Tuesday, August 15, 2000

Awang Dagang bin Jusoh


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Bukan Islam

AWANG Dagang bin Jusoh dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mengutamakan pendidikan Islam, pada tahun 1935, di Kampung Gelugur, Kerteh, Kemaman. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kerteh, Kemaman. Selepas itu beliau meneruskan pelajaran ke Sekolah Arab al-Falah, juga di Kemaman, sebelum melanjutkan pengajian Islamnya di sebuah pondok terkenal di Bachok, Kelantan.

Walaupun secara formalnya beliau dikatakan telah tamat pengajian, namun minatnya terhadap pendidikan Islam mendorong Awang Dagang untuk terus mengikuti pengajian pondok. Di masa yang sama beliau turut memberikan kuliah agama di beberapa tempat di sekitar Kemaman.

Pada tahun 1950, Ustaz Awang mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya. Alhamdulillah, berkat ketekunan mereka, setakat ini pasangan ini dikurniakan 14 orang cahaya mata.

Ustaz Awang mula mendaftar sebagai ahli PAS pada tahun 1959. Beliau terus bergiat cergas di Kemaman, sehingga ke saat ini. Dalam tahun 1966 beliau dipilih menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman Utara dan kekal memegang jawatan itu sehingga 1970.

Di atas usaha giatnya menyampaikan kuliah agama di serata tempat, pada tahun 1974 Ustaz Awang diberi tauliah oleh pihak berkuasa agama negeri, sebagai guru agama polis daerah Kemaman. Di tahun yang sama juga beliau mula bertugas sebagai Pegawai Seranta, Lembaga Urusan Tabung Haji. Beliau sempat berkhidmat di jawatan tersebut sehingga 1978.

Dalam tahun 1974 itu juga Ustaz Awang dipilih menerajui PAS Kawasan Kemaman. Beliau menjadi Yang Dipertua selama hampir 20 tahun, sehingga 1992. Dalam tempoh itu beliau sempat bertanding beberapa kali dalam pilihan raya umum. Bermula pada Pilihan Raya Umum 1978, beliau mencuba nasib di DUN Kemasek. Lawannya ialah Datuk Wan Adnan bin Wan Ismail daripada BN. Beliau tewas dengan majoriti 1,541 undi. Datuk Wan memungut 3,270 undi, Ustaz Awang hanya memperolehi 1,729 undi.

Pada Pilihan Raya Umum 1982, Ustaz Awang sekali lagi bertanding di DUN Kemasek. Lawannya juga orang yang sama, Datuk Wan Adnan. Sekali lagi beliau tewas kepada calon BN itu, kali ini dengan majoriti yang agak besar, iaitu 2,416 undi. Sememangnya Kemaman bukanlah kawasan ‘sihat’ bagi PAS ketika itu. Mengharapkan kemenangan PAS di situ adalah ibarat mengharapkan PAS menawan Johor atau Negeri Sembilan sekarang. Namun kalah atau menang, perjuangan tetap diteruskan.

Pilihan Raya Umum 1986 mencatatkan sejarah tersendiri bagi Ustaz Awang. Beliau sekali lagi dipilih bertanding mewakili PAS. Ia disifatkan bersejarah kerana itulah kali pertama Ustaz Awang berhadapan dengan Datuk Seri Amar DiRaja Wan Mokhtar bin Ahmad di DUN Chukai. Selaku MB tentulah advantage banyak memihak kepada Wan Mokhtar. Pemimpin BN itu menang mudah dengan majoriti 2,996 undi.
           
Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Seranta di Tabung Haji, pada tahun 1989 Ustaz Awang mula menjadi pemimpin jemaah haji di daerah Kemaman. Boleh dikatakan setiap tahun beliau mengetuai rombongan jemaah haji dari daerah itu ke tanah suci Mekah. Khidmat masyarakat yang diberikannya itu menambahkan lagi kemesraan antara beliau dengan anggota masyarakat.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990, negara menyaksikan kehadiran Parti Semangat 46. Kehadiran mereka nyata memberikan sedikit harapan baru bagi Angkatan Perpaduan Ummah (APU), khususnya PAS di Terengganu, untuk memperbaiki prestasi dalam pilihan raya itu. Ustaz Awang sekali lagi mengambil bahagian yang aktif sebagai calon PAS. Kali ini beliau bertanding di DUN Kijal, menentang calon BN, Ahmad bin Said.

Jumlah penyokong Parti Semangat 46 yang didakwa sangat ramai itu bagaimanapun masih tidak berupaya membantu sebarang kemenangan di kawasan Kemaman. Semua calon APU tewas kepada calon-calon BN. Ustaz Awang tewas kepada Ahmad dengan majoriti1,834 undi.

Kemunculan beberapa tokoh baru dalam PAS Kawasan Kemaman menguatkan lagi hasrat Ustaz Awang untuk memberi laluan kepimpinan kepada mereka. Maka pada tahun 1992, beliau pun melepaskan jawatan Yang Dipertua. Tempoh ‘rehat’ itu memberikannya lebih masa untuk menumpukan perhatian kepada kuliah agama serta urusan jemaah haji.

Pengunduran itu bagaimanapun tidak mampu bertahan lama. Ternyata ahli-ahli PAS Kawasan Kemaman masih lagi dahagakan khidmat bakti “ayahanda” mereka itu. Maka pada tahun 1994 beliau pun terpilih semula menjadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, dan kekal menerajui kawasan berkenaan hingga sekarang.

Dalam Pilihan Raya Umum 1995, Ustaz Awang mengecualikan dirinya daripada dicalonkan, bagi memberi laluan kepada muka-muka baru. Begitulah juga khabarnya apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum 1999. Pada permulaannya Ustaz Awang mengemukakan seorang calon yang sangat berwibawa, seorang tokoh korporat muda dan aktivis pemuda yang sangat tersohor di peringkat kawasan, negeri dan juga Pusat.

Nama beliau disebut kembali hanya apabila Wan Mokhtar mengisytiharkan dirinya akan kekal mempertahankan DUN Cukai. Sudah tentu jagoan sehebat Wan Mokhtar memerlukan seorang jagoan juga untuk menghadapinya. Seorang yang dikira paling layak dan agak setaraf dari segi usia dan keilmuan untuk memikul tugas berat itu sudah tentulah Ustaz Awang.

Dengan gelombang perubahan politik yang begitu kuat membadai Pantai Timur, Ustaz Awang telah mencatat kenangan paling manis dalam hidupnya sebagai ‘giant killer’ di Terengganu. MB Terengganu yang bertakhta selama lebih 25 tahun, dengan segala kelengkapan jentera pilihan raya yang serba canggih, akhirnya tumbang juga.

Ustaz Awang berjaya mengutip 6,564 undi, manakala Wan Mokhtar memperolehi 6,128 undi. Majoriti yang dipungut hanyalah 436. Tetapi ia sudah lebih dari cukup untuk meruntuhkan kekuasaan BN di Kemaman, sekaligus meranapkan pemerintahan lebih 38 tahun BN di Terengganu.

Pada 2 Disember 1999 Yang Berhormat Ustaz Haji Awang Dagang bin Jusoh pun dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, bertanggungjawab ke atas Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Bukan Islam.


(Artikel ini adalah sebahagian daripada Bab 13, Bahagian C: Profil Pimpinan Terengganu, dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment