Wednesday, May 22, 2002

Yang Indah Itu Bahasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

DI KALANGAN orang-orang tua suku kaum Jawa, terdapat satu anekdot yang agak masyhur tentang silap faham penggunaan bahasa. Ceritanya mengenai dua orang yang terserempak sewaktu melalui denai di tengah-tengah hutan. Seorang daripada mereka bertanya yang seorang lagi: “Macan manak?”

Tiba-tiba yang ditanya itu tergamam, menjadi pucat ketakutan dan terus cabut lari. Sang penanya itu diceritakan dari suku kaum Banjar. Ungkapan ‘macam manak?’ dalam dialek Banjar bererti “macam mana?”, iaitu ungkapan lain bagi bertanya khabar.

Manakala yang ditanya itu adalah seorang berketurunan Jawa. Di dalam dialek Jawa, kalimah ‘macan manak’ itu pula membawa maksud ‘harimau beranak’.

Sememangnya harimau yang beranak kecil diketahui sangat ganas dan suka menyerang sesiapa juga yang melintasi kawasannya. Sebab itulah hamba Allah tadi menjadi ketakutan dan terus cabut. Dia menyangka orang Banjar itu memberitahunya bahawa di situ ada ‘harimau beranak’.

Cerita yang ringkas dan agak melucukan ini memberikan gambaran jelas bahawa perbezaan maksud sesuatu perkataan mengikut fahaman bangsa atau suku kaum masing-masing kekadang membawa implikasi negatif. Lebih-lebih lagi bagi masyarakat majmuk yang dianggotai pelbagai suku kaum dan bertutur berbagai-bagai dialek atau loghat pula.

Di kalangan pelajar universiti juga pernah terjadi silap faham yang serupa. Suatu hari dua siswa berjanji untuk ke suatu tempat bersama-sama. Tiba masanya, siswa yang berasal dari Terengganu itu pun datang menjemput rakannya. Rakan serumah rakannya itu yang berasal dari Kedah menjawab, “Pi lah! Dia pesan, satni dia pi”.

Siswa dari Terengganu itu pun terus memandu pergi, seraya merungut, “janji nak gi sama-sama, dia dah cabut awal pulak”. Tiba di tempat yang dituju itu, dia terus mencari rakannya tadi. Kerana, dalam fahamannya kawannya itu sudah pergi lebih dahulu daripadanya.

“Satni” dalam loghat Terengganu bermaksud ‘sekejap tadi’. Sedangkan dalam loghat Kedah ia adalah sebaliknya, iaitu bermaksud ‘sekejap lagi’.

Hanya selepas rakannya itu tiba sejurus kemudian, barulah dia tahu ‘satni’ Kedah berlawanan maksud dengan ‘satni’ Terengganu.

Sengaja kita bangkitkan soal perbezaan maksud sesuatu perkataan ini sebagai berkongsi ingatan dengan pembaca. Ia tentunya ada hubungkait dengan polemik penggunaan perkataan ‘barua’ yang nampaknya sudah sampai ke peringkat diblown out of all proportion (dibesar-besarkan melebihi hadnya) kini.

Segala-galanya bermula daripada tindakan sebuah rangkaian tv yang sengaja mempolitikkan ucapan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), beberapa bulan lalu.

Ucapan beliau itu jelas merujuk kepada sikap cakap tak serupa bikin seorang pemimpin tertentu. Kerana sememangnya selama ini kita fahami betapa para pemimpin negara selalu mencanangkan agar tidak dibenarkan bercakap mengenai politik di dalam masjid. Malangnya, pemimpin berkenaan secara jelas memperalatkan mimbar masjid untuk berkempen pilihan raya kecil yang sedang berlangsung ketika itu.

Perangai bercakap tidak serupa bikin, autar atau suka temberang dalam bahasa Kelantan disebut juga sebagai ‘bual’ (sabdu pada ‘b’) atau ada juga yang menyebutnya ‘barua’. Perkataan ‘barua’ di situ sudah tentu tidak sebagaimana yang digunapakai di negeri-negeri lain, yang membawa maksud ‘orang suruhan untuk melakukan kerja jahat’.

Bahasa adalah jiwa bangsa. Mengenali sesuatu bangsa adalah melalui bahasa yang digunakan mereka. Sepatutnya para ahli bahasa di negara ini memperakui hakikat perbezaan makna kalimah-kalimah tertentu yang digunapakai dalam masyarakat pelbagai suku kaum bangsa Melayu di negara ini.

Satu contoh yang sangat wajar dinyatakan di sini ialah penggunaan perkataan ‘pantat’ (dengan sebutan ‘patak’) di kalangan masyarakat Kelantan dan Terengganu. Ia adalah perkataan biasa yang disebut oleh semua orang, sama ada yang berpelajaran atau tidak, yang jahil atau alim, di pasar atau dalam masjid.

Di rumah ada perumpamaan ‘hitam macam pantat kuali’. Di pasar, orang memilih kain batik berdasarkan corak pada ‘pantat kain’. Bagi golongan nelayan pula, ada model motorbot yang dipanggil ‘pantat potong’, selain sekoci, payang dan lain-lain.

Manakala ‘pantat sotong’ pula ialah bahagian bawah haiwan itu yang terkenal dengan telurnya yang sangat enak dimakan.

Kalau diikutkan fahaman masyarakat ‘sebelah luar’ iaitu di negeri-negeri Pantai Barat, maka semua orang di Kelantan dan Terengganu ini suka mencarut. Kerana, perkataan ‘pantat’ itu bagi mereka adalah alat kelamin wanita yang kita eja dengan lima huruf bermula ‘b’ berakhir dengan ‘t’ itu. Sebaliknya pula perkataan ‘b...t’ itu bagi mereka di sana tidak pula satu carutan yang keji, malah boleh disebut molek-molek ada!

Sengaja kita bawakan contoh sebegini bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu dakwaan kononnya seseorang menggunakan bahasa yang kasar, jijik atau mencarut hendaklah diadili menurut realiti bahasa ibunda sang penutur atau konteks setempat.

Oleh itu, apabila seorang Tok Guru berbahasa Kelantan bercakap di Kelantan di hadapan orang Kelantan, sudah tentu menggunakan kalimah yang dibangsakan kepada rakyat Kelantan. Justeru, kalimah ‘barua’ yang diucapkan itu semestinya difahami berdasarkan apa yang difahami masyarakat Kelantan dan bukannya diputarbelitkan secara out of context.

Orang selalu menyebut, ‘Yang Indah itu Bahasa’. Keindahan itulah antara hikmah Allah Ta’ala menciptakan manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Dak gitu neh?

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mei 2002 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

Wednesday, May 8, 2002

Guru Berkualiti Aspirasi Negara

Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG penyair cilik dari Seberang Takir, Abdul Alim Zakaria di dalam salah satu puisinya yang masyhur menyifatkan guru sebagai ‘penyuluh hidup’ yang menerangi alam ini. Selain itu, beliau menyebutkan lagi:
Wahai guruku kau ibarat sebatang lilin, menerangi alam kegelapan. Kau sanggup membakar dirimu wahai guruku. Kau insan yang mulia mendidik dan membimbing daku. Kaulah insan yang ku sanjungi”.
Ilmu adalah penyuluh kehidupan. Manakala peranan penting guru sebagai penyampai ilmu kepada masyarakat sudah tidak dipertikaikan lagi. Didikan secara formal oleh seorang guru terhadap muridnya adalah complementary (pelengkap) kepada didikan tidak formal yang dibekalkan kedua ibu bapa.
Sebab itu di dalam banyak hal, guru adalah ibarat ibu bapa kepada murid.
Betapa besarnya peranan guru dalam mendidik anak bangsa sering diperkatakan terutama di waktu menyambut Hari Guru saban tahun. Bahkan, terdapat beberapa tahun yang mana tema sambutan yang dipilih itu khusus membicarakan peranan guru.
Antaranya ‘Guru Pembentuk Generasi Akan Datang’ bagi Hari Guru 1978, ‘Guru Pengasas Budaya Membaca’ (1988), ‘Guru Pembina Budaya Ilmu’ (1989), ‘Guru Bestari Sekolah Bestari’ (1997), ‘Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama’ (1998), dan ‘Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang’ (1999).
Tema tahun ini sekali lagi memberikan penekanan khusus kepada peranan guru, iaitu ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’. Sudah tentu apabila disebutkan ‘kualiti’, maka yang dimaksudkan ialah nilai-nilai atau penampilan positif seperti dedikasi dan komited dalam kerja, kreatif dan inovatif dalam kaedah mendidik, mesra dan accountable (bertanggungjawab dan telus) dalam sikap, serta cakna dan prihatin kepada kecenderungan masyarakat.
Sebagai pembekal ilmu, guru sememangnya bertanggungjawab menentukan corak kehidupan seseorang. Kerana, ilmu dan didikan yang dicurahkan oleh seseorang guru menjadi ‘penyuluh hidup’ yang mampu membebaskan seseorang daripada kegelapan hidup tanpa ilmu.
Bahkan, mereka yang sepanjang hari bergaul murid itu sama ada disedari atau tidak sentiasa dijadikan role model oleh murid.
Sepertimana yang pernah disebutkan oleh Imam Malik rahimahullah, seorang kanak-kanak itu belajar dari kehidupan di sekelilingnya. Kalau dia hidup dengan kritikan, dia belajar untuk mengutuk. Kalau dia hidup dalam kekerasan dan kekacauan, dia belajar untuk bergaduh.
Kalau seseorang kanak-kanak itu hidup dengan tolak ansur, dia belajar menjadi penyabar. Kalau dia hidup dengan galakan dan dorongan, dia belajar untuk yakin pada diri. Kalau dia hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghormati. Kalau dia hidup dalam kesamarataan, dia belajar untuk berlaku adil.
Sebab itulah tutur kata dan perbuatan seorang guru amat berkesan di mata dan di hati seorang murid. Amat penting bagi seorang guru untuk mempamer dan menyemai nilai-nilai positif kepada murid-murid. Kerana, kalau murid dibiasakan dengan herdikan dan leteran, dia akan belajar untuk memaki dan menseranah.
Untuk itu, sang guru hendaklah sedaya mungkin mengelak daripada membiasakan diri dengan tindakan negatif. Kerana, bak kata pepatah orang tua, kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Maksudnya, seorang murid itu akan mudah mencontohi kelakuan dan perbuatan gurunya, terutama dalam hal-hal yang tidak elok.
Sesetengah guru memandang enteng peribahasa ini. Lalu di kalangan mereka ada yang mengajarkan kepada murid mereka falsafah yang mereka cipta sendiri, iaitu ‘buat apa yang saya suruh, jangan buat apa yang saya buat’.
Sebenarnya falsafah tersebut tidak boleh dijadikan prinsip dalam mendidik murid-murid.  Sebaliknya, ia jelas menggambarkan sikap tidak accountable sang guru dengan ilmu yang diajarkannya.
Cakap tidak serupa bikin, bikin tidak serupa cakap. Sudah tentu bukan ‘kualiti’ seumpama itu yang diharapkan oleh masyarakat daripada guru-guru.
Sebagai warganegara, guru juga bertanggungjawab terhadap masyarakat termasuk dalam menentukan corak pemerintahan. Telah terbukti sejak beberapa ketika lalu bahawa golongan pendidik ini merupakan kelompok masyarkat yang sangat sensitif dan responsif terhadap perubahan iklim politik tanahair.
Berkat ‘kualiti’ yang ada pada guru-guru negara ini, mereka berupaya menilai dan membezakan yang hak dan batil, adil dan zalim. Parti mana yang ada ‘kualiti sebenar’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, dan mana yang sebaliknya.
Mana parti yang dipenuhi kaki rompak, rasuah dan songlap, dan mana yang didokong oleh orang-orang ‘berjurus’. Alhamdulillah berbekal ‘kualiti’ itu mereka telah memberikan aspirasi baru kepada perubahan dan pembaharuan politik, khususnya di bumi Darul Iman yang bertuah ini.
Sambutan Hari Guru ditetapkan pada setiap 16 Mei. Namun setakat ini ia belum diiktiraf sebagai cuti umum. Pun begitu, pihak sekolah diberi kelonggaran menyambutnya secara sederhana di peringkat masing-masing, tetapi tidak melibatkan cuti.
Justeru, diharapkan tidak terlalu awal untuk kita ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik, khususnya bagi yang membaca catatan ini. Hayati dan halusi tema ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 46, 8 Mei 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)