Tuesday, August 15, 2000

Rakyat Sepakat Tolak BN


BAYANGKAN, dalam kesibukan kakitangan Wisma Darul Iman turun-naik lif pejabat mereka, boleh ada antara mereka yang berani bersuara: “Jaga-jagalah Umno! Tak lama lagi tumbanglah kamu!”.

Bayangkan lagi, daripada seramai hampir sepuluh orang yang berada dalam lif itu, hanya seorang dua sahaja yang diam membisu atau menunjukkan raut muka yang kurang senang. Manakala yang lain ada yang menyampuk tanda setuju dan ada yang ketawa. Paling kurang mereka tersengih, tersenyum atau cuba menyembunyikan senyum.

Percaya atau tidak, itu bukanlah suatu figment semata-mata. Ia benar-benar berlaku, sekali pun agak sukar dipercayai. Mana tidaknya! Semua orang tahu Wisma Darul Iman adalah bangunan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar Terengganu. Di situlah juga letaknya pejabat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Segala Setiausaha yang ada di sekeliling Menteri Besar (MB), juga berpejabat di situ. Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu pun di situlah juga pejabatnya. Bahkan, jabatan-jabatan dan para pengarah di bawah pentadbiran SUK, sebahagian besarnya berpejabat di situlah juga.

Pendekata Wisma Darul Iman adalah nadi penggerak bagi Kerajaan Negeri Terengganu. Maka, sepatutnya ia menjadi satu tempat paling kebal bagi BN/Umno. Orang-orang di situ, sama ada kakitangan pejabat atau orang luar yang menjadi pelawat ke situ, sepatutnya sangat berdisiplin dalam percakapan mereka, terutama berkaitan politik. Cakap-cakap mahu melihat Umno tumbang tidak patut langsung dituturkan di situ, sama ada dengan maksudnya atau sekadar bergurau.

Kalau pun mereka itu sememangnya ahli kepada mana-mana parti Alternatif sekali pun, apa salahnya pendamkan saja sikap itu di dalam hati. Kata orang ‘biar pecah di perut jangan, pecah di mulut’. Sekurang-kurangnya mereka patut hormat kepada bos-bos yang masih berpejabat di situ.

Tapi sokongan mereka nampaknya sudah tidak dapat dipendam lagi. Dan apa yang berlaku itu menzahirkan sikap sebenar mereka dalam politik. Mereka benar-benar mahu melihat Umno/BN tumbang di Terengganu. Mereka tidak mahu selindung-selindung lagi.

Hal ini sudah disedari umum sejak beberapa tahun lalu. PAS memerhatikan perkembangan positif itu dari kejauhan dengan penuh kecaknaan. BN juga sedar mereka semakin dibenci oleh rakyat, bahkan oleh para kakitangan di pejabat-pejabat ‘nadi kerajaan’ mereka sendiri. Sebab itu BN sejak lebih setahun lalu telah mengadakan kursus demi kursus kepada kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Boleh dikatakan sebahagian besar pegawai dan kakitangan awam, termasuk para pegawai pendidikan (istilah profesional untuk ‘guru’), dilibatkan dalam kursus-kursus ‘brainwashed’ berkenaan, yang diadakan secara bersiri.

Perkara utama yang sering diulang sebut lewat setiap kursus ialah soal kesetiaan. Ditekankan bahawa para pegawai dan kakitangan kerajaan mestilah setia dan patuh kepada kerajaan. Boleh dikatakan tiada tokoh BN Pusat yang datang melawat Terengganu yang tidak mengulang sebut ingatan tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kunjungannya ke Besut, juga menyentuh soal pentingnya mengekalkan ketaatan para penjawat awam kepada kerajaan yang memerintah.

Malah Perdana Menteri sendiri, dalam salah satu sesi perjumpaan dengan penjawat awam sewaktu lawatan singkat beliau ke Kuala Terengganu, secara terus terang memberi amaran kepada mereka agar jangan mengkhianati jasa yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka. Beliau mendakwa dimaklumkan ada pegawai kerajaan yang menentang kerajaan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengugut guru-guru dengan mengatakan sesiapa antara mereka yang didapati menentang kerajaan akan dihantar ke “pulau”.

Malangnya ugutan, ingatan atau pun amaran itu semacam tidak berupaya lagi meninggalkan sebarang bekas di hati para penjawat awam di Terengganu. Semakin dikursus dan ‘dibasuh’, mereka menjadi semakin benci dan meluat kepada kerajaan yang ada. Bahkan, sebilangan mereka menjadi bertambah daring menyuarakan bantahan atau pandangan, sekali pun dalam kursus ‘brainwashing’ itu sendiri. Apatah lagi selepas selesai kursus, kesannya ternyata semakin backfired BN/Umno.

Peristiwa dalam lif di Wisma Darul Iman seperti yang disebut tadi adalah salah satu buktinya. Ia berlaku beberapa hari selepas berlangsungnya satu kursus brainwashed, di wisma berkenaan. Kursus yang dinamakan Program Khas Kefahaman Ketatanegaraan (2K) itu diadakan sepetang di Dewan Syarahan di wisma itu. Ia menghimpunkan para pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan dari daerah-daerah di seluruh Terengganu. Turut dipaksa hadir juga sebilangan pegawai pendidikan yang dianggap ‘degil’.

Mereka yang dijemput itu sebenarnya adalah para penjawat awam yang telah dikenalpasti sebagai ‘orang pembangkang’. Para pegawai Unit Perpaduan Ummah (UPU) di daerah-daerah dan kampung-kampung bertanggungjawab mengenalpasti kecenderungan politik mereka itu.

Sebelum itu mereka juga telah diarahkan menghadiri Kursus Bina Negara Penggerak Masyarakat yang diadakan secara gabungan di peringkat daerah masing-masing. Untuk zon utara Terengganu misalnya, kursus berkenaan diadakan pada 15-17 Ogos 1999, bertempat di Kem Bina Negara, Bukit Keluang, Besut. Ia menggabungkan penjawat awam ‘terpilih’ dari tiga daerah, iaitu Besut, Setiu dan Kuala Terengganu.

Program yang dikendalikan sepenuhnya oleh Biro Tata Negara (BTN) itu dikatakan turut sama melibatkan tokoh politik setempat. Pun begitu ia masih tidak mampu membendung gelombang penentangan dari para peserta. Diceritakan, para fasilitator dari kalangan pegawai terlatih BTN itu turut menghadapi ‘saat-saat paling sukar’ dalam sejarah kerjaya mereka, terutama dalam menghadapi soalan demi soalan secara bertubi-tubi daripada peserta. Kewibawaan mereka sebagai pegawai terlatih, serta kesahihan fakta yang mereka kemukakan terutama berkaitan pergolakan politik negara, nyata di tahap yang amat dipersoalkan.

Difahamkan, mereka yang gagal menghadiri kursus tersebut dijemput pula menghadiri Program Khas 2K di Wisma Darul Iman tadi. Insiden soal-jawab yang hampir sama panasnya dengan apa yang berlaku di peringkat daerah, turut berlaku dalam kursus siri kedua itu. Padahal fasilitator yang terlibat bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah Pengarang Khas di Pejabat MB Terengganu sendiri. Beliau juga menjadi Pengarah Studio 305, yang terkenal dengan penerbitan video klip mengenai bermacam-macam ‘kesesatan dan salah laku’ PAS.

Amat bertepatan dengan tugas sebagai fasilitator itu, kerana beliau seorang yang dikenali fasih berbahasa, petah berpidato dan mahir berhujah. Membaca ayat-ayat al-Quran dan memetik hadith Rasulullah saw bagi dipadankan dengan kepentingan kerajaan BN adalah ibarat ‘nasi makan air minum’nya, walau pun beliau hanya bergelar ‘cikgu’. Malangnya petang 29 Ogos itu, khabarnya ‘cikgu’ berkenaan telah diperbudakkan oleh ‘anak-anak murid’nya.

Gelombang penentangan secara terbuka terhadap pemerintahan BN di Terengganu nampaknya sudah tidak berupaya diempang oleh sesiapa lagi. Di mana-mana pun rakyat bercakap soal menukar kerajaan. Di sebuah jabatan kerajaan negeri di salah sebuah daerah, seorang ketua jabatan sambil berbual-bual dengan beberapa pegawai kanannya di waktu rehat bertanyakan soalan: “Siapa agaknya yang akan ganti Wan Mokhtar?”

Para pegawainya yang sudah kalih dengan tabiat bos mereka yang suka bersembang soal politik, lantas mencelah dengan berbagai reaksi. Ada yang menjawab “Sukar ditelah, kerana semuanya di tangan Mahathir. Dia boleh pilih siapa yang dia suka.”

Ada pula yang mencadangkan nama beberapa pemimpin BN Terengganu. Mereka kata mungkin Tengku Mahmud (Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansur, bekas Timbalan Menteri Pertanian, dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu), kerana beliau diura-urakan akan kembai bertanding di kerusi DUN.

Ada pula yang menyebut nama Datuk Idris Jusoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, kerana beliau seorang tokoh muda yang mempunyai rekod berkhidmat yang sangat cemerlang. Pemimpin Umno Besut itu memang seorang yang bersih, tiada rekod rasuah, salahguna kuasa atau diskriminasi politik. Beliau terkenal seorang pemimpin yang tidak ‘memilih bulu’ dan sangat disenangi oleh masyarakat, termasuk oleh para penyokong PAS.

Tidak kurang juga yang menyebut nama Datuk Dr. Abdul Latif Awang, Ahli Exco Kerajaan Negeri. Selain berpendidikan tinggi, beliau juga dikatakan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Lebih utama lagi, beliau didakwa menjadi kroni Wan Mokhtar. Sudah tentulah jika Dr. Mahathir bertanyakan Wan Mokhtar terlebih dahulu tentang siapa penggantinya, peluang untuk Wan Mokhtar menyebut nama Dr. Latif lebih cerah dari nama-nama yang lain.   

Pendekata, masing-masing dengan pandangan dan hujah tersendiri, berdasarkan pemerhatian dan bacaaan politik masing-masing. Setelah semua selesai memberikan pandangan dan hujah, si ketua jabatan tadi pun bersuara semula. Dengan nada tegas beliau menjawab: “Tak betul belaka tu! Saya kata MB baru Terengganu Haji Hadi. Nanti tengok (kalau) tak caya”.

Jawaban itu membuatkan dua-tiga orang pegawai yang menjadi penyokong kuat BN tersentak dan mengeluh panjang. Di masa yang sama, sebahagian besar yang lain pula tanpa selindung lagi terus bersorak, sambil berkata: “Hak tu hak kita nak dengarnya!” Ketua jabatan tadi berlalu ke biliknya dengan senyum meleret di bibir.

Sudah tidak menjadi rahsia lagi, betapa gelombang perubahan itu turut melanda sekolah-sekolah. Kalau tidak, masakan Datuk Najib sampai memberi ingatan serta amaran berulang kali kepada para guru agar jangan terlibat dengan politik. Bahkan Datuk Najib sampai ke peringkat mengugut untuk mengambil tindakan menukarkan para guru yang berpolitik ke tempat-tempat paling terpencil dalam dunia Malaysia, terutamanya ‘pulau-pulau’, kecuali Pulau Langkawi.

Dua aspek utama yang sering ditekankan oleh Kementerian Pendidikan ialah agar guru-guru jangan menghasut pelajar dan jangan membawa sebarang bahan bacaan yang berunsur politik ke kawasan sekolah. Kononnya guru-guru dikatakan sering membincangkan persoalan politik semasa di dalam kelas. Akibatnya para pelajar ditanamkan perasaan membenci kerajaan. Guru-guru juga dikatakan sering membawa akhbar dan majalah parti pembangkang ke sekolah. Ia dibaca oleh rakan-rakan guru dan kadangkala turut dibaca oleh murid-murid.

Dua perkara itu disebut secara jelas dalam pekeliling Kementerian Pendidikan yang dihantar ke sekolah-sekolah di seluruh negara. Pertama, guru dilarang bercakap soal politik, dan kedua, akhbar Harakah dan majalah politik seperti Detik dan Tamadun dilarang dibawa masuk ke kawasan sekolah.

Apa yang pemimpin BN gagal fahami ialah gelombang perubahan itu sebenarnya telah melanda segenap penjuru masyarakat, termasuk para pelajar. Dan bila kita sebut para pelajar turut menerima percikan gelombang itu, kita tidak mengatakan ia angkara guru-guru mereka. Ada berlaku beberapa kes di mana guru cuba mengelak daripada berbicara soal politik di dalam kelas, sebaliknya para pelajar pula memulakan topik politik, sehingga mengheret sama guru untuk membicarakannya.

Katakanlah anda seorang guru. Disebabkan profesion anda mencelik-hurufkan manusia, maka anda secara logiknya adalah manusia paling layak untuk ‘celik-politik’. Dalam keadaan anda seorang yang celik politik, tetapi juga ‘celik peraturan’, maka anda cuba untuk tidak membicarakan soal yang dilarang sewaktu mengajar di dalam kelas.

Bayangkan, dengan gelombang perubahan yang membadai masyarakat tetapi cuba diempang oleh peraturan itu, bila anda melangkah masuk ke kelas, tiba-tiba pelajar anda bertanya: “Cikgu, pergi tak dengar ceramah malam tadi?” Tentulah tercabar naluri semulajadi anda yang ‘celik politik’ itu. Paling kurang jawaban pertama yang anda berikan ialah: “Tidak!”.

“Rugi cikgu tak pergi. Sedap betul ceramah semalam. Mat Sabu dengan Ustaz Bunyamin pulak tu,” sambung pelajar lagi.

Berderau darah anda, tentunya! Pertuturan anak-anak itu sangat menggoda keintelektualan anda. Belum pun sempat anda mengarahkan sesuatu kepada mereka, seorang yang lain pula menyampuk: “Cikgu kena gi dengar ceramah, cikgu! Kalau tidak, mana kita nak tahu Mahathir betul ke Anwar betul! Dengar TV saja, memang Mahathir betullah!”

Ya Rabbi! Bayangkan betapa tercabarnya jiwa dan perasaan anda sebagai seorang pegawai pendidikan yang profesional, yang berkelulusan universiti. Nampak seolah-olah anak-anak murid anda pula yang mengajar anda tentang apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan dalam menentukan sikap politik. Tapi itulah yang kerap berlaku di sekolah-sekolah menengah serata negeri di Terengganu, sejak setahun lalu.

Seorang rakan penulis pernah berkata: “Ini bukan lagi kes guru hasut pelajar. Ini dah jadi pelajar pula yang hasut guru”, katanya sambil menggeleng-gelengkan kepala penuh kelucuan.

Barangkali terbawa-bawa oleh kesedaran politik yang tinggi di kalangan pelajar itulah maka guru-guru pun kekadang tersasul atau terlepas cakap tentang topik-topik sensitif itu. Sebagai contoh, seorang teman penulis bercerita mengenai satu kursus guru-guru Bahasa Inggeris di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), di Marang. Seorang fasilitator mengesyorkan para peserta agar membiasakan diri membaca akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, guna memperkaya penguasaan bahasa masing-masing. Antara akhbar-akhbar itu disebutkannya The New Straits Times, The Sun dan The Star. Mendengarkan cadangan itu, serentak beberapa orang peserta secara ‘nakal’ menyahut, “The Moon!!”

Fasilitator itu terperanjat, terus menjawab, “What? The Moon? Is there such paper?”.

“Yes! There is!”, jawab guru-guru itu, diiringi ketawa kecil rakan-rakan yang lain.

Selepas berfikir sejenak, dan dapat menangkap bahawa yang dimaksudkan itu ialah akhbar Harakah (English Section), fasilitator berkenaan menjawab, “Oh! That ‘Moon’ ah? No, no, no! Please don’t,” dan disambut gelak ketawa para peserta.

Sekatan terhadap bahan bacaan berunsur pembangkang atau anti-kerajaan seumpama Harakah, tidak terhad di sekolah-sekolah sahaja. Pejabat-pejabat awam juga turut mengenakan peraturan yang sama. Malangnya, sesiapa yang berkunjung ke mana-mana pejabat awam di Terengganu, akan merasa suatu yang pelik jika tidak melihat Harakah dibaca di dalam pejabat-pejabat awam. Ia menjadi sumber maklumat utama, sebagai alternatif kepada akhbar-akhbar arus perdana yang hanya menyajikan berita-berita mengampu BN.

Di pasar, di anjung masjid, di atas wakaf, di perhentian bas dan teksi, di atas katil dalam wad hospital, di dalam kem tentera, bahkan di mana-mana jua, Harakah dapat dilihat dikepit atau dibaca orang. Di dalam bas atau kereta, juga ada yang masih mencuri peluang membacanya. Kelarisannya menyebabkan para pekedai yang dikenali sangat kuat ke-Umno-annya pun, tidak mahu melepaskan peluang menjualnya, atas dasar keuntungan perniagaan.

Kedahagaan masyarakat terhadap maklumat alternatif itu turut mendorong pacuan pasaran ke atas beberapa bahan bercetak lain seperti akhbar Eksklusif, majalah Tamadun, Detik dan beberapa buku isu semasa. Penulis diberitahu, sebuah buku isu bersaiz majalah berjudul ‘Talqin Buat Tuan Haji Mahathir’ terbitan Rangkaian Minda Publishing (penulis menjadi Editor Perundingnya) terjual macam goreng pisang panas di beberapa kantin pejabat awam dan hospital daerah di Terengganu, dalam minggu pertama ia diterbitkan. Bagaimanakah ia mampu menyelinap masuk ke pasaran ‘larangan’ itu, masih menjadi tanda tanya.

Suatu justifikasi yang agak munasabah ialah anggapan bahawa rangkaian pengedaran bahan-bahan bacaan sebegitu sememangnya dikuasai oleh para penyokong PAS. Lebih-lebih lagi jika diambil kira komposisi penyokong PAS yang tinggi di kalangan para peniaga kecil.

“Demo tak sah runsinglah Sir. Sembilan puluh peratus peniaga sokong kita. Pasar malam ke, Pasar Tani ke, kedai sehari ke, 90% pembangkang, Sir!”, cerita seorang rakan penulis di Kuala Terengganu. Beliau sendiri juga seorang peniaga yang mobile, bergerak ke mana sahaja mengikut Pasar Tani, pasar malam atau kedai sehari.

Peratusan yang hampir sama juga berlaku di kalangan pemandu teksi dan kereta sewa seluruh Terengganu. Walau pun kehidupan mereka sangat bergantung kepada permit yang diluluskan pihak kerajaan, kali ini mereka nampaknya sanggup mengkesampingkan kepentingan diri, demi melihat perubahan dalam pemerintahan negeri. Sokongan terbuka yang mereka suarakan agak memeranjatkan. Salah satu insiden yang menarik untuk dicatatkan di sini ialah keberanian mereka memalukan seorang pemimpin kanan Umno negeri.

Dalam satu majlis ramah-mesra (majlis kempen, sebenarnya) pemimpin berkenaan dengan para pemandu teksi di sebuah daerah, pemimpin yang sudah bercakap panjang dengan penuh semangat itu mengakhiri ucapannya dengan bertanya para pemandu yang hadir: “Jadi ambe nak tanya, kita nak pangkah sapa kali ini?”

Para pemandu dengan berani menyahut beramai-ramai, “PAS!” Pemimpin itu terkejut. Serta merta berubah air mukanya. Tetapi sebagai orang politik, beliau tetap menunjukkan muka yang senyum dan ketawa kecil. “Ambe nak tanya sekali lagilah. Kita nak pangkah sapa kali ini?” sambung pemimpin itu lagi.

“PAS!!”, sekali lagi suara mereka bergema, beserta tepukan dan tawa kecil dari sebilangan yang hadir.

“Ambe nak tanya sungguh dah ni, kali akhir dah nak tanya ni. Tuan-tuan, pakcik-pakcik tolong jawab molek lah. Kita nak pangkah sapa kali ini?”, tanya pemimpin itu sekali lagi.

“Barisang!”, laung seorang antara para pemandu teksi itu, diiringi tawa sinis rakan-rakan yang lain.

“Hak tu ambe nak dengarnya! Wassalamu’alaikumwarahmatullahi wabarakatuh”, pemimpin berkenaan cepat-cepat menghabiskan ucapannya.

Insiden tersebut mungkin contoh agak melampau, dan tidak menggambarkan fenomena sokongan keseluruhan golongan pemandu teksi terhadap PAS secara tepat. Namun keberanian mereka menyatakan sikap di hadapan seorang pemimpin kanan kerajaan negeri, adalah sesuatu yang amat jarang berlaku. Barangkali juga ia belum pernah berlaku sebelum ini. Tetapi pilihan raya umum lalu telah menjadi saksi kejadian tersebut.

Sebagai suatu kenangan bersejarah, perlu juga rasanya dicatatkan di sini bahawa anggota keamanan (tentera) juga turut memberikan sokongan moral yang tidak sedikit kepada PAS di Terengganu. Sebelum pilihan raya berlangsung, terutama di saat tohmahan dan fitnah propaganda BN terhadap PAS sedang memuncak, mereka tampil menyatakan sikap, atas sifat mereka sebagai warganegara yang bebas membuat pilihan, bahawa mereka bersimpati dengan perjuangan PAS. Rata-rata mereka yang datang menemui pemimpin PAS menyebut kata-kata semangat, “Insya Allah, kita pakat ubah kali ini!” Peningkatan mendadak dalam jumlah undi pos yang diperolehi calon-calon PAS di serata negeri, membuktikan kejujuran komitmen mereka itu.

Sekali pun institusi polis dikenalpasti oleh PAS sebagai institusi yang paling tidak simpatik terhadap perjuangan rakyat, itu tidak bermakna tiada langsung ruang sokongan terhadap PAS di kalangan mereka. Pameran muka yang manis kepada para penyokong PAS, terutama di hari penamaan calon dan hari mengundi, adalah sikap yang zahir dari hati yang cenderung kepada perjuangan rakyat menuntut keadilan.

Antara anggota polis itu juga tidak keberatan menghulurkan tangan kepada para penyokong PAS, bersalaman dan beramah mesra. Malah ada yang menghampiri petugas PAS dan berbisik, “ada lebih ke badge (lencana PAS)? Mintak se!”

Fenomena yang melanda Terengganu sejak beberapa bulan sebelum berlangsungnya pilihan raya itu, seolah-olah menggambarkan bahawa seluruh rakyat Terengganu telah sepakat untuk menolak BN. Kesepakatan itu pula jelas melangkaui batasan kaum dan keturunan. Walau pun keputusan pilihan raya lalu menyaksikan pola sokongan pengundi Cina yang agak padu terhadap BN di seluruh negara, di Terengganu sokongan tersebut tidaklah sepadu di negeri-negeri lain. Begitu juga di Kelantan, khabarnya.

Sekurang-kurangnya dua kejadian yang disaksikan oleh penulis sendiri menjadi bukti bahawa sebahagian masyarakat berketurunan Cina di Terengganu telah tampil memberikan sokongan terbuka kepada PAS. Kejadian pertama berlaku suatu pagi di sebuah warung di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, tidak jauh dari Bangunan Tabung Haji dan Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Pagi itu, seorang lelaki Cina berumur sekitar pertengahan 40-an, menguasai perbualan di warung berkenaan. Sambil menikmati nasi lemak dan teh panasnya, beliau berleter panjang tentang perlakuan zalim kerajaan BN, terutama dalam kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kebetulan pula baru dua hari sebelum itu buku laporan rasmi siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai kecederaan Anwar sewaktu ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berada di pasaran. Beliau turut membawa buku itu bersamanya, yang didakwanya sudah sold-out di kedai berhampiran pejabatnya, tidak jauh dari warung itu.

“How could this happened to a man like Anwar?”, katanya dengan nada sedikit meraung sambil mengangkat buku tersebut. Perhatian sebahagian besar pengunjung warung tertumpu ke arah gambar Anwar berpakaian seragam banduan berwarna biru itu. Memang jelas dan terlalu amat jelas kelebaman mata Anwar di dalam gambar-gambar tersebut. Semua orang dapat membayangkan betapa rakus dan ganasnya Anwar diperlakukan.

Beliau membelek dan terus membelek helaian-helaian lain buku itu, sambil memberikan komentar selarinya. “Eh, kalu orang macang Anwar pung boleh mudoh-mudoh kena tumbuk, macang kite ni ‘barang’ (mudah) sangat la!”, sambungnya lagi agak provokatif, dalam pelat Terengganu pula.

Di kalangan yang hadir semuanya berbangsa Melayu, ada yang menggeleng kepala, ada yang mengeluh dan ada yang membebel-bebel seorang diri.

Kejadian kedua pula berlaku di Besut, sewaktu kempen pilihan raya sedang memuncak. Penulis sendiri bersama beberapa petugas pilihan raya di sana sempat mengiringi calon Parlimen, Sdr Hassan Mohamad, dan calon DUN Jertih, Tun Mohd Salleh Abas, mengadakan ziarah rumah ke rumah di sekitar bandar Jertih. Tiada satu pintu kedai pun yang tidak dimasuki oleh rombongan kami. Dan tiada seorang pun yang terserempak dengan rombongan kami yang tidak kami sapa.

Kebetulan kedua-dua calon PAS itu agak ‘baru’ dengan masyarakat Besut, walau pun kedua-dua mereka adalah anak jati kelahiran Besut. Sdr Hassan bekerja mencari makan di Batu Berendam, Melaka dan aktif di peringkat Badan Perhubungan PAS Melaka. Manakala Tun pula banyak menumpukan kerja-kerja guamannya di Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu. Maka kami di Besut mengaturkan kempen yang agak intensif dan all-out untuk mereka berdua bertemu muka dengan orang ramai.

Sepertimana lazimnya, di mana-mana bandar pun di negara ini, peniaga dan penghuni tetap paling ramai ialah dari kaum Cina. Begitulah juga keadaannya di bandar Jertih. Suatu hal yang menarik, di sebahagian besar kedai yang kami lawati, kami disambut dengan muka yang manis dan kata-kata yang sangat menyedapkan hati. Fenomena itu amat berbeza berbanding masa-masa lalu. Masyarakat Cina di situ secara terbuka turut menyatakan sokongan mereka kepada calon-calon yang PAS kemukakan itu.

Seorang peniaga di situ menerpa keluar dari kedainya apabila melihat kedatangan kami. Beliau lantas memeluk erat Tun Salleh, dan sambil memegang kedua-dua bahu Tun Salleh, beliau berkata, “Molek! Molek! Kami pun nak masyarakat bertaqwa juga”, disambut ketawa kecil ahli rombongan kami.

Memang agak melucukan, bagaimana mungkin seorang Cina yang belum Islam, sudah pandai bercakap mengenai masyarakat bertaqwa!

“Umno nak mampus sungguh dah, barangkali”, celah seorang rakan apabila diceritakan kepadanya peristiwa menarik itu.

Isyarat yang diberikan oleh peniaga Cina tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Sehari selepas itu mereka secara berkumpulan mengunjungi Markas Pilihan Raya PAS Parlimen Besut, yang terletak di bandar Jertih, dan memohon mengadakan perbincangan ‘hati ke hati’ dengan calon Dun Jertih dan calon Parlimen Besut. Sekurang-kurangnya tiga perjumpaan khusus antara tiga kumpulan berasingan dari masyarakat Cina Besut telah sempat diadakan di tiga lokasi berbeza, sepanjang tempoh kempen itu. Suatu hal yang menarik, ketiga-tiga perjumpaan itu adalah atas permintaan masyarakat Cina sendiri.

Cerita-cerita yang dipaparkan ini secara jelas menggambarkan wujudnya suatu kesepakatan di kalangan rakyat Terengganu untuk menerima PAS, sekali gus menolak pemerintahan BN. Bila kita sebut rakyat, ia bukan sekadar nelayan, bukan hanya petani dan penternak, bukan para peniaga sahaja. Ia meliputi para penjawat awam, penjawat swasta, doktor dan kakitangan pusat perubatan, anggota pasukan keselamatan (polis) dan keamanan (tentera), para imam dan bilal, warga pendidik dan pelajar, para pemandu teksi dan bas, serta orang awam yang lain. Ia juga bukan setakat masyarakat berbangsa Melayu, tetapi turut membabitkan rakyat berketurunan Cina dan India, yang telah sama-sama menunjukkan kesediaan untuk bernaung di bawah kerajaan baru pimpinan PAS.

(Artikel ini adalah Bab 6, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, di dalam buku 'Masa Untuk Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda, Gombak, Ogos 2000)

No comments:

Post a Comment