Saturday, April 10, 1993

Besut Pintu Tawan Terengganu?

Oleh: Mohd Nasir Awang
Sejak awal-awal pagi lagi pada 20 haribulan Mei 1959, deretan beca roda tiga sudah kelihatan ‘menghiasi’ sudut-sudut utama di Pekan Jerteh, Terengganu. Di pekan yang menjadi pusat perdagangan bagi masyarakat daerah utara Terengganu itu, beca roda tiga dikenali sebagai ‘teksi’. Ia merupakan kaedah pengangkutan jarak dekat paling popular sehingga pertengahan tahun 70-an lalu.
Kehadiran ‘teksi-teksi’ berkenaan pada pagi itu, bagaimanapun bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sebagaimana di hari-hari biasa. ‘Teksi-teksi’ itu sebenarnya membawa bersama mereka suatu manifestasi sokongan mereka terhadap perjuangan menegakkan pemerintahan Islam di negara mereka; Persekutuan Tanah Melayu.
Di hari berkenaan semua ‘teksi’ yang berada di Pekan Jerteh mengibarkan bendera Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS). Tindakan yang mereka buat secara sepakat itu nyata ‘menghangatkan’ suasana pagi hari pembuangan undi itu. Ia melahirkan suatu ‘kejutan’ yang tambah menyemarakkan daya juang ahli-ahli PAS, dan di masa yang sama ‘membunuh’ semangat kerja ahli-ahli Parti Perikatan yang menjadi saingan utama PAS dalam meraih sokongan rakyat.
Pergerakan ‘teksi-teksi’ itu yang bertali arus dan mundar-mandir dari pusat pekan ke tempat pembuangan undi di sebuah sekolah berdekatan sekaligus menjadi suatu kaedah kempen dan rayuan undi yang sangat berkesan bagi PAS.
Buat pertama kali sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan rakyat negara ini berpeluang memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Perundangan Persekutuan (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri.
Di kesempatan itu, Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS) telah memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat di Daerah Besut dengan meletakkan pemimpin nombor satunya, Dr. Burhanuddin Mohd Noor Al-Helmi sebagai calonnya bagi kerusi Parlimen Besut.
Dalam Pilihanraya Umum Pertama itu PAS menang besar di Parlimen Besut dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri Terengganu. Dr. Burhanuddin Al-Helmi telah berjaya menewaskan calon Perikatan di Peringkat Parlimen. Manakala di peringkat negeri, calon-calon PAS berjaya mengalahkan calon-calon Perikatan di lima daripada enam kerusi DUN.
Ustaz Husin Jusoh telah menang di DUN Hulu Besut, Haji Wan Said Wan Mohd Noor di DUN Kuala Besut, Haji Mohamad Ismail di DUN Besut Tengah, Encik Senari Yunos di DUN Kampung Raja dan Haji Daud Samad di DUN Setiu. Hanya kerusi DUN Hulu Nerus yang tidak berjaya ditawan oleh PAS di Besut.
Kejayaan yang mengejutkan itu seterusnya meletakkan Besut sebagai sebuah kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di Terengganu. Suara PAS Besut bergema di Parlimen buat beberapa tahun. Dan yang lebih menarik suara itu adalah suara Yang Dipertua Agong PAS sendiri.
Di peringkat negeri Terengganu pula, wakil-wakil rakyat dari Besut turut memainkan peranan yang signifikan dalam pembentukan kerajaan PAS yang pertama di negara ini.
(PAS juga menang besar di Kelantan beberapa hari kemudian dan membentuk kerajaan PAS yang kedua di negara ini). Peranan paling menyerlah ialah dengan pemilihan ADUN Setiu, Besut iaitu Haji Daud Samad sebagai Menteri Besar Kerajaan PAS Terengganu.  Sejarah merakamkan bahawa Menteri Besar Pertama (dan satu-satunya hingga kini) bagi kerajaan PAS di Terengganu adalah pemimpin PAS Besut.
Setelah berlalu beberapa masa, berbagai-bagai perubahan dan pertukaran suasana politik melanda daerah Besut. Dalam diari pilihanraya-pilihanraya umum selepas itu, PAS telah mengalami beberapa keadaan ‘jatuh-bangunnya’.
Secara umumnya, keadaan-keadaan itu memperlihatkan suatu ‘kemerosotan’ undi yang ketara terhadap calon-calon PAS di Besut. Di samping gagal mempertahankan kerusi Parlimen Besut sejak Pilihan Raya Umum 1969.
PAS juga tidak berjaya memenangi sebarang kerusi DUN di Besut sejak Pilihan Raya Umum 1974 (PAS bertanding atas tiket Barisan Nasional pada tahun itu).
Ledakan pembebasan ummah yang melanda umat Islam seluruh dunia di akhir 70-an dan awal 80-an nyata membawa kesan yang amat signifikan terhadap rentak perjuangan PAS.  Kejatuhan kerajaan PAS di Kelantan beserta kehilangan sebahagian besar kerusi di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 1978 bagaikan tidak sempat mendatangkan sebarang ‘kelumpuhan’ kepada perjuangan PAS.
Kebangkitan Islam seluruh dunia telah memberi aspirasi kepada semua gerakan Islam, termasuk PAS di Malaysia. Melalui gelombang ‘pembersihan akidah’, PAS bagaikan mendapat nafas baru untuk turun ke tengah-tengah masyarakat memberi penerangan ‘batas-batas iman dan kufur’.
Pihak yang paling tertekan dan terpukul dengan penerangan isu akidah ini tentu sekali dari kalangan orang-orang Melayu/Islam yang tidak menganggotai parti/kumpulan Islam. 
Dalam hal ini, Umno menjadi satu contoh yang paling baik untuk disebut oleh PAS betapa memang ada kumpulan orang-orang yang mengaku Islam, tetapi perancangan dan tindakannya tidak menepati lunas-lunas Islam. Malah sebahagian tindakan Umno nyata ‘terbabas’ melewati batas-batas iman dan kufur.
Dalam keadaan takutkan bayang-bayang sendiri begitu, tiada langkah politik paling wajar bagi Umno (yang menjadi tulang belakang kerajaan), melainkan untuk mengembalikan segala ‘kegerhanaan politik’ yang timbul ekoran isu itu kepada PAS sebagai ‘mengkafirkan orang Islam’ dan ‘memecah-belahkan perpaduan masyarakat’.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam di dalam kata-kata alunan beliau pada Kertas Putih terbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada awal November 1983 secara terus-terusan menghukum PAS sebagai ‘mengkafirkan orang Islam. Beliau menyebut:
There are also certain groups and individuals, especially members and supporters of the Parti Islam Se Malaysia (PAS), who have formulated, issued, and disseminated what they claimed to be ‘fatwa’ which branded those Malaysian/Muslims outside their party as ‘kafir’.  This activity is serious, harmful and dangerous”.
Salah tanggapan yang dilemparkan terhadap PAS oleh Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun terus diperbetulkan oleh seorang penulis politik seminggu kemudian.  Saudara Abdul Razak Ayub yang menghabiskan beberapa masa di Terengganu dan Kelantan bagi menyelidik persoalan akidah dan politik masyarakat Melayu mendapati keadaan sebenar yang berlaku tidak sebagaimana yang digambarkan oleh Menteri berkenaan.
Sebaliknya, secara sinis beliau meletakkan segala yang berlaku (antara orang-orang PAS dan Umno) adalah sebagai manifestasi rasa ‘keterasingan’ orang-orang Melayu ekoran amalan diskriminasi dan penindasan politik Umno. Di dalam bukunya bertajuk ‘Perpecahan Bangsa Melayu’, beliau menyebutkan:
“Adapun fitnah kafir mengkafir yang membabitkan soal iman-Islam-kufur seperti yang digema-riuhkan oleh sebaran am tempatan khususnya, dari kajian dan penyelidikan saya dapati perkara ini tidak terjadi…
“..Apa yang sebenarnya berlaku ialah diskriminasi dan penindasan politik Melayu yang berkuasa ke atas Melayu yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung hingga menyebabkan rasa keterasingan sebahagian besar orang Melayu.  Manakala kafir mengkafir adalah semata-mata tuduhan Umno terhadap PAS dan sehingga kini tuduhan itu masih tidak terbukti……”
Klimaks kepada gelombang pembersihan akidah sebagaimana yang disebutkan di atas telah ditakdirkan berlaku di daerah Besut.  Beberapa ‘ketegangan dan perpecahan’ dalam masyarakat telah sekali lagi menjulang nama ‘Besut’ dalam arena politik negara, terutama di kalangan pemimpin Umno dan juga pasukan keselamatan.
Kertas Putih terbitan KDN pada November 1984 di beberapa bahagian dalam laporannya mencatatkan kejadian-kejadian ‘yang tidak pernah diingini’ yang melanda daerah Besut.  Antaranya, pemulauan kenduri-kendara, pernikahan semula, penceraian politik, sembahyang berasingan, tidak mengeluarkan zakat kepada amil kerajaan, kubur berasingan, tidak makan sembelihan orang Umno dan ‘mengkafirkan’ Umno.
Satu senarai kelab-kelab PAS yang dijadikan tempat Jumaat juga dilampirkan dalam Kertas Putih berkenaan. Dan suatu keadaan yang menarik ialah daripada sejumlah 33 buah kelab, surau dan masjid yang disenaraikan di seluruh negara itu, sebanyak 22 buah adalah dari daerah Besut.
Dengan kata lain, bolehlah agaknya dikatakan bahawa dua pertiga ‘ketegangan’ politik Melayu/Islam antara PAS dan Umno di seluruh negara pada akhir 70-an dan awal 80-an telah berlaku di daerah Besut.
Berikutan ketegangan yang meledak di Besut, beberapa pimpinan dan ahli PAS Besut telah ditahan di bawah Enakmen Kediaman Terhad, Seksyen 39. Mereka ialah Ustaz Mohamad@Stimat bin Jusoh yang dibuang daerah ke Kampar, Perak; Ustaz Abdul Latif bin Muhammad ke Setiawan, Perak; dan Haji Jusoh bin Besar ke Kluang, Johor.
Manakala sebilangan pemimpin dan ahli yang lain turut menerima hukuman penjara atau denda beribu-ribu ringgit atas ‘kesalahan-kesalahan’ di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, seperti mendirikan Jumaat tanpa tauliah, mengeluarkan zakat kepada orang yang tidak bertauliah dan mengeluarkan ‘fatwa’ tanpa tauliah.
Ada pun ahli-ahli PAS di Besut yang menanggung akibat diskriminasi dan penindasan Umno seperti ditukar tempat kerja, dinafikan hak mendapat subsidi, disisih daripada mendapat lesen, permit, tanah, biasiswa dan seumpamanya, jumlah mereka hampir tidak terhitung. 
Namun, sebagaimana besi yang pejal, semakin dibakar dan diketuk, semakin runcing dan tajamlah ia. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan begitulah komitmen ahli-ahli PAS Besut terhadap perjuangan Islam.
Mungkin segala kesengsaraan dan penderitaan hasil ‘sepak-terajang’ politik Umno itu telah mendidik mereka untuk menjadi lebih cekal dan tabah menghadapi dugaan hidup.  Segala sekatan dan penafian terhadap hak-hak mereka mendapat subsidi dan seumpamanya telah mengajar mereka untuk berdikari dalam menjayakan perancangan dan gerakerja mereka. 
Sepatah kata Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Abdul Latif Muhammad, mungkin menepati sikap dan pendirian ahli-ahli PAS Besut. Beliau menyebutkan:
“Dengan kesungguhan, insya Allah kita boleh mencapai apa jua kemajuan yang dihajati.  Kita tidak perlu tunggu menang (pilihan raya) dan memerintah untuk memulakan program pembangunan atau ekonomi. Orang Umno adalah manusia, kita juga manusia serupa dengan mereka. Kalau mereka yang sekular boleh berjaya mengapa kita yang berjuang Islam ini tidak boleh berjaya?”
Tahun-tahun pertengahan 80-an memperlihatkan perkembangan PAS Besut secara positif dalam aspek pembangunan infrastruktur. Pusat Tarbiyyah PAS Besut di Padang Luas telah berjaya dibina hasil sumbangan dan titik peluh ahli-ahlinya.
Begitu juga dengan bangunan pentadbiran setinggi empat tingkat yang menjadi salah sebuah mercu tanda Bandar Jerteh hari ini.
Manakala di hampir setiap cawangan di seluruh kawasan Besut dibina pusat-pusat kegiatan yang memuatkan pejabat cawangan, ruang sembahyang dan bilik mesyuarat. Kini terdapat tidak kurang 40 buah pusat seumpama itu di seluruh kawasan Besut. 
Agaknya fakta inilah yang mendorong Haji Mohamad bin Sabu, pemimpin pemuda PAS yang sangat disanjungi masyarakat, mengisytiharkan PAS Kawasan Besut sebagai kawasan yang terkaya di seluruh negara. Dalam satu majlis anjuran Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Haji Mohamad menyatakan:
“Tuan-tuan tahu tak kawasan PAS mana yang paling kaya di seluruh Malaysia? Kalau saya tanya begitu, tentu tuan-tuan akan kata: “PAS Kawasan Bukit Bintang! Sebab ahli-ahli PAS Kawasan Bukit Bintang ramai yang bergaji empat angka!”. Ada pula yang berkata: “PAS Kawasan Batu! Sebab ahli-ahli PAS Kawasan Batu ada doktor, ada cikgu, pensyarah, jurutera!,” Bukan, tuan-tuan! PAS kawasan paling kaya ialah Besut!”
Walaupun orang-orang PAS Besut tidak pernah mengharapkan mereka diberi pujian sebegitu, tetapi mereka ada sebab yang wajar untuk berbangga dengan ungkapan tersebut.  Sebab yang wajar itu ialah keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam perjuangan, sehingga mereka menempa kejayaan yang cemerlang dalam pembangunan infrastruktur.
Bukan setakat pembangunan itu sahaja, PAS Besut juga telah disifatkan oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Halim Arsyad sebagai salah sebuah kawasan yang paling awal ‘mencium’ bau perubahan politik ke arah perpaduan ummah. Di mana apabila batang-tubuh Umno ‘terbelah dua’ ekoran pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada 1987, maka antara pihak paling awal mengadakan program ‘damping’ dengan kumpulan Team B Umno (kemudian dikenali sebagai Semangat 46) ialah PAS Kawasan Besut.
Bagi sebilangan pemerhati, terutama mereka yang terpengaruh dengan idea kumpulan Islah PAS, mereka berpendapat sepatutnya PAS Besut menjadi antara kawasan yang paling lantang ‘menentang’ perpaduan dengan bekas ahli-ahli Umno itu. Kerana, kata mereka ahli-ahli PAS Besut adalah antara manusia yang paling teraniaya oleh diskriminasi dan penindasan politik Umno.
Antara ahli-ahli PAS Besut, ada yang masih ‘belum hilang’ bekas gari di pergelangan tangan, ada yang masih belum hilang kesan gas pemedih mata, dan ada yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah atas ibadat-ibadat mereka yang dikira ‘kesalahan’ di sisi kerajaan Umno. Sedangkan para pemimpin Umno yang bertanggungjawab atas segala ‘kedurjanaan’ politik itu sebahagian besarnya berada dalam kumpulan Semangat 46 kini.
Untuk golongan yang berfikiran begitu, mungkin seungkap kata-kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS ini boleh dijadikan panduan. Beliau menyebut bahawa “perbalahan kita dengan pihak pimpinan Barisan Nasional khususnya Umno bukan berbalah body, bukan berlaga tubuh. Tetapi balah kita berkenaan dengan kefahaman dan akidah.
“Dengan erti kalau mereka itu sedar bahawa akidah yang mereka pegang boleh diubahkan, maka tidak ada masalah di antara kita dengan mereka. Sebagai contoh, telah kita tunjukkan antara kita dengan ahli Semangat 46. Walaupun 46 dulu sebelum daripada jadi 46 mereka itu bertengkar, berbalah dan berselisih, bersungguh-sungguh menyusahkan kita tetapi bila mereka itu menukarkan akidah mereka daripada sekular menjadikan Islam sebagai ad-Deen, maka kita membuktikan kepada masyarakat seluruh bahawa tidak ada perbalahan di antara kita dengan mereka.”
Berbekalkan keikhlasan dalam menempa perpaduan ummah itu, PAS Besut sekali lagi berjaya ‘menguak pintu-pintu kampung’ yang selama ini bagaikan dipateri daripada dimasuki suara-suara PAS.
Tanpa hipokrit, PAS Besut memperakui betapa signifikan kehadiran Semangat 46 dalam meraih sokongan rakyat Besut semasa Pilihan Raya Umum 1990 lalu. Kewujudan ahli dan penyokong Semangat 46 telah membantu PAS menawan kerusi DUN Jerteh dan menyempitkan jurang perbezaan undi dengan BN di semua DUN seluruh Besut.
Dalam pilihan raya itu, BN hanya menang dengan majoriti 202 undi di Kuala Besut, 340 undi di DUN Kampung Raja dan hanya 251 undi di DUN Hulu Besut. Manakala bagi kerusi Parlimen Besut pula, Datuk Zakaria Abdul Rahman (S 46) tewas kepada Datuk Dr. Yusof  Noor (BN) hanya dengan majoriti 994 undi.
Dengan catatan majoriti undi yang begitu kecil bagi BN, ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan Besut itu kini berada di dalam senarai ‘mesti dimenangi’ dalam usaha-usaha PAS –S46 untuk menawan negeri Terengganu. Ungkapan ‘kita mesti menang keempat-empat kerusi DUN di Besut’ sudah menjadi semacam ratib bagi para pemimpin PAS apabila mereka berdiskusi soal ‘menawan Terengganu’.
Sementara itu PAS sentiasa mengharapkan anugerah Allah menawan negeri Terengganu.  Dan menjadi kebiasaan orang ‘berperang’, segala perancangan dan aturan strategi bagi menyerang kawasan target dibuat berpangkalan di kawasan yang telah dimenangi. Sebab itu BN menjadikan Besut (Terengganu) sebagai ‘Pangkalan Tawan Kelantan’.
Dalam konteks PAS pula, oleh kerana negeri Kelantan telah pun berjaya ditawan, maka pangkalan ‘serangan’ tentulah paling sesuai diadakan di Kelantan. Dan, untuk itu, Besut sebagai jalan masuk dari Kelantan sewajarnya menjadi ‘pintu’ untuk gerakerja menawan Terengganu.
Beberapa fakta semasa tambah mewajarkan Besut untuk dijadikan ‘Pintu Tawan Terengganu’ sama ada bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang atau selepasnya:
Pertama:  Faktor kekuatan PAS Besut seperti mana yang dihuraikan secara panjang lebar di atas, termasuk sejarah kegemilangan 1959, ketabahan ahli-ahli PAS Besut yang telah teruji berupaya menghadapi tribulasi pemerintahan, kesungguhan ahli-ahli dalam melaksanakan tuntutan pembangunan infrastruktur dan keikhlasan ahli-ahli PAS dalam menangani era perpaduan ummah.  Faktor ini merupakan aset terpenting bagi kekuatan PAS di Besut.
Kedua: Faktor Kelantan, iaitu advantage kedudukan Besut sebagai jiran Kelantan yang akan memberi ruang yang mudah untuk menerima sebarang ‘tempias’ kebaikan-kebaikan perlaksanaan Islam di Kelantan. Tambahan pula hakikat sosio-budaya masyarakat Besut yang terlalu banyak menyamai rakyat Kelantan, yang tentu sekali memudahkan kaedah komunikasi antara pengkalan (Kelantan) dengan ‘pintu’ (Besut).
Ketiga: Faktor kelemahan BN di mana slogan ‘Ke Arah Pembangunan Besut Baru’ yang dicanangkan oleh BN rupanya dipenuhi oleh projek-projek membazir dan merugikan rakyat. Antaranya ialah Dataran Ketara, Gerai, Padang Golf di Empangan Jajar, dan Pentas Budaya di Air Tawar. Maka slogan itu lebih sesuai disebut ‘Ke Arah Pembaziran Bentuk Baru’.
Tidak syak lagi, faktor-faktor sokongan di atas mampu menjadikan Besut sebagai medan paling strategik bagi pertembungan antara PAS dan Umno/BN. Apakah Besut akan benar-benar menjadi ‘pintu tawan Terengganu’ bagi PAS, ataukah ia akan bertukar menjadi ‘pangkalan tawan Kelantan’ bagi BN? Maka pilihan raya umum akan datang rasanya menjadi saat yang sangat-sangat dinantikan bagi memastikan jawapannya.

(Artikel ini disiarkan makalah isu 'Nafikan Tahun Sapu Bersih Umno - Terengganu Milik Angkatan, 1994", kolaborasi diketuai Tarmizi Mohd Jam, diterbitkan sekitar April 1993).

Satu Kajian Perbandingan: Ukur Kekuatan PAS di Kelantan dan Terengganu

Oleh: Anuwa Jamalullail
Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Dua negeri yang berkongsi Laut China Selatan. Dua negeri yang walau pun berjiran tetapi berlainan selera, berlainan budaya dan berlainan pertuturan.
Di Kelantan orang bermain menora, makyong dan dikir barat yang “tidak wujud” di Terengganu. Manakala permainan rodat dan gamelan pula hanya menjadi tradisi orang-orang Terengganu, tidak di Kelantan. 
Orang-orang Kelantan terkenal dengan sifat “suka memberi”, dan apabila bertemu sesame mereka, antara perkara yang diutamakan ialah mengajak makan atau minum, “seleke” (silakan) minum!”.
Orang Terengganu pula diketahui umum bersifat “suka menerima”. “Macang ge cang, rokok sebatang”. Ianya menjadi ungkapan paling laris bagi menggambarkan sifat orang Terengganu. 
Perkataan “tukor” bagi orang Terengganu bermaksud “tertukar”, tetapi dengan sebutan yang sama dalam dialek Kelantan, ia memberi makna hidupan laut yang seakan-akan ikan pari.  Orang Terengganu “makang ikang”, manakala orang Kelantan “make ike”.
Kesamping daripada segala perbezaan sosio-budaya  itu, jauh di dalam masyarakat di kedua-dua negeri, tersimpan persamaan-persamaan warisan antara kedua-duanya. Dalam catatan sejarah, negeri Kelantan dan Terengganu pernah sama-sama diperintah oleh Kerajaan Siam – pernah menjalankan pemerintahan Islam dan kedua-dua negeri ini juga pernah berkongsi pejabat pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan Persekutuan termasuklah “berkongsi” plet kenderaan. 
Dalam sejarah politik selepas kemerdekaan, kedua-dua negeri pernah menjadi “negeri PAS”.  Kedua-dua negeri juga merupakan medan paling “tegang” bagi pertembungan politik antara PAS dan Umno. 
Assif Shameen, pemberita majalah Asiaweek dalam laporan beliau terbitan 14 September 1984 menyifatkan Kelantan dan Terengganu sebagai “kawasan paling hebat berpolitik di Asia”.   
These two states of Malaysia (Kelantan and Terengganu) are possibly the most politicised places in Asia.  Everyone I met talked in terms of Umno and PAS, development and Islam!”
Kekuatan PAS di dua negeri predominan Melayu ini bukan lagi suatu hal yang perlu diperkatakan. Ianya nyata menggelisahkan Umno sejak dahulu hingga kini. Dan keadaan yang paling parah dalam sepanjang sejarah Umno ialah apa yang dialami oleh parti itu dalam Pilihanraya Umum 1990 lalu di mana Umno kalah di knock-out oleh PAS di Kelantan. 
Ekoran kejayaan PAS mengembalikan semula pemerintahannya di Kelantan, ramai yang meletakkan harapan agar negeri jirannya, Terengganu, akan menyusul segera ditawan oleh PAS.         
Maka timbullah Gagasan 3T atau ‘Tahun Tawanan Terengganu’ yang dipelopori ideanya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri. Maka wujud juga “Teori Domino 1994: Terengganu Selepas Kelantan” yang dipopularkan oleh seorang penulis politik tanahair, Saudara Tarmizi Mohd Jam. 
Malah ada di kalangan penulis politik yang berpendapat bahawa sudah sewajarnya PAS turut menang di Terengganu setelah menang di Kelantan. Banyak rasionalnya atas argumentasi mereka itu.
Antaranya, sejarah membuktikan bahawa PAS terlebih dahulu menang di Terengganu, sebelum di Kelantan.  Dengan kata lain, secara tradisi, rakyat Terengganu mampu dan pernah menolak Umno. 
Begitu juga dengan suasana yang wujud di Terengganu pada pilihanraya umum lalu, yang tidak banyak beza dengan apa yang ada di Kelantan. Jika di Kelantan ada “tokoh bermasalah” seperti Tan Sri Mohammad Yaakob dan Tengku Ahmad Rithaudeen, di Terengganu juga ada Tan Sri Wan Mokhtar dan Dr. Yusof  Noor.
Jika di Kelantan ada gandingan perpaduan Islam antara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan Tengku Razaleigh, maka di Terengganu juga ada gandingan antara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan Tengku Sri Paduka Raja.
Kalau di Kelantan wujud diskriminasi Umno, di Terengganu juga orang-orang PAS dinafikan hak itu dan ini oleh kerajaan Umno. Ertinya , unsur-unsur yang membantu kemenangan PAS sebenarnya sudah wujud di Terengganu, sebagaimana kewujudannya telah memenangkan PAS di Kelantan.
Soalnya, kenapakah PAS masih belum menang di Terengganu? “Sebab unsur-unsur kemenangan itu lebih banyak berada di Kelantan berbanding dengan Terengganu”, ujar seorang veteran PAS di utara Terengganu.
Untuk tujuan perbincangan dan membuka minda kita dari sekian lama tercedera, rasanya elok juga dibuat suatu perbandingan ringkas mengenai kekuatan PAS di Kelantan dan Terengganu. Unsur-unsur yang dirasakan lebih memberikan advantage  ke atas PAS di Kelantan ialah:
Pertama – Institusi Istana:
Tuanku Al-Sultan dan Raja Perempuan Kelantan, kedua-dua baginda menunjukkan sikap yang positif terhadap perkembangan Islam dalam negeri. Diberitakan Tuanku Raja Perempuan sendiri adalah antara hadirat regular bagi kuliah mingguan di Masjid Muhammadi Kota Bharu.
Apabila rakyat Kelantan menyatakan hasrat melaksanakan Islam, Tuanku Al-Sultan pula adalah antara orang pertama memberi “limpah perkenan” atas hasrat itu.
Bagi rakyat Kelantan, Tuanku Al-Sultan dan Raja Perempuan adalah payung kesejahteraan.  Baginda dianggap sebagai simbol perpaduan di kalangan rakyat, simbol kecintaan rakyat Darul Naim terhadap Islam. Kasih sayang mereka terhadap Al-Sultan amatlah tinggi.
Sebab itu apabila pemimpin Umno begitu celupar “menghina institusi istana” rakyat Kelantan sepakat “bangkit” menghukum Umno dalam pilihanraya umum lalu.    
Apakah fenomena yang sama berlaku pada institusi istana Terengganu?
Kedua – Pegawai dan Kakitangan Kerajaan:
Kerja makan gaji sudah menjadi suatu kebanggaan tradisi masyarakat Melayu. Orang yang makan gaji dianggap berprestij dalam masyarakat. Penghormatan yang diberikan kepada orang yang makan gaji ini menyebabkan mereka menjadi perhatian masyarakat marhain.  Sebahagian tindak-tanduk dan sikap mereka nyata dengan mudah dapat mempengaruhi masyarakat.
“Kalau orang-orang cerdik seperti cikgu, pegawai kerajaan pun nakkan Islam dan sokong PAS, takkan kita orang kampung ni tak nak ikut mereka?”, cerita seorang pegawai penerangan PAS Kelantan, sebagai menjelaskan salah satu bait ayat yang paling laris dipertuturkan di kedai-kedai kopi di Kelantan sebelum pilihanraya umum 1990 lalu.
Keberanian para pegawai dan kakitangan kerajaan di Kelantan untuk tampil ke depan menzahirkan dokongan mereka kepada perjuangan PAS dan semangat 46 nyata menjadi katalis kepada kemenangan PAS di negeri itu.
Bukankah kerajaan Umno Kelantan berkrisis besar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) sejurus sebelum pilihanraya umum lalu?
Amat diragui, keberanian yang sama wujud di kalangan para pegawai kerajaan di Terengganu. “Mereka tidak berani tampil ke depan menyatakan sokongan kepada kita. Kalau adapun , menusuk-nusuk (secara sembunyi) sahaja. Mereka terlalu takut dengan tindakan pihak atasan di pejabat mereka”, kata seorang pemimpin PAS Terengganu.
Apa yang nyata, sokongan pegawai kerajaan terhadap PAS dan perjuangan Angkatan di Terengganu masih belum cukup menonjol dan bilangan mereka juga masih belum cukup ramai untuk menolong kemenangan PAS di Terengganu.
Ketiga – Semangat 46:
Di Kelantan, Semangat 46 mempunyai kualiti dan kuantiti yang lebih. Kualiti Semangat 46 terletak pada YBM Tengku Razaliegh, Rozali Isohak, Hajjah Ilani Ishak dan lain-lain pemimpinnya yang memang berpengaruh.
Kuantiti Semangat 46 di Kelantan terbukti bukan sekadar menjadi pembantu PAS untuk memenangi sebahagian besar kerusi, tetapi juga membuka jalan untuk kemenangan Angkatan secara “sapu bersih” dalam pilihanraya lalu.
Pemimpin Semangat 46 Terengganu pula tidak kurang kualitinya. Mereka ada Tengku Seri Paduka, Ustaz Ibrahim Azmi Hassan, Datuk Zakaria, Datuk Sulong, Datuk Manan dan lain-lain.
Tetapi Ku Duka bukanlah ahli politik Umno yang “topranking” sebelum 1987, jika dibandingkan dengan Ku Li di Kelantan. Maka sudah tentu pengaruhnya di kalangan Team B Umno Terengganu tidak setara Ku Li di Kelantan. Namun begitu, kelantangannya kian menyinar dikagumi oleh rakyat Terengganu.
Keempat – Kumpulan Islah:
Kewujudan Kumpulan Islah sebagai penentang utama terhadap hasrat Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk membentuk perpaduan ummah dengan bekas-bekas ahli Umno yang nyata menjadi katalis kepada perpaduan ummah itu sendiri.
Gerak kerja proaktif mereka dalam mencabar keputusan pemimpin PAS seolah-olah memaksa PAS untuk lebih berhati-hati dalam menangani era perpaduan agar tidak gagal. 
Di pihak Semangat 46 pula, penentang Kumpulan Islah menjadi cabaran untuk mereka buktikan bahawa mereka sebenarnya bukan lagi Umno yang ditentang oleh PAS itu. Bahawa Semangat 46 kini bukannya perjuangan dasar asobiyyah Melayu, bukan penentang Islam.
Di Terengganu pula, kewujudan golongan penentang perpaduan ummah tidak menjadi suatu pendesak terhadap Badan Perhubungan PAS Terengganu. “Apabila tidak ada pihak yang menentang perpaduan, maka kepada siapa kita nak buktikan yang kita benar-benar berpadu?”, soal seorang pemandu teksi di Kuala Terengganu.
Kelima – Umno/BN Yang Bermasalah:
Sudah disebut bahawa kepimpinan Umno Kelantan era pra-pilihanraya umum lalu digelumangi berbagai masalah. Mereka bermasalah dengan istana, dengan pegawai kerajaan dan dengan rakyat yang semakin muak dengan mereka. 
Salahguna Perbendaharaan Negeri dan tabiat berhutang dalam mentadbir, menjadi penyebab yang meruntuhkan mereka. Berlainan pula dengan pemimpin Umno Terengganu.
Kepimpinan utama mereka lebih berupaya menonjolkan imej-imej Islam berbanding rakan-rakan mereka di Kelantan. Tan Sri Wan Mokhtar, Dr. Yusof Noor dan Awang Jabar adalah pemimpin yang dikira “bersuara Islam” dalam Umno. Imej ini berjaya menenggelamkan isu sebenar rakyat.
Dalam politik, di samping kekuatan sendiri maka kelemahan dan kegagalan Umno juga dapat menentukan “jatuh-bangun” sesuatu parti. Apabila Umno Kelantan bermasalah, lebih senang PAS memenangi hati rakyat.
Keenam – Institusi Pondok:
Secara tradisinya, asas kekuatan PAS tertumpu kepada kawasan padi dan pusat pengajian pondok. Institusi pondok lebih kesohor di Kelantan berbanding Terengganu. Di sinilah para pemimpin PAS dilahirkan dan menjadi pusat yang subur bagi majlis-majlis besar anjuran PAS.
Ketujuh – Kuasa Rakyat:
Umum mengetahui bahawa rakyat Kelantan bijak berpolitik, berbanding Terengganu. Apa yang berlaku, bilangan rakyat Terengganu yang “bijak berpolitik” tidak seramai yang “tidak bijak” berpolitik. Sebab itulah PAS belum menang.
Sifat “suka memberi” rakyat Kelantan juga menyebabkan mereka tidak mengharapkan balasan atau pemberian orang, termasuk projek atau subsidi dari BN. Perbuatan memberi dengan mengharapkan balasan dianggap tidak bermoral dalam masyarakat Kelantan. 
Sifat “suka menerima” orang-orang Terengganu pula melegakan kerajaan BN yang kaya dengan “emas hitam”. Maka BN yang kaya itu tidak akan gentar dengan pengaruh PAS selagi rakyat Terengganu bersikap suka “menelan umpan” sebegitu.
Terdapat beberapa unsur lain yang dikira memberikan advantage kepada PAS di Terengganu, berbanding PAS di Kelantan. Antaranya; kepimpinan PAS Pusat lebih ramai dari Terengganu (tiga anggota Dewan Harian PAS Pusat adalah dari Terengganu berbanding hanya Ketua Dewan Ulama sahaja dari Kelantan); penyokong PAS Terengganu lebih ramai di kawasan Bandar (Jertih, Batu Burok, Bandar, Wakaf Mempelam, Bukit Tunggal) berbanding Kelantan, yang disifatkan “lagi ulu, lagi kuat PAS”.
Soalnya, mampukan para pemimpin PAS Terengganu memanfaatkan unsur-unsur positif di atas, di samping mewujudkan unsur-unsur yang masih belum cukup dimiliki sepenuhnya itu?
Mampu atau tidak, usaha mewujudkannya adalah suatu kemestian, jika PAS bercita-cita untuk menerajui tampuk pemerintahan Terengganu Darul Iman.

(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Nafikan Tahun Sapu Bersih UMNO – Terengganu Milik Angkatan 1994”, kolaborasi diketuai Tarmizi Mohd Jam, sekitar April 1993).