Thursday, August 1, 2013

Hentikan penghinaan, sebarkan ilmu Islam


Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Yang telah menurunkan kitab suci Al-Quran sebagai petunjuk buat manusia seluruhnya. Salawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Penghulu segala nabi dan rasul.

Proses menyiapkan bahan-bahan untuk menerbitkan edisi 16 ini berlangsung di saat umat Islam menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang dijanjikan Allah Taala dengan berbagai kerahmatan dan keberkatan dari sisinya, terutama bagi setiap diri Muslim yang pandai memanfaatkan kehadirannya dengan sebaik mungkin.

Di tahun lalu, edisi menyambut Ramadhan telah kita isi dengan beberapa tulisan dan kupasan para asatizah kita berhubung kelebihan dan peluang yang disusun oleh agama kita bagi mencapai Ramadhan terbaik. Biar pun sudah setahun berlalu, ilmu-ilmu yang kami paparkan di dalamnya tetap malar segar dan relevan sampai bila-bila. Moga para pembaca tidak keberatan membelek naskhah itu kembali.

Ketika catatan ini dibuat, umat Islam khususnya di negara kita juga sedang berdepan beberapa isu yang dianggap menghina ajaran dan pegangan agama kita. Ada isu wanita Islam diberikan syarat menanggalkan tudung sekiranya mahu diambil bekerja. Ada isu atlet Melayu yang masih remaja merogol pelatih dalam keadaan ‘separuh sedar’ (dipercayai akibat pengaruh alkohol).

Terkini ialah isu persendaan sepasang anak muda bukan Islam terhadap ajaran Islam. Kononnya di atas hasrat meraikan teman-teman beragama Islam di atas kedatangan Ramadhan, mereka nyata tersalah pilih pendekatan apabila mengajak umat Islam berbuka puasa dengan sajian yang memang diketahui haram untuk kita.

Tidak syak lagi semua ini ditakdirkan berlaku dengan hikmat tersendiri di sisi Allah. Ia tidak sepatutnya dibiarkan berlalu begitu saja tanpa diambil pengajaran atau dijadikan bahan renungan. Bahawa persendaan terhadap ajaran dan hukum Tuhan sudah semakin menyerlah dalam masyarakat kita, sama ada oleh bukan Islam mahu pun individu yang bernama Islam sendiri.

Kesemua perkembangan ini sebetulnya menebal dan membukitkan lagi komitmen kami untuk terus menerbitkan majalah ini. Bahawa tuntutan menyebarluas ilmu-ilmu Islam bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah semakin besar tatkala umat Islam semakin menyimpang dari ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Bagi menyempurnakan hasrat itu, sokongan dan dukungan saudara-saudari pembaca amat kami sandarkan. Moga kita semua mendapat saham masing-masing dalam membela agama Allah ini. Wassalam.

Al-faqir ilallah,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini adalah catatan editorial majalah Dian - Ihya' As-Sunnah Bil. 16, Ogos 2013)

Imej salah bagi ‘Negara Islam Contoh’



Oleh: Mohd Nasir Awang

i.
AWAL bulan lalu kita disajikan dengan satu laporan yang agak mengejutkan. Wujud dakwaan berlakunya penindasan terhadap pekerja wanita Islam oleh satu rangkaian kedai foto di ibu negara.

Sebuah harian tempatan melaporkan syarikat berkenaan mengamalkan dasar memaksa pekerja wanitanya yang Islam agar tidak bertudung. Kenyataan dan pengakuan beberapa pihak terbabit turut dimuatkan sebagai mengukuhkan dakwaan tersebut.

Ia bermula dengan aduan salah seorang wanita Islam yang menjadi mangsa keadaan. Beliau yang hadir untuk temuduga jawatan kerani di syarikat berkenaan awal-awal lagi diberi ingatan oleh salah seorang pekerja di situ mengenai peraturan berpakaian. Bahawa beliau jangan terkejut sekiranya diarah menanggalkan tudung ketika bekerja.

Akhbar bahkan memetik katanya, “saya dimaklumkan oleh pekerja itu seorang wanita bertudung yang terpaksa membuka tudung ketika bekerja dan akan memakai semula selepas tamat waktu bekerja kerana desakan hidup untuk menyara keluarga”.

Ya Rabbi! Betulkah apa yang kita baca ini? Macam tak percaya, bukan? Bagaimana mungkin hal sebegini boleh berlaku dalam ‘Negara Islam Contoh’ ini?

Kenyataan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesahkan lagi bahawa dakwaan wanita terbabit bukan suatu rekaan atau cubaan mensensasikan isu ini. Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima aduan mengenai masalah itu setiap bulan. Lebih mengecewakan ada syarikat terus mengamalkan dasar berkenaan (mengarahkan pekerja wanita Islam membuka tudung) walau pun diberi teguran.

Ertinya, isu ini memang benar-benar berlaku dan bukan hanya melibatkan satu syarikat yang disebutkan di atas sahaja. Bahkan kes-kes terbabit sudah berada di dalam tindakan pihak berkenaan.

Hakikat ini amat sukar diterima. Ia sesuatu yang amat tidak wajar berlaku, dan masih berlaku, memandangkan isu tuntutan wanita Islam untuk bertudung di tempat kerja ini sudah diperjuangkan sekian lama. Ia pernah mengundang campurtangan pihak berwajib, termasuk kementerian berkaitan hal ehwal wanita dan pihak berkuasa agama.

Mengenakan tudung bagi wanita Islam yang akil baligh adalah tuntutan syarak. Arahan itu berdasarkan firman Allah: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (An-Nur 24:31)

Ertinya, tuntutan bertudung (menutup aurat) bagi wanita Islam adalah hukum agama dan bukan sekadar fesyen berpakaian. Sesuatu yang dilakukan di atas dasar mentaati perintah agama wajib dipertahankan. Bahkan, menjadi suatu penghinaan sangat berat sekiranya ada pihak memaksa wanita Islam menanggalkan tudung.

Hakikat ini sepatutnya sedia difahami setiap majikan di negara ini. Lagi pun, apa masalahnya bagi syarikat itu jika pekerjanya bertudung? Dengan perkembangan masyarakat mutakhir ini, penghayatan wanita Islam terhadap tuntutan mengenakan tudung bukan lagi suatu yang janggal.

Kalaulah dikatakan bertudung boleh mengganggu kecekapan tugas pekerja, bagaimana dengan tahap kecekapan sebegitu ramai pegawai penguatkuasa wanita di beberapa jabatan seumpama Polis, JPJ, Kastam dan JAS yang bertudung?

Masyarakat kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti. Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya. Justeru, apa rasionalnya bagi majikan syarikat tadi mengenakan larangan tersebut?

ii.
Tiga atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 telah dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, 11 Julai lalu atas pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling itu, seminggu sebelumnya.  
  
Ketiga-tiga mereka berusia antara 18 dan 19 tahun. Antara mereka ada yang masih menuntut.
  
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, antara jam 4 pagi hingga 4.10 pagi, 4 Julai lepas.

Meski pun agak menggemparkan dan mendapat liputan agak meluas oleh media massa, kes sebegini bagi saya tidaklah mengejutkan. Menjadi mangsa rogol berkumpulan bukan lagi suatu yang sangat jarang didengar di Malaysia ini!

Lagi pun, kes ini mendapat perhatian banyak pihak termasuk menteri, hanya kerana ia berlaku di perkampungan sukan. Boleh jadi sekiranya kes itu berlaku di kampung, di tempat kerja atau kawasan perumahan mereka, perhatian dan liputan media mengenainya tidak sebesar itu. Ia mungkin muncul sekali-dua di dada akhbar, kemudian akan semakin tidak dibicarakan orang.

Pun begitu, saya tetap dukacita dengan kes itu. Pertama, kerana ketiga-tiga remaja lelaki itu bernama Melayu. Pada adatnya mereka adalah Islam. Sedangkan perbuatan mereka bertiga adalah dosa besar di sisi agama.

Kedua, saya agak terkilan kerana ketiga-tiga mereka dihadapkan ke mahkamah hanya di atas dakwaan merogol. Bahkan, itulah punca utama kes itu meletup di dada media berhari-hari. Sedangkan kes perlanggaran hukum agama yang sama keji dengan perbuatan terkutuk itu seakan disenyapkan.

Maksud saya, ada dilaporkan juga mangsa mendakwa kejadian itu berlaku ke atasnya ketika dia dalam keadaan separuh sedar. Walau pun tidak dijelaskan mengapa, terdapat laporan lain yang menyebut tentang pengambilan minuman keras di kalangan atlet.

Hal itu disahkan apabila ada laporan menyebut Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) telah menggantung keseluruhan skuad bola baling daripada menyertai sebarang aktiviti sukan anjuran badan induk berkenaan kerana membawa masuk minuman keras ke perkampungan SUKMA ke-16 itu.

Malangnya, perbuatan meminum arak tidak pula dijadikan kes ke atas atlet-atlet beragama Islam itu. Seolah-olahnya ia hanya suatu kesalahan disiplin di perkampungan sukan.

Kedua-dua kes disorot kali ini adalah kes yang mencabar hukum agama. Ia tidak patut berlaku, kerana ia menggambarkan imej yang salah buat negara kita yang dimasyhurkan sebagai ‘Negara Islam Contoh’ ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah Bil: 17, Ogos 2013)