Friday, August 22, 2003

Kesempurnaan pendidikan tanggungjawab kerajaan


Oleh: Mohd Nasir Awang

Buat kesekian kalinya, Kerajaan Terengganu dibidas lagi kononnya mengeksploitasi isu pendidikan untuk kepentingan politik parti pemerintahnya. Akhbar arus perdana baru-baru ini melaporkan Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir berkata tindakan Kerajaan Negeri mengenakan kadar premium tanah yang tinggi untuk lima tapak sekolah di daerah Marang membantutkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Seperti yang dilaporkan, beliau berkata Kerajaan Negeri mengenakan kadar premium tanah bernilai RM1.5 juta untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Bongkok, SK Bukit Payong, SK Wakaf Tapai, SK Serating dan SK Gong Nangka. Dengan itu, kerajaan negeri dituduh tidak memberikan ruang dan kerjasama bagi membolehkan projek pembinaan sekolah baru dijalankan.

Dalam minggu yang sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Idris Jusoh turut melemparkan tuduhan yang serupa kepada Kerajaan Negeri. Beliau mendakwa pihaknya merancang membina pusat latihan pendidikan dan kemahiran di kawasan Ketengah, tetapi tapaknya tidak mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

“Kita kesal kerana PAS seolah-olah bersikap lepas tangan dalam melaksanakan program pendidikan kepada rakyat Terengganu, malah tidak memberi kerjasama kepada kita,” katanya.

Kedua-dua tokoh politik itu sependapat bahawa tindakan yang didakwa diambil Kerajaan Negeri dalam soal kelulusan tapak ini ‘tidak wajar’ untuk kepentingan pendidikan rakyat. Di masa yang sama, mereka turut menggambarkan kononnya merekalah pembela agenda pendidikan rakyat. Dan, menjadi tanggungjawab mereka memastikan pelajar di Terengganu mendapat kemudahan pendidikan sewajarnya.

Soalnya, apakah yang dijadikan kayu ukur bagi menentukan sesuatu itu ‘wajar’ atau sebaliknya? Kenapa terlalu mudah bagi mereka menganggap tindakan orang lain sahaja yang ‘tidak wajar’, tanpa menilai tindakan-tindakan oleh pihak mereka sendiri?

Penutupan dua Maktab Rendah Sains Mara-Yayasan Terengganu (MRSM-YT) di Dungun dan Besut diketahui umum diputuskan seorang menteri Kerajaan Pusat. Adakah Mahadzir dan Idris bersetuju bahawa itu langkah ‘wajar’ dalam membantu pembangunan pendidikan anak negeri ini?

Dalam skop yang lebih luas, rakyat juga berhak menyoal apakah menyekat pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri ini juga tindakan ‘wajar’ untuk pembangunan seluruh negeri, termasuk sektor pendidikan?

Apakah mereka tidak pernah bertanya berapa ramai pelajar-pelajar anak negeri ini, yang sedang menuntut di dalam dan luar negara, yang terpaksa menghadapi saat sukar kerana biasiswa mereka tertangguh bayaran atau terpaksa dikurangkan?

Beberapa prasarana dan kemudahan pembelajaran di sekolah-sekolah kelolaan Kerajaan Negeri juga barangkali terpaksa bertahan dengan kadar yang ada sehingga beberapa ketika akan datang, memandangkan kesempitan kewangan yang dihadapi Kerajaan Negeri akibat tindakan itu. Apakah para pemimpin parti pemerintah Kerajaan Pusat bersetuju bahawa menyekat pembayaran royalti petroleum itu langkah ‘wajar’ membela pendidikan rakyat Terengganu?

Kerajaan Negeri turut dituduh tidak memberikan kerjasama kepada agensi Kerajaan Pusat dalam pembangunan pendidikan. Sedangkan beberapa program kerjasama pendidikan yang sebelum ini berjalan baik, telah tidak diteruskan pihak kementerian berkenaan tanpa mengambilkira kesediaan pihak Kerajaan Negeri meneruskannya. Selain kes MRSM-YT, kes lain ialah Kelas Mulia Bestari (KMB), program kerjasama YT-Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di Kuala Berang.

Tanya lagi, pihak manakah pula yang menggagalkan kerjasama pendidikan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) untuk menubuhkan fakulti perubatan universiti berkenaan di negeri ini?

Bukan itu sahaja, dikatakan juga bahawa pembinaan beberapa institusi pendidikan yang telah dirancang dengan baik beberapa tahun lalu telah tidak diteruskan atau dipindahkan ke negeri lain sebaik Kerajaan Negeri bertukar tangan. Antaranya ialah pembinaan dua buah lagi MRSM dan kampus Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Sekadar melemparkan tuduhan bahawa Kerajaan Negeri seolah-olah ‘berlepas tangan’ dalam melaksanakan program pendidikan memang kerja mudah. Tetapi kita percaya tidak semudah itu untuk rakyat Terengganu mengiyakannya. Kerana komitmen Kerajaan Negeri dalam menjayakan program pendidikan dapat disaksikan sendiri oleh rakyat dengan penubuhan beberapa institusi baru.

Antaranya ialah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di setiap daerah. Kekosongan premis akibat penamatan KMB di Kompleks Pendidikan YT di Kuala Berang diisi dengan penubuhan Kolej Islam Sains Terengganu (KIST).

Manakala kekosongan premis MRSM-YT di Besut dimakmurkan semula dengan pembukaan Kolej Sains Teknologi Al-Quran-YT (KOSTAQ-YT).

Pendidikan adalah hak bagi setiap rakyat. Maka, memperluaskan peluang memperolehi pendidikan secara formal atau tidak formal adalah tanggungjawab kerajaan.

Komitmen ini bukan sekadar janji di dalam Manifesto Pilihan Raya parti pemerintah. Sebaliknya pelaksanaan ke arah penyempurnaan janji itu sedang rancak dijalankan.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, 22 Ogos 2003 di kolum 'Bicara Isu' dengan tajuk sama)