Sunday, May 31, 2009

Adun Terengganu desak tukar MB, rakyat tolak


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

JIKA tinjauan pendapat yang dilakukan sebuah akhbar tempatan Terenganu boleh dijadikan asas dan sandaran dalam menyimpulkan pandangan rakyat umum negeri itu terhadap pergolakan politik yang masih berterusan, maka tidak salah jika diandaikan bahawa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said masih mempunyai pengaruh dan penerimaan yang tinggi di kalangan masyarakat umum.

Sebaliknya, timbul juga tanda tanya mengenai fakta sebenar penerimaan rakyat terhadap pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Persoalan mengenai kemampuannya menjernihkan kembali hubungan keruh antara para pemimpin parti itu bagaikan terjawab apabila rakyat sepakat mengatakan mereka sudah tidak dapat didamai dan disatukan.

Akhbar berkenaan dalam beberapa keluarannya sepanjang minggu lalu melontarkan beberapa soalan panas berkaitan pergolakan dalaman Barisan Nasional (BN) Terengganu. Dalam ruangan tetapnya yang meninjau pendapat pembaca mengenai sesuatu isu, akhbar itu mengajak para pembacanya mengemukakan pandangan maisng-masing menerusi undian sistem mesej singkat (sms).

Tidak dinyatakan secara terperinci jumlah undian diterima dan mekanisme digunapakai pihak urusetia dalam memastikan ketelusan proses undian tersebut. Bagaimana pun, demi menyemarakkan perbahasan mengenai topik politik Terengganu, kita andaikan sahaja keputusan yang disiarkan akhbar berkenaan melepasi tahap kebolehpercayaan yang munasabah.

Pada edisi Sabtu (23 Mei), akhbar berkenaan melontarkan soalan yang sangat panas dan menjadi bualan seluruh rakyat. Ia bertanya pendapat pembaca, “wajarkah jawatan yang dipegang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said diganti supaya kemelut politik di Terengganu berakhir?”

Keputusan soalan itu disiarkan pada edisi 26 Mei. Ia menunjukkan peratusan yang seimbang (50-50) antara yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan soalan tersebut.

Bagaimana pun, satu soalan yang lebih kurang sama telah diajukan pada edisi 21 Mei. “Wajarkah jawatan Menteri Besar Terengganu yang kini disandang Datuk Ahmad Said digantikan dengan pemimpin lain yang lebih berkelayakan?”

Keputusan tinjau pendapat itu yang disiarkan pada edisi 24 Mei menunjukkan hanya 40 peratus pengundi mengatakan “ya”, manakala 60 peratus lagi “tidak”.

Ertinya, dapat disimpulkan dari dua soalan tadi bahawa lebih ramai pembaca akhbar tadi cenderung melihat Amad dikekalkan sebagai Menteri Besar, meski pun mengharapkan kemelut politik negeri mereka berakhir.

Satu soalan yang menanyakan “mampukah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjernihkan kembali hubungan pemimpin Umno Terengganu?”, bagaimana pun sehingga kini tidak disiarkan keputusannya.

Ia menimbulkan tanda tanya memandangkan keputusan untuk soalan pada hari selepas itu telah pun tersiar. Tindakan akhbar itu “menyembunyikan” keputusan soalan mengenai kemampuan Hishammuddin itu dipercayai bagi mengelakkan tanggapan lebih negatif terhadap usaha dibuatnya dalam menjernihkan suasana politik negeri itu.

Andaian tentang itu dibuat setelah meneliti pendangan negatif masyarakat umum mengenai keupayaan Umno menyelesaikan perbalahan dalaman parti itu. Satu soalan berkaitan itu telah dikemukakan lebih awal. Ia berbunyi, “perpecahan dalaman Umno Terengganu benar-benar berlaku dan kedua-dua puak sudah tidak dapat bersatu dan menjalinkan kerjasama demi kebaikan parti”.

Menurut keputusan yang disiarkan, seratus-peratus pengundi mengatakan “ya”. Ertinya, rakyat mengakui wujud perpecahan di kalangan para pemimpin Umno dan BN. Meski pun mereka menafikannya dan dikatakan jalan perdamaian masih terbuka untuk mereka, rakyat nampaknya sudah terlalu pesimis terhadap usaha itu.

Orang yang sedang mengepalai usaha memperdamai dan mempersatukan para pemimpin bertelagah dalam BN Terengganu sekarang ialah Hishammuddin. Beliau sendiri telah mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan kedua-dua puak bertelagah untuk mencari penyelesaian.

Satu perjumpaan melibatkan kesemua pemimpin utama negeri, termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan ketua-ketua Umno bahagian juga dibuat baru-baru ini. Malangnya, sehingga kini belum ada kata putus dari Hishammuddin sebagai kesimpulan usaha penyelesaiannya.

Keadaan itu mengundang berbagai persepsi dan tanda tanya dalam masyarakat. Apatah lagi di masa sama, beberapa pemimpin BN Terengganu melontarkan berbagai pandangan dan andaian masing-masing berhubung perkara itu.

Antara mereka menyatakan keyakinan bahawa keputusan perjumpaan itu akan mengubah suasana politik Terengganu. Ia menggambarkan seolah-olah hasrat sebahagian besar Adun BN mendesak agar Ahmad digantikan akan menjadi kenyataan.

“Kita tidak boleh lagi nak menarik rambut terlalu lama dan terlalu panjang kerana yang terlibat itu pemimpin dan semuanya wakil rakyat. Mereka tahu kepentingan rakyat dan juga parti”, ujar Timbalan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Zaabar Mohd Adib, sepertimana disiarkan akhbar, 24 Mei.

Kenyataan anggota Exco kerajaan negeri itu mungkin dinilai tidak memihak dan hanya mengharapkan penyelesaian segara terhadap kemelut politik Terengganu. Bagaimana pun, pendirian sebahagian besar Adun BN dikatakan masih kekal menolak kepimpinan Ahmad.

Jika pun pendapat dikemukakan pembaca akhbar tadi tidak mewakili keseluruhan rakyat Terengganu, ia sekurang-kurangnya boleh dijadikan sampel kajian dan asas perbincangan mengenai kemelut tersebut.

Isyarat yang jelas dari mereka ialah rakyat tidak berkongsi pendirian dengan Adun-Adun BN mengenai kedudukan Ahmad sebagai Menteri Besar.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 6-12 Jamadilakhir 1430/31 Mei-6 Jun 2009 dengan tajuk ‘Rakyat Terengganu sanggah hasrat BN tukar Ahmad’)

‘Prinsip’ Najib bercanggah pendirian dua ‘bapa’


Oleh: MOHD NASIR AWANG

BELUM terlambat untuk dihulurkan sekalung takziah buat pendukung PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya anggota keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Haji Ismail Yaacob.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai ‘Paksu Will’ meninggal dunia pada Subuh, Jumaat (22 Mei) di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Beliau dirujukkan ke hospital itu dari Hospital Kuala Krai sejak 26 April untuk rawatan sakit gout. Allahyarham turut didiagnosis dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi. Laporan media mengenai kematiannya pula mengaitkan ia dengan serangan jantung.

Sementara anggota keluarga dan rakyat diwakilinya selama lima penggal masih mengimbau saat manis bersama Paksu Will, pihak yang tinggal terpaksa juga menyusun atur agenda mencari penggantinya.

Kerusi Dun Manek Urai yang kosong perlu diisi. Mengambilkira pendirian Barisan Nasional (BN) yang beriya-iya memboikot Pilihan Raya Kecil Dun Penanti di atas alasan pembaziran, maka PAS secara sinis meminta BN berpegang kepada “prinsip” sama dalam kes Manek Urai ini.

“Belum tentu mereka (BN) menang dalam pilihan raya itu nanti. Daripada malu lebih baik tidak meletakkan calon mereka di kawasan berkenaan”, cubit Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Saranan sinis itu siang-siang ditolak BN. Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan partinya akan bertanding di situ. Katanya, BN berpegang kepada prinsip bahawa kekosongan kerusi itu adalah kerana kematian, bukan kerana wakil rakyatnya meletak jawatan untuk selesaikan masalah parti.

“Dun Penanti kita tak bertanding atas sebab yang telah kita sebutkan, tapi kekosongan ini (Manek Urai) adalah kerana kematian. Jadi kita akan bertanding”, katanya.

Beliau merujuk kepada kes peletakan jawatan bekas Adun Penanti, Muhammad Fairus Khairuddin, 16 April, yang memaksa pilihan raya kecil kawasan itu sekarang. Ia dikaitkan dengan persoalan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, 18 Mei memutuskan tidak ikut serta di Penanti. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menegaskan BN berpegang kepada prinsip bahawa kekosongan kerusi Dun berkenaan bukan berasaskan peruntukan Perlembagaan, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman pembangkang.

Telah banyak ulasan dibuat mengenai pendirian BN itu. Saya juga tidak ketinggalan melontarkan perspektif sendiri berhubung perkara itu. Namun, seperkara yang sukar difahami ialah apakah asas BN mempertahankan “prinsip” tadi? Apakah para pemimpinnya tidak menyingkap sejarah pilihan raya kecil terdahulu, terutama yang dicetuskan mereka sendiri?

Maksud saya, apa rasioanalnya BN terus berpegang kepada “prinsip” itu sekiranya mereka tahu beberapa pilihan raya kecil dalam sejarah negara juga angkara peletakan jawatan wakil rakyat parti itu?

Saya menemui sekurang-kurangnya dua kes di mana pilihan raya kecil diadakan bagi menyelesaikan masalah dalaman BN (Perikatan) membabitkan pertukaran menteri besar. Satu kes berlaku di Terengganu pada 1971 dan satu lagi di Selangor pada 1997. Kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan bukan kerana kematian wakil rakyat, tetapi ekoran peletakan jawatan penyandangnya.

Di Terengganu, apabila timbul krisis keyakinan terhadap keupayaan Menteri Besar, Datuk Mahmood Sulaiman, kerajaan Perikatan gagal mencari pengganti yang layak di kalangan 12 Adunnya yang ada.

Mahmood dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu ke-8 pada Oktober 1970 menggantikan Tan Sri Datuk Ibrahim Fikri Mohamad yang meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya. Kebuntuan menyelesaikan masalah dalaman memaksa Perikatan memanggil pulang Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman yang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau bukan Adun. Maka seseorang perlu mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepadanya bertanding.

Adun Batu Rakit, Datuk Mansor Mohamed melepaskan jawatannya pada 17 Julai 1971 dan pilihan raya kecil diadakan pada 21 Ogos. Ingat! Ia bukan kerana kematian, tetapi kerana agenda Perikatan yang mahu menyelesaikan masalah dalaman partinya. Datuk Nik Hassan menang dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu ke-9 pada 5 September 1971.

Kes kedua juga ekoran masalah serupa. Pada 22 Disember 1996, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ditahan pihak berkuasa Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane kerana gagal mengisytiharkan wang asing dibawanya berjumlah A$1.2 juta (RM2.4juta).

Ekoran kes itu Muhammad dipaksa melepaskan jawatannya. BN gagal mencari penggantinya di kalangan Adun yang ada. Yang terpilih ialah Datuk Seri Abu Hassan Omar. Beliau melepaskan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Turut melepaskan jawatan ialah Adun Permatang, Jamaluddin Adnan. Kedua-dua mereka bertukar kerusi bagi memberi ruang kepada Abu Hassan menjadi Adun.

Pada 29 Mei 1997, dua pilihan raya kecil di Dun Permatang dan Parlimen Kuala Selangor diadakan serentak. Abu Hassan menang dan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sekaligus menyelesaikan agenda politik BN.

Ertinya, sejarah mencatatkan bahawa apa yang dilakukan PKR di Penanti bukan julung kali seumpamanya. Demi menyelesaikan masalah dalaman parti, BN sendiri pernah melakukan perkara sama. Maka apakah yang menjadi asas “prinsip” dipegang BN diketuai Najib kini?

Perlu diingat, kes di Terengganu itu berlaku di bawah era pemerintahan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. Kes di Selangor pula di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kedua-dua negarawan ini adalah ‘bapa’ kepada Najib. Tun Razak ‘bapa biologi’ beliau, Tun Mahathir pula ‘bapa politik’ atau mentornya.

Kedua-dua mereka merestui pilihan raya kecil atas peletakan jawatan penyandang kerusi bagi menyelesaikan masalah dalaman parti. Dari perspektif itu, ‘prinsip’ dipegang Najib amat bercanggah dengan kedua-dua ‘bapanya’ itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 6-12 Jamadilakhir 1430/31 Mei-6 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, May 24, 2009

BN ibarat musang terliur buah anggur


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEPERTIMANA telah digembar-gemburkan sejak pertengahan April lalu, Barisan Nasional (BN) akhirnya mengesahkan pendiriannya untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, hujung bulan ini. Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, 18 Mei.

Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan kata sepakat itu mengulangi pendapat yang pernah diutarakannya sebelum ini bahawa kekosongan kerusi Dun berkenaan bukan berasaskan peruntukan Perlembagaan, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman parti pembangkang. “Ia juga permainan politik pembangkang dan tidak ada kena-mengena dengan Perlembagaan. Kita (BN) tidak mahu menari ikut rentak orang lain”, ujarnya.

Saya kira tidak ada pihak yang ‘terperanjat beruk’ dengan pendirian BN itu. Ia telah dapat diduga. Najib sendiri telah membayangkannya ketika mengulas tindakan wakil rakyat Dun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin, mengosongkan kerusinya, 16 April lalu. Di samping menyifatkannya sebagai mainan politik, Najib juga mengaitkan pilihan raya kecil itu dengan pembaziran.

“Terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya yang tidak perlu sebenarnya”, kata Najib, sepertimana disiarkan media cetak, 18 April.

Kenyataan itu disambut reaksi bercampur-campur oleh para pemimpin dan penyokong BN sendiri. Ada yang senada seirama dengan beliau, ada juga yang tidak bersetuju.

Bagi yang bersetuju, mereka menyifatkan pilihan raya semula ini menyusah dan membosankan rakyat. Dalam keadaan kini segala tumpuan sepatutnya dihalakan kepada usaha memantapkan ekonomi rakyat dan negara.

Bagi yang tidak bersetuju pula, ketiadaan BN dalam mana-mana pilihan raya adalah satu keaiban. Belum pernah dalam sejarah pilihan raya negara ini parti pemerintah itu tidak ikut serta secara sengaja, melainkan penyertaan calonnya dibatalkan di atas sebab teknikal.

Ada juga yang menganggap ketidaksediaan BN menyertai pilihan raya di Penanti ibarat memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia umpama menyerah kalah sebelum masuk gelanggang. Lebih tidak menyenangkan, tindakan itu bagaikan menyumbang moral politik kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa pun hujah BN, di luar sana rakyat telah ada nilaian tersendiri. Alasan dan rasional dikemukakan BN tidak dapat lari dari strategi dan kepentingan politik parti itu.

Saya telah mengulas percaturan itu di kolum ini dalam Siasah edisi 26 April. Bagi saya, BN sudah menerima hakikat sukar baginya menang di Penanti. Sebab itu meski pun berbagai alasan cuba dimunasabahkannya, rakyat tetap berpandangan alasan sebenar BN bukan mengelakkan pembaziran wang, tenaga dan masa.

Mereka sebenarnya takut akan kalah lagi. Lebih dibimbangi, BN akan kalah lebih teruk, sepertimana berlaku dalam empat pilihan raya kecil sebelum ini. Parti itu sebenarnya sudah trauma dengan kekalahan demi kekalahan dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Pengalaman pahit di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau menghantui BN. Bagi mengelakkan terus dimalukan dengan rekod kekalahan berturut, maka jalan keluar terbaik buat BN ialah tidak bertanding di Penanti.

BN sebenarnya amat kepingin memenangi mana-mana pilihan raya, terutama untuk memadamkan rekod kemenangan berturut oleh Pakatan Rakyat. Namun, setelah berusaha berhempas pulas, segala kesungguhan itu tidak berbalas. Maka bagi menutup rasa malu itu, BN kini memberikan gambaran buruk terhadap pilihan raya kceil.

Sikap BN itu mengingatkan kita kepada cerita seekor musang yang kepingin memakan buah anggur. Dengan segala kekuatan dan ketangkasan yang ada padanya, binatang itu tidak pernah terfikir sukar baginya mendapatkan buah yang bergugusan dari julai pokoknya. Dia lalu melompat cuba mendapatkannya sambil air liurnya sudah meleleh mengidamkan buah yang manis dan lekang itu.

Malang baginya, setelah berkali-kali melompat sehingga kepenatan, tiada sebiji pun buah anggur yang dapat dicapainya. Lalu bagi mengelakkan rasa malu atas kegagalannya itu, si musang dengan angkuh berkata, “aku memang tidak berminat mendapatkan buah anggur itu. Rasanya sangat masam”.

Lebih kurang cerita itu jugalah keadaan dihadapi BN dalam kes Penanti kini. Parti itu tidak akan memboikotnya jika ada harapan untuknya menang. Lalu digambarkan kononnya jika ikut serta dalam pilihan raya itu, seolah-olah BN “menari ikut rentak pembangkang”. Maka mengulaslah berbagai pihak bahawa keputusan diambil BN itu satu tindakan bijak.

Namun, apakah kepastian BN tidak akan langsung terlibat di Penanti? Dalam politik, bila masa pernah sebuah parti pemerintah mengambil sikap tidak memberikan sebarang reaksi terhadap apa yang dilakukan parti lawannya?

Selepas ini pun saya pasti BN tidak akan berdiam diri membiarkan parti lawannya menghentamnya di medan pilihan raya itu. Dapat dibayangkan jentera propaganda dan kempen BN tetap akan berada di Penanti, sama ada secara rasmi atau berselindung di sebalik segala macam penampilan, meski pun parti itu tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu.

Paling tidak pun, selepas ini kita tidak akan sunyi daripada siri ulasan dan penjelasan oleh para pemimpin BN mengenai mengapa mereka berkeputusan untuk tidak ikut serta memeriahkan ‘pesta demokrasi’ di Penanti. Akan ada ulasan berjela-jela, sama ada menerusi majlis penerangan khas anjuran parti itu, mahu pun kenyataan media memperjelaskan pendirian BN itu.

Jika benar BN sudah anggap segala yang berlaku di Penanti itu adalah rentak gendang dipalu pembangkang, mengapa tidak dia membisu dan buat tak kisah saja? Akuilah, walau sekadar mengulas dan mengikuti perkembangannya dari jauh sekali pun, BN tetap dianggap ‘ikut menari mengikut rentak pembangkang’.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 29 Jamadilawal-5 Jamadilakhir 1430/24-30 Mei 2009 di kolum ‘perspektif’ dengan tajuk ‘BN akan menari juga ikut rentak pembangkang’)

Saturday, May 23, 2009

Allahyarham Paksu Will tidak pernah kalah pilihan raya


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Sekalung takziah buat semua pendokong PAS dan Pakatan Rakyat, terutama anggota keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Haji Ismail Yaacob.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Will di kalangan berbagai pihak menghembuskan nafas terakhir 5.50 pagi Jumaat (22 Mei) di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 26 April lalu, setelah dipindahkan dari Hospital Kuala Krai. Pada awalnya beliau mengadu sakit gout, sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong.

Rawatan susulan kemudiannya mendapati beliau turut menghadapi masalah jantung dan tekanan darah tinggi. Laporan media mengenai kematiannya mengaitkan ia dengan serangan jantung.

Pemergiannya itu sudah pasti amat dirasakan, terutama oleh parti dan rakyat Kelantan. Beliau disifatkan banyak pihak sebagai seorang yang senang ditemui, mudah digauli dan tidak lokek menghulurkan pertolongan.

Sifat itu diakui pelbagai pihak sebagai saham utama membolehkan Allahyarham memenangi Dun Manek Urai selama lima penggal. Namanya dikatakan sinonim dengan Dun berkenaan dan hampir tidak ada penduduk di kawasan berkenaan yang tidak kenal dengan Paksu Will.

Tempoh khidmat sepanjang itu bagaimana pun bukanlah rekod luar biasa bagi seorang wakil rakyat di negara kita. Di Kelantan sendiri ada beberapa pemimpin yang telah mencatatkan rekod kemenangan lebih lama sebagai wakil rakyat, sama ada di kerusi Dun atau Parlimen.

Antara yang termasyhur ialah bekas Yang Dipertua Agung PAS dan Pesuruhjaya Negeri Kelantan, Allahyarham Tan Sri Datuk (Dr) Mohd Asri Haji Muda. Beliau menjadi anggota Parlimen selama empat penggal, bermula di Pasir Puteh selama dua penggal (1959 dan 1964). Kemudian memenangi Parlimen Kota Bharu Hulu (1969) dan Parlimen Nilam Puri (1974).

Mohd Asri turut menjadi Adun Kelantan, juga selama empat penggal. Tiga penggal sebagai Adun Kota Bharu Tengah (1959, 1964 dan 1969) dan sepenggal di Kubang Kerian (1982). Mengambilkira tahun-tahun kemenangannya itu, tempoh khidmatnya sebagai wakil rakyat ialah selama lima penggal.

Tempoh khidmat lebih panjang dicatatkan Pesuruhjaya PAS Kelantan sekarang, Tuan Guru Dato
Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau telah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal sebelum beralih menjadi Adun selama enam penggal, termasuk penggal sekarang.

Tuan Guru mula memenangi kerusi Parlimen menerusi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya, juga dari PAS, Allahyarham Tuan Haji Ahmad Perai.

Pada pilihan raya 1969, Tuan Guru mengekalkan kerusi Parlimen Kelantan Hilir. Beliau kemudian menang di Parlimen Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut pada 1974, 1978 dan 1982.

Bermula Pilihan Raya 1986, Tuan Guru menjadi Adun Semut Api. Beliau mengekalkannya pada 1990, sebelum Dun berkenaan ditukar nama kepada Chempaka bermula Pilihan Raya 1995. Kerusi itu kekal dimenangi Tuan Guru sehingga sekarang.

Meski pun tempoh khidmat kedua-dua pemimpin utama PAS itu amat memberangsangkan, rekod kemenangan mereka tidak sempurna. Mereka pernah kalah dalam pilihan raya. Mohd Asri kalah pada 1978 di Parlimen Padang Terap dan Parlimen Nilam Puri (1982).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pula pernah kalah tipis di Parlimen Bachok pada 1986.

Setakat ini rekod sebagai pemimpin politik yang tidak pernah kalah dalam pilihan raya dipegang oleh Allahyarham Ustaz Nik Abdullah Arshad atau Pak Nik Lah. Beliau menjadi wakil rakyat selama tujuh penggal berturut-turut. Lima penggal sebagai Adun dan dua penggal sebagai Ahli Parlimen.

Pak Nik Lah menjadi Adun Kota Bharu Pantai selama tiga penggal, iaitu pada1959, 1964 dan 1969. Beliau kemudian menjadi Adun Sering selama dua penggal pada 1974 dan 1978.

Dua penggal berikutnya (1986 dan 1990), Pak Nik Lah menjadi menang di Parlimen Pengkalan Chepa. Bermula pilihan raya 1995, beliau tidak bertanding dan kerusi beliau diambil alih oleh anaknya, Datuk Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah.

Seorang lagi pemimpin yang tidak pernah kalah sepanjang penyertaannya dalam pilihan raya ialah Datuk Ustaz Omar Mohamad. Beliau telah menjadi Adun Perupok selama enam penggal berturut-turut bermula penggal 1986 dan masih kekal hingga kini.

Meski pun tempoh khidmat Allahyarham Paksu Will tidak menyamai beberapa pemimpin lain, rekod tanpa kalahnya juga suatu yang amat mengagumkan. Apatah lagi ia dicapai tidak secara berturut.

Paksu Will mula memenangi kerusi Dun Manek Urai pada Pilihan Raya 1986. Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dengan majoriti 594 undi. Paksu Will memperolehi 3650 undi berbanding Wan Zaid yang mendpat 3056 undi.

Tahun 1990 adalah tahun 'sapu bersih' bagi PAS dan Parti Semangat 46 di Kelantan, yang bergabung membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Paksu Will turut mengekalkan kemenangan di Manek Urai dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan selesa itu dikecapinya dalam dua pilihan raya berikutnya, sebelum mengambil keputusan tidak bertanding pada 2004 lalu.

Kebetulan pula pilihan raya itu bukanlah pusingan yang baik bagi PAS di seluruh negara. Di Kelantan sendiri kerajaan PAS nyaris-nyaris tumbang. Ia kekal dengan kelebihan hanya tiga kerusi, termasuk satu kerusi dimenangi calonnya dengan kelebihan hanya dua undi.

Nasib juga tidak menyelebahi calon PAS yang menggantikan Paksu Will di Manek Urai. Beliau turut kecundang dengan majoriti sangat tipis, iaitu hanya 53 undi.

Ekoran itu, ada cakap-cakap yang mensabitkan kekalahan itu dengan pengunduran Paksu Will. Bahkan ada yang berkata, kalaulah Paksu Will yang bertanding ketika itu, adat katanya kerusi Manek Urai masih kekal milik PAS.

Barangkali di atas keyakinan itu PAS Kelantan menampilkan semula Paksu Will dalam pilihan raya lalu. Suratan atau kebetulan, beliau membuktikan kekuatan pengaruh peribadinya masih kuat dan berjaya merampas semula kerusi berkenaan dari tangan BN.

Di atas fakta itu, kehilangan Paksu Will akan dikenang, bukan sahaja sebagai seorang wakil rakyat yang mempunyai rekod tidak pernah kalah, bahkan juga sebagai seorang pemimpin yang berupaya mengembalikan semula kerusi Manek Urai kepada partinya.

Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang terpilih. Al-Fatihah!

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily, Sabtu, 23 Mei 2009 dengan tajuk sama)