Friday, March 22, 2002

Hijratur Rasul Manifestasi ‘Akujanji’

Oleh: Mohd. Nasir Awang
MENJADI suatu hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala meletakkan ikrar dua kalimah syahadah itu sebagai syarat pertama dan utama (first and foremost) keIslaman seseorang.
Di dalam ikrar tersebut tersurat dan tersirat segala ketaatan dan pengabdian sepenuhnya seseorang Muslim terhadap segala perintah dan larangan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w..
Ikrar berkenaan sekaligus menjadi suatu ‘akujanji’ seorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada penciptanya. Ia juga merupakan pengisytiharan menerimapakai kod etika dan perilaku (code of ethics and conduct) bagi seorang Muslim.
Kerana, memperakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. bererti bersedia menjadikan Baginda sebagai uswatun hasanah (teladan terbaik) dalam segenap aspek kehidupan. Maka sudah tentu segala apa yang disabda dan dipraktikkan oleh Baginda s.a.w. menjadi satu set kod etika dan perilaku yang terbaik buat panduan kehidupan manusia.
Generasi pertama umat Islam telah diuji ketaatan dan keimanan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya selama 13 tahun dengan berbagai ujian dan penyeksaan di Makkah.
Mereka telah membuktikan keteguhan aqidah masing-masing, walau pun terpaksa menanggung sengsara penyiksaan pemuka Quraisy sehingga ke peringkat mengorbankan nyawa sebilangan mereka.
Para sahabat yang mendapat keredhaan Allah itu tidak menukar iman mereka dengan dunia dan segala isinya. Sebab itu apabila Allah Ta’ala memerintahkan mereka supaya meninggalkan tanahair, keluarga dan harta benda yang mereka sayangi dan berhijrah ke Madinah, mereka tetap melaksanakan perintah Allah.
Sehinggakan ada di kalangan para sahabat yang demam dan meracau-racau lantaran terlalu rindukan tanahair yang ditinggalkan itu.
Seorang sahabat, Suhaib Ar-Rumi yang sempat membawa hartanya bersama, dikepung oleh kafir Quraisy di pertengahan jalan. Suhaib r.a. akhirnya menawarkan segala hartanya sebagai bayaran melepaskannya untuk terus berhijrah. Baginya, Allah Ta’ala dan Rasul-Nya adalah terlebih utama mengatasi segala hartanya.
Golongan muhajirin itu telah membuktikan bahawa aqidah yang ada di dalam diri mereka itu jauh lebih mahal daripada nyawa, harta benda dan segala nikmat yang lain. Siapa yang tidak cintakan tanahair? Siapa yang tidak sayangkan harta benda dan keluarga? Tapi, apalah ertinya hidup senang dengan kemewahan harta, keamanan tanahair atau kebahagiaan keluarga, kalau di masa yang sama aqidah, ibadah dan syariat tidak selamat dan tidak bebas diamalkan.
Melalui peristiwa hijratur Rasul, Allah Ta’ala telah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar sebagai umat Islam sebenar yang telah membuktikan keimanan mereka menghadapi ujian Allah s.w.t.
Kerana, iman itu tidak cukup sekadar mengikrarkan ‘akujanji’ keimanan, bahkan mestilah dibuktikan secara praktik, termasuk tabah menanggung segala cabaran demi mempertahankan keimanan itu.
Di pihak golongan Ansar pula, mereka dengan penuh rela telah menyerahkan tanahair Madinah untuk dijadikan tapak mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah.
Mereka telah menunaikan ikrar ‘akujanji’ mereka terhadap Baginda s.a.w. sebagaimana diterangkan di dalam hadith bermaksud: “Berjanjilah kepadaku untuk mendengar dan mentaati sama ada dalam keadaan rajin atau malas, menolong Islam dengan membelanjakan harta kamu sama ada kamu senang atau pun susah dan kamu berjanji akan melakukan tugas menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar, berjanji akan berdiri tegak berjuang di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela, berjanji akan mempertahankan aku (Rasulullah) apabila aku datang kepada kamu sepertimana kamu mempertahankan keluarga dan harta benda kamu. Maka kamu akan beroleh balasan syurga”.
Hijrah dalam ertikata berpindah tempat tinggal sepertimana yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. dan para sahabat itu telah pun tamat dengan Pembukaan Makkah.
Bagaimana pun, Baginda s.a.w. ada bersabda, maksudnya: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah daripada mendekatinya”.
Ertinya, hijrah dalam maknanya yang lebih luas termasuklah juga meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan berpegang dengan apa yang diperintah-Nya.
Berhijrah meninggalkan amalan dan perangai yang buruk kepada amalan dan perangai yang baik adalah hijrah yang berpanjangan sehingga hari kiamat. Perangai meminum arak, bermain judi, melakukan kezaliman, memakan riba’ dan sebagainya adalah amalan buruk.
Sama ada disedari atau tidak, melakukan perkara-perkara tersebut sebenarnya telah meletakkan seseorang itu dalam keadaan ‘melanggar akujanji’ yang dibuatnya di hadapan Tuhan suatu ketika dahulu.
Sebuah kerajaan yang menyeru rakyatnya memperingati peristiwa Hijratur Rasul sudah tentu meletakkan aspek berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan ini dalam agenda pemerintahannya.
Alhamdulillah, kita telah mengharamkan riba’ dalam pengurusan kewangan kerajaan, mengharamkan judi dan mengawal penggunaan arak. Kerana itulah yang bertepatan dengan ‘akujanji’ kita terhadap Rabbul Jalil.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 43, 22 Mac 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Friday, March 8, 2002

Masjid Sebagai ‘Pusat Aktiviti’

Oleh: Mohd. Nasir Awang
TIDAK sebagaimana yang lazim difahami sesetengah kalangan, fungsi masjid di sisi Islam bukanlah sebagai tempat bersolat dan berzikir semata-mata.
Di zaman keagungan empayar Islam, masjid dijadikan pusat pentadbiran politik. Di situlah tempat para pemimpin Islam bermesyuarat dan merancang strategi pemerintahan negara. Di masjid juga mereka mengatur strategi peperangan menghadapi musuh.
Di masa yang sama, masjid sentiasa dijadikan pusat ilmu. Di situlah tempat umat Islam berkumpul untuk mengajar dan belajar, serta mempraktikkan apa yang diajar dan dipelajari.  Sebab itu, banyak pusat pengajian Islam hingga ke hari ini memusatkan aktiviti pengajiannya di masjid dalam kawasan kampus masing-masing.
Di negara-negara Barat seperti di England dan Amerika Syarikat, kebanyakan masjid dikenali sebagai Pusat Islam (Islamic Centre). Semacam suatu kemestian di sana, sama ada masjid itu merupakan kompleks beberapa bangunan, atau hanya sebuah bangunan besar, juzuk-juzuk seperti ruang dapur, bilik mesyuarat, perpustakaan dan dewan serbaguna adalah sebahagian daripada masjid, selain dewan sembahyang.
Hampir semua urusan pentadbiran persatuan penduduk Islam setempat dipusatkan di masjid.  Daripada bermesyuarat, mengadakan keramaian hari-hari kebesaran Islam, berusrah atau bertamrin, sehinggalah kenduri perkahwinan, semuanya diadakan di masjid. Bahkan, di sebilangan bandar di sana, masjid juga menjadi pusat membekalkan makanan halal, terutamanya daging dan ayam.
Di negara kita juga masyarakat Islam secara tradisinya tidak membataskan fungsi masjid kepada soal-soal ibadat khususiyyah seperti solat, zikir dan kuliah agama sahaja. Walau pun sering kedengaran laungan sesetengah kalangan agar jangan mencampur-adukkan urusan masjid dengan urusan dunia, termasuk urusan politik, namun realiti yang berlaku adalah sebaliknya. 
Masjid tetap menjadi pusat aktiviti masyarakat. Paling menyerlah ialah aktiviti-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Di beberapa kampung, masjid masih menjadi tempat masyarakat meminjam peralatan kenduri-kendara seperti tuku dapur, kawah dan periuk belanga, pinggan dan mangkuk, gelas dan seumpamanya. Ada juga masjid yang menyediakan khemah pasang siap atau kanopi untuk disewa. Segalanya diuruskan oleh pihak pentadbir masjid dan duit sewanya ditabungkan ke masjid itu.
Masjid juga seringkali menjadi pusat ‘morey’, iaitu jamuan keramaian terutama berkaitan peristiwa-peristiwa penting dalam Islam seperti majlis As-Syura, majlis iftar (berbuka puasa), sambutan Isra’ Mi’raj, Nisfu Syaaban dan seumpamanya. Manakala di waktu-waktu tertentu, masjid juga menjadi tempat pilihan untuk solat jenazah atau majlis akad nikah terutama bagi menampung kehadiran yang ramai, atau sebagai mengambil keberkatan ‘Rumah Allah’ itu.
Itu belum lagi disebutkan tentang kerahan tenaga pelaksana untuk upacara tertentu seperti pengurusan jenazah, pengebumian, tahlil, solat hajat, doa selamat, marhaban, bara’an, bacaan Yaasin dan lain-lain lagi.
Sebagai medan interaksi anggota masyarakat setempat, masjid juga mampu menjadi saluran komunikasi yang baik. Mesej program-program anjuran jabatan-jabatan kerajaan atau apa jua perkara berkaitan kepentingan awam amat mudah disampaikan kepada anggota masyarakat melalui masjid.
Sebab itu barangkali Dewan Perniagaan Islam Selangor beberapa bulan lalu melahirkan hasratnya untuk menjadikan masjid sebagai satu tempat menyebarkan maklumat mengenai aktiviti dewan berkenaan.
Malah, masjid juga mampu menjadi saluran paling cepat memaklumkan sesuatu kecemasan.  Suatu ketika dahulu, Tok Siak akan memukul beduk setiap kali ada kematian di sesuatu kampung. Bilal pula akan melaungkan azan apabila berlaku bencana kebakaran.
Sebuah akhbar harian Jun lalu melaporkan cerita bagaimana masjid menjadi ‘pembantu’ nahas keretapi di Wilayah Kadalundi, negeri Kerala, selatan India. Keretapi Mangalore-Madras telah terhumban ke dalam sungai di wilayah pedalaman itu.
Seorang imam masjid berdekatan mengumumkan melalui pembesar suara meminta bantuan kecemasan. Penduduk tempatan berkata, orang ramai boleh mendengar pengumuman yang mengejutkan itu pada jarak sehingga enam kilometer.
Hasilnya, lebih 300 sukarelawan datang memberikan bantuan segera. Tindakan cepat mereka telah menyelamatkan lebih 200 penumpang, manakala 59 yang lain mati lemas.
Langkah Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan Program Cakna ICT di Masjid Kampung Baru Serada baru-baru ini telah membuka kembali mata sesetengah kalangan yang selama ini menganggap fungsi masjid hanya untuk solat semata-mata.
Dengan pelancaran program berkenaan, tazkirah mingguan oleh Dato’Seri Tuan Guru Menteri Besar di Wisma Darul Iman akan dapat diikuti secara langsung di masjid tersebut melalui internet.
Serentak itu, sebuah Pusat Pertumbuhan K-Komuniti turut dibuka di tempat yang sama. Ia difahamkan sebagai langkah permulaan mewujudkan Desa IT pada masa hadapan dengan satu kampung akan dilengkapkan sekurang-kurangnya satu komputer untuk berhubung melalui internet dengan pihak kerajaan dan dunia luar.
Bukankah HILIR bunyinya itu?
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 42, 8 Mac 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)