rumah.

Para ibubapa yang mendengar lagu itu didendangkan anak-anak pula sekadar menikmati keindahan melodinya dan memuji kepandaian anak-anak menuturkan lagu dalam bahasa Inggeris. Hakikat bahawa “Brother John” itu merujuk kepada paderi dan “morning bell” itu adalah loceng gereja seakan tidak pernah diambil pusing.

Secara tidak langsung unsur-unsur Kristianisasi telah meresap ke rumah-rumah umat Islam. Walau pun ia tidak dianggap faktor yang kuat memaut orang Melayu mendekati agama itu, pendekatan sedemikian sekurang-kurangnya “memesrakan” nenek-moyang kita kepada agama asing itu.

Kesungguhan para mubaligh Kristian mengembangkan ajaran agama mereka diserlahkan lagi menerusi dakyah lebih tersusun. Sekali lagi orang Melayu ditipu penjajah dengan memberikan keyakinan palsu berhubung jaminan kedudukan Islam.

Perlembagaan Persekutuan ciptaan penjajah sengaja memperuntukkan bahawa suatu larangan keras bagi agama lain dikembangkan di kalangan umat Islam negara ini. Jaminan itu menjadikan orang Melayu/Islam terbuai keseronokan. Sehinggakan mereka leka dengan gerakerja berterusan penggiat agama itu mengkristiankan rakyat negara ini.

Usaha itu mungkin dimulakan secara rahsia dan penuh hati-hati. Ia berjalan secara perlahan pada awalnya, namun semakin mengumpul momentum kemudiannya. Akhirnya, hakikat bahawa semakin ramai orang Melayu menukar agama kepada Kristian tidak lagi menjadi rahsia.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi tahun 1980 adalah antara pendedahan awal hakikat itu. Hanya selepas 23 tahun merdeka, sudah ada 4,766 orang Melayu yang secara rasmi dibanci sebagai penganut Kristian. Apakah kita mahu bersangka baik kononnya jumlah itu semakin merosot kini? 

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1669, 26 Ogos 2011 di ruangan 'fokus, F15' dengan tajuk serupa)

Sunday, August 21, 2011

Sekadar bertanya, tegaskah Umno perangi murtad?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak sepatutnya ada mana-mana pihak yang berfikiran waras tergamak mempertikaikan pendirian tegas PAS dalam mempertahankan akidah Islam. Sebagai sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar dan secara terbuka mencatatkan tujuan penubuhannya ialah untuk mempertahankan kesucian Islam, adalah tidak munasabah jika dikatakan PAS tidak peka atau tidak mengambil berat sebarang isu membabitkan akidah.

Bukankah gara-gara pendirian tegasnya dalam perkara itu terhasilnya gelombang pembersihan akidah sekitar lewat 70-an dan awal 80-an dulu? Umat Islam seluruh negara seakan dikejutkan dengan penjelasan dan penerangan oleh para pemimpin PAS mengenai batas-batas iman dan kufur.

Umno yang mendapati sebahagian perkara mencemarkan akidah itu bersebati dengan batang tubuhnya bukan sahaja panas telinga, malah seakan ‘terbakar punggung’. Para pemimpinnya tidak senang duduk dan merasa amat terpukul dengan perkara-perkara membatalkan syahadah dijelaskan pemimpin PAS.

Lalu bagi menyelamatkan maruah politiknya daripada terus dipertikaikan orang-orang Melayu, Umno bangkit menyerang balas PAS. Ia menuduh parti lawannya itu mengkafirkan orang-orang Umno, sekaligus menjadi punca perpecahan bangsa Melayu.

Hasil manipulasi kuasa didorong serakah politiknya, Umno berjaya menjuruskan persepsi umum kononnya PAS terlalu ghairah menghukum sesama Islam. Perbuatan para pemimpin PAS yang sebenarnya bertujuan mempertahankan kesucian akidah itu dianggap menggugat perpaduan bangsa dan keselamatan negara.

Akibatnya, sebarang majlis penerangan dianjurkan PAS dilayan seperti aktiviti puak subversif dan wajar dihalalkan apa jua halangan. Fenomena bedilan bom asap, belasahan belantan dan siraman air gatal dari trak merah menjadi ‘santapan’ para pemimpin dan pendukung PAS. Malah sebilangan mereka terpaksa menghadapi ujian lebih menyeksakan daripada kerajaan pimpinan Umno, termasuk di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setelah disuakan dengan berbagai tribulasi sedemikian hebat sejak berdekad lalu, apakah wajar dikatakan PAS kini tidak lagi serius menangani gejala mencemarkan akidah?

Sesiapa juga yang menyelusuri rentetan peristiwa membabitkan isu-isu akidah sudah pasti tidak akan terlepas pandang penglibatan aktif PAS. Sementara Pemuda Umno setakat ini belum diketahui umum sebarang keterlibatan serius dan lantang dalam membantah gejala murtad, para pemuda PAS pula menjadi tenaga pengerak paling aktif menjayakan FORKAD, sebuah front khusus menjulang perjuangan anti-murtad di negara ini.

Siri penerangan dan penjelasan PAS berhubung perkara-perkara membabitkan akidah tidak terbatas kepada kuliah agama di surau dan masjid sahaja. Ia turut diselitkan di dalam hampir setiap siri ceramah umum anjurannya.

Usaha itu diperpanjangkan lagi menerusi media cetak. Penerbitan PAS kerap dipenuhi rencana dan ulasan mengenai bahaya murtad. Selain siri tulisan yang kerap menghiasi dada Harakah, akhbar rasmi PAS, parti itu juga banyak menerbitkan risalah dan buku khusus membicarakan isu murtad.

Contohnya, ketika isu pertikaian penafsiran Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan agama memuncak beberapa tahun lalu, PAS sekali lagi membuktikan keprihatinannya terhadap perkara itu.

Ia tidak sekadar menjadi penonton, malah terlibat secara aktif menjernihkan keadaan, termasuk mengadakan siri penjelasan dan penerangan mengenai letak duduk perkara itu dari persepktif Islam. Sebuah buku kecil sempat dihasilkan Badan Bertindak Anti-Murtad dengan kerjasama Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Harakah juga menjadi medan pendedahan paling laris berhubung sebilangan kes murtad. Setiap kali berlakunya wanita Islam menukar agama atau hilang dilarikan lelaki bukan Islam dengan tujuan memurtadkannya, akhbar rasmi PAS itu menyediakan ruangan tidak terbatas untuk pelbagai laporan dan ulasan agak terperinci.

Apakah keseriusan serupa pernah ditunjukkan Umno? Pernahkan di atas nama parti itu, ia menerbitkan sebarang risalah, buku atau penerbitan membicarakan gejala murtad? Pernahkah mana-mana pemimpin Umno menjadikan topik batas-batas iman dan kufur sebagai isi ceramah mereka kepada rakyat?

Pendirian tegas PAS dalam membanteras gejala murtad dibuktikan lagi dengan tekadnya mendaulatkan hukum Islam, termasuk Hudud dan Qisas. Akuilah betapa hanya hukum Islam yang memiliki peruntukan jelas meletakkan kesalahan murtad sebagai jenayah.

Untuk itu dua negeri yang dikuasai PAS, Kelantan dan Terengganu telah mengorak langkah bermakna merealisasikan hasrat itu. Ia bagaimana pun menghadapi jalan sukar, antaranya ekoran sikap hipokrit pemimpin Umno sendiri selaku penguasa di peringkat Pusat.

Itulah durjananya Umno. Ia bukan sahaja tidak boleh diharapkan untuk memperjuangkan kedaulatan hukum Islam dan tidak pernah berhasrat menyempurnakannya, parti itu malah muncul sebagai penghalang utama setiap usaha PAS ke arah itu.

Bukan sahaja usaha dua negeri di bawah PAS itu menempuh laluan sukar, usaha para pemimpin PAS memanfaatkan persidangan Dewan Rakyat bagi membicarakan isu murtad atau membahaskan kepentingan mewujudkan undang-undang anti-murtad juga tidak diberikan layanan sepatutnya oleh para pemimpin Umno.

Rekod sidang Parlimen membuktikan sekurang-kurangnya dua kali Ahli Parlimen Marang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (ketika itu sebagai Timbalan Presiden PAS) mengemukakan ususl persendirian bagi mendesak kerajaan menggubal undang-undang anti-murtad. Malangnya, usaha itu tidak berhasil, antaranya kerana wakil rakyat Umno sendiri tidak memberikan sokongan.

Beberapa penjelasan di atas sepatutnya membuatkan Umno malu untuk mempertikaikan komitmen PAS mempertahankan akidah Islam.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1668, 22 Ogos 2011 di ruangan 'kolumnis' F21 dengan tajuk 'Seriuskah Umno perangi isu murtad?')

Sunday, August 14, 2011

Isu DNA, Malaysia macam ayam kokok berderai...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Agak mendukacitakan bagi sebilangan umat Islam, kedatangan Ramadhan tahun ini diiringi perbincangan meluas isu status halal beberapa makanan yang menjadi kegemaran mereka. Biar pun kek lapis Sarawak dan sosej ayam berpulut mungkin tidak dijadikan sajian utama berbuka puasa kebanyakan kita, pendedahan mengenai kewujudan asid deoksiribonukleid (DNA) babi di dalam makanan tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah meninggalkan kesan kepada banyak pihak.

Kebanyakan media cetak 3 Ogos melaporkan pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ yang menjadi bahan utama adunan kek lapis Sarawak mengandungi DNA babi. Kenyataan itu adalah sebagai susulan keputusan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) pada 28 Julai yang menetapkan mentega diimport dari New Zealand itu haram untuk umat Islam di atas sebab sama.

Media pada hari ketiga umat Islam menunaikan ibadat puasa itu turut memetik kenyataan Jabatan Kesihatan Perlis berkaitan isu serupa. Hasil analisis jabatan itu mengesahkan sejenis sosej pulut dan kepingan ayam diimport dari Thailand juga mengandungi DNA babi. Kedua-dua produk makanan segera itu dikatakan dijual ramai peniaga di beberapa bazar Ramadhan sekitar Kangar dan menjadi antara kudapan digemari pengunjung.

Sudah tentu pihak paling terkejut ialah para peniaga yang mencari kehidupan dengan kedua-dua produk makanan itu. Biar pun jumlah peniaga dan penjaja yang menjual sosej ayam berpulut tadi mungkin tidak begitu ramai dan hanya terbatas sekitar Perlis sahaja, kes melibatkan kek lapis Sarawak rasanya amat berbeza. Jumlah terlibat dengan perniagaan kek popular itu dikatakan sangat ramai dan rangkaian mereka terdapat di seluruh negara.

Para pengusaha, pengedar dan peniaga kek lapis Sarawak adalah pihak paling terkesan ekoran pendedahan itu. Sebelum ini kebanyakan pengusaha dikatakan tidak menang tangan menyiapkan tempahan untuk keperluan sambutan Hari Raya Idulfitri. Ada yang dikatakan telah mula menyimpan stoknya seawal tiga bulan lalu. Nilai keseluruhan kek-kek lapis yang terpaksa ditarik semula daripada digunakan pelanggan Islam dikatakan berjumlah jutaan ringgit.

Manakala umat Islam secara keseluruhannya sebagai pengguna juga mempunyai sebab untuk amat dukacita dan kesal atas perkembangan ini. Bagi yang baru pertama kali berhasrat menjadikan kek lapis Sarawak sebagai antara penyeri dulang kueh-mueh raya tahun ini, ia mungkin hanya satu kekecewaan kerana hajat itu terbantut. Namun bagaimana pula dengan mereka yang sejak beberapa tahun lalu telah tidak pernah ketinggalan menghidangkan kek tersebut di hari lebaran?

Ertinya unsur-unsur binatang mughalazah itu telah bertukar menjadi darah daging entah berapa juta umat Islam sejak sekian lama. Inilah intipati permasalahan yang amat dikesalkan. Sama ada kes kek lapis mahu pun sosej ayam, kedua-duanya membuktikan betapa lemahnya keprihatinan pelbagai pihak tentang status halal-haram sesuatu makanan yang berada di pasaran.

Sementara rakyat sebagai para pengguna juga bersalah kerana tidak mengambil sikap berhati-hati dan lebih menghalusi soal halal-haram sebelum mengambil apa-apa produk, kelemahan kerajaan selaku pihak berkuasa memantau dan menjamin status halal makanan di pasaran adalah lebih dikesali.

Sedangkan di masa sama para pemimpin negara kita membuka dada di peringkat antarabangsa kononnya Malaysia diiktiraf sebagai hab halal serantau. Kononnya beberapa negara, terutama negara bermajoriti penduduk Islam mengambil contoh dan pelajaran daripada negara kita mengenai industri halal. Malaysia dianggap pelopor dan pemain utama industri itu di rantau ini, kalau pun tidak di seluruh dunia.

Para pemimpin negara boleh berbangga, bahkan sudah ada yang tersangat bangga dengan pencapaian  dan pengiktirafan itu. Malangnya, kesungguhan kita mengangkat kesedaran dunia tentang industri halal itu amat tidak konsisten dengan perkembangan dalam negara sendiri.

Sudah agak kerap kes-kes pencemaran status halal mengejutkan kita. Hanya beberapa bulan lalu terungkai satu kemusykilan mengenai status minuman import yang pada mulanya dilabelkan sebagai ‘bir halal’. Minuman dengan berbagai perisa buahan itu didakwa halal dan dijual secara meluas di serata negara. Kadar kandungan alkoholnya bagaimana pun disahkan agak tinggi, yakni melepasi tahap dibenarkan untuk minuman ‘halal’.

Sebelum ini kita sudah didedahkan dengan fakta betapa kebanyakan hotel di negara ini tidak mempunyai sijil halal disahkan pihak berwajib. Dikatakan tidak ada negeri terkecuali daripada kes-kes tersebut. Ertinya, segala sajian dan hidangan dijamu para penghuni dan pengunjung kebanyakan hotel terbabit terdedah kepada kemungkinan tidak menetapi spesifikasi halal di sisi syarak. Entah berapa juta umat Islam telah menjamah sajian-sajian tersebut?

Menilai keghairahan pemimpin negara menjulang kalimah halal di persada dunia, adalah tidak munasabah apabila status halal pada sajian dan produk digunakan umat Islam dalam negara sendiri masih di tahap amat meragu dan menyedihkan.

Tidak keterlaluan jika perlakuan pemimpin kita diibaratkan ayam jantan yang gemar berkokok berderai-derai, sedangkan ekornya sendiri masih bergelumang tahi!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1666, 15 Ogos 2011 di ruangan 'kolumnis' F22 dengan tajuk 'Macam ayam kokok berderai...")

Monday, August 8, 2011

Sokongan Cina terhadap DHPP buatkan Soi Lek meraban


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Presiden MCA, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek sekali lagi menjadikan PAS sebagai sasaran lepas geramnya. Semacam sudah menjadi kegemaran barunya untuk menghentam parti Islam itu, terutama dengan tujuan membina persepsi buruk kaumnya terhadap PAS.

Sebab itu pemimpin yang pernah terlibat dengan video seks itu seperti lazimnya hanya berminat melontarkan persepsi negatif dan serongnya terhadap parti Islam itu.

Semata-mata di atas hasrat menunjukkan sikap lebih agresif berhadapan pembangkang, beliau sanggup mengenepikan rasionaliti. Soi Lek hanya nampak keburukan dan kelemahan PAS.

Sebelum ini beliau pernah membayangkan kemungkinan sangat buruk bagi negara sekiranya PAS berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat. Dengan penuh prejudis beliau menggambarkan Konsep ‘Negara Islam’ diperjuangkan parti Islam itu sebagai pemerintahan yang zalim dan menindas, terutama terhadap kaum bukan Islam.

Kali ini beliau secara totok menempelak dua kerajaan diterajui PAS, iaitu Kelantan dan Kedah yang disifatkannya sebagai gagal membela kebajikan rakyat.

“Seharusnya, kalau nak rakyat buat perbandingan, bandingkan dulu Kelantan dengan Terengganu. Bandingkan usaha untuk kurangkan kadar kemiskinan, penyediaan peluang pekerjaan baru, usaha untuk tarik pelabur, usaha selesai masalah sosial di dua negeri itu,” katanya di Kuala Terengganu, minggu lalu.

Beliau melahirkan rasa tidak senangnya apabila pembangkang gemar menggunakan Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh kejayaan Pakatan Rakyat, terutama dalam membela kebajikan rakyat. Sepatutnya, kata beliau, prestasi tidak memuaskan di Kelantan dan Kedah wajar dijadikan ukuran keseluruhan dalam menilai pencapaian pemerintahan pembangkang.

Di situlah yang kita katakan sebagai sikap tidak rasional pemimpin MCA itu. Nampak sangat mindanya terlalu dicengkam sentimen negatif terhadap PAS sehingga gagal mewajar dan mengiktiraf sebarang pencapaian positif parti itu sepanjang memerintah beberapa negeri. Masakan tidak ada langsung kejayaan yang boleh dibangga dan diperbandingkan dengan pencapaian kerajaan negeri pimpinan BN?

Teruk sangatkah prestasi kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah? Atau lebih spesifik lagi, teraniaya benarkah kaum Tionghua di kedua-dua negeri sejak ia diperintah parti Islam itu?

Sejarah telah membuktikan betapa pemerintahan Islam dibawa PAS menyediakan persekitaran paling selamat dan selesa untuk semua kaum. Dikatakan tempat paling selamat bagi kaum Cina sewaktu peristiwa hitam 13 Mei 1969 ialah Kelantan.

Ketika ketegangan kaum memuncak di serata negara yang menuntut banyak korban jiwa, bandar Kota Bharu yang ketika itu masih di bawah pemerintahan PAS dikatakan tenang sahaja. Tiada pertumpahan darah mahu pun pertembungan fizikal antara pelampau kedua-dua kaum di seluruh Kelantan.

Jika dikatakan pemerintahan PAS menindas dan menzalimi kaum lain, pengalaman lebih dua dekad di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan tiga tahun di Kedah kini menceritakan segalanya. Kerajaan PAS Kelantan membuktikan sikap terbuka Islam terhadap keperluan bukan Islam, sama ada dalam aspek kehidupan mahu pun peribadatan.

Mereka bebas mengamalkan cara hidup masing-masing tanpa sebarang kacau ganggu mahu pun halangan daripada kerajaan negeri. Sehinggakan beberapa tokong Buddha terbesar di Malaysia, hatta rantau Asia Tenggara, dikatakan tertumpu pembinaannya di Kelantan. Bukankah itu bukti sangat jelas mengenai keterbukaan pemerintahan Islam?

Begitu juga di Terengganu. Biar pun hayat pemerintahan PAS di negeri itu hanya sepenggal, PAS telah membuktikan komitmennya menyantuni keperluan setiap kaum di sebalik segala keterbatasan kuasa dan kongkongan kewangan. Rakyat Terengganu, terutama kaum Tionghua negeri itu sendiri boleh menjadi saksi atas keikhlasan PAS membantu mereka.

Antaranya, satu peruntukan khas bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili kaum bukan Islam/bukan Melayu diluluskan. Ia bagi memastikan suara kaum terbabit diwakili di dalam Dun, sekiranya tidak ada antara mereka terpilih menerusi pilihan raya. Enakmen ini bagaimana pun tidak sempat dimanfaatkan.

Kerajaan PAS Terengganu juga membatalkan cukai pintu Gerbang Naga di Kampung Cina yang dikenakan oleh kerajaan BN sebelum itu. Ia turut mengembalikan nama Jalan Kampung Cina yang sangat sentimental bagi kaum itu, yang ditukar kepada Jalan Bandar oleh BN.

Di Dungun, hasrat kaum itu selama puluhan tahun mendapatkan tanah tapak tadika telah ditunaikan kerajaan PAS. Rakan mereka di Kemaman pula diberikan tanah untuk tapak rumah mayat. Manakala atas inisiatif kerajaan PAS juga tanah seluas 8.5 ekar berjaya dimiliki Persatuan Buddha Wakaf Tapai, Marang untuk menyelesaikan masalah tanah perkuburan kaum itu.

Memang parti itu tidak sempat melakukan banyak perkara, bukan sahaja terhadap kaum Cina mahu pun India, malah kepada orang-orang Melayu sendiri. Namun apa yang penting dalam kesempatan sesingkat itu PAS telah membuktikan ia tidak mengenepikan kepentingan semua kaum.

Sebab itu untuk seseorang mengatakan pemerintahan PAS menindas atau menzalimi bukan Islam amatlah tidak wajar. Lebih tidak rasional lagi sekiranya orang yang membebelkan perkara itu ialah seorang ketua kaum sepeti Soi Lek.

Justeru, apakah gerangan membuatkan beliau tiba-tiba naik angin terhadap PAS dan meraban tak ketahuan hala? Serangan terbaru ini dipercayai sebagai langkah melepas geram dan rasa tertekannya ekoran sambutan sangat baik ditunjukkan masyarakat Tionghua Terengganu terhadap PAS.

Sepertimana dimaklumi umum, baru-baru ini PAS negeri berjaya melancarkan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Dilaporkan ia telah mendapat sambutan amat membanggakan daripada kaum Cina.

Selaku penyandang kerusi tunggal mewakili kaum itu di Terengganu, MCA sudah tentu ada sebab sangat munasabah untuk bimbang dan tidak senang dengan perkembangan itu.

 (Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1664, 8 Ogos 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

Monday, August 1, 2011

Tertarik sikap terbuka, keikhlasan tok imam


Oleh: Farah Zahra’ Nasir

Kehidupan pasangan Kam Teck Hoe dan Tan Hup Neo tiada bezanya berbanding keluarga masyarakat Cina lain di Kelantan. Sebagai warga bandar Kota Bharu di era 30-an dan 40-an dulu, tabiat bergaul mesra dengan masyarakat Melayu saban hari bukanlah hakikat hidup yang asing buat keluarga dari Kampung Sireh ini.

Aturan hidup yang sama turut diterapkan kepada anak-anak. Sedari awal usia lagi mereka dibiasakan bergaul dan berkawan dengan rakan sebaya berbangsa Melayu.

Dalam kebiasaan sama juga lah salah seorang anak mereka, Kam Chin Guan dibesarkan. Di Sultan Ismail School (kini Sultan Ismail College), anak yang dilahirkan pada 1939 ini langsung tidak kekok berkongsi seluruh suasana persekolahan bersama kawan-kawan berbangsa Melayu.

“Saya bersekolah di Sultan Ismail School dari Darjah Satu sampai Tingkatan Lima. Masa sekolah tu, ramai kawan Melayu. Memang ada influence (pengaruh) sikit-sebanyak dari kawan-kawan,” akui Chin Guan.

Beliau yang kini dikenali Haji Kamaruddin Abdullah mengimbau kembali detik-detik awal mengenali Islam. Menurutnya, pada mulanya pengetahuan mengenai agama suci ini hanya secara tidak langsung menerusi kawan-kawan. Ia bagaimana pun beransur menjadi lebih serius seiring peningkatan usianya.

Chin Guan melanjutkan pelajaran ke Maktab Kirkby. Sebaik tamat pengajian, pada 1961 beliau memulakan tugas sebagai guru Matematik di Tengku Mahmud School (TMS – kini Sekolah Menengah Tengku Mahmud), di Besut, Terengganu.

Sejak itu beliau dikenali di kalangan penduduk sekitar pekan Alor Lintang, khususnya warga TMS sebagai ‘Mr Kam’. Panggilan itu kekal hingga kini walau pun telah memeluk Islam dan menukar namanya.

“Dia sendiri pilih nama Kamaruddin (sebagai nama Islamnya), memang sengaja pilih tu, bagi kena dengan singkatan ‘Mr Kam’ tu,” celah isterinya, Puan Hajjah Fatimah @ Wan Kalthom Ibrahim, seraya tersenyum.

Pesara guru Bahasa Inggeris berusia 67 tahun ini adalah anak jati Kampung Amer, Besut, tidak jauh dari rumah mereka sekarang. Beliau adalah pelajar di TMS sewaktu Mr Kam mula-mula mengajar di situ. Perkenalan ‘guru-pelajar’ itu akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin pada 1964.

Mr Kam hanya mengangguk sambil mengukir senyum, mengiyakan imbauan nostalgia oleh isterinya itu. Sememangnya banyak sebab yang mewajarkannya berbangga dengan kenangan silam amat manis itu.

TMS bukan sahaja menemukan mereka berdua, malah kehidupan di sekolah sama juga membugarkan keinginannya menerima agama suci ini. Iinteraksi harian bersama rakan-rakan setugas banyak membantu beliau mengenali Islam secara lebih dekat. Justeru, selepas hanya kira-kira dua tahun berada di Besut, beliau melafazkan syahadah.

“Saya masuk Islam di sini (Besut), tahun 1963. Selain kawan-kawan, satu orang paling banyak dorong ialah seorang alim di Kampung Amer, Haji Nik Osman. Orang panggil dia Pak Nik Man. Dia ni macam bapa angkat saya, selalu beri pandangan (mengenai Islam),” cerita Mr Kam.

Baginya, tok imam masjid kampung itu memang seorang yang istimewa. Sifat Pak Nik Man yang tidak mengutamakan perkara lain selain semata-mata mengajar agama, amat menyentuh hati Chin Guan.

“Dia tidak macam setengah orang, bila ngajar ada imbuhan. Dia tak ada, dia ikhlas, tak ambil duit. Kalau orang nak bagi beras se leng (setengah cupak), dia ambillah, itu aje.

“Selain tu, saya tengok Pak Nik Man ni dia tak cara kat orang, tak caci orang, dia sangat liberal. Jadi saya sangat tertarik dengan sikap dia tu,” Mr Kam menggambarkan keperibadian insan itu.

Penghayatannya terhadap agama baru ini semakin mudah selepas mendirikan rumahtangga. Selain isterinya yang sering dijadikan teman berbincang mengenai ajaran Islam, nenek isterinya yang menjadi tempat mereka bernaung hidup juga banyak menunjuk ajar Mr Kam mengenai hukum agama dan berbagai amal ibadat.

Agak beruntung baginya apabila kehidupannya tidak berdepan banyak karenah. Beliau bukan sahaja memiliki kerjaya yang baik dan menjamin keperluan hidupnya, malah masih mampu mengekalkan hubungan mesra dengan keluarga asalnya.

Kehidupan baik ditakdirkan Allah Ta’ala ke atasnya itu bagaimana pun tidak menghalangnya memikirkan nasib menimpa rakan-rakan Saudara Kita yang lain. Sebagai seorang yang prihatin, Mr Kam kerap meninjau kehidupan mereka, yang didapatinya tidak seberuntung beliau, sama ada dari sudut memahami agama baru mahu pun mengatur keperluan hidup.

Beliau agak kesal melihatkan sikap khalayak majoriti beragama Islam yang tidak begitu mengambil hirau soal kebajikan dan keperluan Saudara Kita. Baginya, orang Islam hanya ghairah memujuk dan mendorong bukan Islam memeluk Islam.

Malangnya keghairahan itu tidak diteruskan dalam memastikan seseorang saudara baru itu boleh mengatur hidup yang baik selepas bergelar Muslim. Sehinggakan, katanya, ada Saudara Kita yang terpaksa hidup semata-mata di atas belas ihsan orang lain dan sering meminta bantuan ke sana-sini.

“Kita perlu faham mereka ini (Saudara Kita) sebaik memeluk Islam, mereka ibarat sebatang kara, tak ada pertalian dah dengan ibubapa, dengan adik-beradik dia orang, kan? Jadi, mereka perlu ada tempat di mana mereka boleh bergantung harap, mendapatkan sokongan. Harap jangan biarkan mereka sendirian selepas memeluk Islam,” ujar Mr Kam.

Tanpa menafikan Saudara Kita ada diberikan bantuan kewangan oleh agensi tertentu, beliau menilainya sebagai bukan penyelesaian terbaik. Beliau sebaliknya mencadangkan agar mana-mana pihak yang prihatin tampil memberikan mereka tunjuk ajar kemahiran tertentu atau menguruskan pekerjaan tetap untuk Saudara Kita agar mereka tidak terus bergantung harap kepada bantuan kewangan untuk meneruskan hidup sebagai Muslim yang baik.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 234, Ogos 2011 di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)

Perbetulkan konsep sambut Ramadhan, Syawal


Oleh: Mohd Nasir Awang

Akuilah bahawa umat Islam di akhir zaman ini sudah semakin jauh dari ajaran Islam sebenar. Jalan hidup yang mereka ambil semakin menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui, bersesuaian dengan sunnah ditunjukkan Rasulullah s.a.w.

Jangan dikatakan pada selok-belok kehidupan harian yang bersimpang-siur, salah faham mengenai konsep bertepatan dengan kehendak agama itu juga turut berlaku dalam aspek peribadatan.

Salah satu di antara kesilapan itu terpampang agak jelas pada cara umat Islam menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Saban tahun dapat kita saksikan bagaimana tahap keghairahan menunggu kehadiran bulan penuh berkat itu sudah semakin tersasar daripada matlamat asal dianjurkan agama.

Umat Islam tidak lagi mengutamakan persiapan diri untuk menyempurnakan tuntutan peribadatan sepanjang Ramadhan. Sebaliknya, fikiran dan tindakan mereka lebih tertumpu kepada persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri selepasnya.

Bahkan, jika pun ada keghairahan dan kegembiraan dengan kedatangan Ramadhan, ia bukan kerana mengalu-alukan Ramadhan itu sendiri. Perasaan itu sebenarnya tidak terlepas daripada kaitannya dengan bahang kemeriahan yang sudah terbayang di benak masing-masing tatkala merayakan lebaran.

“Itulah hakikat yang berlaku kepada kita hari ini. Orang fikir hari raya lebih besar daripada bulan puasa. Sehingga tiga-empat bulan sebelum puasa pun dah ada yang buat persiapan mengenai hari raya. Pada saya itu konsep yang salah,” tegas Ustaz Abd Zaman Bakri Mohamad dengan nada kesal.

Pendakwah bebas dari Kampung Apal, Besut, Terengganu ini lantas memetik kata-kata Sheikh Muhammad al-Ghazali, bahawa di antara kesalahan umat Islam dalam menyambut bulan Ramadhan ialah kerana memikirkan soal pendapatan (nafkah) dan soal persediaan untuk para tetamu (hari raya).

“Maknanya, itulah kesilapan yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini. Dia duk fikir berkenaan persiapan hari raya, perbelanjaan hari raya, sedangkan benda yang paling penting sekali ialah fikir soal bulan Ramadhan yang telah dikurniakan oleh Allah dengan qiyamullailnya, dengan zikirnya, baca al-Quran, tarawihnya dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga pengamal perubatan alternatif seterusnya membandingkan tabiat umat Islam kini dengan tindakan dianjurkan agama.

Antaranya beliau memetik kebiasaan di kalangan para ulama terdahulu. Katanya, seawal enam bulan sebelum datangnya bulan Ramadhan, para ulama salaf sudah berdoa supaya Allah s.w.t. kurniakan mereka nikmat bulan tersebut.

“Abu Bakar al-Balkhi mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan bercucuk tanam. Bulan Syaaban adalah bulan siram tanaman, jirus tanaman dan bulan Ramadhan adalah bulan tuai tanaman,” ulasnya.

Bagi mereka ini, kedatangan Ramadhan dianggap peluang keemasan untuk merebut berbagai kelebihan dijanjikan Allah s.w.t. Banyak hadis Nabi s.a.w. menceritakan kelebihan-kelebihan Ramadhan.

Di antaranya, ditutup pintu neraka sekemas-kemasnya, dibuka pintu-pintu syurga di samping dibelenggu syaitan-syaitan. Bulan Ramadhan juga bulan turunnya al-Quran yang menjadi panduan kita manusia sampai ke akhir zaman.

“Lepas tu pula, bulan Ramadhan juga ada satu malam yang jadi rebutan di kalangan para ulama dan orang-orang soleh iaitulah Lailatul Qadr. Jadi mereka sangat merindui benda-benda (kelebihan-kelebihan) ini, maka mereka tak fikir pun sangat hari raya tu,” Ustaz Abd Zaman melontarkan perbandingan.

Beliau selanjutnya mengemukakan perumpamaan agak menarik mengenai bagaimana sepatutnya umat Islam meraikan kehadiran Ramadhan.

“Sebelum daripada mari bulan Ramadhan ni, kita kena betul-betul bersedia, kena ada rasa suka sepertimana tetamu nak mari rumah kita. Tetamu tu pula bukan tetamu sebarangan orang, kalau kita nak bandingkan ialah seperti Perdana Menteri nak mari ke rumah kita, nak bawa satu hadiah kepada kita.

“Sudah tentulah kita akan buat persiapan yang sebaik mungkin dengan mengecat rumah, dengan repair rumah, renovate semua sekali. Maka begitu lah juga, apabila kita dapat maklumat bulan Ramadhan nak mari, maka kita kena buat persiapan sebaik mungkin, rohani dan jasmani,” ujarnya.

Ulama muda lulusan Universiti al-Azhar, Mesir ini seterusnya menyenaraikan beberapa persiapan yang dimaksudkan. Antaranya ialah memperbanyakkan doa agar Allah s.w.t. mempertemukan kita dengan Ramadhan dan dapat mengharungi ibadat di dalamnya dengan baik.

Menurutnya, Nabi s.a.w. sendiri sering berdoa supaya Baginda sempat dengan bulan Ramadhan dan supaya Allah Ta’ala mengurniakan kepadanya rezeki di bulan tersebut.

Sebelum Ramadhan juga kita hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah s.w.t. Diharapkan dengan itu apabila Ramadhan tiba, kita menyambutnya dengan jiwa yang bersih dan kuat, lalu kita benar-benar dapat menunaikan hak-hak Ramadhan dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.

“Sebab kadang-kadang kita diuji juga pada bulan Ramadhan ni, walau pun kita kata syaitan kena belenggu dah, tapi dengan makan contohnya, dengan minum, dengan malas, dengan mengantuk, dengan nak tidur, apa semua sekali, itu adalah gangguan. Jadi taubat sangat penting sebelum daripada masuk bulan Ramadhan supaya Allah terima taubat kita dan Allah beri kepada kita kekuatan,” tegas Ustaz Abd Zaman.

Turut menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. sebagai persiapan menyambut Ramadhan ialah memperbanyakkan puasa sunat. Pernah ditanya kepada Aisyah r.a. berkenaan amalan Nabi s.a.w. dalam bulan Syaaban. Maka Aisyah r.a. menceritakan bahawa bulan Syaaban adalah antara bulan yang Nabi s.a.w. banyak berpuasa.

“Ulama mengatakan bahawa kenapa s.a.w. Nabi banyak berpuasa dalam bulan Syabaan? Ia diumpamakan sepertimana kita kata kalau orang nak main bola, warming-up la, pemanas badan. Sama juga sepertimana sembahyang lima waktu, kita ada sembahyang qabliyyah, sembahyang tu sebagai warming-up untuk sembahyang fardhu,” ujarnya berkias.

Seterusnya, bekalan penting dalam menghadapi bulan Ramadhan ialah ilmu. Katanya, ramai orang Islam hari ini berpuasa tanpa ilmu. Sebab itu Nabi s.a.w. mendedahkan betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi yang mereka dapat daripada puasa mereka itu hanyalah lapar dan dahaga sahaja. Puncanya kerana mereka berpuasa sekadar ikut-ikutan, bukan berdasarkan kepada ilmu.

“Banyak ilmu berkaitan puasa. Selain perkara-perkara membatalkan puasa, yang makruh, yang mengurangkan pahala, ada juga fadhilat puasa. Sebagai contoh, berbuka awal, bersahur lewat. Begitu juga tadarus al-Quran, afdhalnya di bulan puasa ialah tadarus, sebab Nabi s.a.w. sendiri tiap-tiap malam tadarus al-Quran dengan Jibril a.s. Semua ini perlukan ilmu,” hurai Ustaz Abd Zaman lagi.

Menurutnya, disebabkan kekurangan ilmu juga berlakunya salah konsep menyambut hari raya di kalangan umat Islam kini. Mereka seakan tidak faham bahawa hari raya dalam Islam adalah arahan daripada Allah s.w.t. Malangnya, orang Islam hari ini menyambut hari raya bukan lagi berasaskan kepada tuntutan agama, tetapi lebih terikut-ikutkan budaya agama lain yang dipenuhi pesta dan hiburan.

“Sedangkan kita sepatutnya sambut hari raya dengan bertakbir, tanda syukur kepada Allah, bertahmid, bertasbih kepada Allah sebagai tanda kegembiraan. Di samping kita makan minum serba sedikit apa yang ada, kita menunjukkan perhiasan kita sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t., kita dilarang berlebih-lebihan, apatah lagi berhibur sehingga terlampau. Bukan kita kata hiburan itu tak boleh, tetapi hiburan yang ada pada hari ini terlalu jauh daripada kehendak agama,” katanya.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada konsep sambutan yang sebenar berasaskan agama. Umat Islam, katanya, mesti kembali semula kepada al-Quran, membuka semula hadis Nabi s.a.w. dan mengkaji bagaimana menyambut hari raya mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan menepati apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t..

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 234, Ogos 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)