Tuesday, August 15, 2000

Wawasan Pemerintahan Seorang Ulama


TIDAK syak lagi kemunculan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam politik tanahair adalah suatu fenomena. Sejak kembali dari perantauan di pertengahan tahun 70-an, peranan dan cetusan idea yang disumbangkan oleh Tuan Guru dalam membina jatidiri politik Islam amat dirasakan.

Wawasan beliau tentang politik dan pemerintahan Islam adalah sesuatu yang sangat menambat hati dan tidak jemu-jemu dibaca dan atau didengar oleh rakyat. Di antaranya ialah rayuan beliau agar rakyat bangkit membuat perubahan dalam kepimpinan negeri Terengganu. Berikut dipetik kembali perutusan itu:

“Kita berada di zaman pemerintahan Islam dirungkai, sehingga hilangnya negara dan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Umat Islam dipengaruhi ajaran sekularisme yang memisahkan agama daripada urusan pemerintahan, sama ada menolak agama secara total seperti pernah berlaku di negara komunis dan Turki sekarang, atau yang mengizinkan agama dalam perkara ibadat, undang-undang keluarga, harta pusaka, waqaf dan sebagainya, yang tidak memberi kuasa pemerintahan kepada hukum Islam mengatasi apa yang bercanggah dengannya.

“Cara yang kedua diamalkan di dunia barat dan negara-negara umat Islam yang pernah dijajah, seperti Malaysia. Maka perkara yang diharamkan oleh Islam tidak dapat dibanteras dengan sepenuhnya, bahkan ada yang dilesenkan oleh pihak kerajaan, seperti hiburan-hiburan yang berunsur maksiat, dan menggalakkannya, arak, judi dan sebagainya, di samping berbagai-bagai hak rakyat diabaikan, pemberian hak berlaku secara rasuah, diskriminasi, dan double standard. Peluang memegang kuasa menjadi peluang untuk mencari harta kekayaan.

“Melalui Pilihan Raya Umum 29 November 1999, PAS mengajak kita supaya membuat perubahan yang melambangkan iman yang paling kuat, iaitu dengan memberi undi kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan bukannya sekadar benci di dalam hati yang merupakan selemah-lemah iman. Oleh itu, PAS menyeru rakyat Terengganu supaya membuat perubahan dengan memilih kerajaan yang dipimpin oleh PAS, demi untuk menjadikan gelaran Darul Iman benar-benar menjadi kenyataan.

“Manifesto yang kami kemukakan ini adalah hasil dari ‘Syura Rakyat’, dalam beberapa siri pertemuan dan dialog yang kami anjurkan dengan segenap lapisan masyarakat, iaitu dari golongan petani, buruh, nelayan, peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta, hinggalah kepada ahli akademik dan profesional. Ringkasnya manifesto ini lahir dari suara hati rakyat yang inginkan perubahan dan kemajuan dalam negeri yang mereka kasihi ini. Mereka yakin masa depan negeri ini akan menjadi lebih cerah jika kepimpinannya ikhlas dan kuat berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, serta beramanah dan bertanggungjawab dalam menguruskan wang dan harta rakyat.

“Dalam keadaan belum lagi memegang kuasa, PAS telah dapat menunaikan tanggungjawab sosialnya dengan baik kepada masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan dan kebajikan. Insya Allah apabila diberi mandat oleh rakyat kami memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dilaksanakan di negeri ini jauh lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan sekarang. Sebahagian dari agenda pembangunan kami disebutkan dalam manifesto ini, yang merangkumi kepentingan semua pihak.

“Pembelaan kepada golongan rakyat yang masih miskin, tidak mempunyai tanah dan tidak memiliki rumah kediaman, menjadi program utama kami, dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan berniaga yang lebih luas dan adil, memansuhkan cukai tanah dan cukai pintu rumah kediaman, menghapuskan kutipan tol, serta berusaha meningkatkan pendapatan rakyat terutama dalam sektor pertanian dan perikanan.

“Kakitangan kerajaan yang merupakan jentera pelaksana yang penting sebagai perancang utama pembangunan negeri memerlukan suasana kerja yang selesa, dan tiada campur tangan politik yang berleluasa sehingga lahirnya tindakan kronisme, nepotisme (pilih waris), diskriminasi (pilih kasih) dan pemborosan, sehingga pembangunan kepada rakyat tidak sempurna dan terbantut.

“Insya Allah kami akan menyediakan suasana bekerja yang menyenangkan agar setiap kakitangan kerajaan dapat melaksanakan tugas dengan lebih berdedikasi dan menyumbangkan banyak idea untuk memberi faedah kepada rakyat serta dapat menjadikannya sebagai satu ibadah.

“Dalam bidang kemasyarakatan pula, kami akan memberi penumpuan sepenuhnya kepada agenda pembinaan insan, kerana masyarakat yang dinamik, progresif, harmonis, bersatu padu, bertimbang rasa dan berkasih sayang adalah bertolak dari insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa.”

Sikap prihatin terhadap permasalahan dan juga nasib rakyat tidak terhenti sekadar di atas kertas. Dalam amanat ringkas Tuan Guru kepada bakal-bakal calon yang telah berbai’ah kepada parti di malam sebelum hari penamaan calon, beliau sekali lagi mengingatkan bakal-bakal calon agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan orang bawahan sebagai agenda utama masing-masing. Dengan nada sebak, Tuan Guru menyebutkan:

“Mereka yang memenangkan kita, mereka tidak dapat apa-apa keistimewaan. Mereka memanjat tiang dan pokok untuk menampal poster sehingga luka dada, bersengkang mata berjaga malam, duduk dalam kesejukan. Mereka tak dapat apa-apa. Tetapi kita, apabila kita menang kita dapat berbagai-bagai keistimewaan; dapat kemudahan rawatan kelas pertama, dapat elauan yang berbagai-bagai. Maka janganlah kita lupa pengorbanan mereka itu!”

Sebaik sahaja diangkat sebagai ketua kerajaan, Tuan Guru terus memberitahu sidang akhbar pertamanya bahawa kerajaan PAS tidak akan melakukan tindakan balas dendam politik, dan tidak akan mengamalkan pilih kasih. Sebaliknya, kerajaan PAS akan mengutamakan golongan yang tertindas dan yang selama ini gagal mendapat pembelaan yang sepatutnya daripada kerajaan lalu.

Dalam perjumpaan pertamanya dengan para pegawai kanan kerajaan negeri, Tuan Guru terus memberi amaran agar jangan menjadi pengampu kerajaan. Mereka hendaklah berani melakukan kritikan secara terbuka, sekiranya didapati apa-apa yang tidak kena dengan kerajaan yang ada. “Kalau benar kata benar, kalau salah kata salah”, Tuan Guru dipetik sebagai berkata.

Asas utama ialah membentuk kakitangan yang menghambakan diri kepada Allah, dan bukannya menjadi hamba kepada kerajaan. Kerajaan mampu menyeleweng dan lari dari ajaran sebenar. Tetapi Allah Maha Suci dari sifat-sifat keburukan itu. Sebab itu taat kepada manusia dan kepada pemimpin tidak disyaratkan secara mutlak. Rakyat hanya perlu taat kepada pemimpin selagi pemimpin itu taat kepada Allah. Apabila pemimpin sudah tidak taatkan Allah, rakyat tidak lagi wajib taat kepada mereka.

“Di akhir zaman, rakyat taat kepada pemimpin kerana takutkan kezaliman yang dilakukan olehnya, dan bukan kerana ketaatan pemimpin itu kepada Allah”, kata Tuan Guru.

Dalam lawatan pertama Tuan Guru sebagai Menteri Besar ke daerah-daerah, yang berlaku dalam bulan Ramadhan, beliau sempat berbuka puasa dan menunaikan solat tarawikh bersama-sama rakyat di setiap daerah. Kesempatan bersua muka dengan rakyat itu tidak dilepaskannya begitu sahaja. Rakyat terus dilontarkan dengan wawasan pemerintahan, dan disedarkan tentang tanggungjawab peribadi masing-masing. Antaranya beliau menjelaskan:

“Dalam hubungan kita dengan Allah, kita disebut sebagai hamba. Kita tidak disebut kuli, pegawai atau rakyat, tetapi hamba. Kerana kalau kita kuli Tuhan, senang kita. Kalau kita tidak bersetuju dengan Tuhan, kita boleh mogok. Kalau kita ini pegawai Tuhan, kita tidak bersetuju, kita boleh letak jawatan. Kalau kita rakyat Tuhan, kita tidak bersetuju, kita boleh pindah jadi rakyat di tempat lain. Tetapi kita ini adalah hamba Allah. Mahu tidak mahu seorang hamba mesti ikut kata tuannya. Sebab itu apabila Tuhan memerintahkan kita agar menjadikan al-Quran dan Hadith sebagai panduan hidup, kita mesti ikut Tuhan!”

Antara perkara pokok yang sering ditekankan juga ialah: “Kita yang kena ikut al-Quran, bukannya al-Quran yang kena ikut kita.”

Sudah semestinya, sebuah pemerintahan yang ditegakkan di atas cita-cita mendaulatkan hukum Allah, perlu sentiasa mengingatkan rakyat kepada kebesaran dan keagungan Allah. Wawasan pemerintahan itulah yang jelas membezakan sebuah pemerintahan yang sekadar mendakwa mahu membela agama, dengan sebuah pemerintahan yang benar-benar mahu melihat Islam ditegak dan dihayati dalam masyarakat.

Nampaknya wawasan pemerintahan seorang ulama juga yang paling sesuai untuk dilaksanakan bagi mengembalikan kedaulatan Terengganu sebagai ‘Darul Iman’

(Artikel ini adalah Bab 2, Bahagian A: Bermulanya Era Ulamak, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', diterbitkan Penerbitan Pemuda, Gombak, Selangor, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment